You are on page 1of 3

SAMPEL KARANGAN CEMERLANG BAHASA MELAYU SPM

=> Remaja hari ini kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian. Bagi mengenal pasti fenomena tersebut, anda diminta mengemukakan pedapat tentang faktor-faktor dan saranan-saranan untuk mengubah senario berkenaan.

Peribahasa yang menyatakan bahawa berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu merupakan salah satu peribahasa yang menggalakkan masyarakat hari ini menjalankan aktiviti pertanian. Pertanian merupakan aktiviti yang boleh menjadi punca rezeki kepada kita. Pada era globalisasi ini, aktiviti pertanian kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat amnya dan khususnya dalam golongan remaja. Remaja hari ini lebih berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang lebih mudah dan kurang agresif. Remaja kini juga lebih bercita-cita untuk menjadi seorang pekerja pejabat berbanding menjadi seorang pengusaha kebun yang berjaya. Mengimbau semula ucapan Senator Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran semasa merasmikan Majlis Sayangi Alam Sekitar di Putrajaya baru-baru ini, telah menyatakan bahawa jurusan yang bertumpu kepada pertanian kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi (IPT). Maka terbuktilah bahawa telah berlaku satu fenomena di Malaysia, sesungguhnya remaja hari ini kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian. Faktor fenomena remaja hari ini kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian ialah remaja hari ini tiada kesedaran tentang kebaikan aktiviti pertanian ini. Hal ini demikian kerana, remaja hari ini merasakan bahawa aktiviti pertanian hanya akan membawa kepada kemiskinan dan kepenatan. Pernyataan ini sama sekali salah kerana tak kenal maka tak cinta. Aktiviti pertanian akan mendatangkan hasil yang lumayan sekiranya diusahakan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh. Aktiviti pertanian mungkin mendatangkan kepenatan namun aktiviti ini juga akan membawa kepada kesegaran dan menyihatkan badan seseorang itu. Perdana Menteri kita yang turut menjawat jawatan Menteri Kewangan, Datuk Seri Mohd. Najib Razak yang telah berucap di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam pertunjukan Malaysian Agri-Horticultural Association (MAHA) yang dianjurkan oleh Persatuan Pertanian dan Perkebunan Malaysia baru-baru ini telah menguar-uarkan penglibatan remaja dalam aktiviti pertanian. Katanya lagi, kini gaji seorang petani yang berjaya boleh mengatasi gaji seorang doktor. Jelaslah bahawa kecetekan kesedaran remaja hari ini telah menjadi salah satu faktor berlakunya fenomena yang telah dinyatakan tadi. Selain itu, kurangnya galakan menyertai aktiviti pertanian daripada keluarga menjadi penyumbang kepada remaja hari ini untuk melibatkan diri dalam aktiviti pertanian. Ibu bapa hari ini kurang menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti pertanian kerana merasakan aktiviti ini tidak akan mendatangkan keuntungan. Mereka lebih cenderung menggalakkan anak-anak mereka menjadi seorang peniaga, arkitek, peguam dan lain-lain kerja makan gaji berbanding seorang petani moden yang berwawasan. Mereka merasakan

