Вы находитесь на странице: 1из 16

PROGRAM EKSEKUTIF CUTI SEKOLAH

SME 6044

CONTEMPORARY ISSUES IN MATHEMATICS
EDUCATION

TUGASAN 4


TAJUK : PENDEKATAN KONSTRUKTIVISME TERHADAP
PENGGUNAAN PERISIAN GEOGEBRA DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN FUNGSI TRIGONOMETRI

DISEDIAKAN OLEH

NAMA NO. MATRIK NO. TELEFON
CONNIE ANAK BENET M20131000378 0148791025


KUMPULAN : A

PENSYARAH : PROFESSOR DR. MARZITA PUTEH




PEMARKAHAN
2


ABSTRAK
Kajian ini bertujuan melihat kesan aplikasi pendekatan konstruktivisme dalam reka bentuk
pengajaran berasaskan perisian Geogebra dan pengaruhnya terhadap kefahaman dalam topik
Fungsi Trigonometri pelajar Tingkatan Lima Sains 1. Kajian ini telah dijalankan di sebuah sekolah
di Daerah Serian Sarawak. Kumpulan sasaran kajian ini adalah terdiri daripada 22 orang pelajar .
Dalam kajian ini, data dikumpulkan melalui ujian ringkas bagi kaedah tradisional dan kaedah
konstruktivisme berasaskan perisian geogebra, pemerhatian, soal selidik dan temubual. Dapatan
daripada ujian ringkas bagi kaaedah penggunaan perisian Geogebra akan digunakan untuk memilih
responden untuk ditemubual. Seramai 3 responden akan dipilih bagi kategori cemerlang, sederhana
dan gagal. Dapatan hasil temubual mendapati penggunaan perisian geogebra dengan menggunakan
pendekatan konsrutktivisme dapat menarik minat pelajar dalam melakar graf melalui kaedah
penerokaan dan pelajar berasa seronok meggunakan perisian geogebra. Dapatan soal selidik pula
menunjukkan penggunaan perisian ini menarik minat pelajar melakarkan graf bagi sinus, tangent dan
kosinus melalui kaedah penerokaan, dan inkuiri. Dapatan ujian ringkas yang telah dijalankan
mendapati pelajar mendapat keputusan yang cemerlang selepas menggunakan perisian Geogebra.
Kesimpulannya, pendekatan konstruktivisme berasaska perisian Geogebra merupakan satu kaedah
dan pendekatan yang sangat menarik dan menyeronokkan serta berkesan.




PENGENALAN

Falsafah Pendidikan Negara mempunyai matlamat dalam memperkembangkan fungsi murid secara
menyeluruh dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani supaya mereka dapat menjalani kehidupan seharian mereka dengan
berkesan dan penuh tanggungjawab. Bagi mencapai matlamat ini, guru memainkan peranan yang
amat penting dalam menyiapkan diri mereka dalam membuat pemilihan kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang lebih bijaksana supaya kaedah yang dipilih itu sesuai dengan murid-murid yang
pelbagai kebolehan dan minat.
3

Pengajaran abad ke-21 merupakan pengajaran yang lebih menekankan kepada ketepatan dan
kecepatan kerana setiap pelajar mempunyai daya saing yang tinggi terutamanya dalam bidang sains
dan teknologi. Pendidikan masa kini kian bertambah maju sekiranya teknologi maklumat dan
komunikasi digunakan kerana ia dapat meningkatkan minat dan motivasi belajar serta mampu
mengasah pelbagai kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar pada abad ke-21 (Rusnah, et. al,
2005). Oleh itu, dengan adanya perkembangan teknologi yang begitu pesat membangun ini
menjadikan tanggungjawab sebagai guru untuk membolehkan pelajar bukan sahaja menerima apa
yang diajar dan diberikan tetapi juga dapat membuat, mengevaluasi, menganalisis, memainkan serta
yang paling penting ialah dapat memahami pembelajaran yang guru dedahkan. Pada abad ke-21,
perubahan dunia dalam semua bidang memberi makna bahawa guru harus memperkenalkan isi
kandungan baru dan kaedah pengajaran yang baru.
Menurut Noraini Idris (2005), kaedah pengajaran yang digunakan di dalam bilik darjah
menyebabkan proses pembelajaran hanya tertumpu kepada guru sahaja dan penglibatan pelajar pula
adalah lebih pasif dan lembab. Oleh kerana itu, peranan guru dalam mengajar mata pelajaran
matematik sangat penting kerana mata pelajaran yang berteraskan Sains dan Teknologi amat
dititikberatkan kepada pelajar agar mereka lebih cenderung kepada bidang tersebut dan seterusnya
menjadikan bidang tersebut sebagai asas kerjaya mereka. Ia amat jelas ditekankan dalam agenda
pendidikan dalam RMK-9 melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP)(KPM,
2006).
Pengajaran secara konstruktivisme bermaksud pengetahuan yang dibina secara aktif oleh
individu yang berfikir. Individu itu tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan yang
disampaikan oleh gurunya. Pelajar akan menyesuaikan sebarang maklumat baru dengan pengetahuan
sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi
sosial bersama rakan dan gurunya (Pusat Perkembangan kurikulum, 2001). Konstruktivisme juga
merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda
manusia (Suriaty & Nor Hazian 2002). Konstruktivisme merupakan satu kepercayaan bahawa
pembelajaran bermula dari pengetahuan dan pengalaman yang disimpan dalam storan memori atau
struktur kognitif pelajar. Dalam proses pembelajaran, maklumat baru diproses dan diserapkan untuk
dijadikan sebahagian daripada struktur kognitif di dalam minda.




