Вы находитесь на странице: 1из 10

ISU YANG WUJUD DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA DI ACHEH

Kumpulan kami memilih tajuk Adat dan Perkahwinan Daerah Istimewa Acheh sebagai alternatif
dalam menyelongkar isu kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat ini. Buku jurnal
menceritakan tentang kepelbagaian yang wujud di dalam masyarakat Acheh di Indonesia sejak
dahulu sehingga kini. Kepelbagaian yang wujud melalui beberapa aspek seperti adat
perkahwinan, kepercayaan masyarakat, adat yang dipegang, nilai-nilai dan sebagainya.
Disebabkan kepelbagaian ini, terdapat pelbagai isu atau masalah yang timbul dan ini perlu
dikupas atau ditangani oleh pekerja sosial sekiranya berhadapan dengan masalah ini.

Isu pertama yang kami pilih di dalam buku ini ialah mengenai kepelbagaian adat istiadat
yang wujud di dalam masyarakat Acheh. Masyarakat di sini mengamalkan pelbagai adat istiadat
perkahwinan seperti perkawinan biasa, perkahwinan angkap, perkahwinan, lari, perkahwinan
cina buta, perkahwinan memanjak, perkahwinan berambee dan sebagainya. Namun kami
memilih adat perkahwinan cina buta di mana definisinya ialah suami yang telah menceraikan
isterinya dengan talak tiga dan pasangan terbabit ingin rujuk semula. Si isteri perlu bernikah
dengan lelaki lain dan perlu bercerai bagi mengahwini bekas suaminya semula. Bekas suami ini
digelar muhallil (bahasa Arab) manakala lelaki lain yang dinikahinya tadi digelar muhallah lah
(bahasa Arab) atau bahasa yang lebih mudah untuk difahami iaitu ‘pak sanggup’. Masyarakat di
daerah Acheh yang mengamalkannya ialah masyarakat Gayo. Menurut Islam, perkahwinan jenis
ini adalah tidak dibenarkan kerana ia seperti menghina agama Islam yang mementingkan
kesempurnaan di dalam perkahwinan. Pasangan yang terdesak selalunya mengamalkan budaya
sebegini bagi menyelamatkan rumahtangga mereka. Budaya perkahwinan ini turut terdapat di
Malaysia dan sebahagian masyarakat yang menggunakan pendekatan ini ialah pasangan yang
cetek ilmu agama dan mengambil jalan penceraian sebagai penyelesaian terhadap masalah yang
dihadapi. Walaupun isu perkahwinan buta ini kelihatan remeh, namun ia berpotensi memberi
kesan yang buruk kepada masyarakat dan penganut agama Islam amnya. Apabila perkahwinan
cina buta menjadi kebiasaan dalam masyarakat, berkemungkinan mereka yang sudah berkahwin
akan mengambil remeh perkataan ‘talak’, ‘cerai’ dan yang seumpama dengannya kerana
pasangan mereka yang sudah diceraikan pasti boleh bernikah semula walaupun diceraikan
dengan talak tiga. Oleh itu, jumlah kes penceraian akan meningkat pada masa akan datang.
Walaupun penceraian dibenarkan dalam Islam, namun ia adalah perkara halal yang paling tidak
disukai oleh Allah S.W.T.

