Вы находитесь на странице: 1из 9

Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

98

BEBERAPA TEORI DAN PRINSIP KEUSAHAWANAN ISLAM: PERANAN DAN SUMBANGAN SYEIKH ABDUL
RAUF ALI AL-FANSURI

Prof. Madya Dr. S.Salahudin bin Suyurno , Prof. Madya Asmak Ali , Prof. Madya Dr. Pisol Maidin
1
Dr. Zulkefli
b i n Haji Aini
2
Aini Faezah Ramlan
3


Abstrak
Tujuan kertas ini ialah untuk mengemukakan beberapa teori dan prinsip
keusahawanan Islam melalui kitab Mirah al-Tullab Fi Tashil al-Ma`rifah al-Ahkam al-
Shar`iyyah Li al- Malik al-Wahhab karangan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri sebagai
kitab Fiqh al- Mu`amalah di Alam Melayu. Kertas ini juga membincangkan peranan
dan sumbangan yang dimainkan oleh Syeikh dalam bidang keusahawanan menerusi
jawatan yang disandangnya dalam kerajaan Aceh Darussalam dan penulisan kitab-kitab
yang berkaitan terutama kitab Mirah al-Tullab. Perbincangan kertas ini melibatkan
jenis penyelidikan kualitatif yang menggunakan metodologi pengumpulan data melalui
teknik penganalisaan kandungan dokumen atau content analysis. Teknik ini digunakan
untuk melihat sumber- sumber yang digunakan oleh pengarang ketika mengarang kitab
tersebut, mencari makna dan maksud ayat-ayat yang digunakan, meneliti dalil al-Quran
dan hadis yang digunakan sebagai sandaran hujah ketika mengarang dan sebagainya.
Dengan ini, penganalisaan akan dilakukan terhadap dokumen salinan manuskrip kitab
Mirah al-Tullab yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia dengan nombor
rujukan MS 1046. Di samping itu, perbincangan juga menggunakan metodologi
penyelidikan persejarahan dengan melihat sumber dan sejarah perkembangan
pemikiran Islam terutama yang berkaitan dengan bidang hukum Fiqh al-Mu`amalah
seperti yang terkandung dalam kitab Mirah al-Tullab. Walaubagaimanapun, kertas ini
hanya melihat bab jual beli sebagai asas kepada keusahawanan yang dikemukakan oleh
pengarangnya.
Kata Kunci: Mirah al-Tullab, Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri, Keusahawanan, JualBeli

PENDAHULUAN
Dalam sejarah Islamisasi Alam Melayu, faktor perdagangan merupakan salah satu teori yang
biasa dikaitkan dengan persoalan bagaimana Islam dapat diperkenalkan dan disebarkan ke Alam Melayu
(Ismail Hamid, 1982, h. 97). Ini bermakna bahawa para pedagang, umpamanya yang datang dari Arab,
memainkan peranan ketika berurusan dengan pelabuhan yang berorientasikan perdagangan dan
perniagaan merupakan penyebar pertama Islam ke rantau ini (Raymond Leroy Archer, 1938, h. 31). Ini
dapat dilihat melalui beberapa catatan yang mengatakan bahawa terdapat beberapa pelabuhan di
rantau ini yang begitu pesat menerima kehadiran para pedagang untuk menjalankan perniagaan.
Antaranya ialah di akhir kurun ke 10M dilaporkan terdapat sebuah pelabuhan yang berkembang maju di
pantai barat Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali sebagai Kalah (Hamka, 1980, h. 425). Pelabuhan
yang banyak dilawati dan dijadikan tempat permastautinan pedagang-pedagang dari Parsi dan India itu
juga merupakan pusat perdagangan rempah ratus dan minyak wangi. Malah pelabuhan tersebut juga
merupakan sebuah bandar aman yang merupakan tempat persinggahan utama pedagang-pedagang dari
Arab sebelum belayar ke Cina (Syed Farid Al-Attas, 1985, h. 163-164). Ini menunjukkan bahawa kejayaan
proses pengislaman yang berlaku secara aman damai banyak disumbangkan oleh para pedagang(T.W.
Arnold, 1999, h.377).


