Вы находитесь на странице: 1из 2

Apa itu bon?

Bon adalah akujanji hutang diterbitkan badan kerajaan atau syarikat. Dengan melabur
dalam bon, anda sebenarnya berperanan sebagai pemberi pinjaman manakala badan
kerajaan atau syarikat yang menerbitkan bon adalah peminjam.

Sebagai balasan, penerbitnya akan membayar faedah tetap (dikenali sebagai kadar kupon)
bagi sepanjang tempoh pinjaman dan memulangkan jumlah pokok yang dipinjam apabila ia
matang.

Contoh bon ialah Bon Simpanan Merdeka 2008 diterbitkan Bank Negara Malaysia untuk
warga emas.

Di Malaysia, ada dua jenis bon iaitu bon kerajaan dan bon korporat. Bagi bon kerajaan,
penerbitnya ialah kerajaan, Bank Negara Malaysia dan institusi separuh kerajaan.

Bon korporat dan sekuriti bersandarkan aset pula diterbitkan Cagamas Bhd, institusi
kewangan dan syarikat bukan kewangan.

Pelabur utama bon di Malaysia ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana
pencen, syarikat insurans dan institusi kewangan lain.

Harga bon dipengaruhi pelbagai faktor, dan antara yang paling penting ialah kadar faedah,
inflasi, tarikh matang dan kualiti kredit.

Kadar Faedah 

Bon mudah dipengaruhi turun naik kadar faedah. Jika kadar faedah naik ke paras lebih
tinggi berbanding kadar kupon bon, maka harga bon akan turun ke paras lebih rendah
berbanding nilai pokoknya.

Inflasi 

Dalam keadaan ekonomi berkembang pesat, inflasi lazimnya turut naik. Kenaikan ini lambat
laun akan menyebabkan kenaikan kadar faedah dan menyebabkan nilai bon jatuh.

Tempoh Matang 

Berikutan bon adalah instrumen yang mudah dipengaruhi turun naik inflasi, bon jangka
panjang selalunya berdepan ketidakpastian lebih ketara berbanding bon jangka pendek.

Kualiti Kredit 

Sudah menjadi lumrah bahawa hutang perlu dibayar. Justeru kredibiliti dan kualiti kredit
penerbit bon adalah penting dalam menentukan harga bon kerana ia dapat membantu
pelabur membuat keputusan berkaitan pembelian bon.
Pulangan daripada bon korporat selalunya lebih tinggi berbanding bon kerajaan disebabkan
risikonya yang lebih tinggi.

Kenapa labur dalam bon? 

Pelaburan bon menawarkan alternatif kepada pelabur dalam mempelbagaikan portfolio


pelaburan kerana bon membabitkan risiko rendah berbanding saham.

Berikutan bon menawarkan pulangan dalam bentuk faedah tetap secara berkala dan
pembayaran balik jumlah pokok apabila sampai tarikh matangnya, ia adalah instrumen
sesuai jika matlamat pelaburan ialah mengekalkan wang pokok dan mendapatkan pulangan
konsisten.

Bergantung kepada tempoh masa pelaburan, bon yang boleh dipertimbangkan merangkumi
bon jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Namun, dalam membuat pilihan, anda perlu memahami faktor yang mempengaruhi harga
bon yang mahu dibeli. Bagaimanapun pembabitan pelabur runcit dalam bon lazimnya
terhad kepada pelaburan dalam dana bon yang ditawarkan melalui unit amanah.

Dana bon adalah kombinasi beberapa jenis bon berbeza, maka risikonya adalah lebih
rendah berbanding pelaburan dalam satu bon saja.

Anda juga perlu mendapatkan maklumat secukupnya syarikat pengurusan dana terbabit
seperti rekod prestasi dan pengalaman mereka.

Pastikan juga pendekatan pelaburan mereka bersesuaian dengan profil risiko dan matlamat pelaburan
anda

Вам также может понравиться