Вы находитесь на странице: 1из 4

17/08/2009 - Majlis Bersama Pemimpin Sempana Perhimpunan Perpaduan dan Integrasi Pemimpin

Murid Peringkat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2009

Bismillahirrahmanirrahim.

YAB Dato’ Haji Abdul Ghani Bin Othman


Menteri Besar Johor

YB Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong


Timbalan Menteri Pelajaran I

YB Dr. Puad Bin Zarkashi


Timbalan Menteri Pelajaran II

YB Datuk Haji Maulizan Bin Bujang


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan
Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor

YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin b. Haji Mohd Dom


Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

YBhg. Dato’ Azman Amin Bin Hassan


Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
Jabatan Perdana Menteri

YBhg. Dato’ Hajah Noor Rezan Bt. Bapoo Hashim


Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran

YBhg. Dato’ Haji Abd. Latiff Bin Yusoff


Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

Yang Berusaha Tuan Haji Zulkifly bin Mohd Wazir


Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
Kementerian Pelajaran Malaysia

Yang Berusaha Tuan Haji Sufa’at Bin Tumin


Pengarah Pelajaran Johor

Ahli-Ahli Yang Berhormat,


Tan Sri–Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan,
Anak-anak pelajar serta hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam perpaduan.

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya kita dilimpahi dengan nikmat
kesejahteraan dan keharmonian yang membolehkan kita hidup aman, damai dan bersatu padu dalam
sebuah negara yang merdeka. Saya berasa amat sukacita dan berterima kasih kepada pihak penganjur
kerana telah mengundang saya untuk bersama-sama para pemimpin murid di “Perhimpunan Perpaduan
Dan Integrasi Pemimpin Murid Peringkat Kebangsaan Dan Jemputan Antarabangsa” pada malam ini. Apa
yang pasti, perhimpunan yang diadakan bersempena dengan bulan kemerdekaan ini memberi peluang
kepada kita, terutamanya generasi muda, untuk memperingati semangat juang, persefahaman dan
kerjasama erat para pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kepada pembentukan sebuah
negara Malaysia yang merdeka dan bersatu padu.

2. Pada kesempatan ini, izinkan saya berkongsi dengan para pemimpin murid, yang merupakan pewaris
kepimpinan negara pada masa hadapan, serba sedikit tentang asas-asas pembentukan negara kita, yang
boleh dijadikan panduan untuk mencorak masa depan negara. Kefahaman tentang asas-asas
kenegaraan ini merupakan kunci kepada pembentukan sebuah negara yang aman, maju dan bersatu
padu.

3. Ketika negara kita mencapai kemerdekaan 52 tahun yang lalu, pemimpin-pemimpin kita yang
terdahulu sedar bahawa asas kepada pembentukan negara yang aman, maju dan bersatu padu ialah
perpaduan yang jitu antara kaum-kaum yang ada di negara ini. Oleh sebab itu, pemimpin-pemimpin kita
yang terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambathan dan
lain-lain, telah bersepakat untuk mewujudkan kerjasama antara kaum dan memimpin negara ini secara
bersama.

4. Hasilnya pada hari ini, rakyat berbilang kaum di negara kita bebas untuk mengecap nikmat
kemakmuran negara dan melaksanakan hak-hak sebagai warganegara yang merdeka. Bagi generasi
muda, anda semua bebas untuk membangunkan potensi diri dan mengejar impian masing-masing. Yang
dituntut daripada kita semua sebagai warganegara hanyalah taat setia yang tidak berbelah bahagi
kepada Raja dan negara, menghormati Perlembagaan, dan mematuhi prinsip-prinsip Rukunegara.

5. Pun begitu, sebagai sebuah negara berbilang kaum, cabaran paling besar yang dihadapi oleh kita
semua ialah untuk mengekalkan perpaduan yang telah dibina. Pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu
faham benar bahawa persefahaman, penerimaan dan perkongsian antara kaum adalah kunci kepada
pembentukan sebuah negara yang bersatu padu. Inilah juga yang menjadi asas kepada Gagasan
1Malaysia, yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak, iaitu untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu padu, di mana rakyatnya bersedia untuk menerima
antara satu sama lain dan berkongsi kejayaan dan kemakmuran negara secara bersama. Yang ringan
sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Selagi mana kita patuh kepada asas-asas ini, perpaduan dan
keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara kita akan terus dapat dikekalkan.

6. Untuk mencapai hasrat perpaduan yang sebenar, semangat persefahaman, perpaduan dan taat setia
serta cinta kepada negara perlulah dipupuk dan dihayati sejak dari awal lagi. Perhimpunan yang
diadakan pada minggu ini, yang mengumpulkan pemimpin pelajar pelbagai kaum dari seluruh negara,
merupakan medan terbaik untuk mencapai matlamat ini. Pelbagai aktiviti yang dirancang sepanjang
perhimpunan ini seperti pembinaan pasukan (team building), sukan rakyat, khidmat bakti, jejak sejarah,
apresiasi seni dan lawatan ilmiah secara tidak langsung mampu menerapkan rasa cinta kepada negara,
dan menyemai semangat perpaduan antara murid tanpa mengira kaum. Saya yakin bahawa
perhimpunan ini mampu menterjemah dan memberi makna sebenar kepada keharmonian dan
perpaduan kaum sebagai pelengkap kepada gagasan 1Malaysia.

