Вы находитесь на странице: 1из 9

KOMUNIKASI GURU DALAM BILIK DARJAH DAN TINGKAH LAKU DELINKUEN MURID

SEKOLAH MENENGAH

1.0 PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, komunikasi membawa maksud perhubungan


secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain. Delinkuen pula
boleh didefinisikan sebagai sikap melanggar undang-undang yang tidak serius atau melakukan
perkara yang tidak diterima oleh masyarakat. Komunikasi merupakan satu proses yang biasa
berlaku dan tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian kita. Melalui komunikasi, kita akan
dapat bertukar-tukar pendapat, idea, maklumat bahkan meluahkan perasaan dengan orang lain.
Komunikasi sering berlaku di sekolah secara amnya dan di dalam kelas khususnya. Hal ini
demikian kerana seseorang individu itu akan menghabiskan masa selama enam tahun ketika
sekolah rendah dan lima tahun ketika sekolah menengah. Bukan itu sahaja, bagi individu yang
ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, mereka juga tidak terkecuali untuk
berkomunikasi di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Oleh
itu, guru haruslah memainkan peranan yang amat penting dalam menyampaikan ilmu kepada
para pelajar. Bagi sesetengah guru yang amat lemah dan mengalami masalah dalam
berkomunikasi, mereka akan menyebabkan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah
dirancang akan gagal dan boleh menyebabkan murid mengalami perasaan tidak puas hati,
kecewa, tekanan psikologi, kesihatan fizikal, kesepian dan hilang perasaan kasih sayang
terhadap guru. Justeru, ketidakmahiran guru dalam berkomunikasi akan mempengaruhi tingkah
laku delinkuen para pelajar. Terdapat beberapa faktor yang menjadi halangan komunikasi guru
dalam bilik darjah dan strategi-strategi yang proaktif haruslah diambil bagi menangani masalah
ini.

1
2.0 FAKTOR-FAKTOR HALANGAN KOMUNIKASI GURU

Bahagian ini menerangkan faktor-faktor halangan komunikasi guru dalam bilik darjah.
Terdapat 20 faktor halangan komunikasi guru berdasarkan pembacaan jurnal ini tetapi hanya
beberapa faktor yang akan dibincangkan seperti faktor guru yang selalu tidak masuk ke bilik
darjah, guru yang mudah marah dan suka berleter, pengajaran guru yang membosankan dan
kurang persediaan pengajaran dan pembelajaran, guru tidak dapat mengawal kebisingan dalam
bilik darjah, guru bersifat tidak mesra dan tidak senyum ketika masuk ke bilik darjah.

2.1 Guru selalu tidak masuk ke bilik darjah


Faktor halangan komunikasi guru dengan murid dalam bilik darjah yang pertama adalah
berpunca daripada sikap guru itu sendiri. Kini, masih terdapat segelintir guru yang selalu tidak
masuk ke bilik darjah untuk mengajar. Hal ini akan menyebabkan banyak masalah yang akan
timbul ekoran daripada sikap guru yang malas ini. Kesannya, proses pengajaran dan
pembelajaran akan terganggu dan tidak berjalan dengan lancar. Bukan itu sahaja, para pelajar
juga akan turut menerima impaknya seperti tidak dapat menerima ilmu yang sama rata
berbanding dengan pelajar-pelajar lain. Lebih parah lagi apabila ada pelajar yang melakukan
masalah disiplin pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, vandalisme dan bergaul bebas tidak
mengira jantina di dalam kelas kerana tidak dipantau oleh guru. Pelajar tidak akan menghormati
guru dan menyebabkan hubungan guru dengan murid akan menjadi jauh dan renggang. Oleh
itu, seseorang guru itu hendaklah memiliki sifat bertanggungjawab dalam diri. Sifat
bertanggungjawab akan sentiasa mendorongkan guru mementingkan tugas yang telah
diamanahkan kepadanya. Seseorang guru yang bertanggungjawab akan sentiasa berusaha
menjalankan tugasnya dengan sempurna (Mok Soon Sang, 2004). Guru juga haruslah sentiasa
menepati masa apabila sampai waktu sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam
bilik darjah.

