You are on page 1of 7

TEMA

TUGASAN
SOALAN
ARAS

REMAJA BERWAWASAN
CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
CEMERLANG ( 26 30 MARKAH )

Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak
pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat
kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam
menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini, ciri-ciri remaja yang kamil
dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam
hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai ciri-ciri remaja
yang berwawasan.
Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian
kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan
suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang
berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia
hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan
remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu
yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang
kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah
dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang
berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang
mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang
buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri
remaja berwawasan.
Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang
luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan
sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan carilah ilmu sehingga ke negeri
China kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga
pernah berkata semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak
diketahui. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan
mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan
disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan
juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai
gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang
jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja
berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan
setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat dan berfaedah kerana
masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja
yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang
mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana
cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang
itu akan memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan
dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan.
Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat
untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan
negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan
agama demi menyahut seruan Satu Malaysia yang diuar-uarkan oleh Dato Seri Najib bin Tun
Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat
patriotik yang tinggi.

Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang


berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa
hadapan.
(496
perkataan)

patah

AKTIVITI-AKTIVITI MEMUPUK PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA


Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama
hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan
damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni Bersekutu
Bertambah Mutuuntuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di
Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.

Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman


perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang
kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui
aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui
perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika
kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati
pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama.
Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakanrakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat
perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum
dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan
membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh
dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling
memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata
mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.
Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat
jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman
perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat
Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh
organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan
penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat
menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum
akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara
satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham
antara kaum.
Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan
menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan
pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum

yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu
menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara.
Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anakanak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan
untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah
mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.
Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk
memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat
berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia
mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah
melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan
penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan
harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya
fantasi semata-mata.

TEMA
SEMANGAT KERJASAMA
TUGASAN SOALAN USAHA-USAHA
MEMUPUK
SEMANGAT
DALAM KALANGAN MASYARAKAT
ARAS
CEMERLANG ( 26 30 MARKAH )

KERJASAMA

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan
berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih,
serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup
berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung,
bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang
menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam
kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan
mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk
merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat
bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan
ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli
keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di
kawasan tempat tinggal mereka. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka
menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau
perjumpaan bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan
semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling
membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau
kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat bekerjasama dalam kalangan anggota
masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk
melalui kempen-kempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya
mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari
semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka. Tuntasnya, semangat
bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat
memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh

mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami
sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya
semangat bekerjasama penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan
seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat
melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa
penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan
lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana
yang aman dan harmoni ibarat peribahasake bukit sama di daki, ke lurah sama
dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati dengan penuh
bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan
aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat, seperti
dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti.
Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam
suatu kawasan penduduk setempat .
Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu
melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan
negara . Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat
kerjasama kepada murid-murid di sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para
guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai
aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong
membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah
dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya dapat
diimplimentasikan. Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia
melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh
biarlah dari rebungnyamembolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.

Intihanya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi


budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan
masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama
bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara
kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus
cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang
bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu
negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

Tema
: Keluarga
Tugasan : Ciri-ciri keluarga yang diimpikan
Rumahku, syurgaku merupakan ungkapan keramat yang memanifestasikan peri
pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan
sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama
syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya.
Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat
menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak
lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli
keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus
diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan
bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Oleh itu, kita harus
membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga
tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.
Sesungguhnya setiap
individu harus
memikul
dan melaksanakan
kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa
haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan
mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anakanak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak
seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini
semakin cepat menerima apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja dengan
perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain

putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi
menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah yang menjadi guru mereka kerana
merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya
menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah
ibu dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini
dapat diibaratkan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa
setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah
mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak
mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani
mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.
Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana intan,
yang mana kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan
sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat anak-anak yang naif lantas tidak berupaya
membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini ibu
bapa haruslah mengajar anak-anak mereka tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai
Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri
mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah
sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun
jagung dan darah setampuk pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka
tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan
masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena.
Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain
melayan anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa juga perlu
memastikan anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih
kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layanglayang terputus talinya. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak
mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara
kehidupan. Dalam benak saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang
menjadi idaman saya.
Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian
jika ibu bapa tidak meluangkan masadengan mereka walaupun hanya untuk bertanyakan
khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa
bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak
bererti mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut boleh juga
dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran
anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anakanak dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan
kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam
mengejar
fatamorgana dalam
aspek
kebendaan
sehingga
mengabaikan
tanggungjawab terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap
masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah
penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada siang
hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak,
tentu mereka akan makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak
yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau
bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anakanak agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.
Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana
ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti
perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan
mendapat keputusan yang cemerlang kerana pencapaian tersebut dapat membanggakan ibu
bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan
maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti
vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat
ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun
keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja.
Sebagai insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah

untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu
bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda
untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri
mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpama anak emas, mengapa kita sebagai
anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak
untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah
yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya
tiada ibu bapa,siapakah kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati
perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri
yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi impian saya.
Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat
menghormati antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada
mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana
keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama
baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang
bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin
dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam
keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta
dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya
dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh
adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang
yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin
membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan
datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, saya
mengimpikan
ahli
keluarga
yang mengamalkan
nilai-nilai
murni
dalam
kehidupan untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan
datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.
Kesimpulannya, itulah antara ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya
setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan
sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa
hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan
pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik
yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan
keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh
lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai
mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar
yang menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang memberikan
sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya.
Penskoran :
Peringkat
Cemerlang
Markah
82 - 85
dicadangkan
Komen :
Tugasan
Menjawab tugasan.
Idea
Relevan. Huraian jelas.
Bahasa
Ayat gramatis. Kosa kata luas dan menarik.
Pengolahan
Menarik dan berkesan. Pemerengganan seimbang.