Вы находитесь на странице: 1из 22

TUGASAN

SEMESTER SEPTEMBER 2016

KOD KURSUS EEM 432

NAMA KURSUS ISU DAN TREND DALAM PENDIDIKAN MORAL

PROGRAM SARJANA MUDA PENDIDIKAN

NAMA PELAJAR NOOR ASYIKIN BINTI AHMAD

NO. MATRIK E30109130036

NAMA FASILITATOR ENCIK LEE CHAI EAM


AKADEMIK

PUSAT AEU JOHOR BAHRU


PEMBELAJARAN
BAHAGIAN A

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah


Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka oleh Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan,
Universiti Teknologi Malaysia.

a) Tujuan kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi


remaja terlibat dalam masalah sosial di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh yang terletak
di negeri Melaka. Jika dilihat keadaan zaman dahulu, kes-kes gejala sosial tidaklah begitu
menonjol dan kecil bilangannya, tetapi kini angka itu semakin meningkat dengan
mendadak sekali bukan sahaja membimbangkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak
yang bersekolah, tetapi ia turut memberi kesan terhadap masyarakat dan kredibiliti sekolah
yang berperanan dalam pembentukan moral dan tingkah laku generasi muda.

Gejala sosial merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang


melanda golongan remaja dan belia. Pada zaman remaja, seseorang itu berdepan dengan
satu siri krisis identiti iaitu pembentukan dan pengembangan identiti diri. Kegagalan untuk
mengatasi cabaran itu membuatkan remaja mengalami krisis kekeliruan. Krisis kekeliruan
yang menguasai diri remaja jika tidak dibendung dan di atasi boleh menyebabkan gejala
sosial yang sememangnya parah akan bertambah parah. Fenomena ini merupakan salah
satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia boleh merugikan negara dalam
jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus
dibendung dan diatasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap
pembangunan dan kemajuan negara.

Dalam kajian ini, penyelidik akan mengkaji empat faktor yang dirasakan
menjadi penyebab utama kepada berlakunya masalah sosial di kalangan remaja. Faktor-
faktor yang dikaji termasuklah faktor latar belakang diri sendiri, faktor latar belakang
keluarga, bentuk pengaruh rakan sebaya dan juga permasalahan persekitaran dari sekolah.
b) Kaedah yang digunakan untuk mengumpul data kajian

Kajian ini adalah berbentuk deskriptif iaitu menggunakan kaedah soal selidik
untuk mendapatkan maklumat. Kajian ini bertujuan untuk mengetahui faktor-faktor yang
mempengaruhi remaja yang ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak yang terletak di
Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka terlibat dalam gejala sosial dalam empat aspek
iaitu faktor latar belakang diri sendiri, faktor latar belakang keluarga, bentuk pengaruh
rakan sebaya dan juga permasalahan persekitaran sekolah. Dapatan kajian ini diperolehi
melalui soal selidik yang diedarkan kepada responden. Manakala maklumat yang diterima
akan dianalisis secara kuantitatif. Data jenis kuantitatif adalah berdasarkan kategori
kuantiti yang menggunakan kekerapan, angka dan skor. Ini adalah kerana data jenis
kuantitatif sesuai bagi penyelidikan yang menggunakan instrumen soal selidik dan ujian
untuk mendapatkan maklumat kajian.

Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan soal selidik sebagai instrumen


kajian yang merangkumi beberapa item berdasarkan objektif kajian. Soal selidik yang
disediakan oleh pengkaji terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B.
Pada bahagian A, responden dikehendaki menjawab beberapa soalan yang berkaitan
dengan demografi responden. Skala empat mata pula digunakan pada bahagian B di mana
responden dikehendaki menandakan jawapan mereka tentang sesuatu kenyataan.
Penyelidik menyediakan item-item soalan dengan menggunakan skala empat mata untuk
memperoleh jawapan daripada responden. Skala empat mata ini terdiri daripada pemberat
yang berlainan iaitu sangat setuju, setuju, tidak setuju dan sangat tidak setuju.

Untuk memastikan kebolehpercayaan item-item soal selidik, penyelidik


menggunakan kaedah kajian rintis sebelum menjalankan kajian sebenar. Selain untuk
mengetahui kebolehpercayaan item-item yang dibina oleh penyelidik, kajian rintis juga
merupakan kaedah biasa yang digunakan untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan
yang terdapat pada soal selidik. Kajian rintis dilaksanakan ke atas 20 orang sampel yang
terdiri daripada populasi kajian. Kaedah ketekalan dalaman merupakan salah satu cara
untuk menentukan koefisien kebolehpercayaan. Pengiraan data menggunakan kaedah ini
dicadangkan oleh Kuder dan Richardson (1937). Kaedah Alpha Cronbach (SPSS 11.5)
adalah kaedah ketekalan dalaman yang digunakan oleh penyelidik untuk mengira data bagi
mendapatkan koefisien kebolehpercayaan.
c) Penerangan masalah sosial melalui teori biososial

Teori ini merupakan teori yang paling tua dalam menerangkan perkembangan
remaja. Zaman remaja selalunya dikaitkan dengan perubahan pada fizikal dan kematangan
serta perubahan-perubahan biokimia, oleh yang demikian, ramai ahli psikologi yang
berpegang kepada teori ini dengan mengatakan bahawa tingkah laku sosial remaja boleh
diramal dari proses-proses fizikal.

Pendekatan ini menekankan bahawa proses-proses biologi adalah penyebab


atau faktor yang menggerakkan perubahan-perubahan tingkahlaku sosial di zaman remaja
(Suzana, 2002). Hall (1904), telah memperkenalkan konsep storm and stress yang melihat
zaman remaja sebagai tempoh masa yang penuh huru-hara, penuh cabaran, pemberontakan
terhadap autoriti orang dewasa dan perubahan fizikal, intelektual dan sosial. Menurut Hall
lagi, perkembangan dilihat sebagai tidak berubah dan universal dan kesannya terhadap
persekitaran adalah minima.

