Вы находитесь на странице: 1из 10

PENGGUNAAN KAEDAH STEP-LADDER UNTUK MENINGKATKAN

PENGUASAAN KONSEP NILAI TEMPAT DAN KEMAHIRAN


PENGUMPULAN SEMULA BAGI TOPIK PENAMBAHAN
DALAM KALANGAN MURID TAHUN 2


Zainina binti Zulkifli
zaininazulkifli@gmail.com

Goh Thian Hee
gohthianhee@gmail.com

Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang


Abstrak

Penyelidikan tindakan ini bertujuan untuk mengkaji penggunaan Kaedah
Step-Ladder dalam meningkatkan penguasaan konsep nilai tempat dan
kemahiran mengumpul semula bagi topik penambahan dalam kalangan murid
Tahun 2. Responden terdiri daripada 20 orang murid Tahun 2 di salah sebuah
sekolah di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Data telah
dikumpulkan melalui ujian pra, ujian pasca, analisis dokumen, soal selidik,
pemerhatian dan senarai semak. Hasil analisis ujian pra dan pasca telah
menunjukkan peningkatan nilai min sebanyak 30.00 markah daripada 56.50
kepada 86.50. Nilai sisihan piawai berdasarkan keputusan ujian pasca telah
berkurangan sebanyak 6.89 iaitu daripada 16.52 kepada 9.63. Di samping itu,
terdapat peningkatan sebanyak 60% dalam kategori cemerlang dalam ujian
pasca iaitu daripada 0% kepada 60% . Peningkatan sebanyak 5% juga
berlaku dalam kategori pencapaian baik. Menerusi dapatan soal selidik,
Kaedah Step-Ladder telah berjaya meningkatkan minat responden terhadap
matematik sebanyak 35% . Minat responden untuk menyelesaikan soalan
penambahan juga telah meningkat sebanyak 25% . Pemahaman responden
terhadap penerangan guru juga turut meningkat sebanyak 25% . Malah,
terdapat juga peningkatan sebanyak 35% dalam aspek pemahaman responden
terhadap kaedah penambahan yang dipilih. Keseluruhannya, penggunaan
Kaedah Step-Ladder dapat meningkatkan penguasaan konsep nilai tempat
dan kemahiran mengumpul semula dengan berkesan bagi topik penambahan
dalam kalangan murid Tahun 2.

Pendahuluan

Konsep matematik merupakan satu cabaran yang besar bagi masyarakat terutamanya
kepada generasi yang berada di bangku sekolah. Menurut Skemp (1989), matematik adalah
subjek yang sukar dan lebih susah untuk dikuasai berbanding subjek-subjek yang lain. Masalah
murid lemah dalam kemahiran matematik sentiasa membelenggu para pendidik dan menjadi isu
utama dalam bidang pendidikan negara kita. Dalam penyelesaian soalan penambahan, terdapat
dua kesalahan yang sering dilakukan oleh murid-murid. Antaranya adalah kesalahan dalam
konsep nilai tempat. Para murid sering salah dalam menyusun digit mengikut nilai tempat
dengan betul terutamanya apabila melibatkan penambahan dua nombor yang berbeza bilangan
digit. Rajah 1 menunjukkan contoh kesilapan murid dalam menyusun digit mengikut nilai
tempat yang betul.

Rajah 1: Kesilapan nilai tempat


Kesalahan juga berlaku dalam konsep pengumpulan semula. Murid-murid sering
menambah setiap digit secara berasingan dengan anggapan bahawa setiap digit tidak
mempunyai hubung kait. Nilai tambah bagi dua digit yang melebihi 9 tidak dikumpul semula.
Sebaliknya, kebanyakan mereka hanya menulis terus hasil tambah pada jawapan. Rajah di
bawah menunjukkan contoh kesilapan murid dalam pengumpulan semula.

