Вы находитесь на странице: 1из 21

1

Tajuk 1


Huraikan Gambaran
Kebudayaan Melayu Dalam
Institusi Politik, Ekonomi, Sosial,
Bahasa Dan Kesusasteraan













2

Pendahuluan

Masyarakat Melayu merupakan salah sebuah masyarakat yang terbesar bilangannya di
rantau Nusantara ini. Hal ini dapat diperhatikan dengan lebih jelas lagi terutamanya di bumi
Malaysia. Kewujudan masyarakat Melayu telah bermula sejak sebelum terbinanya empayar
Kesultanan Melayu Melaka lagi kira-kira 500 tahun\ yang lalu. Ketika ini boleh dikatakan
bahawa masyarakat Melayu adalah antara masyarakat yang tinggi ketamadunannya
kerana dengan wujudnya empayar pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka,
Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di negeri Melaka telah menjalankan kegiatan
perdagangan dengan pedagang-pedagang dari luar negara terutamanya dari Arab, Parsi,
India, China dan lain-lain lagi.

Konsep dan Definisi Budaya

Pengertian budaya secara umum difahami sebagai keseluruhan cara hidup anggota-anggota
masyarakat, yang meliputi berbagai-bagai aspek kehidupan itu, seperti peralatan, teknologi,
pemikiran, nilai, world-view dan sebagainya. Itu juga boleh diteliti dari segi budaya material
dan budaya bukan material. Setiap masyarakat mempunyai budayanya dan budaya itu
dengan jelas menyatakan identiti bagi masyarakat itu. Budaya itu menyatakan secara
simbolik bagi sesuatu masyarakat itu, iaitu segala perlakuan dan penghasilan budaya itu
dapat difahami oleh masyarakat yang mendokong budaya itu.

Budaya juga dapat membezakan sesuatu masyarakat dengan masyarakat yang lain.
Budaya sesuatu masyarakat dapat menentukan keperibadian kebangsaan sesebuah negara.
Di Malaysia, budaya Melayu dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan, namun
unsur-unsur budaya kaum lain seperti Cina dan India turut diambil kira. Secara amnya
terdapat beberapa pendapat atau definisi mengenai budaya yang berbeza-beza mengikut
pengkaji. Akan tetapi maksud budaya yang dikemukakan oleh mereka membawa konotasi
yang sama atau serupa maknanya.

Kata budaya itu berasal daripada cantuman bahasa Sanskrit dan bahasa Melayu
iaitu;
Budhi (Sanskrit) : kecergasan fikiran dan akal. Ini bermaksud budaya itu adalah
kecergasan akal fikiran seseorang yang akan menentukan tahap pemikiran mereka
dalam menangani sesuatu permasalahan dan seterusnya mencari jalan penyelesaian
kepada permasalahan tersebut.

3

Daya (Melayu) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh Kata daya di sini memberi
maksud bahawa sesorang individu itu menggunakan segala kekuatan kuasa, tenaga
dan pengaruh yang semula jadi bagi membantu menjana pemikiran mereka. Hasil
gabungan kedua-dua kata atau perkataan ini menjelaskan maksud bahawa
budaya merupakan kebolehan seseorang individu menggunakan kekuatan,
tenaga dan akal fikiran bagi ke arah meningkatkan kecergasan akal fikiran bagi
menyelesaikan permasalahan dan seterusnya berupaya menyelesaikan
permasalahan tersebut. Penyelesaian tersebut pula boleh diterima semua ahli
masyarakat dan seterusnya menjadi amalan bersama. Amalan yang yang terima ini
seterusnya dijadikan budaya dalam kehidupan mereka.

Menurut Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal
budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu
cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan
organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai.

Mohd Taib Osman (1988) ada membuat tafsiran mengenai budaya. Menurut beliau,
budaya memperlihatkan satu himpunan kelengkapan intelektual dan kebendaan yang
mampu memenuhi kehendak biologidan kemasyarakatan serta dapat menyesuaikannya
dengan keadaan sekeliling. Melalui himpunan daya intelektual tersebut masyarakat
membentuk nilai yang dapat diterima bersama.

Manakala Selo Soemardjan dan Soelaiman Soemardi bersepakat bahawa budaya
merupakan alat penghasilan karya seni, rasa, dan penciptaan dalam sesebuah
masyarakat. Penghasilan karya atau kesenian tersebut dipersembahkan dalam pelbagai
bentuk yang akan menjadi asas kebudayaan masyarakat.

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai budaya adalah, budaya dari aspek
bahasa adalah cara hidup yang diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat pada masa kini.
Dari aspek istilah pula, budaya merujuk kepada satu cara hidup yang diamalkan oleh
kebanyakkan orang termasuk pemikiran, nilai kepercayaan, pandangan dan tabiat
sesorang dalam menghadapi sesuatu perkara atau situasi. Budaya juga boleh dikaitkan
dengan pengalaman interaksi sosial individu dengan masyarakat sekelilingnya. Budaya
merupakan warisan sosial manusia, cara pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang
boleh diwarisi. Budaya adalah hak masyarakat yang akan menentukan bentuk tingkah
laku mereka.

