Вы находитесь на странице: 1из 4

ULASAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM

Kajian Malaysia, Vol 29, No 1, 2011, 1-28, Hubungan Etnik di Malaysia dari Perspektif Islam

Oleh Nazri Muslim, Nik Yusri Musa dan Ahmad Hidayat Buang

MUHAMMAD FAIZ BIN SELAMAT


KEM 110036 Hubungan Etnik (GXEX1411) En. Zamre Bin Abu Hassan

Dipetik daripada Kajian Malaysia, Vol 29, No. 1, 2011, 1-28 artikel bertajuk Hubungan Etnik di Malaysia Dari Perspektif Islam oleh Nazri Muslim, Nik Yusri Musa dan Ahmad Hidayat Buang yang masing-masing menuntut di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan, Kelantan dan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Artikel bertajuk di atas membincangkan pandangan Islam terhadap hubungan etnik yang ditinjau dari sudut al-Quran, hadis nabi dan tokoh-tokoh Islam. Turut dibincangkan ialah prinsip kesamarataan dan keadilan dalam Islam dengan melihat situasi yang berlaku di Malaysia khususnya yang melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Penulis turut menyertakan potonganpotongan ayat al-Quran dan hadis serta kata-kata tokoh ilmuwan dalam penulisan beliau. Secara ringkasnya, artikel ini terbahagi kepada dua bahagian yang tidak dikategorikan secara nyata oleh penulis. Bahagian pertama berkaitan pandangan Islam terhadap hubungan etnik, manakala bahagian kedua pula banyak menyebut prinsip kesamarataan dan keadilan dalam Islam yang dihubungkaitkan pula dengan senario masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Pandangan Islam terhadap hubungan etnik, penulis mengkategorikan kepada tiga iaitu dalil yang dikemukakan dalam al-Quran, hadis nabi dan pandangan tokoh-tokoh Islam. Dalam menghuraikan hubungan etnik menurut al-Quran, penulis memberi penekanan kepada beberapa nilai-nilai murni berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang disertakan bersama hujah yang jitu. Antaranya pengiktirafan Islam dalam kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik yang mencanggah berlakunya perbezaan atau penafian hak berdasarkan etnik yang kemudiannya disertakan pula petikan Surah al-Hujarat 49: 13. Selain daripada itu, ditekankan juga bahawa Islam memberi keadilan kepada semua mengikut undang-undang tanpa mengira etnik yang juga dikaitkan dengan penjelasan Allah SWT dalam Surah an-Nisaa 4: 58. Ringkasnya juga, perbezaan etnik bukan menjadi alasan untuk menafikan hak atau membezakan antara pelbagai etnik. Al-Quran memberi kelonggaran kepada orang Islam untuk menjalinkan dengan orang bukan Islam selagi mereka tidak memusuhi Islam. Di samping itu, penulisan beliau menekankan bahawa Islam juga menganjurkan agar menghormati peribadi orang lain dan melarang mencemuh, mengutuk atau memanggil dengan panggilan yang tidak disukai terhadap orang lain. Seterusnya penulis meneruskan perbincangan dengan mengetengahkan beberapa potong hadis berkaitan hubungan etnik. Antara persoalan yang diketengahkan ialah larangan Islam kepada pembelaan etnik sendiri dalam erti kata membantu dan membela etnik sendiri yang melakukan kesalahan. Fakta tersebut diperkuatkan lagi dengan potongan hadis dalam penulisan beliau. Ringkasnya, persoalan tersebut dikaitkan dengan asabiah yang sering disalahtafsirkan apabila sesuatu kaum berpakat dan bekerjasama di atas landasan bangsanya dianggap asabiah. Dalam penjelasannya, penulis ada juga ada menyertakan khutbah terakhir (Haji Wida) dalam menegaskan larangan bersifat asabiah ini. Dalam membincangkan hubungan etnik menurut tokoh-tokoh islam pula, penulis mengambil kira pandangan sarjana Islam dari negara Arab serta membuat kajian tentang perundangan Islam yang melibatkan orang Islam dan juga orang bukan Islam. Bagaimanapun pandangan sarjana Islam yang tinggal di negara Barat juga diambil kira berikutan mereka terdedah dengan suasana di mana umat Islam adalah golongan minoriti berbanding di negara Arab. Terdapat juga pandangan sarjana Islam di Malaysia yang lebih tahu akan situasi yang berlaku di Malaysia. Setelah selesai segala fakta dan huraian diutarakan, penulis menyimpulkan bahawa perbezaan antara etnik itu adalah sesuatu lumrah hidup yang bukan bertujuan untuk menimbulkan konflik tetapi menganjurkan agar manusia saling mengenali antara satu sama lain. Selain daripada itu, diimbau kembali sejarah perhubungan etnik yang berlaku pada zaman Islam iaitu pada zaman Rasulullah, Khalifah al-Rasyidin, Bani Umaiyah, Abbasiah sehinggalah sekarang. Perbincangan ilmiah ini tidak terhenti di situ sahaja, penulis meneruskan huraian berkaitan Prinsip Persamaan Islam dalam Konteks Hubungan Etnik di Malaysia dan Prinsip Keadilan Islam dalam 1

