Вы находитесь на странице: 1из 11

Penerangan tentang aspek kemahiran bacaan, lisan, tulisan, Matematik, sosial

dan tingkahlaku.

Kemahiran Bacaan

Terdapat banyak perbezaan yang boleh dilihat dalam kedua-dua


peringkat bacaan iaitu bacaan secara mekanis dan bacaan intensif. Jika kita
lihat dari segi konsep, kedua-dua jenis bacaan ini mempunyai perbezaan di
mana pembacaan secara mekanis menumpukan kepada bacaan untuk
menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, intonasi dan irama
yang betul, manakala bacaaan secara intensif merujuk kepada bacaan bagi
memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa
sahaja bahan yang dibaca dengan tepat. Bacaan secara mekanis lebih kepada
bacaan yang berbentuk bacaan permulaan manakala bacaan intensif merujuk
kepada peringkat selepas asas pembacaan telah kukuh.

Perbezaan yang kedua yang wujud ialah dari segi tujuannya. Tujuan
utama bacaan mekanis adalah untuk membaca dengan cekap dan pantas
manakala bacaan intensif adalah untuk membolehkan kanak-kanak mentafsir
apa yang ditulis dengan mengkaji susunan ayat. Dalam hal ini kita lihat
kemahiran yang terlibat berbeza antara satu sama lain dan tujuan kemahiran
dibentuk juga mempunyai motif yang berlainan.

Perbezaan yang ketiga iaitu perbezaan dari segi peringkat kemahiran.


Bacaan mekanis menunjukkan bahawa peringkat bacaan baginya adalah di
peringkat yang rendah, peringkat asas atau peringkat permulaan manakala
peringkat intensif merujuk kepada peringkat yang lebih mendalam lagi kerana
lebih kepada menganalisis, mentafsir dan membuat rumusan ayat itu, sama ada
berkaitan dengan apa yang diperkatakan dalam ayat tersebut. Hal ini sudah
menunjukkan bahawa perbezaan yang wujud adalah disebabkan oleh tahap
kemahiran bacaan di mana kemahiran mekanis lebih kepada tahap pertama
manakala kemahiran intensif lebih kepada tahap yang kedua atau ketiga.

Keempat, perbezaan dari segi cara pembacaan. Pembacaan mentalis


merujuk kepada pembacaan terang atau jelas mengikut irama dan yang selaras
dengan penggunaan bahasa. Bagi pembacaan intensif pula pembacaan pula ia
dilakukan secara senyap dan ditambah dengan analisis dan membuat rumusan.

Kelima, perbezaan yang wujud pada peringkat membaca ialah dari segi
kefahaman ayat. Bagi pembacaan mentalis pembacaan hanya tertumpu kepada
cara menyebut sahaja akan tetapi bagi pembacaan intensif memberikan
kefahaman yang tinggi.

Keenam, perbezaan daripada bimbingan guru. Kemahiran bacaan


peringkat mentalis lebih memerlukan guru berbanding dengan peringkat intensif.
Hal ini demikian kerana pada peringkat mentalis, guru haruslah melibatkan diri
sepenuhnya dalam porses membaca kerana ia boleh membetulkan apa yang
salah dan membetulkan apa yang betul supaya murid-murid tidak tersalah
menyebut dan sebutan ini dibuat mengikut sebutan yang betul. Hal ini berbeza
dengan peringkat intensif di mana pada peringkat ini kanak-kanak lebih kepada
‘semi-bimbingan’ di mana bimbingan guru kurang diberikan kerana peringkat ini
merupakan peringkat permulaan membaca secara berdikari.

Kesimpulannya perbezaan yang ketara yang dapat kita lihat dari segi
konsep, tujuan, cara membaca, tahap kefahaman adalah disebabkan oleh
peringkat ataupun tahap yang diperlukan dan ianya merupakan satu latih tubi
mengikut kesesuaian umur kanak-kanak.

Kemahiran Matematik
Manusia mula belajar sejak dari peringkat bayi lagi. Bayi yang baru lahir
mewarisi berbagai-bagai bentuk gerakan pantulan. Contohnya apabila sesuatu
objek menyentuh bibirnya, bayi terus menghisap objek tersebut tanpa perlu
diajar kepadanya. Ini bererti wujud satu atur cara genetis semula jadi dalam diri
bayi untuk menyerapkan kewujudan sesuatu objek. Hari demi hari, maklumat
dalam ingatan bayi semakin bertambah selaras dengan peningkatan fizikalnya
daripada seorang bayi ke dunia kanak-kanak seterusnya menjadi dewasa.
Maklumat-maklumat yang diterima akan dipecah-pecahkan menjadi
pengetahuan dan memperkembangkan keupayaan kognitifnya.