1
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam
2
Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS)
3
Universiti Teknologi MARA Melaka
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

99

Walaubagaimanapun, pedagang Islam yang berniaga di Alam Melayu bukan datang dengan membawa
watak penjajah yang ingin mengaut keuntungan dan kekayaan ekonomi negara yang dijajah semata-mata.
Mereka juga bukan datang untuk memaksa penduduk tempatan menganut agama yang mereka bawa
dan bukan juga datang dengan mendabik dada menunjukkan kesombongan serta kekuasaan mereka
selaku bangsa yang hebat dan dominan (John Crawford, 1967, h. 275). Oleh itu para pedagang tersebut
lebih mementingkan semangat perniagaan atau apa yang diistilahkan oleh Hamka sebagai semangat laba-
rugi berbanding semangat peperangan yang lebih memperhitungkan semangat alah-menang. Justeru,
Hamka membuat kesimpulan bahawa para pedagang tersebut benar-benar memahami kehendak
konsep tiada paksaan dalam agama yang diterjemahkan ketika berurusan dengan penduduk dan
penguasa Kepulauan Melayu (Hamka, 1980, h. 431). Mereka itu turut menggunakan pendekatan yang
berjaya menawan hati-hati penduduk tempatan dengan mempelajari bahasa tempatan, menerima adat
resam dan budaya tempatan dan berkahwin dengan penduduk tempatan, yang akhirnya menyumbang
kepada kelangsungan Islam di Alam Melayu (John Crawford, 1967, h. 275; T.W.Arnold, 1999, h. 377-
378).

Ini menunjukkan bahawa melalui aktiviti perdagangan, Islam diperkenalkan dan disebarkan di kalangan
penduduk Alam Melayu. Di samping itu, kemunculan tokoh-tokoh ilmuan di rantau ini juga menyumbang
kepada kerancakan sektor ekonomi dan perdagangan. Walaupun mereka itu tidak dikenali sebagai peniaga
atau usahawan yang terlibat secara langsung dalam bidang perniagaan, mereka mempunyai peranan
tersendiri bagi memajukan sektor tersebut. Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri, misalnya, ialah seorang
ulama tersohod di Aceh mempunyai sumbangan dalam bidang yang berkaitan dalam ekonomi dan
muamalah. Beliau telah mengarang sebuah kitab yang bernama Mirah al-Tullab Fi Tashil al-Ma`rifah al-
Ahkam al-Shar`iyyah Li al-Malik al-Wahhab (selepas ini hanya disebut sebagai Mirah al- Tullab) bagi
mengemukakan teori dan prinsip keusahawanan dalam Islam yang digarap melalui pendekatan fekah
muamalat. Justeru, kertas ini akan membincangkan prinsip dan teori yang dikemukakan oleh beliau
terutama dalam bab Jualbeli. Perbincangan akan menggunakan salinan manuskrip kitab Mirah al-Tullab
yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan nombor rujukan MS 1046.
Perbincangan kertas ini melibatkan jenis penyelidikan kualitatif yang menggunakan metodologi
pengumpulan data melalui teknik penganalisaan kandungan dokumen atau content analysis. Teknik ini
digunakan untuk melihat sumber-sumber yang digunakan oleh pengarang ketika mengarang kitab
tersebut, mencari makna dan maksud ayat-ayat yang digunakan, meneliti dalil al-Quran dan hadis yang
digunakan sebagai sandaran hujah ketika mengarang dan sebagainya. Di samping itu, perbincangan juga
menggunakan metodologi penyelidikan persejarahan dengan melihat sumber dan sejarah perkembangan
pemikiran Islam terutama yang berkaitan dengan bidang hukum Fiqh al-Mu`amalah seperti yang
terkandung dalam kitab Mirah al-Tullab.

SYEIKH ABDUL RAUF ALI AL-FANSURI: SATU PENGENALAN RINGKAS
Beliau ialah Abdul Rauf bin Ali al-Jawi al-Fansuri (Abdul Rauf bin `Ali al-Fansuri al- Jawi, 1951, halaman
tajuk). Tarikh kelahiran Abdul Rauf tidak diketahui dengan tepat. Ini kerana terdapat sekurang-
kurangnya dua pendapat yang diketengahkan oleh beberapa orang pengkaji dan sarjana tentang
kelahiran beliau iaitu pada tahun 1615 dan 1620 (Azyumardi Azra, 1998, h. 189; Oman Fathurrahman,
1999, h. 25; Zakaria Ahmad, 1972, h. 122; Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990, h. 107; Peunoh Daly, 1988, h.
15).

Para pengkaji bersetuju bahawa beliau meninggal dunia dalam tahun 1693 dan dikebumikan di samping
makam Teungku Anjong yang dianggap paling keramat di Aceh, berhampiran dengan kuala sungai
Aceh. Tempat itu juga menjadi tempat persemadian isterinya dan murid-muridnya seperti Dawud al-Rumi.
Oleh kerana pusaranya terletak berhampiran dengan kuala Sungai Aceh, beliau dikenali selepas
kematiannya dengan panggilan Syeikh di Kuala atau Tengku Syeikh Kuala (C. Snouck Hurgronje, 1906, h.
17, 20; H.M.Zainuddin, 1961, h. 68).
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

