Вы находитесь на странице: 1из 6

roketilmu.blogspot.com/...

/cabaran-bahasa-melayuKHAMIS, 11 APRIL 2013

Cabaran Bahasa Melayu Menongkah Zaman


Apabila kita membincangkan perihal bahasa Melayu, hala tuju bahasa Melayu, masa
depan bahasa Melayu, kita tidak terlepas daripada membincangkan soal cabaran bahasa Melayu
terutamanya dalam mengharungi arus perubahan globalisasi. Walaupun perbincangan demi
perbincangan, seminar demi seminar dilaksanakan nasib bahasa Melayu masih berada ditakuk
yang sama. Adakah perbincangan dan perbahasan-perbahasan selama ini gagal mencapai kata
sepakat atau hanya perbincangan mencukupkan waktu atau sasaran kerja yang perlu
dilaksanakan. Kadang kala kita harus dan perlu berbangga dengan sejarah bahasa Melayu yang
megah terukir dan tidak akan berubah untuk sekian lamanya. Walaupun sesetengah pihak
mendakwa bahawa sejarah yang berlaku jangan dilihat kembali. Namun, bagi penulis sejarah
yang tercipta perlu dibanggakan dan perlu dilihat semula kerana dengan sejarah kita mampu
melihat kekuatan dan kelemahan yang kita ada. Manifestasi ini jugalah penulis sandarkan
terhadap perkembangan bahasa Melayu ketika ini. Kita boleh melihat kekuatan bahasa Melayu
yang mampu menjadi bahasa lingua franca di persisiran Selat Melaka sejak kurun pertama
Masihi lagi. Malah, bahasa Melayu juga dipercayai menjadi bahasa rasmi kerajaan Srivijaya
pada abad ke-7 hingga abad ke-13. Menurut Allahyarham Hassan Ahmad dalam pidatonya
Cabaran Dunia Bahasa Melayu 1995 telah menyatakan bahawa 84 bahasa digunakan di
pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca. Seiring itu juga bahasa
Melayu turut menjadi wahana penyebaran pelbagai ilmu pengetahuan dan falsafah dengan
wujudnya pusat-pusat intelektual terkemuka seperti di Pasai, Melaka, Acheh, Patani,Palembang,
Banjar, Betam dan Riau. Namun, kehadiran penjajah yang silih berganti bermula Portugis yang
menakluki Melaka, seterusnya Belanda sehingga British telah mematikan sama sekali
perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi serta bahasa persuratan
Melayu. Bermodalkan kuasa politik yang ada bahasa Inggeris secara sinis telah diguna pakai
untuk menggantikan fungsi bahasa Melayu daripada segenap sudut. Hal ini dilakukan oleh
penjajah British adalah disebabkan tidak mahu menggalakkan orang Melayu menuntut ilmu
bukan sahaja di dalam bahasa Melayu malah di dalam bahasa Inggeris sekalipun. Hal ini
disebabkan, British bimbang sekiranya orang Melayu terlalu pandai dalam segenap ilmu
pengetahuan dikhuatiri orang Melayu akan bangkit memberontak dan menentang penjajah
British, seterusnya menggugat potensi British menguasai ekonomi Tanah Melayu dengan lebih
lama. Penulis yakin kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa persuratan
Melayu pasti akan kembali memihak kepada bahasa Melayu. Walaupun bahasa Melayu ketika
ini menerima hambatan begitu hebat dalam bentuk nasional dan supernasional. Kita sebagai
pengguna, penutur, dan pencinta bahasa Melayu perlu bersiap siaga dan berusaha lebih gigih
untuk meletakan bahasa Melayu mampu duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan
bahasa-bahasa terutama dunia lebih-lebih lagi bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.
Kita tidak menafikan bahawa globalisasi adalah salah satu fenomena dunia tanpa
sempadan yang menghambat negara-negara di dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada
menerima hambatan yang begitu hebat ini. Hal ini, menyebabkan bahasa Melayu tutur
mengharungi satu cabaran getir dalam bentuk dimensi baru yang memerlukan perhatian semua
pihak terutamanya golongan pejuang-pejuang dan aktivis-aktivis bahasa. Cabaran dimensi baru

