Вы находитесь на странице: 1из 3

Cabaran yang dihadapi oleh guru pada era globalisasi ini amat besar .

Guru perlu dimotivasi supaya rasa cinta akan profesion mereka akan terus mekar di hati biarpun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh . Melalui cara ini, para guru akan lebih tabah menghadapi cabaran yang mendatang.

Dalam pada itu, kursus pengawalan emosi dan tekanan juga dapat membantu guru dalam menjalankan tugas mereka. Kadang kala, tekanan atau stress menyebabkan guru keterlaluan dalam tindakan mendisiplinkan pelajar. Adakalanya tekanan menyebabkan mereka tidak dapat mengawal emosi dan hilang sabar dalam menghadapi kerenah pelajar-pelajar yang nakal. Dr. Robiah K. Hamzah, seorang pakar motivasi sendiri mengakui bahawa jalan terbaik menangani masalah disiplin ialah guru pandai mengawal emosi. Namun , pada masa yang sama, guru juga perlu menunjukkan ketegasan dalam kelembutan (Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007) Jesteru, guru harus diberi pendedahan dan ilmu pengawalan emosi dan tekanan supaya mereka lebih bersedia andai terpaksa berdepan dengan perlakuan melampau batas pelajar-pelajar. Kursus pengawalan emosi dan tekanan mampu membuka minda para guru. Sudah pastinya emosi yang stabil dan fikiran yang tenang membolehkan guru mendidik dan mendisiplin pelajar dengan cara lebih berkesan. Kursus jangka pendek tentang kaedah dan cara mendisiplinkan pelajar oleh guru-guru yang berpengalaman terutamanya guru-guru disiplin wajar juga diadakan. Biarpun para guru (terutama guru baru) telah didedahkan dengan teori-teori psikologi kanak-kanak dan remaja sewaktu menjalani latihan perguruan namun situasi yang berlaku di sekolah ada kalanya di luar jangkaan. Diharapkan agar ilmu mendisiplinkan pelajar dan menangani pelajar bermasalah hasil daripada pengalaman-pengalaman guru-guru lama dapat dikongsi bersama-sama terutamanya dengan guru-guru yang baru dan tidak berpengalaman. Lazimnya, guru-guru yang berpengalaman sedar bahawa penguatkuasaan peraturan sekolah perlu dilaksanakan dengan cara yang berhemah. Pelajar-pelajar sekarang mudah menentang sekiranya pendekatan yang digunakan guru bertentangan dengan jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menerima hukuman secara membuta tuli dan akan bertindak menentang. Sesungguhnya, untuk menangani salah laku pelajar, Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan. Justeru itu, hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali. Maka peristiwa memukul murid sehingga mati tidak seharunya terjadi pada pendidikan zaman kini.

Guru seharusnya diberi peluang untuk bernafas. Cabaran mendidik dan mendisiplinkan pelajar bukanlah tugas yang mudah. Masyarakat tidak seharusnya hanya menunding jari kepada guru setiap kali timbul masalah disiplin dalam kalangan pelajar-pelajar. Kebimbangan Ruhaiza Rusmin yang dinyatakan dalam tulisannya Guru Emosi, Pelajar Melenting, ada benarnya. Beliau bimbang semangat berkobar-kobar guru akan merundum. Ditakuti sikap kurang ajar pelajar akan mencantas dedikasi guru memberi ilmu dan hal ini tentunya merugikan pelbagai pihak terutamanya ketika negara menuju Wawasan 2020.( Harian Metro, Isnin 6 Ogos 2007). Sesungguhnya tugas mendidik dan mendisiplin pelajar tidak harus hanya dihadapi oleh golongan guru dan pentadbir sekolah sahaja. Ibu bapa perlu menaruh kepercayaan kepada guru-guru tetapi tidak bersikap lepas tangan. Tanggungjawab mereka memberi kasih sayang dan didikan agama kepada anak-anak mereka harus dijadikan agenda utama dalam membentuk keluarga yang bahagia. Apabila anakanak diasuh dengan baik dan diberi perhatian, usaha guru membudayakan ilmu lebih mudah dilaksanakan. Tentunya masalah disiplin pelajar tidak timbul malah misi disiplin sifar akan lebih mudah dicapai. Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohamed Zakaria Mohd Noor ketika hadir majlis perasmian Siri Jelajah Kempen Menangani Gejala Displin Murid Di Sekolah turut menegaskan bahawa ibu bapa atau penjaga harus memainkan peranan penting dan tidak harus terlalu bergantung kepada sekolah dalam menangani masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar. Menururt beliau lagi, ibu bapa dan penjaga harus bekerjasama dengan mengambil berat terhadap segala aktiviti yang disertai anak mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah ( Berita Harian, 19 Disember 2006). Bagi pendapat saya, saya tidak menafikan kenakalan dan kedegilan kanakkanak tersebut kadang-kadang meruntuhkan kesabaran dan mengoyahkan keimanan kita untuk mendidik, namun seboleh-bolennya kita janganlah menggunakan kekerasan untuk mendisiplinkan mereka. Saya tidak dapat bayangkan betapa sakitnya rasa dipukul oleh guru seorang murid yang baru berusia 7 tahun. Pada era ini cara kita mendisiplinkan dan mendidik anak-anak didik hendaklah diubah. Tindakan menggunakan kekerasan mungkin akan memburukkan lagi keadaan dan akhirnya menyebabkan kematian. Hal ini demikian kerana kanakkanak pada era ini terlalu manja dan tidak tahan lasak. Kita harus banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pedagogi untuk menjadi pendidik yang baik, cemerlang dan gemilang di abad ini. Kita tidak lagi boleh berpegang kepada cara lama untuk melahirkan doktor, jurutera mahupun angkasawan yang bakal memacak nama Malaysia di persada dunia pada masa depan. Tebalkan rasa sayang, tebalkan rasa perikemanusiaan, tebalkan kesabaran, demi kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak didik kita. Guru boleh menggunakan banyak cara untuk menangani masalah disipiln murid dan bukannya menggunakan kekerasan. Guru boleh mengunakan aplikasi dan strategi komunikasi di dalam bilik darjah, emosi dan pengaruh persekitaran,

kecerdasan emosi dan afektif ataupun mengaplikasikan Teori Pembelajaran Behaviorisme dan lain-lain. Sekiranya masih tidak dapat mengatasi masalah, guru boleh menyerahkan murid bermasalah kepada guru kaunseling. Biar guru kaunseling yang berpengalaman menangani masalah dan bukannya menggunakan kekarasan. Pandangan ini merupakan cetusan minda peribadi yang tidak memihak atau merendah-rendahkan sesiapa. Pandangan ini mungkin ada kelemahannya atau ada biasnya pada orang lain, namun bagi saya sendiri, semua yang terlukis dan tertulis ini adalah lahir dari hati. Jika ada yang tersentuh dengan pandangan ini, maaf dan ampun dipohon. Akan tetapi, jika pendapat ini ada kebaikannya, jadikanlah sebagai panduan kita bersama untuk menaikkan martabat dan darjat profesion perguruan di mata dunia.

Вам также может понравиться