Rajah 2: Kesilapan dalam pengumpulan semula

Fokus Kajian

Fokus kajian ini adalah untuk membantu murid tahun 2 dalam meningkatkan
penguasaan konsep nilai tempat dan kemahiran pengumpulan semula bagi topik penambahan
sehingga nombor 1000 melalui Kaedah Step-Ladder. Terdapat tiga isu yang ingin difokuskan
oleh pengkaji dan dirasakan perlu dititikberatkan dalam pengajaran dan pembelajaran
matematik. Isu atau masalah pertama yang sering dilakukan oleh murid semasa penyelesaian
masalah tambah adalah meletakkan digit di nilai tempat yang salah semasa menyelesaikan
secara bentuk lazim. Kesilapan ini sering kali berlaku tambahan pula apabila melibatkan
penambahan dua nombor yang mempunyai bilangan digit yang berbeza. Mereka hanya
meletakkan digit secara sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira nilai tempat setiap digit.
Isu yang seterusnya adalah pengumpulan semula dalam operasi penambahan. Kesilapan yang
sering dilakukan oleh murid dalam operasi penambahan adalah tidak mengumpul semula
apabila hasil tambah adalah lebih daripada 9. Isu ketiga yang difokuskan oleh pengkaji adalah
kurangnya minat dalam kalangan murid-murid terhadap mata pelajaran matematik. Murid tidak
faham tentang konsep penambahan, para murid juga berpendapat matematik adalah subjek yang
sukar untuk difahami dan mempunyai banyak pengiraan yang membebankan mereka. Lantas,
mereka hilang minat untuk belajar matematik. Justeru, pengkaji telah mengaplikasikan Kaedah
Step-Ladder sebagai kaedah alternatif dalam penyelesaian soalan penambahan.

Objektif Kajian dan Persoalan Kajian

Objektif khusus kajian ini adalah :

i. Membantu murid-murid tahun 2 untuk mengurangkan kesilapan dalam menyelesaikan
soalan penambahan nombor bulat hingga 1000 dengan menggunakan Kaedah Step-
Ladder.
ii. Meningkatkan prestasi murid tahun 2 dalam menyelesaikan soalan penambahan
nombor bulat hingga 1000 dengan menggunakan Kaedah Step-Ladder.
iii. Meningkatkan minat murid tahun 2 dalam menyelesaikan soalan penambahan nombor
bulat hingga 1000 dengan menggunakan Kaedah Step-Ladder.

Kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan kajian yang berikut :

i. Sejauh manakah Kaedah Step-Ladder dapat membantu murid-murid tahun 2 untuk
mengurangkan kesilapan dalam menyelesaikan soalan penambahan nombor bulat
hingga 1000?
ii. Setakat manakah Kaedah Step-Ladder dapat meningkatkan prestasi murid tahun 2
dalam menyelesaikan soalan penambahan nombor bulat hingga 1000?
iii. Sejauh manakah Kaedah Step-Ladder dapat meningkatkan minat murid tahun 2
dalam menyelesaikan soalan penambahan nombor bulat hingga 1000?

Kumpulan Sasaran

Responden telah dipilih dari salah sebuah sekolah di Simpang Ampat, Seberang Perai
Selatan, Pulau Pinang. Responden terdiri daripada murid Tahun 2 daripada kelas kedua
daripada tiga buah kelas. Responden yang telah dipilih adalah seramai 20 orang iaitu 8 orang
murid lelaki dan 12 orang murid perempuan. Kesemua responden adalah berbangsa Melayu.
Responden terdiri daripada murid-murid yang berpencapaian sederhana dan lemah dalam
matematik dan sering melakukan kesalahan semasa menyelesaikan soalan penambahan di
dalam bilik darjah.

