Вы находитесь на странице: 1из 15

PENGENALAN

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah satu bahagian dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Ketiga-tiga konsep ini, walaupun mempunyai tafsiran yang berbeza dari
segi pengertian, tujuan dan ciri-ciri, memangnya ada kaitan yang rapat dengan proses
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Malah, ketiga-tiga perkara ini saling membantu
dalam pencapaian matlamat yang sama dalam proses pendidikan.
Pengujian, pengukuran dan penilaian memainkan peranan penting dalam kurikulum
pendidikan dan sebahagian dari kurikulum itu sendiri. Ianya dilakukan untuk menilai samada
sesuatu objektif yang ditetapkan itu tercapai atau tidak. Dalam pengajaran dan
pembelajaran, ketiga-tiga aspek ini dilakukan bagi mengetahui sama ada guru mengajar
dan pelajar belajar. Oleh itu pemahaman terhadap konsep pengujian, pengukuran dan
penilaian sangat penting bagi seseorang guru untuk memastikan pengajaran dan
penilaiannya bermutu dan adil.
Dalam bidang pendidikan, kita seringkali berhadapan dengan apa yang dikatakan
sebagai pengujian, pengukuran dan penilaian dalam semua keadaan yang memerlukan kita
membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan. Guru perlu membuat pertimbangan atau
keputusan berhubung dengan pelajar dalam bilik darjah tentang pengajaran dan
pembelajaran yang berlangsung sama ada telah mencapai objektif yang telah ditetapkan
atau memerlukan tindakan pengulangan semula dan sebagainya.
Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat
dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam
membangunkan

instrumen

pengujian dan

penilaian

amat

penting malah

sama

pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

KONSEP PENGUJIAN
Pengujian dalam bilik darjah merupakan proses penyerahan set soalan yang piawai
yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi
mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Dalam erti
kata lain, pengujian ini merupakan alat pengukuran yang digunakan untuk mendapatkan

maklumat tentang pencapaian pelajar-pelajar daripada pelbagai bidang kognitif, psikomotor


ataupun efektif. Dalam konteks pembelajaran dalam bilik darjah, pengujian digunakan untuk
mengukur perubahan tingkah laku yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pembelajaran
para pelajar.
Menurut Cronbach (1970), Ujian adalah satu prosedur yang sistematik untuk
memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan
bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Contohnya :
Skala bernombor :
i.

30/100 untuk ujian penglihatan,

ii.

100/200 untuk ujian kecerdasan ( IQ test)

iii. 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains.
Sistem berkategori:
i.

ekstrovert atau introvert bagi ujian personaliti

ii.

rabun warna bagi ujian penglihatan.


Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar dikukuhkan
lagi oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang
menegaskan

bahawa

Ujian

adalah

suatu

cara

untuk

mendapatkan

contohan

perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan.
Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau
pengadilan.
Hasil daripada jawapan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut
sebagai markah akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan
keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula
dengan

peringkat

persediaan,

diikuti pelaksanaan (pentadbiran

ujian)

dan

berakhir

dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui proses pengujian inilah seseorang guru
dapat mengetahui

sama

ada

pelajar-pelajarnya telah

menguasai

sebanyak

mana

kemahiran yang telah dipelajari.


Dalam bilik darjah, pengujian adalah untuk mengukur perubahan tingkah laku murid
berkaitan dengan aktiviti pembelajaran murid. Kaedah yang lazimnya digunakan untuk
mengesan pencapaian murid secara formal ialah dengan menggunakan kertas dan pensil.
Ianya terdiri daripada satu set soalan atau tugasan yang mana murid perlu memberi tindak
balas. Pengujian dapat mengukur ciri-ciri tingkah laku dalam masa terhad kepada
sebahagian aspek pembelajaran sahaja seperti kognitif, afektif atau psikomotor.

CIRI-CIRI PENGUJIAN
Sesuatu

ujian

yang

berkualiti

perlu

mempunyai

elemen-elemen

kesahan,

kebolehpercayaan, keobjektifan, dan kebolehtadbiran.


i.

