Вы находитесь на странице: 1из 14

BAB 11 KEMAHIRAN PEMIKIRAN DALAM KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Menjelaskan takrifan pemikiran kritikal, kreatif dan saintifik. 2. Menghuraikan ciri-ciri setiap jenis pemikiran tersebut. 3. Membincangkan aplikasi pemikiran tersebut dalam bidang komunikasi.

11.1

PENGENALAN

Dalam bab-bab yang terdahulu anda telah didedahkan dengan proses komunikasi dan seterusnya bidang-bidang komunikasi secara khusus. Jika diamati dengan baik, sedar atau tidak bahawa komunikasi merupakan satu bidang pengajian yang agak luas. Misalnya dalam bab enam, komunikasi diperlihatkan sebagai satu bidang yang memerlukan kemahiran tertentu pada tahap-tahap yang tertentu. Cara kita berkomunikasi apabila berhadapan dengan seseorang adalah berbeza apabila berhadapan dengan sekumpulan kecil manusia atau dalam kumpulan yang besar. Kemahiran yang pelbagai juga diperlukan apabila kita mengurus aplikasi komunikasi yang berlainan. Sebagai seorang pelajar komunikasi yang bakal menterjemahkan ilmu melalui tugas serta peranan masing-masing, kita memerlukan kemahiran berfikir sebelum kita boleh bertindak. Dalam bab tujuh hingga sepuluh umpamanya, komunikasi diperlihatkan sebagai satu bidang yang dinamik dan memerlukan kreativiti dalam perancangan dan pelaksanaan. Justeru itu bab ini akan membincangkan tiga bentuk pemikiran yang berguna dalam memikirkan idea-idea untuk melaksanakan aktiviti komunikasi. Tiga jenis pemikiran yang dimaksudkan ialah Pemikiran Saintifik, Pemikiran Kreatif dan Pemikiran Kritis. Walau bagaimanapun, sebelum kita membincangkan ketiga-tiga jenis pemikiran tersebut, adalah lebih baik jika dibincangkan asas-asas pemikiran yang mendasari diri kita. Hal ini akan dikupas di bahagian berikutnya.
175

11.2

LATAR BELAKANG SISTEM PEMIKIRAN MANUSIA

Pemikiran adalah hasilan minda yang merupakan satu pemberian dan nikmat Allah kepada manusia. Pemikiranlah dikatakan antara aspek yang membeza manusia dengan kehidupan lain di dunia. Malah keupayaan pemikiran juga telah menjadikan kita sesama manusia berlainan. Menurut Mohd. Yusof (1994), pemikiran asas manusia boleh dikategorikan kepada emapat atau dikenali sebagai 4L iaitu luhur, lahir, logik dan lateral.
Rajah 11.1 Sistem Pemikiran LUHUR

LOGIK

LAHIR

LATERAL

Pemikiran luhur merupakan pemikiran yang tinggi tahapnya dan dikaitkan dengan minda yang membicarakan tentang ketuhanan. Luhur adalah pemikiran yang dianggap sebagai suci berdasarkan kepada aspek ketauhidan (hal-hal ketuhanan), keimanan dan ketakwaan. Pemikiran luhur jika dibina dengan teguh pastinya mempengaruhi pemikiranpemikiran lain ke arah kebaikan. Sementara itu pemikiran lahir pula merujuk kepada keupayaan berfikir manusia ketika di peringkat rahim hinggalah ke enam tahun. Pemikiran lahir jelas menunjukkan bahawa manusia telah dan boleh berfikir sejak awal lagi. Pemikiran di peringkat inilah dikatakan seterusnya mempengaruhi pemikiran seseorang apabila meningkat kanak-kanak, remaja dan dewasa. Di samping keupayaan manusia berfikir tentang ilmu-ilmu ketuhanan, Allah juga menganugerahkan manusia dengan dua lagi ilmu pemikiran untuk manusia hidup di dunia. Pemikiran logik merujuk kepada satu bentuk pemikiran yang membolehkan manusia mempelajari, memahami dan menjelaskan ilmu-ilmu sains dan matematik. Pemikiran logik ini merupakan pemikiran yang didasari di bahagian otak sebelah kiri manusia. Logik memerlukan manusia untuk menyatakan bukti, hujah, fakta, alasan dan kebenaran. Manakala bagi pemikiran lateral pula ia mampu menghasilkan minda yang bersifat kreatif, inovatif, imaginasi,
176