Konteks Hubungan Etnik dengan merangkumkan hujah berdasarkan al-Quran, kata-kata ilmuwan dan merungkaikan dengan merujuk apa yang berlaku di Malaysia. Secara amnya, penulisan Nazri Muslim, Nik Yusri Musa dan Ahmad Hidayat Buang ini jelas menghuraikan persoalan yang diutarakan. Setiap hujah dibantu dengan huraian-huraian yang dapat meyakinkan pembaca. Penggunaan isi al-Quran membuatkan segala hujan mudah diterima dan segala rujukan mudah difahami. Akan tetapi, penggunaan hadis dalam hujah-hujah beliau kadangkala kurang meyakinkan kerana hadis yang diutarakan tidak pasti kekuatannya kerana tidak dinyatakan bersama. Pembaca mungkin akan berasa sangsi akan kekuatan hujah hadis yang diutarakan jika pembaca adalah seorang pembaca tipikal yang kurang ilmu agamanya. Kata kunci yang digunakan dalam artikel ini turut dinyatakan supaya pembaca jelas akan hala tuju penulis dalam menerangkan isi yang ingin disampaikan. Dari segi bahasa yang digunakan pula, secara keseluruhannya adalah mudah difahami oleh setiap masyarakat, menjadikan artikel ini sesuai dijadikan rujukan oleh sesiapa sahaja. Sungguhpun begitu, terdapat penggunaan kata yang kurang tepat dalam pentafsiran ayat al-Quran, contohnya penggunaan ugama yang difahami sebagai agama dalam penterjemahan Surah al-Maaidah 5: 2. Terdapat juga penggunaan kata daripada bahasa Arab akan tetapi mudah difahami kerana telah diserapkan ke dalam Bahasa Melayu seperti taqwa, syiar, zimmah dan lain-lain. Akan tetapi terdapat juga penggunaan perkataan yang sukar difahami seperti dhimmi yang bermaksud golongan kafir yang tidak boleh disakiti dan diperangi. Penggunaan kata yang kompleks yang dicedok daripada Bahasa Inggeris seperti ekstremisme, cauvinisme, fanatisisme, etnosentrisme, prejudis, stereotaip dan rasisme pula sesetengahnya memerlukan pembaca untuk merujuk kepada sumber lain untuk difahami. Gaya penulisan dan penjelasan pula dimulakan dengan isi dan dibantu dengan hujah seterusnya contoh dalam konteks isi seterusnya dikaitkan dengan kehidupan berbilang etnik di Malaysia. Penulis tidak menunjukkan sebarang emosi dalam penulisan mereka apabila tiada sebarang konteks ayat yang melambangkan emosi marah atau sedih tetapi penulisan yang lebih menunjukkan penekanan kepada isi yang ingin diketengahkan. Bagi sesetengah huraian yang membantu isi pula, penulis bijak dengan membuat penyenaraian tanpa huraian kerana huraian tersebut bersifat menyokong pernyataan isi yang dihuraikan seperti penyenaraian hak-hak tertentu yang menunjukkan keadilan Islam. Terdapat juga jadual bagi membentangkan fakta bernombor. Dengan penggunaan jadual, fakta tersebut lebih jelas dan mudah difahami seperti Jadual 2: peratusan hak milik modal saham (pada nilai tara) syarikat berhad mengikut etnik. Setelah meneliti artikel ini, saya menyokong keseluruhan idea yang ingin disampaikan oleh para penulis. Artikel ini saya gambarkan sebagai relevan untuk menjadi sumber ilmiah untuk segenap bangsa dan etnik di Malaysia khususnya kerana penekanan yang diberikan bersifat neutral atau seperti yang penulis jelaskan sebagai fitrah. Islam mengajar umatnya dengan segala nilai murni yang sepatutnya tidak menjadi kesalahan untuk amalan orang-orang bukan Islam di Malaysia. Untuk mengukuhkan lagi pendapat saya lagi, penulis dengan minda terbuka mengetengahkan ajaran Islam yang menyeru agar penganutnya menjaga hak sesama bukan Islam selagi mana golongan tersebut tidak memerangi Islam. Akan tetapi, tindakan penulis yang menghuraikan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dalam negara saya anggap tidak menepati tajuk artikel yang mana penghuraian tersebut bersifat perkauman, dan bukannya berlandaskan Islam sebenar-benarnya. Memanglah secara lumrahnya bangsa Melayu sering dikaitkan dengan agama Islam. Akan tetapi masih ada golongan bumiputera dan Melayu yang bukan beragama Islam. Bahkan ada juga bangsabangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Islam tidak mengiktiraf perbezaan fizikal dan lahiriah sebagai halangan untuk mendapat perhatian dan perhitungan yang sama. Segala huraian mudah difahami kerana dihuraikan dengan jelas. Akan tetapi, saya berpendapat bahawa idea Prinsip Keadilan Islam dalam Konteks Hubungan Etnik di Malaysia yang ditulis dalam artikel ini sedikit sukar 2