ini menurut pandangan penulis bukanlah mudah untuk ditangkis, jika strategi berkesan tidak
dilakukan sewajarnya. Ditambahkan lagi, saban waktu kita sering dihujani dengan pelbagai
persoalan yang dikira menguji tahap kesabaran kita sebagai pencinta bahasa Melayu. Mampukan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu? Jika dilihat kepada kegusaran ini bukanlah sesuatu yang
baru. Ketidakyakinan ini berlaku disebabkan serangan-serangan dan momokan-momokan yang
mana melihat bahasa Inggeris adalah satu-satunya bahasa yang mampu membawa kemodenan
dan kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Hal ini sangat sukar untuk diyakini kerana kemajuan
yang dicapai bukan terletak secara mutlak kepada bahasa sesuatu bangsa tetapi terlatak kepada
tahap kesungguhan dan strategi yang berkesan. Apabila kita melihat negara-negara yang sudah
sememangnya maju dari segi sains dan teknologi seperti Jepun, Korea, dan Perancis. Mereka
membangun dengan pesat berdasarkan keupayaan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu.
Malah negara-negara berkenaan tetap mempertahankan bahasa ibunda mereka dan menjadikan
bahasa berkenaan sebagai bahasa wahana ilmu pengetahuan dan bahasa sains teknologi. Hal ini
berlain pula apabila di Malaysia, yang mana ramai dalam kalangan kita tidak yakin dengan
keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa sains teknologi. Menurut, Asiah Idris
dalam makalahnya Bahasa Melayu sebagai Bahasa ilmu Pelita Bahasa 1995, petikan syarahan
Prof.Dr.Abdul Hamid Mahmood menyatakan bahasa Inggeris bukanlah faktor yang menentukan
sama ada sesebuah negara akan menjadi maju atau rakyatnya akan menjadi kaya. Yang menjadi
faktor penentu dalam hal ini bukanlah bahasa tetapi orang yang menggunakan bahasa itu. Malah,
beliau menambah lagi yang penting jika kita benar-benar mahu menjadikan bahas Melayu
sebagai bahasa ilmu, kita perlu mengubah sikap negatif dan keraguan kita terhadap bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu termasuklah dalam bidang sains dan teknologi. Ternyata daripada
pandangan yang diberikan oleh beliau mengenai keraguan segelintir pihak yang tidak yakin
dengan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah sesuatu masalah besar kepada
perkembangan bahasa Melayu ketika ini. Ramai melihat potensi bahasa Melayu sebagai bahasa
peneraju dunia keilmuan, bahasa sains teknologi adalah masih lagi jauh. Menurut Hassan Ahmad
masalah kita sebenarnya bukan cabaran bahasa Inggeris tetapi masalah orang kita yang tidak
mengetahui ketidakupayaan kita setelah sekian lama kita merdeka untuk memajukan bangsa
dengan menggunakan bahasa sendiri sebagai alatnya yang utama.
Hal ini terbukti apabila, bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi
beransur-ansur ditukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Adakah kita perlu
menyalahkan bahasa Inggeris yang membawa bencana kepada bahasa Melayu. Penulis melihat
kita tidak perlu menyalahkan bahasa asing tersebut seperti yang dinyatakan oleh Hassan Ahmad
kerana bahasa itu tidak harus dipersalahkan, namun diri kita sendiri yang perlu dipersalahkan
kerana mengangkat bahasa itu lebih tinggi sehingga bahasa Melayu tenggelam daripada
kedudukan sebenarnya. Tindakan institusi-institusi pengajian tinggi yang meminggirkan bahasa
Melayu secara tidak langsung telah menyekat kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu itu
sendiri. Bagaimana mungkin istilah-istilah yang sedia ada dapat digunakan secara meluas jika
buku tidak ditulis di dalam bahasa Melayu dan penerbitan buku bahasa Melayu kian mengecil di
sebab semua ilmu tersebut telah diajar di dalam bahasa Inggeris.
Kemuncak kepada keraguan bahasa Melayu ini direalisasikan dengan terlaksananya
sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pelaksanaan dasar ini yang mula dilaksanakan pada 2003 adalah sesuatu peristiwa yang cukup
mengguris hati-hati para pejuang bahasa. Pelaksanaan PPSMI adalah output daripada polemik-