2.2 Guru mudah marah dan suka berleter


Selain itu, faktor kedua halangan komunikasi guru dengan murid dalam bilik darjah pula
ialah guru mudah marah dan suka berleter. Terdapat segelintir guru yang menggunakan
serangan verbal kepada pelajar. Jika kita lihat daripada perspektif pelajar, tidak ada seorang
pun pelajar yang suka atau gembira apabila dimarahi oleh guru. Menurut Abdullah dan Ainon
(1999) dalam jurnal yang disediakan oleh Mohd. Khairuddin Abdullah et. al. (2014), terdapat

2
beberapa cara guru menggunakan serangan verbal sehingga boleh menyebabkan kecederaan
psikologi kepada pelajar. Guru suka menyerang peribadi pelajar seperti berkata Kenapalah
kamu ni bodoh sangat!. Selain itu, guru juga sering memanggil pelajar dengan menggunakan
perkataan yang sangat menghinakan seperti Budak setan! dan Mangkuk!. Guru yang
memarahi pelajar tanpa alasan adalah perkara yang salah kerana mereka mungkin berasa
amat benci kepada pelajar tersebut ataupun mungkin guru itu memang tidak mempunyai
mood yang elok pada ketika itu sehingga menyebabkan mereka memarahi pelajar membabi-
buta. Guru yang suka berleter juga akan menyebabkan pelajar benci kepada guru dan mata
pelajaran yang diajarnya serta pelajar cenderung untuk tidak membuat tugasan yang telah
diberikan sehingga sanggup ponteng kelas.

2.3 Pengajaran guru yang membosankan dan kurang persediaan P&P


Di samping itu, pengajaran guru yang membosankan dan kurang persediaan pengajaran
dan pembelajaran (P&P) merupakan faktor yang dianggap sebagai penghalang kepada
komunikasi guru dengan pelajar dalam bilik darjah. Pengajaran guru yang berkesan amat
penting untuk menarik minat pelajar untuk belajar. Menurut Mok Soon Sang (2004), seseorang
guru yang mempunyai kualiti daya usaha tidak akan terperangkap dengan rutin yang
membosankan murid untuk belajar. Guru yang mempunyai kualiti profesional ini akan sentiasa
memikir dan mencuba pendekatan atau kaedah mengajar yang baru supaya pengajarannya
sentiasa menjadi menarik dan berkesan. Selain itu, guru yang tidak mempunyai persediaan
P&P yang rapi ketika hendak masuk bilik darjah akan memberi impak yang negatif terhadap
pembelajaran pelajar. Hal ini demikian kerana penyampaian guru tidak berjalan dengan lancar
dan tersekat-sekat sehingga menyebabkan mesej yang ingin disampaikan kepada pelajar tidak
jelas. Objektif P&P pada hari tersebut juga tidak akan berjaya kerana pelajar tidak mempunyai
minat untuk mendengar apa yang diajar oleh guru. Kajian Norzana (2003) dalam jurnal yang
disediakan oleh Mohd. Khairuddin Abdullah et. al. (2014) mendapati bahawa guru mempunyai
kaitan dengan masalah ponteng di sekolah kerana P&P guru yang membosankan dan
kegagalan guru untuk menarik minat murid untuk belajar.

2.4 Guru tidak dapat mengawal kebisingan dalam bilik darjah


Seterusnya, faktor lain yang menjadi penghalang kepada komunikasi guru dengan
pelajar ialah guru tidak dapat mengawal kebisingan dalam bilik darjah. Jika kelas berada dalam
situasi yang amat bising, guru tidak akan dapat menyampaikan pengajarannya dengan jelas
kepada para pelajar. Pelajar membuat bising dengan suka menjerit-jerit, berjalan-jalan ke sana

3
sini ketika guru mengajar, bergaduh sesama sendiri dan melakukan tindakan-tindakan yang
mengganggu pengajaran guru. Menurut Siti Hajar bt. Man (2004) dalam artikelnya yang
bertajuk Mengekalkan Suasana Hening dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Bilik Kelas,
beliau ada menyatakan bahawa pelajar membuat bising di dalam kelas kerana beranggapan
mereka kurang pandai dan tidak ada gunanya mereka memberi tumpuan. Apa yang diajar oleh
guru juga sukar difahami oleh mereka dan beranggapan bahawa mereka tidak akan menjadi
pandai. Bagi guru yang bersikap terlalu lemah-lembut dan pemalu, mereka tidak akan dapat
mengawal kebisingan di dalam kelas. Hal ini lebih parah apabila guru yang baru ditugaskan ke
sekolah tersebut diarahkan oleh guru besar atau pengetua untuk mengajar di kelas yang paling
nakal dan yang tidak mahu belajar. Bukan itu sahaja, terdapat sebahagian pelajar yang sering
melawan guru apabila guru menyuruh mereka jangan membuat bising. Kesannya, guru akan
tertekan dan akan selalu tidak masuk ke bilik darjah untuk mengajar kerana tidak dapat
mengawal kebisingan dalam kelas tersebut.

