Вы находитесь на странице: 1из 14

STRATEGI KEPEMIMPINAN LESTARI/MAPAN PENGETUA

Lokman Mohd Tahir, Mohd Anuar Abdul Rahman dan M.Al-Muzammil Yassin
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia

Abstrak: Pengetua selaku pemimpin sekolah telah dipertanggungjawabkan untuk memikul


beban dalam merealisasikan matlamat dan visi sekolah malah dasar pendidikan nasional. Dalam
memastikan segala matlamat dan objektif menjadi realiti, pengetua perlu mengamalkan stail atau
strategi kepemimpinan yang dapat memastikan segala objektif sekolah tercapai. Antara strategi
kepemimpinan terbaru adalah kepemimpinan lestari yang telah diasaskan oleh Hargreaves dan
Fink (2006). Kertas kerja ini cuba meneliti dan merumuskan sama ada pengetua sekolah adalah
pemimpin lestari atau sustainable leaders seperti yang perkatakan oleh Hargreaves dan Fink
(2003; 2006). Hasil kajian mendapati bahawa sebahagian dimensi kepemimpinan lestari telah
dijadikan amalan oleh pengetua sekolah menengah ketika memimpin sekolah

Kata kunci: kepemimpinan lestari, pengetua, strategi kepemimpinan.

Abstract: Principals as school leaders were accountable to in realizing the schools mission and
vision even the national educational agenda. In realizing educational objectives and visions,
principals have to used leadership styles or strategies to determine the school objective.
Sustainable leadership is the newest leadership strategy that should be practiced by principals
which were suggested by Hargreaves and Fink (2006). This paper will explore and summarize
whether school principals can be categorized as sustainable leaders introduced by Hargreaves
and Fink (2003; 2006). Finding reveals that principals have demonstrated sustainable leadership
constructs while leading schools.

Keywords: sustainable leadership, principals, leadership strategy.

PENGENALAN

Pengetua sekolah adalah individu yang diamanahkan untuk mentadbir sekolah. Dalam
konteks ini, ramai sarjana berpendapat bahawa kepemimpinan yang diperlihatkan oleh
pengetua menentukan kejayaan sekolah yang dipimpin (Leithwood & Day, 2007; Gurr &
Drydale, 2007; Dunford et al., 2000). Dalam konteks ini, Ayob (2005) dan Zaidatol
Akmaliah (2003) turut menegaskan bahawa kepemimpinan pengetua secara
signifikannya adalah tunjang utama terhadap keberkesanan sesebuah sekolah malah
menyarankan supaya setiap amalan kepemimpinan perlu diamalkan berdasarkan tiga
situasi utama iaitu matlamat entiti, individu yang dipimpin dan budaya sekolah. Pendek
kata, dapatlah dirumuskan bahawa kepemimpinan pengetua adalah tunjang utama
kepada merealisasikan hasrat dan misi pendidikan nasional.

Bagi memastikan misi dan visi sekolah serta dasar pendidikan negara tercapai,
pengetua akan mengamalkan stail atau strategi kepemimpinan yang sesuai agar segala
perancangan dan matlamat sekolah menuju objektifnya. Pada waktu yang lain, selaku
pentadbir, pengetua juga perlu memotivasikan, membimbing serta menjadi sumber
inspirasi dan perangsang kepada guru supaya produktiviti guru pada tahap yang
optimum. Motivasi dan komitmen guru dilihat merupakan aspek yang penting
memandangkan pengetua tidak mampu melakukan segala matlamat tanpa kerjasama
dan bantuan daripada guru selaku kepada pelaksana dasar pendidikan negara.
PERNYATAAN MASALAH

Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada sekolah dalam usaha melahirkan
warga yang berkualiti iaitu berilmu, bermoral serta berkemahiran tinggi. Bagi
merealisasikan aspirasi negara, pengetua adalah penjawat awam yang
dipertanggungjawabkan untuk memimpin sekolah supaya berfungsi dengan lebih teratur
dan berkesan. Namun begitu, isu kelemahan kepemimpinan pengetua dalam memimpin
sekolah bukanlah isu baru dalam kajian kepengetuaan. Kajian-kajian awal
mendedahkan bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam kepemimpinan pengetua
yang berupaya mengendalakan pengurusan sekolah untuk berfungsi dengan berkesan.
Antara kelemahan utama adalah stail kepemimpinan pengetua yang sentiasa merujuk
kepada model birokratik menyebabkan mereka kabur tentang peranan mereka sebagai
pemimpin yang perlu menjana komitmen guru terhadap sekolah (Azlin Norhaini Mansor
2006; Daresh, 2001) dan mengetepikan peranan sebagai pemimpin yang dapat
menjana modal insan yang berkualiti untuk tujuan pembangunan pendidikan (Chan
Yuen Fook 2004; Herbert 2006).

Secara ideal, pandangan dan dapatan kajian di atas mewajarkan kupasan


terperinci tentang kepemimpinan pengetua dalam usaha melahirkan pengetua yang
berwawasan, berwibawa dan sekaligus menjadikan kualiti kepemimpinan sekolah kita
bertaraf dunia. Kajian yang berterusan dalam bidang kepengetuaan juga dapat
menentukan kebenaran sama ada pengetua masih merujuk kepada model birokratik
atau sebaliknya. Di samping itu, kajian ini juga dilaksanakan bagi menentukan sama ada
pengetua sekolah menengah dapat dikategorikan sebagai pemimpin yang
mengamalkan strategi kepemimpinan lestari. Jawapan kepada persoalan tersebut
memerlukan kupasan terperinci tentang stail kepemimpinan pengetua dalam konteks
sistem pendidikan di Malaysia.

