Вы находитесь на странице: 1из 7

CABARAN PERANAN PEMIMPIN DAN ORGANISASI BELIA DALAM MEMBINA GENERASI MUDA

SEBAGAI PEWARIS TAMADUN


Oleh Azimi Hamzah, Ed.D
Pengenalan
Semua pihak mempunyai harapan yang tinggi terhadap belia agar berperanan sebagai penggerak utama
dalam mempastikan kesinambungan tamadun. Walau bagaimanapun gambaran yang diperolehi mengenai belia
masa kini amat tidak menggalakkan. Situasi gawat ini memberi cabaran yang hebat kepada sebarang usaha
untuk membentuk golongan muda. Usaha untuk membina belia bukanlah satu perkara yang mudah;
memerlukan iltizam yang tinggi dari semua pihak terutamanya kepada para pemimpin belia dan organisasi
belia. Peranan kedua-dua tunggak ini boleh diandaikan sebagai dua sayap kepada seekor burung. Burung
tidak akan dapat terbang untuk menuju kepada destinasinya atau memenuhi apa-apa keperluan jika
sayapnya tidak berfungsi. Begitu juga belia tidak akan terbentuk sekiranya pemimpin dan organisasi belia
tidak berfungsi dengan sempurna atau tidak menyalurkan sumber-sumber yang ada ke arah menghasilkan
golongan muda yang berwibawa dalam ertikata sebenarnya.
Memahami akan kedudukan pemimpin dan organisasi belia dalam kontek pembinaan golongan muda,
persoalan yang boleh ditimbulkan ialah mengapa tunggak yang telah lama wujud ini seperti tidak bermaya
untuk membina belia? Adakah mereka tenggelam dalam permasalahan dan tuntutan masa? Atau adakah
pemimpin dan organisasi belia tidak mempunyai persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang datang
secara mendadak? Kesemua soalan ini dan yang berkaitan merupakan cabaran bagi pemimpin dan organisasi
belia untuk menilai keberkesanan peranan mereka selama ini dan menyusun strategi untuk terus
menyumbang kepada penyediaan golongan muda sebagai pewaris tamadun.
Kertas kerja ini akan cuba untuk mengerakkan minda dan seteru snya hati anda agar berperanan sejajar
dengan cabaran masa. Cabaran bagi pemimpin dan organisasi belia dalam membina golongan muda amat
banyak sekali. Walau bagaimanapun kertas kerja ini akan memberi tumpuan kepada empat cabaran utama
yang merangkumi berbagai cabaran kecil, iaitu: Menghayati Peranan, Menghayati Modenisasi,
Penggemblengan Sumber dan Kenderaan Pembinaan Belia.
Untuk memudahkan perbincangan, kertas kerja ini menggunakan perkataan PEMIORIA bagi maksud
Pemimpin dan Organisasi Belia. Sekaligus perkataan ini dikaitkan dengan keceriaan yang berpanjangan.
Menghayati Peranan - Cabaran 1
Ini adalah perkara asas. Kehadiran pemioria ialah untuk menunaikan hak bukan untuk menuntut hak.
Namun rata-rata yang terjadi ialah sebaliknya. Apabila pemioria mendapat status antara tindakannya
yang terawal ialah menyusun strategi bagaimana caranya keuntungan bagi diri sendiri diperolehi (sedangkan
peranannya ialah berusaha bagaimana para belia dapat dibentuk menjadi individu yang berketrampilan yang
boleh menyumbang kepada kesejahteraan dunia dan akhirat). Ini merupakan cabaran yang besar dan
sekiranya pemioria tidak terlepas daripada belenggu ini, kehadiran pemioria, walaupun wujud bertahuntahun, tidak akan dapat memberi kesan kepada golongan muda. Pemioria seperti ini mempunyai jiwa yang
miskin walaupun kaya kebendaan; mempunyai kendiri yang rendah walaupun menampilkan luaran yang gagah;
mempunyai prinsip kepimpinan yang lemah walaupun boleh berpidato dan ketengah. Dengan kata lain
pemioria yang seumpama ini ialah yang jauh dari menjalankan kerja belia secara profesional.
