Вы находитесь на странице: 1из 18

Cabaran Masa Kini

Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak.

Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang

merangkumi pembentukan akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran

memberikan tekanan kepada ibubapa dalam menangani cabaran tersebut. Keperluan

menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibubapa bekerja telah mengurangkan masa

bersama dengan anak-anak. Justeru itu mereka terpaksa mencari alternatif lain seperti

mengambil pembantu rumah, menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau ke sesi persekolahan

tambahan untuk memastikan kepentingan pendidikan anak-anak terjaga. Kewujudan masalah

sosial juga turut merunsingkan ibubapa. Gejala dadah, melepak, merempit dan terlibat dalam

aktiviti-aktiviti maksiat merupakan fenomena yang mencemaskan ibubapa. Tambahan pula

media menyiarkan sitcom yang boleh menyumbangkan kepada penglibatan anak-anak dalam

aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh mengikut kajian yang dilakukan oleh Hashim

Bedu dan rakan-rakannya Keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam keluarga;isu dan cabaran

jenayah syariah bagi negeri Johor meningkat dari setahun ke setahun. Mereka

mengklasifikasikan punca-punca jenayah seperti berikut : perasaan ingin tahu dan mencuba,

pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan sikap keluarga, ibubapa mengamalkan

sikap terlalu mengongkong dan mengabaikan pendidikan rohani dan agama. Nooh Gadot dalam

kertas kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti menyatakan

bahawa keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan

komunikasi dalam keluarga, salah laku perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang

tua dan ibubapa kurang memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau

menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman

seperti kehidupan yang tidak berasaskan iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak

mencukupi, tidak ada role model dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak

ada suasana keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli

keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa dalam aktiviti luar

sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan kumpulan yang rendah

akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ibu

bapa.
Sheikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil Islam[6] menyenaraikan

punca keruntuhan moral anak-anak antaranya kepada kemiskinan, pergaduhan sesama ibu dan

bapa, perceraian yang mengundang kesusahan kepada ibu yang menjaga anak-anak, masa

lapang yang tidak terisi, pengaruh rakan-rakan, diplomasi buruk ibu bapa kepada anak-anak dan

ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak. Kemiskinan akan mendorong kanak-kanak keluar dari

rumah mencari wang untuk keperluan dirinya yang akan mendedahkan mereka kepada sarang-

sarang penjenayah natijahnya akan melahirkan masyarakat yang anggota masyarakatnya

penjenayah-penjenayah muda. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh terutamanya di hadapan anak-

anak akan menyebabkan anak-anak resah dan tidak gembira. Perceraian ibu bapa kebiasaannya

menyebabkan anak-anak kehilangan bapa dan memaksa ibu-ibu keluar mencari nafkah. Maka

anak-anak yang sudah kehilangan bapa akn terasa kekurangan masa bersama ibu mereka lantas

mereka akan mencari alternatif untuk mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa mereka. Begitu

juga jika anak-anak mempunyai masa lenggang yang banyak dan ibu bapa tidak memenuhi

masa anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah akan mempengaruhi kanak-

kanak mengisi masa mereka mengikut cara mereka sendiri. Islam memberi peringatan yang

keras tentang kesan negatif yang bakal menimpa mereka yang tersilap memilih kawan seperti

dalam ayat 28-30 surah al-Furqan Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit

dua tangannya, seraya berkata: Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama

Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman

akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al Quran ketika Al Quran itu telah

datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia. Sabda Nabi:

Seseorang itu bergantung kepada agama saudaranya maka hendaklah dia melihat ssiapa yanag

menjadi saudaranya. Sikap ibu bapa dan cara diplomasi mereka yang tidak berhikmah

menyebabkan anak-anak menjadi tertekan dan beremosi kerana anak-anak juga manusia yang

diberikan akal yang mampu berfikir dan boleh menilai lantas mereka akan mempersoalkan sikap

ibu bapa mereka yanag tidak rasional. Kanak-kanak berkemungkinan mengambil jalan pintas

melawan ibu bapa, lari dari rumah dan menyimpan dendam kepada ibu bapa mereka. Pernah

satu ketika Umar ibn al-Khattab mengatakan kepada seorang ayah yang tidak menunaikan

tanggungjawabnya Kamu datang berjumpa aku mengadu anakmu yang derhaka sedangkan

kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya, kamu berlaku buruk kepadanya sebelum dia berlaku

