Вы находитесь на странице: 1из 10

LAPORAN REFLEKTIF

Pengajaran adalah proses penyampaian kemahiran, ilmu pengetahuan, sikap dan nilai-nilai. Proses ini melibatkan perubahan tingkah laku dalam kalangan murid. Manakala pembelajaran pula membawa maksud satu proses yang menghasilkan perubahan tingkah laku yang kekal setelah melalui latihan dan peneguhan (Ahmad & Syed, 2011). Bertepatan dengan konsep pengajaran dan pembelajaran ini, saya bersama ahli-ahli kumpulan yang lain telah menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran pada 26 September 2011 yang lalu. Kami menggunakan subjek Sains sebagai medium bagi mengaplikasikan Teori Pembelajaran Kognitif. Saya telah mengambil slot yang ketiga dimana saya menjalankan ujikaji menggunakan deria rasa berdasarkan langkah dua yang terdapat dalam rancangan pengajaran harian. Sepanjang proses ini berlangsung, banyak kelebihan dan kelemahan yang saya tunjukkan sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak sedar. Antara kelebihan yang dapat saya tonjolkan sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran ialah pertama, suara yang lantang. Menurut memberikan arahan bagi Wilford(1999) pendekatan dalam

pengurusan bilik darjah adalah berdasarkan isi

pengajaran yang telah dirancang dengan baik dan pemberian arahan yang jelas akan meminimumkan masalah pengurusan bilik darjah. Suara amat penting kerana ia membolehkan murid-murid menerima arahan dengan jelas dan ini secara tidak langsung membantu saya dalam mengawal kelas tersebut. Kelebihan yang ada ini telah saya gunakan sewaktu eksperimen merasa makanan menggunakan lidah. Saya telah memberikan arahan secara terperinci mengenai bahan-bahan yang perlu diambil serta meminta murid-murid merasa makanan tersebut. Dengan cara ini, murid-murid dapat melaksanakan ujikaji dengan betul dan berkesan tanpa sebarang masalah. Selain itu, saya juga menekankan langkah berjaga-jaga dimana saya tidak membenarkan murid-murid merasa bahan-bahan selain yang telah diberikan kepada mereka. Arahan yang jelas ini dapat dibuktikan dengan tiadanya masalah seperti murid-murid tertelan bahanbahan yang berbahaya.

Kedua, kelebihan yang dapat saya tunjukkan dalam sesi ini ialah saya dapat menerapkan nilai kerjasama antara murid-murid di dalam kelas. Ee (1989) mengatakan kerja kumpulan merupakan cara yang paling berkesan dalam pengendalian organisasi bilik darjah, disiplin dan bimbingan. Namun, cara ini bukan sahaja memudahkan pengendalian kelas malah meningkatkan kemahiran murid-murid untuk berinteraksi bersama-sama rakan-rakan sekumpulan. Oleh itu, kerjasama amat dititikberatkan bagi menjalankan eksperimen dengan lancar. Disamping itu, nilai kerjasama membolehkan murid-murid mengurus kumpulan mereka sendiri kerana mereka diberi peluang untuk melantik ketua dan seterusnya mengorganisasikan kumpulan masing-masing. Tidak semua murid yang berada didalam kumpulan mempunyai kecergasan dan kecerdasan yang sama. Aktiviti berkumpulan sebegini akan membantu murid-murid lemah dan lambat menerima arahan untuk sama-sama bergerak dan menjalankan uji kaji. Secara tidak langsung, murid-murid yang lemah dapat dibantu oleh ahli-ahli kumpulan yang lain. Ketiga, saya melihat perkongsian kepimpinan dalam sesebuah kumpulan sebagai kelebihan yang dapat diperolehi oleh semua murid-murid ketika slot pengajaran dan pembelajaran saya. Salah satu ciri-ciri berkenaan dengan jangkaan pengurusan kelas yang dikenal pasti oleh Schmuck dan Schmuck dalam Wilford (1999) ialah perkongsian kepimpinan. Murid-murid dilihat membahagikan kepimpinan dengan sendiri supaya semua ahli-ahli kumpulan dapat berkongsi kuasa, mendapat harga diri dan kesepaduan kumpulan dalam melaksanakan eksperimen bersama-sama. Apabila saya berkongsi kepimpinan di dalam kelas bersama murid-murid, saya dapati mereka dapat menguruskan kumpulan dan diri mereka selain mempunyai tanggungjawab terhadap tingkah laku mereka. Ini secara tidak langsung mendidik murid-murid agar mempunyai sifat kepimpinan dalam diri masing-masing. Keempat, pemberian ganjaran dan peneguhan akan menggalakan murid-murid untuk bergerak aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Saya telah mengambil inisiatif memberikan ganjaran kepada murid-murid kerana ia bukan sahaja menarik minat mereka untuk lebih menumpukan perhatian, malahan turut meningkatkan keyakinan diri untuk terlibat sama dalam proses pembelajaran.