rekaan dan khayalan. Pemikiran ini yang didasari oleh otak sebelah kanan membolehkan manusia untuk melihat atau menilai sesuatu perkara secara subjektif berbanding dengan pemikiran logik bersifat objektif. Berdasarkan kupasan di atas maka ia menjelaskan kepada kita bagaimana sistem pemikiran kita berfungsi. Oleh itu, tiga bentuk pemikiran yang bakal kita bincangkan dengan lebih lanjut merupakan pemikiran yang dikategorikan dalam pemikiran logik dan lateral. Walau bagaimanapun, sebagai seorang insan, setiap pemikiran logik mahupun lateral perlu ditunjangi oleh pemikiran luhur. Kedua-dua pemikiran tersebut tidak bersifat sendirian tetapi bergantungan dengan pemikiran luhur. Apabila pemikiran luhur itu diabaikan atau lemah, maka inilah yang menyebabkan idea atau pemikiran kita menghasilkan keburukan dan bencana kepada masyarakat. Sebagai contoh, keupayaan pemikiran manusia mencipta media massa umpamanya adalah satu kehebatan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita. Tetapi apabila pemikiran lateral yang digunakan tidak lagi bertunjangkan pemikiran luhur, kita menjadi terlalu kreatif menghasilkan pelbagai filem yang melalaikan dan mencemarkan masyarakat. Orang politik dikurniakan pemikiran logik yang hebat oleh Tuhan namun apabila tidak bersandarkan pemikiran luhur maka cakapnya saja yang petah tetapi tindakannya kosong. Begitulah halnya dalam masyarakat kita hari ini, pelbagai idea dan produk yang menjejaskan masyarakat dihasilkan. Kesemua ini berlaku akibat kelogikan dan kelateralan pemikiran manusia sudah tidak lagi bertunjangkan kepada pemikiran luhur. Dalam erti kata lain tindakan kita adalah hasil pemikiran lateral. Sekiranya setiap pemikiran lateral dan tindakan kita tidak ditunjangi pemikiran luhur maka hasilnya adalah idea, produk atau tingkah laku yang bertentangan dengan ajaran agama. Jika anda berminat untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung sistem pemikiran 4L anda disaran merujuk Mohd. Yusof Hasan. (1994). Pemikiran saintifik (SP4L). Sintok: Sekolah Bahasa & Pemikiran Saintifik, UUM. 11.3 PEMIKIRAN SAINTIFIK

Masihkah anda ingat tentang hubungan komunikasi dengan sains sosial seawal perbincangan di bab satu? Apakah yang dikatakan sebagai sains sosial itu? Apabila kita menyebut tentang sains, ia merujuk kepada usaha memikir dan menganalisis sesuatu secara sistematik dan empirikal. Menurut Schafersman (1994), sains ialah satu kaedah menyelidik kejadian alam bagi tujuan memastikan sesuatu ilmu dan pemahaman. Maka pemikiran saintifik ialah satu proses berfikir tentang kejadian alam yang
177