buruk kepadamu. Ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak menjadikan anak-anak mereka

seolah-olah tidak beribu bapa ibarat anak-anak yatim. Benarlah kata penyair Arab bukanlah
yatim itu mereka yang ayahnya tidak menanggungnya dan meninggalkannya sesungguhnya

yatim itu ialah ibunya yang sibuk dan ayahnya yang sibuk. Ibu bapa perlu menjadi seperti

seorang peladang yang sentiasa mengambil berat terhadap benih pokok yang disemainya Dia

perlu menjaganya, membaja, menyiram air, membersihkan duri-durinya dan memotong ranting-

ranting yang patah. Dia perlu memastikan benih tersebut dapat menghasilkan buah masak dan

ranum. Jangan jadikan anak-anak seperti benih terbiar diterbangkan angin ibarat debu

beterbangan di udara.

Dr Muhammad Sayyid Yusuf dalam bukunya Manhaj al-Quran fi Islah al-Mujtama`

menyenaraikan sebab kepincangan masyarakat kepada 3 punca utama: berpaling dari ajaran

agama, tertipu dengan godaan syaitan dan perancangan jahat musuh yang ingin melihat

kehancuran umat Islam. Musuh Islam terutamanya Yahudi mengganggap antara kekuatan umat

Islam terletak kepada keutuhan institusi keluarga oleh itu mereka menjadikan matlamat mereka

antaranya meruntuhkan kehidupan berkeluarga dan merosakkan sistem pendidikannyya. Oleh

itu sebahagian besar program-program media massa yang dipaparkan memperlihatkan unsur-

unsur dan budaya-budaya negatif yang boleh mempengaruhi nilai akhlak anak-anak dan remaja.

Sebaliknya budaya mulia yang ingin dilihat dalam kehidupan anak-anak dan remaja sebagai jil

dan generasi masa hadapan future generation ialah seperti yang ditegaskan oleh Malik Bennabi

ialah budaya yang bersumberkan wahyu kerana ianya merupakan suatu yang quddus dan

datangnya dari Tuhan. Mengikut perspektif Islam, budaya terdiri dari tiga unsur aqidah, ibadah

dan akhlak oleh itu semesti ketiga-tiga perkara ini diberikan penekanan dalam pembentukan

personaliti anak-anak.

Tuntutan materialisma masakini mempengaruhi ibubapa memberikan tekanan kepada anak-anak

untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik lantas mengabaikan aspek

spriritual atau keagamaaan maka lahirlah anak-anak yang cemerlang akademik tetapi kosong

jiwanya, remaja cemerlang tetapi runtuh akhlak. Sepatutnya kecemerlangan akademik mestilah

diimbangi dengan kecemerlangan spiritual spiritual excellence. Islam melalui al-Quran dan

Hadith menuntut supaya keseimbangan atau balance dalam semua aspek kehidupan, bukan

sahaja aspek material tetapi kerohanian juga mesti dititikberatkan. Oleh itu peranan ibu bapa

pada masa ini merupakan sebahagian dari jihad yang dituntut dalam Islam. Hadith Nabi ada
menyebut bermaksud barangsiapa bersabar dalam membesarkan anak-anak perempuan maka

baginya balasan syurga.

Penyelesaian Masalah dan Aspek Pendidikan Anak-anak

Apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di sini ialah apakah peranan yang perlu dimainkan

oleh ibubapa dalam mengatasi masalah dan menangani cabaran yang dihadapi. Anak-anak perlu

diberikan kefahaman tentang peranan dan tujuan utama mereka berada di alam maya ini.

Kewujudan mereka bukannya untuk mengecapi keseronokan yang bersifat sementara tetapi

memahami dan menghayati kedatangan mereka seperti yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi

dalam risalahnya Qimah al-Insan wa Ghayah Wujudihi fi al-Islam adalah untuk beribadat,

membangunkan bumi Tuhan dengan sebaiknya dan menjadi khalifah Tuhan di bumi ini. Oleh itu

ada tiga perkara utama yang perlu ditekankan dalam pembentukan diri dan jiwa anak-anak iaitu

pemantapan iman dan ibadah, ilmu dan pengukuhan nilai akhlak mulia. Selain daripada tiga

perkara asas ini, ibu bapa perlu mengambil kira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya.

Secara umumnya aspek-aspek pendidikan anak-anak terbahagi kepada aspek iman, akhlak,

jasmani, minda, rohani, sosial, emosi dan seksologi.