Walaupun tidak semua murid-murid yang mendapat ganjaran tetapi melalui proses pengajaran dan pembelajaran, murid dilhat berlumba-lumba untuk bersaing secara sihat. Ia memberikan suasana yang ceria dan aktif di dalam kelas. Tambahan pula, pada peringkat ke lapan proses pembelajaran Gagne guru perlu memberi maklum balas tentang prestasi murid-murid berdasarkan respon mereka terhadap soalan yang diberikan. Tahap ini merupakan tahap dimana motivasi perlu diberikan setelah pelajar berjaya mencapai objektif pembelajaran. Ia bertujuan untuk memaklumkan tentang prestasi murid serta penambahbaikan yang perlu dilaksanakan (Noriati, Boon, & Sharifah, 2009). Menurut Atan (1993) kelebihan ini akan menunjukkan seseorang guru itu mempunyai sikap yang positif dan menggalakkan. Saya telah memberikan galakkan dan pujian kepada muridmurid dan kurang mendenda dan menggunakan ancaman. Bagi saya, ia merupakan kelebihan yang perlu dimiliki oleh semua guru. Seterusnya, saya merasakan bahawa aktiviti yang dijalankan sewaktu slot pengajaran dan pembelajaran ini adalah menarik. Menurut Peter (1997), maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku jika pelajar berada dalam persekitaran yang menyeronokkan iaitu interaksi peribadi dan sokongan padu daripada guru secara peribadi. Saya telah membentuk satu persekitaran yang menyeronokkan apabila meminta murid-murid menjalankan uji kaji terhadap bahan makanan. Pada peringkat operasi formal mengikut teori perkembangan kognitif Jean Piaget, murid-murid pada tahap ini masih lagi bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung (Mok, 2010). Ini bermakna, mereka suka mencuba sesuatu yang baru dan aktiviti ini dapat menimbulkan keseronokkan kerana mereka diberi peluang menjalankan apa yang telah dipelajari secara amali. Akhir sekali, saya menganggap bahawa slot pengajaran dan pembelajaran saya memberi kelebihan terhadap diri kerana ia telah berjaya mencapai objektif pembelajaran pada hari tersebut. Mengikut teori kognitif Brunner, pembelajaran adalah satu proses sosial yang aktif di mana murid-murid akan membina idea dan konsep baru berasaskan pengetahuan sedia ada (Choong, 2011). Murid-murid akan memilih maklumat yang diperlukan kemudian membentuk hipotesis seterusnya mengintegrasikan bahan baru ini ke dalam pengetahuan sedia ada serta konstruk mental masing-masing. Di awal slot, saya memperkenalkan tujuan

eksperimen iaitu menentukan rasa bahan dengan menggunakan lidah, seterusnya murid-murid diminta untuk merasa bahan makanan tersebut dan mengisi jadual yang diberikan. Disini dapat dilihat bahawa pengintegrasian bahan baru ke dalam pengetahuan sedia ada dapat diserapkan melalui eksperimen deria rasa. Objektif dapat dicapai apabila murid-murid berjaya membezakan tiga jenis rasa bahan makanan dengan betul. Selain kelebihan ini, terdapat enam kelemahan yang telah saya lakukan sewaktu menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Kelemahan yang pertama ialah tidak menggunakan masa secara efektif. Menurut Atan (1993), masa adalah unsur yang terhad. Masa yang diberikan untuk mengadakan pembentangan untuk setiap individu ialah 10 minit. Namun begitu, saya hanya menggunakan masa sebanyak 7 minit sahaja untuk sesi pembentangan. Perancangan penggunaan masa saya tidak dapat dilaksanakan dengan baik kerana saya berada dalam keadaan gemuruh. Tanpa saya sedari, banyak perkara yang tidak terlaksana dalam tempoh masa yang diberi. Banyaknya isi pelajaran yang hendak disampaikan adalah bergantung kepada masa yang diperuntukkan bagi mengajar sesuatu mata pelajaran. Banyak lagi perkara yang boleh saya sampaikan serta dikongsi bersama tetapi saya tidak mampu melaksanakannya. Kekesalan timbul namun, bagi mengatasi kelemahan ini daripada berulang, saya akan membuat perancangan tentang liputan isi pelajaran bagi sesuatu tajuk dengan lebih