Kesahan

Merujuk kepada takat sesuatu ujian yang dapat memenuhi tujuannya. ia terbahagi kepada
empat iaitu kesahan isi, kesahan ramalan, kesahan gagasan, dan kesahan serentak.

Kesahan isi adalah untuk menentukan setakat mana sesebuah ujian


meliputi bidang ujian yang hendak diuji. Untuk mencapai kesahan isi,
kandungan ujian hendaklah ditentukan terlebih dahulu.

Kesahan ramalan bermaksud ketepatan sesuatu ujian untuk meramal


kebolehan sebenar seseorang pelajar untuk menjalankan sesuatu ujian pada
masa hadapan dalam situasi yang lain. Contohnya seorang pelajar
memperolehi 8A dalam peperiksaan percubaan di sekolah juga harus
memperoleh pencapaian yang sama dalam peperiksaan SPM yang sebenar.

Kesahan gagasan adalah ciri yang sah yang terkandung dalam


sesuatu ujian yang digunakan untuk mengukur tret, tingkah laku atau mental
manusia.

Contohnya,

markah

seseorang

mungkin

dipengaruhi

oleh

kecerdasan, kebolehan menaakul, dan sebagainya.

Kesahan serentak merujuk kepada pencapaian seseorang dalam ujian


itu sepadan dengan pencapaiannya dalam satu ujian lain yang diakui sah.
Sebagai contoh, jika pelajar memperolehi skor yang tinggi dalam satu ujian,
dan apabila ujian tersebut diulangi, guru mesti menyemak yang pelajar
tersebut mempunyai skor yang hampir sama untuk menentukan kesahan
serentak.

ii.

Kebolehpercayaan
Merujuk kepada ketekalan sesuatu ujian. Contohnya, jika seseorang calon mendapat
markah sebanyak 80 peratus dalam suatu ujian pada hari pertama dan mendapat markah
yang sama atau hampir sama tiga hari kemudian atau selepas seminggu, maka ujian itu
dikatakan mempunyai sifat kebolehpercayaan.

iii.

Keobjektifan

Keobjektifan sesuatu ujian merujuk kepada ketepatan guru dalam memeriksa jawapan
pelajar yang ramai. Sebuah ujian objektif dikatakan mempunyai keobjektifan yang tinggi jika
pemarkahan ujian ini tidak dipengaruhi oleh faktor-faktor kemahiran dan emosi guru yang
memeriksa ujian ini. Sebaliknya, ujian subjektif mempunyai keobjektifan yang rendah kerana
pemarkahan mungkin berbeza antara dua orang pemeriksa yang lain walaupun keduaduanya menanda berdasarkan skima pemarkahan yang sama.
iv.

Kebolehtadbiran
Merujuk kepada kelicinan pelaksanaan sesebuah ujian di dalam bilik darjah atau dewan
peperiksaan. Ciri kebolehtadbiran merangkumi aspek-aspek seperti penyediaan dewan
peperiksaan, pengedaran kertas soalan, pengawasan, pengutipan skrip jawapan serta
pemarkahan.
TUJUAN PENGUJIAN

i.

Mengesan hasil pembelajaran yang telah dicapai.

ii.

Mengesan kemajuan yang telah diperolehi tentang pencapaian hasil-hasil


pembelajaran yang lain.

iii.

Mengesan kesulitan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar.

iv.

Menentukan perubahan tingkah laku pelajar.

v.

Menentukan pencapaian pelajar dalam pembelajaran yang tertentu.

vi.

Menempatkan pelajar dalam kumpulan yang sesuai mengikut keputusan


pengujian.

vii.

Menggalakkan pelajar mengulangkaji pelajarannya.

viii.

Melatih pelajar sebagai persediaan untuk peperiksaan awam yang akan


datang.

ix.

Ujian petempatan akan menentukan kemahiran dan penguasaan sedia ada


pelajar sebelum pengajaran.

x.