Prosedur Tindakan

Model Kemmis dan McTaggart (1988, seperti dinyatakan dalam Noraini, 2010) adalah
antara model penyelidikan yang paling ringkas dan mudah untuk dilaksanakan. Dengan
menggunakan Model Kemmis dan McTaggart (1988), proses pertama adalah merancang.
Langkah pertama dalam perancangan pelaksanaan Kaedah Step-Ladder adalah merancang dan
menentukan bilangan responden. Pengkaji telah membuat analisis dokumen bagi mengenal
pasti murid-murid yang lemah dalam topik penambahan untuk dipilih sebagai responden.
Berdasarkan hasil kerja mereka, pengkaji dapat mengenal pasti murid-murid yang sesuai untuk
dijadikan sebagai responden dengan mudah. Terdapat empat kriteria yang telah ditetapkan
untuk dipilih sebagai responden. Responden telah dipilih sekiranya murid tersebut menepati
salah satu kriteria. Kriteria pertama adalah melakukan kesilapan nilai tempat dalam
menyelesaikan soalan penambahan. Kriteria yang kedua adalah murid tersebut tidak berupaya
untuk mengumpul semula dengan betul dalam soalan penambahan. Kriteria ketiga pula adalah
pasif dan kurang berminat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran topik penambahan.
Kriteria yang terakhir adalah keputusan ujian matematik yang pernah diperoleh tidak begitu
memberangsangkan. Akhirnya, 20 orang responden telah dipilih. Langkah kedua dalam proses
merancang adalah menentukan cara pengajaran Kaedah Step-Ladder kepada responden.
Pengkaji telah mengambil keputusan untuk mendedahkan kaedah alternatif ini berbantukan
bahan bantu belajar berbentuk kad. Bahan tersebut dinamakan Kad Step-Ladder.
Proses yang kedua dalam Model Kemmis dan McTaggart (1988) adalah bertindak.
Dalam proses ini, pengkaji telah menjalankan ujian pra.Sebelum menjalankan ujian pra ini,
pengkaji telah memberikan arahan dan menerangkan peraturan pelaksanaan ujian kepada
responden. Semasa pelaksanaan ujian pra, 20 orang responden tersebut telah diberikan 30 minit
untuk menjawab semua soalan dalam ujian pra. Setiap responden juga telah diberikan borang
soal selidik pra. Setiap responden perlu menjawab borang soal selidik pra dengan telus tanpa
mengambil kira pandangan orang lain. Tujuan utama soal selidik pra adalah mengkaji tiga
aspek dalam kalangan responden iaitu minat, pencapaian dan pemahaman terhadap matematik
sebelum intervensi dijalankan.
Setelah ujian pra dan soal selidik pra dijawab, Kaedah Step-Ladder telah
diperkenalkan kepada responden. Setiap responden diberikan sekeping Kad Step-Ladder yang
telah dibina. Berbantukan bahan ini, pengkaji telah menerangkan cara untuk menyelesaikan
soalan penambahan dengan menggunakan satu contoh di hadapan. Responden dibimbing untuk
menuliskan soalan di ruangan yang telah disediakan pada Kad Step-Ladder. Contoh yang
telah digunakan adalah 563+271. Responden dibimbing untuk menuliskan soalan di ruangan
yang telah disediakan pada Kad Step-Ladder seperti dalam Rajah 3.











Rajah 3: Penulisan soalan pada Kad Step-Ladder

Seterusnya, responden telah dibimbing oleh pengkaji untuk menulis dua nombor yang
ingin ditambah dalam ruangan mengikut nilai tempat sa, puluh dan ratus dengan betul. Langkah
ini adalah seperti dalam Rajah 4.












Rajah 4: Menulis dua nombor dalam ruangan mengikut nilai tempat
Kaedah Step-Ladder hanya melibatkan empat langkah mudah. Langkah pertama
adalah menambah dua digit yang berada pada nilai tempat sa bagi kedua-dua nombor. Hasil
tambah kedua-dua digit ini perlu dituliskan dalam ruangan kosong pada baris pertama seperti
ditunjukkan dalam Rajah 5 . Berdasarkan contoh soalan yang telah diberikan, 3 dan 1 yang
berada di nilai tempat sa perlu dijumlahkan.











Rajah 5: Menambah digit pada nilai tempat sa

Langkah kedua dalam Kaedah Step-Ladder adalah menjumlahkan dua digit pada nilai tempat
puluh bagi kedua-dua nombor. Responden telah dibimbing untuk menuliskan hasil tambah bagi
nilai tempat puluh pada baris kedua seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 6.












