Вы находитесь на странице: 1из 16

1.

Aiman Tak Kisah


Too many people spend money they havent earned, to buy things they dont want, to impress people they
dont like.
- Will Smith, American actor.
Hanya kita yang betul-betul peduli.
Tentang urusan duit kita.
Jangan ikut cakap orang lain. Orang lain nampak macam peduli mengenai kita seperti memberi
pandangan tentang simbol-simbol kekayaan kita seperti:

Kereta kita yang berharga RM 95,000


Baju baru yang kita beli dari butik terkenal
Telefon pintar berharga RM 2,000 yang kita gunakan.

Mereka memang suka beritahu begitu dan begini kepada kita.


Kita tak berfikir panjang.
Kita pun membeli sesuatu untuk menunjukkan kita ada duit. Namun cuba fikirkan, jika kita membeli
kereta yang mahal, pada hakikatnya di luar kemampuan kita dan satu hari kita tidak mampu membayar
hutang kereta dengan pihak bank, berapa ramai orang sekeliling kita yang mahu menghulurkan duit
untuk membantu kita keluar dari bebanan hutang kereta tersebut?
Hakikatnya, tiada siapa yang mahu ambil kisah situasi kewangan kita ketika susah. Jadi kenapa kita perlu
mendengar kata-kata mereka? Inilah yang dikatakan seperti peribahasa Melayu:
Kawan ketawa ramai, kawan menangis susah nak jumpa. Atau,
Aiman tak kisah!
Jadi jangan ikut-ikut orang. Ukur poket kita sendiri.
Kita perlu meniru sikap Nabi Nuh a.s.
Nabi Nuh a.s. mendapat wahyu dari Allah swt agar membina sebuah kapal yang besar di tengah-tengah
padang pasir. Lalu Baginda pun membina bahtera tersebut walaupun ketika panas terik, jauh dari sungai
dan laut. Orang di sekeliling Baginda hanya tahu mengejek-ngejek.
Nuh sudah gila. Buat bahtera tengah padang pasir.
Nuh dah hilang akal. Hujan pun jarang-jarang turun tapi nak buat kapal.
Nuh dah tukar kerja jadi tukang kayu. Dulu kata kerja dia Nabi Allah.

Namun Baginda a.s tetap meneruskan kerja dan tanggungjawab sehinggalah kapal tersebut siap. Apabila
sampai janji Allah swt maka hujan turun dengan lebat sehingga berlaku banjir besar dan menenggelamkan
semua yang mengejek, mencaci dan mentertawakannya. Cuma mereka yang percaya dengan ajaran Islam
yang disampaikan Nabi Nuh a.s. selamat dari banjir besar dengan menaiki bahtera tersebut.
Fokus!
Siapkan kapal!
Ya, apa yang kita mahu?
Bebas hutang ?
Portfolio saham bernilai RM 1 juta pada usia 30 tahun ?
Bersara 10 tahun lebih awal ?
Jadi, apabila kita sudah nampak apa yang kita mahu maka kita mesti fokus mencapai apa yang kita
mahukan. Jangan ambil peduli apa orang lain kata kerana kita sedang melaksanakan perancangan
kewangan kita.
Cuma 3 dari 10 orang di Malaysia yang serius menguruskan duit gaji.
Siapa yang bermula awal pasti lebih untung.
Mahukah tuan tahu apakah perbezaan antara Amir, yang menyimpan RM 100 sejak usia 25 tahun dan
Man, yang hanya mula menyimpan RM 100, pada usia 35 tahun ? Andaikan pulangan atas simpanan
mereka adalah 8% setahun.
Amir, pada usia 35 tahun telah mempunyai sekitar RM 18,774.58 manakala Man masih RM 0.
Manakala, menginjak usia 55 tahun, Amir telah mempunyai simpanan sebanyak RM 146,815.04
manakala Man cuma ada RM 59,307.51 sahaja.
Banyak perbezaannya jika kita bermula awal.
Lakukan sekarang.
Bertindak segera.
Tutorial Panduan Cashflow membantu kita menguruskan cashflow (aliran tunai) dalam pengurusan
kewangan sehari-hari. Mereka yang mempunyai cashflow yang baik ibarat seperti seorang yang tiada
masalah jantung. Darahnya dipam ke seluruh badan dengan lancar. Banyak penyakit dapat dielakkan
apabila darah kita mengalir lancar, kandungan kolestrol jahat yang rendah dan mempunyai kadar lemak
dalam julat yang sihat.
Kita bermula dengan melakukan 7 langkah yang mudah untuk menyediakan penyata kewangan peribadi
yang lengkap supaya kita mempunyai satu sistem pengurusan duit gaji yang mudah dan bersistematik
bermula dengan melihat situasi cashflow kita.
Kunci utama untuk bebas dari pelbagai masalah kewangan adalah dengan menjaga cashflow. Apabila
cashflow kita baik secara automatik banyak benda berkait urusan duit kita menjadi sihat.