Ujian diagnostik menentukan punca masalah pembelajaran dan dengan itu


membantu guru menentukan teknik pemulihan yang perlu digunakan.
KONSEP PENGUKURAN

Pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding pengujian. Pengukuran


membawa definisi sebagai suatu proses untuk mendapatkan penjelasan secara numerik
(melalui angka) tentang sebanyak mana individu iaitu pelajar mempunyai sesuatu ciri yang
diukur dengan menggunakan alat tertentu. Oleh yang demikian pengukuran ialah proses
menentukan sejauh mana seseorang individu memiliki ciri-ciri tertentu.
Biasanya, kita mewakilkan sesuatu pengukuran berbentuk angka kepada prestasi
seseorang individu untuk menggambarkan keupayaan individu tersebut. Sebagai contoh,
Muhammad mendapat 60 peratus dalam ujian Sains. Kita tidak menyatakan prestasi
Muhammad sama ada baik atau sebaliknya. Dalam hal ini, kita hanya mengukur pencapaian
sains tanpa memberikan nilai kepada ukuran yang diperoleh. Justeru, pengukuran hanya
menentukan tahap prestasi atau ciri tertentu seseorang pelajar mengikut alat yang
digunakan.
Pengukuran boleh juga dibuat tanpa menggunakan pengujian. Sebagai contoh,
kemahiran melukis seseorang pelajar boleh diukur melalui pemerhatian dan pencerapan,
sementara pengetahuan dan sikapnya boleh diukur melalui temubual. Oleh itu, kita boleh
menganggapkan pengukuran sebagai proses untuk mendapatkan sesuatu ukuran dengan
menggunakan kaedah tertentu, manakala pengujian pula merupakan salah satu daripada
kaedah tersebut.
Pengukuran tidak bersifat mutlak, misalnya, pengukuran keupayaan mental
seseorang sudah tentu lebih sukar diukur secara tepat berbanding ketinggian fizikalnya.
Ketinggian fizikal seseorang boleh diukur secara tepat dengan menggunakan alat ukur yang
tepat seperti penggunaan pembaris. Seterusnya, seseorang pelajar yang mendapat skor 80
tidak boleh dianggap mengetahui dua kali ganda daripada pelajar yang mendapat skor 40,
walaupun skor 80 itu dua kali ganda 40. Seseorang pelajar yang mendapat skor sifar pula
tidak juga boleh dianggap sebagai tidak mempelajari atau mengetahui tentang sesuatu
pelajaran yang diajar guru. Ini jelas menunjukkan ukuran aspek-aspek berkenaan bukanlah
petunjuk yang tepat sebagaimana ukuran ketinggian fizikal pelajar menggunakan pembaris.
Justeru, seseorang guru perlu menggunakan alat yang tepat bagi menghasilkan
ukuran yang tepat. Jika alat yang digunakan mempunyai kecacatan, maka sudah pastilah
ukuran yang diperoleh juga tidak tepat. Proses pengukuran menunjukkan pencapaian
keseluruhan murid tetapi tidak semestinya membayangkan kebaikan atau tingkah laku
seseorang individu.
JENIS-JENIS PENGUKURAN
Terdapat pelbagai bentuk pengukuran yang berbeza, contohnya, pengukuran yang
digunakan untuk mengukur pencapaian akademik pelajar adalah berbeza daripada
pengukuran yang digunakan untuk menentukan tahap apresiasi agama pelajar. Begitu juga

membuat pengkelasan darjah motivasi sebagai bermotivasi rendah, sederhana atau tinggi
tidaklah setepat ukuran yang menggunakan skor sebenar motivasi pelajar. Penyataan dan
pengkelasan pembolehubah dalam bentuk kuantitatif melibatkan pengukuran yang
menggunakan skala tertentu. Pada umumnya terdapat dua jenis pembolehubah asas dalam
pengukuran, iaitu jenis kuantitatif seperti 20%, 50%, 80% dan jenis kategori seperti motivasi
rendah, motivasi sederhana, motivasi tinggi.
Kedua-dua jenis pembolehubah ini boleh diukur dengan menggunakan empat jenis
skala, iaitu skala nominal, ordinal, sela dan nisbah. Secara ringkasnya, skala boleh
ditakrifkan sebagai angka yang digunakan untuk mengkelas atau menunjukkan tahap dan
nilai sesuatu ukuran.

i.