bahawa aktiviti pertanian tidak akan berkembang mengikut arus permodenan. Walhal, sudah terang lagi bersuluh, teknologi pertanian semakin canggih dari semasa ke semasa. Hal ini dapat dibuktikan apabila majalah Dewan Masyarakat edisi Mac 2011 telah memaparkan kisah seorang pemuda yang sangat berminat dengan aktiviti pertanian. Namun disebabkan tiada sokongan daripada pihak keluarganya, pemuda ini terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi seorang petani moden dan melanjutkan pelajaran dalam jurusan perniagaan walaupun tidak meminatinya. Berdasarkan paparan tadi, terbuktilah di sini bahawa faktor lain yang menjadikan remaja hari ini kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian ialah kurangnya galakan daripada keluarga remaja itu sendiri. Saranan yang boleh diberikan untuk mengubah senario kurangnya minat remaja hari ini terhadap aktiviti pertanian ialah kerajaan sewajarnya menyediakan lebih peruntukan kepada remaja kini untuk menjalankan aktiviti pertanian. Sebagai contoh, kerajaan boleh menyediakan kawasan-kawasan lapang untuk remaja menjalankan aktiviti pertanian mereka. Kelengkapan untuk bertani juga boleh disediakan oleh kerajaan. Hal ini akan membangkitkan lagi semangat pemuda-pemudi harapan anak bangsa ini menjalankan aktiviti pertanian. Buktinya, akhbar-akhbar tempatan seperti Berita Harian, Metro dan Kosmo sejak kebelakangan ini banyak memaparkan isu-isu kehidupan masyarakat Malaysia yang rataratanya kini hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini telah menyebabkan anak-anak mereka cuba menjalankan aktiviti pertanian. Namun, disebabkan kekurangan modal dan ilmu pengetahuan tentang asas-asas bertani, hasrat mereka terkubur begitu sahaja. Oleh itu, kerajaan selayaknya menyediakan peruntukan bagi menggalakkan remaja berminat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pertanian. Selain itu, saranan lain ialah masyarakat bersama-sama bersatu-padu dalam menggembleng tenaga menjayakan kempen Hijaukan Bumi. Hal ini disebabkan oleh kempen ini akan mendorong remaja bercucuk tanam dan bertani. Oleh hal yang demikian, akan lahirlah bibitbibit cinta remaja terhadap aktiviti pertanian selepas menjalankan aktiviti bercucuk tanam. Selain itu juga, matlamat kerajaan terhadap kempen ini akan turut berjalan dengan lancar dan jayanya. Buktinya, statistik yang telah dijalankan oleh mahasiswa Fakulti Sains Universiti Malaya baru-baru ini, telah mencatatkan bahawa peningkatan peratus kempen Hijaukan Bumi dijalankan meningkat selaras dengan peningkatan peratus pelajar yang menyertai jurusan pertanian. Pelajar yang mendaftar dalam jurusan pertanian rata-ratanya pernah menyertai kempen Hijaukan Bumi dan tertarik dengan pertanian setelah menyertai kempen tersebut. Maka, kini jelaslah bahawa kempen Hijaukan Bumi yang dijalankan dalam kalangan masyarakat hari ini sangat membantu bagi meningkatkan lagi minat remaja terhadap aktiviti pertanian. Saranan lain yang dapat diberikan ialah ibu bapa bersama-sama memberikan galakan dan sokongan kepada anak-anak mereka bagi menyertai aktiviti pertanian ini. Hal ini demikian kerana anak itu ibarat kain putih dan ibu bapalah orang yang bertanggungjawab mencorakkan mereka. Jika hitam yang diberi, maka hitamlah jadinya. Anak-anak sangat cenderung menuruti kata-kata ibu bapa kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti pertanian dengan cara menghantar mereka menyertai kursus-kursus yang berkaitan dengan pertanian. Selain itu, ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak bercucuk tanam di halaman rumah atau di belakang rumah mereka. Hal ini bukan sahaja menambah minat anak-anak terhadap pertanian malahan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Memetik ucapan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam Program Sejuta

Belia di Putrajaya baru-baru ini telah berucap dan mengatakan bahawa anak-anak akan mendengar kata-kata ibu bapa mereka berbanding orang lain. Terbuktilah bahawa galakan ibu bapa penting dalam mengubah senario kurangnya minat remaja terhadap aktiviti pertanian. Tuntasnya, semua pihak memainkan peranan yang amat penting dalam mengubah senario remaja kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian. Remaja sememangnya individu yang mudah terpengaruh dengan apa-apa sahaja yang berlaku di persekitarannya tanpa mengira pengaruh baik yang harus dijadikan ikutan atau pengaruh buruk yang harus dijadikan pengajaran. Oleh itu remaja sendiri juga mestilah mempunyai jati diri yang tinggi dan teguh untuk berusaha keras bagi memajukan bumi Malaysia menjelang alaf 2020. Remaja sendiri mestilah berfikir secara terbuka dan optimis. Sekiranya remaja mampu berbuat demikian, maka pemimpin negara sekarang ini tidak perlulah khuatir akan nasib negara dan generasi yang akan datang. Ingatlah remaja bahawa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Harapan saya setinggi gunung agar segala usaha kerajaan hari ini akan dimanfaatkan oleh remaja pada masa akan datang agar sektor pertanian ini akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sektor-sektor yang lain demi mencapai taraf negara maju seantero dunia. Saya juga berharap bidang pertanian ini akan terus berkembang selaras dengan kemajuan yang dikecapi kini. Hal ini lantaran golongan remajalah yang diharapkan dapat memegang amanah ini, demi kemajuan bumi Malaysia yang kita cintai.