mementingkan soal pengkaedahan menyelidik bukannya berasaskan kepercayaan. Dengan erti kata lain pemikiran saintifik adalah kaedah berfikir yang berusaha membuktikan kebenaran sesuatu kepercayaan. Dalam pemikiran ini apa yang ditegaskan ialah tentang apa yang berlaku atau realiti kejadian sesuatu perkara. Untuk itu terdapat tiga komponen mendasari pemikiran saintifik iaitu bukti empirikal, penghujahan logik dan sikap mencurigai (scepticism). Apabila kesemua prinsip tersebut diamalkan maka satu proses penghasilan rumusan yang sistematik dan rasional telah wujud. 11.3.1 Bukti Empirikal Bukti empirikal merujuk kepada bukti secara nyata. Pemikiran saintifik berkehendakkan sesuatu bukti yang boleh menepati keadaan seperti dilihat, didengar, disentuh, dirasa atau dihidu. Dengan kata lain hujahhujah dalam pemikiran saintifik merupakan hujah yang boleh dikesan oleh salah satu atau semua deria manusia. Bukti empirikal penting menurut pemikiran ini kerana ia dikatakan bukti yang boleh dipercayai memandangkan boleh dikesan oleh deria manusia. Selain itu, bukti empirikal juga dikatakan bukan sahaja boleh dikesan oleh individu yang mengkaji malah turut boleh dikesan oleh pihak lain juga. Dengan demikian pembuktian yang wujud adalah dianggap sebagai nyata dan bukan sekadar andaian memandangkan ia turut dialami oleh pihak ketiga. Sebagai contohnya kalau saya katakan cara saya berkomunikasi adalah berkesan maka buktinya bukan sahaja boleh dikesan oleh saya malah anda dan orang lain juga boleh mengenalpastinya. 11.3.2 Penghujahan Logik Rasionalisme atau penghujahan berasaskan logik merupakan satu komponen pemikiran saintifik yang merujuk kepada hujahan yang tepat dan betul. Hujah logik adalah hujah yang bukan dipengaruhi atau didasarkan kepada perasaan. Penghujahan logik adalah penjelasan mengenai sesuatu perkara menurut realiti kejadian. Kita seringkali memberi jawapan atau hujah terhadap sesuatu perkara namun selalunya dipengaruhi oleh perasaan. Adalah dikatakan bahawa memang sukar untuk manusia berhujah secara logik. Namun ia boleh dibina menerusi kaedah pengucapan, penulisan dan juga kemahiran matematik. Apabila kita berucap atau menulis tentang sesuatu perkara, kita akan cuba sedaya upaya untuk memberikan kefahaman kepada pembaca dan juga membuat mereka percaya dengan apa yang ingin disampaikan. Kebiasaannya hal ini dilakukan dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas atau berasaskan fakta-fakta yang nyata. Matematik juga boleh meningkatkan penghujahan logik seseorang kerana setiap jawapan yang diberikan
178

melalui prinsip-prinsip dan prosedur-prosedur tertentu. Jawapan hanya akan betul dan boleh diterima apabila proses mencari jawapan adalah betul. 11.3.3 Sikap Mencurigai (Skepticism) Keperluan untuk sentiasa mempersoal kepercayaan dan rumusan tentang sesuatu perkara juga merupakan elemen yang membentuk pemikiran saintifik. Sikap tersebutlah yang diertikan sebagai skeptisisme. Demi mendapatkan bukti dan huraian terbaik dan betul maka sesuatu perkara itu harus dipersoal dari masa ke masa. Dengan kata lain pemikiran saintifik memerlukan individu peka dan sentiasa bersikap ragu untuk menilai bukti, penjelasan dan sebab musabab secara berterusan. Seseorang tidak boleh mudah menerima sesuatu rumusan dengan mudah. Sebaliknya rumusan atau sesuatu jawapan itu mesti dinilai dan diselidiki kebolehpercayaannya. Dengan berbuat demikian maka seseorang membuka ruang bagi menerima kemungkinan-kemungkinan yang bakal wujud untuk mengukuhkan lagi jawapan atau sesuatu rumusan. Dalam bahasa akademiknya wujud skeptis bukanlah satu bentuk pemikiran yang sempit sebaliknya ia mengasuh membuka minda kita untuk meraih jawapan dan ilmu yang terbaik. Awan mendung menyebabkan hujan. Apakah kenyataan tersebut merupakan satu hujah logik? 11.4 PEMIKIRAN KREATIF Anda sering mendengar atau diseru untuk berfikiran kreatif. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pemikiran kreatif? Menurut Harris (1998) pemikiran kreatif merupakan pemikiran yang mempunyai keupayaan, sikap dan proses ke arah penambahbaikan. Pemikiran kreatif ialah kemampuan memikirkan sesuatu yang baru melalui pelaksanaan perubahan, gabungan atau aplikasi semula sesuatu idea. Individu kreatif juga dirujuk sebagai bersikap mampu menerima perubahan dan pembaharuan. Proses dalam pemikiran ini bersifat berterusan ke arah keadaan atau idea yang lebih baik secara berperingkat. Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang pemikiran ini, terdapat lima prinsip atau asas yang membentuknya. Kelima-lima prinsip tersebut ialah evolusi, sentisis, revolusi, aplikasi-semula dan perubahan aliran. Apabila anda meneruskan bacaan terhadap kelima-lima prinsip tersebut anda akan mendapati bahawa setiap satunya ada menghasilkan pembaharuan atau perubahan. Keadaan tersebutlah yang mewujudkan kreativiti.
179