KERANGKA TEORI KEPEMIMPINAN LESTARI/MAPAN

Kepemimpinan lestasi atau sustainable leadership adalah strategi kepemimpinan yang


telah diasaskan oleh Andy Hargreaves dan Dean Fink pada tahun 2003. Mengikut latar
belakang, kepemimpinan lestari atau sustainable adalah satu-satunya strategi
kepemimpinan yang telah diasaskan oleh sarjana kepemimpinan pendidikan. Ini
bermakna, teori atau strategi ini tidak dipinjam atau diambil daripada strategi
kepemimpinan yang bersifat universal. Oleh itu, kepemimpinan lestari adalah merujuk
kepada model kepemimpinan sekolah iaitu gambaran bagaimana amalan dan tingkah
laku pengetua dalam membudayakan kepemimpinan serta mempertingkatkan kualiti
mahupun produktiviti guru di sekolah.

Dalam kepemimpinan lestari/mapan, Hargreaves dan Fink (2003) dan Fullan


(2005) melihat takrifan kelestarian tidak hanya merujuk kepada pengekalan kepada
konsep kekal dalam tempoh waktu yang singkat. Malah, beliau melihat konsep
kelestarian sebagai elemen kekal dan dapat diperbaharui untuk kebaikan semua pada
masa hadapan termasuk komuniti dan persekitaran. Secara jelas, definisi dan takrifan di
atas merujuk kepada dua konsep utama tentang keperluan pengekalan atau lestari
dalam konsep pembaharuan masa kini iaitu:

a. Pengekalan /kelestarian menekankan kepada hubungan yang kondusif


antara sekolah dalam persekitarannnya. Semua perubahan tersebut perlu
menjurus kepada kebaikan kepada semua pihak
b. Pengekalan juga menjurus kepada peningkatan prestasi untuk semua bukan
tujuan untuk individu tertentu sahaja.
c. Kelestarian juga perlu disokong oleh sumber organisasi yang membantu
mempertingkatkan kelestarian. Dalam konteks ini, kelestarian lebih tertumpu
kepada konsep pembaharuan jangka panjang seperti peningkatan dalam
pengajaran dan kemahiran guru.
d. Kelestarian juga mewujudkan satu sistem persekitaran yang dapat
memperbaiki kapasiti sekolah yang akan menyumbang kepada pembaharuan
secara keseluruhan.

Apabila berbicara tentang konsep kelestasrian, Hargreaves dan Fink (2003) juga
mengemukakan beberapa kekangan-kekangan yang dapat mengugat konsep
kelestarian dalam sesebuah sistem pendidikan. Antaranya adalah perubahan yang
standard serta sistem pendidikan yang mengutamakan penilaian dan peperiksaan yang
rigid. Elemen pengujian dan penilaian dikatakan dapat mengekang kemajuan
terutamanya para pelajar yang lemah. Dalam situasi ini, standardisasi sistem
pendidikan dikatakan akan memberi penekanan kepada guru dan pengetua untuk
mencapai keputusan peperiksaan yang terbaik melalui kaedah yang pelbagai yang
memberi implikasi yang negatif. Kerana ia berperanan hanya memenuhi keperluan
sesetengah pihak sahaja. Secara umum, elemen standardisasi dan penilaian yang rigid
akan hanya menjurus kepada matlamat jangka pendek sahaja. Maka, Fullan (2005) dan
Hargreaves dan Fink (2006) menekankan kepada elemen kelestarian dan perubahan
sistem pendidikan yang perlu mengambil kira lima ciri dan elemen utama iaitu:

a. Pembaharuan yang menitikberatkan pembelajaran; tidak mengubah


sesebuah sistem sekolah.
b. Pembaharuan yang menekankan matlamat jangka panjang
c. Pembaharuan yang disokong oleh sumber yang mudah diperolehi.
d. Pembaharuan tidak memberi impak yang negatif kepada persekitaran dan
sistem persekolahan.
e. Pembaharuan akan menggalakkan kepada kepelbagaian ekologi dan
kemampuan untuk meningkatkan penglibatan komuniti.

Prinsip Kepemimpinan Lestari


Setelah meneliti takrifan dan prinsip utama kelestarian dalam bidang pendidikan, kini
tumpuan diberikan kepada bagaimana seorang pemimpin mahupun seorang pengetua
mampu melaksanakan strategi kepemimpinan lestari dalam organisasi
pendidikan.Huraian tentang konstruk utama dan kontruk sampingan atau sub-konstruk
kepemimpinan lestari adalah dibincangan melalui Jadual 1 di bawah.

Jadual 1: Konstruk Kepemimpinan Lestari

Konstruk Utama Sub-konstruk


Membudayakan pembelajaran Sokongan kepada pembelajaran berterusan
Mengutamakan penguasaan ilmu dan kemahiran
Kebebasan memilih kepakaran
Berkongsi kepakaran dalam organisasi

Mewujudkan pemimpin pelapis Mempertingkatkan kualiti kepemimpinan pemimpin


pelapis
Budaya perkongsian ilmu pengurusan
Menganjurkan latihan kepemimpinan
Melatih guru menjadi pemimpin

Pengoptimuman sumber manusia Keutamaan kepada latihan berterusan


Melatih staf sehingga menjadi pakar bidang

Membina kapasiti sekolah dan Latihan dalaman untuk pertingkat kepakaran


matlamat jangkapanjang Memupuk konsep berpasukan
Membudayakan kerjasama
Mengutamakan kompetensi staf
Perkongsian nilai murni dan matlamat sekolah

Perkongsian faedah untuk semua Membantu pemimpin dari organisasi lain


Berkongsi rahsia kecemerlangan organisasi
Memberi sumbangan kepakaran
Bertukar informasi dan maklumat

Membina kepelbagaian sumber Mengutamakan kebajikan staf


Bersikap terbuka kepada idea dan pandangan
Fleksibel kepada sebarang perubahan
Pembangunan staf

Pengagihan kepemimpinan Memberi peluang staf untuk memimpin


Memberi tanggungjawab sebagai peminpin
Mempertingkatkan kualiti kepemimpinan
Melatih staf yang berminat menjadi pemimpin
Melaksanakan pengupayaan
(Sumber : Hargreaves dan Fink, 2003; 2006)

Tujuan Kajian
Secara khusus, kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu temu bual dan
pemerhatian dalam usaha memastikan sama ada pengetua sekolah menengah dapat
digolongkan sebagai pemimpin lestari.

