2.1 ESEI SATU Dalam sesebuah institusi persekolahan, disiplin memainkan peranan penting ke arah pembentukan sahsiah pelajar. Menurut Dictionary of Education, disiplin adalah peraturan secara langsung bagi mengawal tingkah laku murid- murid melalui hukuman atau ganjaran. Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendidikan (1979), disiplin didefinisikan sebagai kesanggupan seseorang itu bekerja ataupun membuat sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain dan kesanggupan membaiki keadaan yang sedia ada menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, masalah disiplin adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan oleh pihak sekolah. Isu peras ugut bukan sahaja melibatkan pelajar sekolah menengah sahaja, malah menular kepada murid-murid sekolah rendah. Dalam satu kes yang dilaporkan, murid Tahun Satu cedera parah ditikam di sekolahnya. Dia turut dipukul dengan kayu dan dibaling dengan batu oleh sekumpulan murid lelaki, dipercayai kerana enggan memberikan mereka wang RM 10 (Utusan Malaysia, 2000). Masalah peras ugut kian meruncing dewasa ini. Ia adalah salah satu komponen kecil daripada buli yang bermaksud tingkah laku agresif sama ada fizikal atau psikologikal yang dilakukan berulang kali ke atas mangsa yang bertujuan mendatangkan perasaan tidak seronok (Noran Fauziah Yaakub, 2006). Biasanya kumpulan pelajar yang memeras ugut ini mempunyai kumpulan tersendiri yang disebut gangster. Kumpulan ini mengugut anak orang kaya ataupun pelajar yang menjadi kebencian mereka. Dalam hal ini, mereka memeras ugut dengan meminta wang, jika tidak mereka pasti mencederakan mangsa. Hal ini kebiasaannya dirujuk kepada pihak polis untuk diselesaikan. Mengikut perangkaan pada tahun 1994, seramai 138, 358 pelajar atau 9.82% daripada 1, 408, 672 pelajar sekolah menengah di seluruh negara terlibat dengan pelbagai salah laku jenayah dan tabiat buruk yang mana 2, 578 kes 3
melibatkan tingkah laku jenayah termasuk peras ugut. Walaupun perangkaan di atas diambil pada tahun 1994, ia jelas menunjukkan isu moral bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Tiada guna kita memekik-mekik slogan masyarakat progresif lagi berdisiplin sedangkan di sekolah dan di rumah jelas sekali kelonggarannya. Isu peras ugut yang tidak ditangani dengan sempurna akan terus menular dan menjadi duri dalam daging bagi masyarakat. Gangsterisme adalah masalah paling sinonim yang dapat dikaitkan dengan peras ugut. Sekolah menjadi pusat aktiviti geng dan bukan lagi tempat untuk mendapatkan ilmu disebabkan pengambilan ahli-ahli baru untuk lebih mengukuhkan kumpulan mereka. Trump (1993) mengatakan kehadiran geng ini akan menyebabkan pelajar dua kali ganda lebih takut menjadi mangsa keganasan berbanding dengan pelajar di sekolah yang tidak mempunyai geng. Gangsterisme adalah tingkah laku yang melanggar norma dan batasan undang-undang atau berkelakuan yang tidak boleh diterima oleh sosial. Menurut Thrasher (1963) yang merupakan pelopor awal tentang kajian gangsterisme mengutarakan bahawa pada awal remaja golongan ini berkemampuan untuk mewujudkan geng ataupun persatuan. Golongan remaja ini mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka. Thrasher (1961) juga mendefinisikan geng sebagai satu persatuan yang mempunyai cirri-ciri seperti mengikut tingkahlaku yang sama, perjumpaan secara bersemuka, gerakan secara berunit, konflik dan mempunyai perancangan. Thraser (1963) menyatakan bahawa kewujudan gangster adalah hasil daripada perkembangan sesuatu kumpulan rakan sepermainan juvenil yang bertukar kepada perlakuan devian (perkumpulan samseng). Menurut statistik yang telah dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada tahun 2008, seramai 8,809 pelajar berusia antara 7 dan 18 tahun ditahan di seluruh negara kerana terlibat dalam kes-kes jenayah. Daripada jumlah itu, 3,683 terlibat dalam jenayah kekerasan. Faktor yang menyumbang kepada tercetusnya gejala ini dan menjadi trend di seluruh dunia masih samar. Beberapa faktor seperti media, rakan sebaya dan keadaan setempat 4