Skala Nominal
Skala nominal ialah skala yang dianggap paling mudah dan mempunyai ketepatan
yang paling rendah. Skala ini mengkategorikan pembolehubah berdasarkan persamaan dan
seterusnya memberikan nama kepada pembolehubah berkenaan. Contohnya, guru ingin
mengkelaskan pelajar-pelajar mengikut etnik atau jantina. Guru berkenaan perlu meletakkan
nilai tertentu kepada pembolehubah tersebut bagi mewakili etnik berkenaan.Misalnya, etnik
Melayu diwakili nombor 1, etnik Cina diwakili nombor 2, etnik India diwakili nombor 3 dan
etnik-etnik lain diwakili nombor 4. Nombor 1 dalam sistem ini tidaklah menunjukkan bilangan
yang kecil berbanding nombor 2, 3 atau 4.
Dalam skala nominal ini, kita boleh menukar ganti nombor berkenaan untuk mewakili
kategori etnik tertentu, misalnya, nombor 4 untuk etnik Melayu, nombor 3 untuk etnik Cina,
nombor 2 untuk etnik India dan nombor 1 untuk lain-lain etnik. Nombor yang digunakan di
sini hanyalah mewakili atau melambangkan kategori pembolehubah yang dinyatakan, iaitu
etnik. Nombor ini tidak mempunyai sebarang nilai dan skala yang menggunakan nombor
untuk mengkategori pembolehubah ini disebut sebagai skala nominal. Ciri-ciri utama skala
nominal adalah seperti berikut:

Setiap ahli hanya dimiliki oleh satu kategori sahaja, misalnya, individu yang dikelaskan ke
dalam kategori Melayu tidak boleh menjadi ahli kategori etnik lain.

Nombor yang mewakili setiap kategori tidak mempunyai nilai pemeringkatan, tetapi
dianggap sebagai nama kategori sahaja.

ii.

Pengkelasan data asal kepada data nominal bersifat satu kepada satu.
Skala Ordinal

Ukuran bersifat ordinal pula memberikan nilai pemeringkatan. Data boleh disusun sama
ada daripada yang terrendah kepada yang tertinggi atau daripada yang lemah kepada yang
cemerlang. Nombor atau kategori yang diguna menggambarkan ukuran asal pembolehubah
mengikut susunan daripada kecil kepada yang besar atau daripada kategori yang baik
kepada kategori yang lebih baik.
Misalnya, nombor 1, 2, 3, 4 yang menunjukkan kedudukan pelajar dalam darjah dari
segi pencapaian akademik adalah contoh skala ordinal. Pelajar yang mendapat markah
keseluruhan yang tinggi diberikan nombor 1, diikuti nombor 2, 3, 4 dan seterusnya. Ini
menunjukkan nombor 1 adalah lebih baik daripada nombor 2, 3 4 dan berikutnya. Ciri-ciri
utama skala ordinal adalah seperti berikut:

Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data ordinal adalah saling eksklusif.

Ukuran yang diguna menunjukkan pemeringkatan secara logik.

Ukuran mempunyai pemberat, iatu setiap kategori mempunyai pemberat yang kurang
atau lebih berbanding kategori lain.

iii.

Skala Sela
Data jenis ini mempunyai ciri pemeringkatan dan juga mempunyai perbezaan bagi
setiap unit sela yang sama nilai. Skala ini berupaya menunjukkan perbezaan antara
beberapa kategori dan ia boleh menunjukkan kesamaan dalam unit ukuran yang digunakan.
Skala sela memberikan sela yang sama daripada titik origin. Ini bermaksud skala sela
mempunyai ciri-ciri nominal dan ordinal, terutamanya ciri-ciri aspek pemeringkatan. Jarak
numerik yang sama dalam skala sela menggambarkan jarak yang sama pada ciri-ciri yang
diukur.
Contohnya, andaikan terdapat empat orang pelajar yang diukur pencapaiannya
dalam skala sela, maka perbezaan pencapaian antara pelajar A yang mendapat 95% dengan
Pelajar B yang mendapat 70% adalah sama dengan perbezaan pencapaian pelajar C yang
mendapat 50% dengan pelajar D yang mendapat 25%. Bagaimanapun kita tidak boleh
mengatakan pencapaian pelajar C adalah dua kali lebih baik daripada D, kerana skala sela
tidak mempunyai nilai mutlak, tetapi hanya berdasarkan jarak. Dalam skala sela, nilai sifar
(0) merupakan suatu nilai yang arbitrari, yang tidak menggambarkan nilai kuantiti kosong,
iaitu skala sela tidak mempunyai nilai mutlak. Ciri-ciri skala sela adalah seperti berikut:

Kategori yang digunakan bagi mengkelaskan data sela adalah saling eksklusif.

Ukuran yang diguna menggambarkan susunan pemeringkatan secara logik.

Ukuran yang diguna mempunyai pemberat, iaitu sesuatu ukuran sama ada lebih kecil
atau lebih besar daripada yang lain.

Ukuran dalam skala sela bernilai arbitrari (tidak mutlak). Nilai sifar (0) juga adalah
arbitrari.

Perbezaan satu unit ukuran mempunyai nilai yang sama bagi semua perbezaan
ukuran.

iv.

Skala Nisbah
Skala keempat ialah skala nisbah, iaitu skala yang mempunyai semua ciri skala sela
dan juga nilai mutlak. Dalam skala nisbah nilai sifar (0) adalah kosong. Misalnya, perbezaan
antara 30 hingga 60 adalah sama dengan perbezaan 60 hingga 90. Malah kita boleh
mengatakan 90 adalah dua kali ganda 45. Contoh ukuran berskala nisbah ialah wang, jarak
dan tinggi.
TUJUAN PENGUKURAN
i.

Menentukan tahap pencapaian dan kedudukan di antara pelajar.

ii.

Membuat perbandingan pencapaian dan kedudukan di antara pelajar dalam mata


pelajaran yang tertentu ataupun keseluruhan pencapaian akademiknya.

iii.

Untuk pengelasan dan menempatkan pelajar dalam jurusan kurikulum yang sesuai.

iv.

Untuk membuat analisis, pentafsiran dan rumusan dalam sesuatu penyelidikan

daripada keputusan pengukuran.


v.

Untuk pensijilan sebagai tahap pencapaian akademik dalam sesuatu peringkat

persekolahan.
vi.

Sebagai rujukan kriteria bagi pihak yang berkenaan untuk tujuan yang tertentu.
KONSEP PENILAIAN
Penilaian ditakrifkan sebagai proses menentukan, mendapatkan dan memberikan
maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya.
Dalam konteks pendidikan, penilaian ialah suatu sistem atau proses yang meliputi aktivitiaktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang
sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan
cara yang lebih berkesan.

Banyak definisi telah diberikan kepada istilah penilaian. Antaranya ialah Gay (1985)
berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan
menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu
telah tercapai. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan
yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan
pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang
lebih bersifat kuantitatif.
Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan
penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah
ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara
untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat
penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian
dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan pelajar sekolah
rendah.
Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisian
dan penyimpulan. Prosedur penilaian ini boleh dilaksanakan dalam lima peringkat yang
dijelaskan secara ringkas seperti berikut :
Peringkat
Interpretasi &
tindakan
Peringkat
analisis
Peringkat
Pemeriksaan &
pengukuran
Peringkat
Pentadbiran
ujian
Peringkat
Persediaan

ujian

Berdasarkan keterangan di atas, pengujian dan pengukuran merupakan aktivitiaktiviti utama dalam aktiviti penilaian. Kepentingannya di antara ketiga-tiga sistem ini dapat
dilihat dalam rajah 1 di bawah.
pengujian

pengukuran
penilaian
Rajah 1 : perkaitan penilaian, pengukuran, dan pengujian
Secara umumnya, penilaian pendidikan merangkumi aspek-aspek hasil pengajaran
dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam
bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian
pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru
sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan
guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu
bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga
boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada
pemerhatian atau temubual.
Oleh itu, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang
berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat
kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred seperti A, B, C, D atau E bersama
penjelasan nilainya seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal. Sementara itu,
penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga,
misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan cepat, tepat dan bersih. Secara
ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis
ukuran dan menyatakan nilai atau interpretasi ukuran.

