Вы находитесь на странице: 1из 9

Menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan Wilma Binti Talib Pengenalan Alam bermaksud dunia, bumi atau segala

yang terdapat di langit dan di bumi manakala Sekitar bermaksud di tempat atau di sekeliling. Perkataan alam sekitar atau dalam bahasa Inggeris disebut invironment membawa maksud keadaan sekeliling atau lingkungan (Mohd Zuhdi Marsuku, 2002). Oleh itu, sekirannya berdasarkan kepada terjemahan literal, maka perkataan alam sekitar adalah menuju kepada apa sahaja yang melingkungi manusia. Bagaimanapun, secara khusus perkataan alam sekitar merujuk kepada fenomena fizikal sama ada biotik atau abiotik yang melingkungi suatu organisma. Dalam kehidupan seharian kita, alam sekitar memainkan peranan yang penting yang mana alam sekitar yang bersih dan tidak tercemar memberikaan suasana yang selesa kepada manusia. Sekiranya alam sekitar khususnya di negara kita Malaysia tidak dijaga dan dibiarkan musnah akibat pembangunan yang tidak terancang dan sikap penduduk yang tidak bertanggungjawab, maka pelbagai impak negatif sama ada dalam aspek politik, sosial dan ekonomi akan kita alami (Ismail Sahid, 1985 : 7). Oleh yang demikian, sebagai penduduk negara ini, pelbagai langkah perlu kita laksanakan untuk menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan.

Langkah-langkah membantu menyelamatkan alam sekitar Malaysia daripada kemusnahan.

1.0 Penguatkuasaan undang-undang dan akta pemuliharaan alam sekitar.

Peranan pihak kerajaan sangat penting dalam membantu menyelamatkan alam sekitar negara kita daripada kemusnahan. Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang dan menggubal semula akta yang sedia ada agar lebih efektif. Antara akta yang telah digubal termasuklah Akta Kualiti Alam Sekitar. Di bawah akta ini,pihak pencemar alam dikenakan hukuman berat. Garis Paduan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pula menimbangkan kerosakan terhadap alam sekitar oleh sesuatu projek (Penny, Malcolm, 1995: 73). Masyarakat yang mengetahui tentang kegiatan yang menjejaskan kualiti alam yang berlaku di sekeliling mereka hendaklah segera menghubungi Jabatan Alam Sekitar. Salah satu tujuan penguatkuasaan undang-undang adalah membanteras kegiatan pembalakan haram yang

dijalankan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata sehingga memusnahkan habitat flora dan fauna, dan menimbulkan masalah yang lain seperti hakisan tanah, banjir, pemanasan sejagat dan pencemaran persekitaran. Kakitangan-kakitangan jabatan atau kementerian yang berkomplot dalam aktiviti pembalakan haram juga hendaklah dijatuhkan hukuman berat.

Bahaya pencemaran akibat penggunaan kenderaan bermotor telah lama diberi perhatian serius oleh negara-negara maju. Suatu akta perlu diwujudkan untuk mengurangkan penghasilan Hidro Karbon, Karbon Monoksida dan oksida-oksida Nitrogen tertentu. Pengurangan ini dilakukan dengan cara mewajibkan penggunaan penukar bermangkin ( Catalytic Converters) dalam industri pembuatan kenderaan bermotor. Penukar bermangkin dua hala (Two -way Catalytic Converters) boleh mengurangkan hingga 98% unsur-unsur pencemaran dengan cara menukarkan Hidro Karbon dan Karbon Monoksida kepada Karbon
2

Dioksida dan Wap. Penukar bermangkin tiga hala (three- way Catalytic Converters) pula boleh mengoksidakan oksida-oksida Nitrogen tertentu, tanpa mengurangkan kecekapan enjin atau menambahkan penggunaan minyak kenderaan bermotor.