7. Saya percaya bahawa pada perhimpunan ini, kita semua melupakan soal perbezaan warna kulit dan
latar belakang. Sebaliknya kita mengutamakan persamaan yang membolehkan kita berganding bahu dan
bekerjasama antara satu sama lain bagi menjayakan aktiviti-aktiviti yang dirancang. Biar pun saya tidak
berada bersama para pelajar di sepanjang minggu perhimpunan ini, namun melihat kepada semangat
yang dipamerkan oleh para pelajar pada malam ini, saya yakin bahawa kita berada pada landasan yang
betul untuk memperkukuhkan perpaduan di negara kita. Biarlah semangat perpaduan yang dibina
sepanjang perhimpunan ini bersemarak sepanjang masa.

8. Yang lebih penting lagi, setelah selesai menghadiri perhimpunan ini dan pulang ke sekolah masing-
masing, saya berharap agar para pelajar semua dapat terus memupuk semangat perpaduan melalui
persahabatan. Bersahabatlah dengan rakan-rakan anda tanpa mengira kaum dan agama. Apabila kita
sudah mengenali seseorang itu, maka mudahlah untuk kita memahami hati budi masing-masing.
Mudah-mudahan, dengan cara menjalin persahabatan dengan rakan-rakan daripada kaum yang
berbeza, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Pada ketika itu, perbezaan bukan lagi suatu kelemahan, tetapi kekuatan kepada kita. Anak-anak semua
akan bangkit dan bersatu sebagai anak-anak Malaysia yang benar-benar berjiwa 1Malaysia.

9. Atas nama pewaris negara, anda semua merupakan pencorak masa depan negara. Atas nama
kemerdekaan, anda semua menggalas tanggungjawab untuk mengisi makna sebuah negara yang
merdeka. Atas nama 1Malaysia, kita semua mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk mewariskan
negara Malaysia yang aman, maju dan bersatu padu kepada generasi akan datang.

10. Pesan saya kepada para pemimpin murid yang hadir dalam perhimpunan pada kali ini, gunakanlah
peluang yang ada sebaik mungkin untuk memupuk perpaduan dan keharmonian sesama kita. Hanya
dengan cara ini, kita dapat menghargai betapa perpaduan yang kita kecapi selama ini mampu
melahirkan rasa selamat dan mewujudkan satu kekuatan baru dalam kehidupan kita. Sesungguhnya
menjadi resam kehidupan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama untuk kita semua
saling memahami antara satu sama lain, menghargai persamaan dan perbezaan kita, dan bersama-sama
menempuh segala cabaran sebagai satu warganegara.
11. Akhir kata, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas jemputan untuk saya hadir
meluangkan masa bersama-sama dengan pemimpin murid dari seluruh negara pada malam ini. Tahniah
saya ucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan perhimpunan ini.
Saya berasa kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam melaksanakan
program-program yang bermatlamat untuk memperkukuhkan perpaduan kaum di semua peringkat.
Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada guru-guru atas curahan bakti dan pengorbanan
anda semua dalam memastikan perpaduan dan keharmonian negara terus terpelihara.

12. Di kesempatan ini juga saya mewakili warga pendidik keseluruhannya merafak sembah menjunjung
kasih atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar, Tunku
Mahkota Johor dan adindanya Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah
serta anakandanya Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibrahim Ibni Tunku Ibrahim Ismail, Raja Muda
Johor atas perkenan Tunku mencemar duli meraikan pemimpin-pemimpin muda peringkat sekolah di
perhimpunan ini dalam Jamuan Teh DiRaja petang tadi. Ucapan terima kasih juga kepada YAB Dato’ Haji
Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor dan Kerajaan Negeri Johor atas segala sumbangan,
sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada Kementerian Pelajaran sepanjang program ini
berlangsung.

13. Sebagai penutup bicara, selaras dengan Gagasan 1Malaysia, saya mencadangkan agar perhimpunan
ini pada tahun hadapan dinamakan sebagai Perhimpunan Perpaduan dan Integrasi Pemimpin Murid
1Malaysia Peringkat Kebangsaan. Mudah-mudahan perhimpunan pemimpin murid pada tahun ini dan
tahun-tahun akan datang akan berjaya melahirkan anak-anak Malaysia yang cintakan negara dan hidup
bersatu padu sebagai satu warganegara.

Wabillahi al-taufik wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

http://www.pmo.gov.my/tpm/?frontpage/speech/detail/1569, viewed at 14/3/2010

Вам также может понравиться