Isu kedua yang menarik perhatian kami di dalam buku ini ialah dari segi kepelbagaian
bentuk kepercayaan yang dipegang di dalam masyarakat Acheh. Terdapat pelbagai kepercayaan
namun yang menjadi perhatian ialah kepercayaan sesetengah masyarakat kepada makhluk halus.
Bagi mereka, kepercayaan ini adalah proses untuk mendapatkan calon-calon isteri dengan
menggunakan kaedah sihir. Namun terdapat halangan daripada pihak calon perempuan apabila
mendapati anak dara mereka disihir lalu membawanya kepada pawang atau dukun untuk
mengubatinya. Maka akan terjadilah pertembungan antara kedua-dua pawang atau dukun ini
dalam beradu ilmu sihir mereka di samping tidak ingin menghampakan kehendak individu yang
meminta. Keadaan ini akan reda apabila kedua-dua dukun atau pawang ini tidak lagi bersaing
dan ini dapat dikenalpasti melalui keadaan orang meminta tadi. Ini terjadi di dalam masyrakat
terpencil yang tidak mendapat pendedahan tentang perkahwinan yang sah menurut agama Islam.
Hukum bagi kepercayaan ini menurut agama Islam adalah syirik kerana mempercayai makhluk
atau objek lain lebih berkuasa selain daripada Allah S.W.T. Allah S.W.T melaknat umatnya yang
mengamalkan kepercayaan ini untuk mendapatkan sesuatu supaya menjadi milik mereka atau
mengambil jalan yang mudah untuk memperolehi sesuatu. Akibatnya, agama Islam akan
dipandang rendah oleh agama lain kerana penganutnya yang mempercayai makhluk lain lebih
berkuasa daripada tuhan mereka iaitu Allah S.W.T. Selain itu, masyarakat yang mengamalkan
kepercayaan karut ini tidak akan maju ke hadapan dari segi cara hidup mereka kerana terus-
menerus meminta bantuan makhluk halus tanpa berusaha dengan anggota tubuh badan mereka
sendiri. Oleh itu, hidup mereka akan bergantung kepada makhluk halus untuk mendapatkan
sesuatu dan jika tanpa bantuan makhluk tersebut, mereka tidak mampu berbuat apa-apa.

Terdapat juga isu lain yang timbul di dalam buku ini dan ia adalah isu anak luar nikah
yang menjadi perdebatan hangat sejak dahulu hingga kini. Anak luar nikah merupakan zuriat
yang dilahirkan oleh pasangan yang mengadakan hubungan seks terlarang dan tidak direstui di
dalam agama Islam. Pada zaman dahulu, masyarakat di Acheh memandang serius terhadap isu
ini dan masyarakat yang mengamalkannya ialah masyarakat Aceh, Tamiang dan Aneuk Jamee.
Di daerah ini, pelbagai panggilan digunakan untuk menggelar anak luar nikah dan ini
termasuklah anak jadah atau aneuk bajeung. Kebiasaannya, anak luar nikah yang dilahirkan
pada zaman dahulu akan dibunuh atau dibuang manakala pada zaman kini, anak luar nikah akan
dipandang hina oleh masyarakat umum. Hal ini disebabkan tanggapan masyarakat yang
mengandaikan anak tersebut membawa kesialan dan aib kepada keluarganya. Keadaan ini turut
mempengaruhi kestabilan institusi kekeluargaan menurut agama Islam. Islam memandang serius
tentang perkara ini namun anak-anak yang dilahirkan ini pada zahirnya adalah makhluk yang
tidak berdosa hanya disebabkan perbuatan terkutuk pasangan yang melahirkannya. Layanan dan
tanggapan yang buruk kepada anak luar nikah bukan sahaja boleh menyebabkan ketidakfungsian
individu tersebut, malah keluarganya turut tidak dapat berfungsi dengan baik dalam masyarakat.
Oleh yang demikian, pekerja sosial seharusnya mengubah sikap prejudis masyarakat terhadap isu
ini selain memberi kesedaran tentang kesan buruk akibat daripada seks bebas yang
berkemungkinan mewujudkan anak luar nikah.

