You are on page 1of 8

Monday, 22 September 2014

Masalah Penguasaan Pembelajaran Dan Cara


Mengesan Kesukaran Pembelajaran Bahasa Melayu
Masalah Penguasaan Pembelajaran Dan Cara Mengesan Kesukaran
Pembelajaran Bahasa Melayu
Masalah pengajaran bahasa Melayu merujuk kepada keadaan apabila
murid-murid tidak menguasai kemahiran bahasa melalui pengajaran dan
pembelajaran yang biasa seperti mana yang dirancang oleh guru mata pelajaran.
Antara kemahiran yang dititikberatkan dalam pembelajaran bahasa Melayu adalah
kemahiran lisan yang merangkumi kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur,
kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kesemua kemahiran ini dikenali
sebagai kemahiran 3M yang merupakan kemahiran asas yang harus dikuasai
sepenuhnya oleh setiap murid bermula pada pada Tahap 1 sekolah rendah. Namun
begitu, terdapat beberapa masalah yang wujud dalam penguasaan pembelajaran
kemahiran-kemahiran tersebut oleh para murid disebabkan oleh beberapa faktor
penghalang seperti yang dijelaskan di bawah.

Masalah Kemahiran Lisan (Kemahiran Mendengar & Kemahiran Bertutur)


Masalah utama dari segi kemahiran lisan yang wujud dalam kalangan murid
sekolah rendah adalah kosa kata yang terhad. Masalah kosa kata terhad ini berkait
rapat dengan kemahiran yang lain seperti kemahiran membaca. Hal ini demikian
kerana, amalan membaca pelbagai sumber akan pasti menambah kosa kata
seseorang apabila istilah-istilah itu sering dibaca dan diamalkan dalam pergaulan
seharian. Amalan membaca istilah-istilah yang baharu dan dikukuhkan lagi dengan
kemahiran lisan iaitu melalui pertuturan sudah tentu akan menambah kosa kata para
murid.
Masalah penggunaan dialek dan bahasa ibunda juga menjadi salah satu
masalah penguasaan pembelajaran kemahiran lisan bahasa Melayu yang standard.
Hal ini demikian kerana pengaruh latar belakang keluarga yang mengamalkan
bahasa ibunda sahaja secara tegar dan kurang penekanan terhadap pembelajaran
bahasa Melayu yang standard merumitkan lagi keadaan. Hal ini juga akan
mengakibatkan wujudnya kelemahan dalam mengamalkan kesantunan berbahasa
yang berpunca daripada kurang menguasai kemahiran lisan dengan betul.

Faktor-faktor Menghalang Penguasaan Kemahiran Mendengar


Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), pengajaran kemahiran mendengar
bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi
penguasaannya. Antara faktor yang dikemukakan adalah seperti perubahan
respons, menyampuk, terleka, fikiran tertutup dan kebosanan.
Dalam sesuatu perbualan atau interaksi, perubahan respons yang berbeza-
beza antara seseorang individu dengan individu yang lain akan mempengaruhi
pendengaran. Setiap penutur yang ingin menegakkan pendirian masing-masing
tanpa berfokus kepada topik yang dibincangkan akan memberi impak kepada
kemahiran mendengar pendengar yang terlibat dan akan menjadi tidak fokus.
Sebagai contoh, sekiranya perbincangan dalam kelas yang melibatkan murid-murid
tidak fokus pada topik akan mengganggu kemahiran mendengar rakan-rakan yang
lain kerana input yang tidak jelas dan tidak berkesinambungan.
Faktor menyampuk pula merujuk kepada gangguan dalam perbualan, iaitu
penutur kedua atau seumpamanya mengambil giliran bertutur pada masa penutur
pertama sedang bertutur. Hal ini akan menggangu pendengaran kerana idea dan
mesej yang didengar sering terganggu dan tidak sempurna. Sebagai contoh,
sekiranya murid C sering mencelah perbualan atau penyampaian idea semasa
murid A bertutur maka penyampaian idea dan pandangan yang ingin disampaikan
oleh murid A akan terganggu dan pendengaran pendengar dan penutur sendiri akan
mengalami gangguan.
Faktor terleka juga merupakan salah satu perkara yang menghalang
penguasaan kemahiran mendengar. Terleka merupakan gangguan dalam aktiviti
mendengar yang dialami oleh kebanyakan murid. Situasi terleka ini akan berlaku
apabila pendengaran murid mengembara dan menerawang. Hal ini akan
menyebabkan input yang disampaikan oleh penutur tidak diserap. Terleka ini
berkemungkinan besar berlaku kerana rasa mengantuk hingga menyebabkan minda
murid lambat memproses maklumat atau bercabang ke arah lain dan tiada
penumpuan.
Faktor fikiran tertutup juga mempengaruhi kemahiran mendengar kerana
mendengar dengan fikiran bertutup akan memberi implikasi terhadap pendengaran
iaitu kehilangan maklumat penting yang perlu diketahui. Fikiran tertutup juga akan
menyebabkan aktiviti mendengar tidak aktif kerana input hanya sampai ke telinga
dan tidak dihantar ke otak untuk diproses.
Faktor kebosanan turut mempengaruhi penguasaan kemahiran mendengar.
Hal ini demikian kerana, kebosanan akan menyebabkan murid gagal memberi
tumpuan kepada perkara yang diujarkan. Kebosanan ini berlaku mungkin kerana
penutur bertutur terlalu pantas hingga murid tertinggal banyak maklumat penting
atau penutur bertutur terlalu perlahan berbanding keupayaan otak kita untuk
bertindak balas. Sebagai contoh, sekiranya guru menyampaikan pengajaran dengan
bertutur secara pantas maka murid akan berasa bosan kerana tidak dapat memberi
tumpuan kepada pertuturan guru tersebut. Hal ini sudah tentu akan menggangu
penguasaan murid terhadap kemahiran mendengar.