JENIS-JENIS PENILAIAN
Di bawah program KBSR dan KBSM, terdapat tiga jenis aktiviti penilaian iaitu
penilaian mengesan penguasaan, penilaian mengesan kemajuan, dan penilaian mengesan
pencapaian. Pada amnya, ketiga-tiga aktiviti penilaian ini boleh digolongkan kepada dua
jenis iaitu penilaian formatif yang digunakan untuk mengesan penguasaan dan kemajuan,
dan penilaian sumatif yang digunakan untuk mengesan pencapaian.
Penilaian formatif meliputi aktiviti mengesan kekuatan dan kelemahan penguasaan
pelajar dalam sesuatu kemahiran yang telah diajarkan. Cara penilaian ini merupakan dalam
bentuk tidak formal seperti pemerhatian, bersoal jawab secara lisan, kuiz matematik,
memeriksa hasil kerja pelajar dalam kelas atau kerja rumah. Penilaian formatif ini biasanya
digunakan untuk mengesan bidang kelemahan penguasaan kemahiran pelajar secara
individu supaya dapat membetulkan kesalahannya dengan serta merta.
Oleh itu penilaian ini kerap kali dijalankan selepas sesuatu kemahiran diajarkan. Di
samping itu, penilaian formatif juga digunakan untuk mengesan kemajuan pelajar di dalam
kelas melalui ujian kertas pensel dalam bentuk formal. Ujian kertas pensel lazimnya
diadakan selepas beberapa unit kemahiran ataupun pembelajaran telah diajarkan.
Keputusan ujian ini akan direkodkan dalam borang prestasi yang akan digunakan untuk
menentukan tindakan selanjutnya.
Penilaian sumatif pula meliputi aktiviti pengujian dan pengukuran atas beberapa unit
pembelajaran, biasanya dalam tempoh satu penggal atau dua penggal. Cara penilaian yang
digunakan adalah bentuk formal dengan menggunakan ujian kertas pensel, peperiksaan
amali atau bertulis, skala radar dan senarai semak. Penilaian sumatif ini biasanya digunakan
untuk menentukan pencapaian pelajar dalam beberapa unit pembelajaran. Keputusan ujian
itu akan digunakan untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti
pengayaan dan pemulihan, merekod keputusannya dalam rekod profil serta menempatkan
semula kedudukan pelajar dalam kumpulan yang sesuai.
Tujuan penilaian sumatif ialah untuk mengesan pencapaian pelajar dalam kelas atau
membuat perbandingan pencapaian mereka di antara kelas. Oleh itu, penilaian ini biasanya
dijalankan secara formal dalam bentuk peperiksaan pada pertengahan dan akhir tahun
persekolahan. Selain daripada peperiksaan pertengahan dan akhir tahun, penilaian sumatif
juga meliputi peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),
Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebagainya, yang
mana keputusannya digunakan untuk menggredkan pelajar mengikut peringkat pencapaian
dalam satu tahap persekolahan serta menentukan taraf pensijilan.

TUJUAN PENILAIAN
Sistem penilaian merupakan sistem yang penting dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Tujuan menggunakan sistem penilaian dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran ini ialah :
i.

Mengumpul maklumat tentang pencapaian pelajar selepas aktiviti pengajaran dan


pembelajaran supaya membuat penafsiran dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

ii.

Menentukan kekuatan dan kelemahan pelajar dalam pelajaran sesuatu kemahiran supaya
merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan.

iii.

Menentukan kesan pengajaran guru untuk merancang strategi pengajaran yang lebih
berkesan.

iv.

Menentukan pencapaian objektif pelajaran yang ditetapkan untuk merancang aktiviti


pengajaran dan pembelajaran pada masa yang akan datang.

v.