4

Ciri-ciri Budaya

Masyarakat mempunyai budayanya yang tersendiri. Budaya yang menjadi amalan
masyarakatnya melambangkan keperibadian, identiti, dan jati diri masyarakat tersebut.
Sikap, amalan, dan penerimaan masyarakat terhadap budayanya dapat menjelaskan budaya
masyakat tersebut. Antara ciri budaya masyarakat adalah seperti yang berikut:

i. Diwarisi
Budaya itu diwarisi dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Ini
bermakna bahawa budaya Melayu, Cina dan India yang diamalkan
hari ini adalah lanjutan daripada budaya terdahulu.
Peristiwa yang telah berlaku akan memberi kesan kepada hari ini.
Budaya itu juga diwarisi juga membawa maksud bersambung.
Teknologi yang dihasilkan hari ini adalah hasil teknologi awal manusia
masa lampau.
ii. Dipelajari
Budaya tidak lahir secara langsung tetapi perlu dipelajari
Bentuk dan jenis pembelajaran anggota masyarakat bergantung
kepada beberapa faktor iaitu:
Agen-agen sosialisasi seperti keluarga, jiran, sekolah, institusi
latihan dan sebagainya.
Nilai yang mendapat keutamaan dalam sesebuah masyarakat
itu.
Umur seseorang.
Tahap pendidikan
Situasi sesuatu peristiwa itu berlaku.
iii. Perkongsian
Budaya itu dikongsi oleh manusia iaitu setiap perlakuan itu diramal dan
didokong oleh sekumpulan manusia.
Nasi lemak dan roti canai menjadi budaya kerana masyarakat
menggemarinya. Bahasa Melayu adalah kebudayaan rakyat Malaysia
kerana dituturkan oleh mereka dalam kehidupan seharian..
Perlakuan yang tidak dikongsi oleh sekumpulan manusia tidak
termasuk dalam budaya seperti perlakuan mencuri walaupun ia wujud
dalam masyarakat. Tanpa perkongsian, ia hanya menjadi perlakuan
individu dan bukannya perlakuan masyarakat.
5

iv. Kesejagatan
Kesejagatan budaya ialah kebudayaan itu wujud dalam semua
kelompok manusia. Tidak ada masyarakat yang tidak memiliki
kebudayaan.
budaya yang sejagat itu berbeza antara masyarakat kerana faktor
pengaruh alam, pengaruh luar dan tahap penyesuaian anggota.
Clyde Kluckhohn mengesan tujuh unsur yang terdapat dalam semua
budaya iaitu:
peralatan dan kelengkapan hidup manusia.
mata pencarian hidup dan sistem ekonomi.
sistem sosial.
bahasa.
kesenian.
sistem pengetahuan.
agama dan kepercayaan.
v. Berubah
Budaya sentiasa berubah dan tidak ada budaya tidak mengalami
perubahan. Perubahan ini dikaji daripada perubahan bentuk, ciri dan
proses yang berlaku. Rumah beratap genting telah digantikan dengan
rumah beratap rumbia.
Perubahan budaya bukan kebendaan dilihat dengan jelas seperti
perubahan sistem ekonomi sara diri kepada ekonomi kapitalis. Namun,
perubahan budaya kebendaan lebih cepat berubah.
Perubahan ini disebabkan beberapa faktor, antaranya:
pertambahan bilangan anggota masyarakat.
pertambahan keperluan dan keinginan manusia.
penemuan dan penciptaan teknologi baru.
pertembungan budaya.
konflik yang berlaku.
perubahan alam sekitar.
vi. Pandangan Semesta
Pandangan semesta ialah bagaimana manusia memberikan tafsiran
terhadap keadaan alam sekeliling ke dalam kehidupan seharian.
Pandangan semesta ini timbul kerana manusia mempunyai pertalian
yang rapat dengan alam sekitarnya.
6

Pertalian yang erat ini pula diterjemahkan dalam kehidupan seharian
seperti simpulan bahasa (seperti aur dengan tebing), ukuran (sehasta,
sepelaung), tempoh masa (setanak nasi) dan sebagainya.


Gambaran Kebudayaan Melayu dalam Institusi Politik, Ekonomi, Sosial, Bahasa serta
Kesusasteraan


1.0 Politik Masyarakat Melayu

Politik ialah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun
perkataan ini biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga
boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain. Kebanyakan proses politik
membentuk hierarki dominan (dominance hierarchies). Politik manusia awal berbentuk
kumpulan tersusun seperti keluarga, kerabat (clan), dan suku kaum ( tribes ) dan
berkembang menjadi kerajaan.

Budaya politik pula dikaitkan dengan kewujudan rantaian sikap, tingkah laku,
kepercayaan dan emosi yang mencorakkan aktiviti politik dalam setiap anggota sesuatu
kelompok. Pada dasarnya, budaya politik mengandungi satu kepercayaan yang boleh
menggambarkan dan nilai yang boleh menjelaskan situasi tindakan politik. Menurut Ahmad
Nizamuddin (2002), budaya politik merangkumi perlakuan, tingkah laku, penglibatan,
persepsi, kepercayaan, jangkaan dan harapan anggota masyarakat di dalam lingkungan
politik masyarakatnya. Perkembangan budaya politik dalam konteks masyarakat majmuk di
Malaysia yang menunjukkan betapa masyarakat telah berubah dari sifat feudal kepada era
penyesuaian kepada demokrasi moden dan kemudiannya melahirkan budaya neo-feudal
dan menuju kearah yang lebih sivil.

1.1 Pemerintahan Beraja

Pemerintahan beraja merupakan sistem politik Melayu yang bermula daripada zaman
Kerajaan Melaka. Pemerintahan beraja bermula daripada pengaruh Kerajaan Sriwijijaya,
iaitu Sistem Beraja Mutlak serta Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem Pembesar Empat
Lipatan pula terdiri daripada Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung, dan
Laksamana. Sistem ini kekal turun- temurun hingga kini. Hal ini demikian dibuktikan dengan
kenyataan A.Aziz Deraman yang berbunyi:
7

Sistem pemerintahan beraja alam Melayu juga unik. Sistem pemerintahan beraja ini
berasakan prinsip kedaulatan yang menjadi warisan budaya yang secara positif menjadi
simbol maruah negara.

Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah telah memberi gambaran serta menjelaskan
sistem politik dan sosio-ekonomi masyarakat Melayu sebelum kedatangan kolonial ke Tanah
Melayu. Ketika itu, masyarakat Melayu terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang
memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan yang memerintah terdiri daripada
golongan istana dan bangsawan. Manakala golongan yang diperintah terdiri daripada rakyat
jelata.

Golongan yang memerintah ini dianggap sebagai manusia yang tinggi status dan
martabatnya. Ketika masyarakat Melayu masih beragama Hindu-Buddha, golongan
bangsawan dianggap sebagai jelmaan dewa atau keturunan dewa. Sesiapa sahaja yang
terpilih menjadi pemimpin utama dalam sesuatu kelompok masyarakat akan dianggap
sebagai manusia yang suci, mulia dan bebas dari dosa (Shaharuddin 1988). Oleh yang
demikian, orang Melayu percaya bahawa pemimpin mereka mempunyai pelbagai sifat yang
sangat istimewa serta kuasa dalam bentuk daulat yang tidak boleh ditentang oleh sesiapa.
Selepas kedatangan Islam, tanggapan mereka terhadap golongan pemerintah ini masih tidak
berubah. Raja yang awalnya dianggap sebagai jelmaan dewa dikaitkan pula bahawa raja
Melayu mempunyai pertalian daripada keterunan Iskandar Zulkarnaian.

Raja diterima sebagai ketua agama Islam di dalam masyarakatnya serta di panggil
dengan gelaran Sultan. Gelaran Sultan telah memperkukuhkan konsep daulat iaitu sesiapa
yang menderhaka kepada Sultan adalah suatu kesalahan yang besar. Ini kerana perbuatan
itu akan mendatangkan tulah kepada setiap penderhaka, iaitu sesuatu bentuk pembalasan
daripada kuasa ghaib akibat kemungkaran raja yang diderhakainya (Haron Daud 1993).
Oleh itu budaya politik Melayu tradisional adalah bersandarkan kepada agrarian, patron-
client, pasif, non-political, setia, sensitif dengan darjat dan daulat pemimpin (raja/Sultan) dan
struktur politiknya submissive (kepatuhan kepada pemimpin).

Di dalam masyarakat Melayu dahulu juga, pemimpin politik biasanya terdiri daripada
mereka yang berketurunan bangsawan dan bukannya daripada orang bawahan atau rakyat
biasa. Namun terdapat juga di antara pemimpin politik dilantik dan dipilih berdasarkan
kepada jasa dan pengorbanan kepada kerajaan dan juga mungkin melalui perkahwinan
(Mahadzir 1989). Hang Tuah lima bersaudara contohnya adalah di kalangan rakyat biasa
yang dilantik menjadi pembesar di atas jasa dan pengorbanan menyelamatkan Bendahara
8

Melaka dari serangan orang mengamuk. Watak Hang Tuah adalah aplikasi atau cermin
budaya politik Melayu yang berasaskan kepada konsep kesetiaan dan ketaatan.

1.2 Sistem Demokrasi

Sebelum kedatangan kolonial, bentuk politik di Tanah Melayu adalah bersifat
tradisionalisme dan bercirikan feudal. Orang Melayu beranggapan bahawa Sultan
merupakan pemimpin mereka yang unggul. Mereka percaya bahawa Sultan berusaha untuk
menegakkan keadilan dengan bersandarkan kedudukan baginda yang dianggap sebagai
wakil Allah yang diharapkan untuk menjaga kebajikan, kehormatan dan keselamatan
rakyatnya

Namun, kedatangan kolonial telah mengubah sistem politik Melayu kini pula kepada
demokrasi dan telah mewujudkan beberapa ideologi politik yang mula menghakis sistem
beraja di Tanah Melayu. Dengan munculnya beberapa ideologi ini maka satu anjakan baru
dalam sistem dan budaya politik Melayu mula berkembang. Ideologi-ideologi ini meresapi
jiwa orang Melayu ketika itu lebih-lebih lagi ketika usaha-usaha untuk mendapatkan
kemerdekaan daripada British. Aliran ideologi ini telah menukar wajah budaya politik Melayu,
sehingga ada di kalangan mereka boleh melanggar konsep daulat seperti yang diamalkan
sejak zaman Melayu tradisional. Pergerakan atau peralihan budaya politik Melayu pada
zaman kolonial ini bermula dengan kebangkitan nasionalisme yang timbul sebagai satu
bentuk tindak balas untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Inggeris di
Tanah Melayu sehingga tertubuhnya UMNO pada11 Mei 1946 yang telah membawa evolusi
baru dalam budaya politik Melayu.