Menurut Mohd Daud Hamzah (1996), kanak-kanak mempelajari


matematik melalui kegiatan seharian tertentu. Ada beberapa aktiviti yang
membantu kanak-kanak memperolehi konsep-konsep awal matematik iaitu
aktiviti padanan (matching), penjenisan (sorting), reguan (pairing), dan
susunan aturan (ordering). Padanan ialah kegiatan memilih sifat tertentu dan
membuat perbandingan. Penjenisan pula adalah kegiatan memilih sifat umum di
kalangan bentuk-bentuk. Reguan merupakan kegiatan menyatakan keselarian
objek-objek secara satu lawan satu. Manakala susunan aturan adalah kegiatan
meletakkan perkara sepanjang satu barisan. Walau bagaimanapun, terdapat
beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak
mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat
yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antaranya ialah Teori Piaget,
Bruner, Gagne dan Dienes.

Teori Piaget ini diperkenalkan oleh Jean Piaget, berasal daripada


Switzerland, merupakan ahli psikologi yang banyak menyumbang kepada
pemahaman bagaimana kanak-kanak belajar. Daripada kajian dan
pemerhatiannya, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak
berbeza dan berubah melalui empat peringkat iaitu peringkat deria motor (0–2
tahun), pra-operasi (2–7 tahun), operasi konkrit (7–11 tahun) dan operasi formal
(11 tahun ke dewasa). Walau bagaimanapun, usia ini tidak tetap kerana ia
mengikut kemampuan pelajar itu sendiri. Guru sekolah rendah harus memberi
tumpuan terhadap perkembangan murid-murid pada peringkat operasi konkrit,
iaitu ketika berumur 7 hingga 11 tahun. Sebagai seorang guru matematik sekolah
rendah, kita harus memberi tumpuan terhadap perkembangan kanak-kanak pada
peringkat operasi konkrit. Ketika usia sebegini kanak-kanak hanya boleh
memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Oleh itu, alat
bantuan mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik.
Paiget berpendapat bahawa asas pada semua pembelajaran ialah aktiviti kanak-
kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan kepentingan interaksi idea-idea antara
kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatannya penting untuk
perkembangan mental.

Jerome Bruner, seorang ahli psikologi yang terkenal telah banyak


menyumbang dalam penulisan teori pembelajaran, proses pengajaran dan
falsafah pendidikan. Bruner bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan
kognitif kanak-kanak adalah melalui peringkat-peringkat tertentu. Walau
bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan pembelajaran secara penemuan iaitu
mengolah apa yang diketahui pelajar itu kepada satu corak dalam keadaan baru
(lebih kepada prinsip konstruktivisme). Menurut kajian dan pemerhatian yang
telah dibuat oleh Bruner dan pembantunya, Kenney, pada tahun 1963 mereka
berjaya membina empat teorem pembelajaran matematik ( Mok Soon Sang,
1996) iaitu:

1) Teorem Pembinaan
Cara yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau
hukum matematik ialah membina perwakilan dan menjalankan aktiviti yang
konkrit.

2) Teorem Tatatanda
Tatatanda matematik yang diperkenalkan harus mengikut perkembangan kognitif
murid tersebut.

3) Teorem Kontras dan Variasi


Konsep yang diterangkan kepada murid harus berbeza dan pelbagai supaya
murid dapat membezakan konsep-konsep matematik tersebut.

4) Teorem Perhubungan
Setiap konsep, prinsip dan kemahiran matematik hendaklah dikaitkan dengan
konsep, prinsip dan kemahiran matematik yang lain.
Selain daripada kajian tersebut, Bruner percaya bahawa kanak-kanak lebih
dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu diselesaikan oleh
mereka dengan mudah seandainya tidak menguasai isi kandungan mata
pelajaran dan kemahiran tertentu.