Rajah 6: Menambah digit pada nilai tempat puluh
Rajah 7 menunjukkan langkah ketiga iaitu menambah dua digit yang berada pada nilai tempat
ratus pula.














Rajah 7: Menambah digit pada nilai tempat ratus
Rajah 8 menunjukkan langkah yang ke-empat. Langkah yang terakhir dalam Kaedah Step-
Ladder ini adalah menjumlahkan digit yang telah ditulis mengikut lajur.

















Rajah 8: Menambah Digit Secara Menegak

Oleh itu, jawapan yang diperoleh adalah 834. Setelah kaedah alternatif ini diaplikasi,
ujian pasca telah dilaksanakan pada responden yang sama. Tindakan ini adalah untuk mengenal
pasti sejauh mana Kaedah Step-Ladder dapat membantu responden dalam mengurangkan
kesilapan dalam topik penambahan nombor bulat. Bilangan responden yang telah menggunakan
Kaedah Step-Ladder dan bilangan responden yang masih menggunakan bentuk lazim juga
telah dikenal pasti. Kedua-dua data ini dapat menunjukkan sama ada kaedah alternatif ini dapat
menarik perhatian responden berbanding bentuk lazim atau tidak. Pencapaian responden dalam
ujian pra dan ujian pasca telah dibandingkan untuk mengenal pasti perubahan prestasi murid
dalam penyelesaian soalan penambahan. Borang soal selidik pasca juga telah diedarkan kepada
responden bagi mengenal pasti kefahaman, minat dan perasaan mereka terhadap matematik
khususnya topik penambahan setelah intervensi.
Proses ketiga dalam Model Kemmis dan McTaggart (1988) adalah memerhati. Setelah
kaedah intervensi diperkenalkan, pengkaji telah menjalankan pemerhatian ke atas sikap dan
respon responden terhadap aktiviti yang dijalankan. Sikap dan tahap penglibatan responden
telah diperhatikan dan dinilai. Segala data yang dapat diperoleh melalui kaedah ini telah
direkodkan dalam senarai semak yang disediakan oleh pengkaji. Oleh itu, perubahan tingkah
laku dan tahap penguasaan kemahiran menambah responden dirujuk dan dibandingkan dengan
jelas antara sebelum dan selepas intervensi. Segala dapatan kajian juga dianalisa bagi mengenal
pasti keberkesanan kaedah alternatif ini terhadap prestasi dan minat responden.
Proses yang terakhir dalam Model Kemmis dan McTaggart (1988) adalah mereflek.
Setelah dapatan kajian diperoleh, beberapa cadangan telah diusulkan bagi menambah baik
kajian yang seterusnya.

Cara Pengumpulan Data

Berdasarkan matriks triangulasi, pengkaji telah mengambil keputusan untuk
menggunakan tiga kaedah untuk mengumpul data mengenai penyelidikan tindakan ini iaitu
ujian pra dan pasca, pemerhatian dan soal selidik. Ujian pra telah dijalankan ke atas responden
untuk mengenal pasti tahap prestasi dan kesilapan murid sebelum kaedah intervensi
dilaksanakan. Dalam proses ini, pengkaji telah menjalankan ujian pra yang mengandungi 10
soalan subjektif melibatkan topik penambahan nombor bulat hingga 1000 dalam kalangan
murid tahun 2. Soalan-soalan tersebut telah digubal dengan tahap kesukaran yang berbeza dan
disusun secara rawak. Ujian pra bertujuan untuk mengetahui tahap dan pengetahuan sedia ada
murid-murid mengenai kemahiran menambah nombor sehingga 1000 dengan menggunakan
Kaedah Tradisional iaitu Kaedah Lazim. Ujian pasca pula telah diberikan kepada responden
setelah selesai proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan Kaedah Step-Ladder.
Pemerhatian telah dijalankan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung ke atas sikap dan maklum balas responden terhadap aktiviti yang dijalankan. Sikap
dan tahap penglibatan responden juga telah diperhatikan dan dinilai. Segala data yang dapat
diperoleh melalui kaedah ini telah direkodkan dalam senarai semak yang disediakan oleh
pengkaji. Terdapat 6 item yang dinilai dalam setiap senarai semak. Dua senarai semak telah
digunakan oleh pengkaji iaitu senarai semak pra dan pasca. Hal ini adalah untuk melihat
perubahan tingkah laku responden sebelum dan selepas intervensi.
Bagi mengukur minat murid setelah penggunaan Kaedah Step-Ladder, pengkaji telah
mendapatkan maklum balas daripada murid melalui soal selidik. Terdapat dua borang soal
selidik yang telah diberikan kepada responden iaitu borang soal selidik pra dan borang soal
selidik pasca. Borang soal selidik pra dijalankan untuk mengenal pasti tahap minat sedia ada
responden terhadap mata pelajaran matematik. Manakala borang soal selidik pasca adalah untuk
mengenal pasti perubahan minat responden terhadap mata pelajaran matematik setelah kaedah
intervensi diperkenalkan. Oleh itu, dapatan daripada soal selidik ini dapat mengenal pasti sama
ada Kaedah Step-Ladder ini dapat menarik minat responden terhadap matematik.

