Вы находитесь на странице: 1из 4

Mahalnya ucapan terima kasih!

Benar mahupun tidak, dikatakan kebanyakan masyarakat hari ini khususnya


generasi muda agak 'sukar' mengungkapkan ucapan 'terima kasih' dalam
kehidupan seharian ekoran dianggap ia bukanlah satu perkara penting.
Rencana dua siri ini cuba menyingkap akan fenomena sedemikian.
Bahagian pertama menyusuri pembaca kepada senario-senario yang dipandang
'enteng' mahupun terlepas pandang oleh segelintir pihak akan kepentingan di
sebalik alunan, terima kasih.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------Mudah sahaja sebutannya malah kanak-kanak kecil pun sudah mampu
melontarkannya dengan baik. Namun, ia masih berat dan kelu untuk dijadikan
pakaian lidah bagi segelintir manusia.
Walhal, ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, terima kasih, dan rasanya
tidak memerlukan pergelutan lidah bagi menyebutnya.
Kalau diajukan 'mengapa', semuanya berbalik kepada realiti semasa yakni,
hampir kebanyakan daripada kita mengambil mudah atau sambil lewa akan
perkataan itu.
Sikap sedemikian akhirnya menjurus kepada pembentukan sahsiah keperibadian
diri, merasakan tiada keperluan ucapan itu, lantas menyebabkan segelintir kita
tidak ambil kisah untuk mengungkapkannya.
Namun, tanpa disedari adakalanya kita turut mempersoalkan keperibadian
seseorang berikutan tiada ucapan terima kasih dipertuturkan, sekali gus
memberi erti bahawa ucapan itu sangat bermakna.
Bagaimanapun, sebelum menimbal kepada orang lain, tanya diri sendiri dahulu
sama ada sudahkah kita mengucapkan terima kasih hari ini ataupun adakah ia
menjadi amalan seharian kehidupan kita?
Mahalnya terima kasih
Begitu mahalnya ucapan itu, sehingga adakalanya perlu diingatkan terlebih
dahulu untuk berbuat demikian dan ia adalah satu keadaan yang sangat
'menyedihkan'.
Sebagai masyarakat timur, ia bukanlah satu senario 'asing' pengamalan budi
bahasa dan nilai-nilai murni termasuklah pengucapan terima kasih kerana ia
menjadi kebanggaan warisan masyarakat terdahulu.
Namun, cabaran globalisasi dan peralihan sikap yang memperlihatkan kepada
penjurusan sahsiah individualistik, materialisme, menyebabkan segelintir

daripada kita 'lupa' atau sengaja membuat lupa akan kepentingan penggunaan
nilai itu.
Walhal, nilainya tidak pernah lapuk dek zaman malah diguna seluruh dunia. Ia
dituturkan oleh semua bangsa dari dahulu sehinggalah sekarang. Yang
membezakannya, hanyalah bunyi ucapan itu sahaja.
Bagi orang Cina, ia disebut 'xie xie', bangsa Arab, 'syukran jazilan', bahasa
Inggeris, 'thank you' dan bangsa France pula menyebutnya 'merci'.
Biar apa pun sebutannya, namun tujuannya tetap sama, yakni sebagai lambang
penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan oleh orang itu kepada
kita. Ucapannya mudah, namun nilai di sebalik perkataan ini sangat bermakna
kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan, kegembiraan kepada si
penerima.
Dalam Islam juga, terima kasih turut disesuaikan dengan kalimah 'syukur', yakni
diucapkan bagi menyatakan perasaan gembira sebaik menerima sesuatu nikmat,
rezeki sebagai menghargai anugerah pemberian Allah.
Tiada salahnya walau di jalan raya
Biarpun keperibadian pemandu dan penunggang motosikal di sini dikatakan
lebih berbudi daripada negara luar, namun hakikatnya terdapat juga segelintir
komuniti ini membentuk senario 'kurang hormat' di jalan raya.
Perilakunya itu, mungkin berpunca daripada keperibadian diri (bukan semua),
selain alasan hendak cepat sampai ke destinasi, tekanan jalan sesak, sekali gus
membentuk senario negatif itu.
Realitinya, tidak kiralah apa alasannya sekali pun ia bukanlah jaminan 'hak
eksklusif' kepada mereka untuk berbuat demikian kerana 'jalan raya' dikongsi
bersama.
Justeru, ringankan tangan sebagai tanda, isyarat terima kasih kepada pemandu
lain kerana bersabar apabila anda melakukan kesilapan semasa memandu,
memberi laluan di jalan yang sempit dan sebagainya.
Itu bukan sekadar menunjukkan tanda hormat, malah akan mengelakkan
pemandu lain memarahi anda dan mengeluarkan perkataan kesat yang tidak
sedap didengar
Motif, terima kasih?
Secara jujurnya, berapa ramai antara kita mempratikkan pengucapan kalimah
itu kepada pemandu bas, teksi, petugas tol, kaunter dan seumpamanya? Berapa
ramai juga yang mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang
membuka pintu untuk anda?
Pernahkah anda menuturkan perkataan itu kepada pembantu kafeteria yang
menolong mengutip pinggan atau gelas kotor yang kita gunakan? Dan

