Вы находитесь на странице: 1из 26

BAB 3:

SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MUSLIM


DAFTAR ISI KANDUNGAN
Bil Tajuk Halaman
1 Pendahuluan 2
2 Pengertian Syariah 4
3 Syariah, Fekah, Undang-undang dan Hukum 4
4 Sumber Syariah 5
5 Maqasid al-Syar`iyyah 6
-mendidik manusia
-menegak keadilan
-menjaga enam perkara asas
6 Skop Syariah 9
-skop syariah dalam bidang ibadat
-skop syariah dalam bidang muamalah
-skop syariah dalam bidang jenayah
7 Hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir 12
8 Jenayah Hudud
-curi 13
-zina 14
-qazaf 15
-rompakan 16
-minum arak 16
-murtad 17
9 Qisas dan Diyat 18
10 Ta’zir 19
11 Ciri-ciri Syariah 20
-berpaksikan konsep tauhid
-sesuai untuk semua tempat dan zaman
-ketinggian syariat
-menerima pembaharuan
12 Syariah Dalam Pembangunan Ummah 22
-pembangunan fizikal
-pembangunan kognitif
-pembangunan emosi
-pembangunan sosial
-pembangunan kerohanian
13 Keperluan Manusia Kepada Syariah serta Kesan Pengabaian 24
-jauh dari rahmat Allah
-mendapat laknat dari allah
-jenayah dan maksiat berleluasa
14 Kesimpulan 25
15 Bahan bacaan 26

1
SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MUSLIM
Oleh: Mohd Sanusi Awang Hassan*

3.0.0 Pendahuluan

Perlu diyakini bahawa Allah SWT adalah al-Khaliq yang telah mencipta pelbagai jenis
makhluq, sememangnya Dia Maha Mengetahui segala rahsia kekuatan dan kelemahan
keseluruhan isi alam ini, termasuklah rahsia manusia itu sendiri.

Allah sebagai pencipta yang mengatur dan menyususn seluruh isi alam buana ini telah
meletakkan peraturan atau syariat yang tertentu, yang bersesuaian dengan fitrah
manusia dan isi alam ini, bertujuan mengekalkan keharmonian dan kelangsungan hidup
warga jagatraya ini. Penetapan hukum halal - haram, wajib – sunat, makruh – harus
dalam syariat Islam mempunyai infak dan rahsianya yang tersendiri. Rahsia ini
adakalanya dapat digali dan difikir oleh manusia seperti hikmat pengharaman babi
kerana didapati terdapat sejenis cacing dalam daging tersebut yang sukar dimatikan.
Namun masih terdapat banyak lagi peraturan dan syariat Allah yang tidak diketahui
secara pasti apakah rahsia atau hikmah disebalik pensyariatan tersebut. Contohnya
seperti berbeza bilangan rakaat dalam sembahyang lima waktu. Syariat Allah juga
bertindak sebagai kayu ukur untuk menilai sejauh mana tahap keimanan seseorang
manusia berdasarkan penerimaan atau penolakan terhadap sesuatu peraturan yang
telah disyariatkan.

Oleh kerana itu sebagai seorang hamba Allah, mematuhi syariatNya adalah suatu
kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan. Babi tetap haram dimakan meskipun manusia
telah berjaya mencari kaedah mematikan cacing yang terdapat dalam babi tersebut.
Arak tetap haram diminum walau pun manusia yang meminumnya sudah tidak mabuk
lagi. Riba tetap haram diamalkan walaupun transaksi kewangan yang dijalankan
sekarang sudah tidak dipanggil `kadar riba’ lagi. Ini bermakna kita tidak makan babi,
tidak minum arak dan tidak bermuamalah secara riba, adalah benar-benar kerana
mematuhi larangan Allah, bukan kerana lain.
____________________________________________________________________
*Pensyarah CITU; B.A (Hons) Syariah/Ekonomi (Universiti Malaya) 1986, KPP UiTM 1988, UiTM Perlis 1989, UiTM
Sarawak 1995, UiTM Pulau Pinang 1997 – sekarang.

2
Perlu diingat dan diyakini sepenuhnya bahawa Allah yang mencipta manusia. [dari
tanah, al-Mukminun: 67, as-Sajadah: 7, al-Hijr: 28; dari air mani, as-Sajadah: 8, al-
Mukminun: 67, al-Qiamah: 37, al-Insan: 2, al-Mukminun: 13; dari darah, al-`Alaq: 2].

Allah Maha Mengetahui segala peraturan yang bersangkutan dengan hidup seseorang
manusia. Dia yang mencipta manusia dan Dia juga yang mencipta peraturan untuk
mempastikan seseorang manusia itu kekal di atas status kemanusiaannya; tidak
bertukar kepada sifat kebinatangan serta hilang segala kemuliaan. [at-Thin: 5,
Muhammad: 122, al- A`raf: 179].

Secara perbandingan boleh dilihat suatu bentuk tamsilan dimana sebuah syarikat
pengeluar sesuatu barangan akan menulis kaedah penggunaan produk tersebut untuk
kemudahan dan panduan para pengguna agar barangan tersebut dapat berfungsi
dengan baik.

Kegagalan pengguna mematuhi peraturan (syariat) yang telah ditunjuk dan ditetapkan
oleh pihak pengeluar akan menyebabkan barangan tersebut menjadi rosak atau tidak
dapat digunakan. Dalam hal sedemikian pengeluar tidak wajar dipersalahkan. [kereta
enjin petrol diisi minyak diesel].

Begitulah juga halnya manusia dengan Allah SWT. Berlakunya malapetaka dan
bencana alam seperti banjir kilat dan seumpamanya adalah berpunca dari angkara
kebuasan manusia itu sendiri. [ ar-Rum: 41 ]. Begitu juga timbulnya pelbagai penyakit
kronik yang terpaksa dihadapi oleh manusia kini adalah juga berpunca dari kerakusan
manusia melahap apa sahaja yang sedia terhidang di depan mata. Allah mengharuskan
manusia menikmati kelazatan hidup; makan dan minum, tetapi jangan melampaui batas.
[al-A`raf: 31, al-Maidah: 88, al-Baqarah: 60].

Kesemua hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas setiap makhluk dan
seluruh isi alam ini akan sentiasa berfungsi dan efektif dalam rangka membentuk suatu
kehidupan yang harmoni dan sejahtera mengikut acuan Allah selama mana manusia
tidak bertindak liar dan biadap. Dunia dan seluruh isi alam ini akan hancur musnah bila
manusia bertindak membelakangkan hukum dan peraturan Allah.