Nasionalisme dalam perjuangan UMNO menjadi titik tolak perubahan sistem politik
Melayu. Ini kerana UMNO yang menjadi tulang belakang dalam membawa kemerdekaan
Tanah Melayu telah mengubah sistem politik di Tanah Melayu ketika itu. Apabila Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957 Perlembagaan Tanah
Melayu 1957 diwujudkan. Dalam perlembagaan tersebut, Majlis Raja-Raja diwujudkan dan
cara melantik Ketua Negara yang dikenali sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang dipilih
setiap 5 tahun sekali dari kalangan 9 raja-raja Melayu. Ini menunjukkan bahawa budaya
politik Melayu masih mengekalkan sistem beraja tetapi ia disesuaikan dengan konsep Raja
Berpelembagaan. Dari segi budaya, raja masih diletakkan diposisi tinggi dalam masyarakat
Melayu sebagai Ketua Negara Persekutuan. Peranan dan fungsinya yang tercatat dalam
perlembagaan sebagai salah satu usaha untuk mempertahankan budaya politik Melayu.
9

Walaupun berlaku perubahan besar dalam sistem politik tetapi dalam konteks budaya politik
Melayu kedudukan dan fungsi raja masih lagi kekal.
Demokrasi berparlimen yang menjadi sistem politik Melayu kini ialah pentadbiran
kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat dengan peranan Raja atau Yang
Dipertuan Agong untuk meluluskan undang-undang yang dibuat di Dewan Rakyat dan
Dewan Negara. Hal ini demikian menjelaskan konsep pemerintahan yang berbentuk
musyawarah, iaitu ketetapan bersama dalam menentukan undang-undang yang perlu
dilaksanakan. A.Aziz Deraman membuat kenyataan yang berbunyi: Sistem demokrasi
berparlimen adalah rupa bentuk budaya politik zaman ini, manakala raja berperlembagaan
yang unik adalah warisan sejarah budaya yang diamalkan sejak zaman-berzaman. Institusi
yang di Pertuan Agong kekal kesinambungannya daripada tradisi beraja negara. Segala adat
istiadat dan upacara yang berhubung dengannya bererti pemupukan budaya yang
berterusan. .



2.0 Ekonomi Masyarakat Melayu


Ekonomi merupakan satu cabang sains sosial yang mengkaji pembahagian sumber yang
terhad untuk memenuhi kehendak manusia. Hal ini termasuklah kajian tentang pengeluaran
dan penggunaan barang dan perkhidmatan.

2.1 Ekonomi berasaskan Hasil Perdagangan Antarabangsa

Melayu telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar melalui Kerajaan Melaka pada
Abad ke-15 kesan daripada perdagangan yang berkembang pesat. Melaka telah muncul
sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain
seperti Siam, Srivijaya, dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan
kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya
dipegang oleh Srivijaya.

Kejayaan Melaka bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan,
menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga
bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Hal ini
demikian dibuktikan dengan kenyataan A.Aziz Deraman dalam bukunya pada halaman 9
dan 16 yang berbunyi: Kerajaan Melayu membangun dengan pesat dalam bidang
10

pelabuhan semasa sistem kerajaan yang mengagumkan sewaktu Kegemilangan Melayu
Melaka pada abad ke-15. .

2.2 Sistem Sara Hidup Berasaskan Pertanian

Sistem ekonomi Melayu pada abad ke-15 adalah berasaskan hasil pertanian. Hal ini berbeza
daripada sistem ekonomi orang Melayu kini yang tinggal di kota yang kebanyakannya
bekerja dalam sektor perindustrian, perdagangan, pengangkutan, dan lain-lain. Buktinya
dapat dilihat pada halaman ke-9 dan ke-16 yang membuktikan bahawa sistem ekonomi
Melayu pada abad ke-15 adalah daripada hasil pertanian.Melayu pada zaman dahulu
berekonomikan sistem sara hidup yang mengusahakan ladang untuk kegunaan dan
keperluan diri sendiri.


3.0 Sosial Masyarakat Melayu


Sosial adalah perihal tentang kemasyarakatan. Secara umumnya sosial meliputi aspek
persahabatan, pergaulan atau ajaran yang bertujuan untuk membangunkan masyarakat
secara damai. Ruang lingkup sosial masyarakat Melayu sangat besar. Oleh sebab itu aspek
yang dibincangkan dalam bidang sosial masyarakat Melayu meliputi nilai murni, kesenian,
undang-undang, adat resam dan bahasa.

3. 1 Nilai-nilai murni

Masyarakat Melayu umumnya mempunyai banyak nilai yang menjadikan bangsa Melayu
ini penuh dengan tatasusila dan terkenal dengan sopan santunnya. Nilai merupakan salah
satu aspek yang sentiasa ditekankan oleh ahli masyarakat. Melalui nilai, kita akan belajar
untuk mencontohi sesuatu amalan yang baik dan positif.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 muka surat: 1081, nilai adalah taksiran harga,
harga sesuatu yang dibandingkan dengan harga yang lain, kadar nisbah, sifat ketinggian
dan darjat, kualiti, mutu dan taraf. Ini bermakna, nilai adalah ukuran kepada sesuatu
seperti sifat keperibadian dan sebagainya yang ada pada individu.

Kebudayaan Melayu menerima nilai-nilai yang dibawa Islam seperti kebebasan,
kebenaran, keadilan, kejujuran, kesetiaan dan cinta kepada negara. Norma hidup positif
11

yang turut diamalkan juga adalah bergotong-royong, muafakat dan kerjasama. Nilai-nilai
yang diamalkan ini merupakan panduan pembentukan imej masyarakat.

Sifat orang Melayu sangat terpuji lebih-lebih lagi setelah penyebaran Islam di Melaka.
Semangat masyarakat Melayu yang cinta akan negara diluahkan A.Aziz Deraman dalam
kenyataan yang berbunyi: Sikap Melayu cintakan negara. Kata pepatah Melayu Hujan
emas di negeri orang, hujan keris lembing di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri .

