Вы находитесь на странице: 1из 5

Berfikir proaktif

Oleh DR. SIDEK BABA




BERFIKIR proaktif ialah suatu kemahiran berfikir secara positif yang melibatkan perancangan teliti dan
rapi supaya hasilnya menjadi. Berfikir proaktif tidak saja respons kepada sesuatu masalah yang dihadapi
tetapi difikirkan bagaimana sesuatu masalah itu dapat dileraikan dan jalan keluarnya dicari. Sesuatu
masalah tidak hanya dilihat sebagai masalah, ia dikaji dan diteliti sebab-musababnya, dicari jalan
keluarnya dan diberi alternatifnya.

Seorang remaja umpamanya, mengalami masalah kenakalan, merosakkan harta awam adalah remaja
yang bermasalah. Berfikir proaktif membawa seseorang mendekati remaja itu, melakukan komunikasi
dan nasihat, mendengar masalah dan rintihannya, menawarkan jalan keluar, berkawan dengannya dan
akhirnya remaja itu mungkin kembali semula ke jalan yang baik.

Seorang pelajar yang bosan untuk belajar kerana perpecahan dalam keluarga didekati oleh rakan yang
prihatin, memberikannya galakan dan nasihat, membantunya dalam kerja-kerja sekolah, berkawan
dengannya dan akhirnya pelajar itu yakin semula tentang pentingnya ilmu dan pendidikan.

Seorang remaja lain yang baru belajar menghisap rokok, didampingi oleh sahabat baiknya dengan
nasihat yang berterusan supaya menghentikan rokok dengan menyatakan akibat buruk merokok secara
perlahan-lahan dapat diselamatkan akibat terpengaruh dengan rakan yang lain.

Semua perbuatan baik yang dinyatakan di atas adalah langkah proaktif yang dilakukan supaya suatu
keadaan yang mulanya tidak baik bertukar menjadi baik semula. Berfikir ke arah sesuatu yang positif,
pembaikan dan penyelesaian dikatakan sebagai berfikir proaktif.

Dalam tradisi Islam, berfikir proaktif adalah sesuatu yang amat digalakkan. Rasulullah s.a.w. dalam
usaha dakwah awalnya di Mekah, mendekati bapa saudaranya Abu Talib untuk menyatakan kebenaran
terhadap Islam sebagai agama tauhid.

Rasulullah tidak saja melihat bapa saudaranya sebagai seseorang yang mempunyai hubungan darah
tetapi yang lebih utama bagaimana bapa saudaranya boleh kembali menganut ajaran yang benar dan
diredai Allah.

Tugasnya sebagai daie atau pendakwah adalah tanggungjawab yang utama, Pemberi hidayah adalah
kerja yang Maha Berkuasa. Ikhtiar adalah usaha manusia, membukakan hatinya untuk menerima Islam
adalah kerja Allah s.w.t.

Muaz bin Jabal apabila ingin dihantar oleh Rasulullah sebagai Gabenor ke Yaman ditanya oleh baginda
tentang bagaimana urusan kenegaraan dapat dilakukan dengan baik.

Muaz bin Jabal mengatakan bahawa akan menggunakan al-Quran sebagai sumber utama. Kalau tidak
ada di dalam al-Quran, ia akan menggunakan sunah Rasulullah s.a.w. dan kalau tidak ada sunah
Rasulullah, ia akan mengggunakan ijtihad. Rasulullah amat berpuas hati dengan kenyataan Muaz itu.
Itulah pemikiran proaktif yang dimiliki oleh seorang Gabenor dalam mengurus negara Yaman.

Remaja Islam harus memiliki upaya berfikir secara proaktif yang tinggi. Para remaja hari ini sering
berdepan dengan berbagai cabaran sama ada yang berkaitan dengan cita-cita, perasaan, tekanan hidup,
keremajaan, pergaulan apalagi percintaan. Berfikir proaktif boleh membimbing remaja supaya tidak
hilang pedoman apabila berdepan dengan cabaran dan masalah, bersikap positif terhadap sesuatu
perkara yang berlaku walaupun ia pedih dan pahit dan sentiasa memikirkan jalan penyelesaian kepada
masalah.

Berfikir

Tanpa memiliki upaya berfikir yang proaktif, para remaja boleh buntu dalam berdepan dengan sesuatu
masalah, hilang pedoman bila menghadapi kebuntuan atau melakukan sesuatu tanpa banyak
pertimbangan hingga menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk. Jalan keluar kepada sesuatu masalah
tidak ada dan akhirnya kebinasaan yang ditempa.

Sebelum melakukan sesuatu remaja harus terlebih dahulu memikirkan buruk baiknya sesuatu. Ada
ketikanya akibat dorongan naluri dan nafsu remaja melakukan sesuatu kerana ingin mencuba, hasrat
yang meluap-luap, terpengaruh dengan rakan sebaya atau ingin melepaskan rasa kekecewaan dan
kehampaan terhadap sesuatu.

Akhirnya para remaja terjebak dengan amalan salahguna dadah atau pergaulan yang lepas bebas.
Akibatnya para remaja hilang arah dan buntu mencari jalan kembali. Bila ini berlaku remaja merasa lazat
dan seronok yang sementara dan akhirnya timbul ketagihan yang berkekalan dan akan membawa akibat
buruk terhadap diri remaja.

Sebelum mengambil dadah atau terjebak dalam pergaulan yang lepas bebas, remaja harus berfikir dulu
tentang baik-buruknya perbuatan tersebut.

