Вы находитесь на странице: 1из 18

Waktu solat KL & yang sewaktunya: Imsak - 5:42 || Subuh - 5:52 || Syuruk - 7:12 || Zohor - 13:22 || Asar - 16:43

|| Maghrib - 19:29
|| Isyak - 20:42
Ahad , 03 Ogos 2014,
RENCANA
PPPM lonjak pendidikan tahap
antarabangsa
2012/09/13 - 04:53:11 AM Amidi Abdul MananCetakEmel Kawan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tempoh 2013 hingga 2025
sudah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin. Ia disambut dengan
pelbagai reaksi oleh pelbagai golongan sama ada yang terbabit secara langsung dengan
pendidikan atau secara tidak langsung.

Terkandung di dalamnya ialah laporan maklum balas yang diterima daripada sesi dialog
pendidikan, persidangan, seminar dan perbincangan meja bulat yang diadakan oleh pihak yang
berminat mengenai pendidikan negara.
Proses mencanai potensi

Pendidikan bagi sesebuah negara adalah satu perkara yang amat penting. Di sinilah proses
mencanai perkembangan dan potensi serta menakrif ciri dan identiti warga negara pada masa
hadapan. Bagi pendidikan di Malaysia ia terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK) yang mendefinisikan matlamat dan fungsi pendidikan di negara kita ini.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menggariskan hala tuju pendidikan negara
bagi tempoh 22 tahun akan datang. Ia satu tempoh yang penting dan amat getir kerana dalam
tempoh berkenaan kita akan melalui tahun 2020 yang menakrifkan Malaysia sebagai sebuah
negara maju.

Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan PPPM secara keseluruhan dalam ruang yang
terhad dan terbatas ini, tetapi sekadar berkongsi pandangan kerana PPPM masih pada peringkat
draf dan ruang masih terbuka bagi maklum balas diajukan kepada Kementerian Pelajaran.

Dalam PPPM, perkara yang paling menonjol adalah hasrat untuk melonjakkan pendidikan di
Malaysia ke tahap antarabangsa, baik dari sudut guru, kemudahan pendidikan, pembangunan
kurikulum, pembangunan pelajar mahupun kemahiran berfikir. Semuanya diletakkan kayu ukur
yang menepati piawaian antarabangsa.
TIMS dan PISA yang juga satu rujukan penting bagi menilai kedudukan negara dalam
pembelajaran Sains dan Matematik turut menjadi perhatian dalam PPPM ini. Ia sekali lagi satu
ujian terhadap kemampuan kognitif pelajar. Sudah sampai masanya kita mencirikan
pembelajaran Sains dan Matematik berakar umbi kepada masyarakat kita.

Sains umpamanya perlu diajar seiring dengan nilai kehidupan dan kemanusiaan. Ia adalah satu
bidang ilmu yang meliputi cakupan pancaindera dan bermatlamatkan untuk mengenali Allah
sebagai Pencipta. Ia sarat dengan nilai yang mengukuhkan keyakinan kepada Allah. Menerusi
nilai ini ia akan melahirkan individu yang mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.

Sains dalam dimensi ini tidak mendapat tempat pada peringkat antarabangsa. Maka tidak
hairanlah tamadun Barat yang berteraskan kemajuan sains dan teknologi akhirnya
menjerumuskan mereka ke dalam satu krisis kemanusiaan yang parah. Ramai pakar pendidikan
mereka sudah mula mengkritik sistem pendidikan mereka sendiri yang gagal melahirkan insan.

Seperkara menarik dalam PPPM ini adalah mengenai pelaku pendidikan iaitu golongan guru.
Secara jelas dan spesifik martabat guru akan diangkat bermula dari calon guru sehinggalah
kepada latihan dan skim perkhidmatan.

Sememangnya ia disambut baik oleh kita semua kerana guru adalah kelompok terpenting dalam
mencorakkan masa depan negara menerusi pendidikan. Namun seharusnya hasrat ini melimpah
kepada guru di sekolah agama yang bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran seperti
sekolah agama rakyat, sekolah menengah agama kerajaan negeri dan sekolah agama
persendirian.

Aspek kokurikulum juga masih memerlukan perhatian yang sewajarnya. Seharusnya wujud satu
kaedah untuk membantu sekolah jenis ini bagi menghadapi perubahan sistem pendidikan yang
semakin kompleks.