difahami kerana pada dasarnya, idea yang ingin diketengahkan memerlukan pemikiran yang kritis dan bijak dalam membuat perbandingan. Akan tetapi, penulis bijak dalam penulisan mereka apabila menggunakan rujukan ilmuwan lain untuk memperjelas idea yang ingin disampaikan. Contohnya; Namun, menurut Huang-Thio (1964: 1415), Perkara 153 iaitu tentang kedudukan istimewa orang Melayu adalah satu peruntukan yang tidak memadai dan tidak begitu memberikan keuntungan kepada sebilangan besar penduduk Melayu. Sebaliknya kesan daripada peruntukan ini hanya menguntungkan orang Melayu yang sudah kaya. Ia juga mewujudkan kelas menengah orang Melayu yang kemudiannya menjadi golongan kapitalis. Hak itu hanya menguntungkan kelas menengah Melayu sahaja, tetapi tidak sampai kepada masyarakat Melayu khususnya yang tinggal di luar bandar yang merupakan jumlah terbesar penduduk Melayu Untuk memperjelas lagi isi, penulis meletakkan beberapa pendapat yang berkaitan yang seterusnya menjadikan idea yang ingin diketengahkan itu lebih jelas. Saya juga tertarik kepada pernyataan para penulis berikut; Walaupun orang Melayu diberi perlindungan dan hak yang istimewa dalam bidang ekonomi, keadaan orang Melayu tidak banyak berubah. Meskipun kini sudah ramai usahawan Melayu yang menjalankan pelbagai perniagaan besar malah sudah lahir jutawan Melayu, tetapi ia tidak menyeluruh. Kejayaan segelintir orang Melayu dalam perniagaan tidak boleh dianggap sebagai mewakili kejayaan orang Melayu keseluruhannya dalam bidang ekonomi. Perizaban permit dan tender perniagaan kepada orang Melayu tertentu hanya menjauhkan lagi jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin. Pernyataan tersebut sangat bertepatan dengan senario hari ini yang mana taraf kehidupan masyarakat Melayu kebanyakannya masih tidak berubah walaupun banyak keistimewaan telah diberikan kepada orang Melayu dan bumiputera. Saya beranggapan minda orang Melayu masih belum terbuka untuk keluar daripada kepompong yang dianggap sudah selesa, walhal masih boleh mendapat yang terbaik jika mereka berusaha untuk keluar daripada zon selesa untuk memperbaiki kehidupan setanding dengan masyarakat lain dan menjadikan bangsa-bangsa di Malaysia maju dan berdaya saing. Ringkasnya, artikel ini amatlah sesuai untuk dijadikan panduan dan rujukan masyarakat tanpa mengira perbezaan etnik kerana isinya yang mantap dan bersesuaian dengan semua lapisan masyarakat walaupun yang bukan beragama Islam. Islam menolak sebarang bentuk perbezaan dan ketidakadilan yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain atas dasar jantina, warna kulit, bahasa, keturunan, negara, kedudukan keluarga, orang bukan Islam dan harta. Walaupun secara kasarnya hampir semua isi-isi mengandungi ajaran Islam, tidak menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam untuk membacanya kerana perbincangan ini bersifat menyeluruh. Walaupun perbincangan menunjukkan orang Melayu mempunyai keistimewaan dalam perlembagaan Persekutuan yang menyentuh Perkara 153, seperti yang dinyatakan dalam Mesyuarat Majlis RajaRaja ke-215 iaitu Islam dan orang Melayu merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia (Anon. 2008). Di samping itu, Islam menganjurkan agar menerima perbezaan agama dan etnik sebagai satu yang lumrah dalam manusia seperti Surah al-Baqarah 49: 13, mengelakkan cemuhan budaya, etnik dan agama, bersopan santun dan berbudi. Justeru, sewajarnya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, perlu saling hormat-menghormati terhadap hak individu dan masyarakat. Saya percaya jika perhubungan berbilang etnik di Malaysia mengamalkan seperti apa yang tertulis di dalam artikel ini, perpaduan antara kaum di Malaysia dan mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia bukanlah mimpi dan angan-angan kosong. 3

Вам также может понравиться