Daripada perbincangan ini para pakar belia telah membahagikan pemioria berdasarkannya tahap
kematangan penghayatan peranan kepemimpinannya. Tahap-tahap ini ialah di tahap kematangan bayi,
kematangan belia dan kematangan dewasa. Dalam beberapa pertemuan dengan pemimpin dan ahli
jawatankuasa organisasi belia, penulis mendapat gambaran bahawa rata-rata pemioria berada di tahap
kematangan bayi, sedikit bilangannya di tahap belia dan hanya segelintir mencapai tahap kematangan
dewasa. Kebanyakan mereka yang berkecimpung dalam kerja belia atas maksud kepentingan diri atau

keuntungan peribadi (dapat peluang melawat, menghadiri seminar atau peluang mendapat status) dan
diumpamakan sebagai bayi. Bayi menangis untuk mendapat susu, untuk ditukarkan lampin, untuk dibuai atau
untuk diberi ubat -- semuanya untuk diri sendiri. Situasi begini adalah jauh dari ciri-ciri profesionalisma.
Terdapat sebilangan kecil pemioria mempunyai kematangan belia dalam memainkan peranannya. Pemioria
seperti ini sudah mula mempunyai keinginan untuk mengagihkan sumber atau mempunyai kerisauan megenai
kebajikan ahli-ahli yang rapat. Walau bagaimanapun kematangan ini masih jauh dari menghayati peranan
seorang profesional dalam ertikata sebenarnya.
Pemioria yang mempunyai kematangan dewasa dalam memainkan peranan seperti berikut:
oMempunyai rasa tanggungjawab dan komitmen yang tinggi terhadap organisasi, pekerjaan dan penerima
oBersedia untuk memberi khidmat kepada orang lain lebih daripada kepentingan diri sendiri. (Di sinilah
letaknya kekuatan pemioria di mana semangat kesukarelawanan adalah menjadi tulang belakang kepada
pergerakan belia)
oBermotivasi tinggi untuk mengekalkan kecemerlangan dalam kerja dan sentiasa berusaha memperbaiki diri
oBekerja sebagai satu pasukan dan sentiasa berkongsi maklumat dan sumber
oMengamalkan konsep pembelajaran seumur hidup (menghadapi semua cabaran sebagai peluang untuk
memajukan diri)
oMengambil berat tentang hal ehwal rakan sejawat (serta menyumbang kepada pembangunan di luar dari
organisasi sendiri)
Budaya profesionalisma perlu diterapkan dalam setiap diri pemioria bagi melahirkan pemioria berwibawa.
Berikut dibentangkan beberapa langkah untuk menentukan profesionalisma sebagai satu budaya dalam
kehidupan harian pemioria.
Membentuk matlamat yang jelas;
oMengamalkan sikap yang positif untuk mengawal kehidupan harian.
oMembangunkan potensi diri dan potensi belia;
oSemarakkan nilai-nilai murni dalam diri dan golongan muda;
oMemperbaiki diri dan golongan muda melalui latihan dan pendidikan seumur hidup untuk membawa
perubahan daripada segi pengetahuan, kemahiran dan sikap.
oMelibatkan penyelidikan dan pembangunan dalam program belia
oMenghayati peranan pekerja belia sebagai penggerak, pembantu proses, pemberi penyelesaian dan
penghubung sumber;
oSentiasa berusaha untuk memperbaiki kaedah atau pendekatan dalam kerja belia dengan mempelbagaikan
cara kita bertindak;
oJanganlah mengharapkan hasil yang berbeza dengan cara yang sama;
oSemarakkan semangat kesukarelawanan dalam diri, keluarga, tempat kerja dan masyarakat. Ini adalah
tulang belakang kepada usaha untuk membangun belia. Kalau semangat ini dibiarkan pupus maka konsep
masyarakat penyayang akan hanya menjadi slogan sahaja dan tidak menjadi satu realiti kehidupan.
oBerterusan berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kecemerlangan
dalam membimbing golongan belia sebagai pewaris negara.
Menghayati peranan secara profesionalisma dikalangan pemioria adalah satu cabaran yang perlu ditangani.
Pemioria ini boleh mencabar dalam keadaan sekarang dan apatah lagi pada masa akan datang bagi
menghadapi persekitaran yang dinamik dan pembangunan yang pesat.