Rajah 11.2 Lima Prinsip Pemikiran Kreatif

EVOLUSI APLIKASI SEMULA REVOLUSI Pemikiran Kreatif

SENTISIS

PERUBAHAN ALIRAN

11.4.1 Evolusi Menurut pemikiran kreatif, perubahan adalah secara peningkatan. Sesuatu itu akan berubah akibat apa yang dimiliki pada masa lalu. Perkara baru adalah peningkatan atau bertambah baik daripada situasi yang lama. Apabila perubahan ini berterusan (evolusi), akhirnya perubahan itu kelihatan satu yang besar atau hebat. Masihkah anda ingat bagaimana rupa telefon bimbit pada peringkat awal diperkenalkan iaitu sekitar awal tahun 1990-an? Saiznya agak besar, berat, hanya boleh berkomunikasi secara lisan sahaja dan pemaparannya adalah hitam-putih sahaja. Setelah lebih sedekad, kini rupanya lebih canggih, kecil dan menyediakan pelbagai fungsi. Inilah yang dimaksudkan dengan kreatif secara evolusi. 11.4.2 Sintesis Pemikiran kreatif adalah pemikiran yang senantiasa membicarakan tentang pembentukan kesatuan dalam kepelbagaian. Idea-idea yang difikirkan rasional dan perlu, digabungjalinkan membentuk satu idea besar yang satu. Satu-satu idea dalam pemikiran kreatif sebenarnya merupakan idea terbaik hasil penyatuan idea-idea lain yang bersesuaian. Kalau dahulu orang buta tidak berpeluang menggunakan internet, kini mereka boleh berbuat demikian kerana sudah ada internet yang bersuara dengan memberi penjelasan terhadap mana-mana bahagian yang diklikkan. Contoh tersebut menggambarkan tentang kreativiti secara sintesis. 11.4.3 Revolusi Dalam pemikiran kreatif, adakalanya perubahan atau pembaharuan secara total dapat menjana sesuatu yang baru. Prinsip revolusi menerangkan bahawa adakalanya perkara sedia ada ditukar terus dengan
180

yang baru. Dalam bidang teknologi komunikasi umpamanya, automasi pejabat seperti mesin taip tidak lagi digunakan memandangkan komputer bukan sahaja boleh mengambil alih fungsi mesin taip tetapi pelbagai peranan boleh dilaksanakan oleh komputer. Kalau dahulunya surat perlu ditaip dan dihantar kepada penerimanya, tetapi kini dengan penciptaan emel surat boleh sampai dengan lebih pantas dan tepat. E-mel telah dijadikan sebagai pengganti kepada surat biasa. 11.4.4 Aplikasi-Semula Satu lagi prinsip pemikiran kreatif ialah aplikasi-semula iaitu melihat dengan cara yang baru terhadap perkara sedia ada atau lama. Terdapat beberapa perkara sedia ada yang agak sukar digantikan atau diubah kerana ia masih sesuai. Namun pemikir kreatif akan memikirkan kesesuaian perkara tersebut untuk diaplikasikan terhadap aspek lain. Pemikiran kreatif tidak mengamal prejudis tetapi memikir mencari aplikasi baru untuk sesuatu perkara. Sebagi contoh telefon, dari dahulu kita tahu bahawa alat telekomunikasi tersebut berfungsi sebagai alat interaksi. Tetapi kini ia juga telah digunakan sebagai alat perniagaan seperti teleperbankan dan sebagainya. Dengan asas yang sama alat tersebut kini telah dipelbagaikan fungsinya pula. 11.4.5 Perubahan Aliran Kecelikan kreatif yang merujuk kepada perubahan aliran adalah merupakan satu kaedah menilai dan meninjau sesuatu dari sudut yang berbeza. Pencarian jalan penyelesaian merupakan matlamat dalam pemikiran ini. Sesuatu perkara harus difikirkan berasaskan kepada punca kejadiannya dan bukan andaian terhadap kejadian tersebut. Perubahan aliran mendidik individu untuk sentiasa mencari jalan penyelesaian menerusi fokus atau perspektif yang berbeza. SOALAN DALAM TEKS 1. Untuk menarik minat pelanggan khususnya kaum lelaki, syarikat C telah menonjolkan imej lelaki separuh bogel yang kelihatan begitu segar apabila menggunakan sabun syarikatnya. Apakah dalam konteks masyarakat kita iklan sebegini boleh dianggap sebagai kreatif? Semak jawapan anda di akhir bab ini.
181