Seterusnya kita juga dapat menganalisa situasi aset dan liabiliti kita iaitu berkaitan harta dan hutang yang
kita ada.

Bagaimana kita dapat menyelesaikan hutang kad kredit dengan lebih cepat?
Bagaimana kita dapat menjimatkan banyak duit semasa membayar hutang rumah?
Apakah strategi yang ada untuk menambah cashflow setiap bulan?
Apakah cara yang bijak untuk membeli sebuah kereta?
Apakah cara-cara menambah pendapatan bulanan?

Tutorial ini juga mempunyai lembaran-lembaran kerja yang wajib diisi semasa membaca supaya kita
mendapat hasil yang paling baik untuk menjadikan poket lebih tebal dan seterusnya akaun bank tidak lagi
menjadi kering kontang pada setiap hujung bulan.
Simple but not easy.
Semua kaedah, tips dan strategi yang dicadangkan adalah ringkas (simple) dan tidak kompleks.
Namun ia tidak semestinya mudah (easy) dilaksanakan kerana ia bergantung kepada tabiat kewangan kita
sedia ada. Ia tidak melibatkan alat-alat kewangan yang sofistikated kerana hidup ini sudah pun terlalu
kompleks, industri kewangan sudah pun terlalu sofistikated, justeru simplicity is the best.

2.

Kenapa Kita Perlu Jadi Kaya?

Kekayaan

bukanlah
diukur
dengan
banyaknya
Namun kekayaan adalah hati yang selalu merasa cukup.

harta.

(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)


Kenapa perlu jadi kaya?
Itulah soalan yang mesti kita jawab.
Makna Kekayaan
Apakah erti kekayaan kepada kita?
Ada yang mendefinisikan kekayaan seperti ada kereta besar, rumah besar, pakaian berjenama.
Namun itu semua sebenarnya bukan kekayaan. Apa yang disebut itu cuma simbol-simbol kemewahan
sahaja. Sekiranya kita hanya mengumpulkan simbol maka dalam hati kita pasti tidak merasa puas dan
cukup. Kekayaan tidak terletak pada simbol.
Kita Perlu Menjadi Kaya
Dalam al-Quran, perkataan zakat disebut 32 kali.
Manakala, sebanyak 26 kali daripadanya digandingkan dengan perkataan solat.
Perkataan sedekah pula disebut sebanyak 12 kali.
Ya, Islam suruh kita ada harta untuk bayar zakat banyak-banyak. Maka janganlah rasa bersalah mencari
harta sebab dengannya kita dapat berzakat dan memperbanyakkan sedekah. Kita memang perlu bayar
zakat. Dan hanya orang kaya yang bayar zakat.
Padam dari akal fikiran kita, kefahaman seperti menjadi orang kaya dan berharta itu salah dan berdosa.
Yang salah & berdosa itu jika kita mencari harta dengan cara yang salah, makan harta yang haram, atau
apabila sudah berharta tidak mahu bayar zakat dan bersedekah.
Hari-hari kita bersolat 5 waktu. Dan 26 kali ayat solat dalam al-Quran digandingkan dengan zakat.
Justeru, perkara ini mempunyai mesej yang besar untuk kita.
Orang Kaya Berasa Cukup
Kekayaan juga perlu memberi maksud yang lebih besar dan bermakna dalam hidup kita.
Seperti mempunyai keluarga yang bahagia, mampu berhenti kerja makan gaji sebelum usia 50 tahun,
dapat menjadi sukarelawan dalam bidang yang kita suka dan seterusnya.
Simbol-simbol kekayaan itu cuma sepatutnya menjadi alat untuk mencapai kekayaan yang sebenar iaitu
apa yang menyebabkan hidup kita menjadi cukup. Apa yang menyebabkan hati kita berasa seronok.
Sesuatu yang kita tidak dapat beli dengan wang tunai malah emas sekalipun.

Apakah makna duit yang kita kumpul itu sekiranya tiada ahli keluarga dan rakan-rakan yang
mahu menemankan kita mengelilingi dunia mahupun menikmati secawan kopi?

Apakah makna koleksi kereta yang kita miliki sedangkan kita sakit dan terlantar di atas katil?

Apakah erti banglo yang besar sekiranya ianya kosong dan senyap sunyi dari aktiviti yang
merapatkan silaturrahim sesama keluarga dan ukhuwwah sesama jiran tetangga?