Menghayati Modenisasi - Cabaran 2
Pemioria membina golongan muda dalam era modenisasi dan kemajuan sepenuhnya. Persoalannya adakah
pemioria betul-betul memahami modenisasi dan impaknya? Sekiranya mempunyai kefahaman adakah
pemioria memperkemaskan diri sendiri dan mengubahsuaikan strategi dalam kerja belia mengikut tuntutan
masa? Sekiranya perkara ini masih jauh daripada pemioria bagaimana ia boleh memainkan peranan untuk

mengawal transformasi sosial, mengelola latihan dan program bimbingan belia, serta untuk melibatkan diri
secara aktif dalam mencorak nilai dan gaya hidup mengikut acuan Malaysia.
Modenisasi akan terus menjadi agenda utama dalam negara. Prospek RMK-7 meletakkan Malaysia dalam
kancah perkembangan mutakhir global dari perspektif geo-ekonomi, gaya hidup dan budaya, konsep negara
maju sepenuhnya, kepemimpinan pengurusan yang berubah, pengurusan ilmu biologi, konsep langit terbuka
yang berkaitan dengan teknologi maklumat yang melangkaui batasan negara dan seumpamanya. Dengan kata
lain dalam tempoh lima tahun ini negara akan menghadapi pembangunan yang pesat dengan penerokaan
dalam bidang-bidang yang amat mencabar. Umpamanya pendekatan pembangunan ekonomi akan beralih dari
tumpuan kepada pelaburan kepada pemantapan kualiti tenaga kerja dan penggunaan model, peningkatan
kapasiti pengeluaran dan juga sumber manusia untuk dieksport, memperluaskan jalinan dan persaingan
global di samping meningkatkan persekitaran yang kondusif untuk pihak swasta terus berkembang, dan
meningkatkan kesungguhan dalam penyelidikan dan pembangunan bagi memperkukuhkan keupayaan teknologi
dan teknologi maklumat dalam menyumbang kepada pembangunan yang pesat. Dalam konteks pembinaan
belia, sekiranya dilihat sekali imbas kepada prospek RMK-7 ini, pemioria akan terperangkap dengan hanya
penyediaan golongan belia berasaskan pembinaan kemahiran bagi meningkatkan penyertaan dan sumbangan
mereka kepada pembangunan negara.
Golongan belia adalah golongan yang fragile. Mereka mudah terkeluar dari landasan. Walaupun mereka
mempunyai pendidikan tinggi, kepakaran dan keupayaan tetapi tanpa agenda mantap dalam pembentukan
sahsiah mereka mudah hilang keperibadian. Fenomena ini meluas dan bukan terhad kepada kumpulan belia
tertentu sahaja tetapi merangkumi belia di institut pengajian tinggi, pekerja dan eksekutif muda,
pemimpin NGO, di bandar mahupun di FELDA, sinarionya adalah tidak jauh berbeza. Dalam pembinaan
belia bagi prospek RMK-7, sebarang usaha semestinya bermula dengan meneliti realiti gaya hidup,
aspirasi, sub-kultur dan anutan golongan muda masa kini. Antara yang ketara ialah belum pun sempat
negara mencecah tahun 2000, Malaysia menghadapi satu permasalahan sosial yang amat kronik yang belum
pernah dialami dalam sejarah kewujudannya.
Dalam kontek modenisasi, di antara cabaran bagi pemioria ialah untuk memastikan rangka pembinaan belia
berasaskan pembentukan belia sebagai rakan pembangunan. Dalam menghadapi RMK-7, negara memerlukan
rakan yang mempunyai kepakaran dan kemahiran, yang boleh dipercayai -- iaitu beramanah, yang sedia
berkorban, yang komited, yang taat dan beradab, yang peka dengan tuntutan semasa berdasarkan
pergolakkan dalam dan luar negeri, yang mempunyai daya tahan dan daya juang yang cekal, yang
berkeyakinan serta mempunyai sifat-sifat mahmudah yang lain. Belia yang akan diproses sebagai aset
negara memerlukan rangka penyerlahan potensi positif serta produktif. Selanjutnya potensi yang telah
diserlahkan itu perlu disalurkan ke arah pemantapan diri mereka sebagai rakyat atau individu cemerlang
(merangkumi hamba cemerlang, anak/ibu-bapa cemerlang, pelajar/pekerja cemerlang). Atas maksud ini
sebarang rangka pembinaan belia perlu bermula dengan membincangkan falsafah, fokus, matlamat,
program serta strategi yang relevan dengan pembangunan golongan belia masakini dan akan datang dengan
mengambil kira prospek yang wujud di dalam dan luar negara.