Sesetengah tingkah laku buruk remaja seperti suka bertengkar, mencuri dan
sebagainya itu tidak dapat dielakkan kerana ia telah berakar umbi dalam diri manusia. Hall
berpendapat bahawa ibu bapa mestilah berlembut dan bersifat permissif kerana kanak-
kanak biasanya bersifat agresif. Mereka berkelakuan begitu sebagai satu langkah untuk
melegakan emosi mereka dan apabila mereka dewasa, semua tingkah laku itu akan hilang
begitu
sahaja.

d) Dapatan umum kajian

Kajian juga mendapati bahawa pelajar-pelajar terlibat dalam masalah sosial


kerana mereka mahukan perhatian dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Seramai
77.9% pelajar menyatakan setuju dengan aspek ini. Terdapat juga sebilangan kecil pelajar
yang tidak bersetuju dengan aspek ini iaitu seramai 22.1%. Sementara itu, seramai 74.5%
pelajar-pelajar dalam kajian ini pula menyatakan mereka sering marah dan tidak puas hati
apabila sesuatu kehendak mereka dihalang. Aspek ini adalah antara sebab mereka
melibatkan diri dalam masalah sosial. Walaupun begitu, seramai 25.5% pelajar pula dilihat
dapat mengawal kemarahan mereka apabila kehendak mereka dihalang. Pelajar-pelajar
dalam kajian ini juga merupakan pelajar-pelajar yang kerap mengingkari arahan ibu bapa.
Ini dibuktikan dengan seramai 73.3% pelajar yang terlibat dalam masalah sosial ini
mengatakan setuju terhadap aspek ini. Walaupun peratusan aspek ini berada pada tahap
yang sederhana, terdapat juga pelajar yang masih mematuhi arahan ibu bapa. Dapatan
kajian ini dibuktikan hanya 26.7% pelajar yang tidak bersetuju bahawa mereka sering
mengingkari arahan ibu bapa mereka.

Jika ditinjau dari aspek pengaruh kerohanian terhadap penglibatan pelajar


dalam masalah sosial, lebih separuh pelajar dalam kajian ini kurang mengamalkan amalan-
amalan agama. Mereka juga sering berada dalam gangguan emosi yang berpanjangan.
Dalam kedua-dua aspek ini, jumlah pelajar yang bersetuju adalah hampir sama iaitu
seramai 58.2%.Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan pelajar yang ada
mengamalkan amalan-amalan agama dalam kehidupan seharian mereka dan mereka jarang
berada dalam gangguan emosi iaitu seramai 41.8%.

Aspek suka bergaul dengan kumpulan yang mengamalkan cara hidup yang tidak
sihat juga merupakan pengaruh terhadap penglibatan pelajar dalam masalah sosial. Dalam
aspek ini, seramai 57% pelajar bersetuju dengan pernyataan tersebut. Selebihnya, iaitu
seramai 43% pula kurang gemar bergaul dengan kumpulan yang mengamalkan cara hidup
yang tidak sihat. Walau bagaimanapun, kajian ini mendapati pelajar-pelajar yang terlibat
dengan masalah sosial mempunyai matlamat hidup yang agak tinggi. Mereka juga
mementingkan masa hadapan. Ini dibuktikan, seramai 75.6% pelajar tidak bersetuju
apabila mereka dikatakan tidak mempunyai matlamat hidup dan kurang mementingkan
masa hadapan. Sebaliknya, seramai 24.4% pelajar pula tidak mempunyai matlamat hidup
dan mereka kurang memikirkan masa hadapan.

Dapatan kajian juga mendapati, walaupun pelajar-pelajar dalam kajian ini


terlibat dengan masalah sosial, mereka masih mempunyai harga diri yang tinggi. Ini
dibuktikan, seramai 66.3% pelajar tidak bersetuju apabila mereka dikatakan seorang yang
rendah harga diri. Tetapi, terdapat 33.7% pelajar yang merasakan mereka seorang yang
rendah harga diri. Sebagai rumusan, antara ciri-ciri yang menunjukkan pengaruh yang
tinggi terhadap penglibatan pelajar-pelajar dalam masalah sosial adalah keinginan yang
tinggi untuk mencuba sesuatu yang baru dan menginginkan kebebasan dalam setiap
perkara yang mereka lakukan. Pelajar-pelajar dalam kajian ini juga mahukan perhatian
dalam setiap perkara yang dilakukan. Penglibatan mereka dalam masalah sosial juga
dipengaruhi perasaan marah apabila kehendak mereka dihalang, mereka juga kerap
mengingkari arahan ibu bapa, kurang mengamalkan ajaran agama dan suka bergaul dengan
kumpulan yang mengamalkan cara hidup yang tidak sihat.

Setelah dianalisis, didapati bahawa latar belakang keluarga bukanlah faktor


utama pelajar terlibat dalam masalah sosial. Hanya 16.3% pelajar yang menjawab setuju
bahawa ibu bapa mereka sering melakukan tabiat yang kurang baik di dalam rumah seperti
merokok, memaki hamun, mudah marah, berjudi dan sebagainya. Selebihnya iaitu seramai
83.7% pelajar menjawab tidak setuju dengan kenyataan ini. Hal ini menunjukkan ibu bapa
pelajar jarang melakukan tabiat yang kurang baik dalam rumah. Ibu bapa pelajar-pelajar
dalam kajian ini juga dilihat mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka kerana
seramai 79.1% pelajar tidak bersetuju apabila ibu bapa mereka dikatakan kurang
mengambil berat tentang pelajaran mereka. Hanya 20.9% sahaja ibu bapa pelajar yang
kurang mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak mereka.

Walaupun anak-anak mereka terlibat dalam masalah sosial, ibu bapa pelajar-
pelajar ini didapati mempunyai pegangan agama yang agak tinggi juga. Ini dibuktikan
apabila seramai 79.1% pelajar menyatakan tidak setuju apabila ibu bapa mereka dikatakan
jarang menunaikan perintah Allah. Akan tetapi, terdapat juga ibu bapa yang kurang
menunaikan perintah Allah seperti sembahyang lima waktu iaitu seramai 20.9%. Seramai
72% pelajar menjawab tidak setuju apabila dikatakan ibu bapa mereka mempunyai
pendapatan yang rendah membuatkan mereka jarang memperoleh apa yang mereka
kehendaki. Ini menunjukkan pendapatan ibu bapa mereka yang rendah kurang
mempengaruhi pelajar-pelajar ini terlibat dalam masalah sosial. Walaupun begitu, seramai
28% pelajar terlibat dalam masalah sosial akibat pendapatan ibu bapa mereka yang rendah.