Menurut Mohd Yusof Hasan dalam bukunya Dunia Melayu (30:1991), nilai ialah
asas pertimbangan bagi seseorang atau sesuatu kelompok manusia untuk menentukan
sama ada sesuatu perkara atau bendaitu baik, benar, bermanfaat, indah dan diingini
dan cuba diperoleh dan dibina, atau sebaliknya, buruk, palsu, berbahaya, dibenci dan
berusaha untuk dijauhi dan dihapuskan. Nilai dapat dibahagikan kepada empat iaitu
nilai estetik, nilai moral, nilai doktrin dan nilai budaya.

Nilai : Berbudi.
Nilai pertama yang dapat dilihat dalam masyarakat Melayu ialah berbudi.
Masyarakat Melayu dibiasakan dengan amalan berbudi. Semangat berbudi ini
sememangnya dapat mewujudkan satu rasa kebersamaan dan saling bergantungan
antara satu sama lain. Sememangnya masayarakat Melayu terutamanya telah
dibiasakan dengan nilai-nilai budi.
Nilai : Kasih Sayang.
Dalam masyarakat melayu, nilai kasih sayang amat penting dalam memupuk
masyarakat yang penyayang dan saling mengasihi antara satu sama lain tidak kira
sahabat, sanak-sudara malah haiwan peliharaan juga menjadi aset untuk memupuk
kasih sayang. Dalam konteks kebudayaan melayu, kasih sayang dapat disifatkan
sebagai nilai budaya yang amat dititkberatkan agar dapat membentuk
masyarakat yang harmoni melalui nilai kasih sayang ini.
Nilai : Patuh kepada perintah agama.
Nilai yang seterusnya yang terdapat dalam masyarakat Melayu ialah nilai
kepatuhan kepada agama. Budaya masyarakat Melayu menggabungkan unsur
agama iaitu Islam dan adat. Kedua-dua aspek ini menjadi asas yang utama dalam
proses sosialisasi dan pembudayaan. Namun demikian, adat dan budaya yang
menjadi asas dalam proses sosialisasi tersebut hendaklah berteraskan kepada
syarak. Ini adalah kerana jati diri Melayu yang bersandarkan adat dan budaya adalah
berpaksikan konsep tauhid dan syariah yang telah mewarnai budaya Melayu sejak
dari abad ke-13 lagi. [Pemikir April-Jun (2003: 6)]
12


3.2.0 Kesenian

Dalam masyarakat Melayu seni dapat dibagi menjadi dua: seni persembahan (tarian,
nyanyian, persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal, hadrah, kuda
kepang) dan seni tampak (seni ukir, seni bina, seni hias, pertukangan tangan, tenunan,
anyaman dll). Permainan tradisi seperti gasing, wau, congkak, juga termasuk dalam kategori
seni persembahan. Kegiatan seni Melayu mempunyai identitas tersendiri yang juga
memperlihatkan gabungan berbaga-bagai unsur tempatan dan luar. Hasil seni Melayu
jelasnya bukan sekadar pada imejnya walhal mempunyai takrifan makna bersamanya.
Keindahan dan kecantikan dapat dibuktikan dengan kata-kata A.Aziz yang berbunyi: Dalam
kesenian sekalipun tidak membawa imejnya semata-mata. Falsafah dan pemikiran
tergambar pada awan larat dan sobekannya mampu menunjukkan imej cita-cita budaya
kita.

3.2.1 Kemahiran Seni Halus

Bangsa Melayu kaya dengan hasil seni halus. Yang dimaksudkan dengan seni halus ialah
hasil seni yang melibatkan penggunaan motor halus tangan seperti anyaman dan tenunan.
Hasil tangan masyarakat Melayu ini sangat cantik dan berkualiti. Kesenian kita baik seni
lakon (muzik, seni tari, seni suara) mahupun seni tampak (seni lukis, ukir, arca,tekatan,
anyaman) perlu digerakkan secara besar-besaran untuk menonjolkan identiti budaya dan
tamadun kita. Kemahiran yang kita ada perlu dilatih untuk membangunkan kejiwaan
contohnya dalam bidang tradisi tekstil (batik, songket, tenunan), logam (kepandaian
bertukang emas, perak, kraf tangan).

3.2.2 Seni Busana/ Pakaian

Bangsa Melayu juga kaya dengan seni busananya. Baju kurung merupakan salah satu
pakaian masyarakat Melayu yang longgar pada lubang lengan, perut, dan dada. Pada
mulanya, baju kurung biasa dipakai untuk upacara kebesaran Melayu dan kini dipakai oleh
masyarakat biasa. Walaupun baju kurung atau baju Melayu ini merupakan asimilasi bangsa
ini namun pemakaiannya berupaya menjaga identiti Melayu. Justeru jelaslah bahawa bangsa
Melayu mempunyai seni busana atau pakaian sendiri yang dipelihara.

Proses penerapan budaya berlaku sejak awal hubungan tamadun Melayu dengan
tamadun Cina, India, dan Eropah mengikut kesesuaian dan kewajaran budaya itu diterima
13

dalam rumpun Melayu. Pengaruh seperti pada baju Melayu dan songkok sebenarnya
berasal daripada India-Pakistan kini menjadi unsur nasional kita.

3.2.3 Kemahiran Seni Lakon

Identiti budaya kita juga ditonjolkan dengan seni lakon Melayu. Lakonan ialah salah satu
aktiviti manusia yang bertujuan untuk menggembirakan hati dengan cara meniru watak yang
berlainan dengan dirinya yang sebenar. Lakonan teater masyarakat Melayu boleh
dibahagikan kepada lakonan tradisional seperti Bangsawan, Main Puteri dan Menora yang
mana watak dan jalan cerita tidak lagi berubah walaupun setelah berlakunya perubahan
zaman.

