You are on page 1of 2

MEROKOK

Merokok di kalangan pelajar sekolah bukanlah satu gejala yang baru. Terdapat banyak
kajian yang terperinci yang mengulas sebab-sebab pelajar sekolah, khususnya, di sekolah
menengah terlibat dengan gejala merokok. Dalam beberapa kajian tersebut, faktor yang
mempengaruhi seseorang remaja untuk merokok adalah pengaruh rakan sekolah, ahli
keluarga di rumah yang merokok dan perasaan ingin tahu. Terdapat kajian yang menunjukkan
bahawa hampir 50% remaja tingkatan 5 adalah perokok dan hampir 40% pelajar tingkatan 4
terlibat dalam merokok. Ini adalah satu fenomena yang membimbangkan. Merokok pada usia
muda boleh mendatangkan pelbagai masalah teurtamanya apabila rokok dijadikan
sebagai gateway kepada dadah yang lebih merbahaya seperti Ganja, Amphetamine dan
Heroin. Kempen Tak Nak Merokok di Malaysia member fokus kepada golongan dewasa
sahaja yang merokok dan tidak kepada remaja yang ingin berhenti merokok.
Di kalangan golongan pelajar sekolah rendah pula, masalah utama yang dialami oleh
pelajar pelajar tersebut adalah perokok pasif dengan kanak-kanak ini terdedah kepada asap
rokok yang dihisap oleh ahli keluarga mereka atau orang dewasa di sekeliling mereka. Dalam
satu kajian rentas sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, hampir 90% dari pelajar tahun 3
hingga tahun 6 mempunyai ahli keluarga yang merokok. Di antara mereka, ada yang
mempunyai lebih dari seorang ahli keluarga yang merokok. Ini menyebabkan kanak kanak
tadi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit yang berkaitkan dengan
rokok terutamanya masalah paru-paru. Golongan pelajar sekolah rendah ini juga didapati
mempunyai kecenderungan untuk merokok kerana perasaan ingin tahu dengan rokok lebih
mudah diperoleh disebabkan adanya ahli keluarga di rumah yang merokok.
Kajian yang dijalankan di sebuah sekolah rendah mendapati bahawa hampir 20%
daripada kanak kanak sekolah tersebut pernah merokok atau adalah perokok aktif pada umur
11 tahun. Majoriti pelajar tersebut tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan rokok
walaupun rokok tidak dibenarkan di jual kepada kanak-kanak berumur 18 tahun kebawah.
Justeru itu, penguatkuasaan penjualan rokok kepada golongan kanak-kanak dan remaja
sekolah perlulah diperketatkan lagi. Kanak-kanak sekolah juga kurang diberikan pendedahan
tentang bahaya merokok dan akibatnya. Dalam satu kajian rentas yang dijalankan ke atas 850
orang pelajar sekolah rendah yang berumur 8 tahun di Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan dan
Selangor, hanya 50% daripada kanak-kanak tersebut tahu bahawa merokok adalah tidak sihat,

25% tidak tahu tentang masalah yang dialami oleh perokok kronik dan hampir 50% tidak
tahu tentang apa yang terkandung di dalam rokok. Lebih membimbangkan ialah hampir 70%
daripada kanak-kanak tersebut tidak tahu tentang ketagihan merokok.
Kita boleh membenteras gejala rokok di kalangan remaja dan kanak-kanak ini dengan
adanya kerjasama di antara ibu bapa, guru sekolah, kakitangan kesihatan, penguatkuasa
dengan policy makers dalam kerajaan kita. Ibu bapa harus sedar bahawa mereka bukan
sahaja merosakkan diri dengan merokok, malah, mereka juga membahayakan anak-anak yang
bergantung dengan mereka. Ibu bapa adalah role model yang baik untuk anak-anak. Mereka
seharusnya mencerapkan nilai-nilai keagamaan dan nilai-nilai murni yang membentuk susila
anak-anak mereka dan bukan sebaliknya. Guru sekolah harus peka dengan pelajar-pelajar di
sekolah dan mengenalpasti remaja atau kanak-kanak yang bermasaalah dan segera
mendapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan terutamanya kakitangan kesihatan sebelum
terlambat. Penguatkuasaan harus dipertingkatkan lagi supaya remaja dan kanak kanak tidak
memperoleh rokok dengan mudah dan pihak kerajaan boleh memainkan peranan dengan
meningkatkan lagi cukai ke atas tembakau supaya dapat mengawal gejala rokok ini. Kempenkempen tentang bahaya rokok juga harus diperkenalkan di peringkat sekolah dan dengan
pengetahuan yang mencukupi, kanak-kanak juga boleh membantu untuk menasihati ibu bapa
mereka supaya berhenti merokok. Kita boleh membenteras gejala rokok di kalngan pelajar
sekolah rendah sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka masing masing demi
masa depan anak-anak kita.