Вы находитесь на странице: 1из 3

Assalamualaikum WBT.

Seorang saudari seIslam memberi komen di dalam blog saya. Katanya beruntunglah para lelaki yang
dapat beribadah di sepanjang malam di bulan Ramadhan ini. Masakan tidak, si lelaki tidak mempunyai
uzur yg mengharamkan mereka daripada beribadah, bersolat membaca al-Quran dan lain-lain. Sedang
kan bagi si wanita, datang sahaja haidh, maka berehatlah mereka daripada beribadah.

Dari satu segi ia menampakkan satu kecintaan untuk mendekatkan diri kepada Allah, akan tetapi dari
satu segi ia seolah menunjukkan ada sedikit kerapuhan di dalam aqidah. Seolah-olah wujud keraguan
kepada keadilan Allah.

Di manakah puncanya? Boleh jadi ini berlaku apabila skop ibadah disempitkan. Skop mendekatkan diri
kepada Allah dibataskan kepada solat sahaja.

Wahai saudari-saudari muslimahku,

Cubalah kalian nilaikan berapa banyakkah ibadah-ibadah yang kalian boleh lakukan ketika haidh tetapi
kalian masih tidak melakukannya. Bukalah Hisnul Muslim, lihatlah doa-doa dan zikir-zikir yang Nabi
Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam amalkan, nilailah, cerminlah diri kita sudahkah kita amal semua
zikir-zikir yang ada di dalamnya. Jika masih belum puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam an-
Nawawi. Lihat berapa banyak zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum amalkan. Jadi tiada alasan untuk
kalian wahai-wahai srikandi tercinta untuk berkata bahawa apabila haidh maka kami kurang beribadah
berbanding lelaki.

Wahai saudari-saudari seaqidahku,

Di dalam bab membaca dan menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat masih berbeza pendapat tentang
pengharamannya. Seandainya saudari berpegang kepada pendapat mengharamkannya, masih banyak
ibadah yang saudari boleh lakukan bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan di satu malam.

Wahai srikandiku,

Apabila kalian uzur, bukan alasan untuk kalian menghabiskan masa menonton televisyen tatkala si suami
sedang bersolat. Bukanlah jua ia menjadi alasan untuk saudari menghabiskan hari siang dan malam mu
dengan tidur dan membiarkan si suami bersolat malam sendirian. Bukan juga ia menjadi alasan untuk
kalian membiarkan anak-anak terkapai-kapai mempelajari al-Quran sendirian.

Wahai srikandiku,

Cuba kalian kira, berapa minitkah bagi setiap solat yang kalian lakukan apabila kalian berada di dalam
keadaan suci. Andai kata 5 minit. Kenapa tidak kalian gunakan 5 minit itu untuk membaca doa-doa dan
zikir-zikir yang Rasulullah SAW amalkan. Jika kalian solat malam selama 1 jam di bulan Ramadhan ketika
kalian suci. Kenapa tidak kalian gunakan sejam itu ketika kalian uzur untuk kalian membanyakkan
istighfar, memohon keampunan daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian keluar pada malam itu.
Biarkan ia menjadi saksi ketundukan kalian kepada Allah yang Maha Pengampun.
Wahai saudariku,

Jika kalian tidak berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan yang ada pada hari itu untuk membantu
kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari boleh sediakan hidangan berbuka untuk mereka dan
membiarkan mereka berehat. Saudari juga boleh membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah, dan
mengurangkan kerja-kerja mereka. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.

Wahai saudariku,

Jika saudari berpegang kepada ulama yang menyatakan haram wanita uzur memasuki masjid, masih
banyak ibadah yang boleh saudari lakukan di rumah. Jika saudari berpegang kepada pendapat
membenarkan saudari yang uzur ke masjid, banyak juga yang saudari boleh lakukan di masjid walaupun
tidak bersolat. Saudari boleh membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang bermain tatkala ibu
bapa mereka bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka kisah-kisah nabi, saudari boleh mengajar
mereka membaca Alif, Ba, Ta. Saudari boleh menenangkan mereka tatkala mereka menangis menanti si
ibu yang sedang bersolat. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku.

Ya ukhti,

Sungguh luas jalan ke syurga yang Allah bentangkan untuk saudari. Janganlah saudari sempitkan jalan
yang luas itu. Mahukah saudari menempuh jalan mudah ke syurga? Bukankah jalan ke syurga
dimudahkan untuk mereka yang menuntut ilmu. Saudari boleh gunakan masa yang biasa saudari
lakukan untuk solat dengan membaca buku-buku agama. Saya nasihatkan saudari untuk memulakan
dengan bahan bacaan asas agama. Saudari mulakanlah dengan membaca buku-buku berkaitan akidah.
Pilihlah buku yang mudah. Saudari boleh membaca Kitab at-Tauhid karangan Shaikh Muhammad bin
Abdul Wahab. Sangat ringkas buku ini dan mudah untuk saudari fahami. Saudari juga boleh membaca
buku saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang contoh-contoh hal yang boleh merosakkan akidah. Selepas
itu saudari hendaklah membaca buku tentang bersuci. Buku kecil Sifat Wudhu Rasulullah amatlah
berguna buat saudari. Selepas itu bacalah buku Sifat Solat Nabi untuk saudari memperbaiki mutu solat
saudari. Saudari juga tidak boleh melupakan hukum-hakam khas untuk gadis atau wanita seperti
saudari. Bacalah buku-buku berkaitan hukum hakam haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara boleh
membaca buku karangan Shaikh Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini.

Wahai saudariku,

Saya kira jika mahu ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang
uzur, nescaya akan habislah dakwat pena, akan menjadi berjela-jelalah panjanganya tulisan ini. Dan
saudari juga mungkin tidak akan mampu melaksanakan kesemuanya.

Ya ukhti,

Ingatlah Allah Maha Adil. Keuzuran pada wanita bukan penghalang mereka beribadah. Sematlah rasa
cinta pada Tuhan, yakinlah pada keadilanNya, titiskanlah air mata memohon keampunanNya.

Wallahu’alam.
Profil Penulis:

Nama: Mohd Masri Bin Mohd Ramli

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 23 Januari 1987

Asal: Tampin, Negeri Sembilan

Pendidikan:

Rendah: Sekolah Kebangsaan Bangsar KL

Sekolah Rendah Agama Rakyat, Kampung Pasir Dalam, KL

Sekolah Rendan Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan

Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin, Negeri


Sembilan,

Matrikulasi UIAM Petaling Jaya

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.

Pelajar tahun akhir kuliah ekonomi.

Pengalaman:

a) Menjadi fasilitator tetap INTIS Consultant di dalam kerja-kerja dakwah khususnya untuk golongan
remaja. Sudah bergiat cergas hampir 4 tahun.

b) Sekarang menjawat jawatan Pengarah Eksekutif INTIS Consultant

c) Penulis bebas- memiliki beberapa buah blog, dan menulis di dalam akhbar-akhbar tempatan.

d) Moderator di dalam laman forum dakwah http://al-fikrah.net

e) Guru al-Quran untuk kanak-kanak di surau

Вам также может понравиться