11.5

PEMIKIRAN KRITIKAL

Seterusnya anda akan dibawa untuk memahami satu lagi bentuk pemikiran yang agak berbeza dengan prinsip dua pemikiran yang terdahulu. Pemikiran ini dikatakan antara kaedah pemikiran yang sudah bertapak sejak 2500 tahun dahulu. Socrates dikenal pasti sebagai golongan awal yang mempelopori pemikiran ini. Pemikiran ini secara reflektif bersifat mempersoal kebiasaan, kepercayaan dan penjelasan tentang sesuatu perkara. Hal ini disebabkan para pengasas pemikiran ini percaya bahawa sesuatu fenomena selalunya berbeza dengan apa yang kelihatan pada zahirnya. Sebagai tambahan, pemikiran ini tidak percaya terhadap perkara yang kelihatan disebabkan ia dianggap hanya bersifat permukaan tidak mendalam. Daripada penjelasan-penjelasan ringkas tadi, dapat kita simpulkan bahawa pemikiran kritikal bersifat memahami sesuatu perkara secara mendalam, meluas, sistematik dan komprehensif (Paul, Elder & Bertell, 1997).
Rajah 11.3 Enam Prinsip Pemikiran Kritikal KESIMPULAN HAKIKAT Pemikiran Kritikal PENJELASAN PENILAIAN

ANALISIS PENTAFSIRAN KAWALAN DIRI

Sebagai usaha mendapat penjelasan tentang pemikiran ini, terdapat beberapa ciri atau prinsip yang mampu menghuraikannya. Facione (1997) telah menggariskan enam prinsip utama dalam pemikiran kritikal seperti yang akan dijelaskan seterusnya.
Untuk mengetahui secara lanjut tentang pemikiran kritikal anda disarankan mengunjungi laman http://www.criticalthinking. org/aboutCT/briefHistory CT.shtml

182

11.5.1 Pentafsiran Pentafsiran ialah proses memahami dan menyampaikan makna yang pelbagai terhadap pengalaman, situasi, data, kepercayaan dan penilaian. Pentafsiran juga dapat dijelaskan sebagai pengkategorian, penjelasan kod yang signifikan dan penjelasan makna. Prinsip ini secara tidak langsung menjelaskan bahawa ke arah pemikiran kritikal ia memerlukan satu proses dan penilaian yang mempunyai asas. Ia tidak hanya bersifat di permukaan (surface) tetapi memahami sesuatu perkara dengan merujuk kepada aspek yang menyeluruh. Setiap satu perkara dijelaskan menerusi pelbagai sudut. Misalnya dalam menjelaskan kenapa kanak-kanak mudah terpengaruh dengan televisyen, bukan sahaja hujah dari sudut rancangan yang menarik diutarakan tetapi dijelaskan juga dari segi persekitaran fizikal, keluarga dan tahap psikologi. Inilah yang dimaksudkan dengan pentafsiran secara menyeluruh atau kritis. 11.5.2 Analisis Analisis merupakan satu usaha mengenal pasti hubungan kenyataan, persoalan, konsep dan huraian yang bertujuan melahirkan sesuatu kepercayaan, penilaian, sebab musabab mahupun pandangan. Dalam usaha memikirkan sesuatu perkara, pemikiran kritikal berkehendakkan kepada penilaian dilakukan terhadap idea dan penghujahan. Sesuatu idea dan hujah itu seringkali memerlukan ianya dibahas dan dipersoal sehingga ianya menjadi kukuh. Apabila sesuatu hujah itu tidak dapat dipersoalkan lagi maka secara tidak langsung ia telah menjadi satu hujah yang tidak dapat dipertikaikan sekurang-kurangnya pada masa tersebut. Proses ini akan menjadikan idea menerusi pemikiran kritikal ini mendalam dari segi penjelasannya. 11.5.3 Penilaian Prinsip ini merujuk kepada penilaian terhadap kenyataan atau elemenelemen yang mewakili sesuatu sumber itu. Penilaian harus dilakukan terhadap sumber yang memberikan idea atau hujah dengan merujuk kepada persepsi, pengalaman, kepercayaan dan situasi sumber itu. Sebagai contoh, jika sesebuah stesen media itu dimiliki oleh pihak A, kebiasaannya apa sahaja yang disiarkan akan mewakili atau menzahirkan unsur-unsur yang ada pada A. Dengan kata lain penilaian ini merujuk kepada proses mengenal pasti kebolehpercayaan terhadap sumber. 11.5.4 Kesimpulan Hakikat Seterusnya pemikiran kritikal menekankan kepada satu proses yang kukuh dalam menghasilkan rumusan. Sesuatu rumusan yang munasabah
183