polemik yang sekian lama membelenggu yang mana perasaan ketidakyakinan fungsi bahasa
Melayu sebagai bahasa keilmuan dan bahasa sains teknologi tercerna melalui pelaksanaan
PPSMI. Namun, pandangan ini lantas disanggah oleh Prof. Dr James T. Collins dengan memberi
penegasan bahawa kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang telah digunakan
berpuluh tahun di Malaysia dan juga Indonesia tidak perlu dipersoalkan lagi. Malah beliau
menambah, sejak 140 tahun bahasa Melayu sudah digunakan sebagai bahasa ilmu bukan sahaja
orang Melayu malah orang asing. Jangan menganggap bahasa Inggeris itu sebagai mantera atau
azimat yang dapat melindungi kejayaan yang telah dicapai selama ini, tetapi kemajuan itu lebih
bergantung pada azam dan kesungguhan. Bagi menyatakan bahawa bahasa Melayu mampu atau
tidak mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain dari sudut keilmuan penulis nyatakan bahawa
bahasa Melayu lebih cukup mampu dan hebat untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain di
dunia. Ha ini terbukti dengan kelahiran beberapa tokoh ilmuwan seperti Syeikh Nuruddin alRaniri, Hamzah Fansuri, Samsudin ai-Sumatrani, Tun Sri Lanang dan Raja Ali Haji, yang mana
kesemua hasil karya mereka di jana melalui bahasa Melayu. Sekiranya Sejarah Melayu kitab
yang tulisan oleh Tun Sri Lanang lahir di England dalam bahasa Inggeris, saya kira ia akan
menjadi karya terkenal seluruh dunia (Hassan Ahmad, 1995).
Dalam usaha kita untuk memperkasa bahasa Melayu sebagai ilmu pengetahuan, kita tidak
menafikan bahawa cabaran bahasa Melayu pada masa kini tidak terhenti setakat di situ sahaja
tetapi semakin mencabar terutama dalam usaha kita untuk membentes penggunaan bahasa
Melayu bukan standard dan bahasa Inggeris dalam urusan-urusan rasmi khasnya urusan
melibatkan jabatan-jabatan kerajaan. Kita tidak menolak bahawa sikap yang masih menebal
dalam kalangan sebilangan kecil kita yang acuh tidak acuh dalam menggunakan bahasa Melayu
standard dan lebih parah lagi menggunakan bahasa Inggeris. Mungkin berbangga bertutur
dalam berbahasa Inggeris sepatah dua atau ingin menunjuk yang kita lebih pandai dalam bahasa
tersebut perlulah dirujuk pada diri masing-masing. Kita bukan bersikap rasis terhadap bahasa
Inggeris atau anti bahasa Inggeris. Namun bagi mendukung bahasa Melayu sebagai rasmi negara
yang telah termaktub di dalam perlembagaan. Justeru, wajar untuk kita mengambil semangat ini
dan meletakan bahasa Melayu pada kedudukan tertinggi. Usaha ini perlulah diterjemahkan di
dalam urusan seharian kita. Kita tidak menghalang sesiapa pun untuk bertutur atau menggunakan
bahasa tersebut, tetapi perlulah bijak untuk melihat kepada suasana atau situasi wajar atau tidak
untuk kita menggunakannya.
Bagi menterjemahkan hasrat negara, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) komited di bawah pimpinan Prof.Dr. Awang Sarian telah mengambil
pendekatan untuk melaksanakan audit bahasa bagi kesuma agensi kerajaan. Pendekatan ini
diambil oleh DBP adalah untuk memastikan agensi-agensi yang terlibat menggunakan bahasa
Melayu dengan betul terutama dalam urusan rasmi. Langkah ini diambil oleh DBP disebabkan
menyedari akan krisis serta cabaran bahasa Melayu yang kini semakin hebat dihambat dengan
arus globalisasi. Jika elemen ini tidak dibendung dengan segara dengan langkah menyedarkan
rakyat akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu standard dengan baik dan betul. Hal ini,
adalah seiring dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara dalam kerangka 152 perlembagaan Malaysia.
Ditambahkan lagi, menurut Rozali Rejab dalam makalahnya Cabaran Bahasa Melayu
Dalam Menghadapi Abad 21, beliau telah menyenaraikan beberapa elemen yang membawa
cabaran getir kepada bahasa Melayu. Salah satunya elemen tersebut ialah sikap penutur bahasa