METODOLOGI
Kajian ini menggunakan sepenuhnya kaedah kualitatif iaitu temu bual dan pemerhatian
kerana mengikut Curry (2003), kaedah kualitatif adalah kaedah terbaik untuk meneliti
amalan kepemimpinan pengetua berdasarkan konteks di mana mereka berkhidmat.
Malahan, kaedah kualitatif juga didapati berupaya memberi gambaran yang lebih tepat
tentang pengalaman, pola interaksi di sekolah yang dikaji serta sistem sosial sekolah
dalam konteks tidak formal yang kurang diteliti oleh kajian kuantitatif (Creswell 2001;
Merriam 2003; White 2003). Maka, seramai enam orang pengetua dipilih melalui kaedah
persampelan bertujuan untuk ditemu bual dan diperhatikan selama seminggu. Jumlah
enam orang pengetua ini adalah memenuhi syarat jumlah subjek kajian berbentuk
kualitatif yang disaran oleh Gredler (1996) dipetik daripada Pope et al., (2000) iaitu
antara 6 hingga 12 orang subjek. Tujuan utama temu bual dan pemerhatian
dilaksanakan adalah untuk memberi gambaran tentang bagaimana pengetua
mengamalkan strategi kepemimpinan lestari/mapan ketika memimpin sekolah. Atas
keperluan mematuhi etika kajian pula, identiti pengetua dan sekolah turut dirahsiakan
dan diberikan kod 1hingga 6 yang bertujuan menyembunyikan maklumat subjek kajian
seperti yang disaran oleh Patton (2003).

Pemungutan dan Penganalisisan Data


Setelah menemu bual pengetua, proses penyalinan data daripada kaset ke bentuk
transkrip dilaksanakan segera kerana data perlu disalin secara terperinci. Proses
penyalinan data temu bual adalah proses yang rumit dan memerlukan masa yang
panjang. Oleh itu, proses pemindahan data turut dilakukan ketika data masih mentah
dan segar iaitu perlu dilaksanakan setelah selesai sesi temu bual diadakan. Setelah
selesai proses mentranskrip data, satu salinan transkrip temu bual dipulangkan kepada
pengetua untuk disemak ketepatannya. Setelah memperolehi persetujuan daripada
pengetua, langkah seterusnya adalah memberi kod dan tema. Setelah selesai,
penyelidik kembali semula ke sekolah pada tarikh yang lain untuk melaksanakan kaedah
pemerhatian. Protokol pemerhatian berperanan merekodkan segala catatan tentang
pemerhatian berdasarkan beberapa ciri utama iaitu gambaran fizikal tempat kajian,
watak atau individu yang terlibat, aktiviti dan mesej yang hendak disampaikan serta
interaksi antara pengetua dengan guru.

DAPATAN KAJIAN
Secara keseluruhannya, perbincangan dapatan kajian akan difokuskan kepada tujuh
dimensi kepemimpinan lestari seperti yang dihuraikan oleh Hargreaves dan Fink (2003;
2006). Untuk perbincangan, setiap satu dimensi atau konstruk dilabelkan satu tema
berserta dengan subtema yang lain. Secara umumnya, terdapat tujuh tema utama
dalam perbincangan hasil penganalisisan data kualitatif melalui kaedah temu bual dan
pemerhatian. Tujuh tema utama ialah mengagihkan kepemimpinan, membina
kepelbagaian, membudayakan pembelajaran, pengoptimuman sumber iaitu aset
manusia, memimpin perkongsian faedah untuk komuniti atau sejagat, mewujudkan
pemimpin pelapis dan membina kapasiti sekolah yang dapat menyumbang kepada
persekitaran sejagat. Namun, hasil rumusan dan penganalisisan data kualitatif
menunjukkan bahawa pengetua hanya melaksanakan enam tema utama dalam
kepemimpinan lestari.

Tema 1: Pengoptimuman Sumber - Aset Manusia.


Secara rumusannya, pengetua sekolah amat memberi perhatian dan penekanan kepada
insentif kepada guru yang agar mereka dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang lagi
pada masa akan datang. Ini bererti, pengetua amat mengambil berat aset utama
sekolah iaitu guru. Dalam konteks ini, pengetua berpendapat guru adalah individu yang
utama dalam melaksanakan setiap tugasan, dasar mahupun visi sesebuah sekolah.
Melalui proses memberi pengiktirafan, motivasi dan prestasi kerja guru dan staf
sokongan dapat dipertingkatkan Proses memberi pengiktirafan sering digunakan
sebagai sumber motivasi untuk guru melalui pelbagai kaedah seperti ucapan terima
kasih, pujian secara lisan, mengumumkan kejayaan guru di perhimpunan dan memberi
insentif atau latihan lanjutan untuk mempertingkatkan lagi prestasi pengajaran guru.
Dapatan pemerhatian terhadap PT 1 menunjukkan beliau memberi penghargaan
kepada setiap guru yang datang berjumpa beliau dengan memberi ucapan terima kasih
kerana sudi berbincang dan bertukar pendapat dengan beliau. terima kasih cikgu
kerana datang berjumpa dengan saya (PT1). Melalui temu bual dengan PT 1, ucapan
terima kasih dianggap sebagai pengiktirafan serta digunakan sebagai galakan kepada
guru agar sering datang berjumpa dengan beliau jika menghadapi masalah. Secara
tidak langsung, hubungan interpersonal yang harmonis antara pengetua dengan guru
dapat dibina hasil daripada proses memberi pengiktirafan.