Ciri-ciri Pendidikan Dalam Islam

Sebelum kita berbicara mengenai aspek-aspek pendidikan anak-anak yang perlu dititikberatkan

oleh ibu bapa terlebih kita merenung apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan dan apakah

ciri-ciri pendidikan Islam.

Definisi dan Aspek Pendidikan

Pendidikan dari segi bahasa ialah membina, memperbaiki dan menyempurnakan. Dari segi

teknikal ia bermaksud membina fungsi badan, akal, akhlak sehingga sempurna melalui latihan

dan pembudayaan. Di dalam Islam pendidikan bermaksud mempersiapkan individu Muslim yang

beriltizam dengan agama dan berakhlak dengan akhlak Islam dari segi hati, ruh, jasad, akal,

akhlak dan sikap.[7]

Untuk memahami konsep pendidikan dalam Islam terutamanya al-Quran dan Hadis memerlukan

kita meneliti keseluruhan isi kandungannya. Al-Quran dalam surah al-Muminun umpamanya
memasukkan elemen tawhid. Ibadat, akhlak, menjaga kehormatan diri dan tanggungjawab

kepada masyarakat melalui sistem zakat dan penjagaan amanah. Surah al-Furqan menyebut

takwa, takut kepada azab neraka, bersedekah, memelihara kehormatan diri dan memberikan

kesaksian yang adil sebagai ciri-ciri peribadi unggul.

Pendidikan Islam akan dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita memahami ciri-cirinya.

Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang bermaksud ianya dari Allah. Ini merangkumi dua

perkara iaitu sumber dan tujuan. Dari segi sumbernya ia menyedarkan kita bahawa sumber

pendidikan Islam tertinggi ialah al-Quran dan Hadith dan bukannya bersumberkan akal dan

nafsu manusia. Manusia tidak mencipta asas-asas pendidikan Islam tetapi tugasnya ialah

menerima, memahami dan menyesuaikan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan dan

pendidikan. Dari segi hala tuju pendidikan ia bermaksud mengukuhkan ikatan hubungan dengan

Tuhan dan mencari redhanya. Ayat 6 surah al-Inshiqaq bermaksud Wahai manusia!

Sesungguhnya kamu telah bekerja keras untuk menemui Tuhanmu maka kamu akan

menemuinya.

Ciri kedua ialah pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan komprehensif. Tidak ada kekurangan

dalam sistem pendidikan Islam kerana ianya bersumberkan dua sumber utama iaitu Quran dan

Hadith. Ia meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan kepada tiga prinsip utama iaitu

tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan dan ibadah kepada Allah.

Ciri ketiga ialah keseimbangan yang bemaksud keseimbangan antara akhlak individu dan

masyarakat dan negara manakala ciri keempat ialah komitmen iaitu pendidikan Islam bukan

terletak pada teorinya sahaja tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan kerana perlaksanaan

merupakan manifestasi iman seseorang individu dan masyarakat. Ciri terakhir ialah ia bersifat

realistik sesuatu yang dapat dilaksanakan. Pendidikan Islam ialah sesuatu yang mampu

dilaksanakan dan bukannya sekadar teori yang indah dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan.

Secara umumnya sebahagian pakar bersetuju bahawa pendidikan anak-anak mestilah bermula

dari zaman awal kelahiran mereka. Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari

oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya

kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan

yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini,
kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam

menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya

tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh

dan jiwanya.[8] Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar

perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat

paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau

tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan

psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-

kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna

perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Mengikut pandangan pakar psikologi

Barat Freud, pengalaman kanak-kanak pada zaman kecilnya akan mempengaruhinya di masa

hadapan. Pada pandangan sebahagian sarjana Islam teori pendidikan anak-anak bermula

semasa perkahwinan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir

Islam membahagikan pembentukan peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga

peringkat. Sebelum kelahiran, selepas kelahiran sehingga umur 10 atau 11 dan dari 11

sehinggalah ke alam remaja dan mampu berdikari.