4

PERNYATAAN MASALAH

Pendidikan matematik merupakan mata pelajaran yang sangat penting untuk diajarkan kepada pelajar
kerana matematik merupakan suatu ilmu yang dapat melatih pelajar untuk berfikir secara logik, kritis
dan sistematik. Matematik ialah suatu subjek ilmu yang dapat mendidik pelajar untuk
mengembangkan pemikiran mantik, analisis, kritis, sistematik, kemahiran penyelesaian masalah dan
kemahiran menggunakan ilmu pengetahuan matematik dalam kehidupan seharian (Razak & Asmah
2011).
Menyedari kepentingan pendidikan matematik pada masa kini, para pendidik perlulah
meningkatkan kemahiran mereka dalam pedagogi, menambah pengetahuan serta perlu mempunyai
komitmen yang tinggi terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik pelajar. Tanpa
strategi pengajaran yang sistematik, pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilaksanakan dengan
berkesan. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran Matematik. Kebanyakan guru
pada hari ini hanya tertumpu kepada buku teks sahaja dan mengajar berpusatkan guru. Akibatnya
pelajar hanya dapat mengikut contoh atau membuat penyelesaian seperti yang dijelaskan oleh
gurunya. Hal ini menyebabkan pelajar tidak mempunyai kemampuan untuk berfikir secara kreatif
kerana minda mereka hanya terisi dengan apa yang telah dijelaskan oleh gurunya. Menurut
Wahyuddin (2000), di antara penyebab rendahnya pencapaian pelajar dalam mata pelajaran
matematik adalah proses pembelajaran yang belum optimum.
Pengajaran yang baik dan menarik adalah pengajaran yang dibuat tersusun serta persediaan
awal dari segi perancangan kaedah penyampaian dan penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai.
Ini secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan kefahaman seseorang pelajar bagi sesuatu
topik. Peralatan yang dihasilkan berasaskan teknologi moden dapat digunakan secara praktik dalam
pengajaran dan pembelajaran guru. Oleh itu, bidang teknologi juga memainkan peranan penting yang
menjadi tapak asas yang kukuh dalam bidang pendidikan masa kini. Perkembangan teknologi
mencipta peralatan pengajaran memberi kesan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang dilakukan oleh guru dan juga bagi mempercepatkan proses pembelajaran dalam
kalangan pelajar.
Justeru itu, pendidikan pada hari ini perlu menggunakan pendekatan ataupun kaedah yang
mampu menarik minat pelajar-pelajar untuk belajar. Pengajaran dan pembelajaran yang di buat perlu
bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan semua golongan pelajar sama ada berkebolehan tinggi,
sederhana atau rendah. Kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu ada perubahan yang efektif untuk
menarik minat pelajar serta membuka minda pelajar supaya lebih fleksible dalam menimba ilmu
5