3
3.1.0 Pengertian Syariah

Perkataan syariah bukan direka atau digubah oleh kesusasteraan manusia, sebaliknya
merupakan satu kalimah yang datang secara langsung dari kitab suci al-Qur`an al-
Karim.[ al-Jathiah: 18]

3.1.1 Perkataan syariah dari segi bahasa


Syariah berasal dari bahasa Arab, dari kalimah syara`a ((‫شـرع‬, yusyari`u ( ( ‫يشارع‬
syari`atan (‫) شريعة‬, yang bererti:
a. sumber mata air atau punca air yang digunakan oleh manusia dan binatang
sebagai bahan minuman.
b. jalan yang lurus yang memberi panduan dan arahan yang benar, yang tidak
menyesatkan.
c. peraturan yang telah ditentukan oleh Allah (syariat Allah) meliputi bidang aqidah,
ibadat, muamalah, akhlak dan sebagainya.
d. mazhab-mazhab yang benar yang telah dirintis oleh para mujtahid dan para alim
ulama muktabar.

3.1.2 Pengertian syariah dari segi istilah

a. setiap sesuatu yang telah diperundangkan oleh Allah SWT dalam urusan
keagamaan melalui wahyuNya sama ada terkandung dalam ayat-ayat suci al-
Qur`an atau melalui hadis nabi s.a.w.
b. menurut Imam Abu Hanifah, syariah bermaksud semua ajaran yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w yang bersumberkan wahyu Allah.

3.1.3 Syariah, Fekah, Undang-Undang dan Hukuman

Syariah Dalam bentuk yang umum; iaitu teks dari al-Qur’an dan Hadis. Contoh;
arahan Allah supaya mendirikan sembahyang: ‫أقـيموا الصــــــــــالة‬

Fekah Dalam bentuk yang lebih terperinci. Merupakan tafsiran para mujtahid

4
terhadap nas umum (al-Qur`an/Hadis). Walaupun para mujtahid
berbeza pendapat dari segi amali (perlaksanaan solat secara
furu`iyyah) tetapi mereka sepakat dalam soal dasar (wajib solat)

Undang- Suatu ketetapan perundangan yang telah diwartakan oleh pihak


undang kerajaan Islam berdasarkan mazhab-mazhab tertentu (secara bertulis)
sama ada dalam bentuk perlembagaan, akta atau enakmen.

Hukuman Merupakan timbal balas atau penalti atau kesan dan akibat yang
dikenakan ke atas individu atau jamaah yang telah didapati bersalah
secara sah dalam perbicaraan di mahkamah, melanggar peruntukan
undang-undang yang telah diwartakan atau yang telah disyariatkan.

Hukuman terhadap pesalah dalam syariat Islam meliputi balasan yang bersifat material
dan juga spiritual. Balasan dalam bentuk material termasuklah bayaran denda, dikurung
dalam penjara, disebat, qisas, dibuang daerah dan seumpamanya. Manakala hukuman
dalam bentuk spiritual atau keakhiratan pula merupakan suatu balasan yang menjadi
milik mutlak Allah SWT dalam bentuk dosa, bala bencana dan azab – termasuklah
siksaan api neraka.

Oleh kerana itu seseorang penjenayah yang telah terlepas dari hukuman dunia
(material) lantaran kepintaran berhujah di mahkamah atau kerana wujud kesamaran
atau masalah teknikal, belum tentu terlepas dari hukuman Allah SWT di negeri akhirat.
Begitulah sebaliknya, seseorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah serta
dijatuhi hukuman di dunia ini, tidak semestinya orang itu bersalah di sisi Allah.
Barangkali wujud konspirasi, fitnah, kezaliman dan seumpamanya.[contoh: kisah nabi
Yusuf yang dituduh cuba memperkosa Zulaikha].

3.1.4 Sumber Syariah (sila rujuk bab 1: Islam sebagai al-Din)


1. Sumber yang disepakati: al-Qur’an, al-Sunnah, Ijmak dan Qiyas
2. Sumber yang tidak disepakati: al-Istihsan, al-Istishab, Masalihul Mursalah, Saddu al-
Zara`ik, Syar`uman qablana, al-`adah al-muhakkamah, al-`Urfu.

5
3.2.0 Maqasid al-Syar`iyyah ( Objektif Perundangan )

Maqasid al-Syar`iyyah bermaksud tujuan atau objektif perundangan yang telah


ditentukan oleh Allah SWT. Syariat Islam memberi penekanan kepada tiga aspek utama
iaitu;
3.2.1 Mendidik manusia
3.2.2 Menegakkan keadilan
3.2.3 Menjaga enam perkara asas kehidupan

3.2.1 Mendidik manusia


Antara matlamat utama misi dakwah Islam adalah untuk mendidik dan mentarbiah jiwa
dan perilaku manusia. Pendidikan ini disalurkan secara tidak langsung melalui amal
ibadat terutama melalui ibadat fardhu seperti solat, puasa, zakat dan haji. Jika
diperhatikan kesemua ibadat-ibadat khusus ini mempunyai rukun dan syarat-syarat yang
tertentu. Kegagalan mematuhi rukun dan syarat yang telah ditetapkan oleh syarak
menyebabkan ibadat tersebut terbatal atau tidak sah. Peraturan ini mampu
mendisiplinkan diri seseorang dalam semua keadaan.

Ibadat solat atau sembahyang misalnya; kita dapati terlalu banyak disiplin yang telah
direncanakan oleh Allah SWT untuk membentuk peribadi muslim yang berkualiti. Solat
mengajar kita bagaimana untuk menjaga dan mengurus masa dengan baik, menjaga
kebersihan diri, konsentrasi, ketaatan kepada pemimpin, berkerjasama dan lain-lain.
Kesemua disiplin ini jika dipraktikkan dalam kehidupan seharian sudah pasti akan
membuahkan hasil yang cukup lumayan. Orang mukmin akan menjadi seorang yang
berkualiti dan berketrampilan. Orang yang menunai solat dengan sempurna sudah pasti
tidak akan melakukan perkara mungkar dan maksiat. Solat yang `hidup’ dalam diri
seseorang akan sentiasa mendorong dan merangsang seseorang itu untuk melakukan
kebaikan serta mencegah dari melakukan kerosakan.

3.2.2 Menegakkan keadilan


Adil secara literalnya bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai dan
munasabah. Manakala zalim pula bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada
tempatnya. Ini bermakna keadilan bukan bermaksud sama rata (contoh: beli baju sama
saiz kepada empat orang anak berlainan usia – ini zalim)

6
Keadilan dalam syariat Islam tidak membezakan antara orang kaya dengan miskin,
antara Islam dengan kafir (contoh: kisah Yahudi curi baju besi dan pedang khalifah Ali
bin Abi Tholib) bahkan Rasulullah s.a.w pernah menyatakan baginda akan tetap
menjalankan hukuman potong tangan ke atas puteri kesayangannya, Fatimah binti
Muhammad jika didapati beliau bersalah mencuri.