Mengikut Dr al-Mabruk Uthman Ahmad dalam bukunya Tarbiyatul Awlad wal Aba fil Islam

peringkat sebelum lahir merangkumi pemilihan pasangan suami isteri, persediaan mereka untuk

bergelar ibubapa yang bukan sahaja bersifat biologi iaitu melahirkan anak tetapi turut bersifat

kepertanggungjawaban iaitu menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Suasana yang

kondusif sepatutnya disediakan oleh ibubapa berdasarkan kepada kemampuan supaya unsur-

unsur positif dapat dimasukkan dan unsur-unsur negatif dielakkan. Perkara-perkara yang boleh

merosakkan anak-anak semasa dalam kandungan sebagai contoh merokok dan meminum arak

semestinya dihindari sesuai dengan tanggungjawab mereka yang besar sehingga dirakamkan

pengorbanan ibu dalam al-Quran. Dalam surah Luqman ayat 14 Dan Kami perintahkan kepada

manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam

keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun . Bersyukurlah

kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kamu kembali. Pemilihan

pasangan suami isteri yang baik dan menepati kehendak agama akan menjadikan perkahwinan

itu satu medan di mana ibu berperanan sebagai sebuah sekolah yang menjaga dan mendidik

anak-anak manakala bapa bertanggungjawab menyediakan keperluan-keperluan yang

diperlukan. Kerja sama yang dimainkan oleh kedua belah pihak suami dan isteri akan
memudahkan tugas dan amanah mendidik anak-anak menjadi mudah dan bersistematik. Islam

menekankan pemilihan pasangan mestilah berasaskan agama, akhlak dan keturunan yang baik

supaya anak-anak yang dilahirkan itu akan mewarisi sifat-sifat yang baik dan adat yang mulia.

Umar ibn al-Khattab suatu ketika pernah berkata sebagai menjawab soalan apakah hak seorang

anak ke atas bapanya hendaklah ia memilih ibu bagi anaknya, mencari nama yang elok dan

mengajarnya al-Quran.

Pendidikan Iman

Iman merupakan asas kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan. Kanak-kanak sebaik

saja dapat memahami mesti diajar asas-asas iman, rukun-rukun agama dan prinsip shariat

Islam. Kanak-kanak mesti diajar kefahaman jelas tentang Islam, diajar mengenal Tuhan dan

Rasul diajar supaya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan sistem

kehidupan yang dapat menjamin kebahagian dan kesempurnaan dalam kehidupan di dunia dan

akhirat. Al-Quran begitu menitik beratkan pemantapan dan pengukuhan aqidah serta

pembersihannya dari segala unsur negatif yang bertentangan dengan kesucian aqidah. Aqidah

yang benar menjamin kepada manusia tafsiran yang tepat dan komprehensif tentang konsep

kewujudan alam dan manusia. Penyelewengan aqidah akan membawa kepada penyelewengan

ibadat dan adat serta kerosakan akhlaq individu dan masyarakat. Mengikut Sayyid Sabiq

bencana pertama yang menimpa masyarakat Islam ialah kelemahan aqidah. Kelemahan aqidah

membawa kepada kelemahan individu, keluarga, masyarakat, negara dan segenap cabang

kehidupan. Iman yang dituntut kepada setiap individu dan yang diajar kepada anak-anak

mestilah iman yanag sebenar seperti yang diturunkan oleh Tuhan dan dijelaskan oleh Rasulnya.

Anak-anak mestilah diajar konsep iman dengan jelas dan tanpa kerumitan supaya timbul di

dalam perasaan diri mereka rasa kasih kepada Tuhan dan Rasulnya. Apabila mereka sudah kenal

dan kasih sudah tentulah mudah bagi mereka menerima dan mempraktiskan segala ajaran dan

arahan agama yang datang dari Tuhan dan Rasul. Individu tanpa agama dan iman ibarat sehelai

bulu yang beterbangan di udara, ianya tidak akan tetap dan tidak mengenal hala tuju dan tidak

akan berhenti di satu destinasi yang tetap. Iman yang mantap dan benar akan menggerakkan

anak-anak dan individu untuk beribadat dan melakukan amalan dan perbuatan yang baik.

Iman tidak sempurna tanpa amal dan amal tidak sah tanpa iman. Al-Quran sering mengaitkan

iman dengan amal sebagai satu benda yang saling bertaut rapat ibarat pepatah melayu aur
dengan tebing. Amalan dan perbuatan yang baik akan melahirkan nilai dan kesan yang positif.

Al-Quran menegaskan sebagai contoh amalan solat dan zakat akan menghalang seseorang dari

melakukan kejahatan dan membersihkan diri dari sifat-sifat keji.