berhati-hati. Selain itu, dalam peruntukan masa yang terhad ini, saya mestilah merancang penggunaan masa dengan berkesan. Kesilapan kedua yang saya lakukan ialah terlupa untuk memberi arahan membuang bahan yang digunakan selepas eksperimen tersebut selesai. Sewaktu uji kaji dilaksanakan, piring petri bersama-sama alatan serta bahan-bahan lain telah diedarkan kepada setiap kumpulan. Tetapi, saya telah menamatkan slot saya sebelum saya sempat meminta murid-murid untuk membuang alatan serta bahan-bahan yang telah diguna pakai. Ini mengakibatkan konsentrasi murid-murid untuk slot yang seterusnya terjejas kerana ada diantara mereka yang masih lagi merasa bahan makanan dan bermain-main dengan bahan tersebut. Kesilapan ini boleh dielakkan sekiranya saya menstrukturkan semula slot pengajaran dan pembelajaran saya. Ini bermakna, saya akan meminta murid-murid untuk

membersihkan meja daripada bahan ujikaji tersebut dan memastikannya tidak berulang lagi pada masa akan datang. Kertas jadual diedarkan sebelum arahan diberikan menjadi kelemahan saya yang ketiga dimana saya tidak menyedari ahli kumpulan yang lain telah mengedarkan kertas jadual yang perlu diisi dengan jawapan hasil uji kaji yang dijalankan. Pada waktu ini, arahan yang diberikan tidak diendahkan lagi oleh murid-murid kerana tumpuan mereka teralih untuk mengisi jadual tersebut. Saya terpaksa mengutip kembali kertas-kertas tersebut dan memberi arahan yang sebetulnya. Pada masa akan datang, masalah sebegini dapat dielakkan sekiranya ahli-ahli kumpulan bekerjasama dan memahami tugasan setiap individu terbabit. Jika ingin melakukan sebarang aktiviti, arahan perlu diberikan dengan jelas supaya tiada kesilapan yang akan berlaku kelak. Selain itu, susunan aktiviti perlu diatur dengan sistematik agar perjalanan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lancar (Atan, 1993). Seterusnya kelemahan yang dapat saya lihat ialah percakapan saya yang terlalu laju dan saya kelihatan gemuruh. Percakapan yang terlalu laju ini merupakan kesan akibat rasa gemuruh sewaktu sesi pembentangan. Percakapan yang terlalu laju mengakibatkan arahan terpaksa diulang beberapa kali untuk memahamkan murid-murid tentang aktiviti pada hari tersebut. Pergerakkan tangan yang terlalu banyak kerana gemuruh sedikit sebanyak menganggu cara pembentangan saya. Ini kerana ia merupakan pengalaman pertama saya menjalankan kaedah microteaching dihadapan pensyarah untuk dinilai. Namun begitu, saya telah melakukan yang terbaik untuk mencapai tahap yang diingini. Bagi memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran ini, saya perlu tahu cara untuk mengawal gemuruh dan menggunakan kelajuan percakapan yang betul agar arahan diterima oleh murid dengan baik dan sesi pembentangan berjalan dengan lebih lancar. Persediaan yang rapi juga perlu dibuat kerana dengan cara ini, perasaan gemuruh dapat dikurangkan pada tahap yang minimum. Kawalan kelas yang kurang berkesan merupakan salah satu kelemahan yang saya alami sewakti sesi pengajaran mikro. Menurut Atan (1993), pergerakkan murid-murid dalam bilik darjah merupakan punca yang boleh menimbulkan masalah didalam kelas. Murid dilihat berjalan ke tempat rakan-rakan mereka bagi