Ibu bapa pelajar-pelajar dalam kajian ini juga didapati tidak membeza-bezakan
anak-anak mereka antara satu sama lain. Ini dibuktikan seramai 60.5% pelajar menjawab
tidak setuju apabila dikatakan ibu bapa mereka bersikap pilih kasih terhadap adik beradik
mereka. Tetapi seramai 39.5% pelajar bersetuju bahawa ibu bapa mereka selalu bersikap
pilih kasih terhadap adik beradik mereka dan disebabkan ini mereka mengambil jalan
mudah melakukan perkara-perkara yang tidak elok untuk melepaskan kekecewaan selepas
merasakan mereka tidak disayangi oleh ibu bapa mereka. Walau bagaimanapun, terdapat
juga keadaan ibu bapa yang boleh mempengaruhi anakanak mereka terlibat dalam masalah
sosial. Misalnya, seramai 39.5% pelajar terlibat dalam masalah sosial kerana ibu bapa
mereka sering bertengkar antara satu sama lain dan menyebabkan suasana rumah kurang
aman. Walaupun peratusan ini tidaklah begitu tinggi, ia haruslah diberi perhatian supaya
pelajar-pelajar tidak menjadikan ia sebagai satu alasan untuk melibatkan diri dalam gejala
sosial. Selebihnya iaitu seramai 60.5% pelajar tidak setuju ibu bapa mereka sering
bertengkar antara satu sama lain dan menyebabkan suasana rumah kurang aman.

Jika diteliti lagi, berdasarkan kepada respon pelajar-pelajar, seramai 40.7%


menyatakan penglibatan mereka di dalam masalah sosial ini sedikit sebanyak dipengaruhi
oleh sikap ibu bapa yang jarang memberi motivasi dan sokongan serta pujian terhadap
perkara yang dilakukan oleh mereka. Sungguhpun begitu, seramai 59.3% berpendapat
penglibatan mereka dalam masalah sosial bukanlah disebabkan oleh aspek ini. Selain itu,
ibu bapa yang jarang berada di rumah dan sering sibuk dengan kerja juga mempengaruhi
penglibatan pelajar-pelajar dalam masalah sosial. Ini dibuktikan seramai 41.9% pelajar
yang bersetuju dengan kenyataan ini. Akan tetapi, seramai 58.1% pelajar yang menjawab
tidak setuju bahawa penglibatan mereka dalam masalah sosial dipengaruhi oleh kesibukan
ibu
bapa mereka dengan kerja.

Dapatan kajian juga mendapati, terdapat keadaan ibu bapa yang kurang
berkomunikasi dengan pelajar tentang keperluan dan masalah yang dihadapi oleh anak-
anak mereka. Seramai 41.9% pelajar yang terlibat dalam masalah sosial adalah disebabkan
aspek ini. Walau bagaimanapun, seramai 58.1% pelajar yang tidak bersetuju bahawa aspek
ini mendorong mereka terlibat dalam masalah sosial. Walaupun terdapat keadaan-keadaan
ibu bapa yang boleh mempengaruhi pelajar-pelajar terlibat dalam masalah sosial, ibu bapa
pelajar-pelajar ini tidaklah terlalu tegas dan mereka agak bertolak ansur dalam
memberikan hukuman kepada anak-anak mereka yang melakukan kesalahan. Ini
dibuktikan seramai 57% ibu bapa pelajar tidaklah terlalu tegas dalam memberikan
hukuman kepada mereka. Tetapi, seramai 43% pelajar mengatakan penglibatan mereka
dalam masalah sosial adalah kerana ketegasan ibu bapa mereka dalam memberikan
hukuman jika mereka melakukan kesalahan.
Sebagai rumusan, didapati bahawa ibu bapa pelajar-pelajar dalam kajian ini
telah menjalankan tugas sebagai ibu bapa dengan agak baik seperti mengambil berat
terhadap pelajaran anak-anak mereka, tidak bersikap pilih kasih antara anak-anak mereka,
tidak melakukan tabiat yang kurang baik di dalam rumah dan mereka juga dilihat taat
kepada perintah Allah. Walaupun begitu terdapat juga aspek-aspek yang agak lemah di
dalam mendidik anak-anak mereka seperti kurang berkomunikasi dengan anak-anak
mereka dan jarang memberi motivasi terhadap perkara-perkara yang dilakukan oleh anak-
anak mereka. Mereka juga jarang berada di rumah kerana sibuk dengan kerja. Tetapi, latar
belakang keluarga jelas menunjukkan kurang mempengaruhi penglibatan pelajar dalam
masalah sosial.

e) Implikasi kajian kepada pengajaran pendidikan moral sekolah rendah

Faktor utama responden terlibat dalam masalah sosial adalah disebabkan


keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru yang tidak pernah mereka lakukan. Analisis
menunjukkan aspek ini mempunyai peratusan yang agak tinggi berbanding aspek-aspek
lain. Penyelidik berpendapat, pada usia remaja, mereka mengalami perubahan dari segi
peningkatan usia, pemikiran dan keadaan sekeliling. Ketika melalui proses-proses
perkembangan pada keadaan sekeliling, akan wujud perkara-perkara yang tidak pernah
mereka lihat atau alami. Justeru itu, apa-apa sahaja perkara baru yang terjadi di sekeliling
mereka akan mendorong wujudnya perasaan ingin tahu di dalam diri mereka. Guru subjek
pendidikan moral di sekolah seharusnya mendedahkan murid dengan kebaikan dan
keburukan benda-benda baru dan asing bagi mereka agar mereka lebih berhati-hati dalam
mencuba sesuatu.

Kajian ini juga membuktikan bahawa penglibatan remaja dalam masalah sosial
adalah disebabkan kurangnya amalan kerohanian seperti menunaikan solat. Penyelidik
berpendapat, pelajar mempunyai asas agama yang lemah dan pemahaman betapa
pentingnya nilai-nilai kerohanian juga lemah. Kemantapan agama berlaku agak lewat
dalam diri remaja iaitu di antara umur 23 dan 24 tahun. Justeru itu ketika usia remaja,
mereka tidak mengambil berat terhadap tuntutan agama yang wajib dipenuhi. Sebagai guru
pendidikan moral di sekolah, guru berperanan untuk mengingatkan murid-murid tentang
kepentingan mempunyai pegangan agama yang kukuh serta menjadikan amalan
kerohanian sebagai amanah seharian yang wajib dilakukan bagi menjamin ketenangan dan
keamanan hidup seharian, di samping mengelakkan diri daripada terjebak dalam perkara-
perkara yang boleh membuatkan mereka cenderung kepada gejala sosial.
Masalah sosial yang melanda remaja pada masa kini dipengaruhi beberapa
faktor. Dalam kajian ini, empat faktor diambil kira dalam mendapatkan dapatan kajian.
Faktor tersebut adalah faktor diri sendiri, faktor latar belakang keluarga, bentuk pengaruh
rakan sebaya dan permasalahan yang wujud di persekitaran sekolah. Dapatan kajian
menunjukkan faktor diri sendiri paling mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah
sosial berbanding faktor-faktor lain. Justeru itu semua pihak haruslah bekerjasama untuk
menghapuskan masalah sosial yang semakin meruncing ini. Remaja pada masa kini
seharusnya lebih kuat dan mempunyai jati diri yang mantap supaya dapat mengawal diri
dari gejala-gejala sosial. Sesungguhnya, remaja yang unggul dan berkualiti adalah remaja
yang dapat membangunkan negara supaya lebih standing dan maju dengan negara-negara
lain.
BAHAGIAN B