Islam mengarahkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka sembahyang apabila berusia tujuh

tahun. Kepentingan solat selain daripada ianya sebagai tiang agama, ia berupaya menanam

dalam diri anak-anak pengertian taat, penyempurnaan haq Tuhan, bersyukur, berserah kepada

Tuhan, dan pembersihan jiwa, fisikal dan akhlak. Kata Imam al-Ghazali : Anak-anak ialah

amanah, hatinya yang bersih ibarat satu jawhar, jika dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia

dunia dan akhirat jika dibiasakan dengan kejahatan rosak dan binasalah dia

Pendidikan Akhlak

Yang dimaksudkan dengan pendidikan akhlak ialah himpunan nilai-nilai akhlak yang perlu diajar

kepada anak-anak sebaik sahaja mereka boleh memahami dan mencapai umur tamyiz

(discernment). Dimaksudkan dengan akhlak pada Imam al-Ghazali ialah tingkah laku yang

dilakukan oleh sesorang secara spontan dan bersahaja. Konsep akhlak dalam Islam ialah ianya

mencerminkan kualiti iman yang ada pada sesorang individu. Sebagai Muslim ia sedar bahawa

segala perbuatannya baik atau buruk jika tidak mendapat balasan di dunia ini akan pasti

mendapat balasan di hari kemudian. Dalam surah Ahzab ayat 21 Sesungguhnya telah ada pada

(diri) Rasulullah itu seri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat)

Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah

Kanak-kanak yang terdidik di atas asas iman yang benar dan kasih kepada Tuhan dan Rasul

akan mendapati pada dirinya kesediaan untuk melakukan segala perkara yang bersifat positif

dan akan menolak segala perkara yang bersifat negatif. Dia akan sentiasa merasakan bahawa

Tuhan bersama dia, melihat dan menyaksikan segala perbuatan dia. Kaitan akhlak dengan

agama bukan sahaja konsep Islam tetapi ianya diakui oleh bukan Islam. Ghandi sebagai contoh

menyatakan : Sesungguhnya agama dan akhlak satu benda yang satu dan tidak

dipisahkanAgama ibarat ruh bagi akhlak dan akhlak ibarat atmosfer bagi agama Kant

menyatakan : Tidak ada akhlak tanpa tiga kepercayaan; Tuhan, ruh dan Hari Pembalasan.

Akhlaq berperanan sebagai salah satu rukun utama pembentukan peribadi unggul dan juga

pembinaan keluarga dan masyarakat yang bertamadun. Tidak mungkin kita dapat melihat suatu
masyarakat contoh dan mithali yang saling bertoleransi, memahami, aman tetapi kosong nilai-

nilai akhlaq mulia yang ada pada masyarakat tersebut dan juga individu. Dewasa ini masyarakat

Islam dan Melayu khususnya berhadapan dengan berbagai masalah sosial anak-anak. Terbaru

pendapat pakar psikiatri mengatakan remaja berumur lingkungan 15 tahun selalu berhadapan

dengan masalah sehinggakan sudah ada percubaan untuk membunuh diri hanya disebabkan

cinta tidak diterima kekasih.[9] Jika hendak diperturunkan di sini senarai tingkah laku dan

masalah akhlak remaja amatlah banyak. Bukan sahaja anak-anak menderhaka kepada orang tua

mereka tetapi pernah kedengaran anak-anak yang mendera sehingga peringkat membunuh

orang tua mereka. Perkara ini tidak akan berlaku jika remaja tersebut diberikan tembok iman,

ilmu dan akhlaq yang kukuh. Benarlah ungkapan syair yang masyhur: Innama al-umam al-

akhlaqu ma baqiyat, fain hum dzahabat akhlaquhum dzahabu (suatu ummat akan kekal bersama

akhlaqnya; bila akhlaqnya hancur, hancurlah mereka bersamanya).

Dalam pembikinan akhlaq anak-anak, tidak cukup dengan tumpuan kepada akhlaq luaran tetapi

dalaman atau rohani dan spiritual mesti dititikberatkan. Imam al-Ghazali, pemikir Islam agung

silam menekankan: Sesungguhnya sifat yang lahir pada hati akan memperlihatkan kesannya

pada anggota-anggota zahir sehinggakan anggota-anggota badan tidak akan bergerak

melainkan mengikut kehendak hatinya. Oleh itu pembentukan karektor anak-anak tidak boleh

ditumpukan hanya kepada kecerdasan akal sahaja tetapi mesti mesti meliputi aspek emosi dan

juga spiritual. Anak-anak mesti diajar akhlaq individu seperti berpuas hati, sabar, bersyukur dan

diajar akhlaq bermasyarakat seperti benar, penyantun, amanah, toleransi, merendah diri dan

menepati janji. Sabda Nabi : Keajaiban bagi seorang Muslim dalam urusannya, sesungguhnya

semua urusannya adalah baik belaka. Ini hanyalah untuk mukmin sahaja. Jika berada di dalam

kegembiraan dia bersyukur, jika ditimpa musibah dia bersabar (Riwayat Muslim)