terhasil melalui pengumpulan fakta yang lengkap, pembentukan andaianandaian, dapatan bukti dan akhirnya menggariskan dapatan. Bagaimana sesuatu idea itu sampai kepada kesimpulannya merupakan aspek penting dalam menghakiminya. 11.5.5 Penjelasan Prinsip berikutnya ialah keupayaan dan kekukuhan dalam membuat penjelasan. Penjelasan merujuk kepada keupayaan untuk menyatakan sesuatu idea berserta sebab musabab yang wajar. Penjelasan juga merujuk kepada keupayaan untuk membentuk suatu piawaian bagi menunjukkan bahawa sebab musabab itu ada kualiti. Dalam pemikiran kritikal, sesuatu idea perlu dilengkapi dengan hujah-hujah yang konkrit. Selain itu, yang dimaksudkan mempunyai piawai ialah sandaran-sandaran hujah itu adalah didasarkan kepada idea atau sarjana yang sudah diakui. Dengan berbuat demikian maka penjelasan itu menjadi kukuh. 11.5.6 Kawalan Diri Pemikiran kritikal bukan sahaja satu bentuk pemikiran yang berpusat kepada mempersoal apa yang dinyatakan oleh pihak lain, tetapi ia juga turut mempersoal pemikiran kita sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan kawalan diri. Terdapat dua bentuk aspek dalam kawalan diri ini iaitu pengujian-diri (self-examination) dan pembetulan-diri (self-correction). Bagi menjamin idea yang bakal seseorang itu hasilkan, maka perlu dipersoalkan diri sendiri agar idea dan hujah yang bakal dihasilkan tidak bias dan menjauhi kepentingan diri. Seterusnya seseorang itu juga perlu ada keupayaan untuk memperbetul idea dan hujahnya dari semasa ke semasa. Dengan berbuat demikian maka idea yang dikemukakan adalah yang terbaik. 11.6 HUBUNGAN KOMUNIKASI DENGAN PEMIKIRAN Kini anda berada semakin hampir dengan penghujung kursus ini. Masihkah anda ingat akan proses komunikasi? Jika tidak, sila rujuk kembali Bab 3 modul ini. Sekadar mengimbas sepintas lalu, komunikasi merupakan satu proses pengaliran mesej dari satu pihak kepada pihak lain dengan menggunakan saluran tertentu dengan tujuan tertentu. Kalau anda amati betul-betul, ringkasnya ada peringkat dalam menghasilkan satu-satu komunikasi. Peringkat yang pertama ialah penilaian yakni kita sebagai komunikator menilai keupayaan kita untuk berkomunikasi dengan orang lain dan juga kita menilai penerima dari segi keupayaannya menerima mesej kita. Peringkat yang kedua pula ialah perancangan. Ini bermaksud setelah kita mempunyai maklumat awal tentang kita dan juga penerima maka kita akan membuat perancangan bagaimana komunikasi
184

itu hendak dilaksanakan dengan cara terbaik. Seterusnya setelah persiapan dibuat maka proses pelaksanaan pula berlaku iaitu komunikator mengaplikasikan segala perancangannya untuk menyalurkan mesej tersebut. Berdasarkan penerangan di atas, setiap peringkat atau proses komunikasi itu memerlukan komunikator dan juga komuniken untuk melaksanakan proses pemikiran. Dikenal pasti bahawa setiap peringkat komunikasi mempunyai hubungan dengan bentuk-bentuk pemikiran tertentu. Fenomena ini dapat digambarkan menerusi Rajah 11.4 berikut:
Rajah 11.4 Hubungan Proses Komunikasi dengan Pemikiran