melihat uji kaji yang dijalankan oleh rakan walaupun mereka menjalankan uji kaji yang sama. Selain itu, murid terlalu aktif mengakibatkan kelas tidak dapat dikawal dengan sempurna. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan dalam mengawal kelas sebegini. Kepimpinan demokratik perlu diterapkan oleh seseorang guru untuk mengawal kelas dengan lebih berkesan. Ini akan mengajar murid untuk mendengar dan memahami apa yang disampaikan oleh guru. Dengan itu, murid akan menjadi lebih bersabar dan bertoleransi (Ee, 1989). Aplikasi teori kognitif mengikut teori pembelajaran penemuan Brunner telah saya gunakan untuk sesi pembentangan yang dijalankan. Teori ini berpusatkan pembelajaran atau murid dan berbentuk induktif (Noriati, Boon, & Sharifah, 2009). Menurut Brunner lagi, setiap individu walaupun masih kecil berkeupayaan untuk belajar sekiranya penyampaian disusun atur dengan cara yang sesuai. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan, pembelajaran konsep yang melibatkan proses mengingat kembali, membuat perkaitan maklumat baru dengan yang lama serta membuat subkategori telah dijalankan (Ahmad & Syed, 2011). Murid-murid telah diterangkan terlebih dahulu mengenai rasa, lidah serta kepelbagaian rasa makanan. Pada slot yang telah saya jalankan, murid membuat perkaitan diatara apa yang telah diterangkan oleh ahli kumpulan saya yang terdahulu dan mengaitkannya dengan eksperiman yang dijalankan. Eksperiman yang dijalankan pula adalah berbentuk inkuiri dimana murid-murid dilibatkan dengan situasi penyelesaian masalah. Dengan itu, proses pembinaan

pengetahuan baru dibentuk berdasarkan hubungkait pengalaman baru dan pengalaman yang sedia ada (Noriati, Boon, & Sharifah, 2009). Diakhir slot saya, murid-murid dapat membezakan rasa-rasa makanan. Ini bermakna inkuiri penemuan ini berjaya dilaksanakan kerana murid-murid mencari sendiri maklumat tersebut yang mana memerlukan mereka meninjau masalah, meneliti pelbagai altenatif, membuat hipotesis dan akhirnya menguji hipotesis itu sebelum membuat keputusan. Dengan cara ini, pembelajaran secara aktif dapat berlaku. Selain itu, saya telah menggunakan strategi pengajaran tidak langsung yang berpusatkan murid. Ia adalah rentetatan daripada model inkuiri saintifik dimana ia direka untuk meningkatkan kecekapan murid-murid mempelajari dan seterusnya mengembangkan konsep-konsep (Ee, 1989). Saya telah menggunakan kaedah ini

dan murid dilihat melibatkan diri dalam proses penaakulan yang mana mereka berpeluang mengasahkan kemahiran-kemahiran menyoal dan membuat

kesimpulan serta membina dan seterusnya menguji konsep dan hipotesis. Murid dibimbing untuk menjalankan eksperimen manakala saya hanya bertindak sebagai fasilitator iaitu pembimbing untuk membina dan memperolehi kefahaman murid-murid mengenai isi pelajaran yang disampaikan. Sebelum eksperimen dijalankan, saya telah membuat pendekatan induktif iaitu murid-murid akan melalui proses pemikiran yang memerlukan mereka bergerak daripada fakta khusus dan pemerhatian kepada satu kesimpulan. Untuk mencapai matlamat ini, saya telah memilih untuk bertanya serba sedikit mengenai rasa makanan. Melalui pemerhatian dan pengalaman, murid-murid telah memberikan gerak balas yang releven serta membina pola yang bermakna iaitu uji kaji yang hendak dijalankan tersebut ada perkaitan dengan lidah dan deria rasa. Menurut Choong (2011), personaliti milik seseorang individu menjadikannya berbeza dengan individu lain yang memudahkan kita memahami pelbagai ragam dan perlakuan manusia. Ketika pengajaran mikro berjalan, saya melihat setiap individu itu berbeza dari segi sikap, personaliti, penglibatan dan tahap kecergasan mereka. Ada diantara mereka yang sangat responsif, menumpukan perhatian serta tekun sewaktu melaksanakan eksperimen yang diberikan. Namun ada juga yang pasif serta menjadi penumpang dalam kumpulan-kumpulan kecil tersebut. Ini mungkin disebabkan oleh faktor persekitaran setiap individu yang berbeza dan mempengaruhi perkembangan dan pembesaran murid-murid. Selain itu, faktor baka turut menbezakan intraindividu dari segi fizikal dan rupa paras. Perbezaan dari segi kecerdasan murid-murid juga berbeza tetapi tidak dapat dikenalpasti akan faktor perbezaan tersebut, Ahli psikologi seperti Plato mengatakan kecerdasan adalah berdasarkan gender, kelas dan bangsa (Noriati, Boon, & Sharifah, 2009). Namum begitu, kecerdasan pelbagai turut membezakan antara murid-murid. Berdasarkan pemerhatian saya sewaktu sesi pengajaran mikro ada diantara mereka yang mempunyai kecenderungan terhadap logikal dan linguistik. Oleh itu, mereka dapat melibatkan diri dengan aktif sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Murid-murid ini juga memiliki dua gaya belajar iaitu taktik atau kinestetik dan aktivis. Mereka cenderung untuk