100


Abdul Rauf dikatakan mendapat pendidikan awalnya di Singkil, Fansur (Zakaria Ahmad, 1972, h. 123; Azra,
1998, h. 190; Peunoh Daly, 2003, h. 17), Banda Aceh (Peunoh Daly, 2003, h. 18) dan Gresik di Jawa
Timur (Dada Meuraxa, 1973, h. 55). Setelah itu pada tahun 1642, beliau melanjutkan pengajiannya di
Semenanjung Tanah Arab. Antara destinasi ilmu beliau ialah Doha, Bayt al-Faqih (Yaman), Zabid, Lihyah,
Mawza, Mukha, Hudaybiyyah, Jeddah, Mekah dan Madinah (Abdul Rauf, t.th, MS 1314, h. 116-118.).
Antara guru-guru beliau yang terkenal ialah Ibrahim bin `Abd Allah Jam`an, Ahmad al- Qushashi dan
Ibrahim al-Kurani (Abdul Rauf, t.th, MS 1314, h. 116-118). Beliau memulakan kariernya sebagai tenaga
pengajar di Mekah dan Madinah (Azra, 1998, h.191-198). Apabila beliau pulang ke Aceh, beliau
membuka pusat pengajian berhampiran dengan muara Sungai Aceh (Zakaria Ahmad, 1972, h. 123;
Peunoh Daly, 2003, h. 20). Antara murid-muridnya yang terkenal ialah Baba Daud bin Agha Ismail bin
Agha Mustafa al-Jawi al-Rumi, Shaykh Burhan al-Din atau Tuanku Ulakan, Shaykh `Abd al- Muhyi
Pamijahan, Syeikh `Abd al-Malik bin `Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis Terengganu
(Ph.S.Van Ronkel,1914, h. 309-312. Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, 1993, h. 50; Azra, 1998, h. 209-
211). Beliau pulang semula ke Aceh pada masa pemerintahan Sultanah Safiyyatuddin iaitu pada tahun
1661 (Snouck Hurgronje, 1906, h. 18; T. Iskandar, 1987, h. 74; Salman Harun, 1988, h. 26) di mana pada
ketika itu suasana politik Aceh agak tegang akibat berlaku pertembungan pemikiran antara Nur al- Din al-
Raniri dengan Sayf al-Rijal tentang fahaman Wahdah al-Wujud (Salman Harun, 1988, h. 36.) yang
berakhir dengan kekalahan di pihak al-Raniri.(Azra, 1998, h.178-179; Ahmad Daudy, 1978, h. 17; Takeshi
Ito, 1978, h. 489-491; Ahmad Daudy, 1987, h. 29; G.W.J. Drewes dan L.F.Brakel, 1986, h. 15). Beliau
berkhidmat sebagai mufti kerajaan Aceh di bawah pemerintahan Sultanah Taj al-`alam Safiyatuddin
Syah (1641-1675M), Sultanah Nur al-`Alam Naqiyatuddin Syah (1675-1678M), Sultanah `Inayah Shah
Zakiyatuddin Syah (1678-1688M) dan Sultanah Kamalatuddin Syah (1688-1699M) (Fairuzah Hj. Basri, 2004,
78). Abdul Rauf mengamalkan Tarekat Shattariyyah dan Tarekat Qadiriyyah yang diperolehi daripada
Shaykh al-Qushashi sehingga dilantik sebagai khalifah tarekat tersebut yang membolehkan beliau
menyebarkan dan memberi ijazah kepada pengikut-pengikutnya (Abdul Rauf al-Fansuri, t.th, MS 1314,
PNM, h. 113-115; Oman Fathurahman, 1999, h. 158-163.). Karya-karya penulisan meliputi pelbagai bidang
dalam pengajian Islam seperti fekah, tasawuf, hadis dan tafsir (P. Voorhoeve, 1952, h. 108-116; Haji Wan
Mohd. Shaghir Abdullah, 1991, h.39-42; Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 1993, h. 50; Salman Harun,
1988, h. 35; Peter G. Riddel, 2001, h. 128-132; Oman Fathurrahman, 1999, h. 28-30). Antara buku-buku
tersebut ialah Mirah al-Tullab fi Tasyil Ma`rifah al-Ahkam al-Shar`iyyah li al-Malik al-Wahhab (Cermin
Para penuntut Ilmu Untuk Memudahkan mengetahui Hukum-Hakam Syara` Tuhan), Kitab al-Faraid
(Kitab tentang hukum hakam pusaka), Tanbih al-`Amil Fi Tahqiq Kalam al-Nawafil (kitab yang
berkaitan dengan persoalan qada sembahyang), Tarjuman al-Mustafid bi al-Jawi , `Umdah al-Muhtajin
ila Suluk Maslak al-Mufarridin (Pijakan bagi orang-orang yang menempuh jalan tasawuf), Daqaiq al-Huruf
(Kedalaman makna huruf), Kifayah al-Muhtajin Ila Mashrab al-Muwahhidin al-Qailin bi Wahdah al- Wujud
(Bekalan bagi orang yang memerlukan minuman ahli tauhid penganut wahdah al- wujud), Munyah al-
I`tiqad (Cita-cita keyakinan), Bayan al-Tajalli (Penjelasan Tajalli), Tanbih al-Mashi Ila al-Tariq al-
Qushashi (Pedoman bagi orang yang menempuh tarikat Qushashi), al-Tariqah al-Shattariyyah (Tarekat
Shattariyyah), Risalah Mukhtasirah fi Bayan Shurut al-Shaykh wa al-Murid (Risalah ringkas tentang
syarat-syarat guru dan murid), Lubb al-Kashf wa al-Bayan li Ma Yarahu al-Muhtadar bi al-`Iyan
(Hakikat penyingkapan dan penjelasan terhadap apa yang dilihat secara terang-terangan), Risalah A`yan
Thabitah, Shams al-Ma`rifah Ila Hadratih al-Sharifah (Matahari Makrifat Menuju Ke Hadrat Yang Mulia),
Aghmad al-Masail (Masalah-Masalah yang Amat Rumit), Risalah Simpan, Sharh Latif `Ala Arba`in
Hadithan li al-Imam al-Nawawi (Penjelasan terperinci terhadap kitab Empat Puluh Hadis karangan Imam
Nawawi), al-Mawa`iz al- Badi`ah (Pengajaran-pengajaran yang indah), dan Syair Ma`rifah .




Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

101

PERANAN DAN SUMBANGAN SYEIKH ABDUL RAUF ALI AL-FANSURI DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN

Sebagai ulama yang menjawat jawatan mufti, satu jawatan tertinggi dalam hirarki pemerintahan Aceh pada
ketika itu, Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri mempunyai peranan dan sumbangan besar terhadap
kemakmuran ekonomi bumi aceh. Beliau tidak terlibat secara langsung dalam perniagaan. Malah beliau
tidak dikenali sebagai serang pedagang atau usahawan Aceh. Tetapi sebagai penasihat kepada
pemerintah pada ketika itu, beliau mahu memastikan bahawa aceh yang dikenali sebagai serambi
mekah tidak hanya maju dalam bidang ilmu pengetahuan dan budaya tetapi maju dalam bidang ekonomi
yang disandarkan kepada ajaran Islam (Hamka, 1981, 222-229). Di samping itu, pemerintah Aceh yang
mempunyai kesedaran beragama yang tinggi mahu memastikan ekonomi Aceh dipandu oleh ajaran
agama. Justeru, pemerintah menitahkan kepada beliau agar mengarang sebuah kitab yang boleh
merealisasikan hasrat pemerintah. Dengan ini beliau mula mengarang sebuah kitab yang berkaitan
dengan muamalah Islam yeng menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan jual beli dan sebagainya
seperti mana yang terkandung dalam mana-mana buku muamalah Islam yang dikarang oleh para ulama
terkenal di rantau Arab. Maka lahirlah sebuah kitab yang membincangkan persoalan ekonomi yang digarap
melalui pendekatan fekah muamalah berdasarkan mazhab Shafie. Kitab itu dikenali sebagai kitab Mirah al-
Tullab.
Syeikh Abdul Rauf menyebutkan dalam bab pendahuluan kitab tersebut bahawa:
Maka bahawasanya adalah hadrah yang maha mulia bersabda kepada aku daripada sangat
lubahanya akan agama RasulAllah bahawa ku karang baginya sebuah kitab dengan bahasa jawi
yang dibangsakan kepada bangsa Pasai yang muhtaj kepadanya orang yang menjabat jabatan qadhi
pada pekerjaan hukumnya daripada segala hukum syarak Allah yang mu`tamad pada segala ulama
yang dibangsakan kepada Imam Syafi`i r.a. (Abdul Rauf Ali al-Fansuri, t.th, MS 1046, h. 3).

Dan ku perkenanlah akan sabda hadrah yang maha mulia yang demikian itu ku karangilah akan
dia kitab ini dengan [per]tolong[an] Allah Subhanah wa Ta`ala, Tuhan yang amat mulia lagi amat
me[ng]kabulkan taubat hamba-Nya dan adalah berpegang yang sekarang akan dia ini atas mafhum
kitab Fath al-Wahhab melainkan pada barang yang ku tanbihkan atasnya dalam kitab ini insya
Allah Ta`ala dan sungguhpun demikian itu banyak hamba tinggalkan kerana sukar menfahamkan dia
tatkala dijawikan. Dan ku namai kitab ini [dengan] Mirah al- Tullab ertinya cermin segala mereka
yang menuntut ilmu fekah pada memudahkan mengenal segala hukum syarak Allah . (Abdul Rauf
Ali al-Fansuri, t.th, MS 1046, h. 6-7).