Komunikator/ Komuniken
Penilaian Perancangan

Komuniken/ Komunikator
Pelaksanaan

Saintifik Kritikal

Kritikal Kreatif

Kreatif

11.6.1 Hubungan Pemikiran dengan Penilaian Komunikasi Kebiasaannya apabila kita hendak melaksanakan sesuatu aktiviti komunikasi maka kita perlu menilai diri dan juga komuniken (penerima). Antara aspek yang perlu diteliti ialah latar belakang dari segi bahasa kefahaman, keupayaan fizikal, tahap pengetahuan dan sebagainya. Aspekaspek tersebut akan memberi kesan secara langsung terhadap akses dan kesampaian mesej. Pada tahap ini penyampai seharusnya mempunyai maklumat asas tentang penerima. Ini boleh dilaksanakan melalui penilaian-penilaian tertentu. Dalam bidang komunikasi khususnya dalam kursus-kursus yang bakal anda pelajari kelak, beberapa penilaian antaranya dikenali penilaian analisis khalayak, analisis mesej dan analisis media perlu anda lakukan. Dalam hal ini pemikiran saintifik dan pemikiran kritikal boleh diaplikasikan. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada bahagian 11.3 dan 11.5, pemikiran-pemikiran ini boleh diaplikasikan memandangkan ia dapat menghasilkan fakta atau maklumat yang sebenar tentang sesuatu perkara. Misalnya pemikiran saintifik, dapat menyediakan hasil maklumat yang empirikal atau yang objektif berhubung sesuatu perkara. Ini dapat memberikan satu gambaran tentang keadaan penerima atau sesuatu
185

komunikasi. Manakala pemikiran kritikal pula mampu menyediakan gambaran yang mendalam berhubung sesuatu aspek komunikasi mahupun penerima-penerima mesej. Dengan adanya maklumat yang empirikal, logik, sahih, mendalam dan terperinci, maka ia menjadi input yang cukup berguna kepada komunikator dan seterusnya dapat membantu perancangan komunikasi itu pula. Maklumat awal berhubung segala aspek sebelum sesuatu aktiviti komunikasi dijalankan adalah penting kepada proses perancangan komunikasi seterusnya. Input yang baik akan menjurus ke arah hasil komunikasi yang baik. 11.6.2 Hubungan Pemikiran dengan Perancangan Komunikasi Perancangan komunikasi merujuk kepada proses-proses yang terlibat dalam usaha membentuk strategi dan mesej yang akan digunakan. Kebiasaannya pada peringkat ini komunikator akan menggariskan matlamat, membentuk mesej dan memilih saluran yang terbaik. Perancangan juga melibatkan kegiatan mengenal pasti keupayaan diri atau organisasi dalam melaksanakan sesuatu kegiatan komunikasi. Selain memperoleh input menerusi peringkat penilaian, sebagai komunikator anda sewajarnya senantiasa menilai dan membandingkan bahan-bahan komunikasi yang dihasilkan dengan keupayaan penerimaan. Bahan-bahan yang dihasilkan dan pemilihan strategi perlu dipersoal akan keupayaannya. Ini memerlukan anda mempunyai pemikiran yang kritikal terhadap diri (komunikator) dan juga penerima (komuniken). Kemahiran ini dapat dicapai melalui pelaksanaan pemikiran kritikal. Ini kerana salah satu asas pemikiran kritikal ialah kawalan-diri yakni senantiasa mempersoal akan sesuatu agar ia dapat menghasilkan penambahbaikan dan bersifat sebenarnya. Di samping itu, sifat memikirkan kaedah dan strategi terbaik serta berbeza penting dalam menjamin proses penyaluran mesej adalah menarik dan boleh diterima. Dalam hal ini kreativiti adalah penting. Justeru itu pemikiran kreatif merupakan satu keperluan sebagai komunikator. Umpamanya kemalangan jalan raya merupakan satu fenomena yang berterusan. Sebagai langkah menangani masalah ini antara lain adalah memberi kesedaran kepada masyarakat. Oleh yang demikian bentuk mesej yang baru dan juga media yang baru adalah diperlukan. Jika kaedah, bentuk dan cara yang sama digunakan maka kemungkinan hasilnya tidak seberapa. Jadi kita memerlukan idea yang lebih inovasi, kreatif dan sesuai dengan cita rasa khalayak masa kini. Kesemua ini hanya akan dapat tercapai jika diaplikasikan pemikiran kreatif dalam perancangan komunikasi.

