Вы находитесь на странице: 1из 1

Kepentingan Menyertai Aktiviti Perkhemahan.

Aktiviti kokurikulum yang pelbagai kini semakin diminati oleh golongan pelajar terutamanya aktiviti yang mampu mencabar kemampuan dan kreativiti mereka. Hal ini agak selari dengan sifat semula jadi seseorang remaja yang memang dahagakan cabaran dan pengalaman baru yang lebih unik. Aktiviti perkhemahan misalnya, jika dirancangkan dengan betul dan rapi, sudah pasti akan mampu menjana pelbagai faedah kepada mereka yang terlibat, bak kata pepatah tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Pelbagai kepentingan yang akan diperoleh melalui penganjuran aktiviti perkhemahan jika pelajar melibatkan diri untuk menyertai aktiviti perkhemahan yang sudah pasti menguji daya ketahanan fizikal mereka. Kepentingan yang akan diperoleh para pelajar ialah dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan dapat menimba pengalaman baru. Para pelajar dapat mengetahui bagaimana cara untuk mendirikan khemah dan mengamalkan cara hidup sara diri jika berada dalam hutan. Sebagai contoh, pelajar akan diarahkan oleh ketua kumpulan mereka untuk mencari kayu api untuk memasak tanpa mengunakan gas memasak seperti biasa. Pengalaman baru dapat ditimba dengan menerokai hutan dan mengenali sepsis-spesis flora dan fauna yang tidak biasa ditemui. Sebagai contoh, di dalam hutan terdapat sejenis pokok yang tinggi dan besar di mana lebah selalu membuat sarang yang dikenali sebagai pokok tualang. Pokok ini hanya tumbuh di hutan dan madu lebah tualang ini merupakan madu yang terbaik di Malaysia. Oleh itu, perkhemahan dapat menambah pengetahuan dan menimba pengalaman baru. Selain itu, aktiviti perkhemahan mampu memupuk kesedaran para pelajar untuk mencintai alam semulajadi kurnian tuhan yang tidak ternilai ini. Pelajar akan mengetahui bagaimana untuk memelihara alam sekitar yang kaya dengan flora dan fauna ini supaya tidak dimusnahkan. Kesedaran para pelajar untuk mencintai alam sekitar dapat dipupuk sekiranya kepentingan hutan dapat dikongsikan bersama mereka. Sebagai contoh, kepentingan hutan adalah untuk habitat haiwan-haiwan yang terancam dan kaum peribumi yang masih bergantung pada sumber hutan. Tegasnya, pelajar akan menghargai hutan dan menjaganya jika diberikan peluang untuk menyertai aktiviti perkhemahan. Seterusnya, aktiviti perkhemahan mampu memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan.. Sebagai contoh, semasa mendirikan khemah pelajar bekerjasama bagai aur dan tebing untuk memastikan khemah tersebut kukuh dan sesuai didirikan di kawasan tersebut. Perpaduan juga dapat dikukuhkan kerana para pelajar dapat bergaul bersama-sama dengan rakan yang berlainan bangsa. Para pelajar juga dapat menambah kenalan apabila menyertai aktiviti perkhemahan. Oleh itu, para pelajar bukan sahaja dapat membentuk kerjasama dalam kumpulan malah perpaduan dapat juga dijalinkan dengan menyertai aktiviti yang berfaedah ini. Akhir sekali, aktiviti berkhemah mampu memantapkan keyakinan diri yang lemah dan menjadikan pelajar seorang yang berani menghadapi cabaran. Sebagai contoh, semasa para pelajar menyertai aktiviti berkayak di hulu sungai yang beraliran deras. Perasaan takut dapat dikikis sikit demi sedikit dan memberikan keyakinan pelajar untuk mencuba sesuatu yang mencabar ketahanan fizikal. Oleh itu, perkhemahan dapat mendidik pelajar supaya yakin dan berani menghadi apa jua rintangan yang datang. Kesimpulannya, aktiviti perkemahan merupakan aktikiti yang sarat dengan kepelbagaian aktiviti yang mampu memberikan asas kepada pelajar untuk berdikari semasa berada jauh dari bandar. Bakal pemimpin negara ini dapat membentuk jati diri yang kental untuk menghadapi segala onak duri yang perlu dihadapi. (491 p.perkataan)

Вам также может понравиться