PENGENALAN RINGKAS KITAB MIRAH AL-TULLAB
Mir`ah al-Tullab merupakan sebuah karya utama Syeikh Abdul Rauf Singkel dalam bidang fekah
khususnya fekah muamalat mazhab Syafie. Menurut Prof. Dr. Azyumardi Azra (2004, h. 246) Syeikh
Abdul Rauf merupakan ulama pertama di wilayah Melayu- Indonesia yang menulis mengenai bidang
fekah tersebut. Dengan kata lain, kitab tersebut adalah kitab fekah muamalat pertama yang hadir di Alam
Melayu. Kitab ini disempurnakan penulisannya pada tahun 1633M dengan menjunjung titah
pemerintah Aceh pada ketika itu iaitu Sultanah Tajul Alam Safiatuddin binti Sultan Iskandar Muda.
Tujuan utama penulisan kitab ini ialah sebagai panduan para kadi atau penguatkuasa perundangan
yang menjalankan tugas yang berkaitan dengan hukum hakam agama Islam di negeri Aceh. Kitab ini
merupakan kesinambungan dari kitab al-Sirat al-Mustaqim karangan Syeikh Nur al-Din al-Raniri yang
mana kitab itu membicarakan tentang fekah ibadah. Manakala kitab Mirah al-Tullab ini lebih
memfokuskan aspek muamalah yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia seperti kehidupan
politik, sosial, ekonomi, jenayah, perkahwinan, pengadilan, harta pusaka dan sebagainya yang berkaitan
dengan aspek keagamaan umat Islam.

Naskhah asal kitab ini dipercayai masih belum dijumpai. Walaubagaimanapun, beberapa salinan naskhah
ini terdapat di beberapa perpustakaan seperti Perpustakaan Negara Malaysia (MS 1046; MSS 2674; MSS
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

102

2470; MS 1532) dan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia (Ms Jak-Mal 445; Ms Jak-Mal 289; Ms
Jak-Mal 399; Ms Jal-Mal
473; Ms Jak-Mal 811). Berikut adalah antara perbahasan yang terdapat dalam kitab
Mirah al-Tullab:
1. Muqaddimah : latarbelakang penulisan Mirah al-Tullab, peringatan kepada penjawat jawatan Qadhi,
faedah kepada penjawat Qadhi, syarat menjadi Qadhi.
2. al-Bai` (jual beli)
3. al-Riba (hukum hakam yang berkaitan riba)
4. al-Manhi (hukum hakam yang berkaitan larangan atau tegahan urusan perniagaan seperti yang
digariskan oleh Rasulullah s.a.w.)
5. Khiyar
6. Bai` Qabl Qabdhi wa Ba`dahu
7. al-Tawliyah
8. al-Isyrak
9. al-Murabahah
10. al-Muhatah
11. hukum perniagaan yang melibatkan tanah, pohon kayu dan buah-buahan.
12. Bai` al-Thimar wa al-Zarai`
13. Ikhtilaf al-Mutayabi`in
14. Mu`amalah al-Raqiq
15. Bai` al-salam
16. al-aqrad (al-qrd)
17. al-rahn
18. al-taflis
19. al-hajr
20. wilayah al-saghir
21. al-sulh
22. al-hiwalah
23. al-daman
24. al-syarikah
25. al-iqrar
26. al-ghasb
27. al-syafa`ah
28. al-qirad
29. al-musaqah
30. al-ijarah
31. ihya al-mawat
32. waqf
33. al-hibah
34. al-luqatah
35. al-laqit
36. al-ju`alah
37. al-faraid
38. al-isha`
39. al-wadi`ah

Secara umum, Syeikh Abdul Rauf menggunakan sumber-sumber berikut ketika mengarang kitab Mirah al-
Tullab, iaitu (Peunoh Daly, 2003, h. 36):
1. Fath al-Wahhab Bi Sharh Minhaj al-Tullab karangan Syeikh Abu Yahya
Zakariyya al-Ansari
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

103

2. Fath al-Jawwad Bi Sharh al-Irshad karangan Syeikh Ibn Hajar al-Haytami
3. Tuhfah al-Muhtaj Bi Sharh al-Minhaj karangan Syeikh Ibn Hajar al-Haytami
4. Nihayah al-Muhtaj karangan Syeikh Muhammad ibn Ahmad al-Ramli
5. Tafsir al-Baydawi karangan Syeikh Ibn `Umar al-Baydawi
6. Al-Irshad karangan Syeikh al-Imam Sharaf al-Din Isma`il bin Abi Bakr al-Shahir bi Ibn al-Muqri al-
Yamani.
7. Sharh Sahih Muslim karangan Syeikh Imam al-Nawawi.