Pantau sekolah antarabangsa

Persoalan yang timbul sejak Laporan Razak perlu diselesaikan segera. Jika dulu kita berhadapan
dengan sekolah vernakular, kini kita berhadapan pula dengan sekolah antarabangsa yang
semakin subur dan mendapat sambutan masyarakat. Ia secara terang memberikan pilihan untuk
rakyat keluar daripada sistem pendidikan arus perdana jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

Persoalan pendidikan menggamit perhatian banyak pihak. Ia membabitkan masa depan kita,
masa depan negara dan yang lebih penting adalah masa depan kita di hadapan-Nya.







Waktu solat KL & yang sewaktunya: Imsak - 5:42 || Subuh - 5:52 || Syuruk - 7:12 || Zohor - 13:22 || Asar - 16:43 || Maghrib - 19:29
|| Isyak - 20:42
Ahad , 03 Ogos 2014,
MUTAKHIR
Intipati Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025
2013/09/06 - 14:12:51 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025:

* Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-
kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang
2020.
* Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa
mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS)
dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang.

* Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi
dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020.

* Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman
dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

* Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

* Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang
dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada
sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti,
perpaduan dan kcekapan.
* Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur
enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan.

* Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan
kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

* Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami
kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

* Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara
berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi
sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM).

* Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke
dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat
mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.

* Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal
dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap
bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

* Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat
membantu mereka menyertai tenaga kerja global.

* Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan
guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain
seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun.


* Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan
graduan 30 peratus teratas.


* Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh
menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah
tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru
pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah.

* Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan
Sarawak.


* Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan
kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja.


* Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap
inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

* Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama
sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.

