Вы находитесь на странице: 1из 4

BULAN RAMADHAN BULAN YANG BERKAT Bulan bagi Allah s.w.t. adalah bulan Rejab.

Bulan Syaaban pula adalah bulan bagi Rasulullah s.a.w. dan bulan khusus untuk ummatnya adalah bulan Ramadhan. Seringkali kita mendengar, bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia. Kemuliaannya tiada banding dengan bulan-bulan yang lain. Penuh barakah di dalamnya. Ia juga merupakan bulan rahmat dan juga digelar sebagai bulan Lailatul Qadar yang istimewa. Kerana di dalamnya juga manusia boleh beribadah sepanjang masa. Setiap ibadah yang dilakukan pula akan digandakan pahala berlipat kali ganda. Bermacam-macam ganjaran yang dijanjikan bagi sesiapa sahaja yang menghidupkan bulan Ramadhan. Oleh kerana itu, umat Islam berlumba-lumba untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Namun begitu, apakah yang menjadikannya sebagai bulan yang teristimewa dan bulan barakah?

PUASA Ibadah yang sinonim dengan bulan barakah ini sudah tentu berpuasa di siang hari. Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri manakala dari segi istilah pula ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari bersertakan niat. Puasa yang diwajibkan ke atas semua umat Islam adalah pada bulan yang barakah ini. Dalam setahun, hanya sekali sahaja. Tempohnya adalah selama 30 hari dalam sebulan. Berdasarkan firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud :

Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang2 sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa

Dengan berpuasa, kita dapat merehatkan dan menyucikan tubuh badan kita terutamanya anggota perut daripada menerima makanan yang tidak seimbang dan dapat menghindarkan diri daripada penyakit yang memudharatkan kita. Cuba

bayangkan keadaan perut kita jika kita berterusan makan tanpa henti. Sudah pasti bermacam-macam jenis penyakit yang kita hadapi seperti kencing manis dan sakit jantung. Kita bukan sahaja berpuasa iaitu menahan lapar dan dahaga semata-mata bahkan kita juga menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara maksiat dan keji. Setiap sesuatu yang ditaklifkan ke atas hambaNya adalah bersebab dan disebaliknya terselit beribu hikmah dan berjuta kebaikan. Hanya orang yang benar-benar ikhlas dan patuh melaksanakan ibadah ini akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa yang dilakukan. Kemanisan beribadah akan dapat dirasai dan dinikmati.

SOLAT TARAWIH Solat Tarawih merupakan salah satu solat yang istimewa kerana ianya tidak dilaksanakan pada bulan-bulan lain. Hanya dalam bulan Ramadhan sahaja umat Islam menunaikannya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan lapang hati selepas solat fardu Isyak. Tujuan utamanya ialah untuk memberi peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Solat Tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan atau mendirikan Ramadhan. Solat ini dikerjakan sejurus selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: Bahawa sesiapa yang mengerjakan Qiamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari)

Hukum melaksanakan solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam lelaki mahupun perempuan. Kebiasaannya, bilangan rakaat solat Tarawih yang dilakukan oleh umat Islam adalah sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat dan diselesaikan dengan solat sunat witir sebanyak 3 rakaat. Oleh kerana itu, keadaannya menjadi penyempurnaan bagi ibadat puasa yang wajib dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. sangat banyakdan tidak terkira jumlahnya. Mereka yang mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar. Boleh diumpamakan seperti orang yang berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya sangatlah rugi mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya dengan solat sunat Tarawih.

MALAM LAILATUL QADAR Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Malam Lailatul Qadar dikatakan malam yang lebih baik daripada 1000 bulan atau bersamaan dengan 83 tahun. Sesiapa yang beribadah pada malamnya akan diberikan ganjaran umpama beribadah selama 1000 bulan. Berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qadr, ayat 1 hingga 5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! Orang yang berjaga malam untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar adalah orang yang beruntung. Ramai orang berusaha untuk mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam serta beribadah pada sepuluh malam Ramadhan yang terakhir. Ibadah yang boleh dilakukan adalah seperti menunaikan solat-solat sunat, membaca al-

Quran, berzikir beriktikaf di masjid dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, hanya Allah s.w.t. jua yang mengetahui, pada malam yang manakah Lailatul Qadar itu diturunkan. Kebanyakan para ulama menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu diturunkan pada salah satu dari sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan. Setengah ulama pula menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu diturunkan pada salah satu malam yang ganjil dari sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan.

Barangsiapa yang berjaya menghidupkan dan sepuluh malam terakhir, maka diampunkan segala dosanya dan diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta mendapat rahmat Allah s.w.t.. Umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid, berzikir dan

seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat. Tawaran hebat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. hanya datang setahun. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan. Salam Ramadhan Kareem~

Вам также может понравиться