2.5 Guru bersifat tidak mesra dan tidak senyum ketika masuk ke bilik darjah
Menurut Ee Ah Meng (1995), pelajar yang stabil emosinya lebih bersedia untuk memberi
tumpuan yang teliti dalam kelas. Hal ini bermakna bahawa hubungan guru dengan pelajar yang
mesra akan mewujudkan suasana yang dapat mendorong pengajaran dan pembelajaran yang
menarik. Hubungan baik antara guru dengan pelajar akan menjamin kerjasama penuh daripada
pelajar dan ianya penting demi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Kenyataan ini juga disokong oleh Mok Soon Sang (2004) bahawa sifat ramah mesra
merupakan satu kualiti yang perlu ada untuk mendapat kerjasama orang lain. Sifat ini juga akan
mendorong murid-murid suka berdamping rapat dengan seseorang guru itu. Guru yang tidak
senyum ketika masuk ke bilik darjah akan menyebabkan proses komunikasi antara guru
dengan pelajar tidak berkesan. Pelajar akan mengecap guru itu sombong dan tidak mesra.
Kesannya, pelajar tidak akan berminat akan pengajaran guru tersebut dan tidak menumpukan
perhatian yang sepenuhnya dalam bilik darjah. Menurut Laporan Keciciran (1973) dalam jurnal
yang disediakan oleh Mohd. Khairuddin Abdullah et. al. (2014) mendapati apabila seseorang
pelajar menganggap bahawa gurunya menggolongkannya sebagai tidak memuaskan, maka
pelajar itu akan mula menjadi pasif dan tidak suka menyertai apa-apa aktiviti atau berkelakuan
baik.

4
3.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI HALANGAN KOMUNIKASI GURU

Bahagian ini pula akan menerangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah
halangan komunikasi guru. Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil seperti peranan suara guru, gurau
senda dalam kelas, kemahiran menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, air muka dan penampilan
guru serta kemahiran mengurus persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

3.1 Peranan suara guru


Tiada penyakit yang tiada penawarnya. Suara guru memainkan peranan yang amat penting ketika
berkomunikasi dengan pelajar di dalam kelas. Hal ini demikian kerana suara merupakan kunci utama yang
diperlukan dalam profesion perguruan di seluruh dunia. Semasa proses P&P, guru hendaklah memiliki
pertuturan yang jelas supaya proses P&P berjalan dengan lancar dan berkesan. Menurut Nor Syafrin Ahmad et.
al. (2009), terdapat tiga kategori komunikasi lisan iaitu intonasi suara, kejelasan sebutan dan kelancaran guru
semasa proses P&P. Suara guru ini didapati mampu menyampaikan mesej melalui nada suara, kadar sama ada
cepat atau lambat sesuatu perkataan itu diucapkan, ketinggian suara semasa memperkatakan sesuatu, jumlah
iaitu lama atau singkatnya sesuatu percakapan berlangsung, bilangan dan kepanjangan jeda serta
ketidaklancaran sesuatu perkataan itu diucapkan (Mohd. Khairuddin Abdullah et. al. ,2014). Namun, masalah
suara sering dilaporkan dalam kalangan guru berbanding dengan profesion lain (Rosmah Suriani bt. Mohd.
Raini, 2014). Oleh itu, guru hendaklah sentiasa menjaga suaranya seperti bercakap dengan menggunakan
postur badan dan sokongan pernafasan yang betul, membuat latihan memanaskan suara terlebih dahulu
sebelum sesi mengajar bermula, kurangkan menjerit di dalam kelas, pengambilan air yang kerap iaitu
sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari dan guru perlu bergerak ke tengah kelas ketika mengajar agar
pelajar di bahagian belakang dapat mendengar suara guru tanpa perlu menjerit dengan kuat.

