Вы находитесь на странице: 1из 6

PemikiranMoralNaturalis,Emotivis,Intuitionis,dan

Rasionalis
Pemikiran Moral Naturalis, Emotivis, Intuitionis,
dan Rasionalis
Pemikiran Naturalis
Definisi dan ciri-ciri :
Naturalisme ialah aliran pemikiran yang menggambarkan sesuatu dalam keadaannya
yang sebenar. Menurut Peter R.S. dalam Ethnics and Education, tabii (nature)manusia perlu
diketahui sebelum memahami cara bagaimana mereka harus hidup. Ahli-ahli falsafah bersetuju
bahawa manusia adalah rasional secara tabii atau semulajadi berbanding dengan haiwan yang
lain. Manusia jauh berbeza dripada haiwan kerana manusia mempunyai keupayaan untuk
berfikir dan bertindak secara rasional dengan menggunakan akal. Manusia juga boleh menaakul
serta meletakkan batasan-batasan terhadap kehendak-kehendak mereka.
Secara tabii, manusia mempunyai kebolehan untuk membentuk dan mengekalkan
hubungan peribadi, jadi mereka dapat menggalakkan pembentukan hubungan yang baik sesama
sendiri atau dengan ahli-ahli yang lain. Persahabatan ini tidak terdapat di antara haiwan yang
lain. Haiwan lain memang tidak dapat menghormati antara satu sama lain. Ini bermakna mereka
menganggap hubungan seperti hubungan kekeluargaan sebagai hubungan yang biasa dan
bermoral manakala hubungan atau kelakuan seperti hubungan seks sebagai kelakuan yang tidak
bermoral.
Kecenderungan individu untuk menerima apa sahaja keadaan yang sebenar dapat
dikatakan berfikiran naturalis. Pemikiran ini dikritik kerana dianggap sebagai falasi naturalistik
iaitu tanggapan bahawa wanita seharusnya menjadi suri rumah sahaja dan lelaki adalah yang
memberi nafkah kepada keluarga dan ini adalah tidak wajar dan masyarakat sudah berubah dari
zaman kuno kepada zaman moden.
Secara logik, sesuatu tidak boleh ditentukan secara langsung dengan berdasarkan
sesuatu situasi sahaja.

Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran
sedemikian ialah:

Seorang pelajar Tingkatan Lima mengeluh apabila melihat slip keputusan peperiksaan
percubaan setara yang keseluruhannya teruk. Pelajar tersebut mengeluh dan menerima
keputusan itu dengan mengatakan memang dia bodoh, belajar macam mana pun begitu juga
prestasinya. Dia tidak berusaha untuk mencari alasan-alasan yang menyebabkan dia mendapat
markah yang rendah.

Masih ada masyarakat yang percaya dengan maksud peribahasa rezeki secupak takkan
jadi segantang. Lantaran itu mereka terus menerus miskin walau pun negara telah merdeka 47
tahun yang lalu.

Pulau Langkawi sebelum ini tidak membangun kerana kebanyakan penduduknya


percaya bahawa pulau itu terkena Sumpahan Mahsuri iaitu tujuh keturunan menjadi padang jarak
padang tekukur. Dengan kata lain mereka menerima sumpahan Mahsuri hingga menyebabkan
kurang daya usaha untuk membangunkan pulau tersebut sebelum tujuh keturunan berakhir.

