You are on page 1of 1

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.

Laman sosial
seperti Facebook, My Space, Frienster, dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini.
Penggunaannya yang mudah serta senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat
sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini
sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di
laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan
laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.
Penggunaan laman sosial seperti Facebook yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh
menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai contohnya,
negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah
mendapat kritikan daripada majoriti rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat
memalukan kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam. Selain itu,
implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan
mencetuskan kontroversi di alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman
sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan negara sebagai negara yang
disegani dan berintegriti.
Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau
pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan
remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka
biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai
contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms)
untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut
akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang
dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa
rogol.
Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam melakukan sesuatu
tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu
menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga
leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga
memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan
menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar
yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan
masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.
Kesan penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur pornografi
daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah didapati di laman sesawang internet.
Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman
sosial tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti Facebook dan My Space diakses bukan sahaja
oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di dunia. Selain itu, budaya Barat seperti Black Metal,
Punk, Gothic, dan Skin Head akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan
mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan gengsterisme di sekolah.
Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilainilai moral masyarakat.
Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak
kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan
kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat
perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu
untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda
masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama. Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini
dapat diseimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.