Вы находитесь на странице: 1из 3

ISU PENDIDIKAN SEMASA INTEGRASI NASIONAL

Usaha untuk mewujudkan kesatuan dan perpaduan dalam sebuah negara


berbilang agama dan budaya merupakan suatu perkara yang mencabar. Usaha ini
harus dimulakan dari bangku sekolah supaya lebih berkesan dan mudah untuk
dilaksanakan, bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sebagai
seorang guru, kita harus pastikan semua lapisan masyarakat diberikan layanan yang
sama khususnya dalam bidang pendidikan. Pendidikan adalah kepentingan awam dan
mempunyai peranan yang sangat penting untuk memupuk integrasi antara murid-murid
yang pelbagai budaya.
Isu semasa dalam bidang pendidikan yang boleh dikaitkan dengan artikel
Culturally Relevant Pedagogy adalah pelaksanaan integrasi nasional oleh kerajaan.
Dalam bidang pendidikan, tujuan integrasi nasional adalah untuk meningkatkan
kefahaman murid mengenai kepelbagaian kebudayaan masyarakat Malaysia. Hal ini
menunjukkan kerajaan juga sedar akan kepentingan dalam mengambil kira faktor
kebudayaan dalam pendidikan seperti yang telah disarankan oleh penulis artikel.
Penulis telah menyatakan bahawa seorang guru harus menerima kepelbagaian murid
seiring dengan hasrat integrasi nasional. Penulis juga menyarankan guru untuk
mengambil kira kepelbagaian murid dalam merancang aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, aktiviti yang dijalankan akan sesuai untuk setiap murid dan
mereka akan melibatkan diri secara positif bersama rakan sekelas.
Dalam pelaksanaan integrasi nasional, terdapat beberapa usaha yang telah
dilaksanakan oleh kerajaan menerusi sistem pendidikan. Menurut penulis, antara isu
dalam kepelbagaian budaya dalam kalangan murid adalah dari aspek linguistik. Hal ini
adalah selaras dengan usaha kerajaan melalui penggunaan bahasa yang sama dalam
sistem pendidikan iaitu bahasa melayu. Oleh itu, komunikasi boleh berlaku dengan
mudah dan menggalakkan murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama lain.
Lantas, hal ini akan mewujudkan persekitaran mesra budaya seperti yang disarankan
oleh penulis artikel.
Di samping itu, pihak kerajaan juga telah memperkenalkan konsep Sekolah
Wawasan sebagai salah satu pendekatan alternatif untuk memupuk integrasi nasional
dan perpaduan dalam kalangan murid yang pelbagai kaum. Konsep ini dilaksanakan
melalui pembinaan dua atau tiga jenis sekolah rendah baharu yang berlainan bahasa
pengantar dan pentadbiran dalam kawasan yang sama serta berkongsi kemudahan
asas yang sama. Hal ini akan memupuk nilai demokrasi dalam kalangan murid-murid.
Menurut penulis, antara ciri bilik darjah yang mesra budaya adalah terdapat unsur
demokrasi. Apabila murid-murid yang berlainan kaum belajar dalam kawasan yang
sama, mereka akan belajar untuk bertolak ansur dan menerima perbezaan rakan-
rakannya yang lain.
Antara kekuatan artikel Culturally Relevant Pedagogy adalah intipatinya yang
sangat padat dan mendalam mengenai isu pedagogi relevan budaya. Artikel ini juga
telah memberikan pelbagai tips dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah yang
kondusif dan mesra budaya. Penulis telah berjaya menghuraikan dengan baik sekali
lengkap dengan rujukan yang sahih. Memandangkan negara Malaysia terdiri daripada
pelbagai kaum, isu ini harus diberikan perhatian. Pada pendapat saya, setiap guru
seharusnya membaca dan mengambil iktibar dari artikel ini kerana isi kandungannya
yang sangat berguna dan boleh membantu dalam meningkatkan kualiti profesionalisme
perguruan. Sebagai seorang guru, saya akan menitikberatkan perkara ini dengan
hasrat untuk menjadi seorang guru yang serba boleh dan berkesan.
Selain itu, cara penulisan artikel ini juga adalah tersusun, sistematik dan
menggunakan laras bahasa yang mudah untuk difahami. Walaupun medium penulisan
artikel ini adalah bahasa inggeris, namun mesej yang ingin disampaikan oleh penulis
boleh diterima dengan mudah oleh pembaca. Contoh-contoh yang konkrit juga telah
diberikan oleh penulis. Sebagai contoh, penulis telah membuat analogi strategi
pengajaran boleh dianggap sebagai kaleidoskop kerana sifatnya yang dinamik dan
sentiasa berubah-ubah. Oleh itu, para pembaca akan mudah untuk memahami konsep
yang ingin disampaikan oleh beliau.
Walaubagaimanapun, artikel ini juga mempunyai kelemahan iaitu penulis tidak
menggunakan gambar dan ilustrasi grafik. Sekiranya beliau menyelitkan beberapa
keping gambar yang berkaitan, para pembaca akan lebih tertarik untuk membaca
artikel. Penulis juga boleh menyelitkan beberapa peta minda supaya para pembaca
boleh mengetahui isi kandungan artikel secara ringkas. Oleh itu, pembaca boleh
mengenal pasti isi-isi penting dalam artikel dengan mudah dan cepat.
Secara kesimpulannya, artikel Culturally Relevant Pedagogy oleh Gilda Oran ini
adalah sangat berguna khususnya kepada barisan pendidik. Artikel ini mempunyai
pelbagai maklumat yang boleh membantu seorang guru untuk mewujudkan
persekitaran bilik darjah yang mesra budaya dan efektif.

Вам также может понравиться