Faktor-faktor Menghalang Penguasaan Kemahiran Bertutur


Faktor yang mempengaruhi kemahiran bertutur dapat dibahagikan kepada
tiga aspek seperti faktor fisiologi, fizikal, dan persekitaran, Siti Hajar Abdul Aziz
(2009).
Faktor fisiologi ini sendiri dapat dibahagikan dari segi jantina, penyakit dan
kecerdasan. Faktor jantina amat berperanan dalam mempengaruhi pertuturan pada
peringkat awal kanak-kanak. Terdapat kajian yang menyebut bahawa kanak-kanak
perempuan dapat bertutur lebih awal daripada kanak-kanak lelaki. Namun begitu,
hal ini bukanlah sesuatu halangan yang kekal bagi kanak-kanak lelaki. Hal ini
demikian kerana, melalui aktiviti lisan yang diadakan secara menyeluruh oleh guru
dalam bilik darjah, murid dapat menguasai kemahiran bertutur dengan baik.
Faktor penyakit yang juga merupukan salah satu aspek dalam faktor fisiologi
memainkan peranan yang agak ketara kerana alat artikulasi yang gagal berfungsi
disebabkan beberapa penyakit mengakibatkan murid tidak dapat menguasai
kemahiran bertutur. Terdapat beberapa jenis penyakit biologikal yang memberi
kesan kepada keupayaan bertutur murid. Sebagai contoh, kecacatan pada pita
suara menyebabkan murid tidak berupaya mengeluarkan bunyi bersuara lalu
menyebabkan murid tidak dapat betutur. Serangan penyakit pada tenggorok dan
peparu juga memberi kesan kepada pertuturan. Hal ini demikian kerana, alat-alat
tersebut berperanan dalam mengeluarkan bunyi bahasa. Selain itu, kecacatan pada
otak pula memberi kesan kepada kegagalan alat pertuturan untuk berfungsi dengan
baik kerana proses fonologi terganggu sehingga menyebabkan kesukaran dalam
penginterpretasian mesej dan seterusnya penghasilan ujaran yang bercelaru.