- BERNAMA
























BUAL BAHASA
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN
MALAYSIA: CABARAN DAN HARAPAN
NOVEMBER 1, 2012 BUAL BAHASA LEAVE A COMMENT
Oleh SIDANG EDITOR
Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan merupakan Presiden Majlis
Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN). Beliau adalah antara
individu penting dalam membantu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
menyediakan keperluan pendidikan terbaik untuk para pelajar. Bagi mendapatkan
pandangan beliau tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025 yang
baru dilancarkan, Sidang Editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual beliau.
Pada pandangan saya, setiap pembaharuan yang dibuat perlu diberikan ruang dan peluang
dalam pelaksanaannya. Saya seorang yang terbuka dan sedia memberikan laluan untuk
kementerian membuktikan keberkesanannya. Pada dasarnya, kita berhasrat untuk melahirkan
murid yang berfikir, mampu berfikir mengenai perkara yang bernilai tinggi dan rajin
membaca. Jadi, perubahan yang dilakukan ini merupakan pendekatan yang baik serta
memberikan penekanan kepada sistem pendidikan yang menarik dan seronok. Dengan cara
ini, murid dapat berkongsi pandangan dan pendapat sama ada pandangan kritikal atau sesuatu
yang membina hasil daripada daya fikir mereka sendiri. Hal ini akan memberikan ruang
inovasi untuk pembinaan jati diri dalam diri mereka. Saya percaya bahawa kaedah ini
berupaya menghasilkan murid yang berfikiran matang dan dapat membuat keputusan
semasak- masaknya berdasarkan sumber yang ada. Jika kita imbas semula, sistem pendidikan
terdahulu berorientasikan peperiksaan 100 peratus. Mungkin melalui PBS ini, kita
memperuntukkan 40 peratus dikhaskan untuk penilaian berterusan dan baki peratusan itu
diperuntukkan untuk peperiksaan. Hal ini membolehkan murid belajar dan berfikir secara
berterusan. Maka, sudah tentu hal ini merupakan satu perkembangan yang positif. Saya juga
berpendapat bahawa perubahan sistem pendidikan ini dapat mengurangkan sikap murid yang
cenderung belajar pada saat- saat akhir sebelum peperiksaan. Murid kita akan belajar secara
berterusan dan bukan hanya menunggu apabila waktu peperiksaan semakin hampir.
Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia:
Suatu pendekatan transformatif
DARI JENDELA TOK KI
PADA 6 September yang lalu Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri
melancarkan secara rasmi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025.
Meneliti Ringkasan Eksekutif PPPM ini ternyata ia amat komprehensif, merangkumi semua
aspek pendidikan arus perdana. Ia adalah pendekatan transformatif (perubahan) bagi
menyediakan generasi pelajar menghadapi cabaran abad ke-21.
Pendekatannya tidak sahaja mengukuhkan asas-asas fundamental dalam pendidikan acuan
Malaysia tetapi pada masa yang sama respons terhadap perubahan global terutama dalam
bidang ilmu, khususnya sains dan teknologi.
Sifat ilmu dan pendidikan negara ini pada tahap global dan dinamik perlu berubah, terutama
dalam bidang sains dan teknologi. Malaysia harus proaktif terhadap perubahan ini kerana tahun
2020 negara ini ingin mencapai tahap negara maju sepenuhnya.
Oleh itu dasar dan sistem pendidikan di Malaysia tidak harus statik kerana ia boleh
menyebabkan kemunduran terjadi dan keterpinggiran berlaku. Menyesuaikan diri dengan
pendidikan arus dunia tidak bermakna Malaysia mengorbankan asas-asas fundamental dalam
membangun generasinya.
Aspek literasi bahasa masih mengutamakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta
membenarkan bahasa sukuan berkembang. Keperluan etika dan nilai menjadi orientasi penting
dalam pendidikan untuk menghasilkan pendidikan holistik selari dengan Falsafah Pendidikan
Negara.
Sistem pendidikan vernakular (Sekolah Cina dan Tamil) dibenarkan pada tahap pendidikan
rendah supaya pembelajaran bahasa ibunda tidak dinafikan.
Fokus terhadap subjek Sains dan Teknologi diperkasakan adalah suatu langkah bijak. Suatu
ketika Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
diperkenalkan di mana bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar Matematik dan Sains.
Ternyata persiapan dan perancangan yang cukup tidak dibuat dan menyebabkan berlaku
masalah dalam pencapaian pelajar terutama di luar bandar, Sabah dan Sarawak.
Langkah Kementerian Pendidikan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan
Bahasa Inggeris (MBMMBI) semula adalah suatu langkah bijak dan bersikap jangka panjang
supaya bahasa Melayu diletakkan pada tempat yang betul tanpa menafikan kepentingan bahasa
Inggeris sebagai bahasa kedua dan ia selari dengan Akta Pendidikan 1996 dan semangat
Perlembagaan Negara.
Pada tahun 2016 subjek Bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia. Sebelum PPPM ini dilancarkan lagi Kementerian Pendidikan telah
memulakan langkah-langkah strategik bagaimana kualiti pengajaran bahasa Inggeris dapat
ditingkatkan.
Perubahan ke arah MBMMBI masih tidak disetujui oleh sesetengah pihak terutama sebahagian
kelompok menengah Melayu dengan andaian bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa kemajuan.
Kembali memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pengajaran Matematik dan Sains
adalah langkah mundur ke belakang.
UNESCO menyarankan pengajaran bahasa ibunda adalah penting untuk menguasai ilmu
pengetahuan. Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan China menggunakan bahasa ibunda untuk
maju dalam ilmu dan pendidikan.
Berdekad-dekad yang lalu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti
Teknologi Malaysia dan banyak universiti lagi menghasilkan graduan dalam bahasa Melayu.
Sebahagian mereka melanjutkan pelajaran lebih tinggi dan mengkhusus dalam sesuatu bidang
dalam bahasa Inggeris.
Mereka tidak ada masalah besar untuk menjadi pakar dan mencapai kelulusan tinggi dalam
bidang masing-masing kerana bahasa Inggeris diajar dalam sistem kita.
Hal yang sama penentangan Dong Zong dan Dong Ziau Jong terhadap PPPM ini adalah tidak
berasas melainkan politik yang melatarinya adalah cauvinistik. Sekolah vernakular dikekalkan
dan pengajaran bahasa Cina dan Tamil dibenarkan.
Apa yang penting dilihat ialah soal perpaduan negara menjadi sesuatu yang paling utama.
Malaysia tidak mahu orientasi kurikulum Taiwan dijadikan asas untuk menghasilkan perpaduan.
PPPM memberikan landasan transformatif dalam konteks pendidikan arus perdana Malaysia.
Sekiranya setiap warga Malaysia bersama-sama mendukungnya, Malaysia boleh menjadi negara
maju acuan kita sendiri.

















VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 Ogos 2014 / 7 Syawal 1435




RENCANA

ARKIB : 07/09/2013
Gelombang transformasi pendidikan

Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Formatted: Font: (Default) Georgia, 10.5 pt,
Font color: Black
11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu dan di dewan ini juga, kita telah sama-sama
menyaksikan Pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-
2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu jangkamasa
yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah kita nikmati hasilnya, jika dahulu anak-
anak pandai bertatih, kini sudah boleh melangkah gagah.
Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan pendidikan yang
komprehensif, kementerian tidak bertindak tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan
terbuka mendengar pelbagai pandangan daripada segenap lapisan masyarakat. Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa,
hatta hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada pelbagai persatuan,
agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam
dan luar negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam Mesyuarat Khas
Jemaah Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada
Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu kepada
pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah mengambil pertimbangan
sewajarnya bagi setiap maklum balas yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat
dalam bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data dan maklumat yang
kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 2013-2025. Pelan ini menjadi suatu dokumen rasmi yang
amat signifikan untuk pembangunan negara kerana ia merupakan suatu rangka pelan
pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan
masyarakat.
Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 kepada rakyat dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan
sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat seluruhnya. Pelan ini
dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi daripada pihak kerajaan agar pendidikan
menjadi tunjang kepada transformasi negara yang sedang diusahakan. Penghasilan pelan ini
memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi juga menerajui transformasi perkhidmatan
awam. Maka, tidak sempurna jika saya tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua
pihak yang terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.
Kelainan dalam penghasilan PPPM
Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM telah mencipta kelainan dan
melangkaui semua kemungkinan dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu
kelainan dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi penggunaan data dan
dapatan kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga
Bank Negara. Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini seperti Laporan
Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.
Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem pendidikan negara sejak
merdeka, telah banyak perkara yang telah dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai
contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus; peruntukan
pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16 peratus daripada belanjawan negara
diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar
bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik yang pernah dilaksanakan oleh
Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada
keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan kita. Contoh amalan baik ini
juga adalah antara elemen yang diambil dalam merangka strategi pelaksanaan inisiatif-inisiatif
PPPM. Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti amalan terbaik daripada negara-negara
yang mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan
Finland.
Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah bagi kembara yang panjang
sehingga 2025. Ini bermakna, setiap perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini,
tidak dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada fakta dan data selain
daripada menerima secara positif pendapat yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.
Tumpuan kepada keberhasilan murid
PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid. Pelan ini direncanakan
sebegitu komprehensif yang melibatkan semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan
teknik dan vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni dan sukan di
sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua peringkat persekolahan; daripada
peringkat prasekolah hingga kepada peringkat lepasan menengah.
Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen pelajar sekolah rendah dan
menengah hampir 97 peratus; peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16
peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan,
merapatkan jurang pencapaian bandar dan luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik,
hampir 100 peratus sudah pun tercapai.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri
Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan
berjumpa dengan sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang pelbagai dan
hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan ini.
Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh 13 tahun lagi, PPPM 2013-
2025 telah memberi tumpuan utama kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai
contoh, Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi tumpuan kepada
dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri dialog yang
kita adakan di seluruh negara sebahagian besar mengutarakan kepentingan tentang bahasa
Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam pelan ini. Kita juga, memantapkan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan
sahaja belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka belajar dan menggunakan
akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu, kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana
elemen pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek pembelajaran semata-mata,
tetapi pembentukan sahsiah, menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai,
ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia dalam sistem persekolahan kita.
Dasar bahasa
Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid tanpa mengira peringkat
dan jenis sekolah, saya berani mengatakan semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan
telah dikaji dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan sedia ada yang
berasaskan kepada Akta Pendidikan masih dipertahankan dalam pelan ini.
Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran persekolahan yang wujud di
negara ini, malah akan memastikan setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan
Kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan
juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa
kedudukan bahasa-bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini tidak pernah
dinafikan sama sekali.
Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi menjunjung semangat
perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama
untuk melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut diberikan perhatian
utama dan seperti yang telah diumumkan awal tahun ini akan dijadikan mata pelajaran SPM
wajib lulus menjelang tahun 2016. Dalam memastikan pelaksanaan hasrat ini, Kementerian
sedang dalam usaha menambah masa ataupun 'contact hours' di dalam kelas agar
pendedahan/immersion murid-murid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.
Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu sesi dan masih ada 1,600
sekolah dua sesi yang akan dijadikan sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan
dilanjutkan umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan itu boleh kita
gunakan untuk menambah contact hours untuk bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain
di seluruh sekolah.
Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan beberapa inisiatif. Antaranya
ialah menambah baik Kurikulum Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid
yang lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan dan ini tidak akan
menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran lain.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa Inggeris pula, guru-guru Bahasa
Inggeris telah diuji kemahiran mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu,
kohort pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh British Council,
manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan mengikuti latihan pada Oktober nanti.
Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris menjadi agenda