3.2 Gurau senda dalam kelas


Selain itu, gurau senda dalam kelas juga merupakan salah satu langkah untuk mengatasi masalah
halangan komunikasi guru. Hampir setiap hari seorang guru bercakap dan berinteraksi dengan
muridnya. Bagi mewujudkan hubungan baik antara guru dengan murid, seseorang guru itu
seharusnya berkebolehan melakukan gurau senda. Hal ini demikian kerana dengan melakukan
sedikit gurau senda di dalam kelas akan membantu tugas guru bagi merangsang pembelajaran
dan membolehkan P&P mudah diingati oleh pelajar. Pelajar juga akan berasa guru mereka
seorang yang mesra, mudah didekati dan bersikap terbuka. Kesannya, pelajar suka
berdamping rapat dengannya. Menurut Melissa Kelly melalui laman web pendidikan

5
(http://712educators.about.com/od/teachingstrategies/tp/sixkeys.htm ) ada menyatakan bahawa unsur
gurau senda sebagai salah satu daripada enam kunci penting untuk menjadi seorang guru yang
berjaya. Gurau senda dalam sesi P&P akan dapat mengurangkan situasi tegang dalam bilik
darjah, membolehkan murid merasa lebih seronok dan membantu murid menumpukan
perhatian kepada pelajaran. Abdullah Nasih Ulwan (1988) juga ada menyebut bahawa
Rasulullah S.A.W. sendiri menyertakan gurau senda dalam pengajarannya.

3.3 Kemahiran menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran


Di samping itu, kemahiran menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran juga merupakan salah
satu daripada langkah mengatasi halangan komunikasi guru dengan pelajar. Menurut Ee Ah Meng (1995),
kepentingan sumber P&P adalah sebagai daya penarik yang kuat untuk pelajar, dapat menimbulkan suasana
P&P yang lebih berkesan serta menyeronokkan, menghasilkan pembelajaran yang bermakna dan lebih kekal
serta dapat mengembangkan kebolehan berkomunikasi melalui penggunaan alat bantu mengajar. Guru haruslah
membuat persediaan yang rapi agar P&P pada hari tersebut berjalan dengan lancar, tersusun, tidak tersekat-
sekat dan mesej yang ingin disampaikan kepada pelajar juga jelas dan berkesan. Menurut Maimunah (2000)
dalam jurnal yang disediakan oleh Mohd. Khairuddin Abdullah et. al. (2014), dalam mewujudkan
komunikasi yang berkesan, seseorang guru itu hendaklah melakukan persediaan yang
mencukupi supaya mesej menjadi jelas dan mudah difahami. Pemilihan bahan P&P juga
hendaklah bahan yang berkualiti dan sahih agar pelajar mendapat maklumat yang benar.

3.4 Air muka dan penampilan guru


Seterusnya, air muka dan penampilan guru juga penting kerana ianya merupakan langkah mengatasi
halangan komunikasi guru dengan pelajar dalam bilik darjah. Guru hendaklah sentiasa menunjukkan air muka
yang jernih ketika masuk ke dalam kelas supaya pelajar gembira dan senang hati untuk memulakan proses
pembelajaran pada waktu itu. Dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling juga ada menyatakan bahawa air
muka kaunselor hendaklah berseri untuk menunjukkan pembimbing itu sedia menerima klien (Lee Keok
Cheong et. al., 2014). Guru yang tidak lokek dengan senyuman mudah didekati pelajar dan
menggalakkan mereka memperoleh ilmu dengan mudah (Nor Shafrin Ahmad et. al., 2009). Guru
juga tidak perlu menemui pereka fesyen ataupun mendapatkan pakaian baru di butik-butik
terkenal untuk berpenampilan segak dan kemas. Apa yang lebih penting ialah seseorang guru
itu perlu menampilkan imej yang kemas, menyakinkan, tenang dan profesional. Menurut
Kronowitz (2004) dalam jurnal yang disediakan oleh Mohd. Hasani Dali et. al. (2009),
penampilan yang kemas dan profesional pada hari pertama seorang guru melangkahkan kaki
ke sekolah akan membantu guru tersebut untuk lebih berkeyakinan berhadapan dengan realiti

6
di sekolah. Pendek kata, guru haruslah berkelakuan seperti guru, berpakaian seperti guru,
bertindak seperti guru dan bertutur seperti guru (Mok Soon Sang, 2004).

