Вы находитесь на странице: 1из 5

ANALISIS HIKAYAT HANG TUAH

Tema Hikayat Hang Tuah


Tema merupakan suatu teknik yang amat penting dalam sesebuah karya kerana temalah yang
menjadi pokok cerita kepada sesebuah karya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008)
pula, tema ialah sebjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan
sebagainya. Tema juga merupakan tajuk atau pokok utama sesebuah cerita. Dalam Hikayat Hang
Tuah, tema yang cuba ditonjolkan oleh pengarangnya ialah tema berkenaan dengan ketaatan atau
kesetiaan Hang Tuah kepada rajanya.
Ketaatan Hang Tuah dapat dilihat dengan banyaknya dalam Hikayat Hang Tuah. Hang
Tuah merupakan seorang hamba yang perlu mempunyai raja untuk mengabdikan kesetiaan dan
ketaatannya. Oleh itu, kata taat yang menjadi tema dalam hikayat ini telah menjadi landasan bagi
Hang Tuah dalam melakukan segala tindakan terhadap rajanya. Dalam erti kata yang lain, teks
Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah teks yang menceritakan ketaatan seorang hamba kepada
rajanya. Sifat taat yang terdapat dalam diri Hang Tuah ini menjadikan beliau sanggup melakukan
apa sahaja untuk rajanya.
Sebagai contoh, Hang Tuah sanggup terjun ke telaga tahi untuk menyelamatkan kuda
anak raja. Dia juga sanggup masuk ke dalam kubur supaya dapat menceritakan kepada raja
bagaimana pengalaman seseorang yang dikebumikan. Hang Tuah juga sanggup membunuh Hang
Jebat iaitu sahabatnya sendiri sedangkan Hang Jebat melawan raja adalah untuk menuntut bela
atas tindakan raja yang menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Selain itu, Hang Tuah
turut sanggup bertarung nyawanya dan melakukan sesuatu yang tidak rasional dengan
melarikan Tun Teja ke negeri Melaka hanya untuk menunjukkan kesetiaannya terhadap raja
Melaka

Persoalan
Selain tema, persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi sesuatu
kepengarangan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), persoalan ialah sesuatu yang
dipersoalkan atau sesuatu yang menjadi masalah. Persoalan juga merupakan pembicaraan,
perbahasan atau perbincangan yang diketengahkan dalam sesebuah karya. Terdapat banyak
persoalan yang cuba diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah. Berdasarkan
persoalan-peroalan inilah yang akan menjadi kekuatan untuk mengangkat sesuatu karya itu
menjadi karya yang agung.
Sesebuah karya sastera akan dibina berdasarkan persoalan-persoalan yang dipetik
daripada episod kehidupan dan kegiatan manusia yang melatarinya. Pengarang akan menjalinkan
persoalan-persoalan ini sehingga menjadi satu rangkaian peristiwa yang berkesimnambungan
antara satu sama lain dan akhirnya dapat membentuk sebuah karya yang mantap. Kesusasteraan
Melayu Tradisional seperti Hikayat Hang Tuah ini tidak terlepas daripada memaparkan
persoalan-persoalan yang dipetik daripada konteks kehidupan dan budaya masyarakat Melayu
tradisional. Persoalan-persoalan inilah yang akan menjadi kekuatan bagi sesebuah karya.
Antara persoalan yang ditimbulkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah ialah
persoalan tentang keberanian atau kepahlawanan Hang Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat
dilihat berdasarkan sikap dan akhlaknya. Hang Tuah juga mempunyai sifat-sifat keperwiraan
Melayu silam seperti memiliki ilmu batin iaitu ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan
musuh. Kepahlawanan Hang Tuah juga dapat dilihat ketika beliau masih kecil lagi. Hal ini
kerana beliau telah mengalahkan lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang
Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau
bersama kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang mengamuk di hadapan
Bendahara Paduka Raja. Disebabkan peristiwa inilah mereka berlima dilantik sebagai Biduanda
Raja. Bendahara Paduka Raja amat tertarik dengan keberanian mereka berlima sedangkan segala
pegawai dan pertuanan yang mengiringi Bendahara lari melihat orang mengamuk. Keberanian
Hang Tuah dan sahabatnya jelas dinyatakan seperti yang terdapat di dalam teks berikut:
Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman orang
itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat, ditikamnya
seorang: itu pun rebah lalu mati.
( HHT,1997:37 )
Selain itu, persoalan tentang kebijaksanaan juga menjadi persoalan penting yang terdapat
dalam Hikayat Hang Tuah ini. Hang Tuah digambarkan oleh pengarang sebagai seorang yang
bijaksana dalam melakukan sesuatu tindakan. Sifat kebijaksanaan yang ada pada diri beliau ini
juga menyebabkan raja Melaka semakin menyayanginya. Hang Tuah sememangnya seorang
pahlawan yang bijaksana, setiap tindakan yang dilakukan oleh beliau mempunyai tujuan yang