turut diutarakan. Walau bagaimanapun, Bodinger-de-Uriarte (1993) mendapati faktor mendapatkan kuasa dan status merupakan penyebab utama para remaja menyertai gangster jalanan di Amerika Syarikat. Dalam peringkat global, gangsterisme yang tidak dikawal akan mencetuskan keganasan dan peperangan. Apa yang dapat kita lihat adalah keganasan merupakan salah satu komponen masalah sosial yang terdiri daripada tingkah laku jenayah dan keganasan domestik yang berlaku akibat gangsterisme dalam masyarakat. Peperangan pula merupakan satu bentuk keganasan kolektif yang melibatkan keganasan secara tersusun oleh mereka yang ingin melaungkan keinginan dan menolak polisi dan amalan sosial yang dirasakan menekan (Sullivan, 1997). Kebanyakan individu akan melihat peperangan sebagai konflik bersenjata antara duan buah negara atau dua pihak dalam sesebuah negara. Walau bagaimanapun, para ahli sosiologi mendefinisikan peperangan dalam konteks yang lebih luas, bukan hanya yang melibatkan perang yang diisytiharkan antara negara dan parti malahan juga peperangan yang tidak diisytiharkan seperti perang am, perang gerila, operasi tertutup dan sebahagian bentuk keganasan (Wright, 1964). Peperangan adalah satu keadaan yang mengakibatkan keganasan iaitu tingkahlaku dengan niat mendatangkan kesakitan, kecederaan fizikal dan tekanan psikologi kepada manusia atau merosakkan harta benda (Sullivan, 1997). Kesan peperangan yang dapat dilihat secara langsung ialah kehilangan nyawa dan meninggalkan kesan fizikal dan psikologi yang serius kepada mereka yang masih hidup. Sebagai contoh, dalam Perang Bosnia yang melibatkan pertumpahan darah antara puak Serb dan Muslim, pihak Serb telah membunuh hampir kesemua penduduk lelaki di Srebrenica ketika mereka mengambil alih kawasan tersebut pada Julai 1995. 30, 000 penduduk yang masih hidup yang majoritinya kaum wanita dan kanak-kanak terpaksa tinggal di kem-kem pelarian. Trend ke arah lebih banyak kehilangan jiwa penduduk awam yang bermula ketika Perang Dunia Kedua telah berterusan ke beberapa perang yang lain termasuk Perang Vietnam dan Perang Teluk (Ehrenreich, 1997). Hospital 5
yang dibom pula tidak dapat lagi digunakan untuk merawat pesakit dan ini menambahkan lagi bilangan kematian. Dalam konteks keganasan kolektif, terrorisme mempunyai beberapa persamaan dengan peperangan. Kedua-duanya membawa ancaman kepada kestabilan dunia dan keselamatan domestik. Menurut Vetter dan Perlstein (1991), pengganas banyak menggunakan taktik seperti pengeboman, penculikan, menahan tebusan, rampasan kapal terbang, pembunuhan dan penyeksaan. Ini tiada bezanya dengan peras ugut dan gangsterisme yang melanda negara ini melainkan ianya dilakukan di peringkat global dan mendatangkan akibat yang lebih buruk. Ahli psikologi sosial kontemporari secara umumnya percaya bahawa faktor individu dan persekitaran boleh menjelaskan mengapa individu pergi berperang atau melakukan keganasan. Manusia lebih cenderung untuk bersikap ganas apabila mereka diletakkan di posisi yang mempunyai kuasa dan hak yang lebih besar berbanding