Isu Moral Semasa di Sekolah Rendah

Selaras dengan usia dunia yang semakin meningkat tua, selaras itu jugalah
timbulnya pelbagai ragam manusia yang kadangkala tidak terfikir oleh logiknya akal dan
fikiran. Benar, negara kita Malaysia sedang menuju ke arah pembangunan yang
memerlukan seisi masyarakat untuk bersama-sama memodenkan diri agar tidak
ketinggalan atau tegelincir dari arus pembangunan yang menggila. Namun, itu tidak
menghalalkan mereka untuk memodenkan diri dari segi gaya hidup, pergaulan dan cara
berpakaian sehingga tergelincir dari landasan moral dan agama yang seharusnya lebih
utama untuk dipelihara dan dijaga. Acapkali dada-dada akhbar memaparkan masalah
sosial yang semakin meruncing dalam masyarakat yang menuntut perhatian dan
tanggungjawab semua. Fokus utama media massa pada hari ini, pergaulan bebas dan
pembuangan bayi. Malahan, masalah ini sebenarnya mempunyai kaitan antara satu sama
lain. Lebih membimbangkan lagi, hubungan seks dan pembuangan bayi yang berakar
daripada pergaulan bebas mula menular dalam kalangan murid-murid sekolah rendah. Apa
yang ditakuti telah pun benar-benar terjadi di mana kanak-kanak semuda 12 tahun menjadi
ibu, murid-murid sekecil 8, 9 tahun mengandung akibat daripada pergaulan bebas yang
dilakukan.

Nusantara A.C (2008) mendefinisikan pergaulan bebas sebagai salah satu


bentuk perilaku menyimpang, yang mana bebas yang dimaksudkan adalah melewati
batas-batas norma ketimuran yang ada. Pergaulan bebas di antara remaja lelaki dan
remaja perempuan yang kian meruncing bakal membawa kepada pelbagai impak yang
merisaukan sekiranya tidak dibanteras dari sekarang. Terdapat pelbagai faktor yang
menyumbang kepada menularnya gejala pergaulan bebas ini dalam kalangan generasi
muda. Antaranya ialah ibu bapa itu sendiri, pengaruh rakan-rakan sebaya, dan media
massa.

Punca-punca masalah pergaulan bebas

Faktor primer yang membawa kepada gejala tidak bermoral ini adalah kerana
pengaruh ibu bapa para remaja itu sendiri yang mengamalkan cara hidup yang menyimpang
dari landasan agama sebenar. Kesibukan merebut harta dunia menyebabkan ibu bapa alpa
bahawa sebenarnya mereka telah melupakan harta yang paling berharga yang dimiliki oleh
mereka di dunia ini iaitu anak. Bahkan, anak itu merupakan amanah daripada Allah yang
wajib mereka didik dengan cara yang terbaik. Segala yang dilakukan oleh ibu bapa bakal
memberi impak kepada perkembangan anak-anak. Di dalam perintah dan wasiat
Rasulullah, Baginda menekankan pentingnya memerhatikan pendidikan anak-anak dan
tanggungjawab ibu bapa atas urusan-urusan mereka. (Dr. Abdullah Nashih Ulwan,
Pedoman Pendidikan Anak-anak Dalam Islam: Jilid 1-2, 1989).

Sekiranya persekitaran keluarga itu sendiri tidak menepati persekitaran


kekeluargaan yang bermoral, bagaimana mungkin anak-anak akan membesar dengan cara
hidup yang bermoral dan berpaksikan agama? Segalanya bermula daripada rumah,
daripada keluarga remaja itu sendiri. Selain daripada itu, terdapat segelintir ibu bapa yang
sama sekali tidak menerapkan didikan kerohanian dan moral ke dalam diri anak-anak
mereka kerana diri mereka sendiri jahil dalam ilmu keagamaan. Ini amat menyedihkan
kerana ibu bapalah penentu masa depan spiritual anak-anak mereka. Natijahnya, remaja
terlalu mudah lemas dalam arus pemodenan mengikut budaya kotor Barat yang begitu
mengagungkan pergaulan bebas yang boleh membawa kepada zina. Sekiranya ibu bapa
sendiri jahil dalam ilmu agama dan moral, apa yang boleh diharapkan daripada generasi
seterusnya dalam keluarga tersebut? Mungkin mereka boleh menuntut ilmu di sekolah,
namun tetap tidak sama dengan elemen kerohanian dan moral yang diterapkan sedari kecil.

Selain itu, rakan-rakan seusia mereka sendiri boleh membawa kepada


menularnya masalah pergaulan bebas ini. Zaman remaja merupakan tempoh masa yang
paling kritikal dan mencabar buat anak-anak muda terutamanya dalam era globalisasi yang
mengutamakan pemodenan ini. Lebih menyedihkan, zaman kanak-kanak yang dahulunya
dipenuhi dengan permainan-permainan tradisional dan keseronok sewaktu kecil menjadi
lapuk ditelan zaman gajet yang menularkan virus sosial melalui laman sesawang berbaur
seks, pergaulan bebas secara maya dan keupayaan murid untuk mencapai bahan-bahan
yang menjurus kepada pergaulan bebas tanpa batasan. Menurut Hall (1904) seperti yang
dipetik oleh Azizi Yahaya dalam kajiannya yang bertajuk Persekitaran Keluarga dan
Kesannya Terhadap Tingkah Laku Devian Remaja, remaja adalah masa yang penuh
dengan kekeliruan, kesedihan dan konflik. Justeru, remaja sangat perlu berhati-hati dalam
memilih rakan untuk dijadikan teman yang boleh membimbing ke jalan kebenaran, bukan
rakan yang menjadikan mereka sampah jalanan. Ong T (2007) menyatakan bahawa salah
satu teman yang harus dielakkan adalah teman yang memiliki pengaruh negatif. Kesemua
remaja bakal melalui tempoh masa di mana mereka akan menghadapi konflik dengan diri
mereka sendiri dan berusaha untuk melarikan diri dari konflik tersebut dengan
mengharapkan teman-teman. Jika teman yang diharapkan menjerumuskan mereka ke
dalam kancah masalah sosial, segalanya tidak akan berguna lagi kerana nasi sudah menjadi
bubur. Justeru, kanak-kanak yang hendak menginjak ke alam remaja ini perlulah berfikir
dengan rasional sebelum memilih rakan agar tidak menyesal di kemudian hari. Di dalam
Ash-Sahihain Rasulullah S.A.W bersabda:

Perumpamaan teman yang soleh dengan teman yang buruk, seperti orang yang membawa
haruman dan orang yang membawa hembusan besi. Adapun pembawa haruman, dia boleh
memberikan haruman itu kepada kamu atau dia menjualnya kepada kamu dan mungkin
saja kamu mencium bau yang sedap daripadanya, adapun tukang besi dua boleh membakar
pakaian kamu atau kamu akan mencium bau yang tidak sedap daripadanya.

Tidak ramai golongan remaja kecil ini dan ibu bapa sedar bahawa media massa
menjadi antara penyumbang terbesar dalam membawa kepada kemusnahan masa depan
remaja. Jika kita lihat, dewasa ini, pelbagai program hiburan yang melalaikan disediakan
untuk para remaja. Apa yang menyedihkan adalah program-program ini menghalalkan
artis-artisnya untuk mendedahkan aurat, sekaligus merangsang kanak-kanak yang bersifat
ingin tahu ini untuk mengikut jejak langkah mereka kerana beranggapan bahawa cara
berpakaian artis-artis yang diagung-agungkan itu lebih mengikut peredaran fesyen masa
kini dan seterusnya melupakan tatacara berpakaian yang mengikut tatacara dan garis
panduan moral dan kerohanian yang teah ditetapkan mengikut pegangan agama masing-
masing. Tidak ada satu pun tuntutan agama dan moral yang menyulitkan penganutnya
melainkan untuk memudahkan dan memberi manfaat kepada mereka. Sesungguhnya
tuntutan menuntut aurat itu adalah untuk memelihara maruah dan harga diri seseorang. Jika
dilihat senario yang berlaku sekarang, para remaja kecil perempuan mendedahkan aurat
dengan berpakaian ketat, singkat dan mencolok mata sehingga mengundang nafsu syahwat
lelaki yang terang-terangan lari dari landasan agama. Aurat yang sepatutnya dipelahara
menjadi bahan tatapan umum. Natijahnya, terjadilah kes-kes perzinaan yang membawa
kepada lahirnya anak luar nikah atau anak tidak sah taraf yang mencemarkan kesucian
mereka.
Selain itu, media massa juga berpotensi menghidangkan golongan kecil ini
dengan pelbagai adegan-adegan yang tidak sepatutnya ditonton dalam usia mereka. Drama-
drama yang ditayangkan di televisyen terutamanya yang diimport dari luar negara
mengandungi terlalu banyak adegan yang tidak sesuai untuk tontonan umum tanpa melalui
proses penapisan yang teliti dengan badan-badan yang berkaitan. Terlalu mudah untuk
mereka mendapatkan bahan-bahan lucah dan pornografi kerana penjualannya yang secara
terang-terangan dan tidak dibendung. Akibatnya, timbul keinginan dalam diri remaja untuk
melakukan zina dan sebagainya kerana terpengaruh dengan bahan yang ditonton. Kanak-
kanak seusia sekolah rendah begitu hebat dalam meniru perbuatan yang dilihat serta sangat
mudah terpengaruh dengan apa yang diperhatikan. Mereka akan cuba untuk melakukan apa
yang dilihat tanpa mengetahui natijah sebenar perkara yang dilakukan dan sama ada
perkara tersebut masih dalam batasan atau terkeluar dari landasan moral dan kerohanian.

Pergaulan bebas membawa kepada berleluasanya hubungan seks terlarang


antara golongan ini. natijahnya, hungan seks terlarang tersebut mencetuskan masalah yang
lain iaitu pembuangan bayi setelah ibu muda kecil bunting daripada hubungan yang tidak
halal di sisi Islam. Masalah sosial dan pembuangan bayi semakin menjadi-jadi dalam
kalangan komuniti terutamanya golongan remaja. Terpampang di semua dada-dada akhbar,
bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang di dalam tong sampah, bercampur dengan segala
jenis najis dan kekotoran sedangkan hakikatnya bayi yang suci dan bersih daripada dosa
itu tidak selayaknya diletakkan di tempat yang paling hina seperti itu. Lebih menyedihkan,
para remaja yang tidak berperikemanusiaan ini begitu tega untuk membunuh jasad-jasad
kecil ini untuk menutup kesalahan mereka. Mayat-mayat bayi ditemui di tempat
pembuangan sampah, di dalam mangkuk tandas, di dalam longkang dan juga di tepi-tepi
jalan. Di manakah kesedaran dan juga sifat belas kasihan para remaja pada masa sekarang
sehingga tergamak untuk melakukan perkara keji seperti itu terhadap darah daging sendiri?

Salah satu faktor mengapa terjadinya peningkatan yang drastik dalam bilangan
kes pembuangan bayi ini adalah kerana tipisnya lapisan nilai iman dan moral dalam diri
anak-anak muda sekarang. Segala perintah Allah ditinggalkan dan larangan-Nya dilakukan
dengan sewenang-wenangnya, seolah-olah tiada perasaan takut kepada Ya Rabb. Solat
lima waktu ditinggalkan, Al-Quran dibiarkan sepi ditemani debu-debu tanpa
diperdengarkan bacaannya, puasa diabaikan, lelaki dan perempuan bergaul mesra dengan
sebebas-bebasnya tanpa batasan dan amalan-amalan sunat yang lain dipandang sebelah
mata. Hakikatnya mereka sudah jauh tergelincir dari tujuan utama mereka dihidupkan oleh
Allah di dunia ini iaitu untuk beribadat kepada-Nya.