utama kementerian, murid juga digalakkan untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian
tidak menghalang pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang dan peluang
kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa tambahan seperti bahasa Arab dan
Kadazan Dusun.
Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa, kemahiran berfikir aras tinggi,
atau Higher Order Thinking Skills, juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk
melonjakkan sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang mempunyai sistem
pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan
pada 1967 akan diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang Pendidikan Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kurikulum bersepadu berasaskan standard
antarabangsa akan dihasilkan dan penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan
elemen kemahiran berfikir akan dilakukan.
Pendidikan Islam
Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki sahsiah terpuji serta
mempunyai identiti nasional. Dengan itu kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama
Islam dan Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama akan
ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai
dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa
Islam yang mahu pendidikan Islam diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh dalam
sahsiah dan peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.
Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang bersesuai dengan dengan
bakat, minat dan gaya pendidikan di samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran
buruh yang terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut mengambil kira
pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan
Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi Vokasional yang mana kita
tahu dalam sistem di negara kita setakat ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional
iaitu kurang 10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.
Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan pelajar dalam sistem
persekolahan yang mengambil bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh.
Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat sebanyak 10,000, tahun ini sahaja
terdapat 126,000 ibu bapa yang mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran
vokasional. Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Sementara itu, kita
juga tidak lupakan pendidikan khas yang lebih inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita
tidak nyatakan dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri daripada
kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa bertanya kenapa tidak ada makmal khas
untuk mereka. Jadi, segala cadangan mereka kita masukkan sebagai inti pati penting dalam
pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan keistimewaan ini.
Mengupaya pemimpin sekolah dan guru
Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat
pelaksana. Guru adalah tunggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah.
Menyedari perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan Daerah dengan
menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan pemimpin sekolah dengan program yang
dikenali sebagai SISC+ dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat membimbing dari segi
pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek penilaian seperti Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS). Harapan saya melalui bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar
dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan keguruan dengan inisiatif
meningkatkan syarat kemasukan guru iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki
profesion perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu guru bukan sahaja
dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak ilmu dan ada kecemerlangan dalam
pembelajaran mereka.
Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan beban tugas guru, dan
pelaksanaan program profesionalisme berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar,
kriteria perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa perkhidmatan akan
dilaksanakan.
Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan yang lebih
penting. Berdasarkan merit dan keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan
pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000 pengetua/guru besar akan
menamatkan perkhidmatan dan ini membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru besar
yang berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah ada peraturan ketika ini
sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus
dan jika mereka lulus baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di sekolah
berkenaan.
Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM
Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang harus kita tumpukan
sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan. Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan
kompleks. Bagi memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara berhemah mengikut
fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka dengan memberi tumpuan kepada sokongan
terhadap guru dalam gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem dalam
gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan dalam gelombang ketiga.
Penyusunan sebegini adalah penting kerana bagi memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu
diberikan terhadap inisiatif yang penting khususnya yang membawa keberhasilan murid.
Penubuhan PADU
Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah mewujudkan entiti khas
yang dinamakan PADU iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan
memastikan kejayaan inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang
berbakat dari dalam dan luar Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan
yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa. Jelasnya, penubuhan entiti
khas ini tidak pernah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana
perancangan sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan mengaplikasikan prinsip-prinsip
pengurusan bersifat korporat, kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan
status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.
Penglibatan pihak berkepentingan
Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan pelibatan pihak berkepentingan.
Kementerian tidak mahu Pelan ini menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar
warga Kementerian sahaja.
Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka kementerian berhasrat untuk
merakyatkan pelaksanaannya. Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah
diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana daripada rakyatlah
tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif tersebut.
Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan yang utuh antara PIBG, ibu
bapa dan sekolah. Kita juga memberikan perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita mahu
meningkatkan PPPM ini.
Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak swasta. Saya mengucapkan
terima kasih kepada pihak Yayasan Amir dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru
mengadakan lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan menunjukkan
hasil yang luar biasa.
Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya melihat lonjakan yang berganda.
Kalaulah kita ada peruntukan sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian,
alangkah moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama, lonjakan berganda akan
kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.
Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
Sempena majlis pelancaran ini kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka
surat dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris selain brosur dalam empat
bahasa. Mana yang rajin bacalah dokumen setebal 300 muka surat itu supaya tahu apa yang
mahu kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur atau yang malas langsung
kita akan sediakan video.
Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai pelan ini. Tidak ada sebab
semua pihak tidak boleh terlibat sama mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-
suara yang sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka tidak faham apa
tujuan kita.
Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita akan terus melaksanakan
pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna
satu sistem yang lebih baik dan berkualiti.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja bertungkus-lumus selama lebih dua
tahun untuk menyediakan satu dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.


Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130907/re_01/Gelombang-transformasi-
pendidikan#ixzz39LBK9YmN
Utusan Melayu (M) Bhd


























Sistem pendidikan negara diperkasa menerusi PPPM 2013-
2025
Bernama|Kemas kini:September 06, 2013
(Diterbitkan pada: September 06, 2013 12:09 MYT)



KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara dapat diperkasa dan dibangunkan secara berterusan
menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dirangka berasaskan
tiga objektif khusus supaya Malaysia mampu berdaya saing pada peringkat global.

Menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, tiga objektif itu ialah:

* Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan
penambahbaikan akses kepada pendidikan, peningkatan standard (kualiti), merapatkan jurang
pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan
keberkesanan sistem.

* Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan murid bagi 13 tahun yang
seterusnya sehingga 2025.

* Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan termasuk
perubahan utama dalam kementerian yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu
dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi awam.

"Pendekatan yang diambil dalam menghasilkan pelan ini adalah suatu langkah berani dan julung-
julung kali dilakukan. Pandangan pelbagai pakar dan agensi antarabangsa dikumpulkan untuk menilai
dan mentaksir prestasi sistem pendidikan Malaysia termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Unesco
dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)," menurut pelan pembangunan
pendidikan itu.

PPPM juga merangkumi pelan tindakan dan inisiatif utama transformasi keseluruhan sistem
pendidikan dan terdapat tiga fasa iaitu:

* Fasa Satu - melibatkan kajian semula dan diagnostik menyeluruh tentang sistem pendidikan. Fasa
ini bermula dengan penilaian terperinci prestasi sistem pendidikan Malaysia, memberi tumpuan
kepada keberhasilan murid, mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap
prestasi masa kini di samping mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan
sebagai model untuk diikuti dan dicontohi.

* Fasa Dua - memberikan tumpuan kepada penyediaan Laporan Awal PPPM dengan menggunakan
dapatan dalam Fasa Satu untuk mengenal pasti bidang keutamaan dan memperinci program
transformasi yang tuntas tentang dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh pelan 13
tahun itu. Fasa ini merangkumi maklum balas yang dijana daripada Dialog Nasional Pendidikan
Negara dan Makmal Pendidikan GTP 2.0.

* Fasa Tiga ditumpukan kepada penyediaan laporan akhir PPPM. Fasa ini melibatkan rundingan dan
penglibatan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum
balas tentang Laporan Awal PPPM. Maklum balas berkenaan telah dipertimbangkan dalam
penyediaan laporan akhir.

PPPM 2013-2025 itu juga mengkaji pengalaman sistem pendidikan negara lain yang menunjukkan
peningkatan signifikan, meluas dan berupaya mengekalkan peningkatan dalam keberhasilan murid.

Ia bertujuan menyediakan metodologi yang mantap untuk memahami dan membandingkan standard
dan prestasi sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain.

"Sebagai sebahagian daripada proses, kementerian telah mengkaji data antarabangsa, menganalisis
dan menanda aras pendekatan daripada sumber antarabangsa yang terkemuka seperti Program
Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains
Antarabangsa (TIMSS)," menurut laporan pelan itu.

Menurut PPPM 2013-2025 itu, kejayaan masa depan negara bergantung kepada perkembangan
sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi yang mampan iaitu kedua-dua faktor ini
bergantung kepada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan negara dengan
cepat dan berkesan.

"Maka tidak menghairankan sekiranya sesebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi
mampu menjana ekonomi dengan pesat demi kemakmuran negara," menurut PPPM itu.

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the
Gohttp://onthego.astro.com.my
Tag:PPPM,Pelan Pembangunan Pendidikan,Muhyiddin,pelajar


Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/sistem-pendidikan-negara-diperkasa-menerusi-
pppm-2013-2025-21726?cp

Вам также может понравиться