Wayang kulit bermula semenjak pengenalan kamera wayang pada sekitar 40an,
1950-an hingga 60-an. Teater moden pula merujuk kepada yang lain daripada yang di atas.
Jelaslah bahawa masyarakat Melayu kaya dengan seni lakonnya. Seni lakon ini dijelaskan
oleh A.Aziz dalam kenyataannya yang menceritakan asal usul pergerakan seni lakon
masyarakat Melayu yang berbunyi: Daripada prinsip unzuru dan tafakkaru inilah budaya
Melayu mencipta gerak tari berdasarkan lambaian sulur, buaian ranting dan dedaun serta
gerak geri fauna. Bunyi yang lahir daripada desiran angin, titisan hujan dan deruan ombak
dan diolah menjadi nada lagu.

3.2.4 Permainan Tradisional

Permainan tradisional merupakan sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek
moyang masyarakat Melayu. Permainan tradisional merupakan hiburan masyarakat Melayu
pada waktu lapang. Kesenian pula terbahagi kepada bentuk tradisional atau sezaman. Bagi
Malaysia bentuk tradisional ada yang berupa etnik seperti makyung, wayang kulit, ngajat,
gamelan atau kesenian rakyat yang mencirikan penyertaan dan penglibatan rakyat seperti
permainan tradisional wau, gasing, dan sebagainya.

3.2.5 Seni Suara

Seni suara merupakan bunyi yang diterima oleh individu dan berbeza bergantung kepada
sejarah, lokasi, budaya dan cita rasa seseorang. Persembahan seni suara dan muzik dalam
masyarakat Melayu adalah unik bukan sahaja sekadar hiburan kosong. Persembahan seni
suara sebenarnya mempunyai pelbagai maksud pengajaran.

14

Seni muzik membawa lagu Islam dan zikir, digunakan untuk kepentingan rohaniah di
kalangan sufi bagi mendapatkan ghairat, marhaban, qasidah, berzanji dan digabungkan
dalam bahasa Melayu-Arab dalam dikir berodah.

3.3 Undang-udang, Adat dan Kepercayaan

Nilai dan norma merupakan peraturan masyarakat yang terdiri daripada undang-undang,
adat resam, pantang larang dan gaya perlakuan dalam warisan masyarakat Melayu.
Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-
ahli masyarakat. Undang-undang kebiasaannya ialah peraturan sesuatu negara. Yang
melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda.

Adat, peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat
sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Adat merupakan kebiasaan cara hidup yang
diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat
tersebut. Adat memainkan peranan penting di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa
sekalipun. Dalam masyarakat dan budaya Melayu adat tersebut bermula dari dalam perut
ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian.

Dalam masyarakat Melayu dahulu, adat sebagai hukum dan undang-undang dalam
negara dan masyarakat umum. Misalnya, hukuman yang dikenakan terhadap pelbagai
kesalahan dalam masyarakat ataupun undang-undang adat dalam masyarakat adat
perpatih serta pelbagai hukum kanun lama dari zaman Melaka hingga abad ke-20.

Adat dengan erti susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya,
seperti sistem kekeluargaan, sistem politik mahupun sistem ekonomi, seperti pemilikan
tanah dan pembahagian harta. Institusi kekeluargaan yang lazim dilaksanakan dalam
pelbagai masyarakat ialah adat masyarakat itu. Ada masyarakat yang biasa mengamalkan
sistem kekeluargaan matrilokal dan ada yang neolokal. Demikian juga, ada masyarakat
yang membahagikan harta serta pemilikan secara faraid dan ada yang secara sama rata.
Institusi dan organisasi kemasyarakatan sebagai prinsip penyusunan masyarakat
merupakan makna terunggul dalam konsep adat di seluruh Alam Melayu.

Bagi pelbagai masyarakat di seluruh Alam Melayu seperti Iban, Dusun, Dayak,
Batak, Toraja, adat masih membawa makna yang amat luas dan serba merangkumi, iaitu
adat sebagai suatu kebudayaan. Dalam konsep ini, adat adalah keseluruhan corak hidup
atau kebudayaan manusia di alam nyata dan juga menghubungkan manusia dengan alam
15

kosmik yang simbolis dan sejagat. Adat menjadi ciri kehidupan, bukan sahaja manusia
dalam lingkungan alam tabiinya, bahkan dalam kalangan semua makhluk seperti haiwan
dan tumbuh-tumbuhan. Malah, ciri adat terdapat dalam pergerakan alam tabii itu sendiri,
seperti kejadian semula jadi, ribut dan petir, serta segala-galanya dalam kosmos adalah
kerana mengikut adat alam. Maka, hukum alam adalah juga adat.

Namun, apabila agama Islam yang mula bertapak di Tanah Melayu pada abad ke-7
melalui pedagang daripada China, India dan Tanah Arab, telah berlaku perubahan dalam
adat budaya dan kepercayaan masyarakat Melayu. Agama ini telah membawa kepada
bermulanya sistem pendidikan secara formal dan peraturan yang menjadi garis panduan
masyarakat Melayu hingga kini.

3.4.0 Bahasa dalam Masyarakat Melayu


Bahasa merujuk kepada pengetahuan yang dimiliki oleh penutur bahasa ibunda, yang
membolehkan mereka berkomunikasi, mengungkapkan rasa, cita dan makna, serta dapat
melaksanakan fungsi bahasa yang lain. Ini menunjukkan bahawa bahasa amat penting bagi
kehidupan di alam ini. Nilai budaya merupakan nilai- nilai yang disepakati dan tertanam
dalam suatu masyarakat, lingkup organisasi, lingkungan masyarakat, yang mengakar pada
suatu kebiasaan, kepercayaan (believe), simbol-simbol, dengan karakteristik tertentu yang
dapat dibezakan satu dan lainnya sebagai acuan prilaku dan tanggapan atas apa yang akan
terjadi atau sedang terjadi. Nilai budaya akan tampak pada simbol-simbol, slogan, moto, visi
misi, atau sesuatu yang nampak sebagai acuan pokok moto suatu lingkungan atau
organisasi.