Merekod keputusan-keputusan penilaian dalam rekod prestasi dan rekod profil untuk
dirujuk oleh pihak-pihak yang berkenaan.

vi.

Menilai keberkesanan pelaksanaan sesuatu program baru seperti program KBSR atau
KBSM.
PENUTUP
Kesimpulannya, seseorang guru merupakan orang yang berperanan penting dalam
mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian para pelajar dalam bilik
darjah. Guru yang menentukan hasil pembelajaran bagi pelajar-pelajarnya serta merancang
dan melaksanakan penilaian dan juga merekod segala maklumat yang diperoleh, dan
seterusnya melaksanakan tindakan susulan. Melalui aktiviti penilaian ini, guru dapat
memastikan perkembangan potensi individu pelajar secara menyeluruh agar menepati
dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan pelajar yang
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelektual.

REFLEKSI
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana akhirnya saya berjaya menyiapkan
tugasan yang telah diberikan walaupun dalam kesibukan melaksanakan tanggungjawab
sebagai seorang guru dan ketua keluarga. Tugasan ini banyak memberikan saya input-input
baru yang sangat berguna untuk saya praktikkan di sekolah nanti. Tugasan ini juga
menjadikan saya lebih memahami apa itu pengujian, pengukuran dan juga penilaian.
Banyak ilmu baru yang saya perolehi setelah menyelesaikan tugasan ini. Ia
memberikan saya satu dimensi baru dan menjadikan saya seorang yang teliti atas sesuatu
tugasan yang diberikan. Ilmu yang saya perolehi ini akan saya gunakan dan akan saya
kongsikan kepada rakan-rakan yang lain di tempat kerja. Selain itu, saya telah memperolehi
satu pengalaman baru yang mana sikap bekerja dengan bersungguh-sungguh dalam
membuat

sesuatu

tugasan

yang

diberikan

merupakan

faktor

kejayaan

seseorang. Pengalaman dalam menjayakan tugasan ini cukup berharga buat saya. Saya
berharap agar ilmu yang saya dapat ini akan terus berada dalam ingatan dan seterusnya
akan diaplikasikan sepanjang kehidupan untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.
Sepanjang melaksanakan tugasan ini pelbagai rintangan dan dugaan yang terpaksa
saya tempuhi. Antara masalah yang paling ketara ialah tidak mempunyai masa yang
mencukupi

untuk

melaksanakan

penyelidikan

dan

mengumpulkan

maklumat.

Walaubagaimanapun masalah ini dapat diatasi dengan baik dengan mengurus masa yang
betul dan sistematik. Selain itu, kurangnya pengalaman dan ilmu yang cetek juga
menyebabkan saya terpaksa menyelidik dan membuat kajian dengan bersungguhsungguh agar tugasan ini dapat menepati apa yang dikehendaki.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga
kepada pensyarah subjek Ilmu Pendidikan iaitu Encik Kamarul Zaman Bin Mohd Kutty yang
telah memberi panduan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Saya
juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kawan-kawan yang telah banyak
membantu sama ada secara formal atau tidak formal dalam menjayakan tugasan ini. Terima
kasih juga kepada keluarga tercinta kerana memberi sokongan dan dorongan serta doa agar
saya berjaya dalam pengajian ini.

DISEDIAKAN OLEH : HUMAIDI BIN MAT YAACOB

No. Matrik : IPGKB : D25A-0911-0136


KURSUS: KDPM-SABK-PA2

RUJUKAN

1.
2.

Ee Ah Meng (1990), Pedagogi Satu Pendekatan, Fajar Bakti Bakti Sdn.Bhd.

Dr.Ragbir Kaur A/P Joginder Singh (2010), Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah(KPLI) Sekolah Rendah Dan Menengah, Kumpulan
Budiman sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

3.

Mok Soon Sang (2009),Ilmu Pendidikan Untuk KPLI, Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
4.

Mokhtar Ismail (1995). Penilaian di bilik darjah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

5.

Siti Rahayah Ariffin. (2003). Teori, Konsep dan Amalan Dalam Pengukuran dan

Penilaian. Pusat Pembangunan Akademik Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Вам также может понравиться