pengetahuan. Menurut Hidhir Ismail (2004), pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru pada
masa kini lebih gemar menggunakan kaedah tradisional. Ini menyebabkan pengajaran dan
pembelajaran menjadi tidak menyeronokkan dan menjadikan suasana pembelajaran menjadi bosan.
Pencapaian seseorang pelajar adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang kompleks.
Antaranya adalah pendekatan pengajaran yang digunakan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran. Sekiranya seseorang pelajar berminat untuk belajar, dia pasti akan mempunyai
kesungguhan yang tinggi terhadap pelajaran dan sebaliknya. Guru merupakan salah satu agen dalam
penentuan tahap pencapaian pelajar. Guru harus bijak dalam merangsang pelajar supaya dapat
menimbulkan minat mereka dalam melibatkan diri di dalam proses pembelajaran. Dengan kata lain,
pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru akan memberi kesan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran dalam mencorakkan pencapaian pelajar.
Pendidikan masa kini mengalami pelbagai gelombang perubahan yang semakin ketara dan
mencabar. Antaranya tercetusnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) (2013-1205)
yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan yang menggariskan strategi dan inisiatif
bagi mengupayakan peningkatan kualiti dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pada tahun 2011,
Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi telah menjalankan
kajian kualitatif tentang pengajaran guru. Daripada pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah
sekolah di seluruh Malaysia, didapati bahawa hanya 12% daripada pengajaran disampaikan pada
standard yang tinggi, iaitu melaksanakan lebih banyak amalan terbaik pedagogi, manakala 38% lagi
berada pada standard yang memuaskan. Sebaliknya, 50% daripada pemerhatian kajian menunjukkan
bahawa pengajaran yang disampaikan tidak memuaskan. Pengajaran tidak menarik minat murid
sepenuhnya apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan
kandungan mata pelajaran kerana guru lebih berhasrat untuk memastikan murid memahami
kandungan asas mata pelajaran untuk tujuan pentaksiran sumatif daripada menerapkan kemahiran
berfikir aras tinggi.
Kualiti pendidikan yang diperolehi oleh pelajar-pelajar di sekolah banyak bergantung kepada
kualiti pengajaran guru itu sendiri. Pelajar-pelajar di sekolah akan memperolehi pendidikan yang lebih
baik jika diajar oleh guru-guru yang bertindak sebagai pendidik dan memahami kaedah-kaedah
pendekatan pembelajaran yang berkesan.



6

LITERATUR
Penggunaan teori konstruktivisme sangat penting kerana teori ini terbukti sangat dominan dalam
pendidikan masa kini kerana menyediakan perubahan paradigma kepada pendekatan yang lebih
berasaskan kognitif berbanding pendekatan trdisional yang lebih kepada behaviourisme. Kajian yang
telah dilakukan oleh Peter, Abiadun dan Jonathan (2010), menunjukkan bahawa pendekatan
konstruktivisme memberi kesan yang positif kepada akademik pelajar. Pelajar dapat memahami apa
yang telah diajar dengan lebih berkesan berbanding dengan kaedah tradisional. Kenyataan ini turut
disokong oleh Abdul Jalil dan Bahtiar (2005), menyatakan bahawa pelajar membina makna mengenai
dunia dengan mensintesis pengalaman baru terhadap apa yang mereka telah faham sebelumnya.
Melalui prinsip konstruktivisme, ilmu pengetahuan dibina secara aktif oleh setiap individu
berasaskan pengalaman yang dilaluinya. Pelajar akan menjadi aktif semasa aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dijalankan kerana wujudnya hubungan dua hala diantara guru dengan pelajar. Selain itu,
pelajar tidak mudah bosan dan sentiasa mempunyai perasaan inkuiri yang kuat. Kenyataan ni turut
disokong oleh Vighnarajah, Wong Su Luan dan Kamariah (2008), mendapati guru yang menggunakan
pendekatan teori konstruktivisme dapat mengaktifkan pelajar dalam penglibatan proses pengajaran
dan pembelajaran.
Banyak kajian yang telah dijalankan menjelaskan bahawa Geogebra boleh digunakan dalam
pembelajaran Geometri, Kalkulus dan Algebra. Menurut Hohenwarter (2008) dengan adanya
pembelajaran menggunakan geogebra, pelajar tidak hanya mengilustrasikan dan berimaginasi lagi
tetapi pelajar dapat melakukan simulasi yang membolehkan pelajar membayangkan perkara yang
sebenar. Ia juga berkebolehan mengira perbezaan dan kemahiran bagi fungsi yang diberikan serta
penentuan punca kuasa dan nilai ekstremum (Effandi & Hut, 2012)
Menurut Mohini Mohamed & Esmawahida Multar (2012) , pembelajaran yang menggunakan
perisian Geogebra dan berasaskan web dapat meningkatkan keinginan dan mencetuskan rasa minat
pelajar dalam mempelajari matematik. Pelajar dapat melihat gambar dengan lebih jelas dan sekaligus
meningkatkan tahap visualisasi pelajar semasa proses pembelajaran.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Castronova (2002), dengan menggunakan WebQuest
dan alat pembelajaran yang menggunakan talian berdasarkan pembelajaran penemuan dibandingkan
dengan penggunaan kaedah tradisional dengan pengajaran yang sama. Hasil kajian ini mendapati
terdapat sedikit atau tiada perbezaan bagi prestasi di antara kedua-dua kumpulan. Pelajar lebih suka
melibatkan diri dalam pembelajaran di kelas yang diajar dengan menggunakan WebQuest berbanding
kaedah tradisional. Selain itu, interaksi di antara pelajar, guru dan rakan-rakan pelajar dilihat berada
pada peringkat pemikiran yang lebih tinggi dalam kelas yang menggunakan WebQuest.
7