TEORI DAN PRINSIP KEUSAHAWANAN ISLAM DALAM BAB JUALBELI KITAB MIRAH AL-TULLAB

Syeikh Abdul Rauf mengemukakan beberapa prinsip asas perniagaan dan keusahawanan yang
merangkumi rukun dan syarat secara deskriptif dan mengikut kronologi perkembangannya. Beliau turut
menjelaskannya dengan membawa beberapa contoh yang biasa terdapat dalam kitab-kitab fiqh
muamalah klasik. Walaubagaimanapun, pengarang berjaya mengetengahkan beberapa isu setempat
dan kontemporari melalui pendekatan soal jawab berserta `Illahnya (alasan). Di samping itu, persoalan
yang diajukan melalui pendekatan tersebut ada yang berbentuk andaian atau Iftiradhi.

Berikut adalah beberapa teori dan prinsip yang dikemukakan dalam bab Jual beli:

i- Pengarang mengetengahkan keharusan urusniaga jualbeli melalui dalil yang mendorong
keusahawanan ke arah perniagaan yang dapat memenuhi keperluan manusia dengan
mengambil kira prinsip asas yang berlandaskan kejujuran dan kebolehpercayaan. Ini
berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: sebaik-baik kerja ialah sesuatu yang
dilakukan dengan usaha sendiri dan berniaga tanpa tipu helah dan khianat. (Abdul Rauf,
t.th, MS1046, h. 10)

ii- Pengarang menerangkan rukun jualbeli secara sistematik berserta syarat yang melengkapi
rukun-rukun tersebut. Enam rukun jualbeli yang dijelaskan iaitu penjual, pembeli, barang
jualan, harga jualan, Ijab (penawaran) dan Qabul (permintaan dan penerimaan). (Ibid)

iii- Pengarang memberi tumpuan khusus kepada akad atau kontrak jualbeli (Ijab dan Qabul)
dalam bab tersebut. Ini kerana berlakunya komplikasi yang sering terjadi antara
peniaga dan pengguna. Penulis begitu menitikberatkan
keselarasan dan kelangsungan kontrak melalui banyak contoh dan isu yang
diketengahkannya. (Ibid)

iv- Pengarang juga mengetengahkan isu-isu yang berkaitan dengan autoriti atau kelayakan
individu untuk berurusan dengan mengecualikan kesahan kontrak daripada kelompok
tertentu seperti kanak-kanak, orang tidak siuman, al-Safih (golongan yang tiada abiliti
pengurusan seperti tidak tahu mengira) dan pihak yang dipaksa (Abdul Rauf, t.th, MS 1046,
h. 12). Namun, arahan mahkamah atau undang-undang tidak boleh dianggap sebagai satu
bentuk paksaan bagi menjaga hak pihak yang teraniaya. Pengarang turut menegaskan tentang
kesahan urusniaga orang buta (mewakili kelompok OKU) selagimana ia memahami urusniaga
tersebut termasuk sifat barangan dan nilai serahan atau harga barangan (Abdul Rauf, t.th,
MS 1046, h. 23).

v- Pengarang juga memfokuskan isu kesucian Islam dan hak eksklusifnya dalam beberapa
barangan. Sebagai contoh, mashaf al-Quran tidak boleh dijual atau dibeli oleh non-muslim.
Begitu juga soal jualan hamba sehaya muslim atau murtad kepada non-muslim (Abdul Rauf,
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

104

t.th, MS 1046, h. 13).

vi- Pengarang juga menegaskan persoalan yang berkaitan dengan elemen kebarangkalian atau
ketidak pastian dalam urusan perniagaan. Sebarang unsur yang mencacatkan
kebolehterimaan pihak pengguna atau pembeli akan mengakibatkan terbatalnya kontrak.
Antara contoh yang diberikan oleh pengarang ialah isu pembelian burung ternak yang telah
dilepas bebas walau pada kebiasaannya ia akan pulang ke sangkar. Selain itu, barang jualan
pula mestilah milik penuh penjual atau individu yang berautoriti bagi mengelakkan sebarang
eksploitasi kepada pembeli. Dengan itu, barang jualan perlu jelas boleh diambil oleh
pembeli dan dipindahmilik kepadanya secara mutlak (Abdul Rauf, t.th, MS 1046, h. 15).

vii- Pengarang juga menjelaskan konsep kesucian yang mendasari syarat sah sesuatu barang
jualan. Sehubungan dengan itu, pengarang menegaskan bahawa tiada kompromi hukum
terhadap najis ainy seperti babi, anjing, bangkai dan tuak (arak domestik) (Abdul Rauf, t.th, MS
1046, h. 14).