Memandangkan pendidikan dalam Islam menitik berat pemerhatian observation sepatutnya ibu

bapa dalam aspek pendidikan akhlak memandang serius empat isu utama : bercakap bohong,

mencuri, mencela dan menyeleweng dari ajaran agama.

Keempat perkara tersebut merupakan antara perkara utama yang dilarang oleh Islam dan

banyak ayat Quran dan Hadith Nabi yang melarang keras perbuatan tersebut. Sebagai contoh

dalam kes bohong Nabi ada menyebut : Jauhilah kamu membohong, sesungguhnya

membohong membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka, dan adalah
hamba itu berbohong dan sentiasa berbohong sehingga Allah mengecapnya sebagai

pembohong. (Bukhari dan Muslim). Apa yang dibimbangi terdapat fenomena di mana ibu bapa

sering menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap anak-anak dengan berbohong walaupun

tujuan mereka ialah untuk melakukan islah atau pembaikan. Abu Dawud dan al-Baihaqi

meriwayatkan dari Abdullah bin `Amir bahawa suatu hari ibunya memanggilnya dan Rasulullah

berada bersama mereka. Rasulullah bertanya kepada Abdullah apakah yang kamu hendak

berikan kepadanya? Jawabnya aku ingin memberikannya sebiji tamar. Rasulullah menjawab

Jikalau engkau tidak memberikannya sesuatu engkau akan dicap sebagai pembohong.

Islam meletakkan beberapa asas dalam pembentukan akhlak antaranya : tidak mengikut

budaya asing yang bercanggah dengan agama, hedonisma, mendengar muzik atau nyanyian

yang melalaikan, menyerupai wanita, bertabarruj dan melihat benda yang haram.

Oleh itu dapat disimpulkan di sini akhlak anak-anak boleh terjejas jika ibu bapa mengambil

mudah dan tidak memberikan perhatian terutamanya kepada perkara-perkara berikut seperti

yang disebut oleh Abdullah Nasih `Ulwan iaitu tidak memerhati pergaulan anak-anak, tidak

menapis rancangan tv dan filem, membenarkan mereka membaca majalah-majalah yang tidak

sepatutnya dibaca, mengambil mudah urusan pakaian dan aurat anak-anak, tidak mengawasi

pergerakan mereka ke dan pulang dari sekolah serta perpustakaan kecil mereka. Kata pujangga

Bagaimana kamu menangisi keadaan anak kamu sedangkan kamu yang membunuhnya, telah

pergi dia tetapi apakah yang kamu lakukan?

Pendidikan Jasmani

Kanak-kanak semasa dalam proses pembesaran sehingga ke peringkat pra sekolah perlu

diberikan pendidikan jasmani bertujuan membina dan memantau perkembangan fizikal. Oleh

itu, antara perkara-perkara yang berkaitan dengan jasmani yang disebut dalam Quran dan

hadith seperti kewajipan memberi nafkah, mempraktiskan sistem pemakanan dan rehat yang

baik. Nabi berpesan apabila sesorang hendak tidur hendaklah dia berwudu dan berbaring ke

kanan dan membaca doa. Selain daripada perkara tersebut, anak-anak mestilah dipelihara dari

sebarang penyakit dan perlulah mereka diubati apabila ditimpa penyakit dan mengamalkan

konsep yang disarankan dalam hadis La darar wa la dirar tidak ada kemudaratan dan

memudaratkan, membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menguatkan fizikal


dan gemarkan mereka dengan kehidupan yang bersifat berani dan berjuang seperti dalam hadis

Berikan perhatian kepada perkara yang bermanfaat, pohon pertolongan dengan Allah dan

janganlah kamu menjadi lemah.