Vighnarajah et al. (2008) menyatakan para guru perlu membuat kajian tentang tahap pelajar
sebelum sesuatu topik dibincangkan. Hasil kajian ini menyarankan supaya pelajar diberi peluang
untuk menjana eksperimen tersendiri, di mana ia boleh menjana tahap pemikiran pelajar itu sendiri.
Pelajar akan dapat mengeksplorasi pembelajaran mereka dengan tahap kreativiti yang tersendiri. Guru
hanya bertindak sebagai fasilitator atau pembantu dalam model yang disediakan. Oleh itu,
pembelajaran berasaskan kepada kepentingan kefahaman pembelajaran dan bukan akademik semata-
mata.
TUJUAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk:
i) Menilai keberkesanan pendekatan konstruktivisme terhadap penggunaan perisian Geogebra
dalam meningkatkan kefahaman pencapaian dan kefahaman pelajar dalam melakarkan graf.

METODOLOGI
Reka Bentuk Kajian

Data dikumpul dengan menggunakan ujian ringkas, soal selidik, kaedah temubual dan pemerhatian.
Temubual merupakan kegiatan atau perbuatan komunikasi yang di dalamnya penemu bual
mengemukakan soalan dengan tujuan untuk memperolehi maklumat daripada responden.
Persampelan

Kajian ini dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taee, Serian Sarawak yang melibatkan
pelajar tingkatan 5 Sains 1 (5S1). Terdapat seramai 22 orang pelajar dan kelas 5S1 merupakan satu-
satunya kelas yang mengambil subjek sains tulen. Kajian yang dijalankan adalah melibatkan
pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Matematik Tambahan.
Di dalam kajian ini, bilangan pelajar yang terlibat adalah seramai 22 orang. Oleh yang
demikian, penyelidik hanya mengambil jumlah sampel seramai 3 orang sebagai responden. Dalam
pemilihan sampel kajian, terdapat pelbagai pendapat mengenai jumlah persampelan yang sepatutnya
digunakan oleh para penyelidik. Menurut Azizi (2007), jumlah sampel yang diperlukan bagi mewakili
populasi dalam sesuatu kajian adalah sebanyak 10% daripada jumlah populasi.
8

