Вы находитесь на странице: 1из 3

Berita

Komik Jadi Bahan Pembelajaran


16 Dec 2010 - Berita Harian

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
Jepun, Korea sudah menggunakan komik untuk pengajaran Sains dan Matematik
SARANAN Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) agar komik menjadi wahana pembelajaran sains,
matematik bagi memupuk pemikiran kreatif di kalangan pelajar sekolah dilihat sebagai pendekatan lebih
fleksibel berdasarkan keberkesanannya komik manga dan manwha yang popular di Jepun dan Korea.
Jepun berjaya menggunakan komik dalam pembelajaran sains, matematik, sejarah dan bahasa secara
berkesan, menghibur sambil mendidik pelajar, sekali gus mempromosi serta menarik masyarakat
antarabangsa mengenali seni tradisi mahupun bahasa mereka.
Kehebatan negara matahari terbit itu mempromosikan budaya, gaya hidup dan cara berfikir rakyat
negaranya melalui komik Doraeman sebagai kucing robot dari masa depan iaitu watak ciptaan kartunis
Fujiko F Fujio, cukup membuktikan keberkesanan komik dalam mengasah kreativiti kanak-kanak dan
penyampaian maklumat.
Bagaimanapun, dalam keterbukaan minda masyarakat moden, Malaysia masih menggunakan buku teks
sebagai rujukan utama pelajar di sekolah sehingga menyukarkan kelompok terbabit memupuk minat
dalam pelajaran terutama Sains dan Matematik, sehingga ia dilihat sebagai beban.
Justeru, pendekatan bersifat interaktif seperti penggunaan komik sebagai bahantara pembelajaran,
sudah pasti mampu mengubah minda masyarakat kerana ia dilihat lebih terbuka, menghiburkan dan
bebas berbanding mentelaah nota apalagi buku tebal dalam kelas.
Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, sistem
pembelajaran di sekolah negara ini memerlukan pelaksanaan baru bagi mengikis tanggapan generasi
muda bahawa subjek Sains dan Matematik sukar untuk dipelajari.
Justeru, usaha untuk memperluaskan skop pembelajaran melalui komik dapat membantu pelajar
mendekatkan diri dalam bidang sains dan teknologi, selain mendedahkan mereka dengan penggunaan
bahasa Melayu yang betul. Ini kerana karya kreatif seperti kartun dan komik menjadi karakter penting
dalam menyerlahkan sesebuah karya.
Tanggapan lazim bahawa komik sebagai bahan bacaan tidak berfaedah adalah tidak benar kerana
sebahagian besar daripadanya mempunyai ilmu yang boleh diterokai. Di Jepun, bukan saja Matematik
dan Sains diajar menggunakan komik, bahkan subjek sejarah juga diajar melalui komik yang menyelitkan
dialog patriotik, katanya ketika ditemui di Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini.
Kamal Shukri berkata, masyarakat Jepun dan Eropah berjaya melahirkan cendekiawan dalam pelbagai
bidang kerana mereka mendidik anak menggunakan bahantara interaktif seperti komik, filem dan
dokumentari yang terbukti membawa kesan besar dalam proses pendidikan.
Saya yakin sudah tiba masanya kita mencontohi kejayaan mereka dalam aspek ini kerana ia berupaya
menarik minat generasi muda khususnya kanak-kanak untuk meminati bidang sains dan teknologi secara
santai. Selain itu, penggunaan bahasa yang betul dalam komik turut membantu mereka mempelajari
bahasa Melayu secara tidak langsung, katanya.
Guru Matematik, Nur Salwa Hashim berkata pembelajaran dengan menggunakan komik dapat memberi
motivasi kepada pelajar untuk lebih memahami suatu masalah yang diajukan secara santai dan lebih
efektif, tanpa menafikan budaya membaca komik di Malaysia masih jauh berbeza daripada budaya komik
di Amerika Syarikat dan Jepun.
Di negara ini, sebahagian masyarakat menganggap komik sekadar bahan hiburan kanak-kanak,
malahan pendekatan komik tempatan dalam mengasah minda pembaca masih jauh ketinggalan
berbanding negara lain. Justeru, inilah masanya kita mencontohi budaya cemerlang Jepun dan Amerika
yang maju dalam sains dan teknologi.
Pelajar sekolah memerlukan pembaharuan dalam kaedah pembelajaran sedia ada yang dianggap serius
dan sukar untuk difahami khususnya dalam subjek Matematik dan Sains. Sebagai pendidik, saya percaya
penggunaan komik sebagai bahan tambahan pembelajaran perlu disokong, tetapi sistem konvensional
tidak boleh dipinggirkan, katanya ketika dihubungi melalui telefon.
Meskipun kaedah penggunaan komik dalam pembelajaran dilihat terlalu bebas, tetapi baginya guru
sekolah masih dapat membantu pelajar menentukan sama ada betul atau salah sumber maklumat yang
diperoleh melalui komik, selain masih bertanggungjawab memastikan pelajar sentiasa menyuburkan
minat terhadap subjek Sains dan Matematik.
Bagi menyokong usaha ini, ibu bapa wajar membantu membentuk asas pembudayaan membaca komik
berfaedah sejak kanak-kanak dan berterusan sehingga remaja. Ibu bapa bukan saja mesti membaca
bersama-sama mereka, tetapi juga membimbing anak masing-masing membuat analisis dan klasifikasi
bagi memastikan penggunaan komik berkesan, katanya.

Вам также может понравиться