3.2.3 Menjaga Enam Perkara Asas Kehidupan


( Agama, Nyawa, Keturunan, Harta, Akal, Maruah )

a. Menjaga agama

Menjaga agama bermaksud memelihara kesucian akidah Islam daripada terpesong


atau rosak atau terbatal akidah akibat dari tindakan murtad. Satu tindakan berat atau
hukuman mandatori perlu dikenakan ke atas orang-orang murtad agar tidak ada
orang Islam lain yang cuba meniru perbuatan itu. Akidah Islam adalah akidah yang
bersih. Orang yang menganut ajaran suci Islam adalah orang yang telah menemui
jalan benar serta mendapat taufik dan hidayah Allah. Adalah amat tidak wajar bagi
seseorang yang telah mendapat taufik dan hidayah Allah untuk lari serta keluar dari
cahaya kebenaran.

Mereka bertindak demikian (murtad) barangkali didorong oleh faktor-faktor tertentu


seperti masalah ekonomi atau perasaan cinta yang melampau menyebabkan
mereka menjadi `buta’ dan tidak nampak cahaya kebenaran. Kerana itu perlu ada
satu peraturan atau undang-undang untuk menyedarkan mereka serta membawa
kembali ke pangkal jalan ( bertaubat ). Jika orang murtad tadi masih berdegil, maka
ketika itu barulah dilaksanakan hukuman mandatori (bunuh) sebagai pengajaran
kepada orang lain yang ada keinginan untuk ikut murtad.

b. Menjaga nyawa.

7
Islam mengharamkan semua bentuk pembunuhan (tanpa hak) sama ada membunuh
diri sendiri atau membunuh diri orang lain. Islam hanya membenarkan pembunuhan
terhadap musuh dalam medan peperangan sahaja. Jika pihak musuh mengaku
kalah (surrender) maka tidak boleh dibunuh mereka. Begitu juga tidak boleh
membunuh orang kafir di luar medan perang walau pun mereka itu musuh kita.

Begitu juga dengan pegawai polis yang bertugas menjaga keselamatan negara.
Mereka dibenarkan membunuh penjenayah yang mengancam keselamatan negara
dan ketenteraman awam mengikut syarat dan dalam keadaan tertentu.

Sementara itu bagi pegawai yang bertugas sebagai jurulaksana hukuman bunuh,
sama ada hukuman pancung, tembak atau seumpamanya; dikira tidak bersalah
kerana perbuatan tersebut merupakan bidang tugas yang telah
dipertanggungjawabkan oleh pihak pemerintah.

c. Menjaga keturunan

Keturunan atau nasab adalah penting untuk mengetahui serta menentukan salasilah
seseorang itu. Penentuan nasab seseorang amat berkait rapat dengan hukum
pewarisan harta pusaka, perkahwinan, pewalian dan pembatalan air sembahyang.

Islam telah mengharamkan perzinaan bertujuan menjaga kesucian nasab keturunan


serta mengawal merebaknya pelbagai jenis penyakit akibat zina.

Islam membenarkan hubungan seks secara sah iaitu melalui perkahwinan. Zuriat
yang lahir hasil perkahwinan ini dikira sah taraf serta layak dinasabkan keturunannya
kepada bapanya iaitu suami kepada wanita yang telah melahirkannya (ibunya).

d. Menjaga akal

Kemuliaan manusia berbanding binatang terletak pada akal. Akal perlu dijaga dan
dipelihara. Syariat Islam telah mengharamkan semua perkara yang boleh membawa
kepada rosaknya akal fikiran, termasuklah mengharamkan makanan serta minuman

8
yang memabukkan seperti arak, todi, tuak masam, samsu, dadah, ganja, daun
ketum dan seumpamanya.

e. Menjaga harta

Islam membenarkan individu mencari dan memiliki harta. Harta adalah sebahagian
dari nikmat Allah serta menjadi perhiasan kepada kehidupan manusia.

Syariat Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas tentang pengurusan harta,
penggunaan serta pengagihannya. Segala kegiatan ekonomi yang bersifat batil
adalah haram seperti menipu, manipulasi, sorok, judi, riba, rompak, curi dan
seumpamanya. Islam telah menetapkan satu bentuk hukuman yang berat terhadap
kesalahan mencuri dan merompak harta orang lain.

Peruntukan hukum hudud terhadap kesalahan merompak dan mencuri menjadikan


negara Islam berada dalam keadaan selamat. Peniaga dan pengguna merasa
keselamatan mereka terjamin untuk menjalankan muamalah seharian.

f. Menjaga maruah

Maruah diri atau harga diri seseorang perlu dijaga dan dihormati. Setiap orang ada
nilai harga diri dan maruahnya yang tersendiri. Oleh kerana itu syariat Islam amat
prihatin dalam soal ini dimana seseorang tidak dibenarkan menuduh seseorang lain
dengan sewenang-wenangnya; khususnya dalam kes yang melibatkan perzinaan,
liwat dan seumpamanya jika tidak cukup saksi atau kekurangan syarat tertentu.

3.3.0 Skop Syariah Islam

Pada dasarnya syariat Islam telah menasakhkan semua syariat sebelumnya. Melalui
sumber hukum yang tetap dan anjal, syariat Islam berfungsi mengawal segenap aktiviti
dan semua aspek kehidupan manusia. Bermula dari aspek akidah, ibadat, muamalah,
munakahat, akhlak, jenayah, ekonomi, politik, sosial, sehinggalah kepada aktiviti sukan,
kesenian, hiburan dan seumpamanya; telah diletakkan peraturan dan syariat yang

9
menentukan sama ada halal atau haram, sah atau batal sesuatu aktiviti atau amalan
tersebut.

Gambar rajah 1

Walau bagaimana pun pada kesempatan ini kita hanya membincangkan ruang lingkup
(skop) syariat Islam yang menyentuh tiga aspek sahaja iaitu; ibadat, muamalat dan
jenayah.

3.3.1 Skop Syariah Dalam Ibadat

Salah satu daripada syarat utama sesuatu amalan itu dikira sebagai ibadat atau
sebaliknya adalah ditentukan oleh kesediaan seseorang itu mematuhi peraturan dan
syariat yang telah ditentukan. Kegagalan mematuhi syariat yang terdapat dalam sesuatu
Contohnya seperti sengaja menambah rakaat solat atau berpuasa pada dua hari raya.