Pemikiran Emotivis
Definisi dan ciri-ciri :
Aliran pemikiran ini merujuk sikap manusia yang bertindak mengikut perasaan atau
emosi. Perasaan ini dilahirkan melalui air muka, kata-kata, tingkah laku sama ada perasaan
gembira mahupun sedih.
Emotivis berasal dari perkataan emosi yang merujuk kepada kebangkitan perasaan.
Emotivis menerangkan bahawa pertimbangan moral bukanlah mengikut pernyataan fakta seperti
yang dinyatakan oleh naturalis, tetapi adalah mengikut emosi, sikap atau perasaan.
Menurut golongan emotivis,individu-individu tersebut hanya menyatakan perasaan
mereka dan pada masa yang sama mungkin menimbulkan perasaaan yang sama di kalangan
orang-orang yang mendengar pernyataan-pernyataan itu. Dengan kata lain, golongan emotivis
berpendapat bahawa pentafsiran-pentafsiran moral tidak menyampaikan maklumat-maklumat
mengenai dunia ini tetapi hanya merupakan pernyataan mengenai emosi atau perasaan orang
yang membuat pentafsiran atau pernyataan-pernyataan moral.
Berdasarkan pertimbangan moral, seseorang itu mula-mula menyatakan perasaannya
dan kemudian akan cuba mengajak orang lain berkongsi perasaan itu.
Menurut pandangan emotivis, pertimbangan moral adalah subjektif, dan tidak
memerlukan sebarang teori asas yang istimewa atau yang boleh mendukung perlakuan moral.
Pandangan emotivis memberi sumbangan dengan memperkenalkan satu dimensi yang penting
yang bukan sahaja berfokus kepada pemikiran rasional, malah emosi moral. Golongan emotivis
cuba menganalisis apa yang salah dari segi emosi, sikap atau perasaan yang tidak dipersetujui.
Tetapi konsep tidak dipersetujui mengandaikan terlebih dahulu penanggapan salah.
Pentafsiran-pentafsiran seperti ini mempunyai unsur emosi atau perasaan. Jelaslah bahawa
kelemahan teori emotivis ialah ia tidak mempunyai konsep emosi yang lengkap.
Kritikan terhadap pandangan ini adalah kerana terdapat tindak balas emosi berlainan
terhadap situasi yang sama. Ini memungkinkan keputusan dibuat secara sewenang-wenangnya
dan tidak dikaji terlebih dahulu.
Antara contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran
sedemikian ialah:

Seorang perompak telah menembak mati seorang wanita berusia 30an di tempat letak
kereta Gedung Membeli Belah Giant kerana wanita tersebut enggan menyerah keretanya
kepada perompak tersebut.

Melihat kecurangan isteri di depan mata menyebabkan suami tanpa berfikir panjang lalu
menceraikannya, menyiksa atau membunuhnya.

Murid Tingkatan Empat menumbuk guru kelas yang menyindir keturunan murid tersebut

Bersikap seperti marahkan pijat kelambu dibakar

Bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan

Menghalau anak dari rumah kerana anak itu telah menconteng arang di muka keluarga.

Sekumpulan lelaki merogol seorang gadis kerana abang gadis itu membunuh salah
seorang daripada saudara kumpulan lelaki tersebut.

Lupin berasa marah apabila didapati tugasannya telah diberi markah yang rendah oleh
pensyarahnya. Mengenai markah yang rendah itu, Lupin mungkin berkata , Pensyarah itu aneh
betul! Adakah dia membaca dan meneliti tugasan saya dengan rapi? Mungkin tidak. Pemalas!

Pemikiran Intuitionis
Definisi dan ciri-ciri :
Adakalanya, kita tahu kita boleh mempercayai seseorang walaupun kita baru pertama
kali menemui orang itu. Setengah-setengah orang merasakan mereka tahu perkara-perkara
seperti ini. Pengetahuan ini diperoleh melalui intuisi. Perkataan intuisi berasal daripada
perkataan Latinintueor yang bermakna saya memandang tepat kepada sesuatu. Ia merupakan
satu proses melihat atau memahami secara intelek. Menurut pandangan intuisionis,
pengetahuan ini boleh diperoleh melalui fahaman atau pengertian langsung.
Aliran pemikiran ini merujuk satu proses melihat dan memahami secara spontan. Aliran
ini ada kaitannya dengan gerak hati. Dengan itu, tindakan seseorang individu yang berfikiran
intuisionis adalah berlandaskan apa yang dirasai di dalam hatinya. Orang tua yang bijak telah
mengalami 1001 pengalaman hidup oleh itu apabila mereka menghadapi sesuatu masalah atau
isu, mereka dapat membaca apa yang tersirat daripada yang tersurat. Bak kata pepatah Melayu
terkilat ikan di air sudah tahu jantan betina.
Dengan kata lain pemikiran intuisionis ialah sejenis pengetahuan yang lebih tinggi dan
berbeza daripada yang diperoleh secara individu. Aliran pemikiran ini juga boleh dikaitkan
dengan pemikiran spontan celik akal. Kemunculan idea yang meledak secara tiba-tiba dalam
memberikan tafsiran terhadap sesuatu perkara boleh dikaitkan dengan aliran pemikiran ini. Maka
berkatalah Munsyi Abdullah, intelek Melayu dalam bahasa indahnya, lagi kutebas pohon di
hutan, baru kutahu luasnya bentara.
Kesimpulannya, orang yang terlebih dahulu makan garam, maka teballah intuisionisnya
berbanding dengan gadis remaja yang mudah ditipu oleh lelaki don juan atau kasanova

lantaran pengalaman hidupnya yang masih hijau; sebab itulah mereka mudah diperkotak-katik
dengan janji-janji manis lelaki hidung belang.

Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran
sedemikian ialah:

Gerak hati orang tua ketika menilai bakal menantu pada kali pertama berdasarkan
timbunan pengalaman lalu serta kematangan fikiran lantaran faktor usia.

Gadis remaja yang mudah ditipu oleh lelaki don juan atau kasanova lantaran
pengalaman hidupnya yang masih hijau kerana mereka mudah diperkotak-katik dengan janji-janji
manis lelaki hidung belang.

Sekiranya Vinod, seorang pelatih, berfikiran intuisionis, mungkin akan berkata


sedemikian mengenai markah yang rendah diperoleh bagi kerja kursusnya, Cis! Pensyarah itu
memang tidak suka pada saya, sebab itulah markah saya rendah. Lain kali, saya tak akan
bekerjasama dengannya.

Pemikiran Rasionalis
Definisi dan ciri-ciri :
Rasionalis berasal daripada perkataan ratio yang bermakna reason atau sebab. Segala
tingkah laku moral seperti menghormati orang tua, menyayangi alam sekitar dan semangat
patriotik perlukan asas pemikiran rasional yang waras dan logik.
Beza antara manusia dan binatang ialah akal. Manusia yang waras akan menggunakan
akal fikirannya untuk penaakulan, membuat keputusan dengan bijak, menyelesaikan masalah,
merekacipta sesuatu yang boleh dimanfaatkan manusia sejagat. Kes-kes bunuh diri,
menggunakan keganasan untuk mendapat sesuatu, bukanlah berpunca daripada pemikiran
rasional.
Ahli-ahli falsafah yang menekankan penaakulan atau pemikiran sebagai faktor utama
dalam pengetahuan sebagai rasionalis. Golongan rasionalis mempunyai pendangan bahawa kita
mengetahui sesuatu hasil daripada pemikiran kita; bahawa fikiran kita berupaya menemui
kebenaran dengan dirinya sendiri. Mengikut pandangan ini, pengetahuan diperoleh dengan cara
membandingkan idea dengan idea-idea lain. Golongan rasionalis berpendapat bahawa
pancaidera-pancaidera dengan sendirinya tidak dapat menghasilkan pentafsiran-pentafsiran
yang sah. Pengalaman-pengalaman yang diperoleh melalui pancaindera kita seperti penglihatan,
pendengaranm sentuhan, bau dan rasa hanya merupakan bahan-bahan mentah pengetahuan.
Pengalaman-pengalaman yang diperoleh itu perlu disusun oleh pemikiran kita supaya
membentuk satu sistem yang bermakna sebelum ia menjadi pengetahuan. Bagi golongan
rasionalis, pengetahuan itu diperoleh daripada konsep-konsep, prinsip-prinsip dan hukum-hukum,
bukan daripada deria fizikal sahaja.
Menurut golongan rasionalis lagi, manusia mempunyai keupayaan untuk mengetahui
dengan pasti, pelbagai kebenaran mengenai kebenaran bumi yang tidak dapat diberikan oleh
pacaindera semata-mata.

Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang


berfikiran sedemikian ialah:

Kalau Abu lebih berat daripada Lupin dan Lupin lebih berat daripada Seng Hui, maka Abu
adalah lebih berat daripada Seng Hui.

Dua tambah dua bersamaan dengan empat.

Jumlah tiga sudut dalam bagi sebuah segitiga ialah 180 atau dua sudut tepat.

Siti, seorang guru pelatih, telah menyempurnakan kerja kursus alat pandang dengar
dengan baik tetapi markah yang diperolehnya adalah rendah. Siti, yang menunjukkan aliran
pemikiran rasionalis mungkin berkata, Apakah sebab-sebabnya tugasan saya kurang elok?
Mungkinkah gambar-gambar yang saya gunakan itu kurang jelas? Elok saya tanya pensyarah
saya supaya saya tidak mengulangi kesalahan-kesalahan itu pada masa yang datang.

http://treebuilder.blogspot.com/2010/11/pemikiran-moral-naturalisemotivis.html

Вам также может понравиться