You are on page 1of 2

Tajuk: Menjadi pelajar berkeyakinan

Tentu anda pernah melihat rakan sekuliah atau rakan sekelas anda kurang berkeyakinan
apabila pensyarah atau guru mengajar. Adakah anda juga begitu? Kadang kala perasaan
rendah diri begitu tebal dalam diri. Malu untuk bertanya dan menjawab soalan, tidak yakin
dan kadar “self-esteem” dalam diri berada dalam paras kritikal.

Jika ya, ada kemungkinan anda akan tertinggal dalam pelajaran dan menjadi pelajar yang
lemah dalam semua mata pelajaran. Keyakinan diri adalah ukuran paling tepat untuk
mengatakan samada anda pelajar yang berjaya atau sebaliknya.

Oleh sebab itu, anda perlu berubah untuk menjadi seorang pelajar yang berkeyakinan,
berwibawa dan punyai sifat kepimpinan yang tinggi. Berusahalah untuk memperbaiki diri
kerana tiada apa yang dapat mengubah nasib anda jika anda tidak berusaha.

Banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk membina jadi diri cemerlang sebagai
pelajar. Lihatlah dunia dengan kaca mata seorang pelajar yang berkeyakinan.

Tips menjadi pelajar berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.

1. Akuilah diri anda seorang pelajar

Mengakui diri anda sebagai pelajar amat penting. Lihat tujuan utama anda berada
di Universiti dan sekolah. Katakan pada diri anda kata-kata positif sebagai seorang pelajar.
Sebagai seorang pelajar ketahuilah bahawa banyak perkara yang perlu anda pelajari.
Berusahalah untuk menjadi pelajar yang sejati.

2. Fokus semasa guru mengajar

Semasa pensyarah atau guru mengajar cuba tumpukan perhatian. Ambillah nota
dan terus salin dalam buku catatan. Fokus kepada subjek yang diajar pensyarah atau guru
sambil menyalin nota penting. Nota hasil daripada guru yang mengajar dapat membantu
anda semasa peperiksaan.

3. Berikan pujian kepada diri sendiri

Apabila anda lulus atau berjaya menjawab soalan dengan tepat daripada mana-
mana kertas soalan atau daripada buku latih tubi yang anda jawab berilah hadiah dan
penghargaan kepada diri anda sendiri. Kaedah ini mampu membakar semangat belajar
anda. Fikir satu hadiah yang paling anda ingini dan hadiahkan pada diri sendiri. Dari situ
anda akan lihat peningkatan semangat anda untuk belajar dengan lebih tekun dan yakin.

4.Ambil manfaat daripada kawan yang lebih bijak

Cuba berkawan dengan rakan yang lebih bijak. Anda sendiri pun akan mengakui
jika anda lebih pandai tentu rakan anda pula mahu mendekati anda untuk bertanyakan
sesuatu soalan atau meminta nasihat. Kawan yang baik seperti haruman minyak wangi
yang memberi manfaat kepada anda. Dapat merasai wangian walaupun bukan anda si
pemakainya. Justeru, cubalah berkawan dengan rakan anda yang mempunyai semangat
yakin diri.

5.Jumpa pensyarah atau guru

Perlu diketahui bahawa kebanyakan pelajar Universiti di Malaysia amat takut


berjumpa dengan pensyarah untuk mendapat khidmat nasihat dan sebagainya. Ingat,
bahawa guru dan pensyarah adalah pemberi markah kepada setiap keputusan
peperiksaan. Berusahalah untuk mendekati mereka sambil minta tips atau cara melakukan
tugasan yang terbaik. Belajar dengan ikhlas dan berjumpa pensyarah atau guru adalah
terapi terbaik menghilangkan tekanan pelajaran. Anda akan lebih berkeyakinan selepas
berjumpa pensyarah atau guru.

6.Jauhilah pengaruh rakan anda yang kurang baik

Dalam setandan pisang pasti akan ada buah yang sudah busuk atau buruk.
Pengaruh rakan yang tidak elok amat berbahaya kepada keputusan anda dalam
peperiksaan. Sudah pasti banyak subjek yang anda pelajari akan gagal kerana pengaruh
kawan yang tidak elok. Berdoalah kepada Allah supaya anda mendapat rakan yang baik
dan mintalah kepada Allah supaya anda di jauhi pengaruh buruk.

7.Minta doa daripada ibu bapa

Apabila tiba musim peperiksaan hubungilah ibu dan bapa anda untuk meminta
nasihat dan doa. Gunakan telefon anda untuk hubungi mereka. Luahkan masalah anda
pada mereka dan dengarkanlah nasihat yang mereka berikan. Doa seorang ibu atau bapa
ada terapi terbaik untuk mengembalikan semangat anda dalam menghadapai
peperiksaan.

8.Tahajud cinta kepada Allah

Sambil anda melakukan usaha terbaik mengulangkaji pelajaran luangkanlah masa


anda untuk solat tahajud kepada Allah. Keyakinan anda untuk menjawab soalan
peperiksaan akan bertambah apabila anda dapat merasai ketenangan dalam solat.
Tahajud adalah ubat mujarab untuk mendapatkan ketenangan jiwa. Kajian saintifik
menunjukkan minda seseorang akan tenang apabila anda bersujud. Cubalah terapi
tahajud untuk mengembalikan kecergasan fikiran.

9. Doakan kejayaan untuk semua manusia

Doa adalah senjata orang mukmin. Apabila kita berdoa malaikat juga akan berdoa
untuk kita. Berdoalah untuk kejayaan anda serta rakan-rakan anda yang bakal
menghadapi peperiksaan. Sesudah anda berusaha, tawakal dan berdoalah kepada Allah
supaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Selain itu, doakan juga anda
di beri hidayah dan petunjuk daripada Allah untuk menghadapai segala cabaran yang
hadir dalam hidup anda. Yakinlah dengan untuk menjadi pelajar yang berkeyakinan!