Pembinaan belia Malaysia dalam prospek RMK-7 tidak boleh tidak hendaklah berasaskan falsafah
mewujudkan sahsiah belia yang seimbang dengan menumpukan pembangunan minda dan jasad dalam ruang
lingkup kerohanian. Suasana pembangunan pesat yang mencabar keperibadian manusia tidak boleh ditangkis
melalui pembangunan kendiri, kepakaran, kemahiran fizikal, kebendaan, sukan, kepemimpinan, perpaduan
dan kebudayaan yang terasing daripada pembangunan rohani. Para belia yang boleh berfungsi sebagai
rakan pembangunan ialah belia yang berkeupayaan meningkatkan kualiti diri (dari segala aspek) dan
komited untuk meningkatkan kualiti orang lain yang merangkumi keluarga, masyarakat, organisasi dan
negara.
Peranan pemioria bertambah berat dengan bertambah pesatnya pembangunan dalam negara. Keberkesanan
dalam memainkan peranan sebagai pembina bangsa bergantung kepada kejayaan pemioria menghadapi
cabaran modenisasi sejajar dengan penyediaan diri dan penyusun strategi yang relevan.
Penggemblengan Sumber - Cabaran 3

Cabaran seterusnya menuntut pemioria berperanan sebagai penggemblengan sumber. Di sekeliling pemioria
terdapat sumber tangible dan intangible. Pemerhatian menunjukkan pemioria yang berjaya ialah mereka
yang dapat menggunakan semaksimam mungkin kedua-dua kategori sumber ini. Sumber tangible merangkumi
perkara-perkara seperti teknologi media, kemudahan awam kewangan dan tenaga kerja. Sumber intangible
pula dimaksudkan perkara-perkara seperti ilmu, kemahiran, ketaqwaan dan potensi. Sumber-sumber ini
adakala mudah diperolehi dan ada yang perlu diusahakan. Proses mencari dan menggunakannya sumber ini
menjadi satu cabaran besar. Berikut ialah beberapa contoh bagaimana pemioria boleh berperanan dalam
menggemblengkan sumber untuk membina belia.
Halangan besar yang dihadapi oleh kebanyakan organisasi belia ialah ketiadaan sumber kewangan yang
mencukupi untuk membiayai program pembangunan yang dijalankan. Banyak pertubuhan yang masih terlalu
bergantung kepada pihak lain termasuk kerajaan untuk mengadakan program. Sehubungan dengan itu
pemioria perlu mengggemblengkan sumber organisasi agar mempunyai aktiviti ekonomi yang teguh. Aktiviti
pengumpulan dana dan penjanaan tabungan yang mantap dan stabil perlu dilipatgandakan. Apabila
kedudukan kewangan pertubuhan telah kuat maka barulah pertubuhan dapat menjalankan program-program
jangka pendek, sederhana dan panjang atau membeli peralatan teknologi maklumat termasuk komputer dan
peralatan yang lain. Di samping itu pemioria boleh merangka usaha-usaha untuk mendapatkan sumbangan
dari pelbagai pihak dan ia perlu diteruskan dan dipergiatkan.

Pemioria boleh penggemblengan sumber bagi meningkatkan tabung kegiatan golongan muda seperti:
1. Menjalankan kegiatan >fund-raising secara berterusan melalui projek-projek yang berpotensi
menghasilkan pulangan yang lumayan. Projek-projek yang viable termasuklah pertanian, perusahaan,
pembuatan, pembinaan dan aktiviti sukan dan olahraga termasuk jogathon dan sukan yang lain.