Di samping itu, isu keempat yang kami perolehi di dalam buku ini ialah isu poligami
yang diamalkan di dalam sesetengah masyarakat di Acheh khususnya oleh golongan alim ulama.
Isu yang ingin dikupas di sini ialah tujuan si lelaki terbabit mengahwini empat orang perempuan
sama ada untuk mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W ataupun hanya untuk pemuasan nafsu
seksual lelaki tersebut. Isu lain yang mendapat perhatian kami ialah hak isteri-isteri yang
dipoligami di mana isteri pertama mendapat kedudukan yang lebih tinggi berbanding isteri yang
lain kerana dianggap oleh si suami sebagai isteri pemberian oleh kedua orang tuanya. Pada
zaman dahulu, isteri pertama diberi kebebasan untuk mengatur keperluan atau perbelanjaan
madu-madunya selain mendapat perhatian yang lebih daripada pihak keluarga si suami. Dalam
pada itu, isteri pertama juga mendapat hak istimewa di mana beliau dipandang sebagai isteri
yang berhak untuk mengikut si suami dalam menjalani kegiatan-kegiatan sosial di luar rumah
dan ini dianggap sebagai mewakili isteri-isteri yang lain. Isu lain yang timbul dalam isu poligami
ini ialah si suami tidak diwajibkan dalam pemberian nafkah kepada isteri-isteri kerana si isteri
gigih dalam mencari pendapatan keluarga mereka menerusi kegiatan bercucuk tanam. Ini sedikit
berbeza dengan kepelbagaian budaya yang diamalkan masyarakat di Malaysia. Persoalannya, di
manakah keadilan yang perlu ditonjolkan oleh si suami dalam isu poligami seperti yang
dititikberatkan dalam Al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W. Ini termasuklah
isu pemberian nafkah yang dipandang ringan oleh masyarakat di Acheh di mana keadaan ini
seperti memandang hina agama Islam. Secara tidak langsung, lelaki yang mengamalkan poligami
seperti yang telah dinyatakan di atas sememangnya tidak mampu untuk menyara kesemua
isterinya apatah lagi anak-anaknya seterusnya menyebabkan keperluan mereka tidak dapat
dipenuhi. Hal ini akan mengakibatkan mereka akan hidup dalam keadaan serba kekurangan dan
berkemungkinan melakukan sesuatu yang salah bertujuan untuk mencapai matlamat mereka
seperti kata pepatah ‘matlamat menghalalkan cara’.

Isu kelima dan terakhir yang boleh diketengahkan di sini ialah perkahwinan sesama
saudara yang mempunyai pertalian darah di mana keadaan ini diamalkan oleh sesetengah
masyarakat Acheh seperti di dalam masyarakat Tamiang dan Aceh. Bagi mereka, perkahwinan
ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama keluarga dan hendak mempertahankan harta
warisan keluarga mereka supaya tidak terjatuh ke tangan orang lain. Alasan lain ialah untuk
membantu melindungi masa hadapan anak-anak saudara yang telah kematian kedua orang tuanya
selain memandang daripada sudut kecantikan dan kepintaran anak saudara itu dan supaya tidak
dimiliki oleh orang yang tidak setaraf status sosialnya. Namun daripada sudut agama Islam,
perkahwinan ini adalah tidak harus kerana dikhuatiri salasilah keturunan keluarga tidak
berkembang dan hanya terbatas dikalangan mereka sahaja. Di Malaysia misalnya, perkahwinan
jenis ini tidak diamalkan secara menyeluruh namun ia tetap digunapakai dalam keturunan Syed
dan Syarifah. Persoalannya, mengapakah perkahwinan seperti ini masih diamalkan sedangkan
Islam menggalakkan umatnya untuk mengembangkan salasilah keturunan keluarga mereka tanpa
memikirkan soal darjat mahupun keturunan dalam kalangan mereka. Kesan daripada
perkahwinan sesama saudara tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek. Masalah akan
muncul jika berlakunya pertelingkahan atau penceraian kerana ia akan mengakibatkan keluarga
mereka akan berpecah-belah walaupun mereka adalah dari keturunan yang sama.
PERANAN PEKERJA SOSIAL.