Dapatan Kajian

Keputusan ujian pra dan pasca telah dianalisa dan dibandingkan untuk mengenal pasti
perubahan yang berlaku ke atas pencapaian responden setelah Kaedah Step-Ladder
diperkenalkan untuk meningkatkan tahap penguasaan dalam topik penambahan.

Jadual 1: Perbandingan taburan skor mengikut kategori bagi ujian pra dan ujian pasca
Kategori Skala
Markah (%)
Bilangan Responden (orang) Peratus Perubahan
(%) Ujian Pra Ujian Pasca
Cemerlang 90 - 100 0 12 +60
Baik 70 89 7 8 +5
Sederhana 50 69 9 0 -45
Lemah 30 49 2 0 -10
Gagal 0 29 2 0 -10

Jadual 2: Perbandingan nilai min dan sisihan piawai dalam ujian pra serta ujian pasca
Jenis Ujian Min Sisihan Piawai
Ujian Pra 56.50 16.52
Ujian Pasca 86.50 9.63
Perbezaan +30.00 -6.89

Kesimpulannya, keputusan ujian pra dan pasca jelas menunjukkan Kaedah Step-
Ladder telah berjaya meningkatkan prestasi responden dalam menyelesaikan soalan
penambahan. Terdapat tiga penjelasan berdasarkan keputusan ujian pra dan pasca untuk
menyokong penyataan ini. Pertamanya, nilai min dalam ujian pra adalah 56.50 manakala min
ujian pasca adalah 86.50 . Justeru, purata markah responden telah meningkat dengan ketara
setelah kaedah alternatif ini diperkenalkan. Bukti yang kedua adalah nilai sisihan piawai telah
menurun dari 16.52 kepada 9.63 . Justeru, taburan markah responden adalah berhampiran
dengan nilai min ujian pasca iaitu 86.50 . Dapatan yang ketiga adalah peratus responden yang
telah mendapat keputusan yang cemerlang telah meningkat sebanyak 60% dalam ujian pasca.

Jadual 3: Peningkatan peratus dalam item soal selidik berdasarkan aspek minat (n=20)
No. Item Peratus Responden yang
Bersetuju (%)
Peningkatan
peratus (%)
Soal
Selidik Pra
Soal
Selidik
Pasca
1 Saya menyukai mata pelajaran Matematik. 60 95 35
2 Saya suka membuat latihan menambah. 75 100 25
4 Pengajaran guru dalam topik menambah
adalah menarik.
65 100 35

Jadual 4: Peningkatan peratus dalam item soal selidik berdasarkan aspek pemahaman (n=20)
No. Item Peratus Responden yang
Bersetuju (%)
Peningkatan
peratus (%)
Soal
Selidik Pra
Soal
Selidik
Pasca
3 Saya faham penerangan guru bagi topik
menambah.
75 100 25
5 Soalan menambah nombor adalah mudah. 65 100 35

Jadual 5: Peningkatan peratus dalam item soal selidik berdasarkan aspek pencapaian (n=20)
No. Item Peratus Responden yang
Bersetuju (%)
Peningkatan
peratus (%)
Soal
Selidik Pra
Soal
Selidik
Pasca
6 Saya selalu mendapat jawapan yang betul
apabila menyelesaikan soalan penambahan.