Untuk berasa cukup, dari semua gaji dan hasil pelaburan, kita ambil sedikit untuk perbelanjaan yang perlu
dan banyakkan berzakat, berwakaf dan memberi sedekah.
Orang Kaya Dapat Memilih Cara Hidup Sendiri
Bagi saya kekayaan juga adalah masa yang dapat dimanfaatkan bersama keluarga.
Tidak ditentukan oleh sesiapa. Saya sendiri yang menentukan apa yang saya patut buat.
Justeru saya mahukan banyak masa terluang bersama orang-orang yang saya sayang. Saya mahu berada
di sisi mereka pada saat-saat yang penting, umpamanya ketika almarhumah emak saya sakit tenat saya
dapat menjaga beliau sehingga akhir hayat, ketika isteri mahu melahirkan anak saya dapat berada di sisi
beliau dan ketika anak-anak mempunyai acara penting di sekolah saya ada bersama mereka. Alat-alat
kekayaan adalah untuk membantu saya mencapai kekayaan tersebut.
Justeru saya memerlukan alat-alat tertentu seperti:

Pekerjaan dengan jadual kerja fleksibel.

Bisnes & pelaburan yang dapat memberikan pendapatan pasif.

Aset yang dapat saya jual untuk membeli masa berkualiti dengan keluarga seperti melancong.

Erti kekayaan bagi saya pasti berbeza dengan erti kekayaan tuan.
Ya, walaupun kita sama-sama membeli saham misalnya, ia cuma satu cara untuk mencapai kekayaan
yang masing-masing mahukan. Pesan Nabi Muhammad saw:
Seandainya manusia diberi lembah penuh dengan emas, maka dia masih mahu lembah yang kedua yang
penuh dengan emas. Jika diberi lembah kedua, dia masih mahu lembah ketiga. Perut manusia tidak akan
penuh melainkan dengan tanah. Allah tentu menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.
(Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)
Sebagai manusia kita tidak akan berasa puas mengumpul harta. Sudah ada RM 1 juta, mahu kumpul RM
10 juta pula. Dan jika duit tersebut tidak digunakan pada jalan yang betul ia tak dapat membantu diri kita
semula di hari akhirat kelak. Sedangkan harta yang kita sedekah, yang kita wakafkan dapat membantu
kita di sana.
Kita sering mendengar berita kematian selebriti antarabangsa yang terkenal, kaya raya dan boleh
dikatakan memiliki segala alat-alat kekayaan namun akhirnya terlibat dengan gejala dadah atau mati
membunuh diri. Sedangkan secara logik akal manusia, mereka telah menikmati segala nikmat dunia
namun kehidupan mereka tidak gembira. Mereka tidak berjumpa dengan apa sebenarnya yang hati
mereka mahukan.
Orang Kaya Adalah Orang Yang Mampu Memilih
Orang kaya tidak terbatas dengan duit dalam dompet.

Kita mempunyai pelbagai pilihan tanpa dibatasi banyak perkara.


Jadi apa yang sebenarnya hati kecil kita mahu

Bebas hutang?

Mendirikan rumah anak yatim?

Membantu penyelidikan kanser?

Mengelilingi dunia?

Menjadi sukarelawan?

Mempunyai yayasan sendiri?

Memberikan pendidikan tertinggi kepada anak-anak tanpa bantuan wang ringgit orang lain seperti
PTPTN, kerajaan dan peluang biasiswa?

Dalam Islam harta hanya pasti menjadi milik kita sekiranya kita memberi sedekah, zakat dan wakaf.
Walaupun harta tersebut nampak berkurangan tetapi sebenarnya ia bertambah dan sudah pasti menjadi
milik kita. Walaupun ikhlas paling utama, adakah kita berpuas hati hanya mampu bersedekah sebanyak
RM 10 berbanding RM 10,000 ?
Ya, ada 1001 matlamat yang dapat kita fikirkan. Carilah matlamat hidup yang memberikan kepuasan
dalam hidup kita. Bukan semua perkara dapat dibeli dengan duit, namun tanpa duit juga, banyak perkara
yang tidak dapat kita capai.

3.

Bagaimana Islam Mengajar Kita Menjadi


Kaya ?

Yusuf menjawab, Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun


berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai simpanlah bersama tangkainya;
kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
(Surah Yusuf: 47)
Islam ada menunjukkan cara-cara menjadi kaya.
Ia terkandung dalam surah Yusuf, dalam kisah mimpi Raja Mesir.
Prinsip ini telah ada sejak 3,000 tahun yang lalu dan masih releven sehingga hari ini. Kemudian, AlQuran telah mencatat kisah ini dalam surah Yusuf dalam kisah mengenai Mimpi Raja Mesir.