Faktor kecerdasan berkaitan dengan otak yang cerdas dan dapat berfungsi
secara sempurna dalam menghasilkan bahasa. Berikutan itu, murid-murid yang
cerdas dapat bertutur dengan mudah dan lancar serta dapat melibatkan diri dalam
pelbagai aktiviti bertutur seperti berpidato, berbahas, bersyarah dan seumpamanya.
Manakala, murid yang tidak berupaya untuk bertutur secara lancar akan dikatakan
sebagai kanak-kanak lembam atau tidak cerdas. Namun begitu, masalah murid
lembam dapat diatasi dengan bantuan guru pemulihan di peringkat sekolah.
Faktor kedua yang menghalang penguasaan kemahiran bertutur adalah faktor
fizikal. Faktor ini terbahagi kepada dua unsur iaitu alat pendengaran dan alat
artikulasi atau pertuturan. Masalah alat pendengaran merujuk kepada
ketidakupayaan alat pendengaran iaitu telinga untuk mendengar sebarang bunyi
atau disebut pekak. Keadaan pekak berlaku disebabkan kerosakkan pada
gegendang telinga yang seharusnya berfungsi untuk menerima dan menyerap
sebarang bunyi luaran. Murid yang pekak sejak kecil tidak berupaya untuk bertutur
kerana mereka tidak pernah mendengar bunyi bahasa. Oleh hal yang demikian,
mereka akan ditempatkan dalam kelas pendidikan khas bagi membolehkan mereka
mempelajari dan menguasai bahasa isyarat untuk berkomunikasi.
Manakala masalah alat pertuturan pula merujuk kepada ketidakupayaan alat
artikulasi untuk berfungsi dengan baik bagi menghasilkan bunyi bahasa. Kerosakan
pada alat artikulasi ini akan menyebabkan berlakunya kes bisu atau gagap. Hal ini
termasuklah juga dengan keadaan bibir yang sumbing dan rekahan pada lelangit.
Murid yang mengalami sumbing atau gagap masih boleh bertutur dengan cara
mereka tersendiri untuk menyampaikan mesej. Manakala, bagi murid yang bisu pula
akan ditempatkan dalam kelas pendidikan khas untuk membolehkan mereka
mempelajari dan menguasai bahasa menggunakan bahasa isyarat.
Faktor seterusnya adalah faktor persekitaran yang terdiri daripada dua unsur
iaitu keluarga dan sosioekonomi. Keluarga juga memainkan peranan dalam
penguasaan kemahiran bertutur seseorang murid. Murid yang mempunyai latar
belakang keluarga dan persekitaran yang pasif dan tidak mendorong kepada
interaksi dan komunikasi antara satu sama lain menyebabkan aktiviti bertutur murid
tersebut terhad. Murid seperti ini akan mengalami kekurangan perbendaharaan kata
untuk dituturkan di samping mengalami kesukaran untuk mempelajari struktur
bahasa dan tatabahasa yang betul. Hal ini akan mempengaruhi kefasihan dan
kelancaran murid bertutur. Namun begitu, keadaan seperti ini dapat ditangani
dengan mengadakan pelbagai aktiviti lisan di dalam kelas untuk melatih semua
murid menguasai kemahiran bertutur tanpa mengira latar belakang keluarga.
Faktor sosioekonomi juga dianggap secara tidak langsung mempengaruhi
keupayaan bertutur seseorang murid. Hal ini demikian kerana, ibu bapa yang
mempunyai taraf hidup yang tinggi dapat menyediakan segala kemudahan
pembelajaran bahasa kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka mampu
menyediakan kemudahan internet, televisyen, buku-buku, dan perisian
pembelajaran bahasa untuk mempertingkat keupayaan bertutur anak-anak mereka.
Dengan ini, anak-anak mereka mampu menguasai kemahiran bahasa pada
peringkat awal kanak-kanak. Manakala, bagi kanak-kanak yang berasal daripada
sosioekonomi yang rendah, kemudahan pembelajaran kemahiran bahasa terhad.
Hal ini akan menyebabkan mereka menguasai kemahiran bertutur mengikut
perkembangan yang biasa sahaja. Namun begitu, perbezaan sosioekomi ini dapat
diatasi dalam konteks penyediaan kemudahan pembelajaran bahasa melalui
penyediaan kemudahan seperti saluran Astro Kampus di sekolah, kemudahan
pelbagai bahan ilmiah untuk pembelajaran bahasa dan seumpamnya di peringkat
sekolah.