Dalam Teori Gagne, Robert M. Gagne, seorang professor dan ahli


psikologi yang telah banyak membuat penyelidikan mengenai fasa dalam
rangkaian pembelajaran dan jenis pembelajaran matematik. Teori pembelajaran
Gagne berbeza dengan Teori Piaget dan Bruner. Menurut Gagne, terdapat
empat kategori yang harus dipelajari oleh kanak-kanak dalam matematik iaitu
fakta, kemahiran, konsep dan prinsip. Gagne mempunyai hierarki pembelajaran.
Antaranya ialah pembelajaran melalui isyarat, pembelajaran tindak balas
rangsangan, pembelajaran melalui rantaian, pembelajaran melalui pembezaan
dan sebagainya. Menurut Gagne, peringkat yang tertinggi dalam pembelajaran
ialah penyelesaian masalah. Pada peringkat ini, pelajar menggunakan konsep
dan prinsip-prinsip matematik yang telah dipelajari untuk menyelesaikan masalah
yang belum pernah dialami.

Selain itu, Professor Zolton P. Dienes, seorang ahli matematik, ahli


psikologi dan pendidik, pernah memberi banyak sumbangan dalam teori
pembelajaran. Beliau telah merancang satu sistem yang berkesan untuk
pengajaran matematik untuk menjadikan matematik lebih mudah dan berminat
untuk mempelajari. Mengikut Dienes konsep matematik boleh dipelajari melalui
enam peringkat iaitu permainan bebas, permainan berstruktur, mencari ciri-ciri,
perwakilan gambar, perwakilan simbol dan akhirnya formalisasi. Teori Dienes
mengariskan beberapa prinsip bagaimana kanak-kanak mempelajari matematik
iaitu:
1) Prinsip Konstruktiviti
Pelajar haruslah memahami konsep sebelum memahaminya dengan analisa
yang logik.

2) Prinsip Perubahan Perspeptual


Kanak-kanak didedahkan pelbagai keadaan supaya dapat memaksimakan
konsep Matematik.

3) Prinsip Dinamik
Kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui pendedahan dan eksperimen untuk
membentuk satu konsep.

Setelah melihat teori-teori yang digariskan oleh Piaget, Bruner, Gagne dan
Dienes kita dapat melihat ia ada kaitan dengan konsep konstruktivisme.
Konstruktisvisme merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan
pembelajaran yang menarik minat, memotivasikan serta memudahkan
pemahaman pelajar. Di samping itu, konstruktivisme menyarankan kanak-kanak
membina pengetahuan secara aktif berdasarkan pengetahuan sedia ada kanak-
kanak tersebut. Pembinaan pengetahuan tersebut boleh dihasilkan melalui
permainan dan eksperimentasi di samping pembelajaran koperatif. Apabila
kanak-kanak bekerjasama, mereka berkongsi dalam proses pembinaan idea.
Secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut dapat membina pengetahuan baru
hasil daripada pembelajaran secara kendiri.
Dalam pendekatan konstruktivisme ini, persekitaran pembelajaran
berpusatkan kanak-kanak menjadi asas yang penting dan guru bertindak
sebagai fasilitator. Kanak-kanak juga didorong untuk mengemukakan idea dan
teori bagi menyelesaikan masalah. Dalam pendidikan matematik, kanak-kanak
biasanya akan diajar dengan menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka
memperolehi pengalaman yang akan digunakan untuk dikaitkan dengan
pembelajaran matematik yang dipelajari akan datang.

Secara kesimpulannya, kanak-kanak belajar matematik melalui


pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara. Selain daripada itu, kanak-kanak
juga dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru. Ini
bermakna pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan
tindakan-tindakan berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang
diperlukan.

Kemahiran Lisan

Lisan adalah satu kemahiran bahasa yang terpenting dan yang paling
asas. Seseorang itu mudah berhubung dengan orang lain sekiranya dia
menguasai kemahiran ini.

Di dalam lisan terkandung dua aspek kemahiran, iaitu kemahiran


mendengar dan memahami apa yang didengar. Apabila seseorang itu
mendengar, dia seharusnya mengenali dan dapat membezakannya iaitu
mengenal pasti dan mendiskriminasikan bunyi bahasa yang berlainan.
Kemahiran mengenal dan mendiskriminasikan bunyi ini ditentukan oleh
keupayaan persepsi pendengarannya. Sekiranya keupayaan persepsi
pendengaran seseorang itu lemah, amat sukar baginya mendiskriminasikan
bunyi yang khususnya bunyi yang hampir-hampir sama seperti bunyi /p/-/b/, /t/-
/d/, /m/-/n/, /k/-/g/ dan sebagainya. Kekurangan ini menyukarkan dia untuk
membezakan antara bunyi perkataan /pagi/-/bagi/, /talam/-/dalam/, /karam/-
/garam/ dan lain-lain. Apabila seseorang itu gagal mendiskriminasikan antara
bunyi-bunyi seperti ini maka tidaklah dia dapat memahami pertuturan orang
dengan baik dan cepat dan ini bererti dia telah tidak berupaya menguasai salah
satu daripada aspek kemahiran lisan.