Kepentingan jasmani diisyaratkan dalam Quran dalam surah Yusuf ayat 11-12 Biarkanlah dia

(Yusuf) pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) bersenang-senang dan (dapat) bermain-

main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya. Keinginan naluri kanak-kanak untuk bermain

dieksploitasi sepenuhnya oleh saudara-saudara Yusuf untuk memujuk ayah mereka memberikan

keizinan untuk Yusuf keluar bersama abang-abangnya. Dalam sunan Tirmidhi permainan kanak-

kanak memberikan kekuatan kepada akalnya semasa dewasa.

Sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina menyarankan supaya kanak-kanak kecil semestinya

dibiarkan belajar berjalan dengan sendiri tanpa dipaksa kerana paksaan akan menjejaskan

kekuatan tulang kaki. Apabila seorang anak bangun dari tidur dia mestilah dimandikan

kemudiannya dibiarkan bermain untuk seketika kemudiannya diberikan sedikit makanan,

kemudiannya bermain kemudiannya mandi dan selepas daripada itu diberikan makanan. Imam

al-Ghazali berpendapat kanak-kanak perlu dibenarkan bermain selepas belajar untuk

menghilangkan penat. Mencegah mereka dari bermain dan memaksa mereka belajar sepanjang

ahri akan mematikan hati dan menganggu kecerdasan. Sebaik sahaja boleh bercakap dan

memahami arahan anak-anak perlu diajar adab dan akhlaq seperti adab makan dan minum.

Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam mengawal fizikal anak-anak segala tindakan mereka yang

boleh merosakkan tubuh badan dan kesihatan perlulah dilarang. Di sini kita dapat melihat

sebahagian ibu bapa yang tidak bertegas dan membiarkan anak-anak mereka melakukan

kegiatan-kegiatan yang memudaratkan bukan sahaja dari segi kesihatan bahkan juga merugikan

wang. Perbuatan-perbuatan seperti merokok dan pergaulan bebas akan mengundang berbagai

masalah kesihatan dan sosial. Di sini saya suka mencadangkan agar pihak berwajib bersikap

lebih tegas dalam mewujudkan zon bebas merokok dan menjadikan masyarakat Malaysia zero

smoking. Program-program hiburan perlu dikemaskinikan supaya elemen-elemen yang baik

dipaparkan dan elemen-elemen negatif yang menggalakkan anak-anak kepada pergaulan bebas

mestilah dimonitor dengan serius.

Pendidikan Minda dan Aqal


Di dalam menangani cabaran mendidik anak-anak sebagai future generation tidak dapat

dinafikan ilmu memainkan peranan yang besar dalam mewarnai corak kehidupan anak-anak.

Yang dimaksudkan dengan pendidikan minda atau aqal di sini ialah membina fikiran anak-anak

supaya mereka mengenal ilmu-ilmu bermanfaat, budaya ilmu, pola-pola pemikiran dan tamdaun

sehingga berkembang fikiran dan berilmu. Ia juga bermaksud pengetahuan dan juga skil yang

bukan sahaja perlu ada pada anak-anak sebagai satu tuntutan tetapi ibu bapa juga perlu

mempunyai ilmu-ilmu asas dan skil dalam membantu dan merangsangkan proses pembelajaran

dan pendidikan anak-anak. Antara kerosakan akhlak anak-anak adalah berpunca daripada

kecuaian memberi pendidikan.[10] Anak-anak perlu dibekalkan dengan dua cabang ilmu: ilmu

agama dan ilmu duniawi. Ilmu agama sebagai tuntutan seorang Muslim dan ilmu duniawi

sebagai memenuhi tuntutan kehidupan. Apabila proses pembelajaran dan pendidikan terbantut

atau tidak lengkap ianya akan mempengaruhi sikap anak-anak. Sesuatu yang tidak dapat

dinafikan ialah sebahagian dari remaja yang bermasalah adalah dari kalangan mereka yang

terpinggir dari arus pembangunan dan perkembangan ilmu. Pengajian mereka tersekat setakat

sekolah menengah dan masa remaja mereka terdedah kepada gejala-gejala tidak sihat.

Ada tiga perkara pokok yang mesti ditekankan dalam pendidikan akal anak-anak iaitu

tanggungjawab memberikan ilmu, pembinaan pemikiran Islam dan kesihatan mental.

Dalam proses pendidikan ini ibu bapa pelu mengambil kira ilmu yang dianggap fardu ain dan

fardu kifayah dan mengamalkan pendekatan awlawiyyat priority keutamaan iaitu ilmu apa yang

perlu diajar dahulu dan bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak. Di sini konsep tadarruj

atau gradual beransur-ansur perlu dipraktiskan kerana kanak-kanak tidak mampu menerima

semuanya pada satu waktu. Mewujudkan perpustakaan kecil di dalam rumah adalah salah satu

kaedah yang boleh merangsangkan minat untuk membaca.

