You are on page 1of 4

LAMPI RAN1

Peranan antarabangsa Malaysia kian mencabar

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam
konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah
negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat
perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan
negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada
dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya
menghapuskan ancaman komunis dalam negara.
Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara
yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan
pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun,
usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti Berjaya. Sebagai contoh, peranan
Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan
Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa
serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan
termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba 'menjual' peranan


diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah
yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan
Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi
'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin.

Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas usaha dan
keberanian beliau untuk berusaha menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang sedang
hebat bergolak. Sesungguhnya, kehadiran Najib pasti menjadi pembakar semangat
kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi
membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel. Pun begitu, apa
yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan
kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi.
Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status
sebagai sebuah 'negara kuasa pertengahan' (middle power state), cabaran yang
bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin
mencabar dan berliku.

'Negara kuasa pertengahan' ialah satu konsep yang merujuk kepada status
sesebuah negara yang bukan 'besar' dan bukan 'kecil' tetapi boleh berdikari serta
mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia,
pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah 'negara kuasa
pertengahan'. Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya
dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia
sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan
multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan
dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah 'negara kuasa pertengahan'. Sekiranya
status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris
dengan 'negara-negara kuasa pertengahan' yang tersohor pada ketika ini seperti
Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks


penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan
yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan
ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa
pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa
dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan
darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk
pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia
benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini? Dalam hal yang sebegini, bersikap
positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau
disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya
sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik


antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai
pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih
cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan
dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk
difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi


pengaman kepada 'misi campur tangan ketenteraan' (military intervention).
(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak
demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan
PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan
serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara


kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan


miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia
terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun
(seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal


berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari
semakin hilang 'taring'nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa
yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah 'diswastakan' kepada agensi bukan PBB
yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung. Misi
pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan
'multilateralismenya'. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan
kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB. Lihatlah
apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah
negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi
pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di
Palestin dibiarkan berlarutan.

Banyak yang telah ditulis oleh sarjana-sarjana Barat mengenai sikap negara-
negara kuasa besar dunia ini. Sebagai contoh, Michael Pugh dalam artikelnya
'Peacekeeping and Critical Theory' (2004) terbitan Jurnal International Peacekeeping
menulis mengenai bagaimana peranan 'New York Orthodoxy' di PBB mencatur
perkembangan politik antarabangsa. Robert Cox dalam artikelnya yang
bertajuk 'Critical Political Economy' (1995) menulis mengenai bagaimana institusi
kewangan antarabangsa mengatur dan memanipulasi sistem ekonomi
antarabangsa supaya lebih menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan
menjadikan negara-negara lain yang bukan Barat untuk kekal menanggung hutang
yang tinggi.Mark Duffield pula dalam bukunya yang bertajuk 'Global Governance
and the New Wars: The Merging of Development and Security' (2001) mengatakan
bahawa sebenarnya isu global pada hari ini bukanlah sangat mengenai isu
terrorisme tetapi sebalik isu bagaimana negara-negara kuasa besar dunia dapat
menyuntik fahaman liberalisme dan demokrasi serta membentuk jaringan konflik
yang tidak liberal ke seluruh pelosok dunia khasnya di negara-negara yang bukan
Barat. Demikianlah sikap 'talam dua muka' (double-standard) negara-negara kuasa
besar dunia terhadap negara-negara lain dalam konteks politik antarabangsa
semasa. Ini sebenarnya menjadi satu cabaran besar bagi sebuah negara kecil
seperti Malaysia untuk menempatkan dirinya sebagai bakal 'negara kuasa
pertengahan' berbekalkan prinsip Wasatiyyah. Semoga Malaysia berjaya menjadi
sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada
demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada
'ancaman' negara atau pihak yang berkepentingan ini.

(Sumber : Muhammad Afifi Abdul Razak, pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Utusan
Online, 30.1.2013)