Pandangan PT 1 disokong oleh PT 5 dan PT 4 bahawa proses memberi


pengiktirafan dan penghargaan adalah kaedah yang digunakan untuk menawan hati
guru. Antaranya ialah memberi sagu hati, mengadakan jamuan, memberi cendera hati
serta mengumumkan kejayaan guru ketika perhimpunan pelajar, mengadakan kenduri
dan sujud kesyukuran sebagai ucapan terima kasih pihak sekolah hasil usaha dan
dedikasi guru. Catatan pemerhatian terhadap PT 3 telah menjelaskan lagi pelaksanaan
proses pengiktirafan pengetua kepada guru iaitu pengetua telah mengumumkan
kejayaan guru di perhimpunan sekolah pada pagi Isnin.

Saya juga tidak lupa mengucapkan tahniah kepada guru-guru sekolah ini
kerana telah berjaya dalam beberapa pertandingan tarian sempena Hari
Guru (PT 3). Secara tidak langsung, guru akan merasa seronok untuk
berkhidmat dengan lebih baik dan ikhlas.

Begitu juga dengan sikap terbuka yang ditunjukkan oleh PT 3 sewaktu beliau
mempengerusikan mesyuarat pengurusan sekolah yang dihadiri oleh guru penolong
kanan dan guru-guru kanan. Pengetua telah memberi peluang kepada guru untuk
memberi pandangan dan idea mereka. Perjalanan mesyuarat adalah lebih menjurus
kepada perkongsian maklumat dan berlaku interaksi dua hala. Dasar pintu terbuka PT 3
tergambar sewaktu beliau mempengerusikan mesyuarat:

Gabungan fikiran dan pandangan dapat memperbaiki kelemahan dalam


setiap dasar sekolah. Sebagai pengetua, saya tidak boleh nampak semua
kelemahan. Bagaimana cikgu ada pandangan atau pendapat. Kalau ada
luahkan. Kita kongsi sama-sama, cikgu-cikgu yang kena banyak
membantu saya. (PT 3).

Sub-tema 1: Perkembangan Staf


Proses perkembangan staf tertumpu kepada kemampuan pemimpin mempertingkatkan
kemahiran pedagogi guru. Hasil temu bual dan pemerhatian dengan enam orang
pengetua, penyelidik mendapati bahawa proses perkembangan staf dilaksanakan oleh
dalam kaedah yang berbeza-beza sama ada secara formal atau tidak formal. Proses
tidak formal ialah program mentorship antara guru lama dengan guru baru. Manakala,
bengkel, kursus dan program profesionalisme guru adalah program formal yang kerap
dilaksanakan di sekolah. Kelebihan proses perkembangan staf tidak formal ialah dapat
membina hubungan interpersonal yang lebih erat dan sirraturahim yang kukuh antara
guru lama dengan guru baru. Secara tidak langsung, hubungan erat adalah di antara
guru menjadi kunci utama kepada pembentukan semangat berpasukan.

Memetik hasil temu bual dengan PT 1, beliau amat menitikberatkan proses


perkembangan staf kerana ia dapat meningkatkan kemahiran, kematangan dan
pengajaran guru. Implikasinya, pencapaian akademik pelajar akan meningkat apabila
sekolah mempunyai guru yang mahir. Seperti pandangan oleh PT 3 iaitu:
Kursus atau program pembangunan staf telah menjadi rutin utama dalam
usaha meningkatkan profesionalisme guru baru melalui pelaksanaan
beberapa bengkel seperti pembinaan pasukan kerja, etika kerja,
pengurusan stres dan kemahiran bahasa Inggeris. Melalui kursus seperti
ini, guru dapat meningkatkan kemahiran mereka yang amat penting untuk
peningkatkan prestasi pengajaran mereka. Secara langsung, ia akan
memberi kesan kepada pencapaian akademik pelajar dan sekolah

Sub-tema 2: Utamakan Kebajikan Guru.


Proses mengutamakan kebajikan guru bermaksud pengetua amat fleksibel dan
menggunakan elemen kemanusiaan seperti fleksibiliti ketika kecemasan dan menjaga
kebajikan guru. Hasil kajian mendapati bahawa proses menjaga kebajikan guru telah
dilaksanakan oleh PT 4. PT 4 menjelaskan:

.sokongan guru dapat membangkitkan komitmen. Oleh itu, saya kena jaga
kebajikan guru. Saya beri mereka kebenaran untuk keluar menguruskan keluarga
yang sakit, anak menduduki peperiksaan malah urusan ke bank. Tapi, guru dan
staf sokongan harus bekerja lebih masa setelah urusan peribadi selesai. Di
sekolah ada membina Pusat Jagaan Kanak-kanak(PT 4).

Tema 2: Mengagihkan Kepemimpinan Di Sekolah


Secara keseluruhannya, pengetua sekolah menengah juga melaksanakan proses
pengagihan kepemimpinan seperti yang disarankan oleh Hargreaves dan Fink (2003).
Melalui pelaksanaan proses pengupayaan/mendelegasi di sekolah, pengetua telah
memberi kepercayaan kepada guru untuk mengurus sekolah dan membuat keputusan
berkaitan dengan pengajaran. Dapatan kajian melalui analisis temu bual mendapati
bahawa pengetua melaksanakan proses pengupayaan/delegasi di sekolah.
Pelaksanaan proses pengupayaan/mendelegasi kerap digunakan oleh pengetua
sekolah menengah ketika membuat keputusan mengenai pengurusan pengajaran.
Begitu juga dengan strategi kepemimpinan PT 6 yang telah lama mempraktikkan proses
pengupayaan/mendelegasi kepada guru kerana pengetua tidak mampu mengendalikan
segala pengurusan di sekolah. Untuk itu, PT 6 memberi peluang kepada guru dan guru-
guru kanan membuat keputusan ketika ketiadaan beliau khasnya berkaitan pengurusan
pertandingan. Beliau menjelaskan:

Pengurusan melibatkan banyak perkara yang sangat rumit dan kompleks


perlu diuruskan seperti pengurusan pelajar, pemakanan, yuran
pertandingan serta penginapan. Dalam memastikan segala pengurusan
berjalan dengan lancar, saya mengagihkan kepemimpinan kepada guru-
guru, jurulatih dan pengurus pasukan dalam mengurus segala aspek
berkaitan kejurulatihan dan pertandingan (PT 6).