Instrumen Kajian

Instrumen kajian yang terlibat adalah ujian ringkas, soal selidik, temubual dan pemerhatian.
Pemerhatian merupakan salah satu teknik yang boleh digunakan untuk mengesan kecerdasan pelbagai
responden secara langsung. Menurut Robson (2002), temu bual merupakan satu kaedah pengumpulan
data yang melibatkan aktiviti seorang penyelidik menyoal untuk mendapatkan jawapan-jawapan atau
respons yang dihajati daripada responden atau peserta penyelidikan.
Temu bual telah dijalankan ke atas 3 orang pelajar yang telah dipilih berdasarkan markah bagi
ujian selepas kaedah penggunaan perisian Geogebra dijalankan. Markah selepas kaedah menggunakan
teori konstruktivisme berasaskan perisian geogebra bagi responden yang dipilih akan dinilai dan
dibuat perbandingan dengan markah menggunakan kaedah tradisional. Penyelidik telah merekodkan
setiap butiran temu bual pelajar. Jangka masa bagi setiap sesi temu bual adalah dalam lingkungan 20
hingga 30 minit bagi setiap pelajar.
Soalan-soalan temubual yang digunakan ialah temu bual tidak berstruktur. Temu bual tidak
berstruktur digunakan oleh penyelidik untuk dijadikan sebagai garis panduan soalan yang berkaitan
sahaja. Ini adalah kerana respon pelajar yang ditemu bual mempunyai perbezaan di antara satu sama
lain. Menurut Gay dan Aiasian (2000), temu bual tidak berstruktur mengutamakan gerak dan gaya
individu yang ditemu bual. Dalam konteks ini, penyelidik telah mengubah suai soalan temu bual
berdasarkan kesesuaian pelajar-pelajar yang ditemu bual. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh
penyelidik adalah jenis terbuka supaya pelajar yang dikaji dapat berinteraksi dan menghuraikan
sesuatu perkara dengan baik.
Bagi mendapatkan kesahan ujian, pengkaji memastikan soalan-soalan yang dipilih adalah
bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar Tingkatan Lima. Seorang guru matematik tambahan yang
terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar lebih daripada 10 tahun telah menyemak soalan yang
telah disediakan unutk memastikan soalan-soalan tersebut sesuai dengan kebolehan pelajar Tingkatan
Lima. Terdapat 3 soalan yang telah disediakan dan jumlah markah keseluruhan adalah 21 markah.
Rakan pengkaji Cik Bong Yit Jin yang mahir dalam penggunaan perisian ini dan
berpengalaman mengajar tajuk Fungsi Trigonometri dijemput untuk membuat pemantauan dan
memberi komen. Beliau telah melakukan pemantauan sepanjang tempoh aktiviti kajian dijalankan.





9

Pengendalian Kajian

Kajian ini dijalankan selama tiga minggu. Bagi minggu yang pertama pelajar kelas 5S1 akan diajar
bagaimana melukis dan melakar graf dengan menggunakan kaedah tradisional. Kemudian, pelajar
akan diberi ujian ringkas. Bagi minggu yang seterusnya, pelajar akan didedahkan dengan cara
menggunakan perisian Geogebra sebelum mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kemudian, pelajar akan diajar dengan menggunakan pendekatan konstruktivisme yang berasaskan
perisian geogebra dalam melukis dan melakar graf. Ujian ringkas akan diberikan selepas aktiviti ini
selesai. Responden yang akan ditemubual dipilih berdasarkan markah ujian selepas mereka di ajar
menggunakan perisian Geogebra. Pelajar yang dipilih adalah pelajar yag mendapat markah yang
cemerlang, sederhana dan gagal. Responden yang terlibat adalah sebanyak 3 orang. Markah ujian bagi
responden yang telah dipilih selepas pendekatan konstrutivisme yang berasaskan perisian geogebra
akan dibandingkan dengan markah yang menggunakan kaedah tradisional. Minggu yang ketiga,
responden yang dipilih akan ditemubual.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Analisis Pemerhatian

Pelajar didapati tidak memberikan tumpuan semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan dan tidak
memberi respon terhadap soalan yang dikemukakan oleh guru semasa kaedah tradisional digunakan.
Tetapi pelajar sangat aktif dan seronok apabila mereka diajar dengan menggunakan perisian
Geogebra. Keaktifan pelajar di dalam kelas sewaktu pendekatan pembelajaran secara konstruktivisme
dengan menggunakan perisian Geogebra dijalankan dapat dilihat melalui tingkah laku pelajar yag
sering mengaitkan pengetahuan sedia ada mereka dengan pembelajaran yang sedang diajar.
Mengaitkan pengetahuan sedia ada pelajar ini kebiasaannya melalui pertanyaan. Kenyataan ini
disokong oleh Pusat perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (2001) yang
menyatakan bahawa dalam pembelajaran secara konstruktivisme, pelajar akan mengajukan beberapa
soalan yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi.


