Вы находитесь на странице: 1из 9

LANGKAH MENJADI PELAJAR CEMERLANG

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap pelajar pasti mempunyai keinginan


untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini
hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguhsungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah
sesuatu yang sangat sukar untuk dicapai sekiranya pelajar itu sendiri
mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi untuk mencapainya. Namun
begitu, dalam menelusuri arus globalisasi yang pantas bergerak bagai belut
diketil ekor ini masih terdapat segelintir pelajar yang masih tidak
menitikberatkan kecemerlangan akademik lantaran masih dibuai lena oleh
budaya hedonisme. Mereka ini lebih mementingkan keseronokan dan
hiburan daripada pendidikan. Pelajar-pelajar tidak sepatutnya menganggap
perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaan
mampu menjamin masa hadapan seseorang pelajar yang lebih cerah. Oleh
itu, pelajar-pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak
dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan jika asyik
mengabaikan pelajaran, bak kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tiada berguna. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
patut dilakukan untuk mencapai kecemerlangan seseorang pelajar?

Langkah perdana yang perlu dilakukan oleh seseorang pelajar yang


sentiasa mendambakan kecemerlangan ialah dia haruslah mempunyai
sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai
peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama
manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.
Mereka haruslah bercakap dengan menggunakan bahasa yang sopan santun
bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Sebagai contoh, seseorang
pelajar itu perlu sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka.
Mereka juga perlu sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan
dalam pelajaran. Hal ini kerana bantuan yang diberikan dapat mengukuhkan
pemahaman mereka atas penerangan yang diberikan. Sifat sombong dan
angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang ingin
cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak
pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan
prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di
sisi Tuhan. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul

disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra


kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa
kecemerlangan dapat dicapai melalui sahsiah dan peribadi yang unggul.

Langkah yang seterusnya ialah pelajar haruslah sentiasa mengikut


ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan
kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha.
Mereka perlu menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi
landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang
seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia
adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Mereka seharusnya mempunyai
nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka.
Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang ingin cemerlang perlu
menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan
solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan.Menurut Albert
Einstein, Agama tanpa ilmu ada buta, ilmu tanpa agama adalah
lumpuh. Izharlah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang
agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini
serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Jika ditinjau dari dimensi yang lain, kecemerlangan seseorang pelajar


dapat dicapai jika pelajar itu sentiasa mengisi masa lapang dengan bijak.
Setiap pelajar haruslah menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak
mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka perlu sentiasa mengisi
masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti
membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga
menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang dilakukan
seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti
harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan
masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang ingin cemerlang
juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan
membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini kerana
mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan
horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang

pelajar yang cemerlang bak kata slogan, membaca jambatan ilmu. Mereka
juga perlu menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak
menangguhkannya. Bagi mereka, bertangguh itu pencuri masa. Mereka juga
tidak akan mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses
menuntut ilmu. Secara tidak langsung, pengisian masa yang bijak dapat
mengekang mereka daripada terjebak dalam kebejatan sosial yang kian
menghambat golongan pelajar kita seperti vandalisme, gengsterime,
melepak dan sebagainya. Pelajar yang berdisiplin dalam pengisian masa
dengan aktiviti yang berfaedah juga dapat dilahirkan. Jadi, jelaslah kepada
kita semua bahawa pengisian masa yang bijak dapat membantu seseorang
pelajar untuk mencapai kecemerlangan yang diimpikan.

Di samping itu, seseorang pelajar juga perlulah sentiasa memberikan


tumpuan ketika guru sedang mengajar.Hal ini kerana perhatian dan tumpuan
yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang
cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang
dipelajari. Seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa lima puluh
peratus kejayaan pelajar-pelajar disebabkan faktor memberikan sepenuh
tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang
dijalankan. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberikan
sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam
proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,
maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas
bukan sahaja menjadi salah satu ciri kecemerlangan pelajar malahan juga
dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang
dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut
dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan
berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada
pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan
bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Ringkasnya,
pemberian tumpuan semasa guru sedang mengajar di dalam kelas turut
mendorong kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.

Bukan itu sahaja, kecemerlangan juga dapat dicapai


dengan menetapkan wawasan hidup. Hal ini kerana wawasan hidup
diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam

hidup mereka. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar
cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha
gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang
melayang. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai
sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti
berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih
teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti
seharian. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju
kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka.
Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara,
mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut
sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa
hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat
menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan
haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang
menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut
tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa
kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang
berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.

Seperkara lagi, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap


pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum.
Hal ini kerana melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan
para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai
kejayaan. Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat
buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam
bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada
aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi
aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Oleh itu, para pelajar
haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri
sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Para pelajar boleh
melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform,
serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dengan
menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka
seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur, minda pelajar akan
menjadi cemerlang lalu dapat menjana idea yang kreatif dan kritis. Dalam
konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan
mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang

cerdas lahir daripada badan yang cergas. Tegasnya, setiap pelajar perlu
bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang
cemerlang dan seimbang.

Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa terdapat beberapa


langkah yang dapat diimplementasikan oleh seseorang pelajar untuk
mencapai kecemerlangan dalam apa-apa jua lapangan yang diceburi.
Kecemerlangan seseorang pelajar dapat menjamin masa depan seseorang
pelajar yang lebih cerah. Pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri
yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka
menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai
hala tuju pendidikan negara. Oleh itu, para pelajar haruslah fokus akan
matlamat hidup mereka untuk menjadi insan yang syumul dengan
melakukan beberapa pendekatan yang telah dibincangkan. Namun begitu,
sekiranya kita meletakkan usaha ini atas bahu pelajar sahaja tidak
mencukupi kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi, semua
pihak terutamanya ibu bapa, guru dan Kementerian Pendidikan haruslah
menggembleng tenaga dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Himalaya
untuk melahirkan insan kerdil yang berjiwa besar dalam memburu
kecemerlangan. Komitmen jitu daripada semua pihak sudah pasti dapat
melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang sekali gus
usaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Mantan
Perdana Menteri dapat dicapai dengan mudah. Diharapkan usaha untuk
melahirkan modal insan yang holistik dan syumul untuk bersaing di
peringkat antarabangsa tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin. Benarlah
kata Soekarno, Berikan aku 10 orang belia waja nescaya akan aku gegarkan
dunia, kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara

Penggunaan telefon bimbit seolah-olah menjadi kemestian dalam kalangan


pelajar di sekolah walaupun mendatangkan pelbagai implikasi.
Jelaskan implikasi penggunaan alat komunikasi tersebut kepada pelajar.
Alaxander Graham Bell merupakan insan yang bertanggungjawab mencipta
alat telekomunikasi yang dinamakan sebagai telefon. Ciptaan beliau ini telah
dimajukan dan dimodenkan melaui penciptaan telefon bimbit atau dikenali
juga sebagai telefor selular. Dalam era yang serba canggih dengan kemajuan
sains dan teknologi, telefon bimbit adalah satu kemestian untuk dimiliki oleh
semua orang terutamanya pelajar zaman sekarang. Telefon bimbit
merupakan satu alat komunikasi yang sangat popular dan semakin meluas
dengan kecanggihannya tanpa mengira harganya. Hal ini kerana pelajar
zaman sekarang mampu untuk mendapatkan atau memiliki telefon bimbit
yang canggih dengan teknologi sekarang. Terdapat pelbagai jenama telefon
bimbit di pasaran di negara kita seperti telefon bimbit jenama nokia,
samsung, iphone, blackberry dan lain-lain. Jika diperhalusi, penggunaan
telefon bimbit dalam kalangan pelajar ini mendatangkan implikasi yang
pelbagai kepada para pelajar. Persoalannya, apakah-apakah implikasi yang
akan diterima oleh para pelajar jika mereka menggunakan telefon bimbit
dengan bijak atau sebaliknya?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan telefon bimbit banyak


memberikan faedah kepada para pelajar. Salah satu kebaikan yang
dimaksudkan ialah telefon bimbit boleh digunakan untuk menghubungi insan
tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati. Dewasa ini,
terdapat para pelajar yang melanjutkan pelajaran di sekolah yang berjauhan
dari tempat tinggal mereka dan mereka akan tinggal di asrama. Mereka
terpaksa berenggang dengan ahli keluarga tersayang mereka demi
melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan merealisasikan
impian keluarga untuk mencapai kejayaan. Jadi, hanya sebuah telefon bimbit
yang dapat menjadi medium untuk mereka melepaskan kerinduan.
Mendengar suara ibu dan bapa pastinya membuatkan jiwa pelajar lebih
tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan insan yang paling mengenali diri
anaknya. Apabila para pelajar bakal menduduki peperiksaan, mereka akan
menghubungi ibu bapa mereka melalui telefon bimbit untuk mendapatkan
kata-kata motivasi. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon bimbit oleh
para pelajar pastinya dapat mengukuhkan ikatan silaturahim antara ahli

keluarga bagai isi dengan kuku walaupun tinggal berjauhan. Tegaslah


bahawa telefon bimbit merupakan medium yang berkesan sebagai alat
perhubungan antara pelajar dengan ahli keluarganya.

Lain daripada itu, penggunaan telefon bimbit dapat membantu para pelajar
untuk bertanyakan hal-hal yang berkaitan persekolahan. Sebagai seorang
pelajar, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru merupakan satu
kewajipan penting bagi seseorang pelajar yang ingin berjaya. Dalam masa
yang sama juga, ada pelajar yang perlu berada di luar kawasan sekolah
untuk mengharumkan nama sekolahnya dengan menyertai pelbagai
pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Jabatan atau Kementerikan
Pendidikan. Hal ini menyebabkan pelajar tersebut tidak dapat mengikuti
aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Oleh itu, pelajar itu akan
menghubungi rakan-rakannya melalui telefon bimbit untuk bertanyakan
tugasan yang perlu disiapkan waima tidak berada di sekolah. Secara tidak
langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika pelajar
tidak boleh hadir ke sekolah dapat diketahui dengan segera melalui
penggunaan telefon bimbit. Budaya tolong-menolong ibarat berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing antara pelajar sekolah juga dapat dipupuk
dalam kalangan pelajar. Ringkasnya, penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan pelajar dapat memudahkan urusan pembelajaran mereka.

