Вы находитесь на странице: 1из 3

Cabaran Umat Islam Masa Kini

ISLAM agama samawi terakhir diturunkan Allah. Sebagai agama terakhir sudah tentu ia paling lengkap
dan sempurna. Islam berada di kemuncak kecemerlangan pada zaman Rasulullah (s.a.w.). Ia
berkembang pesat sehingga pernah menguasai satu pertiga dunia. Wilayahnya memanjang dari selatan
China di Timur dan ke pantai Lautan Atlantik di Barat, dari selatan Paris membawa ke Irian Jaya di
Indonesia.

Umat Islam dikurniakan Allah mendiami kawasan paling subur dan paling kaya di dunia. Mereka juga
berada di tengah laluan antarabangsa yang menjadikan rantau Islam ini idaman semua pihak.

Jatuhnya Khalifah Uthmaniah Turki yang menjadi induk umat Islam dan mansuhnya sistem khalifah, hasil
perancangan jahat yang diketuai Mustafa Kamal Ataturk, berketurunan Yahudi berasal dari Salonika dan
tewasnya kerajaan ini dan sekutunya dalam Perang Dunia Pertama menyebabkan wilayah umat Islam
difaraidkan oleh penjajah sebagai rampasan perang. British, Perancis, Itali, Sepanyol, Belanda dan lain-
lain mendapat habuan masing-masing. Islam dan umatnya hasil daripada perancangan teratur
musuhnya serta disokong dengan kelemahan dalaman yang sedia ada telah diasak dari dalam dan luar
oleh penjajah dan tali barut mereka menyebabkan umat Islam berada di tahap paling lemah dalam
sejarahnya.

Namun begitu, umat Islam tidak perlu pasif kerana Allah menjanjikan Islam tetap unggul. Rasulullah
menegaskan, akan tetap ada sekumpulan daripada umat Islam yang terus mempertahankan kebenaran
daripada gugatan musuh.

Belajar daripada kesilapan lampau dan dengan kepemimpinan ulama yang mukhlisin, umat Islam
bangun semula dalam asakan dan serangan yang bertali arus itu. Umat Islam menapak semula untuk
bangun dan mengambil semula tempatnya di persada dunia.

Namun ia tidak semudah yang diungkapkan kerana terlalu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa
dihadapi.

Penulis dan pemikir Islam sudah banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi umat Islam. Abdul
Kadir Awdah, seorang pakar undang-undang Mesir yang gugur syahid di tali gantung pada zaman Jamal
Abdel Nasir, pernah mengungkapkan antara cabaran ummah ialah kejahilan ummah itu sendiri dan
kelesuan ulama.

Dr Muhammad Sayyid al-Wakil, profesor sejarah Islam di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pula
menyentuh perancangan jahat musuh dan kejahilan umat Islam sendiri mengenai Islam.

Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup dan latar belakang mereka.
Secara umumnya terbahagi kepada dua. Pertama, golongan kurang terpelajar atau tidak terpelajar.
Golongan ini kadang-kadang tidak memahami langsung akan Islam kecuali maklumat asas mengenai
aspek ibadat dalam agama. Keislaman mereka sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili
bahagian terbesar daripada keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh dengan golongan
yang pada pandangan mereka adalah terpelajar.

Kedua, golongan yang mendapat pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya. Rata-rata
golongan ini dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat pendidikan daripada sistem
pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka mempunyai kedudukan yang baik dalam
masyarakat.

Kelemahan golongan ini berpunca daripada kejahilan mereka mengenai Islam sebagai ad-Din. Berpunca
daripada golongan inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam tiada hubungan dengan hukum-
hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden, sesetengah ajaran Islam
payah dan sukar hendak dilaksanakan dan sebagainya.

Bagi golongan yang faham Islam pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem hidup yang
sempurna dan menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang berusaha melaksanakannya dalam
kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada setiap zaman dan tempat kerana ia milik Allah Yang
Maha Mengetahui.

Umat Islam juga sentiasa menghadapi cabaran daripada musuh. Musuh umat Islam adalah daripada
kalangan yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga daripada kalangan manusia.

Daripada kalangan manusia, Allah menegaskan dalam firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani
tidak akan senang dengan kamu sehingga kamu mengikuti millah mereka. (Surah al-Baqarah: 126).

Bertitik tolak daripada sikap tidak senang dengan umat Islam inilah, mereka melakukan pelbagai usaha
untuk merosak dan menghancurkan umat Islam. Sejarah menyaksikan pertentangan kedua-dua pihak ini
mencetuskan peristiwa, tragedi dan kejadian pahit manis di kalangan umat Islam.

Sasaran utama mereka adalah akidah umat Islam, al-Quran, hadis, Rasulullah dan hukum Islam. Oleh itu
pelbagai pendekatan digunakan, bermula daripada pertentangan bersenjata yang tergambar melalui
beberapa siri Perang Salib yang silih berganti, namun mereka tidak berjaya menghapuskan umat Islam.

Kaedah baru dicari selepas cara pertama kurang berhasil. Bermulalah era serangan pemikiran. Ternyata
cara ini sedikit sebanyak berjaya memerangkap umat Islam. Mereka berselindung di sebalik pelbagai
wadah, institusi penyelidikan dan badan yang mereka bentuk untuk menjadi boneka mereka.

Musuh Islam juga mengeksport pelbagai pemikiran dan ideologi kepada umat Islam. Serangan ini
berterusan walaupun negara umat Islam dapat membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan
fizikal tetapi masih dijajah di segi pemikiran.
Yahudi dan Nasrani menggunakan pelbagai saluran bagi mencapai hasrat mereka termasuk media, pakej
bantuan dan kebajikan yang berselindung di sebalik pelbagai tabung dan dana, misi kemanusiaan dan
seumpamanya. Tujuan utama mereka untuk menghancurkan Islam ke akar umbinya.

Selain itu, umat Islam turut menghadapi bebarapa cabaran dalaman. Antaranya masalah kemiskinan,
krisis nilai dan jati diri, pertentangan sesama sendiri dan kegagalan institusi ulama memainkan peranan
sebagai pewaris nabi yang menjadi pemandu ummah.

Faktor ini cukup untuk menjadikan umat Islam sebagai golongan lemah dan terkial-kial untuk
meneruskan survival diri dan ummah. Kalau tidak kerana jaminan Allah yang akan tetap membela dan
melindungi mereka yang beriman, sudah tentu perkara yang lebih teruk akan dihadapi umat Islam.

Setelah mengenali secara umum beberapa cabaran umat Islam, kita dapat mengenal pasti faktor yang
menghalang umat daripada bangkit semula mengambil tempatnya sebagai guru dan pemimpin dunia.
Adalah menjadi tanggungjawab kita yang prihatin dan peka dengan masa depan umat untuk melakukan
muhasabah dan belajar daripada sejarah lampau untuk membolehkan kita menyusun langkah teratur
dalam menuju masa depan yang gemilang.

Kita perlu menoleh ke belakang untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada generasi lalu dan
melihat ke hadapan dengan perancangan teratur bagi membolehkan umat Islam terus melangkah
dengan yakin dan bertawakal kepada Allah. Imam Malik r.a. berkata: “Tidak akan baik golongan yang
terakhir darpada umat ini kecuali dengan apa yang sudah baik umatnya yang terdahulu.”

Вам также может понравиться