10

Analisis Ujian Ringkas
Jadual 1: Analisi keputusan Ujian Ringkas
Kategori Julat Markah Ujian menggunakan Kaedah
Tradisional
Ujian menggunakan perisian
Geogebra
Bil % Bil %
Cemerlang 17-21 0 0.00 14 63.64
Sederhana 9-16 4 18.18 7 31.82
Lemah 0-8 18 81.81 1 4.55

Data dalam Jadual 1 menunjukkan markah pencapaian bagi responden dalam kajian ini. Ia dibahagi
kepada tiga kategori iaitu lemah, sederhana dan cemerlang. Dapatan bagi ujian menggunakan kaedah
tradisional menunjukkan 18.18% pelajar mendapat pencapaian yang sederhana dan 81.81% mendapat
pencapaian yang lemah. Tiada responden yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang.
Setelah menggunakan perisian Geogebra, dapatan menunjukkan peningkatan yang sangat ketara bagi
kategori cemerlang iaitu 63.64%. Seramai 31.82% responden mendapat keputusan yang sederhana
iaitu peningkatan sebanyak 13.64% berbanding ujian sebelum ini. Hanya seorang responden
mendapat keputusan yang lemah.

Analisis Soal Selidik
Bagi menentukan keberkesanan tindakan yang dilaksanakan, pengkaji telah memberikan soal selidik
kepada pelajar yang menjadi responden dalam kajian ini. Berikut merupakan hasil dapatan dari
analisa soal selidik tersebut.
Berdasarkan Jadual 2, 90.91% responden bersetuju bahawa mereka menghadapi masalah
dalam melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus dan 86.37% mengambil masa yang lama dalam
melakarkan graf bagi sinus, tangen dan kosinus. Setelah tindakan diambil, 90.91% bersetuju bahawa
mereka tidak menghadapi masalah dalam melakarkan graf. Sebanyak 100% responden bersetuju
bahawa tindakan ini dapat mempercepatkan mereka melakarkan graf.
Tindakan yang dilaksanakan oleh pengkaji juga telah dapat meningkatkan minat responden
sebanyak 100% dalam mempelajari melakarkan graf. Sebelum tindakan 18.18% responden tidak
berminat mempelajari melakarkan graf tetapi selepas tindakan didapati 100% responden berminat
mempelajari melakarkan graf.
11

Jadual 2: Dapatan Kajian Soal Selidik
BIL ITEM
1 2 3 4
Amat
Setuju
n(%)
Setuju
n(%)
Tidak
Setuju
n(%)
Amat
Tidak
Setuju
n(%)
Sebelum menggunakan perisian Geogebra
1. Menghadapi masalah dalam melakar graf bagi
sinus, tangen dan kosinus.
8
(36.36)
12
(54.55)
1
(4.55)
1
(4.55)
2. Berminat mempelajari melakar pelbagai jenis
graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
7
(31.82)
11
(50.00)
4
(18.18)
0
3. Berminat mengetahui ciri-ciri bagi graf sinus,
tangen dan kosinus.
2
(9.09)
18
(81.82)
2
(9.09)
0
4. Mengambil masa yang lama untuk melakarkan
graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
3
(13.64)
16
(72.73)
3
(13.64)
0
Pandangan terhadap perisian Geogebra
5. Tidak menghadapi masalah dalam melakar graf
bagi sinus, tangen dan kosinus.
8
(36.36)
12
(54.55)
2
(9.09)
0
6. Berminat mempelajari melakar pelbagai jenis
graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
10
(45.45)
12
(54.55)
0 0
7. Berminat mengetahui ciri-ciri bagi graf sinus,
tangen dan kosinus.
9
(40.91)
11
(50.00)
2
(9.09)
0
8. Mengambil masa yang lama untuk melakarkan
graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
0 1
(4.55)
9
(40.91)
12
(54.55)
9. Membantu dalam kemahiran melakar graf. 12
(54.55)
10
(45.45)
0 0
10 Membantu melakar graf bagi sinus, tangen dan
kosinus dengan lebih cepat.
11
(50.00)
11
(50.00)
0 0
11. Membantu melakar graf bagi sinus, tangen dan
kosinus melalui penerokaan.
14
(63.64)
8
(36.36)
0 0
12. Membantu memahami konsep bagi ciri-ciri graf
sinus, tangen dan kosinus.
10
(45.45)
12
(54.55)
0 0

12

Dapatan keseluruhan dari soal selidik menunjukkan hampir semua responden bersetuju bahawa
penggunaan perisian Geogebra dapat meningkatkan minat dan membantu responden dalam
memahami konsep melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus serta memahami ciri-ciri bagi graf
tersebut dengan lebih cepat dan mudah.