Dalam isu di atas, pekerja sosial harus memainkan peranan yang penting bagi menangani
masalah tersebut. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh pekerja sosial adalah sebagai
enabler (membantu mencapai matlamat), educator (mendidik dan menyuburkan ilmu), mediator
(menyelesaikan konflik dengan menggalakkan kompromi) dan sebagainya. Menurut Parsons,
Jorgensen dan Hernandez (1994:188), “The traditional role of enabler in social work implies
education, facilitation, and promotion of interaction and action”. Barker (1987) mendefinisikan
pemungkin atau fasilitator sebagai tanggungjawab untuk membantu klien agar mampu
menangani tekanan situasional atau transisional. Pernyataan ini membawa maksud dalam
literatur pekerjaan sosial, peranan “pemungkin” (enabler) sering juga disebut “fasilitator”.
Bahkan definisi kedua-duanya sering ditukarkan antara satu-sama lain.

Dalam isu perkahwinan cina buta yang menjadi isu hangat yang sering mendapat
perhatian di Negara Indonesia, jelas menunjukkan bahawa pekerja sosial harus menangani
masalah ini. Sebagai contoh, pekerja sosial hendaklah menjadi fasilitator. Dalam peranan
fasilitator ini, pekerja sosial perlu mengadakan program-program seperti ceramah motivasi
dengan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di Acheh. Dengan adanya
program-program yang dianjurkan oleh pekerja sosial ini, masalah perkahwinan cina buta ini
dapat diatasi dengan sebaik mungkin dan dapat memberi impak positif kepada institusi
rumahtangga dan masyarakat secara umumnya. Selain itu, pekerja sosial perlu berperanan
sebagai Mediator (menyelesaikan konflik dengan menggalakkan kompromi) dalam isu ini
dengan menghubungkan pengamal perkahwinan cina buta dan masyarakat sekeliling dengan
pihak yang berhak dalam memberi tunjuk ajar dari segi keagamaan seperti jabatan keagamaan di
situ. Oleh yang demikian, mereka dapat mendalami ilmu keagamaan seterusnya mengetahui
tentang keburukan amalan perkahwinan cina buta. Dalam memberi didikan dan bimbingan
kepada klien dan masyarakat setempat, pekerja sosial juga boleh mengaplikasi kemudahan
teknologi yang telah wujud. Misalnya, pekerja sosial menggunakan media massa sebagai
medium perantara antara pekerja sosial dengan masyarakat. Penggunaan media elektronik dan
media cetak sememangnya berpotensi tinggi dalam memastikan maklumat yang ingin
disampaikan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat kerana pada masa kini, hampir
semua kediaman mempunyai kedua-dua media ini.
Selain itu, dalam kes kepercayaan masyarakat terhadap animisme perlu juga di pandang
serius oleh masyarakat khususnya pekerja sosial. Berhubung dengan isu ini, pekerja sosial
seharusnya memainkan peranan sebagai fasilitator bagi menjamin kesejahteraan masyarakat agar
kepercayaan ini tidak menular, merosakkan akidah dan menggugat kefungsian sosial dalam
komuniti di Acheh. Pekerja sosial hendaklah mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat
dalam konsep sistem sosial yang terdiri daripada mikro, mezzo, dan makro. Daripada sudut
mikro, pekerja sosial perlu mengadakan sesi intervensi terhadap individu yang terbabit dalam
memesongkan akidah masyarakat seperti bomoh, guru ajaran sesat dan pengamal ilmu sihir.
Manakala daripada sudut mezzo, pekerja sosial perlu mengadakan kerja secara berkelompok.
Seperti diketahui, kerja sosial kelompok (social group work) sebagai satu kaedah kerja sosial
yang membantu individu untuk mempertingkatkan fungsi-fungsi sosial mereka melalui
pengalaman yang bermatlamat serta berkeupayaan untuk mengatasi masalah personal, kumpulan
dan komuniti. Pekerja sosial perlu menjadi pemungkin dan pemudahcara, yang mana seseorang
yang terlibat secara langsung dalam profesion ini akan menjadi agen perubahan kepada individu
atau kumpulan tertentu. Fokus utama bantuan yang diberikan oleh seorang pemungkin adalah
untuk mengoptimumkan potensi mereka secara menyeluruh, dan menghalang daripada timbulnya
gangguan fungsi dalam sesebuah sistem. Oleh itu, jelaslah peranan pekerja sosial sebagai
fasilitator dan ini amat penting untuk membangunkan atau menyedarkan sesebuah masyarakat di
samping membendung masalah tersebut.