Bila memperkatakan tentang bahasa Melayu, bahasa Melayu mempunyai nilai
sastera, budaya dan agama yang tinggi. Semangat dan nilai yang terdapat dalam bahasa
Melayu boleh menjadi pendorong yang kuat kepada pengamalnya untuk menggerakkan
perkembangan ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu, sastera dan budaya akan hidup bersama
untuk membangunkan masyarakat. Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) menjelaskan
bahawa kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa
antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagi bahasa diplomatik, lingua franca,
bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa
sastera. Oleh itu, bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan.

16

Bahasa Melayu Klasik telah digunakan pada abad ke-14 hingga ke-19. Sepanjang
abad ini bahasa ini mencapai kegemilangan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan
zaman Kerajaan Johor-Riau. Bahasa ini juga telah menjadi bahasa baku dalam
pemerintahan negara yang berpusat di istana dan hubungan dengan dunia luar. Pada
zaman ini peranan agama Islam sangat penting untuk membawa kepada perkembangan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini dapat dilihat apabila Islam menyumbang dan
memperkenalkan sistem tulisan Jawi dan kosa kata Arab. Sebelum kedatangan Islam
bahasa ini tidak mempunyai tulisan yang lengkap selepas kedatangan kemasukan agama
Islam, Sistem tulisan Jawi telah diperkenalkan dan diistiharkan sebagai tulisan rasmi di
kepulauan tersebut. Selain daripada perkembangan ilmu undang-undang, sejarah, dan
agama kerana kedatangan tulisan ini, ilmu kesusasteraan merupakan ilmu yang paling
berkembang dengan mengunakan tulisan jawi. Selain daripada sumbangan Islam dalam
bidang tulisan, Islam turut memperbanyakkan lagi kosa kata bahasa Melayu malahan
menurut Zaba kosa kata yang diperkenalkan lebih banyak daripada kosa kata bahasa
Sanskrit.

Perkembangan bahasa dalam budaya Melayu dapat dilihat daripada melalui
beberapa buah karya penting yang dihasilkan pada zaman Melayu Klasik. Karya-karya
penting ini seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Misa Melayu,
Sejarah Melayu, hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Suluh Merah Muda, dan
Hikayat Panji semerang dapat memperlihatkan perkebangan bahasa dalam budaya Melayu
hasil daripada beberapa peradaban yang diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu
seperti bahasa Sanskrit, Arab dan lain-lainnya. Menurut Abdullah Hassan, (1940 : 32 )
sesuatu bahasa hidup lama ialah keupayaan bahasa itu menerima unsur-unsur daripada
bahasa asing dan menjadikan unsur miliknya sendiri. Manakala bahasa yang mati ialah
bahasa yang tidak mahu mengambil unsur-unsur asing. Bahasa Melayu merupakan bahasa
yang hidup kerana menerima pelbagai unsur-unsur asing dalam bahasanya.

Mohd Yusof Haji Othman menyatakan bahawa bahasa tidak mungkin dipisahkan
daripada amalan hidup seseorang. Bahasa bukan semata-mata alat komunikasi tetapi jauh
daripada itu, bahasa ialah pembina budaya dan pandangan alam seseorang. Seseorang
yang mengabaikan bahasanya, bermakna ia mengabaikan budaya hidup diri dan
masyarakatnya. Seseorang yang mengagungkan bahasa juga harus mengagungkan budaya
atau sastera bangsanya. Lebih tinggi taraf kebahasan yang digunakan dalam kehidupan
lebih tinggi nilai kebudayan atau sasteranya dan lebih besar pula sumbangan yang dapat
diberikannya untuk membangunkan diri, keluarga dan negara. Oleh itu dapat kita katakan
17

bahawa bahasa dan budaya Melayu merupakan asas bagi pembentukan tamadun Malaysia
hingga kini.


Kesusasteraan dalam Budaya Melayu


Perkembangan kesusasteraan sesuatu bangsa pada masa lampau ialah gambaran jelas
tentang sejarah silam bangsa itu sendiri. Terbukti dalam sejarah telah wujud satu bangsa
yang bernama Melayu yang amat mementingkan adat resam, bahasa dan kebudayaan
bangsanya. Sejarah juga telah membuktikan wujud sebuah kerajaan yang bernama
Sriwijaya yang menggunakan bahasa Melayu kuno. Pada zaman awal itulah munculnya
berbagai-bagai bentuk sastera seperti sastera rakyat, sastera berunsur sejarah, lagenda dan
kesan-kesan peninggalan kerajaan Melayu pada zaman silam.

Sastera Melayu pada awalnya adalah bercirikan kesejahteraan dan berkonsepkan
hiburan serta pengajaran. Cerita-cerita juga disampaikan secara lisan. Begitu juga dengan
puisi Melayu lama yang banyak memuatkan mesej tentang akal budi dan pandangan hidup
masyarakat Melayu. Puisi Melayu Tradisional juga telah lahir melalui tradisi lisan dan tulisan.
Pengucapan bahasa diolah mengikut pengalaman, peraturan, pengaruh, dan persekitaran.
Oleh sebab itu, kita menemui Puisi Melayu Tradisional yang asli, iaitu pantun, teromba,
talibun, dan peribahasa berangkap. Yang mengandungi pengaruh Hindu ialah gurindam,
rejang, seloka, dan mantera manakala yang mengandungi pengaruh Arab-Parsi ialah dikir
atau zikir, endoi, rubai, nazam, masnawi, ghazal, dan qitah.