Malangnya, di sebalik kebaikan telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di


sebalik penggunaannya. Hal ini dikatakan demikian kerana telefon bimbit
dapat memberikan impak negatif terhadap penggunanya terutama kepada
para pelajar. Salah satu kesan negatifnya ialah penyalahgunaan telefon
bimbit dapat menatijahkan prestasi akademik dalam kalangan pelajar
semakin merosot. Hal ini memanglah serius kerana pendidikan merupakan
teras kekuatan masyarakat supaya mampu berdaya saing dengan pasaran
global pada era globalisasi yang pantas berubah. Misalnya, pelajar telah
mengabaikan pelajaran mereka kerana fokus pelajar semasa waktu
pengajaran dan pembelajaran telah berkurang. Menurut kajian, rata-rata
generasi muda menggunakan aplikasi dalam telefon pintar untuk melayari
laman sembang dan aplikasi permainan maya sehingga ketagihan. Secara
implisit, prestasi akademik pelajar akan merosot kerana kekurangan inisiatif
dan semangat yang membara bagai hilang kapak berganti beliung selepas
ketagihan dalam perisian telefon bimbit yang semakin canggih. Jelaslah

bahawa ketagihan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan


menjejaskan prestasi akademik mereka.

Jika ditinjau dari pandangan perancangan masa, pelajar yang menggunakan


telefon bimbit tanpa batasan telah mensia-siakan masa hadapan mereka.
Pengurusan masa memanglah penting untuk membentuk sahsiah diri yang
berdisiplin dan mempunyai sikap yang menghargai setiap detik yang
dikurniai oleh Tuhan. Masa bagai mata pedang yang akan memancung kita
jika tidak dimanfaatkan dengan bijak. Jadi, usia remaja perlulah diisi dengan
sebaik-baiknya dalam aktiviti yang berfaedah dan bukannya menghabiskan
masa berkualiti mereka dengan menatap skrin telefon bimbit. Menurut
tinjauan terkini, generasi muda telah menghabiskan sekurang-kurangnya 19
jam seminggu dalam penggunaan peranti mewah seperti telefon pintar,
tablet dan sebagainya. Ironinya, pelajar kini lebih cenderung membazirkan
masa untuk menghantar khidmat pesanan ringkas(SMS), bersembang dalam
talian dan bermain permainan maya yang tidak membawa manfaat dari segi
perkembangan jiwa dan minda. Jadi, pengurusan masa penting kerana
semakin lama kita melayani perkara yang membazir, semakin jauhlah kita
dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Izharnya, penyalahgunaan telefon bimbit
akan membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap
tidak berlalu.

Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, penggunaan telefon bimbit dapat
memudaratkan kesihatan pelajar. Akibat perkembangan arus perdana tanpa
batasan, pelajar kini semakin pasif dalam pergerakan fizikal dan mental.
Kebanyakan masa telah dihabiskan di depan telefon bimbit atau tablet
kerana tidak ingin ketinggalan dalam arus globalisasi yang pantas bergolek.
Natijahnya, kadar metabolisme yang rendah akan menggangu sistem
peredaran darah dan proses perkumuhan. Pada era atom ini, kadar radioaktif
atau ultraungu telah menjejaskan penglihatan pelajar. Mengikut kajian,
masalah penyakit dalam kalangan pelajar seperti penyakit lelah, asma,
penyakit mata dan telinga semakin kronik dan seakan-akan tiada
penghujung. Mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negaranegara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang
berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak. Hal ini kerana
gelombang elektromagnet yang terhasil daripada telefon bimbit apabila
terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan

mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan


kanser otak. Jika hal ini berlaku sudah pasti pelajaran dan masa hadapan
pelajar akan terjejas kerana tidak dapat hadir ke sekolah seperti pelajar yang
tiada masalah kesihatan. Pendek kata, penggunaan telefon bimbit yang
terlampau oleh para pelajar akan menjejaskan tahap kesihatan mereka.

Sebagai penghias penutup bicara, walaupun terdapat banyak


kebaikan yang boleh diterima oleh para pelajar daripada penggunaan telefon
bimbit, para pelajar juga akan menerima kesan negatif daripada penggunaan
telefon bimbit jika tidak digunakan secara berhati-hati. Jika tidak digunakan
untuk kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran
pelajar itu sendiri. Sewajarnya para pelajar yang merupakan tonggak negara
pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu
perkara sebelum dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera. Oleh
itu, para pelajar perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau alat
yang dicipta dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Ibu bapa
juga perlu menyelamatkan para pelajar daripada ketagih kepada telefon
bimbit. Memandangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar
lebih mengarah kepada status dan bukannya satu keperluan, ibu bapa
berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Jika tidak, pelbagai masalah
yang tidak diingini akan wujud sebaik sahaja pelajar yang belum keras ubunubunnya mula menggunakan telefon bimbitnya. Kita sebagai manusia
sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya.
Diharapkan usaha untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang,
gemilang dan terbilang di negara kita dalam pelbagai aspek dapat
direalisasikan.

Вам также может понравиться