You are on page 1of 6

SOALAN KARANGAN(NO.

5)PERIBAHASA PMR 2009(TEKNIK HURAIAN)


SOALAN:Peribahasa Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan menasihati kita supaya sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu tujuan. Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa itu. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Ungkapan peribahasa ini selalu diucapkan oleh masyarakat Melayu ketika merancang sesuatu usaha. Peribahasa ini bermaksud bahawa kalau seseorang itu mempunyai impian, dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Jika diteliti pada maksud peribahasa ini,pengertiannya amat mendalam sekali. Seseorang itu diberi keyakinan bahawa cita-citanya akan dapat dicapai melalui usaha yang gigih.Justeru, seseorang itu mestilah berani menempuh sebarang cabaran dan halangan sebelum menikmati sesuatu hasil. Sehubungan dengan itu, jika seseorang yang bercita-cita untuk menjadi doktor tidak akan dapat mencapai cita-citanya jika dia tidak belajar dengan tekun. Cita-citanya ini akan menjadi seperti angan-angan Mat Jenin. Oleh yang demikian, usaha itu adalah penting bagi mencapai cita-cita tersebut persis kata mutiara Usaha itu tangga kejayaan. Ada kalanya juga peribahasa ini diucapkan sebagai suatu sindiran. Sindiran ini bertujuan menyedarkan seseorang itu tanpa menyakitkan hatinya. Seseorang yang memahami maksud peribahasa ini akan segera menyedari kesilapan dirinya dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan dirinya. Selain peribahasa ini, terdapat beberapa lagi peribahasa lain yang mempunyai pengertian yang sama juga. Tamsilnya, peribahasa Hati hendak, semua jadi, Kalau hendak seribu daya, kalau tak mahu seribu dalih dan Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Konklusinya, setiap individu mestilah berusaha untuk memperoleh apa yang mereka hajati. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja. Hal ini berlaku demikian kerana tanpa usaha ibarat mengharapkan buah yang takkan gugur untuk selama-lamanya. 225 patah perkataan

CONTOH 20-KARANGAN PERIBAHASA(TEKNIK CERITA)


SOALAN:Tuliskan sebuah cerita berdasarkan peribahasa Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya, Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa Amira. Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya. Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan. Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang mendapat sambutan. Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya. Malangnya keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya. Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia kemudiannya diterima bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran tersebut. Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diterimanya ke dalam bank. Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari nanti. Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut. Bak kata pepatah Melayu Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam, daripada seorang pemuda yang tidak berharta, kini mempunyai kemewahan yang dicapainya melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa. 300 patah perkataan

CONTOH PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN(8)


MAKANAN SEGERA MERUPAKAN PENGHALANG KE ARAH MELAHIRKAN MASYARAKAT YANG MENGAMALKAN GAYA HIDUP SIHAT. PADA PENDAPAT ANDA, APAKAH LANGKAH-LANGKAH YANG BOLEH DIAMBIL UNTUK MENGATASINYA DARIPADA BERTERUSAN. A1)Dalam meniti arus pemodenan masa ini, isu berkenaan amalan gaya hidup sihat kerapkali diperkatakan oleh masyarakat di negara kita .Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah amalan gaya hidup sihat ini hanya dijadikan mainan di bibir sahaja walhal realitinya mereka tidak langsung mempraktikkan amalan ini? A2)Adakah kehadiran makanan segera yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan ini menutup ruang kerajaan bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat? A3)Segala persoalan ini senantiasa berlegar-legar dalam benak fikiran kita tanpa disusuli sebarang jawapan. A4)Oleh itu, apakah cara-cara yang boleh dilakukan bagi menbendung isu ini? PERENGGAN LENGKAP Dalam meniti arus pemodenan masa ini, isu berkenaan amalan gaya hidup sihat kerapkali diperkatakan oleh masyarakat di negara kita .Perkara yang menimbulkan kemusykilan kepada kita adalah mengapakah amalan gaya hidup sihat ini hanya dijadikan mainan di bibir sahaja walhal realitinya mereka tidak langsung mempraktikkan amalan ini?Adakah kehadiran makanan segera yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan ini menutup ruang kerajaan bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat?Segala persoalan ini senantiasa berlegar-legar dalam benak fikiran kita tanpa disusuli sebarang jawapan. Oleh itu, apakah cara-cara yang boleh dilakukan bagi menbendung isu ini? Antara langkah untuk mengurangkan pengambilan makanan segera dalam kalangan masyarakat di Malaysia bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat ialah ibu bapa haruslah mendidik, memantau serta mengawal kadar pengambilan makanan segera anak-anak mereka. Hal ini berlaku demikian kerana dalam era yang meletakkan kerjaya sebagai keutamaan ini, ibu bapa perlu menitikberatkan soal pemakanan anak-anak mereka walaupun sibuk mengurus kerjaya. Lantaran itu, anakanak akan kurang mengambil makanan segera kesan daripada didikan ibu bapa mereka seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Tamsilnya, ibu bapa perlu memberitahu anak-anak mereka tentang kebaikan dan keburukan makanan segera bagi jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang. Oleh itu, didikan, pemantauan serta kawalan daripada ibu bapa merupakan langkah bijak bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu, alternatif lain bagi mengurangkan pengambilan makanan segera dalam kalangan masyarakat di Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat ialah pihak sekolah haruslah memastikan makanan-makanan yang dijual di