viii- Dalam banyak perkara, pengarang amat menekankan aspek yang berkaitan dengan
orientasi manfaat sesuatu barangan yang menjadi ukuran sah kontrak jualbeli. Walaupun
manfaat adalah sesuatu yang bersifat subjektif, pengarang
masih meneliti keadaan dan pandangan `Uruf yang boleh dijadikan ukuran dalam urusan
perniagaan. Oleh kerana itu, penulis berpendapat tidak sah jualbeli ular, kala jengking, tikus
dan serangga seperti lipas kerana tiada sebarang manfaat pada pandangan syarak dan umum.
Ini termasuklah binatang buas yang tidak boleh dilatih untuk kegunaan seperti perburuan,
sekuriti dan pengangkutan. Sungguhpun begitu, keperluan perubatan dan peliharaan eksotik
dianggap sebagai manfaat. Dengan itu, haiwan seperti lintah, unggas, kucing dan sebagainya
pada pandangan pengarang boleh dijualbeli walaupun semata-mata untuk menikmati mutu
suara, warna yang cantik, medium rawatan dan sebagainya (Abdul Rauf, t.th, MS 1046, h.
14-15).

ix- Dalam pada itu, pengarang berpendapat bahawa barangan yang dianggap tiada fungsi
(disebabkan kuantiti yang terlalu sedikit) seperti dua butir gandum, serta barangan yang
melalaikan seperti alat muzik iaitu kecapi dan serunai tidak sah jualbeli. Ini kerana, menurut
pengarang, ia tidak dianggap sebagai harta menurut pandangan syarak (Abdul Rauf, t.th, MS
1046, h. 15-16).

x- Pengarang juga menjelaskan bahawa boleh menjual barangan dalam
komponen berasingan selagimana ia melengkapi fungsi barang tersebut. Sebaliknya, tidak
dibolehkan menceraikan sebahagian komponen asal barang sehingga menyebabkan
barangan tersebut tidak boleh dijual.

xi- Pengarang turut menerangkan persoalan urusniaga jualbeli dalam konteks yang lebih spesifik
dalam aspek-aspek seperti fizikal barangan, kuantiti, sifat, ukuran, timbangan, nilai harga dan
sebagainya sehingga kedua-dua pihak berpuashati untuk melaksanakan transaksi (Abdul
Rauf, t.th, MS 1046, h. 21-
22).


KESIMPULAN
Berdasarkan perbincangan di atas, didapati bahawa Syeikh Abdul Rauf berjaya mengetengahkan beberapa
prinsip asas dalam muamalah yang perlu diikuti oleh para peniaga dan usahawan, selari dengan
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

105

tuntutan Islam. Beliau turut memberi galakan keusahawanan dan perniagaan melalui pengutaraan dalil
yang mengukuhkan kendiri bidang ini. Ini menunjukkan bahawa tiada halangan terhadap pengembangan
bidang dan variasi dalam perniagaan dan keusahawanan selagimana ia menepati konsep syarak. Beliau
juga secara berhikmah menuntut komitmen semua pihak dengan melibatkan aspek hukum agama, akhlak
inidividu dan penguatkuasaan agensi kerajaan dalammemastikan kelancaran dan kelangsungan bidang ini.
Di samping itu, pengarang berjaya mengenengahkan aspek orientasi manfaat dan keperluan yang banyak
membuka ruang yang besar untuk pengembangan bidang keusahawanan. Ini dipaparkan secara realistik
dengan membawa contoh domestik seperti penternakan lintah secara komersil untuk tujuan perubatan,
ternakan haiwan eksotik untuk tujuan komersil. Termasuk juga ternakan serangga yang menjadi keperluan
makanan haiwan eksotik, industri penghasilan komponen barangan, industri pembuatan seperti
peleburan emas dan logam lain untuk aksesori dan sebagainya, dan sektor perkhidmatan seperti
khidmat penghantaran dan pengangkutan. Walaubagaimanapun, teori dan prinsip yang dikemukakan
oleh Syeikh Abdul Rauf adalah bersifat perpindahan ilmu dan maklumat yang terdapat dalam sumber-
sumber rujukannya seperti kitab Tuhfah al-Muhtaj Bi Sharh al-Minhaj. Ia ditulis, diulas dan disesuaikan
dalam bentuk yang boleh difahami oleh masyarakat Melayu pada ketika itu.