Syariat telah menetapkan secara terperinci mengenai perkara-perkara yang


membatalkan sesuatu ibadat. Bahkan ada sebahagian dari kesalahan yang dilakukan
dalam sesuatu ibadat seperti puasa dan haji perlu ditebus melalui pembayaran dam
atau kifarat.

10
3.3.2 Skop Syariah Dalam Muamalah

Bidang muamalah secara umum melibatkan aktiviti seharian antara sesama manusia;
termasuklah bidang ekonomi, politik dan sosial. Kesemua bidang ini telah dikawal oleh
syariat Islam melalui suatu sistem yang komprehensif dan fleksibel. Sistem ekonomi
Islam mengemukakan dua pendekatan perlaksanaan hukum iaitu tetap dan anjal.
Contohnya seperti pen etapan hukum halal jual beli serta haramnya riba. Namun syariat
Islam tidak menetapkan kaedah tertentu mengenai urusan jual beli. Urusan jual beli
boleh dilakukan melalui beberapa kaedah tertentu yang dibenarkan oleh syarak seperti
jual salam, jualan langsung, sistem batter dan seumpamanya. Inilah keanjalan syariat
Islam yang tidak menghadkan kaedah perlaksanaan sesuatu aktiviti atau dari segi
praktiknya selama mana kaedah tersebut tidak bertentangan dengan syarak.

Syariat Islam juga telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam bidang politik dan
pemerintahan negara. Sistem syura (berbeza dengan demokrasi) bertindak sebagai
landasan utama dalam soal pemilihan serta perlantikan seseorang pemimpin negara.
Begitu juga dalam soal menggugur kelayakan atau menjatuh seseorang pemimpin dari
tampuk pemerintahannya. Syariat Islam telah mengemukakan kaedah tersendiri
bagaimana seseorang pemimpin itu wajib dipatuhi dan bagaimana pula wajib diingkari.

Sementara itu syariat Islam tidak meminggirkan soal-soal yang bersangkutan dengan
kemasyarakatan dan sosial manusia. Terlalu banyak hukum dan peraturan yang
menyentuh hak kejiranan dan kehidupan berkeluarga. Islam mengharamkan menyakiti
hati jiran,walau pun jiran tersebut bukan beragama Islam. Islam tidak membenarkan
sama sekali seorang lelaki meminang tunangan orang lain. Bilik tidur anak lelaki dan
perempuan hendaklah diasingkan apabila mereka telah meningkat remaja. Begitu juga
kita diajar oleh syariat Islam untuk memilih waktu yang sesuai untuk menziarahi rumah
tetangga meskipun adab berziarah itu hukumnya sunat.

11
3.3.3 Skop Syariah Dalam Bidang Jenayah

Jenayah atau dalam bahasa Arabnya disebut jinayah bererti dosa. Sementara ahli fiqah
pula mentakrif jenayah sebagai larangan-larangan syarak yang diharam melakukannya.
Para pesalah hendaklah dijatuhi hukuman hudud atau qisas dan diyat atau hukuman
ta’zir setelah sabit kesalahannya di mahkamah.(Dr.Abbas Husni Mohamad, 1996)

Hukuman dan undang-undang yang berjalan dalam negara mestilah selari serta
mencapai matlamat perundangan itu sendiri. Hukuman biasanya terhasil dari
pembentukan sesuatu undang-undang sama ada undang-undang bertulis atau undang-
undang tidak bertulis. Secara kasarnya hukuman boleh diklasifikasikan kepada dua jenis
iaitu hukuman syar`ie dan hukuman wadh`ei. Kesemua hukuman ini mempunyai tiga
matlamat utama iaitu; pembalasan, pencegahan dan pembaikan.

Hukuman syar`ei ialah hukuman yang dijatuhkan oleh seseorang hakim berdasarkan
syariat Ilahi ( syariat Islam ), manakala hukuman wadh`ei pula adalah sesuatu hukuman
yang dijatuhkan oleh seseorang hakim ke atas seseorang yang dituduh, berdasarkan
kepada logik akal dan hawa nafsu semata-mata tanpa merujuk kepada panduan mana-
mana kitab yang telah diturunkan oleh Allah SWT.

3.4.0 Hukuman Hudud, Qisas dan Diyat serta Ta’zir


.
Jenayah syar`ei dilihat dari aspek hukuman terbahagi kepada tiga kategori iaitu
hukuman hudud, hukuman qisas/diat serta hukuman ta’zir.

3.4.1 Hukuman Hudud


Hudud:jamak, mufrad:had; ialah sesuatu hukuman yang ada nas (teks), yang disebut
secara terang dan jelas sama ada dalam al-Qur’an atau dalam hadis. Hakim, qadhi atau
pihak kerajaan tidak ada hak untuk meminda, mengubah atau menukar hukuman
tersebut dengan hukuman lain. Para fuqaha’ bersependapat mengatakan bahawa tidak
ada ruang untuk ijtihad dalam perkara yang ada nas. Ertinya hudud adalah hukuman
yang menjadi milik mutlak Allah SWT. Manusia tidak sewajarnya merampas hak mutlak
Allah SWT ini. Ia tidak mempunyai kadar minima dan kadar maksima, dan juga tidak
menerima pengampunan daripada individu atau kumpulan.

12
Oleh hal yang demikian, maka kebanyakan para fuqaha’ (kecuali Ibn al-Qayyim dalam
kitabnya I’lam al-Muwaqqi`in) mengambil sikap berdiam diri daripada memperkatakan
secara panjang lebar tentang bentuk dan matlamat perlaksanaan undang-undang
hudud. Mereka berpendapat, hudud adalah hak mutlak Allah SWT yang wajib
dilaksanakan tanpa soal dan tidak perlu dicari apa rahsia disebalik penetapan sesuatu
hukuman tersebut.

Dalam kes pensyariatan lain seperti faraidh dan puasa yang tidak melibatkan denda dan
hukuman sebagaimana dalam kes jenayah hudud, Allah SWT menggunakan perkataan
`tilka hududulLah’ ( ) memberi makna umum tentang peraturan dan
undang-undang yang tetapkan oleh Allah SWT yang wajib dilaksanakan tanpa dalih.
Oleh kerana itu haram hukumnya bila kita mendakwa peraturan pembahagian harta
pusaka (faraidh) itu tidak adil melihat kepada perbezaan peratus yang diperolehi antara
waris lelaki dan waris perempuan. Perlu diingat bahawa hukuman hudud adalah
hukuman yang dikenakan ke atas orang-orang Islam sahaja. Orang kafir tidak terlibat
dengan hukuman tersebut [khilaf].