Melayu itu sendiri. Kita tidak menafikan bahawa ramai dalam kalangan penutur bahasa Melayu
sendiri tidak mahu bertutur di dalam bahasa Melayu dan berbangga pula apabila bertutur di
dalam bahasa Inggeris, walaupun bahasa Inggeris yang dituturkan itu tidak sebaik yang
diharapkan. Mungkin situasi menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi ini sudah
sebati di dalam kalangan penutur bahasa Melayu itu sendiri. Tidak hairan jika di dalam sesuatu
majlis kalau terdapat seorang sekali pun warga asing kita sanggup menukar ucapan kita daripada
bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris, walhal lingkungan tetamu majlis tersebut majoritinya
memahami bahasa Melayu. Persoalannya, di manakah ketegasan kita dalam berbahasa? Tiadanya
sifat kasih, ambil kisah dan prihatin dengan bahasa ibunda (bahasa kebangsaan) adalah sikap
yang harus dikikis dalam jiwa dalam setiap kalangan kita. Menurut Ibnu Khaldun (1332-1406),
sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah menyatakan bahawa bangsa yang pernah ditakluki
oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh sebab itu,
mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki
mereka. Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka ialah bangsa yang agung.
Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang
biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak berasa hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus
mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat
melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah
terjajah oleh Inggeris. Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segalagalanya. Minda sudah lama terjajah. Itulah yang membelenggu masyarakat kita hari ini.
Mengikis minda yang telah lama terpaku bak sekian lama bukanya sesuatu yang mudah kerana ia
memerlukan masa dan juga kerjasama semua pihak.
Ditambahkan lagi, cabaran bahasa Melayu terus menerima persaingan dan hambatan
daripada pelbagai sudut, kehadiran berpuluh-puluh universiti, kolej swasta sejajar dengan Akta
Institusi Pengajian Tinggi swasta (IPTS) 1996 yang lebih cenderung menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar menghimpitkan lagi peranan bahasa Melayu. Mahu tidak
mahu, suka atau tidak bahasa Melayu terpaksa bersaing dalam situasi sebegini. Persoalannya
mampukan bahasa Melayu bersaing? Mampu atau tidak ia terletak di bahu kita semua sebagai
pengguna bahasa Melayu itu sendiri. Kita sedar bahawa bahasa Melayu dijamin di dalam
perlembagaan 152. Namun, status quo bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi bukanlah satu jamin yang kukuh. Menurut Abang Patdeli Abng Muhi dalam makalahnya
Bahasa Melayu Menyongsong Era Cabaran menyatakan nilai sosial dan nilai ekonomi bahasa
Melayu tidak dapat dielakkan dengan bayangan dengan bahasa Inggeris. Hal ini disebabkan,
suasana dan juga persepsi masyarakat Malaysia yang masih cenderung menanggap sesuatu yang
berbau Inggeris dan barat itu lebih superior. Tidak mustahil tiba satu tahap lulusan bahasa
Melayu juga dianggap sebagai lulusan kelas kedua berbanding mereka yang memperoleh lulusan
berbahasa Inggeris. Fenomena ini bukan asing tatkala pasaran pekerjaan yang mana menekankan
kepada penguasaan bahasa Inggeris sebagai ciri utama temu duga. Hal ini berlainan pula
pendapat daripada Kamal Shukri Abdullah Sani yang mana berpendapat krisis siswazah tidak
mendapat pekerjaan pada hari ini bukanlah disebabkan masalah penguasaan bahasa Inggeris
secara mutlak, tetapi faktor lain yang memerlukan kajian fakta yang lebih jelas seperti masalah
ekonomi negara, syarat khusus pekerjaan, dominasi syarikat tertentu, dan penutupan serta
perpindahan industri tertentu ke negara lain. Di tambahan pula kebanyakan masyarakat korporat
dan elit tidak begitu berminat dalam soal kebahasaan dan juga sastera kerana mereka lebih
menumpukan kepada kemajuan ekonomi, sains, dan teknologi.