2.0 Menggunakan alternatif lain yang lebih mesra alam sebagai bahan bakar.

Mencari alternatif selain daripada minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dua bahan alternatif yang dicadangkan ialah gas asli (natural gas) dan Propana. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa bahanbahan yang mengandungi kandungan oktana yang tinggi tidak menghasilkan plumbum dan boleh mengurangkan sehingga 90% pengeluaran Karbon Monoksida dan Hidrokarbon . Kecekapan enjin juga meningkat daripada 6% kepada 15% apabila menggunakan bahanbahan ini sebagai bahan pembakar.

Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomass daripada tumbuhtumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya di negara kita, ahli sains telah pun menemui sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin (Utusan Kosmo, 4 Disember 2011). Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baru untuk dipastikan sama ada ia praktikal atau pun tidak, ia patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembanguna berterusan yang perihatin terhadap persekitaran.

3.0 Menggunakan tenaga solar dalam menjana tenaga elektrik.

Sistem solar menjadi teknologi bertepatan dengan Malaysia kerana negara ini mempunyai kelebihan dari segi penerimaan cahaya matahari yang banyak sepanjang tahun. Hal ini demikian kerana kedudukan Malaysia terletak di kawasan khatulistiwa yang mampu menjana tenaga suria sebagai sember tenaga alternative (Michael, Alan Andrew, 2003: 15). Malaysia mendapat sebanyak 10 jam tenaga suria setiap hari dan masa matahari tegak diatas kepala merupakan satu masa yang memancarkan tenaga suria secara maksimum. Sumber tenaga suria dianggap bersih dan tidak mencemarkan alam kerana tenaga ini

diperoleh secara semula jadi daripada sinar suria dan tenaga ini juga tidak terhad serta berterusan penggunaanya. Walaupun kos pemasangan untuk sistem solar agak tinggi namun ianya mampu menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan.

4.0 Kempen kesedaran penjagaan alam sekitar.

Dalam pada itu, program kitar semula yang di uar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam

sekitar.Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran. Kempen Masyarakat Penyayang sepatutnya diperluaskan bagi merangkumi hubungan manusia dengan alam sekitar agar masyarakat Malaysia lebih prihatin dan bertangungjawab terhadap persekitarannya. Melalui kempen-kempen kesedaran seperti ini akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pengguna dalam negara kita. Sebagai contoh, pengguna kenderaan terutamanya akan sedar dan menggunakan kenderaan mereka dengan bijak agar dapat memulihara kesejahteraan alam sekitar di samping mengurang dan menyelesaikan masalah berkaitan dengan sistem pengangkutan.
4

5.0 Perkongsian kenderaan

Kenderaan bermotor, sama ada buruk ataupun baru, hanya bertanggungjawab kepada separuh daripada persoalan dan alam sekitar. Separuh lagi tanggungjawab tersebut terletak dibahu kita sebagai pengguna. Sekiranya kita ingin mengurangkan kesan negatif penggunaan kenderaan bermotor terhadap alam sekitar, maka sikap perihatin terhadap cara kita menggunakan kenderaan adalah amat penting. Berkongsi kenderaan untuk ke pejabat atau tempat-tempat tertentu bukan sahaja menjimatkan tenaga dan wang, malahan adalah satu cara yang lebih bersih dan bijak dalam membantu alam sekitar daripada kemusnahan.. Selain itu, menyelesaikan seberapa banyak tugas dalam satu perjalanan juga boleh menjimatkan penggunaan minyak. Akhir sekali kita seharusnya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor bagi perjalanan jarak dekat. Penggunaan basikal, kenderaan awan ataupun berjalan kaki adalah lebih baik untuk alam sekitar.

6.0 Mengurangkan penggunaan peralatan yang membebaskan gas Klorofluorokarbon (CFC).

Sebagai penduduk Malaysia yang prihatin terhadap alam sekitar, kita patut mengurangkan penggunaan penyaman udara dalam kenderaan bermotor kecuali jika benarbenar diperlukan. Penggunaan alat penyaman udara boleh menghasilkan gas

Klorofluorokarbon (CFC) dan menambahkan penggunaan minyak hingga 12 % terutamanya sewaktu kesesakkan lalu lintas (Dewi Nasa Widiyarti,1986: 29). Penggunaan alat penyaman udara boleh digantikan dengan penggunaan ventilator udara dan membuka tingkap sewaktu memandu. Menggunakan kadbod penghalang cahaya di cermin hadapan dan belakang ketika meletakkan kenderaan bermotor ditengah panas juga boleh mengurangkan kepanasan dalam
5

kenderaan bermotor. Dengan ini kita dapat mengurangkan penggunaan alat penyaman udara sewaktu memandu kenderaan seterusnya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar sekali gus menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan.