Walau bagaimana pun hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan jika terdapat `syubhat’
dalam fakta kes [ ] Contohnya seperti tidak dipotong tangan
orang miskin yang mencuri harta orang kaya kerana wujud kesamaran atau syubhat;
kemungkinan dia mencuri `hartanya’ sendiri iaitu harta zakat yang belum dikeluarkan
oleh orang kaya tadi.

3.4.2 Jenayah hudud meliputi kes-kes berikut (khilaf ulama):

3.4.2.1 .Jenayah Curi.


Kesalahan mencuri atau mengambil harta orang lain tanpa hak, dianggap sebagai satu
kesalahan hudud yang tertakluk kepada hukuman yang telah ditentukan oleh Allah
SWT. Firman Allah dalam al-Qur’an surah al-Maidah ayat 38 menegaskan bahawa
seseorang yang didapati bersalah mencuri hendaklah dipotong tangannya. Dalam
kitab al-Mughni, imam Ahmad ada menyebut sebuah hadis sahih riwayat Aisyah bahawa
Rasulullah s.a.w menegaskan; “Demi jiwaku yang berada di dalam genggamannya,
sekiranya Fatimah binti Muhammad s.a.w mencuri, nescaya akan ku potong
tangannya”.

13
Dari segi amali, perlaksanaan potong tangan dilakukan secara silang iaitu bagi
kesalahan pertama dipotong pergelangan tangan kanannya. Bagi kesalahan kedua
dipotong pergelangan kaki kirinya. Bagi kesalahan ketiga dipotong pergelangan tangan
kirinya. Kesalahan kempat dipotong pergelangan kaki kanannya. Begitulah seterusnya.

Tangan dan kaki yang telah dipotong tadi (biasanya dipotong pagi Jumaat) akan
digantung dipintu masjid dengan ditulis nama pemiliknya serta kabilah atau
keturunannya. [nampak kejam dan zalim tetapi ternyata mampu membendung kes-kes
curi kerana masing-masing kabilah akan menasihati puak mereka agar tidak mencuri
kerana ini akan memalukan keluarga dan keturunan mereka]. Amalan sedemikian
bukanlah suatu ketetapan hudud.

3.4.2.2 Jenayah Zina

Zina bermaksud sengaja melakukan hubungan seks secara pasti ( melepasi hasyafah )
dengan pasangan yang bukan isteri atau suaminya. Ertinya berlaku persetubuhan
secara haram bagi mukallaf.

Hukuman zina berbeza antara pasangan yang sudah berkahwin dengan pasangan yang
belum berkahwin. Bagi pasangan yang sudah berkahwin tetapi masih melakukan zina
hukumannya ialah rejam.[ rejam ada pelbagai makna; dikurung dalam rumah sampai
mati, dicukur rambutnya, dipukul dengan kasut dan ditanam aras dada di simpang
empat jalan utama. Hukuman rejam adalah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis
Rasulullah. Namun ayat tersebut telah dinasakhkan bacaannya. Hukumnya masih
berjalan sebagaimana disebut dalam hadis muttafak `alaih daripada Umar r.a. Hukuman
ini wajib dilaksanakan ke atas penzina muhshon (yang sudah berkahwin) sama ada
lelaki atau perempuan apabila terdapat saksi, atau pun kerana qarinah seperti
perempuan itu mengandung atau melalui pengakuan.

Sementara hukuman bagi ghairu muhshon (yang belum kahwin tapi dah pandai berzina)
ialah disebat sebanyak 100 kali. Maksud firman Allah, an-Nur: 2, “Perempuan yang

14
berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari keduanya
seratus kali sebat…”

Sementara itu para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan apakah perbuatan
liwat dianggap sebagai jenayah hudud atau ta’zir. Walau bagaimana pun para sahabat
berijmak mengatakan wajib bunuh ke atas pelaku liwat (homoseksual) sekiranya
dilakukan secara sukarela. Jumhur fuqaha’ mengatakan hukumannya ialah rejam sama
ada mereka sudah berkahwin atau masih bujang. Ibn. Zubir pula berpendapat mereka
hendaklah dibakar sehingga mati.

Timbul persoalan bagaimana sekiranya berlaku perzinaan antara orang Islam dengan
orang kafir. Jawabnya: orang Islam dikenakan hudud, orang kafir dikenakan ta’zir.
Orang kafir, mengikut ta’zir boleh dikenakan hukuman sebat sebanyak 101 kali atau
lebih atau hukuman berganda.

Bagi kesalahan rogol, liwat atau tuduhan zina oleh suami terhadap isterinya sendiri tidak
memerlukan empat orang saksi. Memadai dengan bersumpah atau qarinah sahaja.

3.4.2.3. Menuduh Zina ( Qazaf )

Menuduh zina atau qazaf dianggap sebagai satu kesalahan hudud. Islam telah
menetapkan bahawa syarat utama seseorang saksi zina ialah lelaki muslim yang
sempurna akhlaknya, berakal, baik pancaindera (khususnya mata ) serta mencukupi
bilangan empat orang. Kegagalan memenuhi syarat-syarat kesaksian tersebut
menyebabkan pertuduhan dan dakwaan kes zina tidak dapat dilaksanakan. Seseorang
itu boleh dikenakan hukuman qazaf sekiranya masih menuduh seseorang lain
melakukan zina pada hal dia sendiri tidak memenuhi syarat saksi zina.

Ini bermakna penyaksian zina mesti memenuhi syarat-syarat khusus disamping saksi-
saksi itu sendiri mestilah melihat perlakuan zina antara A dan B secara terang, jelas dan
menyakinkan. Jika berlaku kesamaran pada fakta maka adalah lebih baik saksi itu tidak
membawa kes tersebut ke mahkamah. Ini bermakna kita tidak sepatutnya menuduh
seseorang itu melakukan zina dengan sewenang-wenangnya tanpa bukti kukuh serta
memenuhi segala syarat yang telah ditetapkan.

15
Faktor kesamaran fakta atau terdapat ilat pada diri saksi yang boleh dipertikaikan,
memberi peluang kepada suspek untuk mendakwa saksi atau pendakwa sebagai
penuduh zina (al-qazif). Hukuman keatas penuduh zina ialah 80 sebatan. Firman Allah
surah al-Nur ayat 4-5 bermaksud:
“dan mereka yang menuduh perempuan-perempuan yang baik tetapi tidak
mengemukakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh
sebatan dan jangan (lagi) menerima kesaksian mereka…”

Ini bermakna hukuman bagi kesalahan qazaf ialah sebat dan tidak boleh terima mereka
itu menjadi saksi.