SENARAI RUJUKAN
Abdul Rauf bin `Ali al-Fansuri al-Jawi (1951), Tarjuman al-Mustafid. c. 4, Kaherah: Matba`ah Mustafa al-
Babi al-Halabi wa Awladih.
, `Umdah al-Muhtajin Ila Suluk Maslak al- Mufridin. MS
1314, Perpustakaan Negara Malaysia.
, Mirah al-Tullab, MS 1046, PNM.
Abdul Rahman Haji Abdullah (1990), Pemikiran Umat Islam di Nusantara: Sejarah dan
Perkembangannya Hingga Abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ahmad Daudy (1978), Syeikh Nuruddin Al-Raniri. Jakarta: Bulan Bintang.
Ahmad Daudy (1987), Tinjauan atas Al-Fath al-Mubin `ala al-Mulhidin Karya Syaikh Nuruddin Ar-Raniri
dalam Ahmad Rifa`i Hasan (pynt), Warisan Intelektual Islam Indonesia: Telaah atas Karya-Karya Klasik.
Bandung: Mizan, hlm. 29.
Archer, Raymond Leroy (1938), Muhammadan Mysticism in Sumatra, The Muslim
World, Vol. XXVIII, No. 3, Keluaran Julai, hlm. 31.
Arnold, T.W. (1999), The Preaching of Islam: A History of the Propagation of the
Muslim Faith , edisi kedua, New Delhi: Kitab Bhavan.
Al-Attas, Syed Farid (1985), Notes on Various Theories Regarding the Islamization of the Malay
Archipelago, The Muslim World, vol. lxxv, nos 3-4, July-Oct, hlm. 162-175.
Azyumardi Azra (1998) Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara Abad XVII dan XVIII:
Melacak Akar-Akar Pembaruan Pemikiran Islam di Indonesia, cetakan keempat, Bandung: Penerbit
Mizan.
Crawford, John (1967), History of the Indian Archipelago. j. 2, London: Frank Cass & Company Limited.
Dada Meuraxa (1973), Sejarah Masuknya Islam ke Bandar Barus Sumatera Utara. Medan: Penerbit
Sasterawan.
Drewes, G.W.J. dan Brakel, L.F. (1986), The Poems of Hamzah Fansuri, The
Netherlands: Foris Publications Holland.
Fairuzah Haji Basri (2004), Tasawuf Tarekat Syaikh Abdul Rauf Singkil Berdasarkan Kitab `Umdat al-
Muhtajin Ila Suluk Maslak al-Mufridin, dalam Zulkiple Abdul Ghani dan Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus
(penyunting), Dakwah Tarekat Tasawuf di Malaysia: Relevansi dan Cabaran. Bangi: Jabatan Pengajian
Dakwah dan Kepimpinan Universiti Kebangsaan Malaysia.
H. M. Zainuddin (1961), Tarich Atjeh Dan Nusantara. Medan: Pustaka Iskandar Muda.
Hamka (1980), Sejarah Umat Islam, cetakan ketiga, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Hamka (1981), Dari Perbendaharaan Lama, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Ito, Takeshi (1978), Why Did Nuruddin Ar-Raniri Leave Aceh in 1054 A.H.?,
Seminar Serantau Kajian Manuskrip Melayu dan Kearifan Tempatan 2013

106

Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde, bil. 134, hlm. 489-491.
Ismail Hamid (1982), A Survey of Theories on the Introduction of Islam in the Malay
Archipelago, Islamic Studies, vol. xxi, no.3, hlm. 89-99.
Peunoh Daly (2003), Hukum Perkahwinan Islam: Satu Studi Perbandingan Dalam Kalangan Ahlus-
Sunnah dan Negara-Negara Islam. c.5, Selangor: Thinkers Library Sdn. Bhd.
Ronkel, Ph.S.Van (penyunting) (1914), Het Heiligdom Te Oelakan, Tijdschrift Voor
Indische Taal-, Land En Volkenkunde Deel (TBG). No. 64, h. 309-312..
Riddel, Peter G. (2001), Islam and the Malay-Indonesian World; Transmission and
Responses, Singapore: Horizon Books.
Oman Fathurrahman (1999), Tanbih al-Masyi Menyoal Wahdatul Wujud: Kasus
Abdurrauf Singkel di Aceh Abad 17, Bandung: Penerbit Mizan.
Salman Harun (1988), Hakekat Tafsir atau Terjemahan al-Mustafidz Karya Syekh Abu
Daud Singkil (Disertasi Ph.D., Institut Agama Islam Negeri, Jakarta).
Voorhoeve, P. (1952), Bajan Tadjalli: Gegevens Voor Een Nadere Studie Over
Abdurrauf Van Singkil Verzameld Door, TBG. No. 85, h. 102-106.
Wan Mohd Shaghir Abdullah (1993), Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri: Penyusun
Tafsir Quran Pertama Bahasa Melayu, dalam Dakwah. Ogos, h. 48.
Wan Mohd. Shaghir Abdullah (1991), Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara. j. 1 & 2, Kuala Lumpur:
Khazanah Fathaniyah
Zakaria Ahmad (1972), Sekitar Keradjaan Atjeh dalam tahun 1520-1675. Medan: Penerbit Manora.

Вам также может понравиться