Selain daripada kemahiran mengenal pasti dan mendiskriminasikan bunyi,


seseorang itu perlu juga mempunyai kebolehan dalam mengenal pasti dan
mendiskriminasikan unsur-unsur linguistik yang dinamakan ”suprapenggal”, iaitu
tekanan, intonasi, nada, jeda dan panjang pendek. Unsur-unsur ini merupakan
aspek yang nyata dan penting di dalam lisan. Bagi sesetengah bahasa unsur-
unsur ini boleh membezakan makna tetapi bagi Bahasa Melayu hanya intonasi
dan jeda sahaja yang bersifat fonemik,iaitu boleh membezakan makna. Ujaran
sesbuah ayat mestilah dengan intonasi-intonasi tertentu kerana ia boleh
menentukan makna ayat dan jenis-jenis ayat berkenaan. Ayat ”Dia datang
dengan kereta”, misalnya boleh berfungsi sebagai ayat tanya sekiranya diberikan
intonasi meninggi di akhir ayat dan boleh juga berfungsi sebgai ayat penyata
kalau intonasinya mendatar sepanjang ayat. Mengenal pasti intonasi yang
berbeza-beza ini amat penting untuk mewujudkan suasana pertuturan atau lisan
yang licin dan lancar. Oleh sebab itulah, maka aspek ini harus ditekankan di
dalam pengajaran.

Selain daripada kemahiran mendengar dan memahami yang melibatkan


pula kemahiran mengenal dan mendiskriminasikan bunyi-bunyi dan intonasi,
satu lagi kemahiran yang amat penting di dalam lisan ialah kemahiran menyebut
dan membunyikan bunyi-bunyi bahasa yang betul dan mengujarkan kata-kata
atau ayat dengan intonasi yang betul. Kemaira ini tidak dapat dinafikan bahawa
ada kaitannya dengan kemahiran lisan. Apabila dia boleh mengenal dan
membezakan bunyi-bunyi itu dengan betul, maka dia boleh juga menyebut
bunyi-bunyi itu dengan tepat juga. Walaubagaimanapun, alat-alat pertuturannya
mestilah dapat berfungsi dengan baik. Dengan demikian guru mestilah dapat
menjadi contoh yang baik supaya mudah murid-murid mencapai penguasaan
mengenal pasti dan mendiskriminasi bunyi-bunyi seterusnya menyebut bunyi-
bunyi itu dengan betul. Latih tubi pendengaran dan penyebutan mestilah
ditekankan untuk tujuan ini demi mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran
lisan yang sebenarnya.

Kemahiran penulisan

Penulisan ialah penglahiran perasaan, fikiran dan idea ke dalam bentuk


grafik. Bentuk-bentuk grafik itu disusun hingga melambangkan bunyi bahasa
yang dapat dibaca dan difahami maksudnya. Di peringkat sekolah rendah gerak
kerja penulisan dilaksanakan berdasarkan perkembangan fizikal dan mental
kanak-kanak itu. Gerak kerja yang dititik beratkan dalam peringkat ini ialah
kemahiran-kemahiran awal yang merangkumi kemahiran pramenulis, penulisan
mekanis dan penulisan akal atau taakulan. Tiga peringkat kemahiran penulisan
ini sejajar dengan matlamat dan objektif pembelajaran Kurikulum Baru Sekolah
Rendah. Kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang penting yang perlu
dikuasai oleh murid-murid bukan sahaja dalam pembelajaran bhaasa tetapi juga
untuk mata-mata pelajaran yang lain.

Dalam kemahiran menulis, penekana harus diberikan kepada tulisan yang


jelas dengan menggunakan tanda-tanda bacaanserta ejaan yang betul.
Kemahiran yang terdapat pada peringkat pratulisan ialah seperti melakukan
latihan-latihan pergerakan tangan, menguasai gerak tangan yang bebas supaya
boleh menulis dengan selesa dan sempurna, melakukan latihan-latihan
pergerakan tangan serta dapat melakukan latihan-latihan koordinsi tangan dan
mata.