Impaknya, lahirlah nyawa kecil yang tidak berdosa dari janin seorang ibu muda.
Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan hidup, ada di kalangan masyarakat di luar
sana yang alpa lalu terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar
nikah. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) pada
tahun 2007, kes zina di negeri Johor meningkat pada tahun 2005 hingga tahun 2006 di
mana 816 kes zina dicatatkan pada tahun 2005, kemudian berlaku peningkatan kepada 897
kes pada tahun 2006. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan tanpa kawalan, tidak mustahil
Malaysia akan merasai pengalaman mempunyai sejuta gadis yang hamil luar nikah seperti
di Amerika Syarikat sebagaimana yang dinyatakan oleh W. S Turambi di dalam bukunya
yang bertajuk Remaja Harus Mengetahuinya.

Aizawati Ahmad dan Roslah Othman (2008) melaporkan dalam Berita Harian
bahawa berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati jumlah kes buang
bayi antara tahun 2000 hingga 2006 adalah seramai 580 bayi. Itu merupakan kes-kes yang
dilaporkan, bagaimana pula dengan kes-kes terpencil yang tidak dilaporkan? Statistik yang
diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan artikel Keruntuhan
Akhlak Dan Gejala Sosial Dalam Keluarga; Isu Dan Cabaran mendapati 4.4 juta remaja
dunia pernah menggugurkan kandungan.

Faktor yang lain adalah perasaan takut dan malu serta ingin lari dari
tanggungjwab membesarkan bayi tersebut setelah melakukan seks sebelum pernikahan.
Kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan pelajar sekolah yang belum mempunyai
sumber pendapatan sendiri. Mereka berdepan dengan kerisauan akan dibuang sekolah
sekiranya perihal mereka yang mengandung anak luar nikah sampai ke pengetahuan pihak
sekolah. Selain itu, mereka juga takut akan dihukum oleh ibu bapa sekiranya mereka
mendapat tahu bahawa anak mereka melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Lalu,
tindakan yang paling mudah untuk diambil adalah dengan menghapuskan bukti perbuatan
terkutuk mereka dengan melakukan dosa lain iaitu membuang dan membunuh anak.
Langkah-langkah mengatasi isu moral

Masalah pergaulan bebas ini, sekiranya tidak ditangani dengan seberapa segera,
bakal mengundang padah, bukan sahaja kepada remaja itu sendiri, bahkan kepada nama
baik keluarga, agama serta negara. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk
mengatasi masalah ini. Langkah yang pertama adalah dengan mengukuhkan didikan agama
dan moral dalam diri para remaja. Sesungguhnya hanya dengan bekalan kerohanian dan
moral sahajalah yang boleh menyelamatkan mereka daripada masalah sosial ini.
Tanggungjwab ini terutamanya difokuskan kepada para ibu bapa yang menjadi cermin
kepada tingkah laku anak-anak.

Ibu bapa seharusnya mampu menjadi rakan yang boleh dijadikan oleh anak
sebagai tempat untuk mencurahkan masalah. Mereka seharusnya mempunyai keupayaan
untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Luangkan sedikit masa setelah pulang dari
bekerja untuk mendengar celoteh anak-anak. Sekiranya terdapat masalah yang timbul yang
merunsingkan anak-anak, cuba cari pendekatan dan penyelesaian yang sesuai. Hashim
Bedu (2008) menasihatkan agar ibu bapa terus membuat spekulasi yang tidak baik ataupun
terus menghukum. Mereka seharusnya memberikan masa untuk berbincang dan mencari
jalan penyelesaian terbaik bagi anak mereka.

Zakaria Othman (2006) menerangkan bahawa, menurut Islam, kanak-kanak


mula dapat membezakan perkara yang baik dan buruk setelah mencapai mumaiyiz iaitu
berumur tujuh tahun. Pada ketika inilah ibu bapa atau penjaganya patut melatih anak
mengerjakan ibadat yang wajib. Apabila anak mencapai umur baligh, mereka wajib
melaksanakan semua suruhan agama dan menjauhkan segala larangannya. Untuk
mengelakkan berlakunya masalah ketidakmampuan untuk menerapkan unsur-unsur
keagamaan dalam diri anak-anak, ibu bapa seharusnya mempersiapkan diri seawal usia
perkahwinan agar tidak kalut apabila berdepan proses membesarkan anak-anak. Khutbah
Jumaat pada 14 Januari 2006, mengupas tentang kepentingan sesebuah institusi
kekeluargaan yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi untuk membentuk anak-anak
yang teguh pegangan akidah dan moralnya.

Justeru, ibu bapa pada hari ini diharapkan agar lebih komited memberikan pendidikan,
kasih sayang dan keperluan-keperluan asas yang lain kepada anak-anak. Di samping itu,
setiap pasangan suami isteri hendaklah memastikan hubungan mereka sesama sendiri dan
hubungan dengan anak-anak sentiasa baik dan mesra ke arah membentuk keluarga Sakinah
dan berasaskan konsep Baiti Jannati.

Ibu bapa juga seharusnya meluangkan lebih masa yang berkualiti bersama anak-
anak kerana apa yang diperlukan oleh mereka adalah kasih sayang dan perhatian ibu bapa,
bukannya hidup dengan harta yang melimpah-ruah tetapi kosong tanpa belaian ibu dan
bapa. Harta, pangkat dan kekayaan itu hanyalah pinjaman daripada Tuhan yang diberikan
kepada kita dan bersifat sementara. Anak-anaklah harta yang paling bernilai yang
seharusnya dijaga oleh mereka. Kebanyakan remaja yang runtuh akhlaknya datang
daripada keluarga yang berkemampuan dari segi kewangan namun papa dari segi perhatian
dan kasih sayang.

Selain itu, remaja itu sendiri perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu
pengetahuan agar tidak tergelincir daripada landasan keagamaan yang sepatutnya. Para
remaja perlulah mempunyai pendirian yang teguh dan tidak membiarkan orang lain
terutamanya rakan-rakan sebaya sewenang-wenangnya mencalarkan maruah dan akidah
mereka. Mereka haruslah berani untuk menyatakan tidak kepada pergaulan bebas dan zina
agar tidak mudah untuk dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif lain. Ilmu yang diperolehi
seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menghindarkan diri daripada
masalah-masalah sosial ini kerana ilmu yang dituntut itu akan disoal kembali setelah kita
dibangkitkan di Hari Akhirat kelak.