Dalam isu anak luar nikah pula, pekerja sosial seharusnya memainkan peranan sebagai
initiator iaitu menyedarkan kepentingan tentang sesuatu isu. Pekerja sosial perlu menyedarkan
masyarakat Acheh atau komuniti setempat bahawa isu anak luar nikah berpunca daripada seks
bebas dan ia adalah salah di sisi undang-undang dan agama Islam. Pekerja sosial perlu menjadi
penggerak utama dalam menangani isu ini. Penyebaran maklumat atau pengetahuan tentang isu
ini perlu dilakukan di peringkat institusi-institusi yang berkaitan dan ianya harus difokuskan
kepada golongan remaja. Sebagai contoh institusi persekolahan dan keluarga. Selain itu, kempen
dan ceramah perlu ditumpukan kepada masyarakat yang kurang pendedahannya seperti di
kawasan luar bandar. Hal ini menyebabkan masyarakat luar bandar jahil mengenai isu
pendidikan seks dan seterusnya mereka mengambil mudah dalam isu seks bebas walhal keadaan
ini boleh mengakibatkan banyak kesan buruk seperti jangkitan HIV, penyakit kelamin, dan
sebagainya. Dalam isu ini, pekerja sosial juga berperanan sebagai broker atau penghubung.
Peranan ini boleh dijelaskan dengan menghubungkan dan menempatkan remaja yang
mengandung anak luar nikah di rumah perlindungan sementara menunggu mereka melahirkan
kandungan tersebut. Sementara itu, pekerja sosial boleh melakukan proses intervensi kepada
individu yang mengandung anak luar nikah. Proses intervensi ini dilakukan bagi meneroka
bagaimana remaja ini boleh terjebak dengan masalah tersebut dan memastikannya berada dalam
keadaan yang baik. Pekerja sosial juga perlu bijak menangani masalah ini agar kes mengandung
anak luar nikah dapat diatasi sebaik mungkin.