belajar melalui pergerakan dan merasa bahan makanan yang hendak diuji. Apabila mereka berinteraksi dengan ruang sekitar, mereka dapat mengingat dan memproses maklumat. Solmon(1998) dalam Noriati, Boon, & Sharifah(2009) menyatakan murid-murid ini cenderung kepada hands-on dan suka belajar secara penemuan. Terdapat juga murid-murid yang mempunyai gaya belajar aktivis dimana mereka lebih suka mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran dangn pengajaran walaupun konsentrasi mereka terganggu. Saya tidak perlu memaksa mereka untuk melibatkan diri kerana mereka telah melibatkan diri secara rela. Dalam pembentangan ini, banyak ilmu pengetahuan baru yang saya adaptasi berdasarkan asimilasi terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Melaluinya juga profesionalisme keguruan saya dapat diperbaiki dan dipertingkatkan antaranya ialah kemahiran berfikir. Berdasarkan rancangan pengajaran harian yang dibuat, saya dapat mempelajari proses yang melibatkan penyusunan aktiviti-aktiviti yang ingin disampaikan kepada murid agar lebih teratur dan sistematik. Disamping itu, kemahiran ini membolehkan saya membimbing murid-murid meninjau sesuatu idea yang baru dan berfikir untuk menggunakan teknik penyelesaian masalah yang sesuai. Perkembangan kedua yang saya perolehi ialah kemahiran merancang. Saya telah berjaya menentukan objektif pelajaran, memilih isi pengajaran, memilih strategi dan kaedah pengajaran, merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran, memilih dan menyediakan bahan-bahan pelajaran serta meyediakan dan menguruskan kemudahan-kemudahan untuk menjalankan aktiviti pembelajaran bersama-sama ahli kumpulan saya. Ini menjadikan pengajaran saya menjadi efektif serta isi pelajaran dapat disusun supaya menjadi lebih menarik dan kreatif. Ketiga, saya berjaya memperkembangkan kemahiran mengajar saya dimana aktiviti pengajaran dapat dilaksanakan secara sistematik. Suasana pembelajaran yang positif dan menggalakan memberi peluang murid-murid untuk berinteraksi dalam kumpulan mereka. Dengan cara ini, saya dapat mendisiplinkan murid dan mereka boleh bekerjasama antara satu sama lain. Perlaksaan mengajar ini penting kerana murid-murid dapat memperolehiI ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran dalam proses perlaksanaan rancangan mengajar guru.

Seterusnya, saya dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi ketika berada di dalam kelas untuk mengajar. Ini kerana, sebagai seorang guru, saya perlu menyampaikan maklumat atau ilmu pengetahuan dengan berkesan. Dengan cara ini, murid-murid tidak akan keliru atau salah faham apa yang disampaikan oleh guru. Saya belajar bertutur dengan menggunakan kepelbagaian nada, suara yang bertenaga dan penghentian sejenak yang efektif dan bebas daripada disisip dengan perkataan seperti umm, aaa dan err. Akhir sekali, perkembangan profesionalisme keguruan yang saya perolehi ialah kemahiran mengurus. Guru bertindak sebagai pengurus di dalam kelas. Oleh itu, saya perlu menggalakan interaksi pelbagai hala iaitu interaksi antara guru dan murid dan juga interaksi antara murid dengan murid. Saya juga dapat memupuk semangat kerjasama, sikap toleransi dan hormat menghormati sewaktu pembentangan.

Bibliography
A. L. (1993). Pedagogi Kaedah Am Mengajar. Petaling Jaya: Amiza Publishing Sdn. Bhd. A. S., & S. I. (2011). Murid Dan Alam Belajar. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd. C. L. (2011). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. E. A. (1989). Pedagogi Satu Pengenalan. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. M. S. (2010). Perkembangan Kanak-Kanak. Selangor: Penerbit Multimedia Sdn. Bhd. N. A., B. P., & S. F. (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd. P. T. (1997). Retrieved 10 4, 2011, from National Center for Higher Education Management System: http://www.intime.uni.edu/model/learning/learn_summary.html S. H. (2005). Pendekatan Perubahan Konsep Dalam Pengajaran Sains. In S. H., A. T., L. S., S. S., & A. A., Pedagogi Merentas Kurikulum (p. 226). Pahang: PTS Profesional Sdn. Bhd. W. A. (1999). Classroom Management. In J. M., Classroom Teaching Skills (p. 221). United States of America: Houghton Miffliin Company.

Вам также может понравиться