3 prinsip yang saya mahu kongsikan adalah:


1. Kita Perlu Ada Pendapatan

Langkah pertama adalah kita perlu mempunyai sumber pendapatan terlebih dahulu.
Sama ada pendapatan tersebut datang dari duit gaji, bisnes sendiri atau pun pelaburan itu tidak menjadi
persoalan pokok. Yang penting ada pendapatan. Islam mengajar kita agar tidak meminta-meminta dan
menjadi pengemis tetapi Islam menyuruh kita berusaha bersungguh-sungguh mencari pendapatan dengan
cara yang betul.
Kita tidak perlu berdebat sama ada makan gaji lebih baik atau buat bisnes. Ia tidak memberikan banyak
manfaat. Ada orang lebih berbakat menguruskan bisnes orang lain (makan gaji), ada orang lebih berbakat
menjadi pentadbir sektor awam, dan ada orang yang lebih berbakat menguruskan bisnes sendiri.
Apa yang penting adalah apa yang kita buat dengan pendapatan kita.
2. Simpan Dahulu, Kemudian Baru Belanja
Selepas memperoleh pendapatan adalah kita menyimpan sebahagian besar gaji terlebih dahulu.
Simpan bermula dari 10%, 15% atau 30% daripada gaji bersih. Lebih tinggi lebih bagus. Jika belum
mampu simpan sehingga 10% pendapatan setiap bulan, maka mulakan menyimpan walaupun cuma RM
50 sebulan.
Langkah ini adalah wajib dari sudut hukum pengurusan kewangan. Sekiranya kita tidak menyimpan maka
kita tidak dapat melabur. Jika kita tidak melabur, maka pendapatan kita tidak dapat berkembang dengan
sendirinya.
Menyimpan memerlukan disiplin. Sekiranya kita tidak dapat mendisiplinkan diri untuk membuat
simpanan tetap maka jangan fikir kita dapat melabur dengan baik. Disiplin dalam pelaburan adalah jauh
lebih ketat berbanding disiplin dalam menyimpan.
3. Ubah Gaji Jadi Harta
Orang yang mempunyai pendapatan RM 10,000 sebulan belum tentu dia berduit dan orang yang cuma
berpendapatan RM 3,000 sebulan boleh jadi seorang yang lebih berduit.
Kenapa?
Orang yang menyimpan, walaupun gajinya kecil akhirnya mempunyai lebih banyak harta berbanding
orang yang bergaji besar tetapi boros membeli simbol-simbol kemewahan.
Ingat lagi perbezaan Amir dan Man yang telah kongsikan tadi? Iaitu Amir yang mula menyimpan RM 100
sebulan pada usia 25 tahun berbanding Man, hanya bermula pada usia 35 tahun.
Amir, pada usia 35 tahun telah mempunyai sekitar RM 18,774.58 manakala Man masih RM 0.
Manakala, menginjak usia 55 tahun, Amir telah mempunyai simpanan sebanyak RM 146,815.04
manakala Man cuma ada RM 59,307.51 sahaja.
Pertama, sekiranya Man memikirkan untuk menunggu mendapat gaji RM 10,000 pada usia 35 tahun
baru untuk mula menyimpan, maka dia perlu menyimpan sebanyak RM 250 sebulan selama 20 tahun
untuk mendapat jumlah yang hampir sama dengan Amir pada usia mereka 55 tahun. Sedangkan Amir
kekal menyimpan RM 100 sebulan sehingga usia 55 tahun.

Kedua, realitinya jika kita menjadi seperti Amir, pada usia 35 tahun dengan modal tunai lebih dari RM
15,000 sudah tentu kita telah memulakan pelaburan lain yang dapat memberikan pulangan yang lebih dari
8% setahun. Ketika ini Amir telah dapat melangkah dengan lebih jauh berbanding Man.
Ketiga, jika pada usia 25 tahun dengan gaji seorang graduan muda pun dah mampu menyimpan RM 100
sebulan secara berdisiplin apakah kita tidak dapat meningkatkan jumlah simpanan kita dari masa ke masa
sejajar dengan kenaikan gaji dan bonus yang diterima?
Itulah maksud graf yang saya kongsikan dengan tuan pada awal bab ini menunjukkan perbezaan mereka
yang telah menguruskan wang dan mereka yang belum menguruskan wang. Apabila sampai masa yang
betul, Amir mempunyai modal yang mencukupi untuk memecut laju manakala Man baru mula
merangkak.
Manakala, mereka yang mampu menyimpan lebih banyak, misalnya RM 250 sebulan, hasilnya selepas 20
tahun:
ROI 5%: 104,157.76
ROI 8%: 148,268.76
Jika, menyimpan RM 500 sebulan pula, selepas 20 tahun:
ROI 5%: 208,315.51
ROI 8%: 296,537.53
Tapi saya tidak ada duit lah nak simpan,
Jangan beri alasan dulu, lihat balik pakai belanja kita.
Misalnya, kita mampu bayar bil Astro Superpack RM 144 sebulan, setahun sudah bayar RM 1728. 10
tahun pakai, sudah bayar RM 17,280. Namun, dengan jumlah yang sama, jika kita simpan, hasilnya
selepas 10 tahun:
ROI 5%: 22,821.33
ROI 8%: 27,035.40
Itu baru satu cara.
Ada banyak lagi taktik untuk mempunyai simpanan, memperoleh pendapatan sampingan dan juga caracara melangsaikan hutang dengan lebih cepat.