Analisis Temubual
Seramai 3 orang responden telah ditemubual. Pemilihan responden untuk ditemubual adalah dipilih
mengikut kategori bagi pencapaian ujian selepas menggunakan perisian Geogebra. Secara
keseluruhan kesemua responden bersetuju menggunakan perisian Geogebra dalam mempelajari mata
pelajaran Matematik Tambahan bagi tajuk Fungsi Trigonometri kerana ianya dapat membantu pelajar
melukis graf dan memahami konsep graf dalam fungsi trigonometri dengan lebih berkesan.
Walaubagaimanapn, seorang responden berpendapat masa yang lebih lama harus diberikan kepada
mereka untuk menguasai penggunaan perisian ini. Responden menyatakan bahawa perisian ini amat
menarik dan menyeronokkan kerana mereka sendiri dapat mengeksplorasi sendiri sifat-sifat graf.
Dari segi kefahaman pelajar terhadap sesuatu ilmu yang diajar, penyelidik mendapati bahawa
para pelajar yang telah diperkenalkan dengan pendekatan seperti konstruktivisme, dan inkuiri ini
dapat mengaplikasikan dan menggunakan pengetahuan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi
kefahaman mereka. Kenyataan ini turut disokong oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian
Pendidikan Malaysia (2001), yang menyatakan bahawa murid akan menyesuaikan sebarang maklumat
baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan gurunya.

RUMUSAN

Pada zaman teknologi dan informasi yang semakin pesat berkembang ini, pembelajaran mestilah
mengikut perkembangan yang sedia ada agar mampu menyeimbangi arus globalisasi tersebut. Hal ini
adalah supaya pelajar turut terlibat dalam situasi semasa. Penggunaan perisian geogebra merupakan
pembelajaran gabungan geometri dan algebra supaya ianya dapat digunakan sebagai medium untuk
mempelajari matematik. Dengan menggunakan pendekatan perisian geogebra ini, pelajar dapat
menggunakan kemahiran mereka dalam menerokai topik yang mereka pelajari.
Geogebra merupakan suatu proses pembelajaran yang interaktif, yang mana mereka berupaya
melakukan penerokaan, penyiasatan dan membina pengetahuan yang sedia ada. Selain itu, pelajar
13

tidak mengalami masalah dalam mencari bahan pelajaran yang divisualisasikan melalui video
pergerakan geogebra yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan pelajar terhadap sesuatu konsep
matematik. Dengan adanya perisian Geogebra ini, pelajar bukan sahaja semakin mahir dalam
penggunaan komputer malah pelajar juga menjadi semakin kreatif dengan pembelajaran matematik. Ia
amat berbeza dengan pendekatan tradisional yang bersifat tutorial dimana pelajar hanya didedahkan
dengan maklumat dan penerangan yang berkaitan dan disusuli dengan latihan sebagai pemahaman
yang diberikan oleh guru.
Pelajar seharusnya memahami dan menghayati sesuatu kemahiran proses matematik. Peranan
guru amatlah penting dari aspek pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada mengawal pelajar
dalam mempelajari bahan pengajaran, guru juga harus menjelaskan konsep yang sukar difahami dan
menilai pembelajaran pelajar. Penggunaan perisian Geogebra ini akan dapat digunakan untuk
menyelesaikan persoalan matematik dan penguasaan konsep matematik pelajar dalam jangka masa
yang panjang. Penggunaan Geogebra sebagai bahan bantu mengajar dapat mengetengahkan konsep
dengan tepat. Ini bermaksud pelajar dapat menyaksikan sendiri tunjuk cara dan bahan bantu mengajar
yang digunakan oleh guru semasa menyampaikan pengajaran dalam makmal komputer. Pengajaran
guru akan lebih mudah dengan penggunaan bahan bantu mengajar, lebih-lebih lagi bahan yang
digunakan itu bersesuaian dengan tajuk pelajaran yang disampaikan oleh guru.