tersendiri. Hang Tuah bukan sahaja bijak dalam tindakannya malah beliau juga bijak dalam
melakukan helah. Pelbagai helah telah digunakan semasa pertarungan. Hang Tuah juga dikatakan
bijak kerana beliau berjaya menguasai 12 bahasa yang dipelajarinya sejak kecil lagi.Antaranya
adalah Bahasa Arab, Bahasa Keling, Bahasa Siam, Bahasa Cina dan Bahasa Jawa.
Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Quran, maka pengajian itu pun tamatlah.
Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata
kepada bapanya, Ayo bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula,
supaya hamba tahu pula bahasanya. Maka kata Hang Mahmud, Benarlah seperti bicara
anakku itu. Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta, beberapa
lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hnag Tuah
pun berkata pada bapanya hendah mengaji pada lebai Siam pula supaya diketahuilah akan
bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji
pula pada seorang lebai Cina. Dengan tiada berapa lamanya maka ia pun tamatlah mengaji
bahasa Cina itu. Maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan
bahasa Jawa itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka Hang
Tuah pun pulanglah ke rumahnya
( HHT, 1997: 24 )
Seterusnya, persoalan tentang ketangkasan. Kejayaan Hang Tuah sebagai pehlawan
Melayu dilihat berdasarkan ketangkasan beliau bermain senjata. Terdapat banyak peristiwa yang
menunjukkan Hang Tuah sebagai seorang yang tangkas. Anataranya peristiwa ketika beliau yang
hanya seorang diri berjaya menumpaskan tujuh puluh orang penjurit yang mengamuk di pasar.
Hang Tuah mempunyai taktik tertentu untuk menumpaskan penjurit yang ramai itu. Pada
mulanya beliau berundur untuk mencari tempat bertahan. Beliau telah menemui satu lorong yang
hanya muat untuk seorang manusia sahaja dan pagar lorong itu diperbuat daripada batu. Hang
Tuah masuk ke dalam lorong itu untuk bertahan. Tujuh puluh orang penjurit itu juga masuk ke
dalam lorong itu secara beiringan. Dengan ketangkasan yang dimiliki, Hang Tuah berjaya
memancung kepala penjurit-penjurit tersebut. Selain itu, ketangkasan Hang Tuah juga dapat
digambarkan petikan teks tersebut:
Setelah sudah Laksamana ke sungai, maka penjurit empat puluh itu pun datang ke kiri kanan
Laksamana, seraya berkata, Bunuhlah Melayu ini beri mati-mati. Jangan lagi beri lepas.
Maka penjurit itu pun berbahagi empat, sepuluh hadapan, sepuluh dari kanan, sepuluh dari kiri,
sepuluh dari belakang, lalu ditikamnya pada Laksamana pada tombaknya. Maka ditangkis oleh
Laksamana dengan sarung keris itu seraya dihunusnya keris panjangnya seraya tertinggung ke
sungai. Maka ditangkiskan oleh Laksamana tikam penjurit itu empat puluh, suatu pun tiada
mengena Laksamana.
( HHT, 1997: 281 )

Pengajaran
Kekuatan kepengarangan Hikayat Hang Tuah juga dapat dilihat melalui pengajaran yang terdapat
dalam hikayat ini. Pengajaran ini boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat untuk melakukan
sesuatu yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2008), pengajaran ialah perihal
mengajar atau segala sesuatu yang berkaitan dengan mengajar. Pengajaran juga membawa makna
peringatan atau pedoman. Dalam Hikayat Hang Tuah terdapat banyak pengajaran yang boleh
diambil untuk dijadikan pedoman. Antaranya seperti petikan teks ini:
Maka setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapatit, mana
yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah, orang
mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara Majapahit itu pun
habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis ditinggalkannya maka
Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya, ceh, barang siapa undur
setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak
digertak-gertak itu.
( HHT, 1997: 205 )
Petikan ini mengajar kita supaya sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan terutamanya
dalam hubungan sesama manusia. Kadang-kala terdapat manusia yang sengaja merancang
sesuatu tindakan untuk menguji keutuhan sesebuah negara. Pihak perancang ingin melihat
tindakan yang diambil oleh sesetengah pihak apabila mereka melaksanakan sesuatu perancangan.
Hal ini dapat dilihat berdasarkan peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk
melihat sejauh mana keutuhan dan keharmonian golongan masyarakat Majapahit.
Selain itu, kita juga hendaklah bersama-sama menunjukkan sikap kekitaan, kebersamaan,
dan keberanian untuk menghadapi ancaman daripada orang lain. Kita juga perlu mengelakkan
diri daripada lari apabila berhadapan dengan sesuatu masalah kerana pengunduran seseorang
akan memberi kesan kepada individu lain yang akan turut menjejaki tindakan tersebut. Hal ini
akan mendatangkan kesan seperti kekalahan dalam pertempuran dan akan memusnahkan tanah
air dan bangsa sendiri. Oleh itu, sikap Hang Tuah yang merah apabila orang-orang Majapahit
melarikan diri daripada orang mengamuk menunjukkan bahawa Hang Tuah tidak mahu orangorang Majapahit menunjukkan sikap yang negetif kepada pihak musuh.
Tuntasnya, berdasarkan tema dan persoalan yang ditonjolkan oleh pengarang boleh menjadikan
karya Hikayat Hang Tuah ini menjadi karya yang agung kerana hikayat ini mempunyai kekuatan
kepengarangan yang tersendiri berbanding karya-karya sastera tradisional yang lain. Hikayat ini
merupakan hikayat yang mengangkat bangsa Melayu sebagai bangsa yang kuat dan berani
berdasarkan watak utamanya iaitu Hang Tuah. Tema dan persoalan yang dibincangkan juga
banyak menekankan tentang kehebatan wataknya yang menjadi cerminan bagi masyarakat
Melayu. Selain itu, pengajaran yang terdapat dalam hikayat ini juga turut menjadikan Hikayat
Hang Tuah ini menjadi sebuah hikayat yang agung. Pengajaran ini juga menjadi pedoman kedapa
masyarakat dan menjadi antara kekuatan yang terdapat dalam karya.
Posted by karya agung melayu at 8:16 AM

Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to FacebookShare to Pinterest

Вам также может понравиться