Masalah Kemahiran Membaca


Antara masalah yang sering dihadapi oleh para murid dalam menguasai
kemahiran membaca pada peringkat awal adalah seperti keliru pada huruf yang
hampir sama. Sebagai contoh, murid akan keliru dengan huruf b-d, m-w, u-n dan
seumpamanya yang mempunyai bentuk yang hampir serupa. Murid-murid juga akan
keliru apabila wujudnya perbezaan antara huruf besar dan huruf kecil kerana kurang
pendedahan awal semasa memperkenalkan huruf-huruf rumi. Misalanya, mereka
akan keliru apabila A menjadi a, b menjadi B mengikut situasi-situasi berkenaan.
Selain itu, terdapat juga beberapa murid yang mengalami masalah disleksia yang
merupakan masalah dari segi kesihatan, kerana imej huruf atau perkataan yang
dipantulkan dalam mata murid tersebut tidak tepat dan mengakibatkan murid
tersebut mengalami masalah dalam mengusai kemahiran membaca dengan
sepenuhnya.
Masalah dari segi kurang latihan atau penekanan kepada amalan membaca
dengan intonasi dan sebutan yang tepat juga akan berlaku seperti membaca secara
berlagu, tidak dapat membatangkan suku kata tertutup di samping tidak dapat
membatangkan perkataan yang mengandungi lebih daripada dua suku kata.

Faktor-faktor Menghalang Penguasaan Kemahiran Membaca


Faktor-faktor yang menyebabkan masalah dalam penguasaan kemahiran
membaca mempunyai kesamaan serba sedikit bersama kemahiran lisan. Hal ini
demikian kerana, kemahiran membaca juga melibatkan alat-alat pendengaran, alat-
alat artikulasi, dan seumpamanya. Antara faktor penghalang yang menyebabkan
masalah penguasaan kemahiran membaca adalah seperti faktor fizikal, faktor
kognitif dan bahasa, faktor emosi, persekitaran dan pendidikan.
Faktor penyakit seperti serangan penyakit pada tenggorok dan paru-paru
juga memberi kesan kepada kemahiran membaca sepertimana ia menjejaskan
kemahiran bertutur. Hal ini demikian kerana, alat-alat tersebut berfungsi dalam
mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa. Maka, kemahiran membaca secara mekanis
akan dipengaruhi dalam menghasilkan bunyi bahasa dengan sebutan dan intonasi
yang betul. Di samping itu, kecacatan pada pita suara juga akan mempengaruhi
penghasilan bunyi bahasa apabila alat artikulasi tersebut tidak dapat menghasilkan
bunyi-bunyi getaran pita suara, hentian glotis dan seumpamanya. Masalah
penglihatan juga akan mempengaruhi penguasaan kemahiran membaca seseorang
murid. Hal ini demikian kerana, huruf yang tidak kelihatan akibat kerabunan akan
menyebabkan kesukaran kepada otak kanak-kanak untuk menginterpretasikan
maklumat yang betul bagi melahirkan bunyi bahasa.
Faktor emosi juga mempengaruhi keberkesanan dalam pembelajaran
kemahiran membaca. Hal ini demikian kerana, emosi murid yang tidak stabil sudah
tentu akan menyebabkan murid tersebut tidak fokus kepada bahan bacaan sama
ada secara mekanis mahupun mentalis. Gangguan emosi ini akan mengakibatkan
tumpuan murid tersasar daripada mempelajari kemahiran bacaan dengan
menggunakan sebutan, intonasi, jeda dan nada yang betul serta sesuai seperti yang
digariskan dalam objektif kemahiran membaca Dokumen Standard Bahasa Melayu
Tahap 1.
Faktor persekitaran yang menjadi masalah dalam pembelajaran kemahiran
membaca merujuk kepada latar belakang keluarga murid tersebut. Murid-murid yang
mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua akan mengalami masalah
disebabkan oleh pengaruh bahasa ibunda yang tegar. Latar belakang keluarga yang
tidak mementingkan pembelajaran kemahiran bahasa kemungkinan besar tidak
dapat menyediakan keperluan yang lengkap kepada murid-murid untuk mempelajari
kemahiran membaca. Bahan yang tidak mencukupi akan membiasakan murid untuk
tidak yakin untuk mengamalkan kemahiran membaca. Hal ini akan menyebabkan
murid kurang menguasai pembelajaran kemahiran bahasa tersebut.
2.3 Masalah Penguasaan Kemahiran Menulis
Masalah kemahiran ini dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu dari segi
mentalis dan mekanis. Dari segi mekanis, masalah yang dihadapi oleh murid dalam
menguasai kemahiran menulis adalah seperti mencampuradukkan huruf besar dan
hurf kecil dalam penulisan, kecondongan dan bentuk huruf yang tidak kekal iaitu ada
ketikanya murid menulis secara menegak dan huruf yang bersaiz kecil ada ketikanya
berlaku secara berlawanan. Masalah salah ejaan dapat dikategorikan dalam
penulisan mekanis dan mentalis apapbila ia melibatkan fungsi otak dalam
menghasilkan perkataan-perkataan betul seiring dengan penulisan dan pemikiran.
Dari segi penulisan mentalis pula, murid sering menghadapi masalah seperti lupa
format penulisan, lemah dalam penyampaian idea, lemah dalam penggunaan tanda
baca, penggunaan ayat yang tidak gramatis dan kosa kata terhad yang berpunca
daripada kurang pendedahan daripada guru dan kurang latih tubi dalam menguasai
kemahiran menulis.
2.3.1 Faktor-Faktor Menghalang Penguasaan Pembelajaran Kemahiran Menulis
Penguasaan murid-murid dalam pembelajaran kemahiran menulis adalah
disebabkan oleh beberapa perkara seperti yang telah dikemukakan oleh Che
Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011) dalam kajian mereka seperti
kelemahan murid sendiri, sikap negatif murid yang kurang berminat terhadap
pelajaran, kelemahan strategi pengajaran guru, kekurangan isi, kesilapan memilih
tajuk, penggunaan bahasa dialek dan seumpamanya.
Dalam kajian Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011)
telah dipetik kata-kata Haris Fadzilah Kassim (2002) yang menyatakan bahawa cara
dan gaya guru mengajarkan karangan di dalam kelas lebih kepada memberi
pendedahan secara menyeluruh tentang sesuatu tajuk, demi memenuhi keperluan
peperiksaan. Hal ini menyebabkan hanya hasil karangan yang diberi tumpuan oleh
guru di samping pengajaran proses mengarang diabaikan. Pngajaran guru kurang
memberi pendedahan tentang kemahiran, teknik dan strategi menulis karangan
dalam kelas menyebabkan para murid kurang bersedia untuk menulis, Che Zanariah
Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011). Roselan baki (2001) menyatakan
bahawa kebanyakan guru pada umumnya masih kurang jelas tentang kandungan
ilmu penulisan dan mereka menerapkan pengalaman yang dialami ketika
mempelajari penulisan di sekolah dahulu sebagai asas mengajarkan penulisan
kepada murid-murid.
Berdasarkan petikan kajian , Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul
Rahman (2011) masalah guru yang tidak mengikuti sepenuhnya sukatan pelajaran
terkini dalam pengajaran kemahiran juga merupakan salah satu faktor yang boleh
menjejaskan pencapaian murid dalam kemahiran menulis dan membantutkan hasrat
Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghasilkan murid yang mampu
mengungkapkan bidang ilmu daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran dan
seterusnya mengembangkan kemahiran penulisan (KPM, 2003).