60

95

35

Dapatan soal selidik menunjukkan Kaedah Step-Ladder telah berjaya meningkatkan
minat, pemahaman dan pencapaian responden dalam menyelesaikan soalan penambahan
sehingga 1000. Dapatan soal selidik telah menunjukkan minat responden terhadap matematik
telah meningkat sebanyak 35% iaitu dari 60% kepada 95% . Kaedah ini juga telah berjaya
meningkatkan minat responden untuk menyelesaikan soalan penambahan sebanyak 25% iaitu
dari 75% kepada 100% . Tambahan pula, minat responden terhadap cara pengajaran guru juga
telah meningkat sebanyak 35% daripada 65% kepada 100% . Pemahaman responden terhadap
penerangan guru juga turut meningkat sebanyak 25% iaitu daripada 75% kepada 100% . Malah,
terdapat juga peningkatan sebanyak 35% dalam aspek pemahaman responden terhadap kaedah
penambahan yang dipilih iaitu daripada 65% kepada 100% . Kaedah Step-Ladder juga telah
berupaya untuk meningkatkan prestasi responden dalam topik penambahan sebanyak 35% iaitu
daripada 60% kepada 95% .






Jadual 6: Peningkatan peratus responden (n=20) yang menepati kriteria item senarai semak

Bil

Aspek Pemerhatian
Peratus Responden yang
Menepati Kriteria Item
(%)

Peningkatan
Peratus (%)
Sebelum
Intervensi
Selepas
Intervensi

1
Responden menumpukan perhatian semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran

65

100

35

2
Responden aktif dalam pembelajaran dan
perbincangan bersama guru serta rakan.

60

95

35

3
Responden menawarkan diri untuk menjawab
soalan di dalam bilik darjah.

30

85

55

4
Responden dapat menjawab soalan sendiri
tanpa bantuan atau bimbingan guru.

50

100

50

5
Responden menggunakan Kaedah Step-
Ladder untuk menyelesaikan soalan.

0

100

100

6
Responden menjawab semua soalan dengan
betul dalam lembaran kerja.

65

95

30

Kesimpulannya, dapatan pemerhatian jelas membuktikan Kaedah Step-Ladder telah
berjaya telah meningkatkan tumpuan responden semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
sebanyak 35% . Penglibatan murid juga telah meningkat sebanyak 35% . Setelah kaedah ini
diperkenalkan, bilangan responden yang menawarkan diri untuk menjawab soalan di hadapan
bilik darjah telah meningkat sebanyak 55% . Selain itu, terdapat peningkatan sebanyak 50%
dalam bilangan responden yang dapat menjawab soalan dengan betul tanpa bantuan guru.
Setelah intervensi, 100% daripada responden telah menukar kaedah penambahan masing-
masing daripada bentuk lazim kepada Kaedah Step-Ladder. Di samping itu, terdapat juga
peningkatan sebanyak 35% dalam bilangan responden yang menjawab semua soalan dengan
betul.