RUJUKAN

Abdul Jalil Othman & Bahtiar Omar (2005) Aplikasi pembelajaran secara konstruktivisme dalam
pengajaran karangan berpandu. Makalah Pendidikan, 4: 6-8
Abdul Razak Bin Idris & Nor Asmah Binti Salleh . (2011). Pendekatan pengajaran yang digunakan
oleh guru sekolah menengah di daerah Johor Bahru dalam pengajaran dan pembelajaran matematik.
Journal of Science and Mathematics Educational: 3 (1) 134-149: Fakulti Pendidikan, Universiti
Teknologi Malaysia
Castronova, J. A. (2002) Discovery Learning for the 21st Century
Effandi & Hut. (2012). Teknologi maklumat dan komunikasi dalam Pendidikan Matematik dan Sains
Hohenwarter M., Hohenwarter J., Kreis Y. & Lavicza. (2008) Teaching and calculus with free
mathematics software Geogebra. 11th International Congress on Mathematical Education. Mexico, 1-
10
14

Noraini Idris (2005). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. (Edisi 5) Kuala Lumpur: Utusan
Publication
Rusnah Abd Karim, Aziah Khairuddin & Maziah Omar et al. (2005). Cabaran-cabaran dalam bidang
pendidikan di Alaf Baru. Kertas Kerja Isu Pendidikan Malaysia.
Vighnarajah, Wong Su Luan & Kamariah Abu Bakar (2008). The shift in the role of teachers in the
learning process. European Journal of Social Sciences, 7(2).
Wahyuddin.(2000). Kemampuan guru matematika, calon guru matematik dan siswa dalam mata
pelajaran matematika. Tesis PPSIKIP Bandung: Bandung
15

LAMPIRAN A
Jawab semua soalan berikut.
1. (a) Lakarkan graf 3sin2 y x bagi 0 x 2. [ 4 markah ]
(b) Seterusnya, dengan menggunakan paksi yang sama, lakar satu garis lurus yang sesuai
untuk mencari bilangan penyelesaian bagi persamaan 3 sin 2x = x bagi 0 x 2.
Nyatakan bilangan penyelesaian itu. [ 3 markah ]
2. (a) Lakarkan graf 2cos 2 1 y x bagi 0 x
3
2
. [ 4 markah ]
(b) Seterusnya, dengan menggunakan paksi yang sama, lakar satu garis lurus yang sesuai
untuk mencari bilangan penyelesaian bagi persamaan 4 cos 2x + = 2x bagi 0 x
3
2
.
Nyatakan bilangan penyelesaian itu. [ 3 markah ]

3. (a) Lakarkan graf tan y bagi 0 x 2. [ 4 markah ]
(b) Seterusnya, dengan menggunakan paksi yang sama, lakar satu garis lurus yang sesuai
untuk mencari bilangan penyelesaian bagi persamaan
2
2
sec 5
x

bagi 0 x 2.
Nyatakan bilangan penyelesaian itu. [ 3 markah ]












16

LAMPIRAN B
Soal Selidik
Melukis/melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus dengan menggunakan perisian Geogebra
Soal selidik ini bertujuan untuk mendapat pandangan anda terhadap penggunaan perisian Geogebra
dalam pembelajaran melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus bagi topik Fungsi Trigonometri. Sila
jawab semua soalan. Terima kasih atas kerjasama anda.
Pendapat anda terhadap perisian Geogebra dalam pembelajaran melakar graf bagi sinus, tangen dan
kosinus. Sila jawab dengan jujur. Tandakan di ruangan yang berkenaan.
1 Amat setuju
2 Setuju
3 Tidak setuju
4 Amat tidak setuju
Sebelum menggunakan perisian Geogebra 1 2 3 4
1. Menghadapi masalah dalam melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
2. Berminat mempelajari melakar pelbagai jenis graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
3. Berminat mengetahui ciri-ciri bagi graf sinus, tangen dan kosinus.
4. Mengambil masa yang lama untuk melakarkan graf bagi sinus, tangen dan
kosinus.

Pandangan terhadap perisian Geogebra
5. Tidak menghadapi masalah dalam melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
6. Berminat mempelajari melakar pelbagai jenis graf bagi sinus, tangen dan kosinus.
7. Berminat mengetahui ciri-ciri bagi graf sinus, tangen dan kosinus.
8. Mengambil masa yang lama untuk melakarkan graf bagi sinus, tangen dan
kosinus.

9. Membantu dalam kemahiran melakar graf.
10. Membantu melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus degan lebih cepat.
11. Membantu melakar graf bagi sinus, tangen dan kosinus melalui penerokaan.
12. Membantu memahami konsep bagi ciri-ciri graf sinus, tangen dan kosinus.

SEKIAN TERIMA KASIH

Вам также может понравиться