2. Dapatkan komitmen dari setiap ahli masyarakat sekeliling untuk menyumbangkan wang kepada persatuan
setiap bulan. Berikan keyakinan kepada masyarakat bahawa yang disumbangkan merupakan saham yang
akan dapat memberikan faedah kepada generasi akan datang. Katalah dalam sebuah kawasan yang ada
persatuan belia mempunyai 1000 orang yang sanggup menderma RM1 sebulan, maka persatuan akan
mendapat RM1000 sebulan.
3. Ahli-ahli persatuan belia sendiri perlu digerakkan agar komited dalam memberikan yuran keahliannya.
Kalau sebuah persatuan ada 200 orang ahli dan setiap ahli membayar RM5 sebulan, maka persatuan akan
mendapat RM1000 sebulan.
4. Dapatkan komitmen dari pemimpin tempatan termasuk wakil rakyat dan badan-badan lain termasuk
JKKK, ahli-ahli korporat, dan orang perseorangan yang sedia menghulurkan derma mereka secara
berterusan. Katakanlah pertubuhan boleh dapat RM1000 sebulan.

Pemioria tidak boleh bergerak bersendirian. Ia perlukan sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak.
Penglibatan yang bersepadu dari pelbagai pihak sangat diperlukan bagi menyerlahkan kemampuan belia
untuk menjadi rakan pembangunan negara. Sebagai penggerak dan penghubung sumber pemioria boleh
mempengaruhi pemikiran majikan agar jangan memikirkan soal keuntungan semata-mata tetapi juga
memikirkan tentang pembangunan sahsiah tenaga kerjanya. Pihak majikan perlu diberikan kefahaman
tentang konsep kerja belia dan pembangunan belia berwawasan supaya mereka dapat menghargai
sumbangan belia dalam pembangunan negara dan organisasi mereka.
Pemioria juga boleh berperanan sebagai pegawal media elektronik dan media cetak. Media massa termasuk
radio, televisyen, akhbar dan majalah merupakan wadah penting yang mampu mengubah imej belia dan
pertubuhan belia. Pemioria perlu memastikan agar pihak media menonjolkan imej positif terhadap belia
berdasarkan kepada fakta sebenar dari penelitian yang sistematik. Kepakaran dalam belia perlu
ditumpukan oleh media massa supaya selain daripada populariti dan keuntungan, mesej yang mengandungi
unsur-unsur pendidikan dijadikan asas kepada pembangunan belia. Penekanan yang berat kepada
keuntungan semata-mata oleh pihak media akan menyebabkan matlamat sebenar untuk membina generasi
belia yang unggul tidak akan tercapai.

Buat masa ini memang terdapat usaha oleh pihak media ke arah menonjolkan imej belia tetapi masih belum
jelas dari segi menonjolkan imej yang sebenarnya dikehendaki. Pemioria boleh menganjurkan programprogram yang berupa intellectual discourse sehingga mendapat tempat di hati belia dan masyar akat.
Sebagai contoh, dengan kerjasama televisyen, pemioria boleh menga dakan program seperti Forum Belia
Perdana untuk menampilkan kepakaran dan penga laman pihak cendekiawan dan pemimpin serta belia
sendiri. Jika program seperti ini dapat menonjolkan imej bahawa pentingnya belia terlibat dengan
pertubuhan belia maka lebih ramai lagi akan melibatkan diri. Dengan itu akan lebih ramai lagi pemimpin
pelapis yang akan muncul.
Kemudahan yang terhasil daripda teknologi maklumat yang sedan g berkembang pesat dewasa ini patut
digemblengkan sepenuhnya. Pemioria boleh mengusahakan agar semua organisasi belia dari peringkat
cawangan hinggalah ke peringkat kebangsaan perlu mempunyai komputer yang dihubungkan dalam satu
sistem rangkaian bagi membolehkan para belia dan mereka yang berminat memberi sumbangan kepada belia
berhubung antara satu sama lain ke arah pembangunan belia. Setiap organisasi belia akan mempunyai
homepagenya sendiri supaya setiap keunikan yang dimiliki oleh organisasi akan dapat dikongsi bersama
bukan sahaja di negara kita tetapi di arena antarabangsa.