Tema 3: Mewujudkan Pemimpin Pelapis


Mewujudkan pemimpin pelapis juga antara proses dalam strategi kepemimpinan
pengetua sekolah menengah yang dikemukakan dalam kerangka kepemimpinan lestari
oleh Hargreaves dan Fink (2003). Proses mewujudkan pemimpin pelapis bermaksud
pengetua melatih beberapa orang guru yang mempunyai ketrampilan untuk
melaksanakan pengurusan, membuat keputusan dan sering digunakan bersama
pelaksanaan proses pengupayaan. Antara objektif utama proses mewujudkan pemimpin
pelapis adalah untuk melahirkan bakal pemimpin sukan yang berkualiti dan mempunyai
komitmen yang tinggi terhadap tugas. Melalui temu bual, PT 6 melaksanakan proses
mewujudkan golongan pemimpin pelapis kerana bidang sukan adalah bidang yang
kerap mengalami perubahan dalam pucuk kepemimpinan. Oleh itu, tuntutan kepada
strategi kepemimpinan yang berkualiti amat penting terutama pemimpin yang
berkomitmen dan berdisiplin. PT 6 menjelaskan:

Kita mesti ada pemimpin pelapis, isi agenda kepemimpinan penting


kerana pemimpin atau pengetua sering bertukar ganti but the show must
go on. Oleh itu, kita mesti sentiasa melatih pemimpin yang akan
menggantikan kita pada masa akan datang Aspek ini penting
memandangkan kita tidak mahu guru pening apabila pengetua sering
bertukar. Pengurusan sekolah perlu berjalan terus . (PT 6).

Tema 4: Membudayakan pembelajaran di sekolah


Berdasarkan spesifikasi tugasan seorang pengetua, beliau perlu menitikberatkan aspek
pembelajaran dan perkembangan ilmu di sekolah. Hasil daripada kajian secara kualitatif,
penyelidik mampu merumuskan bahawa pengetua amat mengutamakan aspek
pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui
dapatan kajian iaitu pengetua amat kerap memantau dan menyelia pengajaran dan
pembelajaran guru. Berdasarkan temu bual dengan pengetua, perancangan aktiviti
akademik merangkumi beberapa tahap utama iaitu mengenal pasti masalah, cadangan
program dan pelaksanaan program pemulihan. Contohnya, PT 1 akan menganalisis
masalah untuk merangka beberapa program dijadikan cadangan untuk memperbaiki
prestasi pencapaian akademik pelajarnya. PT 1 menceritakan:

Pengurusan akademik di sekolah ini adalah berpandukan keputusan


peperiksaan kebangsaan tahun lalu. Setelah itu, beberapa program
akademik dirancang agar prestasi keputusan peperiksaan kebangsaan
sekolah dapat diperbaiki. Beberapa contoh program pelajar cemerlang
seperti program head count dan pelajar emas yang telah berjaya di
sekolah lain, cuba dilaksanakan di sekolah ini. saya minta pandangan
daripada guru-guru saya, saya bawa agenda ini ke mesyuarat.

Dalam situasi yang lain pula, pengetua juga melaksanakan pemantauan dan
penyeliaan terhadap pengajaran guru dalam memastikan segala pengurusan akademik
telah dilaksanakan dengan baik dan efektif. Melalui proses pemantauan dan penyeliaan,
pengetua akan meronda, menyelia dan melakukan pencerapan terhadap pengajaran
guru di kelas bertujuan memperoleh maklumat terkini mengenai kelancaran perjalanan
dan kualiti tugas. Malah ia dilaksanakan bertujuan untuk memperbaiki mutu tugas dan
kemahiran pengajaran guru. Hasil pemerhatian dan temu bual dengan enam orang
pengetua, proses pemantauan dilaksanakan untuk mengetahui perkembangan program
pembangunan pelajar dan pengajaran guru di bilik darjah. Manakala, penyeliaan
tertumpu kepada aspek pedagogi guru dan rondaan pula lebih berfokus kepada
memeriksa sekeliling kawasan sekolah. PT 2 memperjelaskan:
Saya melakukan pemantauan. Saya amat teliti dengan kelas yang
berpencapaian baik. Saya analisis keputusan peperiksaan, kalau jatuh,
mesti ada sebab. Saya tanyakan pada cikgu punca kejatuhan dan
penurunan. Mungkin, saya nasihatkan mereka mengubah kaedah
pengajaran dan perlu dirancang dengan lebih teliti serta perbaiki mana
yang lemah kalau tak capai target. Setakat ini, alhamdulillah cikgu buat
apa yang saya suruh. Tapi kalau tak capai, kena kerja lebih keras. (PT 2).

Sub-tema 1: Proses Membimbing dan Memberi Tunjuk Ajar


Melalui pemerhatian dan temu bual, pengetua juga melaksanakan proses membimbing
dan memberi tunjuk ajar kepada guru iaitu pengetua sentiasa menasihati, memotivasi
dan memberikan bantuan kepada guru dalam memperbaiki dan meningkatkan prestasi
pengajaran serta tugas guru. Beliau sering memberi galakan dan motivasi kepada guru
agar mereka dapat meningkatkan prestasi kerja dan harus membimbing guru untuk
menyelesaikan masalah. Memetik pandangan PT 3,

Saya tidak marah sekiranya guru-guru tidak memperolehi kemenangan


dalam pertandingan akademik dan ko-kurikulum. Sebaliknya, beliau
memberi dorongan dan galakan agar dapat mempertingkatkan prestasi
pada masa akan datang. ... pengetua kena ambil kira mengapa tidak
menjadiKalau cikgu tidak menjadi, kita kena tolong diaMungkin kena
buat sistem BUDDING atau kursus PERASA (sensitiviti) agar cikgu lebih
peka pada masa akan datang, kadang-kadang punca kelemahan cikgu
ialah kerana kurang peka atau mungkin berpunca daripada kita (PT 3).