Secara ringkasnya, antara faktor masalah penguasaan pembelajaran


kemahiran bahasa secara umum adalah faktor pengajaran dan pembelajaran yang
menjurus kepada kegagalan guru untuk menggunakan pelbagai kaedah dan
pendekatan untuk memastikan penguasaan pembelajaran kemahiran bahasa oleh
murid-murid. Seterusnya adalah faktor fizikal dan deria iaitu keadaan fizikal yang
buruk, kecatatan sensorimotor atau berpenyakit yang mengakibatkan kegagalan
murid untuk memberi tumpuan dan menguasai pembelajaran. Masalah bertuturan
juga menjadi salah satu penyebab masalah penguasaan pembelajaran kemahiran
bahasa Melayu iaitu kemahiran bertutur khususnya yang berpunca daripada
kecacatan alat artikulasi mahupun pengaruh dialek atau bahasa ibunda yang ketara.
Faktor emosi juga dititikberatkan dalam penentuan penguasaan pembelajaran
kemahiran bahasa oleh murid-murid yang tidak pandai mengawalnya. Hal ini secara
tidak langsung melibatkan faktor mental dalam memastikan penguasaan
pembelajaran kemahiran bahasa. Hal ini demikian kerana emosi yang tidak stabil
berkemungkinan besar akan menjejaskan kesihatan mental sekaligus menjadi faktor
berlakunya masalah penguasaan pembelajaran bahasa oleh para murid.