Kenderaan Pembangunan Belia - Cabaran 4
Pelbagai pendekatan telah digunakan untuk membangunkan belia. Di Malaysia, strategi pembangunan belia
berasaskan kepada pertubuhan belia telah lama bertapak dalam rangka pembinaan generasi penerus
negara. Pertubuhan-pertubuhan belia terdapat di tiap-tiap peringkat pentadbiran negara, kampung,
mukim, daerah, negeri dan negara. Secara amnya pertubuhan-pertubuhan belia ini diharap dapat
berperanan sebagai penggerak perubahan, pembantu proses, pemberi penyelesaian dan sebagai penghubung
sumber dalam kontek pembangunan belia yang berterusan.
Kerajaan telah mengiktiraf pertubuhan belia sebagai kenderaan utama pembangunan belia. Di antara
pengiktirafan yang tertinggi ialah para belia dalam negara ini mempunyai ini mempunyai parlimen belia
sendiri. Di samping itu Majlis Perundingan Belia (MPB) di peringkat nasional dan negeri-negeri dianggap
sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan belia.
Dari beberapa segi pula pertubuhan belia masih berada dalam kemelut yang lama dengan isu-isu yang lapuk
tidak dipulihkan. Sebagai contoh, masalah pertubuhan belia lesu terus bermaharajalela sehingga dijadikan
satu agenda dalam bab Pembangunan Belia RMK7. Oleh yang demikian, dalam kontek pembangunan belia
melalui pertubuhan belia pemioria sebagai badan pengerak, beberapa pemerhatian sebagai asas untuk
bertindak sesuai diketengahkan. Pemerhatian-pemerhatian ini berkisar kepada beberapa persoalan:
Adakah matlamat jangka pendek, sederhana dan panjang untuk membangunkan pertubuhan belia jelas?
Sejauh mana Dasar Belia Negara dan dasar lain untuk membangunkan belia dihayati dan diterjemahkan
secara terperinci dalam membangunkan pertubuhan belia? Sejauh manakah potensi pertubuhan belia telah
diserlahkan sebagai agen sosialisasi golongan muda?
Belia yang berpersatuan adalah lebih mudah dibentuk daripada mereka yang bergerak secara bersendirian.
Organisasi belia merupakan medium yang efektif untuk menyalurkan perubahan. Walau bagaimanapun
bilangan belia yang dapat memenuhi harapan tersebut hanyalah segelintir. Untuk menjelaskan senario ini
penulis ingin berkongsi penemuan utama satu kajian yang dikendalikan oleh penulis. Kajian tersebut
mengenalpasti lima situasi berhubung dengan status amalan pembangunan belia dikalangan pertubuhan belia
masa kini. Pemioria perlu jelas dengan keadaan ini dan seterusnya diberikan pendedahan untuk
membolehkan mereka sebagai penggerak golongan belia menjalankan peranan dengan lebih berkesan.
a. Situasi pertama ialah dimana unsur-unsur pembangunan belia terdapat dalam falsafah, matlamat dan
program belia. Situasi inilah yang dikehendaki kerana wujudnya keseimbangan antara ketiga-tiga aspek.
Ini bermakna bahawa program belia yang dijalankan adalah selaras dengan matlamat dan falsafah
pembangunan belia.

b. Situasi kedua ialah dimana unsur-unsur pembangunan belia terdapat dalam falsafah dan matlamat
tetapi tidak terdapat dalam program. Bila ini berlaku maka pincanglah usaha pembangunan belia kerana
fenomena ini menunjukkan bahawa perancangan yang begitu baik dan falsafah yang begitu unggul hanya
menjadi slogan sahaja tetapi tidak dijalankan dan tidak direalisasikan. Keadaan ini menjadikan >cakap tak
serupa bikin=.
c. Situasi ketiga menunjukkan bagaimana unsur-unsur pembangunan belia tidak terdapat dalam falsafah
tetapi terdapat dalam matlamat dan program. Keadaan ini boleh menyebabkan program yang dijalankan
tidak menepati kehendak dan semangat sebenar walaupun ia mencapai matlamat.
d. Situasi keempat ialah dimana unsur-unsur pembangunan belia terdapat dalam program tetapi tidak
terdapat dalam falsafah dan matlamat. Keadaan ini menunjukkan bahawa aktiviti yang dijalankan lebih
bersifat >ad-hoc= tanpa memikirkan sama ada program yang dijalankan itu sesuai dengan falsafah dan
matlamat pembangunan belia.
e. Situasi terakhir ialah dimana unsur-unsur pembangunan belia terdapat dalam matlamat tetapi tidak
terdapat dalam falsafah dan program. Keadaan ini menunjukkan bahawa pertubuhan mempunyai matlamat
tertentu tetapi matlamat tersebut tidak selaras dengan falsafah pembangunan belia, dan tidak dapat
dijelmakan dalam bentuk program.