terucapkah anda terima kasih kepada pencuci pejabat apabila meja tempat kerja
anda dibersih dan dikemaskan?
Ambil masa dan fikir sejenak. Itu hanya sebahagian sahaja kerana masih banyak
lagi senario yang memerlukan pengucapan terima kasih itu dilontarkan namun
dipandang 'remeh' oleh segelintir manusia.
Paling tidak dimasuk akal apabila ada bermentalitikan pekerja-pekerja ini tidak
sewajarnya menerima ucapan terima kasih kerana sudah menjadi kewajipan
mereka.

Biar apa alasannya sekali pun, tiada salahnya untuk menzahirkan terima kasih
kerana ia menandakan seseorang itu mempunyai nilai-nilai serta moral yang
tinggi dalam dirinya.
Terima kasih cikgu!
Menariknya, budaya menzahirkan perkataan itu kepada golongan pendidik
bermula sejak usia tujuh tahun lagi sehinggalah pelajar itu melangkaui umur 17
tahun.
Selama 12 tahun kalimah itu bergema di halwa telinga pelajar, namun ia
berubah sebaik sahaja menjejakkan kaki ke menara gading.
Tiada lagi ucapan kebiasaannya dizahirkan kepada golongan pensyarah sebaik
sahaja habis kelas. Senario yang menjadi kebiasaan sejak zaman persekolahan
itu dilihat seolah-olah tiada lagi nilainya untuk dipraktikkan.
Ucapan terima kasih hanya diberikan kepada pensyarah sebaik sahaja selesai
menduduki peperiksaan mahupun lulus subjek itu, itu pun kalau jumpa dengan
pensyarah itu.
Mungkin bukan semua, namun amalan berterima kasih dalam pengucapan yang
sempurna dan berakhlak seharusnya menjadi pakaian lidah mahasiswa kerana ia
akan menambahkan lagi keberkatan serta memudahkan proses pembelajaran.
Kadang-kala kita lupa
Terlalu menjaga hati orang lain, rakan, pihak atasan, adakalanya kita 'lupa'
untuk menghargai ahli keluarga, walhal ibu bapalah yang bertungkus-lumus
tanpa mengira perih dan sukarnya membesarkan anak.
Bagaimanapun, anak (bukan semua) merasakan pemberian berbentuk
'kebendaan' sudah cukup sebagai erti kasih, hormat dan lambang balasan
terhadap masa, wang dan sayang yang dicurahkan oleh orang tua mereka.
Hakikatnya, ucapan terima kasih itu sangat bererti dan merupakan hadiah
paling mahal, bermakna bagi seseorang berstatus ibu dan ayah. Untuk itu,
keluarga merupakan 'kunci' dalam proses penyemaian nilai-nilai murni dalam
keperibadian anak.

Didik sejak kecil, ringankan mulut untuk menuturkan ucapan terima kasih
kepada anak biarpun ia hanyalah sekadar menolong mencuci kereta, mengambil
surat khabar kerana ini juga boleh mengeratkan silaturahim antara keluarga.
Tidak mustahil, pengucapan terima kasih akan sentiasa terucap di bibir anak
mereka biarpun sudah melangkaui dewasa.
Tingkat motivasi
Tidak salah bagi seorang 'ketua' menzahirkan perkataan itu kepada pekerjanya
di atas tugasan yang telah disiapkannya. Biarpun ketua, tidak semestinya
ucapan terima kasih itu tidak perlu dipraktikkan kerana selagi anda menghormati
pekerja, sejuta kali mereka akan menghormati anda.

Selain mewujudkan atmosfera harmoni di tempat kerja, ia juga psikologi terbaik


untuk menghargai pekerja anda, kata Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari,
Pakar Perunding Psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kepada
Bernama.
Ia sebutan mudah lagi ringkas, yang dapat menambah rasa hendak memberi
dan menghulur sesuatu berulang kali malah lebih baik daripada sebelumnya,
sekali gus meningkatkan lagi produktiviti pekerja.
"Dalam sesuatu organisasi, budaya apresiasi penting kerana akan membuatkan
mereka lebih bersemangat, bermotivasi untuk bekerja dengan lebih kuat sekali
gus akan meningkatkan lagi kecemerlangan organisasi," katanya.
Namun, pekerja pula jangan sekadar mengharap 'ketua' sahaja mengalunkan
ucapan itu kerana diri anda juga seharusnya menjadikan kalimah itu sebagai
pakaian lidah dalam kehidupan seharian.
Walaupun ia hanyalah sekadar dua patah perkataan, namun nilai tersembunyi di
sebalik ucapan 'terima kasih' itu tidak patut dipandang remeh kerana ia lebih
berharga daripada wang ringgit!

Вам также может понравиться