4. Kisah Kampung Pinang Sebatang


If you are planning for a year, sow rice;
if you are planning for a decade, plant trees;
if you are planning for a lifetime, educate people.

(Chinese Proverb)
Pada satu hari Datuk Ketua Kampung Kampung Pinang Sebatang memanggil semua penduduk kampung
berkumpul di padang yang luas untuk menyelesaikan masalah yang melanda kampung tersebut sejak
dahulu. Masalah tersebut adalah penduduk-penduduk Kampung Pinang Sebatang masih perlu mengambil
air dari sungai sendiri untuk urusan harian.
Maka semua lapisan masyarakat, kanak-kanak, remaja, ibu bapa dan orang-orang tua datang berkumpul
untuk mendengar apakah penyelesaian yang bakal diumumkan oleh Datuk Ketua Kampung. Mereka
sungguh gembira mendengar masalah harian ini dapat selesai tidak lama lagi.
Setelah penduduk kampung berkumpul, maka Datuk Ketua Kampung lantas mengumumkan, Wahai
orang-orang kampung, kita semua sudah sedia maklum masalah air yang berlaku dan dengan ini saya
mengumumkan dua pemuda yang bakal bertanggungjawab menyediakan bekalan air ke setiap rumah di
kampung ini. Dipersilakan maju ke hadapan.
Bersoraklah semua penduduk kampung mendengarkan pengumuman tersebut. Akan hilanglah kerisauan
bapa-bapa melepaskan ibu-ibu dan anak-anaknya ke sungai untuk mandi, membasuh dan urusan lainnya
kerana now everyone can have water supply.
Setelah sorakan reda, Datuk Ketua Kampung pun memohon kerjasama dari semua penduduk kampung
kepada dua pemuda yang dianugerahkan kontrak yang bernilai jutaan ringgit itu tadi.
Keesokan harinya penduduk kampung terkejut apabila subuh-subuh lagi sebaldi besar air sudah tersedia
di hadapan pintu. Alhamdulillah, mudah membersihkan diri di pagi hari. Tengah hari pula, tersedia lagi
sebaldi air. Disusuli pada waktu petang dan seterusnya malam.
Seronok semua penduduk Kampung Pinang Sebatang dengan perkembangan ini. Disebalik keseronokan
ini ada seorang pemuda yang bekerja keras mengangkut air dari sungai dan menghantarnya ke rumahrumah. Pemuda ini mengupah pekerja-pekerja yang gagah untuk membantunya membuat kerja tersebut.
Pemuda ini kita namakan sebagai Pemuda A.
Lama-kelamaan Pemuda A dan para pekerjanya mengalami kepenatan yang amat sangat. Upah yang
diterima tidak setimpal dengan penat lelah membanting tulang mengangkat baldi-baldi air dari sungai ke
setiap rumah.
Lama kelamaan bekalan air 5 kali sehari yang diterima oleh semua penduduk kampung berkurang
menjadi 4. Tidak lama kemudian 3. Seterusnya, naik semula menjadi 4. Tiba-tiba turun menjadi 2. Ini
menyebabkan orang kampung berasa marah dengan apa yang berlaku.
Mereka pun beramai-ramai mengadu kepada Datuk Ketua Kampung mengenai hal tersebut. Setelah
perbincangan dibuat barulah mereka sedar selama ini yang menghantar bekalan air ke rumah-rumah
hanya disediakan oleh Pemuda A. Ke manakah hilangnya pemuda seorang lagi? (Kita namakan dia
sebagai Pemuda B)
Tiada seorang pun mengetahui misteri kehilangan Pemuda B.
Setelah 6 bulan mengalami keadaan bekalan air putus-putus penduduk Kampung Pinang Sebatang tibatiba dikejutkan dengan kehadiran jentera-jentera berat memasuki kampung. Ada yang menuju ke sungai,
ada yang menuju ke bukit ada yang menuju ke kawasan-kawasan perumahan.

