Вы находитесь на странице: 1из 3

IMPAK PENGGUNAAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar Penyidai Piktograf telah digunakan semasa aktiviti berkumpulan
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk membina piktograf. Murid-murid yang terlibat
adalah dari kelas 4 Mutiara di Sekolah Kebangsaan Mutiara Perdana, Bayan Baru.
Semasa mengaplikasikan bahan bantu mengajar ini, terdapat beberapa kekuatan yang
telah saya kenal pasti menerusi impak penggunaan Penyidai Piktograf. Antaranya ialah bahan
ini dapat melibatkan semua murid. Hal ini adalah kerana bahan ini menggalakkan murid-murid
saling membantu dalam membina piktograf berdasarkan soalan yang diberikan oleh guru.
Semasa dilaksanakan di dalam bilik darjah, setiap ahli kumpulan kelihatan membahagi-
bahagikan tugas supaya semua ahli memberikan sumbangan untuk menyelesaikan soalan.
Oleh itu, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif semasa membina piktograf
menggunakan bahan ini.
Bahan ini juga ternyata mampu untuk menggalakkan murid-murid untuk berkomunikasi
antara ahli-ahli kumpulan. Masih terdapat beberapa murid yang lemah dan masih belum
memahami konsep perwakilan gambar dengan kuantiti objek yang sebenar. Menerusi bahan ini,
murid-murid kelihatan berbincang untuk menyelesaikan masalah yang terdapat pada kad
soalan. Setiap kumpulan adalah terdiri daripada murid-murid yang pelbagai tahap pencapaian
daripada yang lemah kepada yang pandai. Oleh itu, bahan bantu mengajar ini ternyata dapat
menggalakkan murid yang pandai untuk memberikan bantuan dan bimbingan kepada murid
yang agak lemah.
Selain itu, Penyidai Piktograf ini juga telah dibina untuk mempunyai ciri-ciri yang sama
seperti sebuah piktograf. Bahan ini mempunyai bahagian tajuk, perkara dan bahagian petunjuk
yang boleh ditulis oleh murid-murid dengan menggunakan whiteboard marker. Oleh itu, murid-
murid kelihatan lebih mudah untuk memahami ciri-ciri yang terdapat pada sebuah piktograf. Hal
ini adalah kerana bahan ini memberikan murid-murid pengalaman secara langsung untuk
membina sebuah piktograf. Murid-murid dapat menulis sendiri tajuk dan jumlah bilangan objek
yang diwakilkan dengan satu penyepit. Oleh itu, mereka lebih mudah ingat akan ciri-ciri yang
terdapat pada sebuah piktograf. Lantas, objektif pembelajaran bagi sesi pengajaran dan
pembelajaran tersebut iaitu menggunakan piktograf untuk membaca dan memaparkan
maklumat serta data dapat dicapai dengan mudah.
Penggunaan penyepit sebagai simbol perwakilan juga telah memudahkan murid-murid
untuk memahami konsep perwakilan simbol dalam piktograf dengan lebih mudah. Hal ini adalah
kerana penyepit adalah bersifat maujud dan boleh dimanipulasikan oleh mereka. Masalah
dalam mewakilkan jumlah sesuatu gambar dengan gambar dalam piktograf merupakan salah
satu masalah yang dapat dikenal pasti dalam kalangan mereka semasa membina piktograf. Hal
ini dapat dikenal pasti semasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah diadakan bersama
mereka sebelum ini. Untuk mendapatkan bilangan sebenar objek, merek ahanya mengira
secara terus. Hal ini menunjukkan bahawa mereka masih tidak faham akan konsep perwakilan
dalam piktograf. Namun, bahan bantu mengajar ini telah banyak membantu murid-murid untuk
membina konsep tentang piktograf. Penyepit-penyepit yang boleh dibilang oleh murid-murid
juga telah memudahkan murid untuk mendapatkan bilangan sebenar bagi sesuatu jenis objek.
Mereka juga dapat memahami operasi yang terlibat untuk mendapatkan bilangan yang sebenar
bagi sesuatu objek adalah operasi darab. Oleh itu, mereka faham bahawa bilangan sebenar
objek boleh dikira dengan mendarabkan bilangan penyepit dengan jumlah yang diwakili oleh
satu penyepit.
Bahan ini juga dapat melatih murid-murid untuk memilih ayat yang sesuai sebagai tajuk
kepada piktograf yang ingin dibina. Setelah menyelesaikan satu soalan, mereka lebih cekap
dan mahir untuk memilih tajuk yang sesuai untuk piktograf bagi soalan yang kedua. Hal ini
menunjukkan bahan bantu mengajar ini telah memberikan peluang dan latihan kepada mereka
untuk memilih tajuk piktograf yang sesuai dan menuliskannya di atas ruangan tajuk yang telah
disediakan.
Bahan ini juga ternyata dapat menimbulkan suasana yang menyeronokkan. Hal ini
adalah kerana bahan bantu mengajar ini adalah unik dan berbentuk penyidai. Selain itu, bahan
ini juga terdiri daripada pelbagai warna yang dapat menarik perhatian murid-murid. Semasa kali
pertama saya menunjukkan Penyidai Piktograf di hadapan murid-murid, mereka kelihatan
teruja dan tertanya-tanya akan aktiviti yang akan dijalankan. Secara tidak langsung, bahan ini
dapat merangsang minat dan motivasi mereka untuk belajar memahami topik pengendalian
data dengan lebih mendalam.


Terdapat juga beberapa kumpulan yang mempunyai seorang ahli berperanan sebagai
seorang ketua dan pemimpin secara sukarela menerusi penggunaan bahan ini. Murid-murid
tersebut mulai membahagikan tugas-tugas secara sama rata kepada setiap ahli. Hal ini
menunjukkan penggunaan bahan bantu mengajar ini dapat memupuk nilai-nilai murni dalam
kalangan murid-murid seperti bekerjasama, hormat-menghormati, berkepimpinan dan adil.
Secara tidak langsung, alat ini dapat membentuk murid-murid yang berakhlak mulia di samping
cekap dalam membina piktograf.
Walaubagaimanapun, saya juga dapat mengenalpasti beberapa impak negatif menerusi
penggunaan bahan bantu mengajar ini. Murid-murid cenderung untuk bermain-main dengan
penyepit yang diberikan. Hal ini adalah kerana jumlah penyepit yang diberikan kepada setiap
kumpulan adalah dalam kuantiti yang banyak. Oleh itu, ahli kumpulan yang telah siap mulai
untuk bermain dengan penyepit-penyepit yang telah diberikan. Tambahan pula, perasaan
mereka yang teruja dengan bahan bantu mengajar yang digunakan juga boleh menggalakkan
mereka untuk tidak serius semasa aktiviti berkumpulan yang dijalankan.
Sebagai cadangan penambahbaikan, guru boleh memberikan arahan yang lebih jelas
dan tegas supaya murid-murid tidak bermain-main dengan penyepit-penyepit. Guru juga boleh
memberikan jumlah penyepit supaya tidak berbaki. Oleh itu, murid-murid tidak akan bermain-
main dengan baki penyepit setelah berjaya membina piktograf.
Secara tuntasnya, penggunaan Penyidai Piktograf ini sangat membantu dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran untuk memperkenalkan kepada murid-murid tentang konsep dan
ciri-ciri piktograf. Semasa sesi soal jawab dalam langkah penutup, mereka ternyata sudah
menguasai kemahiran dan dapat mencapai objektif pembelajaran bagi sesi pengajaran dan
pembelajaran bagi hari tersebut.

Вам также может понравиться