Вы находитесь на странице: 1из 2

BAI'AT AQABAH

Latar Belakang
Bai'at ialah persetiaan, ikrar atau sumpah setia. Bai'at aqabah telah diadakan
di antara Nabi dengan penduduk Yathrib di sebuah tempat yang dikenali
sebagai Aqabah. Aqabah adalah nama sebuah bukit yang terletak antara
Mekah dan Madinah. Bai'at ini diadakan sebanyak dua kali. Bai'at yang
pertama dikenali sebagai Bai'at Wanita / Bai'at al-Nisak kerana ia merupakan
perjanjian keamanan. Seramai 12 orang penduduk Madinah yang terdiri
daripada 10 Khazraj dan 2 Aus terlibat dalam bai'at ini. Mereka berjanji
tidak akan menyekutukan Allah, tidak mencuri, tidak membunuh anak, tidak
berbohong, tidak fitnah-menitnah dan lain-lain. Pada tahun berikutnya iaitu
pada tahun ke-13 selepas kerasulan Nabi, seramai 73 orang penduduk
Madinah datang menemui Nabi bagi mengukuhkan kesetiaan mereka dalam
Bai'at Aqabah I. Mereka memeluk Islam sejak dari Yathrib lagi. Bai'at kedua
ini disebut sebagai Bai'at al-Haub. Di samping mengulangi ikrar yang pertama,
mereka berjanji akan melindungi dan mempertahankan Nabi serta umat Islam
seperti mereka melindungi keluarga mereka sendiri. Mereka juga mengajak
Nabi untuk berhijrah ke Yathrib.

Hubungan Aqabah dan Hijrah


Bai'at Aqabah mempunyi hubungan yang rapat dengan Hijrah. Kedua-dua
Bai'at tersebut menandakan bahawa akan berlaku Hijrah Nabi dan umat
Islam ke Madinah. Hal ini adalah berdasarkan kepada fakta berikut:-
1. Kedatangan puak Aus dan Khazraj ke Mekah adalah untuk mendapatkan
sokongan dari Nabi dan orang Islam bagi menentang orang Yahudi di
Madinah. Orang-orang Yahudi walaupun golongan pendatang, tetapi mereka
telah berjaya menguasai ekonomi di Madinah sehingga penduduk asal di
Madinah yang terdiri daripada orang Arab tertekan.
2. Penduduk Madinah sedar tentang perlunya mereka mempunyai seseorang
pemimpin seperti Nabi Muhammad. Nabi bukan sahaja dapat
menyelesaikan masalah mereka dengan orang Yahudi, malah menyelesaikan
masalah perebutan kuasa yang berlaku antara orang Aus dan Khazraj.
3. Orang Madinah yakin dengan kebolehan Nabi dan keadilan agama Islam,
dengan ini mereka berharap pentadbiran kota Madinah yang mempunyai
penduduk berbilang bangsa dan kaum dapat ditadbir dengan sebaik-
baiknya.
4. Usaha berterusan yang dilakukan oleh penduduk Madinah selama 3 tahun
berturut-turut merupakan satu usaha yang gigih bagi merangka strategi
Hijrah. Ia bermula dari kedatangan Suwaid Bin Samit diikuti oleh Iyas Bin
Muazth dan seterusnya kedatangan 6 orang penduduk Madinah. Hasilnya,
Bai'at Aqabah I telah diadakan pada tahun ke-12 selepas kerasulan Nabi
diikuti pada tahun berikutnya dengan Bai'at Aqabah II.
5. Selepas Bai'at Aqabah II diadakan, Nabi telah melantik 12 orang Naqib
(ketua) yang terdiri daripada 9 Khazraj dan 3 Aus bagi mengetuai gerakan
dakwah di Madinah. Ia juga menjadi bukti bahawa Hijrah akan berlaku.
6. Persetujuan yang telah dicapai antara Nabi dengan penduduk Madinah
yang terdiri daripada Aus dan Khazraj menandakan bahawa peristiwa
penting ini akan berlaku. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk sama-
sama mempertahankan Islam dan ancaman musuh malah penduduk Madinah
sanggup menjamin keselamatan orang Islam jika mereka berhijrah ke
Madinah.
7. Hijrah telah berlaku sebaik sahaja Bai'at Aqabah II diadakan. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa Bai'at inilah yang menyebabkan Nabi berhijrah ke
Madinah. Setibanya Nabi di Madinah, mereka disambut dengan gembiranya
oleh penduduk Madinah.

Rumusan
Bai'at Aqabah berlaku di antara seorang pemimpin yang sedang mencari umat
untuk diserukan ajaran Islam dengan sekumpulan masyarakat yang mencari
seorang pemimpin yang dapat menyatupadukan mereka. Ia memainkan peranan
besar dalam sejarah perkembangan Islam. Ia membawakan sinar baru
terhadap perkembangan Islam. Ada sejarahwan yang menganggap peristiwa
Ikrar Aqabah sebagai "penyelamat nyawa terancam". Ia merupakan anak
kunci peristiwa Hijrah yang bersejarah yang dapat mengubah perjalanan
sejarah perkembangan Islam

Вам также может понравиться