Datuk Ketua Kampung pun memeriksa keadaan yang berlaku. Rupa-rupanya Pemuda B yang datang
membawa pelbagai jentera untuk membekalkan air kepada penduduk-penduduk kampung.
Setelah 3 bulan bekerja menyiapkan struktur-struktur penting, akhirnya Pemuda B membuat
pengumuman kepada semua penduduk bekalan air bersih bakal masuk ke setiap rumah melalui sistem
perpaipan yang sempurna.
Air sungai disalurkan ke satu empangan yang besar dan diproses agar bebas dari kuman berbahaya dan
seterusnya mengalir ke paip-paip air yang telah dipasang di setiap rumah. Semua proses ini dibuat dengan
pelbagai teknologi hijau yang ada.
Pemuda A terlopong melihat kebijaksanaan Pemuda B menyediakan bekalan air. Tidak seperti dirinya
yang terpaksa bekerja keras setiap hari untuk menghantar air ke rumah-rumah sehinggakan kualiti
perkhidmatan tidak dijaga dengan baik.
Melihat kejayaan Pemuda B memberikan bekalan air yang lebih sempurna dari Pemuda B, Datuk Ketua
Kampung pun bertanya kenapa selepas 9 bulan baru bekalan air ini dapat disediakan dan bukan sejurus
selepas pengumuman dibuat seperti yang dilakukan oleh Pemuda A?
Pemuda B pun menerangkan dengan peruntukan yang diterima, dia pergi mencari ilmu yang bersesuaian
dengan ilmu pembekalan air dan pada masa yang sama mencari pelabur-pelabur yang berminat untuk
melaksanakan projek tersebut. Setelah mendapat ilmu yang cukup dan pelabur-pelabur pun telah tersedia,
dia pun merangka pelan yang lengkap untuk menyediakan air yang bersih dan terjamin kualitinya.
Kemudian barulah dia kembali ke Kampung Pinang Sebatang untuk melaksanakan projek tersebut.
Akhirnya, semua penduduk Kampung Pinang Sebatang tidak lagi menghadapi masalah bekalan air.
Kesusahan yang mereka alami dulu kini sudah tiada lagi kerana adanya seorang pemuda yang bijaksana,
yang teliti merancang dan melaksanakan tindakan yang tepat dengan situasi yang dialami.

5.

Perancangan Strategik Nabi Muhammad


saw Dalam Peristiwa Hijrah

Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad saw merupakan satu episod yang penting dalam sejarah Islam.
Allah swt dapat memerintahkan sekalian malaikat membawa Nabi Muhammad saw dari Mekah terus
sampai ke Madinah tanpa perlu bersusah payah. Namun peristiwa Hijrah tidak berlaku begitu.
Nabi Muhammad saw mempunyai pelbagai strategi dan perancangan tertentu antaranya seperti berikut:

Meminta Sayyidina Ali r.a. menggantikan baginda di tempat tidur.


Keluar dari rumah pada waktu tengah hari terik, perkara yang orang lain tidak buat untuk
bermusafir di padang pasir pada ketika itu.
Memilih Sayyidina Abu Bakr as-Siddiq sebagai rakan dalam hijrah ke Madinah.
Memilih jalan lain ke Madinah yang lebih jauh dan jalan tersebut bukan jalan yang selalu
digunakan oleh orang lain.
Melantik Abdullah bin Uraiqat (bukan Islam) sebagai jurupandu arah.
Asma bt Abu Bakar dan Abdullah bin Abu Bakar sebagai penyampai maklumat dan
menyediakan bekalan makanan ketika bersembunyi di Gua Thur.
Amir bin Fuhairah menjadi individu yang memadamkan jejak baginda dan Sayyidina Abu Bakar.
Menjadi orang biasa-biasa sepanjang perjalanan sedangkan Nabi Muhammad saw dan Sayyidina
Abu Bakar sudah dikenali ramai.
Membina masjid di Quba sebelum memasuki bandar Madinah dan juga membuka pasar untuk
umat Islam.