3.4.2.4 Rompakan ( al-Hirabah )

Al-Hirabah adakalanya disebut al-Sariqah al-Kubra (Kecurian Besar) atau disebut juga
Qat’ al-Toriq (Samun Jalan Raya). Ternyata jenayah al-Hirabah lebih besar kesannya
dari jenayah curi kerana jenayah ini biasanya melibatkan unsur keganasan dan
mengambil harta orang lain secara paksa dan kekerasan. Al-Hirabah juga adakalanya
dimaksudkan sebagai pemberontakan, menentang kerajaan Islam yang adil.

Terdapat empat hukuman bagi kesalahan al-Hirabah iaitu dibunuh atau disalib atau
dipotong tangan dan kaki mereka, atau dibuang daerah. Firman Allah surah al-Maidah
ayat: 33-34: Balasan kepada mereka yang memerangi Allah dan RasulNya dan
berjuang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini ialah dibunuh,atau disalib atau
sebelah tangan dan kaki mereka dipotong disebelah kiri dan kanan, atau dibuang
negeri….”

3.4.2.5. Minum Arak ( syurbu al-Khamru )

Perkataan al-khamru atau arak telah dijelaskan dalam satu hadis sebagai “sebarang
minuman yang memabukkan”. Unsur yang memabukkan yang terdapat dalam sesuatu
minuman itu menjadi faktor utama haramnya minuman tersebut. Ini bermakna

16
haramnya sesuatu minuman itu bukan kerana namanya, tetapi kerana kandungan yang
terdapat didalamnya.

Arak tetap haram diminum sama ada banyak atau sedikit, sama ada mabuk atau tidak
memabukkan. Arak disebut sebagai `penyakit’ kerana itu tidak boleh minum dengan niat
untuk dijadikan ubat atau untuk tujuan ibadat.

Sebahagian besar para fuqaha’ menetapkan kesalahan meminum arak di bawah hukum
hudud berdasarkan hadis nabi walau pun hukumannya tidak disebut dalam al-Qur’an.
Al-Qur’an hanya menyebut tentang pengharamannya sahaja. Sebahagian fuqaha’ pula
mengatakan kesalahan minum arak sebagai hukuman ta’zir. Bahkan ada hadis
mengarahkan supaya dijatuhi hukuman bunuh ke atas peminum arak untuk kesalahan
kali ke empat sebagai hukuman ta’zir.

Walau bagaimana pun para fuqaha’ berselisih pendapat mengenai jumlah hukuman
yang dikenakan. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali : sebat sebanyak lapan puluh kali.
Mazhab Syafie, Zahiri dan Zaidi: sebat empat puluh kali.

3.4.2.6. Murtad

Perkataan Arab untuk murtad ialah riddah atau irtidad yang bererti berpaling tadah atau
keluar dari Islam, bertukar menjadi kafir sama ada menganut agama lain atau tidak
beragama (atheis).

Al-Qur’an menyebut tentang murtad dalam 13 ayat pada beberapa surah. Walau
bagaimana pun kesemua ayat-ayat tersebut tidak menyebut tentang hukuman yang
perlu dikenakan keatas orang murtad. Hukumannya akan dikenakan di akhirat nanti.

Hanya terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas sahaja yang dipegang oleh
fuqaha’ yang mengatakan murtad sebagai hukum hudud. Nabi bersabda yang
bermaksud: “Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia”. Hadis ini juga umum
sifatnya iaitu sesiapa sahaja menukar `agamanya’ maka hendaklah dibunuh; boleh juga
diertikan orang Yahudi menukar agama kepada Kristian, hendaklah juga dibunuh.

17
Muhammad Ali dalam bukunya The Religion of Islam mengatakan hukuman mati ke atas
orang Islam yang murtad hanya dikenakan apabila si murtad tadi berganding bahu
dengan pihak musuh, menentang kerajaan Islam. Mazhab Hanafi pula hanya
menetapkan hukuman ke atas lelaki sahaja. Perempuan yang murtad tidak dijatuhi
hukuman bunuh. Hanya mazhab Zahiri dan Syafie sahaja yang menetapkan hukuman
bunuh ke atas orang murtad.

Bahkan Rasulullah s.a.w tidak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas seorang badwi
yang jatuh sakit, kemudian setelah sembuh telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w
selama tiga hari berturut-turut dan setiap kali berjumpa baginda si badwi itu menyatakan
kemurtadannya. Begitu juga beginda tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap
sekumpulan Ahli Kitab [al-Imran: 71-73 ] yang telah masuk Islam tetapi kembali semula
kepada agama asal mereka iaitu Yahudi.

Kesimpulannya: Para fuqaha’ tidak bersepakat dalam menentukan hukuman terhadap


jenayah minum arak dan murtad sama ada hudud atau pun ta’zir. Namun kedua-duanya
adalah termasuk dalam kategori dosa besar.

3.4.3 Hukuman Qisas dan Diyat

Qisas atau qawad ( hukuman balas setimpal ) sama ada melibatkan kecederaan
anggota atau kehilangan nyawa. Pembalasan setimpal ini boleh dilaksanakan setelah
mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut serta dilaksanakan mengikut prosuder yang
telah ditetapkan. Ini bermakna tindakan menuntut bela atau balas dendam yang
dilakukan secara sendirian tidak dibenarkan oleh Islam.

Istilah qisas biasanya dirujuk kepada kesalahan membunuh sementara istilah qawad
digunakan untuk kesalahan mencederakan orang. Istilah diyat (diyah) merujuk kepada
bayaran ganti rugi dalam kes pembunuhan, sementara istilah arash diguna untuk
bayaran ganti rugi kecederaan. Istilah kaffarah dan diat pula diguna untuk bayaran

18
(penebusan dosa) bagi kes pembunuhan tidak sengaja (membebaskan seorang hamba
yang mukmin) serta bayaran ganti rugi.[al-Baqarah: 178-179, al-Nisa’: 92, al-Maidah: 45]

Para fuqaha’ bersependapat bahawa mengurangkan kadar kesakitan kepada pesalah


hendaklah dicari semasa melaksanakan hukuman bunuh balas. Ini bermakna apa-apa
sahaja kaedah yang difikirkan sesuai sama ada secara pancung, tembak atau kerusi
elektrik harus digunakan untuk tujuan bunuh balas. Hukuman dijalankan dikhalayak
ramai.

Kesimpulannya: Hukuman qisas dan diyat tidak dimasukkan dalam kesalahan hudud
kerana manusia ( si mangsa atau ahli waris ) diberi kuasa untuk memaafkan kesalahan
penjenayah atau ahli waris diberi hak untuk memaafkan kesalahan si pembunuh.
Keadaan ini berbeza dengan undang-undang wadh’ei dimana ketua negara (raja atau
presiden) diberi kuasa mengampunkan kesalahan penjenayah.