kantin sekolah mereka berzat dan bukannya makanan segera. Hal ini berlaku demikian kerana sebilangan pihak pengurusan kantin yang sengaja menjual makanan segera bagi menarik perhatian para pelajar sekaligus melariskan jualan mereka ini akan sentiasa beringat untuk memenuhi peraturan yang dikenakan ke atas mereka berkaitan penyediaan juadah yang di jual. Justeru, kesusahan mendapatkan sumber makanan segera akan menyebabkan para pelajar memperoleh makanan yang berkhasiat sekaligus mereka dapat mengamalkan gaya hidup sihat. Sebagai contoh, guru besar atau pengetua sesebuah sekolah perlulah mengetahui makanan-makanan yang di jual di kantin sekolah serta mendapatkan maklum balas para pelajar terhadap makanan-makanan tersebut. Oleh itu, sikap tanggungjawab pihak sekolah amatlah diharapkan bagi melahirkan generasi yang mengamalkan gaya hidup sihat. Bukan itu sahaja, kerajaan juga perlulah mengehadkan pengeluaran makanan segera dalam industri pembuatan makanan segera sebagai satu langkah bijak dalam menangani isu ini. Hal ini berlaku demikian kerana pengambilan makanan segera yang terlalu kerap boleh membunuh harapan kerajaan bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Impaknya, kawalan pengeluaran makanan segera akan menjadikan masyarakat lebih mengutamakan pengambilan makanan ruji dalam kehidupan harian mereka walaupun sibuk mengurus kerjaya. Tamsilnya, kerajaan perlulah menetapkankan kuota pengeluaran makanan segera bagi sesebuah kilang dalam industri pembuatan makanan segera ini. Oleh itu, sokongan kuat daripada kerajaan juga amat penting bagi mengurangkan pengambilan makanan segera dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat. Seterusnya, masyarakat juga perlu membudayakan amalan membaca label untuk memastikan makanan yang dipilih adalah berkhasiat. Oleh itu disarankan semua pengusaha makanan segera mempunyai maklumat komposisi makanan yang mudah dibaca oleh pengguna agar mereka boleh memilih makanan segera yang berkhasiat. Pengiklanan pula tidak seharusnya diharamkan tetapi dilakukan secara positif dan informatif seperti mengiklankan makanan segera atau snek yang berkhasiat sahaja dan makanan yang tidak berkhasiat dan memudaratkan perlu disekat. Pengiklanan yang memberi tumpuan kepada alat permainan yang disertakan bersama snek perlu diberhentikan. Semua pihak termasuk pengusaha makanan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan memastikan maklumat tentang makanan adalah tepat bagi kebaikan bersama. Konklusinya, jelaslah bahawa terdapat pelbagai kaedah bagi menangani isu ini daripada terus terbiar tanpa ada penyelesaiannya. Dengan demikian, individu itu sendiri perlulah pandai mengawal diri daripada godaan makanan segera yang banyak menerjah pasaran masa ini. Sekiranya semua pihak bergerak dengan lebih efisien, sudah pasti isu pengambilan makanan segera yang bersangkut paut dengan gaya hidup sihat masyarakat Malaysia masa ini akan dapat diatasi dengan mudah.Jelaslah, kerjasama serta komitmen semua pihak amat penting dalam menangani sesuatu masalah dan tidak boleh menuding jari kepada sebelah pihak sahaja. Bak kata pujangga bestari, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Karangan Rangsangan (Warga Tua) Karangan Lengkap


Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk membantu warga tua. Kebelakangan ini warga tua sering disisihkan oleh masyarakat. Hal ini demikian kerana mereka dianggap tidak lagi dapat memberikan apa-apa sumbangan kepada masyarakat. Sememangnya tanggapan ini salah kerana warga tua ini perlu dibantu bagi meneruskan sisa-sisa hidup mereka yang masih tinggal. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah pihak berwajib perlulah mendirikan rumah orang-orang tua bagi mereka yang memerlukannya. Sebagai contoh, ia boleh didirikan di setiap kawasan petempatan.Hal ini demikian kerana ia dapat menyediakan kediaman yang selesa bagi warga tua yang ketiadaan tempat tinggal. Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menyediakan skim perubatan istimewa bagi golongan tersebut. Tamsilannya, golongan tersebut boleh dikecualikan daripada sebarang bayaran sekiranya mendapatkan rawatan di hospital.Hal ini demikian kerana warga tua kebiasaannya sering mendapat penyakit dan kos rawatannya amat tinggi. Seterusnya, warga tua juga seharusnya diutamakan semasa berurusan di kaunter perkhidmatan. Sebagai contoh,mereka boleh dikecualikan daripada beratur dalam barisan dan disediakan kaunter khas untuk mereka berurusan. Hal ini demikian kerana mereka tidak lagi mempunyai kekuatan fizikal untuk berbuat demikian. Intihanya, warga tua perlulah dibantu bagi meringankan kesulitan yang mereka alami. Dengan ini, mereka akan berasakan diri mereka masih lagi dihargai oleh masyarakat di sekeliling mereka. CONTOH TUGASAN KARANGAN 1. Kadar kemalangan jalan raya di negara dianggap antara yang tertinggi di dunia. Setiap hari, ada sahaja berita tentang kemalangan jalan raya yang disiarkan menerusi media massa. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini. 2. Amalan membaca harus dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini sejak mereka kecil lagi, seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berilmu yang maju dan berdaya saing. Bincangkan usaha-usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

3. Kesihatan sangat penting untuk menjamin kehidupan yang ceria. Huraikan langah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan kita. 4. Penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram membimbangkan banyak pihak. Huraikan langkah-langkah untuk mengatasi gejala tersebut 5. Bencana alam turut berlaku di negara ini. Kejadian banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut. Huraikan tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan bagi menangani masalah tersebut.