Вы находитесь на странице: 1из 11

Usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan

masyarakat di negara kita

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini
seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk
dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada
pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari
kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu,
mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari
kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika
sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan
penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi.
Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa
Melayu, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekiranya semangat patriotik dapat
dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan
hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat
yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan
nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan
penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di
institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan
menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu.
Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam
peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian,
semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka
menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui
media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan
kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media
elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio
hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik
seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media
elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti Bukit Kepong, Paloh, dan drama-
drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang


bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan
juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat
taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau
stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput
tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang
memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat
memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-
pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka
yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan
menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik
peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati.
Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan
dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah
pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi
makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan
sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk
melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang
berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat
patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar
mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang
lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka
tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua
pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik
dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.
Peranan Kita dalam Usaha Mengantarabangsakan Bahasa Melayu

PERENGGAN ISI:
Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa lain tidak akan
menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita. Sebagai rakyat Malaysia, kita
hendaklah mempunyai iltizam untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa
terpenting pada suatu hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan
bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara
kita, bagaimanakah penduduk dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua
mereka? Oleh hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan
meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.

Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui peranan kita
sebagai duta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita sebagai pelajar, pelancong, atau
pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai
cara. Ketika berada di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain
untuk mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita juga mestilah bersedia
untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia untuk mempelajari bahasa mereka, mereka
juga pasti bersedia untuk mempelajari bahasa kita.

Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui pejabat kedutaan


negara kita di luar negara. Di seluruh dunia, terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang mampu
memainkan peranannya untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita
hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing dalam pelbagai acara atau
majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya
dihormati oleh warga dunia. Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai
rakyat yang mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa, kita hendaklah mempunyai iltizam atau
kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di mana-mana jua kita berada.

Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia mestilah
memanfaatkan penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam bidang ini seperti ahli
akademik, pakar bahasa dan sebagainya hendaklah menyebarluaskan bahasa Melayu melalui
laman web atau blog bagi membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari
bahasa Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di duni mencari dan
memperoleh maklumat melalui Internet. Oleh itu, kita mesti;ah mengambil kesempatan ini untuk
mempromosikan bahasa Melayu. Oleh sebab Internet merupakan medium yang paling murah,
mudah dan cepat untuk menyebarkan maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan ini
untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ke seantero dunia.

Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui filem. Jika
penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem yang bermutu, sudah pasti masyarakat
antarabangsa akan menerima filem kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan
memberikan peluang kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya
Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita masih belum mampu
menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti filem yang dihasilkan oleh negara
Hongkong, Jepun, Korea , Bollywood, dan sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem
sebagai satu cara untuk menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan
mengantarabangsakan filem Melayu juga.
PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN
DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN
KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi,
mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga
merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai
keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang
kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah
digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang
amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan
beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai
sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan
dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang
akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat
pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan
kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih
terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih
mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi
untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-
anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya
atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa
yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya,
kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat
Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu,
benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh
keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.
Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja
keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan
mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya
kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan
kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka
tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan
terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai
persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos
yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa
untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan
Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih
sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan
cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-
anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa
pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.

Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak
didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang
sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai
prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala
negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia
Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan
agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa
agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah
bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan
oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak.
Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan
tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak
yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita
yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran
rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah
tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi,
duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.
FAKTOR JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini
sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat
ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim
ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran
hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung
Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan
Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan
itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali
lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh
beberapa punca, persis kata orang tua-tua , jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang .

Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara
besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu
panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu
meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di
muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak
Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya.
Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera
ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya,
udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi
paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang
telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.

Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga
menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang
ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan
pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk
membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah
semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka
tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa
kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk
membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar
bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup
angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan
asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan
juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah
kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah
menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari.
Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap
pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas
yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam
lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan
dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan
ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan
berlakulah jerebu di negara kita.

Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal
ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang
mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang
yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap
dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak
sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk
menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini
mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu.
Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap
yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang
tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di
negara kita lagi.

Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk
kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah
menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti
manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-
langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang
tua-tua, sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian
ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu,
semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di
Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak
gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak
dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Вам также может понравиться