Pemioria perlu mendapat pendedahan bagaimana pentingnya mengekalkan hubungan di antara falsafah,
matlamat dan program pembangunan belia supaya apa juga bentuk kegiatan belia mempunyai makna yang
tinggi kepada warga belia. Penemuan kajian di atas menunjukkan bahawa pertubuhan belia masih belum
mantap untuk berperanan sebagai kenderaan pembinaan belia. Situasi yang malap ini perlu diberi cahaya
baru. Ini merupakan satu lagi cabaran yang besar kepada pemioria. Untuk permulaan pemioria boleh
menyusun peranan berdasarkan rumusan kajian seperti di bawah:
1. Pembinaan golongan muda dalam menghadapi cabaran modenisasi melalui >pewujudan= sebuah badan
unduk yang berwibawa untuk menyusun falsafah, matlamat, strategi dan program seterusnya menyelaras
pendekatan pembangunan belia yang dilaksanakan oleh badan-badan yang mempunyai remaja dan belia
sebagai klien mereka;
2. Perjalanan organisasi dan pengendalian aktiviti dan kumpulan perlu mendapatkan bimbingan daripada
pemimpin berwibawa agar proses pelaksanaan, berasaskan paksi pembangunan bersepadu;
3. Pembangunan belia memerlukan institusi penyelidikan yang khusus bagi menjalankan penyelidikan dan
pembangunan secara berterusan dalam meningkatkan potensi pertubuhan/kumpulan;
4. Golongan belia perlu diorganisasikan. Kematangan dan keupayaan organisasi belia hendak diberi nafas
baru dari semua sudut bagi menangani masalah yang belia hadapi.
Penutup
Pemimpin dan organisasi belia mempunyai peranan yang besar lagi penting dalam pembentukan generasi
muda yang berwibawa. Tunggak kesinambungan kepimpinan negara terletak di atas bahu kepimpinan belia
masa kini khususnya dalam bentuk kepimpinan organisasi belia. Peluang untuk terus menyerlahkan potensi
ini sememangnya disediakan. Kepimpinan belia perlu diberi status untuk terlibat dalam membuat keputusan
dalam menentukan perjalanan negara. Penerimaan dan peluang untuk menyumbang kepada pembangunan oleh
kepimpinan belia telah mula mendapat pengiktirafan. Walau bagaimanapun lebih penting lagi daripada ini
ialah sama ada pemimpin dan organisasi belia telah berkesan dalam memainkan peranannya dalam
menyediakan golongan belia sebagai pewaris negara yang berwibawa.
Rujukan

Azimi Hamzah. 1990. Isu dan Cabaran dalam Kerja-kerja Belia. Kertas kerja dibentangkan di Simposium
Kebangsaan Kepimpinan Belia, Kuala Lumpur.
Azimi Hamzah, Turiman Suandi & Azmi Awang. 1993. Youth As Partner in Development: The Experience
of Kampung Endah Organisation. Serdang, Universiti Pertanian Malaysia.
Saraswathi S. 1988. Youth in India. Delhi: Cambridge Press.
Smith, Doug. 1990. Approaching Youth Policy. London: Commonwealth Youth Programme, Commonwealth
Secretariat.
Turiman Suandi. 1994. Ke Arah Profesionalisma dalam Kerja Belia. Kertas Kerja dibentangkan di
Simposium Belia Negeri Kelantan, Kota Baharu.
Turiman Suandi & Azimi Hamzah. 1996. Keperluan Latihan untuk Agen Pewaris. Kertas kerja
dibentangkan di Persidangan Agen Pembangunan Pewaris Negara. Putra Jaya, Selangor.

Вам также может понравиться