Satu lagi langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah


pembuangan bayi ini adalah dengan melaksanakan Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini
ataupun lebih dikenali dengan nama Baby Hatch yang dilaksanakan oleh Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta OphanCARE bagi
menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius pada hari ini. Bayi-bayi yang
dipelihara sementara itu akan diserahkan kepada ibu bapa angkat mengikut agamanya.
Pusat penjagaan bayi ini sangat-sangat diperlukan kerana terlalu ramai bayi yang tidak
berdosa yang dibuang oleh ibu bapa muda mereka yang tidak berperikemanusiaan.
Penubuhan pusat ini pada awalnya dikhuatiri bakal menyampaikan mesej yang negatif
kepada orang ramai, namun kini ianya telah menjadi satu keperluan untuk melindungi
bayi-bayi yang tidak berdosa.
Malahan, penubuhan pusat ini telah mendapat persetujuan dan sokongan
daripada tokoh-tokoh Islam dalam negara kita seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani
Zakaria dan Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Memetik komen Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sewaktu diwawancara oleh Berita
Harian (2010), bayi yang tidak lagi diingini mesti diselamatkan, manakala ibu bapa bayi
berkenaan harus dikenakan tindakan yang keras supaya memberi pengajaran kepada orang
lain. Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula melahirkan reaksi positif terhadap usaha
mewujudkan Baby Hatch kerana ia menjadi tempat perlindungan bayi yang tidak bersalah
serta boleh menjamin masa depan bayi itu.

Kalau kita pandang dari segi satu sudut memang menggalakkan zina tapi kita tak boleh
biarkan bayi yang dilahirkan dibuang dan meninggal begitu saja.
Malahan bayi berkenaan boleh diberikan kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak
dan Islam menganjurkannya, katanya. Semoga penubuhan pusat perlindungan bayi ini
akan menyedarkan para remaja betapa pentingnya untuk bertanggungjawab terhadap darah
daging mereka sendiri sekalipun mereka dilahirkan dalam masa yang tidak diminta.

Secara keseluruhannya, virus permasalahan sosial dan keruntuhan moral yang


menyerang golongan muda bermula dari zaman sekolah rendah pada hari ini bukan hanya
semata-mata disebabkan oleh kesalahan atau kesilapan para remaja yang terlibat. Jika
diintai dari sudut yang lebih terperinci, ibu bapa sebenarnya yang seharusnya
dipertanggungjawabkan untuk memberikan refleksi amalan mulia dan input-input
mendalam dari segi keagamaan yang boleh menjadi teladan dan ikutan kepada anak-anak
agar masalah pergaulan bebas dan pembuangan bayi ini tidak terjadi. Namun, tidak
seharusnya kesalahan diletakkan secara total kepada ibu bapa. Faktor persekitaran remaja
itu, pengaruh rakan-rakan seusia mereka dan juga implikasi media massa juga menjadi
punca mengapa masalah ini berubah menjadi bencana dalam masyarakat. Sesungguhnya
para remaja itu adalah harapan dan tunjang kejayaan negara pada masa hadapan seperti
yang dilauhkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau menuntut setiap rakyat Malaysia terutamanya remaja supaya mempunyai modal
insan iaitu personaliti yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi
kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang.
Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorang individu. Ini
akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dan sebagai
masyarakat yang peka tentang keadaan yang berlaku dalam komuniti masing-masing, kita
seharusnya sama-sama berusaha mengambil inisiatif untuk mencegah perkara ini dari terus
menjadi duri yang boleh menghancurkan agama dan negara. Langkah pencegahannya
sudah terhidang luas di depan mata. Kini, tiba giliran kita untuk membantu untuk
merealisasikannya atau tidak.

Penggunaan pendidikan moral untuk menyedarkan murid-murid tentang gejala


sosial

Dalam menyedarkan murid-murid tentang gejala sosial, semestinya pendidikan


moral menjadi antara mdium utama untuk digunakan di sekolah. Dalam pengajaran dan
pembelajaran subjek Pendidikan Moral di sekolah khususnya di sekolah-sekolah rendah
di Malaysia, teknik dan strategi pengajaran yang sesuai boleh diaplikasikan dalam
melahirkan insan yang bermoral dan beretika kerana input atau pengetahuan yang hendak
diajar kepada murid tersebut merupakan titik tolak kepada bercambah atau terbantutnya
nilai moral dan etika dalam diri mereka (Nucci, 2001). Ini adalah kerana teknik dan strategi
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan akan menghasilkan
impak yang positif dalam sesi pembelajaran Pendidikan Moral. Namun, sekiranya tersilap
langkah atau teknik mahupun strategi pembelajaran yang dipilih tidak bersesuaian dengan
nilai moral yang hendak diajar, objektif yang hendak dicapai mungkin sekali tersasar dari
landasannya. Justeru, adalah penting bagi guru untuk memilih teknik atau strategi
pendidikan yang berkesan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan
Moral dalam kalangan murid-murid.

Cara melaksanakan pendekatan penyayang ialah melalui empat aspek yang


berikut iaitu modeling, dialog, praktis dan kepastian. Modeling ialah tumpuan harus
diberikan kepada perkembangan pelajar sebagai seorang yang memberi sayang dan
menerima sayang. Konsep penyayang dapat ditunjukkan dalam tingkah laku melalui
teladan di mana ia boleh diperhati dan diikuti. Melalui teknik ini, guru boleh memberi
contoh teladan dengan menunjukkan pergaulan yang mempunyai batasan antara lelaki dan
perempuan dengan cara mengasingkan usrah atau perjumpaan kumpulan, bersalaman
mengikut jantina sahaja, mengadakan proses pembelajaran yang menyentuh aspek
keburukan pergaulan bebas dan batas pergaulan sedari kecil. Ini akan memberi murid
pendedahan bahawa pergaulan sesame mereka seharusnya dijaga dan mempnuyai batas-
batas yang tertentu. Menurut Noddings (1984), dialog pula boleh diadakan dengan pelajar
melalui perbincangan berkenaan isu pergaulan bebas dan implikasinya secara kelompok
kecil di dalam kelas ataupun secara forum di mana sasaran audien bagi isu tersebut lebih
besar dan menyeluruh. Guru-guru mungkin boleh mengadakan pemerhatian ke dunia luar
bersama-sama murid-murid yang lebih berusia seperti murid-murid Tahap 2 untuk menilai
sendiri sejauh mana negatifnya impak gejala pergaulan bebas dalam kalangan murid-murid
dan sama ada apa yang dilakukan oleh individu yang mengamalkan pergaulan bebas ini
memberi apa-apa kesan positif kepada diri mereka dan komuniti sekeliling.