Banyak bukti dan banyak musibah yang boleh disaksikan tentang betapa bahayanya dadah dan
pergaulan yang lepas bebas. Sebab itulah para remaja Islam perlukan asas agama dan akhlak supaya
mereka memiliki benteng dan sempadan memilih yang buruk atau pun yang baik. Tanpa asas agama dan
pertimbangan akhlak para remaja mudah terjebak dengan amalan salah laku.

Berfikir proaktif harus dikaitkan dengan nilai syarak. Maksud kepada peraturan syarak ialah untuk
menjaga agama, maruah, akal fikiran, harta dan juga keturunan.

Sekiranya remaja kita berfikir secara syarie iaitu mematuhi hukum-hakam Allah, ia berkait rapat dengan
maslahah atau kepentingan remaja sendiri. Islam tidak menyekat para remaja untuk bergaul.

Berfikir secara syarie dan proaktif membawa remaja berfikir bahawa ditahap remaja yang nafsunya
meluap-luap, tanpa batasan pergaulan boleh mendorong perkara-perkara yang tidak baik.

Islam mengambil pendekatan pencegahan lebih baik dari mengubati. Sekiranya sesuatu telah terjadi,
selalunya payah untuk dihentikan atau diubati. Nafsu-nafsi sudah menguasai diri dan pertimbangan akal
tidak memberi makna apa-apa. Yang dipentingkan ialah kesedapan dan kelazatan yang sementara.

Berfikir proaktif secara syarak boleh membawa remaja berfikir di sebalik batasan hukum dan halangan
syarak ada hikmah besar iaitu bagi menjaga maslahah remaja supaya tidak terjebak dengan perangkap
nafsu nafsi yang kadang-kadang tidak mengenal batasan akibat.

Remaja Islam yang berfikir proaktif sentiasa mengatur jalan hidupnya secara terancang. Apabila bercita-
cita tinggi ia membangunkan cita-citanya dengan usaha dan kesungguhan, dengan perancangan dan
persiapan dan akhirnya cita-cita itu dapat dipenuhi.

Cabaran

Apabila berdepan dengan cabaran, ia tidak mudah putus asas. Dicarinya jalan bagaimana cabaran dapat
diatasi dan jalan cita-cita tetap dilalui. Apabila bertemu kegagalan, ia tidak putus harap sebaliknya terus
berusaha memperbaiki keadaan, membina strategi bijaksana supaya cita-cita tetap dipenuhi.

Remaja yang berfikir proaktif akan sentiasa mempunyai jalan keluar dalam hidup. Ia tidak mudah buntu
dalam menghadapi kerenah hidup. Ia tidak mudah putus asa apabila menghadapi kegagalan.

Kerenah hidup baginya adalah pengalaman yang berguna dan kegagalan adalah ujian yang perlu dilalui.
Sikap proaktif menjadikan remaja tetap yakin bahawa dihujung terowong akan ada cahaya yang menanti.

Dihujung setiap usaha akan ada hasilnya. Dan dihujung cita-cita akan ada kejayaannya. Tanpa berfikir
proaktif remaja akan tewas sebelum perjalanan sampai dan remaja akan terjebak dalam belitan hidup
sehingga tidak mampu melepaskan diri lagi. Berfikir proaktiflah yang boleh membantu remaja memilih
jalan yang baik atau sebaliknya
http://drsidekbaba.blogspot.com/search?q=proaktif+dalam+islam&x=0&y=0
PROF. DR. SIDEK BABA dilahirkan pada 12 Jun 1946 di Kg. Pulau,Masjid Tanah Melaka. Mendapat
pendidikan awal dan menengah di Melaka. Melanjutkan pengajian perguruan di MPSI, Tanjung Malim
dan kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Melayu. Kemudian
menyambung pengajian di UKM dalam Diploma Pengajian Islam. Seterusnya ke Amerika Syarikat dalam
bidang Sarjana Sains Pendidikan dan Doktor Pendidikan dalam bidang Kajian Dasar Pendidikan.

Aktif dalam bidang penulisan skrip drama dan cerpen serta pernah menjadi Ketua Satu PENAMA
(Persatuan Penulis Negeri Melaka) dan sekarang ini menjadi Presiden NAFIS (Nadwah Persuratan Islam
Malaysia). Turut aktif dalam kerja-kerja dakwah di dunia Islam dan juga di Barat.

Pernah memimpin ABIM negeri Melaka dan juga Pusat. Juga banyak menyampaikan kertas kerja
mengenai Pengurusan Islam (Teori I), Integrasi dan Islamisasi Ilmu, keremajaan dan keibubapaan serta
dialog tamadun dan antara agama.Menulis di ruangan Berita Harian, Utusan Malaysia dan Majalah I
serta mengisi ruangan Santapan Rohani, Radio IKIM.fm dan program Santapan Minda, Selangor FM.

Selain itu, menjadi Lembaga Pengarah IKIM, Lembaga Pengarah Darul Quran Malaysia, Lembaga
Pengarah IKMAS, JAKIM,Lembaga Penasihat Pendidikan Institut Integriti Malaysia, Lembaga Muafakat
MARA dan Lembaga Akademi Ketamadunan.Berpengalaman sebagai guru selama 18 tahun dan
pensyarah di Institut Aminuddin Baki selama 5 tahun. Dilantik sebagai Timbalan Dekan Akademik
Pusat Matrikulasi UIA dan Dekan Pusat Matrikulasi dari 1992-1994. Dari tahun 1994-2002, menjadi
Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kini, berkhidmat sebagai Profesor Pendidikan di UIAM dan menetap di Padang
Balang, Sentul, Kuala Lumpur

Вам также может понравиться