Strategi kepemimpinan PT 3 juga mempunyai cara tersendiri bagi mendapat kerjasama


padu daripada guru. Kebajikan guru dan staf tidak dilupakan malah diberi perhatian. PT
3 menganggap diri beliau sebagai rakan kepada guru dan staf sekolah. Kata PT 3:

dalam membuat kerja, kita tidak boleh terlalu rigid. Yang penting segala
tugas yang diberikan berjalan dengan lancar. Dont be too formal, kena
juga ikut kemahuan guru. Kalau cikgu nak ICT, kena beri. Kalau cikgu
ada masalah, datang jumpa saya, insyallah, kita cari jalan penyelesaian.
Pendekatan saya ialah untuk mendidik, membimbing, menasihati. Saya
selalu kata next time do better

Tema 5: Meningkatkan kapasiti sekolah


Dalam situasi yang lain pula, pengetua sekolah juga melaksanakan pemantauan dan
rondaan yang bertujuan memeriksa sekeliling kawasan sekolah supaya selamat dan
kondusif untuk tujuan pembelajaran. Hasil pemerhatian terhadap PT 4, penyelidik
mendapati bahawa beliau melakukan rondaan di kawasan sekeliling sekolah seperti
bilik kaunseling, bilik matematik, tandas pelajar, taman sekolah dan papan kenyataan.
Ketika di perpustakaan sekolah pula, PT 4 berjumpa dengan guru perpustakaan
sekolah. Menurut PT 4, rondaan dapat memberi maklumat yang tepat tentang
persekitaran sekolah selaras dengan konsep sekolah selamat oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia
Macam mana cikgu tentang kedatangan pelajar ke perpustakaan, saya
dengar cikgu ada masalah tentang pengawasan perpustakaan selepas
waktu sekolah. Datang bilik saya kita berbincangpencerapan harus
dilakukan untuk memastikan guru memberikan kualiti pengajaran yang
terbaik memandangkan pelajar di sekolah ini merupakan pelajar yang
terpilih dan terbaikKalau saya tidak sempat, saya minta guru penolong
kanan observe guru sebab dia (guru) dah bersedia

Tema 6: Mengutamakan Matlamat Jangka Panjang/Membina kapasiti sekolah


Sebagai pentadbir sebuah institusi pendidikan, pengetua turut menitikberatkan kualiti
graduan yang akan dihasilkan oleh sekolah. Dalam memenuhi matlamat nasional iaitu
memerlukan modal insan yang mempunyai minda terpuji, pengetua selaku pelaksana
kepada semua visi pendidikan negara didapati telah merencanakan beberapa tindakan
dan strategi yang mempunyai matlamat jangka panjang. Nilai tersebut dimasukkan ke
dalam budaya sekolah supaya ia menerapmasuk ke dalam jati diri warga sekolah. Di
samping itu, budaya sekolah juga sering dijadikan garis panduan kepada kejayaan
akademik para pelajar dan penerapan nilai-nilai seperti patuh kepada nilai keagamaan,
pemupukan nilai ilmu dan perkembangan diri pelajar. Hasil pemerhatian dengan enam
orang pengetua, pengetua begitu memberi penekanan kepada peri pentingnya matlamat
dan budaya sekolah dipraktikkan oleh pelajar dan guru kerana matlamat adalah hala
tuju sesebuah sekolah. Dalam konteks penekanan kepada budaya dan matlamat
sekolah, hasil pemerhatian terhadap PT 5 mendapati bahawa beliau cuba menerapkan
nilai keislaman budaya sekolah. Identiti sekolah dibentuk dengan rapi berasaskan
konsep keagamaan dan kepatuhan kepada ajaran Islam iaitu melalui konsep rumah
sukan yang menggunakan nama pahlawan Islam bertujuan untuk menyuntik semangat
perjuangan dalam kalangan pelajar iaitu usaha menerapkan budaya keilmuan dan pada
waktu yang sama tidak melupakan Allah. PT 5 memberitahu:

Nama-nama cendiakiawan Islam digunakan berdasarkan dua objektif


utama. Pertama, membentuk budaya keilmuan dalam kalangan pelajar
sekolah ini seperti cerdik pandai Islam pada masa lalu. Keduanya,
menjadi harapan sekolah dan pentadbir agar para pelajar mampu
mengimbangi keperluan dunia dan akhirat iaitu mencari ilmu untuk dunia
dan berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai suatu kesyukuran dan
hubungan kejadian manusia oleh Allah (PT 5).

Sub-tema 1: Penerapan Nlai-nilai Murni


Penekanan kepada nilai murni bermaksud pengetua amat mementingkan penerapan
nilai murni dalam diri pelajar melalui budaya sekolah. Penekanan kepada nilai murni
kerap dilaksanakan melalui kepatuhan kepada peraturan sekolah dalam pembentukan
pelajar yang berdisiplin, penerapan nilai kasih sayang. Manakala, penerapan komitmen
bertujuan untuk menghasilkan guru yang berkomited kepada tanggungjawab dan tugas.
Sebagai seorang pentadbir di sekolah, pengetua diamanahkan untuk membimbing guru
dan pelajar dalam mencapai kecemerlangan dari segi prestasi akademik dan nilai murni.
Oleh itu, PT 4 sering kali menekankan kepentingan budi bahasa dan penerapan nilai
murni dimiliki oleh semua warga sekolah. PT 4 memberi penegasan sewaktu sesi
bersama guru selepas perhimpunan sekolah:
Kecemerlangan akademik harus disertakan dengan kecemerlangan daripada
sudut sahsiah dan kokurikulum. Ini akan menyumbang kepada kecemerlangan
secara keseluruhan. Selain itu, saya juga menyeru guru-guru agar sentiasa
menasihati dan membimbing pelajar dan menekankan konsep adab yang baik.
Oleh itu, beliau juga meminta setiap mentor guru agar sentiasa mendampingi
pelajar (PT 4).