Menurut A. Azizi Deraman dalam makalahnya Bahasa Melayu Dan Cabaran Globalisasi,
Dewan Bahasa 2007 menegaskan bahawa cabaran utama bahasa Melayu sebagai bahasa nasional
adalah lemahnya sokongan, jagaan, kawalan, peneguhan dan penegasan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Tambah beliau lagi, wujudnya keserongan persepsi
terhadap keperluan atau cara sesebuah negara memilih bahasa dan bahasa Inggeris dianggap
mampu membawa kemajuan negara telah memusnahkan kemajuan dan keupayaan bahasa
kebangsaan. Bahasa Melayu agung dengan sejarah yang dilakarnya bak sekian lama sehinggakan
penjajah yang datang mengaut segala keuntungan tanah Melayu telah mematikan keagungan
bahasa Melayu dengan membawa bahasanya. Untuk mengembalikan maruah bahasa Melayu
yang kini semakin diheyak-henyak dari pelbagai penjuru. Justeru penulis tinggalkan sidang
pembaca sekalian dengan beberapa persoalan berdasarkan pandangan Aziz Deraman:
(1) Orang Melayu sendiri kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu.
(2) Rakyat bukan Melayu belum semunya menjiwai bahasa Melayu.
(3) Bahasa Inggeris terus dianggap superior.
(4)

Penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian yang mencetuskan tanggapan
bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap bahasa sangat
unggul itu.
Justeru, hala tuju, nasib, dan masa depan bahasa Melayu terletak di tangan kita semua
sebagai penutur dan pencinta bahasa Melayu. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain jika kita
gagal memartabatkan bahasa kita, kerana kita sendiri menggagalkan usaha tersebut. Justeru
bahasa Melayu milik kita semua wadah sendi pusaka bangsa.
Bibliografi :
Sumber Majalah
Hassan Ahmad.(1995, November). Cabaran Dunia Berbahasa Melayu. Pelita Bahasa, 26-31.
A.Aziz Deraman.(Februari, 2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Dewan Bahasa, 26-29.
Armin Azhari.(Mac, 2004). Cabaran Bahasa Melayu Sarwajagat. Dewan Bahasa, 5.
Teo Kok Seong.(Ogos, 2003). Cabaran Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi. Dewan Bahasa,55-57.
Anwar Ridhwan.(April, 2002). Natujah dan Cabaran Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Keempat Di
Dunia. Dewan Bahasa, 7-10.

Datuk Omar Mohd. Hashim.(Julai, 1990). Bahasa Melayu dan Cabaran abad 21. Pelita Bahasa, 6-7.
Abang Patdeli abang Muhi.(April, 1996). Bahasa Melayu Menyongsong Era Cabaran. Pelita Bahasa,
31-38.
Asiah Idris.(Ogos, 1995). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa ilmu: Cabaran dan Harapan. Pelita
Bahasa,9-11.
Sumber Akhbar
Berita Harian. (2012, Februari 16). DBP Audit Bahasa Melayu.
Sumber Artikel dari Internet
Rozali Rajab.(2011). Cabaran Bahasa Melayu Dalam Menghadapi Abad Ke-21. Retrieved Mac 13,
2013, from http://cikgu-rozali.blogspot.com/2011/06/cabaran-bahasa-melayu.html.

Вам также может понравиться