186

Begitu juga komunikasi dalam sesebuah organisasi. Mungkin hari ini satu cara untuk meningkatkan akses maklumat maka kepelbagaian media boleh digunakan. Maklumat yang berbentuk bercetak boleh difikirkan diterjemahkan dalam bentuk audio dan visual. Disalurkan pula menerusi media yang paling tinggi aksesnya terhadap penerima seperti melalui emel, internet mahupun sistem pesanan mesej ringkas atau sistem mesej multimedia. Dengan adanya perancangan yang kreatif dan kritis maka ia membantu pencapaian matlamat komunikasi. 11.6.3 Hubungan Pemikiran dengan Pelaksanaan Komunikasi Seterusnya anda akan didedahkan pula dengan aspek pelaksanaan aktiviti komunikasi dan hubung kaitnya dengan pemikiran. Pelaksanaan merupakan satu lagi aspek yang begitu penting. Malah ada yang berpandangan peringkat inilah yang utama dan memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah komunikasi. Apabila sesuatu perancangan komunikasi itu hendak dilaksanakan, komunikator harus memikir cara penyampaian yang paling berkesan. Adakalanya juga pelaksanaan itu harus dibuat sedikit pengubahsuaian agar ia dapat menyesuaikan dengan persekitaran penerimanya. Pelaksanaan juga memerlukan startegi pemikiran yang inovatif dan kreatif. Untuk itu pemikiran kreatif seringkali dikaitkan dengan aplikasi pemikiran dalam pelaksanaan sesuatu komunikasi. Sebagaimana dijelaskan di bahagian 11.3, pemikiran kreatif merujuk kepada pemikiran yang menjurus ke arah perubahan secara penambahbaikan. Pemikiran ini perlu memandangkan hakikat bahawa manusia sendiri berubah secara evolusi dan tanpa disedari. Sesuatu kaedah pelaksanaan yang berjaya pada masa lalu mungkin sudah tidak sesuai pada masa sekarang walaupun kepada kumpulan penerima yang sama. 11.7 RUMUSAN Pemikiran merupakan satu ilmu dan kemahiran yang bergerak seiring dengan ilmu-ilmu sains sosial yang lain. Pemikiranlah yang telah mencorakkan perubahan dan pembaharuan dalam sesuatu ilmu itu. Begitu juga dalam bidang komunikasi, kini para sarjana berpendapat bahawa perlunya kepelbagaian pemikiran dalam mencetus dan mengupas sesuatu aspek komunikasi. Kejayaan berbuat demikian memperlihatkan bahawa bidang ini terus releven (Anderson & Baym, 2004). Dalam konteks pengajian komunikasi, satu bidang yang cukup dinamik maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan tentang pemikiran. Menerusi bentuk-bentuk pemikiran yang telah kita bincangkan, dapat disimpulkan bahawa kesemua pemikiran itu mempunyai fungsi dan peranan tertentu bagi setiap peringkat proses komunikasi.
187

Pemikiran bukanlah satu bentuk atau ilmu baru kepada setiap kita. Aplikasi dan pelaksanaannya telah kita amalkan selalu. Hanya kita yang tidak sedar apakah bentuk dan kesesuaian pemikiran yang telah dilakukan. Walau bagaimanapun, perlu dipertegas bahawa setiap pemikiran itu akan berfungsi dengan baik dan menyumbang secara positif jika sekiranya ia ditunjangi oleh pemikiran luhur. Dengan erti kata lain, setiap pemikiran yang telah dikupas harus diaplikasikan seiring dengan pemikiran yang utama iaitu pemikiran luhur. SOALAN PENILAIAN KENDIRI 1. 2. Jelaskan DUA (2) perbezaan antara pemikiran saintifik dengan pemikiran kritikal. Bincangkan dengan ringkas bagaimana ketiga-tiga bentuk pemikiran yang telah dibincangkan mempengaruhi komunikasi interpersonal?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini. JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Secara ringkasnya iklan tersebut bukan merupakan iklan yang kreatif. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal bahagian 11.2 dan juga dalam rumusan di 11.7, setiap pemikiran itu harus seiring dengan pemikiran luhur.

188

Вам также может понравиться