Kenyataan di atas diperkukuhkan lagi dengan hasil pemerhatian ketika PT 4


melakukan rondaan dan pemantauan di sekeliling sekolah. Beliau telah disapa oleh para
pelajarnya dengan panggilan bonda dan bukan panggilan puan. PT 4 menjelaskan
bahawa panggillan bonda digunakan bertujuan untuk penerapan nilai murni, kasih
sayang dan kemesraan sebagai sebahagian budaya sekolah. PT 6 juga memberi
penekanan kepada elemen komitmen dalam kalangan guru dan jurulatih. Menurut PT 6,
elemen komitmen amat penting dalam menghasilkan kejayaan cemerlang dalam setiap
pertandingan sukan. Tambahan lagi, komitmen juga menyumbang kepada pembentukan
pelajar dan ahli sukan yang berkualiti. PT 6 menjelaskan:

Dalam mencapai kejayaan sesebuah sekolah atau pasukan sekalipun, cikgu dan
pelajar kena komited. Masing-masing kena fokus. Kalau kita komited. Kita
sanggup buat apa sahaja untuk sekolah atau pasukan kita. Barulah kita hasilkan
keputusan yang baik. Pada saya, komitmen ini akan mempengaruhi pencapaian
pelajar (PT 6).

Dapatan temu bual diperkukuhkan lagi dengan data pemerhatian PT 6 iaitu


beliau sendiri mengamalkan pengurusan turun padang untuk meninjau perkembangan
prestasi para pelajarnya. Ketika melakukan pemantauan terhadap perkembangan
latihan para pelajarnya, PT 6 memberi nasihat kepada guru, jurulatih dan pelajar. Pada
keesokan harinya, beliau menyelitkan kepentingan komitmen sewaktu menyampaikan
ucapan di majlis perhimpunan harian sekolah: misi sekolah sukan sebagai kilang
atlet yang dijadikan sandaran oleh persatuan sukan kebangsaan untuk Projek Gemilang
2008. Oleh itu, saya amat mementingkan disiplin yang tinggi oleh setiap bakal atlet
negara kerana disiplin mampu menanamkan kesungguhan dan fokus dalam latihan dan
pertandingan. (PT 6).

KESIMPULAN

Kajian ini telah berjaya menghurai dapatan kualitatif tentang kepemimpinan lestari
pengetua berdasarkan kepada kerangka teoritikal yang telah dibina oleh Hargreaves
dan Fink (2003; 2006) walaupun pada awalnya sukar merumuskan memandangkan
kerangka teoritikal kepemimpinan mapan masih agak baru di Malaysia. Di samping itu,
penyelidik juga sukar mendapatkan literatur yang berkaitan dengan kepemimpinan
lestasi di dalam konteks kajian kepemimpinan tempatan.

Dapatan kajian ini juga berjaya membuktikan bahawa pengetua sekolah begitu
peka kepada peningkatkan profesionalisme guru iaitu pengetua didapati amat
mengambil berat tentang perkembangan kerjaya guru, sering memberi pengiktirafan
kepada guru malah cuba menawan hati guru supaya tidak berlaku jurang yang luas
antara pentadbir dengan guru di sekolah. Secara tidak langsung, dapatan ini
membuktikan bahawa pengetua sekolah kerap memfokuskan strategi kepemimpinan
lestari bagi memenuhi keperluan guru, melayan guru sebagai aset sekolah yang
berharga, memberi peluang kepada guru untuk memimpin, mengajar dan mendidik guru
supaya lebih yakin menjadi pemimpin dan pentadbir sekolah pada masa akan datang
supaya guru mempunyai komitmen atau iltizam untuk memajukan sekolah. Ia juga
adalah bukti nyata bahawa pengetua sekolah kini sentiasa cuba mempertingkatkan
kualiti guru dari aspek profesionalisme dan personaliti diri guru selaras dengan
keperluan semasa yang menuntut pemimpin membangunkan potensi diri stafnya.

Berdasarkan strategi kepemimpinan lestari juga, proses perkembangan staf


dilihat sebagai sebahagian daripada latihan dalaman yang bermatlamat untuk
meningkatkan profesionalisme guru. Secara keseluruhan, aktiviti perkembangan staf
mempunyai kesan yang signifikan iaitu kualiti pengajaran guru dapat dipertingkatkan
dan pemuafakatan sesama guru akan terjalin dengan lebih baik (Coleman, 2002;
Spindler & Biott, 2000). Di samping itu, impak daripada proses perkembangan staf ialah
guru dapat berkongsi pengalaman dan dapat meningkatkan mutu kerja guru
berdasarkan falsafah kerja menang-menang. Dalam usaha membina budaya
pembelajaran di sekolah, strategi pengetua dilihat menjurus kepada pembentukan
semangat kejelekitan antara guru dengan pentadbir yang akhirnya membawa
perubahan positif kepada kemajuan sekolah. Dalam hal ini, pengetua didapati
mempunyai kaedah tersendiri iaitu memberi latihan kepada guru melalui kaedah
bimbingan dan tunjuk ajar.

Salah satu teras utama dalam strategi kepemimpinan lestari adalah pengetua
perlu memberi keutamaan kepada matlamat, etos dan nilai sekolah. Namun, mereka
perlu diperjelaskan terlebih dahulu kepada setiap warga sekolah supaya difahami. Bagi
memudahkan proses penerapan dan penghayatan nilai, matlamat dan etos sekolah,
pengetua cuba menerapkannya dalam tingkah laku seharian mereka seperti pengetua
kerap memberi penekanan dalam setiap sesi formal seperti mesyuarat guru dan
perhimpunan pagi Isnin malah pengetua sentiasa berusaha agar mereka dapat
bertingkah laku yang mampu menjadi suri teladan dan sumber inspirasi kepada guru.