3.4.4 Hukuman Ta’zir

Hukuman Ta’zir secara mudahnya bermaksud hukuman yang tidak disebut secara
terang dan jelas sama ada dalam al-Qur’an atau dalam hadis. Atau pun hukuman selain
dari hudud dan qisas.

Hukuman ta’zir sebenarnya amat banyak. Pihak kerajaan, hakim atau qadhi bebas
menentukan apa jenis hukuman yang difikirkan layak dan munasabah. Contohnya
seperti hukuman mati ke atas pengedar dadah atau penjara kepada penerima rasuah
atau denda kepada pendatang haram. Hukuman ta’zir juga boleh berubah mengikut
keadaan dan setelah digubal dan diluluskan di Parlimen atau dewan undangan negeri.

Kesimpulan: Undang-undang Islam (hudud, qisas/diyat dan ta’zir) mempunyai ciri-ciri


tersendiri yang tidak sama dengan undang-undang wadhe’i ciptaan manusia. Walau pun
dikritik oleh kumpulan Hak Asasi Manusia kononnya undang-undang Islam kejam dan
zalim; perlaksanaan hukuman dikhalayak ramai dan seumpamanya, tetapi ternyata
undang-undang Islam mampu membendung malah membanteras gejala jenayah dan
maksiat [ contoh Arab Saudi ]. Ini kerana dalam undang-undang Islam terdapat satu

19
rahsia yang tidak ada dalam undang-undang konvensional iaitu nakalan minalLah atau
pencegahan yang datang secara langsung dari Allah.

Allah SWT akan menanam perasaan takut dan gerun dihati manusia untuk melakukan
jenayah bunuh, curi, rompak, zina, rogol dan seumpamanya kerana masyarakat telah
menyaksikan secara `live’ perlaksanaan hukuman dijalankan dalam negara. [ semua
stesyen TV patut buat siaran langsung ].

Sebaliknya jika perlaksanaan hukuman tersebut dijalankan secara tertutup (dalam


penjara misalnya) maka orang ramai tidak dapat mengambil pengajaran dari hukuman
tersebut. Tidak ada rasa gerun kerana rakyat tidak dapat melihat dengan mata kepala
mereka sendiri bagaimana hukuman itu dilaksanakan. Penjenayah pula tidak merasa
serik untuk mengulangi kesalahan yang serupa.

Walau bagaimana pun bagi seseorang hakim; ianya perlu lebih berhati-hati sebelum
menjatuhkan sesuatu hukuman, kerana tersalah membebaskan seorang tertuduh
adalah lebih baik daripada tersalah menjatuhkan hukuman.

3.5.0 CIRI-CIRI SYARIAH ISLAM [Dr.Abbas Husni Mohamad, 1996]

Terdapat empat ciri utama syariat Islam yang menggambarkan secara menyeluruh
ruang lingkup syariah:

3.5.1 Berpaksikan Konsep Tauhid


3.5.2 Sesuai Untuk Semua Tempat dan Zaman
3.5.3 Ketinggian Syariat
3.5.4 Menerima Pembaharuan

3.5.1 Berpaksikan Konsep Tauhid

Syariat Islam dibina di atas asas yang kukuh iaitu berpaksikan konsep tauhid dan
ubudiyah terhadap Allah SWT serta menjauhi perkara syirik. Menolak syariat Allah serta
mengambil undang-undang ciptaan manusia untuk dilaksanakan dalam sistem
perundangan negara adalah contoh jelas perlanggaran konsep tauhid tersebut.

20
3.5.2 Sesuai Untuk Semua Tempat dan Zaman

Syariat Islam adalah penamat kepada syariat yang diturunkan sebelumnya. Ianya sesuai
dilaksanakan pada bila-bila masa dan pada semua tempat (termasuk Malaysia). Melalui
ciri ini terdapat pula beberapa ciri penting lain seperti:
a. dokumen syariat kekal terpelihara tanpa berlaku penyelewengan
b. menghimpunkan di antara perkara yang tetap dengan anjal
c. menyebut `illah [hikmah] kepada hukum-hukum yang diturunkan
d. memperkenalkan pelbagai kaedah usul al-fiqh:
i. hukum asal sesuatu adalah harus
ii. kemudharatan dihilangkan
iii. keadaan dhorurah mengharuskan perkara yang haram
iv. kemudharatan tidak boleh dihapus dengan kemudharatan
v. mudharat yang khusus ditanggung untuk menolak mudarat yang umum.
vi. melakukan mudarat yang paling ringan untuk menolak mudarat yang
lebih besar.
ix. menolak kejahatan didahulukan daripada menerima manfaat
xi. wajib menghapuskan kesusahan daripada manusia.

3.5.3 Ketinggian Syariat

Syariat Islam adalah penetapan hukum bersumberkan wahyu dari Allah. Bersifat
universal dan menyeluruh. Mampu dilaksanakan pada semua tempat dan semua masa.
Berlaku adil kepada semua orang tanpa membezakan pangkat, anutan dan keturunan.

3.5.4 Menerima Pembaharuan (tajdid)

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w, sabda Baginda bermaksud:


“Allah akan mengutuskan untuk umat ini pada setiap permulaan seratus tahun seorang
yang akan memperbaharui urusan agamanya (mujaddid).

-Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim (sanad sahih)

21
Pembaharuan tidak bermaksud memperbaiki mana-mana nas syarak atau pentafsiran
secara dangkal yang tidak selari dengan apa yang telah disepakati oleh para ulama.
Syariat tidak boleh menurut kehendak zaman, sebaliknya perubahan zaman yang perlu
mengikut kehendak syariat.

3.6.0 Syariat Dan Pembangunan Ummah

Pembangunan menurut kaca mata Islam merangkumi pembangunan rohani dan


jasmani, pembangunan spiritual dan material serta pembangunan luaran dan dalaman;
yang mana kesemuanya mengarah dan bergerak ke suatu matlamat untuk
mempertingkatkan kualiti kehidupan dengan lebih baik secara seimbang dan bersepadu.