Tradisi lisan dalam budaya masyarakat Melayu adalah bahagian dari kebudayaan
yang diciptakan, disebarluaskan dan diwariskan dalam bentuk lisan seperti cerita rakyat,
ungkapan dan sebagainya. Sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu lama yang
disampaikan secara lisan iaitu dipertuturkan. Sastera lisan merupakan hasil sastera yang
dimiliki oleh masyarakat Melayu, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu
generasi secara lisan. Ia hidup dalam masyarakat Melayu tradisional secara lisan atau
secara dituturkan. Sebab itulah sastera lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau
penulisnya. Juga tidak diketahui bilakah ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara
lisan sastera banyak mengalami perubahan dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-
tambah dan penyesuaian dilakukan bagi menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi
setempat. Perubahan masa dan zaman membawa perubahan kepada corak penyebaran
secara lisan. Pada masa kini, hasil-hasil sastera lisan telah dibukukan, yakni ditulis.
18

Tradisi lisan yang mencirikan karya-karya sastera lisan telah menerima perubahan
kepada bentuk bertulis. Sungguhpun, masyarakat telah mengamalkan sistem tulisan, namun
tradisi lisan tetap hidup didalamnya. Sastera lisan tetap merupakan sastera lisan sekalipun
telah menjadi bahan tertulis. Karya-karya sastera lisan yang telah dibukukan masih
mengekalkan ciri-ciri kelisanannya, malah mempunyai ciri-ciri tersendiri. Pada masa kini, kita
boleh membaca cerita-cerita rakyat ini melalui buku-buku yang dihasilkan dari kemajuan
media cetak.

Sastera lisan Melayu dapat dibahagikan kepada dua bentuk:

a. Sastera lisan berbentuk cerita (kisah atau naratif)

b. Sastera lisan berbentuk bukan cerita ( bukan kisah atau bukan naratif)

a) Sastera lisan berbentuk cerita (naratif)

Sastera lisan berbentuk cerita ini dikenali juga sebagai cerita rakyat atau cerita lisan. Ia
terdiri daripada cerita-cerita seperti berikut;

Cerita Lipur Lara (panglipur lara)
Cerita Jenaka
Cerita Binatang
Cerita Asal usul
Cerita Hantu
Cerita Teladan
Cerita-cerita mitos dan legenda.

b) Sastera lisan berbentuk bukan cerita (Bukan Kisah atau Bukan Naratif)

Sastera lisan berbentuk bukan cerita pula sebahagian besarnya berupa puisi, antaranya;

Pantun
Gurindam
Seloka
Teka-teki dan Nyanyian Rakyat
Jampi, Mantera dan Serapah
Pepatah dan Perbilangan Adat
19

Peribahasa, Bidalan

Agama Islam yang sampai ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah juga telah
memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap perkembangan bahasa, kesusasteraan,
dan kebudayaan Melayu. Salah satu daripadanya ialah pengenalan huruf-huruf Arab kepada
penganut-penganut agama Islam di rantau ini dengan tujuan menjadikannya abjad baru di
dalam penulisan berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, sistem tulisan yang teratur di dalam
bahasa Melayu wujud setelah kedatangan Islam. Dengan wujudnya sistem tulisan
bermulalah tradisi tulisan di Alam Melayu. Ia bermula dengan penulisan yang berbentuk
bukan kreatif, iaitu penulisan kitab-kitab bercorak agama yang membicarakan mengenai
fikah, tafsir Al-Quran, tauhid dan sebagainya. Setelah itu diikuti dengan penulisan kreatif.
Bidang ini bermula dengan munculnya Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nur Muhammad,
Hikayat Nabi Yusof, Hikayat Nabi Musa, dan hikayat-hikayat lain seumpamanya. Hikayat
Nabi-nabi itu berdasarkan kepada kisah-kisah tentang diri mereka yang terdapat di dalam Al-
Quran. Oleh itu, kesusasteraan Melayu dapat berkembang pesat kerana adanya
kecenderungan dan usaha-usaha pengembangan agama Islam menggunakan sastera
sebagai alat penyebarannya.


Kesimpulan

Kebudayaan Melayu merujuk kepada keseluruhan sistem kehidupan yang dipraktikkan oleh
masyarakat Melayu. Dalamnya terkandung unsur sosial, ekonomi, politik, kepercayaan dan
organisasi serta meliputu hal-hal tentang bahasa, agama, kesusasteraan yang menjadi milik
bersama masyarakat Melayu. Justeru, budaya Melayu dalam konteks Malaysia kini
merupakan sebahagian besar inti pati budaya Malaysia itu sendiri.











20

Bibliografi

1) A.Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Melayu Edisi
Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
2) Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala
Lumpur: Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Warisan Malaysia.
3) Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Universiti Putra
Malaysia. Serdang.
4) Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
5) Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu II Edisi Kedua. Shah Alam. Oxford Fajar
Sdn.Bhd.
6) Wan Abdul Kadir. (2010). Pembangunan Industri Budaya dan Identiti Melayu
(Malaysia-Indonesia). ccm.um.edu.my(02/02/2010)
























21

Rujukan Internet
1. http://kumpulansiswazahguru.blogspot.com/2011/12/asal-usul-bangsa-melayu.html