Sekiranya manusia seistimewa Nabi Muhammad saw juga merancang dengan teliti untuk berhijrah, maka
sudah tentu kita juga perlu mempunyai merancang dengan baik untuk berhijrah dari keadaan kewangan
yang biasa-biasa menjadi seorang yang mempunyai keadaan kewangan yang luar biasa!
Hijrah menyebabkan kita perlu keluar dari zon selesa. Ramai para Sahabat Nabi saw yang berhijrah
terpaksa meninggalkan harta benda di Mekah dan memulakan hidup baru di Madinah sehelai sepinggang.
Semuanya dibuat untuk mencari sesuatu yang lebih baik.
Justeru, kita perlu keluar dari zon selesa kita dari masa ke masa.
Jika kita banyak berhutang, berhijrah ke arah mengurangkan hutang.
Jika hutang telah tinggal sedikit, berhijrah untuk zero hutang.
Jika masih cashflow negatif, menjadi cashflow positif.
Jika belum menyimpan, memulakan simpanan sendiri.
Jika sudah ada simpanan, mula membuat pelaburan kecil-kecilan.
Jika sudah melabur kecil-kecilan, mula melabur dalam skala besar.
Jika sudah menjadi pelabur besar, wakafkan pelaburan tersebut.
Jika selama ini buat untuk poket sendiri, selepas ini buat untuk poket badan-badan kebajikan.
Dan seterusnya. Apakah kita telah bersedia berhijrah untuk menjadi kewangan kita lebih baik? Mahukah
tuan memulakan langkah hijrah pertama sekarang juga?
6.

7 Tanda Awal Penyakit Kewangan Yang


Kita Perlu Ubati Segera

Never spend your money before you have earned it.


- Thomas Jefferson
Setiap penyakit ada simptom tertentu.

Termasuklah sakit berkaitan duit.


Simptom-simptom ini perlu diatasi segera kerana khuatir ia merebak menjadi penyakit kanser yang
berbahaya. Jangan ambil mudah hal-hal yang nampak kecil sebegini, kerana tiada perkara yang terusterus jadi besar. Mesti puncanya datang dari perkara-perkara yang kecil cuma kita baru perasan apabila
perkara kecil dikumpul banyak-banyak akhirnya membesar.
Berikut adalah 7 petanda yang menunjukkan kita ada penyakit dalam urusan kewangan
1. Menambah bilangan kad kredit
Kita tidak mempunyai cashflow bulanan yang mencukupi.
Akhirnya kita bergantung dengan penggunaan kad kredit.
1 kad kredit sebenarnya lebih dari cukup. Tetapi disebabkan kad tersebut sentiasa menghampiri had limit
kredit yang ditetapkan, maka kita pun mulalah mencari kad kredit lain untuk berbelanja pula. Kononkononnya sebagai kad kecemasan. Tetapi kita masih belum mengubah tabiat kewangan dan akhirnya
terpaksa bergantung hidup dengan kad kredit.
Awas!
2. Hutang kad kredit bayar yang minima sahaja
Sudahlah hidup dengan kad kredit, bayar hutang kad kredit pula hanya cukup-cukup jumlah yang bank
minta.
Maka setiap hari hutang semakin bertambah. Bayar pula tidak ikut masa yang ditetapkan, bank tambah
lagi penalti kewangan.
Aduh! Hutang makin bertambah!
3. Usik akaun simpanan
Tabungan memang ada.
Mula-mula memang rajin menyimpan.
Masa bujang dulu, komitmen masih kecil. Tetapi bila sudah beli kereta, beli kamera dengan kad kredit,
beli laptop dengan kad kredit, belanja kahwin secara berhutang, maka simpan waktu bila ada lebih sahaja.
Apabila perbelanjaan menjadi lebih banyak dari pendapatan, maka mula lah usik akaun simpanan untuk
bayar itu dan ini.
4. Bergilir bayar bil bulanan
Bil api, air, ASTRO, telefon, internet merupakan perbelanjaan yang nampak sedikit tetapi sebenarnya
banyak.
Tapi kalau lambat bayar sebulan dua bukan kena potong terus pun. Maka kita pun menggilirkan
pembayaran bil utiliti setiap bulan. Eh, macam kahwin dua pula.
5. Tidak boleh tidur malam

Hutang jika tidak diuruskan dengan betul, boleh menyebabkan hidup kita tidak tenang.
Barangkali kerja pun mula tidak fokus dan tidur pun jadi tidak lena kerana banyak memikirkan hutang
dan masalah kewangan lainnya. Ini memang bahaya!
6. Mula bergaduh dengan pasangan kerana duit
Kes-kes penceraian ada banyak berkaitan dengan isu harta. Nauzubillah.
Jadi, jika ada masalah kewangan, hutang, maka kita perlu bawa berbincang dengan suami-isteri untuk
mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ia mesti dibincangkan secara terbuka dan bukan simpan sahaja
sampailah hanya menunggu masa untuk meletup.
7. Mencari easy loan
Kad kredit sudah jadi koleksi dalam dompet.
Pembiayaan peribadi juga sudah buat overlapping.
Tetapi masalah wang masih tidak selesai. Kita pun mencari-cari peluang skim pinjaman dan pembiayaan
mudah yang tidak perlu tengok CCRIS, CTOS, blacklist dan sebagainya. Silap haribulan, meminjam
dengan along. (Kami cuma mau tolong maa!)
Masa Kaya Sebelum Miskin
Jangan tunggu menghadapi situasi-situasi di atas baru mahu cari ilmu kewangan.
Penuhkan ilmu kewangan di dada saat poket kita masih sihat lagi. Nabi Muhammad saw berpesan ingat 5
perkara sebelum datang 5 perkara dan salah satunya adalah, Masa kaya sebelum miskin.
Masa mendapat gaji adalah masa kita menjadi kaya. Dan kita perlu tahu cara yang betul untuk
mengekalkan kekayaan tersebut. Jika cara kita salah, selepas dapat gaji terus jadi miskin semula.
Ubah sebelum rebah.
7.