Secara rengkas pembangunan ummah boleh disimpul sebagai berikut:

3.6.1 Pembangunan fizikal

Iaitu merujuk kepada tahap kesihatan tubuh badan anggota masyarakat. Islam
menggalakan umatnya bersukan dan beriadhah, menjaga makanan dan pemakanan,
serta melaksanakan amal ibadat dengan sempurna kerana keseluruhan ibadat dalam
Islam secara tidak langsung mengandungi disiplin tertentu untuk mengawal kesihatan.
[sila rujuk kisah doktor Mesir yang bertugas di Madinah; tidak menerima pesakit selama
setahun – kerana semua orang Islam sihat – jaga makan]

Jika diperhatikan secara teliti kita pasti dapat melihat kesan positif terhadap struktur
tubuh badan manusia melalui peraturan syariat yang telah direncanakan oleh Allah.
Sama ada syariat berbentuk suruhan atau larangan, masing-masing mempunyai hikmah
serta kesan positif terhadap fizikal manusia.[contoh solat dan puasa]

3.6.2 Pembangunan kognitif

Iaitu perkembangan intelektual serta kemampuan individu dalam masyarakat untuk


menanggapi persoalan semasa, membuat persepsi yang betul dan positif, berfikir
secara kritis serta berkeupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pelbagai

22
tanpa mengorbankan prinsip kehidupan. Kematangan dan ketinggian intelektual
seseorang sewajarnya semakin mendekatkan diri seseorang itu kepada Allah SWT serta
mengakui secara sedar betapa agung dan sempurnanya syariat Allah. Tidak timbul
tindakan memberontak atau berani mencabar hukum dan peraturan Allah. Kesemua
ketatapan yang telah ditentukan oleh Allah mengenai urusan kehidupannya diterima
secara jujur dan penuh ketaatan.

3.6.3. Pembangunan emosi

Pembangunan emosi bermaksud pembangunan yang melibatkan perasaan yang


ditonjolkan dalam konteks hubungan manusia sesama manusia serta makhluk
seluruhnya. Emosi mampu mempengaruhi perkembangan minda seseorang. Syariat
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seseorang hamba itu melakukan
amal ibadat, seperti zikir dan zakat sebagai landasan memantapkan emosi serta
menenangkan jiwa.

3.6.4. Pembangunan sosial

Pembangunan sosial bermaksud satu proses perkembangan yang melibatkan hubungan


sesama manusia dan persekitarannya. Syariat Islam telah mengatur tatacara untuk
menjalinkan hubungan sesama manusia seperti dalam adab-adab pergaulan, berkasih
sayang, hormat menghormati serta tolong menolong.

Kesemua adab dan peraturan sosial ini menjurus kepada pembentukan sebuah
masyarakat yang harmoni, bekerjasama serta saling faham memahami.

3.6.5. Pembangunan Kerohanian

Pembangunan kerohanian merupakan satu proses untuk melahirkan insan yang


beriman dan bertaqwa. Ketiadaan iman dan kekeringan takwa dalam diri seseorang,
akan mengakibatkan fungsi akal dan peranan fizikal menjadi pincang. Oleh itu
pembangunan kerohanian menjadi asas kepada keseluruhan pembangunan yang
disebut di atas.

23
3.7.0 Keperluan Manusia Kepada Syariah Serta Kesan Pengabaian

3.7.1 Jauh dari rahmat Allah


Keperluan: Syariah adalah anugerah Allah kepada manusia dan seluruh isi alam ini.
Mematuhi syariah Allah secara tidak langsung memenuhi kehendak serta matlamat
sebenar penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah dalam semua perkara.
Banyak perkara yang tidak diketahui oleh manusia secara pasti. Manusia perlukan
bimbingan dan panduan. Syariat bertindak sebagai penunjuk arah yang membezakan
antara kebenaran dan kebatilan.

Kesan Pengabaian: Oleh kerana itu, tindakan mengingkari syariat bererti sengaja
mengkufuri nikmat dan anugerah Allah. Tindakan sedemikian bolehlah juga dianggap
sebagai derhaka kepada Allah serta jauh dari rahmatNya.

3.7.2 Mendapat laknat dari Allah


Keperluan: Syariah adalah jalan petunjuk dan hidayah. Manusia amat memerlukan
petunjuk Ilahi agar tidak sesat serta sentiasa berada dalam bimbingan dan kawalan
Allah. Menolak syariah bererti sengaja menutup pintu hidayah serta mengambil sikap
kekal berada dalam keadaan gelap dan kufur.

Kesan Pengabaian: Oleh hal yang demikian maka Allah sendiri menamakan orang-
orang yang tidak melaksanakan syariah yang telah diturunkannya dengan gelaran kafir
[al-Maidah:44], zalim [al-Maidah:45] dan fasiq [al-Maidah:47].

3.7.3 Gejala maksiat dan jenayah berleluasa


Keperluan: Manusia hari ini masih teraba-raba mencari kaedah dan formula untuk
mengatasi pelbagai isu dan masalah sosial dan jenayah yang mereka hadapi. Namun
penyelesaian konkrit masih belum ditemui. Keadaan akhlak dan moral manusia semakin
hari semakin membimbangkan. Segala formula dan kaedah yang dikemukakan masih
gagal mengatasi segala isu dan masalah yang dihadapi. Manusia tetap berdegil dengan
idea mereka sendiri tanpa mahu merujuk kepada syariah Allah.

24
Kesan Pengabaian: Kegagalan melaksanakan syariah Allah mengakibatkan manusia
kehilangan pertolongan secara langsung dari Allah (nakalan minalLah) dalam soal
pencegahan jenayah dan membanteras maksiat.

3.8.0 Kesimpulan

Syariah Islam merupakan satu dokumen perundangan Islam yang lengkap, adil,
menyeluruh serta merangkumi seluruh aspek yang bersangkutan dengan kepentingan
hidup manusia. Syariah Islam berperanan menegakkan keadilan berdasarkan keadilan
rabbani dalam rangka merealisasikan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

25
Bahan-bahan bacaan.

1. Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, Mohd Ali al-Sabuni, Dar al-Qur’an, Bairut. Cet.3
1399H.
2. Mengenal Manusia Lewat al-Quran, Drs. Syahminan Zaini.
3. Pengantar Hukum Islam, oleh: Prof. Dr. T.M. Hasbi Ash Shiddieqy, Thinkers
Library, jld:1, cet:1 (Malaysia) 1986
4. Perkembangan Fiqah Islam, Dr. Abbas Husni Mohamad, terjemahan: Mohd Asri
Hashim. YADIM, 1996
5. Halangan Pelaksanaan SYARIAH ISLAM, Prof. Manna’ Khalil Al-Qaththan, terj:
Ustaz Hj. Juanda Hj. Jaya. Maktabah al-Qardhawi, Selangor,1998
6. Hukuman Dalam Undang-Undang Islam; satu kajian perbandingan, oleh:
Mohamed S. El-Awa.
7. SISTEM KEHAKIMAN ISLAM, Dr. Abdul Karim Zaidan, terj; Mohd Saleh Hj.
Ahmad. Pustaka Hj. Abdul Majid,1993
8. Al-Tasyri’ al-Jinai al-Islami, Abdul Qader Audah.

26

Вам также может понравиться