Berikutnya pula adalah aktiviti yabg terdapat dalam tulisan mekanis iaitu
seperti latihan menulis bentuk yang bermirip kepada huruf mengikut teknik
penulisan serta latihan menulis daripada gambar-gambar yang mirip kepada
huruf (cth: l, c, o, r, d). Seperti contoh bagi guru yang mahu mengajar menulis
huruf ”O” guru boleh menggunakan objek tayar yang juga berbentuk bulat
supaya dapat diikut dan dilukis murid. Seterusnya adalah latihan menekap huruf
mengikut acuan huruf yang dibuat daripada kad yang berlubang, latihan huruf
dalam suku kata, latihan menamakan gambar-gambar secara terkawal, latihan
menyalin ayat atau frasa dan juga latihan menyalin ayat daripada buku.

Kedudukan badan turut mempengaruhi tulisan si penulis. Kedudukan


yang betul semasa menulis dapat dilihat daripada aspek gaya duduk, cara
memegang alat tulis, letak buku dan lain-lain. Kedudukan bangku, meja, kerusi
dan sebagainya biarlah memberi keselesaan. Pada masa menulis, biarlah
kedua-dua tangan terletak di atas meja, dan tang kiri menyokong badan. Jarak
mata dengan buku pula adalah lebih kurang 15cm.perlu diingat bahawa pen dan
pensel tidaklah dipegang terlalu kuat. Ia mestilah dipegang dengan jari telunjuk,
ibu jari dan jari hantu dan akhirnya jangan duduk secara membongkok ketika
menulis.

Kemahiran sosial

Kemahiran sosial didefinisikan sebagai tingkah laku yang bersesuaian


untuk berinteraksi di rumah, sekolah dan bersama masyarakat. Sesetengah
pendidik merujuk kemahiran sosial sebagai keupayaan sosial individu yang
mampu mencapai kejayaan tanpa menggangu orang lain. Selain itu, kemahiran
sosial juga dapat dikatakan sebagai pengumpulan tingkah laku seseorang yang
membolehkannya berinteraksi dengan persekitaran. Terdapat beberapa aspek
dalam kemahiran sosial iaitu kemahiran berkomunikasi, kemahiran asertif,
kemahiran bergaul, kemahiran menyelesaikan masalah dan lain-lain lagi. Tujuan
pentaksiran kemahiran sosial adalah untuk mengenalpasti murid yang
mempunyai kelemahan dalam bersosial. Prosedur pentaksiran kemahiran sosial
yang biasa digunakan di luar negara ialah (a)pengukuran sosiometrik,
(b)penilaian oleh guru, (c)ujian ’role-play’ dan (d)pemerhatian langsung.
Penguasaan dalam kemahiran sosial adalah amat penting kerana ia membantu
murid dalam proses P&P dan kehidupan seharian mereka. Kemahiran sosial
membolehkan mereka berinteraksi dan menjaga hubungan antara masyarakat
dengan baik dan bersesuaian mengikut golongan. Kemahiran ini juga membantu
mereka dalam menyesuaikan diri dalam pelbagai aktiviti sosial yang melibatkan
orang lain. Mereka juga akan mengetahui cara yang sesuai untuk berkomunikasi
dengan orang lain mengikut intonasi suara, gerak geri, mimik muka dan emosi
yang betul. Sekiranya mereka gagal menguasai kemahiran ini, ia akan
menyebabkan timbulnya perasaan rendah diri, mengasingkan diri dari orang lain
dan menyebabkan kemurungan.

Kemahiran Tingkah Laku


Tingkah laku merupakan karektor asas benda hidup. Ia melibatkan
kelakuan, perangai dan perwatakan seseorang. Cara seseorang membawa
penampilan dirinya serta cara dia menjaga kelakuan di hadapan orang ramai
adalah merupakan keupayaan kemahiran tingkah laku, jika seseorang itu tidak
dapat mengawal tingkah lakunya dengan melakukan perkara yang tidak
sepatutnya, dia dianggap tidak mempunyai keupayaan tingkah laku. Faktor
utama yang mempengaruhi tingkah laku ialah persekitaran. Latar belakang
keluarga dan kawasan tempat tinggal akan membentuk personaliti dan kelakuan
seseorang itu. Namun, tingkah laku boleh berubah menerusi pembelajaran.
Semakin terpelajarnya seseorang itu, semakin matang perilakunya.

Вам также может понравиться