Dalam menyedarkan murid-murid tentang gejala sosial juga, pendidikan moral


seringkali dipengaruhi dengan kepesatan media sosial yang menjadi kegilaan dan
fenomena golongan muda ini. Murid-murid pada masa kini terlalu diberi pendedahan
kepada media sosial hingga kadangkala melekakan dan berlebihan sehingga membawa
impak negatif kepada mereka. Capaian Internet dan media sosial yang tiada batasan
menjerumuskan murid-murid kepada bahaya gejala sosial yang boleh meruntuhkan nilai
moral dan etika dalam diri mereka. Justeru, guru boleh menggunakan apa yang diminati
murid iaitu media sosial untuk menyebarkan tentang keburukan pergaulan bebas. Cara
yang boleh dilakukan adalah melalui sesi tontonan video atau filem yang menyebarkan
tentang keburukan pergaulan bebas serta impaknya kepada kehidupan murid secara
individu dan dalam konteks kekeluargaan atau bermasyarakat. Di sekolah, lebih mudah
untuk mengawasi aktiviti sosial anak-anak di laman maya kerana laman sesawang seperti
Youtube dan sebagainya telah ditetapkan untuk tidak mengeluarkan bahan-bahan yang
berunsur negative dan lucah. Jika di rumah, ibu bapa boleh menggunakan tetapan Parental
Controls bagi memantau aktiviti anak-anak semasa melayari laman sosial. Peranan ibu
bapa di rumah dan komuniti sekeliling diperlukan untuk sama-sama mengawal dan
membanteras aktiviti murid yang dikhuatiri boleh menjadi tidak bermoral dan tidak
terkawal sehingga mendedahkan murid kepada bahaya kepincangan sosial pada masa kini.

Dunia masa kini semakin terdedah dengan pelbagai gejala sosial dan murid-
murid mempunyai akses yang semakin meluas terhadap keruntuhan moral serta gejala
sosial yang semakin sakit dalam komuniti masyarakat tanpa mengira perbezaan agama,
bahasa, kaum atau budaya. Seiring dengan deras arus pemodenan dan dunia globalisasi
pada masa kini, peranan guru terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan
Moral di sekolah amtalah penting dan sangat diperlukan. Abdul Rahman Md. Aroff (1999)
menyatakan bahawa guru bukan sahaja memainkan peranan utama sebagai penyampai
ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar, malahan bertanggungjawab
menyuburkan minat, memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar-pelajar. Guru juga
merupakan sumber untuk membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif
bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang
berlaku di sekeliling mereka selaras dengan hala tuju sistem pendidikan. Dengan bantuan
ibu bapa, komuniti dan masyarakat sekitar, gejala sosial dapat dikurangkan dan dihapuskan
demi melahirkan insan pelapis generasi yang bermoral dan berperibadi mulia.
RUJUKAN

Abdullah Nashih Ulwan. (1989). Lengahnya Kedua Orang Tua Terhadap Pendidikan
Anak-anak: Pedoman Pendidikan Anak-anak Dalam Islam. Selangor: Klang
Book Centre. p 136.

Abdul Rahman Md. Aroff (1999). Pendidikan moral. Teori etika dan amalan moral.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Azizi Yahaya & Badruzaman Baharom. (n.d). Persekitaran Keluarga dan Kesannya
Terhadap Tingkah Laku Devian Remaja. Diakses daripada
http://eprints.utm.my/2354/1/AziziYahaya_Persekitaran_Keluarga_dan_Kesanny
a.pdf pada 17 September 2016.

Hashim bin Haji Bedu, Khairulhelmi bin Katip, Mohd Fahmi bin Mohd Sahid & Syed
Mohamed Syafeq Syed Mansor. (2008). Keruntuhan Akhlak dan Gejala Sosial dalam
Keluarga: Isu dan Cabaran. Diakses daripada
http://eprints.utm.my/6511/1/HashimBedu2008_KeruntuhanAkhlakGejalaSosi
alKeluarga.pdf pada 18 September 2016.

Khutbah Jumaat(2006, Julai 14). Menangani Keruntuhan dan Keganasan dalam Institusi
Keluarga. Diakses daripada
http://blogs.iium.edu.my/zahlinah/2008/06/27/menangani- keruntuhan-dan-
keganasan-dalam-institusi-keluarga-khutbah-jumaat-14-julai- 2006/ pada 18
September 2016.

Muhammad Najib & Nur Yasmin Zulaikha. (2007). 290 Nasihat Untuk Muslimah. Kuala
Lumpur: Jasmin Enterprise. Pp96-97.

Muhammad Nawawi Subandi. (2010). Pembuangan Bayi: Natijah Lambakan Gangguan


Seksual. Diakses daripada http://satuummah.blogspot.com/2010/08/pembuangan-
bayi-natijah-lambakan.html pada 17 September 2016.

Muhammad Soleh Al-Munajjid.(2006). Dosa-dosa Yang Dipandang Ringan Oleh


Manusia. Johor: Pustaka Azhar. Pp56-59. Dirujuk pada 20 September 2016.

Negara Brunei Darussalam. (1997). Mengatasi Masalah Sosial Di Kalangan Remaja Belia
Islam. Diakses daripada http://www.muis.gov.sg/websites/mabims/pdf/brunei-
sosialremaja.pdf pada 16 September 2016.

Noddings, N. (1984). Caring: a feminine approach to ethics and moral education.


Berkeley: University of California Press.

Nucci, L. P. (2001). Education in the moral domain. Cambridge: Cambridge University


Press.
Nusantara, A. C. (2008). Karya Tulis Anti HIV & Aids. Diakses daripada
http://acnk3y.blogspot.com/2008/03/kata-pengantar-generasi-muda-saat-ini.html
pada 20 September 2016.

Ong, T. (2007). Sahabat: Teman Menangis dan Ketawa. Selangor: Alaf Dua Puluh Satu
Sdn. Bhd. Pp13-15.

Tokoh Islam setuju penubuhan Baby Hatch. (2010). Berita Harian Online. Diakses
daripada
http://www.bharian.com.my/articles/TokohIslamsetujupenubuhanBabyHatch/Arti
cle/ pada 19 September 2016.

W. S. Turambi. (2006). Remaja Harus Mengetahuinya. Kuala Lumpur: Southeast Asia


Publishing House. Pp179-180.

Zakaria Othman (2006). Remaja Merdeka: Bersih Dari Gejala Sosial, (Wawancara Khas
Dengan Puan Ramlah Yong, Pengarah Kesuma Jakim) Cahaya Ogos 2006. Diakses
daripada http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=1867 pada 17
September 2016.

Вам также может понравиться