Salah satu daripada dapatan kajian ini yang selari dengan kepemimpinan
lestasi/mapan adalah pengetua sekolah turut membuat keputusan, merancang dan
mengatur strategi untuk tujuan pencapaian sekolah dalam jangka waktu panjang
terutamanya berkaitan program akademik. Dalam konteks ini, pengetua perlu
mengambil kira implikasi jangka panjang kepada setiap program dan strategi yang
dilaksanakan oleh pihak sekolah. Ini bermakna, pengetua telah berperanan sebagai
perancang yang kritikal dan analitikal supaya graduan pelajar yang dihasilkan nanti
mampu menjadi modal insan yang berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan
negara secara keseluruhan (Chen, 2004; Ratsamee, 2002) iaitu strategi utama dalam
memperbaiki prestasi akademik pelajar.

PENUTUP

Pengetua merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap semua aktiviti yang


dijalankan di sekolah. Kepimpinan pengetualah yang menentukan kerancakan sekolah,
iklim pembelajaran, tahap profesionalisme, dan moral guru serta darjah keprihatinan
guru terhadap pelajarnya. Jika keadaan sekolah ceria, inovatif, berpusatkan pelajar,
mempunyai reputasi kecemerlangan pengajaran dan pencapaian yang tinggi, selalunya
masyarakat akan memuji atau menyatakan itu adalah disebabkan oleh kepimpinan
sekolah yang cemerlang. Sehubungan dengan itu, pengetua sebagai pemimpin perlu
sentiasa mencari strategi berkesan kerana beliau merupakan pemangkin untuk warga
sekolah terus komited kepada matlamat organisasinya. Jika beliau gagal berbuat
demikian, maka sudah pasti seseorang pengetua akan berhadapan dengan masalah
berkaitan emosi seperti stres, kurang percaya, ketidakpuasan, kemarahan, kekecewaan,
prasangka malah mungkin juga akan berhadapan dengan kejutan (Abdul Ghani et al.,
2008). Secara kesimpulan, penyelidik mampu merumuskan bahawa pengetua sekolah
menengah yang telah dikaji secara kualitatif melaksanakan strategi kepemimpinan
lestari seperti yang telah disarankan oleh Hargreaves dan Fink (2003; 2006) walaupun
pengetua didapati hanya melaksanakan enam strategi kepemimpinan lestari yang dibina
oleh Hargreaves and Fink (2006).

RUJUKAN

Abdul Ghani Abdullah, Abdul Rahman Haji Abdul Aziz, Tang Keow Ngang. (2008)
Pincang Laku Kepimpinan Pengetua Menurut Perspektif Guru: Satu Kajian Kes.
Jurnal Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. 34: 47 60.

Ayob Jantan.(2005). Pengetua sekolah yang efektif. Kuala Lumpur: Penerbitan PTS.

Azlin Norhaini Mansor. (2006). Amalan pengurusan pengetua: satu kajian kes. Tesis
Doktor Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Chan Yuen Fook. (2004). Kepemimpinan transformasional dan inovasi pendidikan.


Kertas Kerja Seminar Nasional Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan Ke
12. Anjuran Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia. Genting
Highlands, 14 17 Julai .

Chen, H. (2004). A study of the relationship between the learning organization and
principal leadership styles in Taiwan. Disertasi Ed.D. University of
Massachussets at Lowell.

Coleman, M. (2002). Women as headteachers: striking the balance. Stroke-on-trent.


Trentham.

Cresswell, J. (2001). Research design, qualitative, quantitative and mixed methods


approaches. Thousand Oaks: Sage.

Curry, R. (2003). A metacognitive analysis of leadership frames used by principals to


increase student achievement in Chicago Public Schools on academic probation.
Disertasi Ph.D. Loyola University, Chicago.

Daresh, J. (2001). Beginning the principalship: a practical guide for new school leaders.
Ed. Ke 2. Thousand Oaks: Corwin Press.

Fullan, M. (2005). Leadership and sustainability: System thinkers in action. Thousand


Oaks: CA: Corwin Press.
Gurr, D & Drydale, L. (2007). Models of Successful Leadership: Victorian Case. Dalam
Day, C & Leithwood (eds.) Successful Principal Leadership in Times of Change.
Netherlands: Springer.

Hargreaves, A & Fink, D. (2003). The Seven Principles of Sustainable leadership.


w2.bc.edu/~hargrean/docs/seven_principles.pdf

Hargreaves, A & Fink, D (2006). Sustainable leadership: San Francisco: Jossey Bass

Hebert, E. 2006. The boss of the school: effective leadership in action. New York:
Teachers College Press.

Leithwood, K & Day, C. (2007). Starting wish what we know. Dalam Day, C & Leithwood
(eds.) Successful Principal Leadership in Times of Change. Netherlands:
Springer.

Merriam, S. (2001). Qualitative research and case studies in education: revised and
expanded from case study research in education. San Francisco: Jossey Bass.

Patton, M. (2003). Qualitative evaluation and research methods. Newbury Park, CA:
Sage.

Ratsamee Dangsuwon. (2002). Leadership orientation frames used by principals as


perceived by teachers in the schools under the foundation of Church of Christ in
Thailand. Disertasi Ph.D. Illinois State University.

Spindler, J. & Biot, C. (2000). Target setting in the induction of newly qualified teachers:
emerging colleagueship in the context of performance management. Educational
research 42 (3) : 275 285.

Pope, C., Ziebland, S., & Mays, N. (2000). Qualitative research in health care. London:
BMJ.

White, B. (2003). Tennessee technology center directors: organizational effectiveness


and leadership frames analysis. Disertasi Ed.D. University of Memphis.

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie. 2003. Asas kepemimpinan transformasional dalam


pendidikan. Dlm Zaidatol Akmaliah Lope Pihie & Foo Say Fooi (pnyt.),
Pengurusan dan kepemimpinan pendidikan: satu langkah ke hadapan, hlm 20
29. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Вам также может понравиться