3.5 Kemahiran mengurus persekitaran pengajaran dan pembelajaran


Langkah lain bagi mengatasi halangan komunikasi guru dengan pelajar dalam bilik darjah ialah guru
haruslah mempunyai kemahiran mengurus persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Menurut pendapat
yang disuarakan oleh guru-guru pelatih, pengurusan bilik darjah merupakan komponen yang
paling sukar untuk dikuasai walaupun banyak teori yang telah dipelajari dan banyak teknik yang
telah cuba diaplikasikan (Mohd. Hasani Dali et. al., 2009). Dari segi fizikal, seseorang guru itu
hendaklah memastikan bilik darjah sentiasa bersih, dihiasi dengan cantik supaya kelas sentiasa
ceria, ruang pembelajaran juga hendaklah diisi dengan bahan-bahan rujukan yang relevan serta
mementingkan faktor pengcahayaan dan pengudaraan di dalam kelas. Menurut Kronowitz
(2004) dalam jurnal yang disediakan oleh Mohd. Hasani Dali et. al. (2009), beliau
mencadangkan agar guru menyediakan satu sudut yang boleh membantu pelajar mengisi masa
yang terluang dalam satu suasana yang berbeza berbanding bilik darjah mereka tetapi masih
mengekalkan budaya belajar pada ruang tersebut seperti perpustakaan mini. Ruang ini
bolehlah dihiasi dengan hiasan yang ringkas dan unik agar pelajar merasa selesa dan tenang.
Selain itu, keadaan sosioemosi bilik darjah hendaklah diberi perhatian oleh guru. Pelajar yang
disingkirkan oleh pelajar lain atau pelajar yang pemalu hendaklah diberi bantuan dengan
melengkapi mereka dengan kemahiran sosial agar diterima oleh rakan-rakan yang lain (Ee Ah
Meng, 1995).

4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan


perkembangan teknologi, seseorang guru itu tidak boleh lari daripada menghadapi cabaran
yang semakin hebat di sekolah. Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan
bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk

7
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani
(IREJ) dapat dicapai. Oleh itu, akan lahirlah rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan dalam mencapai
Wawasan 2020. Justeru, guru-guru hendaklah sentiasa meningkatkan kemahiran dalam
berkomunikasi sama ada komunikasi secara lisan ataupun bukan lisan. Kegagalan guru dalam
berkomunikasi akan meruntuhkan sesebuah institusi pendidikan kerana semuanya bermula
daripada diri guru itu sendiri dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar secara berkesan
ataupun tidak. Profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh
diceburi oleh sesiapa sahaja kerana hanya mereka yang layak, minat, mempunyai kualiti,
berketerampilan, berwibawa dan berjiwa pendidik layak menjadi seorang guru.

8
RUJUKAN

Abdullah Nasih Ulwan. (1988). Tarbiyyah al-ailad fi al-Islam. Al-Qahirah : Dar al-Islam.
Ee Ah Meng. (1995). Pendidikan Sebagai Suatu Proses Asas Pendidikan 1. Shah Alam :
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Lee, K. C., Ee, A. M., Suppiah Nachiappan & Taquddin Abd Mukti. (2014). Bimbingan dan Kaunseling
Kanak-kanak. Selangor Darul Ehsan : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Melissa Kelly. (2009). Top six keys to being a successful teacher. Diperoleh 29 Ogos 2015 daripada
http://712educators.about.com/od/teachingstrategies/tp/sixkeys.htm
Mohd. Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh. (2009). Pengurusan Bilik Darjah. 1-22.
Mohd. Khairuddin Abdullah, Khalid Johari, Ag Yusof Ag Chuchu & Halimah Laji. (2014).
Komunikasi Guru dalam Bilik Darjah dan Tingkah Laku Delinkuen Murid Sekolah
Menengah. Jurnal Pemikir Pendidikan (Journal for Educational Thinkers), Vol. 5, 59-77.
Mok Soon Sang. (2004). Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan Skim Perkhidmatan Guru
Bahagian 1 : Kompetensi Profesional. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Noresah Baharom et. al. (2013). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Nor Shafrin Ahmad, Fadzilah Amzah & Rahimi Che Aman. (2009). Kemahiran Komunikasi Guru
Pelatih Universiti Sains Malaysia. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 24, 125-142.
Rosmah Suriani Mohd. Raini. (2014). Penjagaan suara untuk guru-guru. Diperoleh 29 Ogos
2015 daripada http://www.myhealth.gov.my/index.php/penjagaan-suara-untuk-guru-guru
Siti Hajar Man. (2004). Mengekalkan Suasana Hening dalam Pengajaran dan Pembelajaran di
Bilik Kelas. Pengurusan Disiplin, Jan, 113-121.

10

Вам также может понравиться