7.0 Peranan pihak swasta menyelamatkan alam sekitar

Sektor swasta boleh menggunakan teknologi dalam usaha memelihara keindahan alam sekitar. Di Malaysia,peruntukan undang-undang adalah merangkumi hampir segala aspek tentang alam sekitar namun adalah menjadi satu trend bagi pihak berkuasa untuk menumpukan kawalan ke atas masalah-masalah alam sekitar yang telah serius dan mendapat perhatian dan meminggirkan masalah biasa. Namun pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan kerana untuk melakukan kawalan yang menyeluruh memerlukan kos yang tinggi. Pihak swasta perlu mengeluarkan sedikit wang dan tenaga untuk membantu pihak berkuasa menjalankan kawalan menyeluruh ke atas alam sekitar dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata. Pelaburan dalam usaha menjaga alam sekitar perlulah dilakukan di samping keinginan untuk mengaut keuntungan. Sektor swasta boleh berusaha mengitar semula barang buangan untuk menghasilkan barangan yang bermutu. Sebagai contoh, plastik boleh dihancurkan menjadi serat halus. Serat halus boleh digunakan untuk menghasilkan kain khemah ,baju hujan ,dan sebagainya. Di samping itu ,sektor swasta juga boleh menjaga alam sekitar dengan mengeluarkan barang-barang terbiodegradasikan atau barang mesra alam yang mudah reput. Dengan ini ,sampah sarap yang berlonggokan dapat dikurangkan.

8.0 Peranan pengguna Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan ,misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan sistem perparitan ,kerana ia akan menyebabkan saliran tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlaku banjir dan sebagainya.Untuk memastikan keindahan alam sekitar,setiap rumah juga digalakkan menanam pokok dan membangunkan taman bunga sendiri. Sumbangan benih pokok juga mungkin boleh disalurkan ke setiap rumah. Dengan cara ini, ia membantu membangunkan bumi serta dapat mengekalkan oksigen. Sayur-sayuran juga boleh ditanam untuk sara diri dan juga menjaga kehijauan alam.Suri rumah tangga yang membeli beleh juga digalakkan membawa bakul sendiri.Sikap ini akan mengurangkan penggunaan beg plastik, yang kebanyakannya akan di buang kelak. Beg plastik bukan bahan yang terbiodegradasikan yang boleh mencemari alam sekitar.

Kesimpulan Usaha penjagaan alam sekitar melibatkan semua pihak. Kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini perlulah memainkan peranan yang penting di dalam menjaga dan memulihara alam sekitar. Kalau bukan kita yang menjaganya siapa lagi. Sikap dan mentaliti dari dalam diri perlu disemai sejak bangku sekolah lagi. Oleh itu, semua masyarakat diharapkan lebih peka akan peranan dan tanggungjawab demi berdamai dengan alam sekitar untuk menyelamatkan alam sekitar daripada kemusnahan.

Bibliografi Adlan Jaafar. Utusan Kosmo. 4 Disember 2011. Dewi Nasa Widiyarti. (1986). Pencemaran udara. Penerbitan Kembang Maju, Kuala Lumpur. Gregory K. J. Walling D.E. (1988). Manusia dan proses persekitaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan pustaka. Ismail Sahid. (1985) Masalah Semasa Alam Sekitar Malaysia. Penerbit University Kebangsaan Malaysia. Michael. Alan Andrew. (2003). Ke arah penggunaan tenaga suria sebagai satu sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui. Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Penny. Malcolm. (1995). Pencemaran dan pemuliharaan. Petaling Jaya: Pustaka Delta Pelajaran. Zaini Ujang. (2009). Pembangunan negara dan pemuliharaan alam sekitar. Skudai, Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Вам также может понравиться