orang lain (Milgram, 1974). Untuk mengatasi masalah ini, adalah lebih baik jika kita mula mencegahnya daripada akar umbi, iaitu sebelum berlakunya peras ugut terutamanya di peringkat sekolah. Penglibatan ibu bapa dalam menangani masalah sosial adalah penting. Ibu bapa perlu menyedari bahawa pendidikan anak-anak bermula di rumah dan bukannya di sekolah. Oleh itu, jenis dan corak alam persekitaran yang disediakan oleh para penjagalah yang menjadi pengajar utama yang dapat menjadi perangsang kepada anak-anak. Kawalan ketat ke atas anak-anak dapat menghindarkan mereka daripada terjebah ke kancah sosial. Selain daripada itu, penglibatan aktif ibu bapa dalam persekolahan anak-anak membolehkan mereka mengesan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Ibu bapa juga bertanggungjawab dalam mewujudkan suasana yang stabil di rumah supaya anak-anak tidak terganggu dari segi emosi. Keadaan kucar kacir dan penceraian pasti meninggalkan kesan mendalam ke atas anak-anak (Jagdish Raj Sharma, 1982). 6
Penekanan kepada aspek keagamaan juga perlu diutamakan oleh ibu bapa. Jika ibu bapa tidak berkesempatan mengajar asas-asas agama kepada anak- anak, wajar bagi mereka untuk menghantar anak-anak mengikuti kelas fardhu ain. Sekiranya ibu bapa boleh menghantar anak ke pusat tuisyen untuk berjaya dalam peperiksaan, mengapa pula anak-anak tidak dihantar ke kelas- kelas agama untuk menjalani kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat? Menyentuh peranan guru, guru adalah golongan yang paling hampir dengan murid selepas ibu bapa. Malah dalam Islam, orang kedua yang perlu dihormati selepas ibu bapa ialah guru. Sikap guru yang penuh dedikasi dalam menyampaikan pengajaran secara berkesan bukan sahaja dapat menghapuskan masalah disiplin, malahan meningkatkan tahap akademik murid. Guru Besar pula harus memastikan hukuman yang dikenakan mestilah bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan. Murid-murid harus disedarkan bahawa hukuman dikenakan kepada kesalahan, bukannya kepada mereka. Guru dan Guru Besar haruslah sentiasa bertindak dalam pasukan dan tidak menikam belakang dalam melaksanakan tugas. Usaha membentuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah satu bentuk kerjasama yang baik bagi mengatasi masalah sosial. Namun begitu, peranan yang dimainkan PIBG sering dipertikaikan. Hal ini kerana kurangnya penglibatan ibu bapa dan minat disebabkan urusan lain. Keadaan ini dapat diperbaiki jika semua pihak tidak mementingkan diri dan memberi perhatian dan kerjasama dalam membentuk murid berakhlak mulia. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu sentiasa mengemas kini pekeliling dan petunjuk tertentu dalam menangani masalah moral di sekolah. Pihak polis dan Jabatan Kebajikan juga berperanan dalam menempatkan pegawai- pegawai tertentu bagi menghadapi masalah disiplin, belia dan pelajar. Kerajaan juga perlu sedar kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan fikiran mereka. Paparan di media massa dan elektronik juga harus dikawal dengan sebaiknya oleh kerajaan supaya tidak bercanggah dengan nilai Islam. 7
Donald Winnicott di milenium baru: Strategi, prinsip, dan model operasional yang mendasari pemikiran Donald Winnicott dan teori-teori perkembangan manusia
Albert Bandura dan faktor efikasi diri: Sebuah perjalanan ke dalam psikologi potensi manusia melalui pemahaman dan pengembangan efikasi diri dan harga diri
Manajemen konflik dalam 4 langkah: Metode, strategi, teknik-teknik penting, dan pendekatan operasional untuk mengelola dan menyelesaikan situasi konflik