Seperti kes yang diutarakan di atas, isu poligami di Acheh dianggap serius kerana ianya
melibatkan hak-hak yang sepatutnya diperoleh oleh semua isteri dengan menekankan konsep
keadilan dan kesamarataan. Dalam isu ini, pekerja sosial harus memainkan peranan sebagai
activist atau pencetus perubahan sosial dengan berusaha dalam mengubah perspektif masyarakat
di Acheh khususnya berkaitan dengan isu poligami. Pekerja sosial tidak seharusnya
menumpukan proses intervensi semata-mata dalam menyelesaikan masalah ini. Sebaliknya,
pekerja sosial boleh menggunakan pendekatan lain seperti mengadakan kerjasama dengan
pejabat agama berhubung isu perkahwinan, poligami, penceraian dan sebagainya seperti
menganjurkan ceramah atau forum keagamaan. Pekerja sosial turut berperanan sebagai
perunding bukan sahaja dengan klien, malah pekerja sosial juga perlu mengadakan runding cara
dengan jabatan agama Islam khususnya, bagi membendung isu poligami ini agar ianya tidak
menular ke generasi akan datang. Melalui usaha ini, ia dapat memulihkan imej agama Islam yang
kian tercalar akibat meremehkan soal berkaitan hukum dalam Islam dimana si suami yang
berpoligami perlulah berpandukan kepada Al-Quran dan tidak mengabaikan syariat Islam.
Menurut ajaran islam, jika si suami berpoligami, maka dia hendaklah adil daripada segi
pemberian nafkah sama ada zahir ataupun batin. Berpandukan kepada peranan pekerja sosial
sebagai advocator dalam membela klien (isteri yang dipoligamikan), pekerja sosial perlu
berfungsi dalam membela nasib isteri-isteri yang tidak mendapat hak mereka. Manakala sebagai
broker pula, pekerja sosial boleh memainkan peranan sebagai pengantara atau dalam erti kata
yang mudah iaitu menjadi orang tengah kepada klien dengan institusi-institusi yang berkaitan
seperti pejabat agama, mahkamah syariah dan institusi lain.
Peranan terakhir yang boleh dimainkan oleh pekerja sosial dalam menangani isu yang
berkaitan dengan adat dan perkahwinan dalam masyarakat di Acheh ialah sebagai pencetus idea.
Ini dapat dilakukan dengan menerangkan kepada klien tentang hukum perkahwinan dalam Islam
walaupun ianya diluar bidang profesion Kerja Sosial. Perkahwinan sesama saudara sepatutnya
dielakkan kerana dikhuatiri salasilah keluarga tidak berkembang zuriatnya selari dengan agama
Islam yang tidak menggalakkan perkahwinan sesama saudara. Perkahwinan yang sempurna tidak
mementingkan darjat ataupun status sebaliknya keikhlasan hati dan kejujuran cinta diantara dua
insan akan menentukan hala tuju mahligai yang di bina. Di samping itu, ini turut menjamin
kebahagiaan rumah tangga kelak sama ada di dunia mahupun di akhirat. Dalam pada itu, tidak
mustahil pekerja sosial berperanan sebagai agen pencari jodoh dalam menentukan rumah tangga
seorang klien. Pekerja sosial akan berperanan sebagai pemberi maklumat kepada keluarga yang
mengamalkan perkahwinan sesama saudara agar mereka dapat mengubah cara dan sikap mereka
yang terlalu mementingkan darjat dan status. Sebagai contoh seperti perkahwinan di antara
keluarga syed dan syarifah yang jelas menunjukkan bahawa keturunan itu penting untuk
mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka agar tidak jatuh ke tangan
orang lain.
KESIMPULAN

Tuntasnya, isu-isu yang wujud dalam masyarakat secara amnya adalah berpunca daripada
masyarakat itu sendiri. Kekurangan pendedahan tentang ilmu perkahwinan, kejahilan mengenai
soal akidah dan agama dan sebagainya adalah sebahagian punca yang menyebabkan masyarakat
terdedah kepada masalah-masalah ini. Di sinilah perlunya kehadiran pekerja sosial dalam
memainkan peranan-peranan yang tertentu bagi mencorakkan hala tuju sesebuah masyarakat,
bak kata pepatah, ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

Kebobrokan yang dialami oleh masyarakat kini tidak seharusnya dipertanggungjawabkan


sepenuhnya ke atas sesuatu pihak sahaja. Ironinya, kerjasama antara pihak yang terlibat dalam
menangani isu ini amat dititikberatkan. Mengambil sepotong ayat di dalam Al-Quran, ‘nasib
sesuatu kaum tidak akan berubah melainkan mereka berusaha mengubahnya sendiri’. Ayat ini
membawa maksud bahawa sesebuah masyarakat itu perlu berusaha dalam mengubah nasib
mereka di atas dunia ini bagi menjamin kesejahteraan mereka.
RUJUKAN

Abu Bakar Al Yura, Pandangan Islam Terhadap Hukum Adat Warisan Adat Gayo di
Daerah Gayo Lut Kabupaten Daerah Tingkat II Acheh Tengah, Skripsi IAIN (tidak
diterbitkan) Darussalam 1976

Alfian Ahmat, Segi Sosial Budaya Masyarakat Acheh, LP3ES, Jakarta 1975

Ismuha, Adat Perkahwinan di Acheh Utara, Sinar Darussalam, No.58, November-


Disember

Pemuda, Propinsi Daerah Istimewa Acheh, Pekan Kebudayaan Acheh ke II, Banda
Acheh, 1973

Tamanuddin Selian, Adat Perkahwinan Alas dan Pengaruhnya Terhadap Pendidikan,


Fakultas Keguruan Universitas Syiah Kuala, Banda Acheh, 1979

Вам также может понравиться