Rumusan

Berdasarkan matriks triangulasi, antara kaedah yang telah digunakan untuk menjawab
Soalan Kajian (i) adalah ujian pra dan pasca. Berdasarkan keputusan kedua-dua ujian,
pencapaian responden dalam ujian pasca adalah jauh lebih tinggi berbanding ujian pra.
Berbanding keputusan ujian pra, tiada sebarang responden yang berjaya mendapat markah yang
cemerlang. Namun, keputusan ujian pasca yang telah diperoleh membuktikan bahawa berlaku
peningkatan sebanyak 60% dalam kategori cemerlang dalam ujian tersebut. Dalam ujian pasca,
majoriti daripada responden telah mendapat markah yang cemerlang iaitu sebanyak 12 orang.
Peningkatan sebanyak 5% juga berlaku dalam kategori pencapaian baik. Peningkatan peratus
yang mendadak khususnya dalam kategori cemerlang telah menunjukkan bahawa Kaedah
Step-Ladder memberikan kesan yang positif terhadap pembelajaran responden dalam topik
penambahan. Lantas, prestasi responden telah meningkat. Sebaliknya, peratus kategori markah
sederhana, lemah dan gagal telah mengalami penurunan dalam ujian pasca. Kategori markah
sederhana telah mengalami penurunan sebanyak 45% berbanding ujian pra. Kategori markah
lemah dan gagal pula mengalami kadar penurunan yang sama iaitu sebanyak 10% . Dalam ujian
pasca, tiada responden yang telah tergolong dalam ketiga-tiga kategori terbawah ini. Hal ini
menunjukkan Kaedah Step-Ladder telah berjaya membantu mengurangkan kesilapan dalam
penyelesaian soalan penambahan dalam kalangan responden.
Untuk menjawab Soalan Kajian (ii), dapatansoal selidik telah digunakan. Sebelum
intervensi, hanya 60% daripada responden bersetuju dapat menjawab soalan penambahan
dengan betul. Namun, setelah Kaedah Step-Ladder diperkenalkan, seramai 95% daripada
responden telah bersetuju sering mendapat jawapan yang betul dalam soalan penambahan.
Peningkatan nilai sebanyak 35% ini telah menunjukkan bilangan responden yang bersetuju
sentiasa mendapat jawapan yang betul telah meningkat setelah intervensi dijalankan. Semakin
banyak soalan yang betul jawapannya, semakin tinggi markah pencapaian yang akan diperoleh.
Oleh itu, jelaslah bahawa Kaedah Step-Ladder dapat meningkatkan prestasi responden.
Bagi menjawab Soalan Kajian (iii), minat responden terhadap mata pelajaran
matematik, topik penambahan dan cara pengajaran guru telah dapat dikenalpasti menerusi
dapatan soal selidik, terdapat perubahan yang jelas dalam maklum balas responden setelah
intervensi. Hal ini adalah kerana jumlah responden yang bersetuju dengan penyataan dalam soal
selidik telah meningkat. Peratus bilangan responden yang suka mata pelajaran matematik telah
meningkat sebanyak 35% iaitu daripada 60% kepada 95% . Hal ini menunjukkan kaedah yang
telah diketengahkan oleh pengkaji telah berupaya untuk meningkatkan minat responden
terhadap matematik secara keseluruhan. Selain itu, peratus responden yang telah mengakui suka
membuat latihan menambah juga telah meningkat sebanyak 25% daripada 75% kepada 100% .
Peningkatan nilai peratus ini telah membuktikan Kaedah Step-Ladder ini berjaya
meningkatkan minat responden dalam topik penambahan. Malah, 100% peratus daripada
responden telah bersetuju Kaedah Step-Ladder telah menjadikan pengajaran guru lebih
menarik. Berbanding sebelum intervensi, hanya 65% daripada responden bersetuju pengajaran
guru dalam topik menambah adalah menarik.

Cadangan Kajian Seterusnya

Hasil dapatan daripada penyelidikan tindakan yang dijalankan telah membuktikan
dengan jelas Kaedah Step-Ladder dapat meningkatkan tahap penguasaan responden dalam
penguasaan kemahiran menambah sehingga 1000. Untuk menjadikan penyelidikan tindakan ini
lebih mantap, terdapat beberapa idea penambahbaikan yang boleh diambil kira. antaranya
adalah mempelbagaikan lagi kaedah pengumpulan data, memilih responden dari pelbagai tahap
kognitif, mengadakan kolaborasi dengan pengkaji lain, mengkaji Kaedah Step-Ladder dalam
topik yang lain dan menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) semasa
intervensi.

Rujukan

Kemmis, S. & McTaggart, R. (1988). The action research reader. Deakin University Press:
Victoria.
Noraini Idris. (2005). Pedagogi dalam pendidikan matematik. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam penyelidikan. Malaysia: McGraw-Hill (Malaysia)
Sdn. Bhd.

Вам также может понравиться