5 Perkara Wajib Buat Untuk Jadi Lebih


Kaya

Artikel asal diterbitkan di MajalahNiaga.com pada 20 Disember 2012


Semua orang hendak jadi kaya.
Tetapi bukan semua tahu caranya.
Saya sarankan tuan membuat 5 perkara berikut supaya akaun bank mempunyai lebih banyak duit.
5 Aktiviti Pasti Buat Banyak Duit
#1 Simpan

Tiada tips lain?


Tunggu. Menyimpan adalah perkara paling asas. Kalau tidak dapat menyimpan, kita pasti tidak dapat
menjadi pelabur yang baik.
Simpan sekurang-kurang RM 100 sebulan.
Kepada yang sudah menyimpan, tahniah. Selepas ini perlu menambah jumlah simpanan dari tahun ke
tahun. Kalau tahun lepas sudah menyimpan RM100 sebulan, tahun ini kena tambah lagi. Boleh?
Simpan 50% bonus yang diterima dan juga simpan 50% dari kenaikan gaji tahunan. Bakinya
berbelanjalah sesuka hatimu.
#2 Tulis dan shopping
Kita sebagai manusia membeli mengikut emosi.
Justeru apabila kita membeli belah tanpa menulis terlebih dahulu barang yang mahu kita beli, kita akan
membelanjakan lebih daripada apa yang sepatutnya.
Paling kurang kita pasti membelanjakan lebih dari 25% daripada bajet asal.
Barangkali perbelanjaan asal dapur misalnya RM 800 sebulan, dan disebabkan kita tidak menulis sebelum
shopping akhirnya kita membelanjakan sehingga RM 1,000 sebulan.
RM 200 bertambah sebulan menjadikan RM2,400 kos tahunan meningkat.
#3 Bersedekah
Tangan yang memberi lebih baik berganda ganda ganda ganda ganda ganda ganda ganda ganda ganda
dari tangan yang menerima.
Jangan kedekut untuk bersedekah. Duit yang kita sedekahkan sudah pasti menjadi milik kita. Duit gaji
yang anda terima tapi tidak disedekahkan barangkali jadi milik ASTRO, TNB atau pun makcik karipap.
Duit yang kita sedekahkan bukan sahaja tidak hilang tetapi bakal berganda-ganda dengan begitu unik
sekali.
#4 Gunakan Tunai, Bukan Kad Kredit
Sekiranya kita bukan seorang yang berdisplin dalam urusan kad kredit, amalkan perbelanjaan tunai
sahaja.
Jika terlupa keluarkan duit, ATM habis duit dan duit tidak cukup maka tidak perlu keluar berjalan-jalan.
Rancang sahaja perjalanan pada hari lain.
Jika kita masih belum ada kad kredit dan tiada tujuan khas (seperti pembelian online untuk bisnes), tidak
perlu cuba-cuba menggunakan kad kredit.
Kad kredit adalah berhantu. Lebih menakutkan dari cerita-cerita hantu Malaysia, Korea dan Jepun.
#5 Hadir Seminar Dua Kali Setahun, Beli Buku Sebulan Sekali

Sekiranya kita berminat dalam bidang masakan menonton Masterchef di televisyen tidak mencukupi. Kita
masih perlu juga belajar asas-asas memasak secara live. Paling kurang belajar dengan emak.
Saya masih hadir ke kelas-kelas berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan walaupun saya sudah
mempunyai sijil profesional dalam bidang ini.
Setiap bulan juga saya pasti membeli buku-buku berkaitan. Lagi banyak saya belajar dan membaca
rupanya lagi banyak yang saya tidak tahu. Jangan berhenti belajar.
Ilmu Adalah Kuasa dan Kekayaan
Duit yang kita ada boleh hilang. Pelaburan yang kita buat boleh rugi. Bisnes yang kita ceburi boleh tutup
kedai.
Namun, ilmu di dada kekal sampai bila-bila. Kita boleh gunakan semula untuk mencari duit baru,
membuat pelaburan lain dan menceburi bisnes lain.

Вам также может понравиться