Penekanan yang serius tentang kepentingan ilmu inilah yang telah mengangkat martabat umat

Islam satu ketika dahulu sehingga diiktiraf oleh bukan Islam. Seorang orientalis Belanda ada

menyatakan : Tidak dapat dijumpai di Andalus seorang yang buta huruf sedangkan di Eropah

ramai yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali golongan elit sahaja. H.R.Gibb

menyatakan melalui kajian yang mendalam (oleh Muslim) metod penyelidikan meresap masuk

ke Eropah pada zaman pertengahan.


Ibu bapa perlu membuat pemerhatian adakah anak-anak mereka menguasai ilmu-ilmu fardu

`ayn dan fardu kifayah dan cuba menimbulkan kesedaran anak-anak tentang pertaliannya

dengan agama. Adakah kita boleh berbangga apabila anak-anak kita mampu menceritakan

tentang tamadun Barat tetapi tidak berupaya menerangkan tentang tamadun Islam.

Ibu bapa perlu mengambil perhatian berat kepada persekolahan anak-anak mereka bermula dari

peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah. Kemudahan sekolah, kurikulum dan ko

kurikulum mestilah dipantau supaya pembinaan peribadi anak-anak dan perkembangan ilmu

selaras dengan kehendak ibu bapa dan seperti yang dituntut dalam Islam.

Pendidikan Sosial

Menyedari kanak-kanak pada peringkat umur awal memiliki daya keinginan untuk membuat

keputusan dan pilihan sendiri ibubapa semestinya sudah bersedia menanam di dalam diri anak-

anak mereka nilai-nilai sosial. Nilai-nilai sosial tersebut seperti kasih sayang, berlaku adil dan

lemah lembut. Nabi pernah berkata kepada Aishah bermaksud: Wahai Aishah! Sesungguhnya

Allah itu bersifat lemah lembut dan sukakan lemah lembut (Riwayat Muslim).

Tidak dapat dinafikan kekuatan sesuatu masyarakat terletak kepada kekuatan individunya.

Anka-anak-anak perlu ditanam dan dilatih bersifat dengan sifat-sifat bermasyarakat yang

berasaskan kepada pertama asas personaliti yang baik seperti taqwa, persaudaraan, kasih

sayang, berkorban, pemaaf, berani bercakap benar, kedua menjaga hak orang lain seperti hak

ibu bapa, saudara, guru, kawan-kawan dan orang yang lebih dewasa, ketiga komitmen kepada

akhlak bermasyarakat seperti adab makan dan minum, memberi salam, meminta izin,

menghadiri majlis, berbual, bergurau, mengucap tahniah, menziarahi orang sakit, mengucap

tahniah dan mendoakan orang yang bersin dan keempat bersikap mengambil berat iaitu bersifat

kritikal terhadap isu-isu sosial seumpamanya seperti sifat menghormati pendapat majoriti dan

menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Pendidikan psikologi dan emosi

Yang dimaksudkan dengan pendidikan psikologi ialah mendidik anak-anak sebaik mereka

mampu berfikir dan memahami sifat berani, keyakinan dan ketenangan diri. Aspek ini

merupakan aspek yang penting yang kadang kala dipandang remeh oleh ibubapa. Perasaan
gembira, suka, marah, bermusuh dan takut adalah sebahagian dari keadaan yang menguji emosi

anak-anak. Matlamat penekanan aspek psikologi ini ialah membentuk peribadi anak-anak dan

menanamkan keyakinan diri sehingga mereka mampu berdikari. Ibu bapa perlu membiasakan

anak-anak dengan sifat-sifat terpuji dan memastikan mereka terpisah dari sifat-sifat buruk yang

boleh mempengaruhi psikologi.

Dua faktor yang mempengaruhi emosi kanak-kanak; pertama tindak balasnya terhadap saudara-

sauadaranya yang lebih tua dan kedua sikap ibubapa yang tidak dapat difahami oleh anak-anak

seperti sifat ayahnya yang berubah dari penyayang kepada seorang yang bengis. Terdapat lima

perkara ibu bapa perlu awasi dan hindarkan dari anak-anak. Malu, takut, rendah diri, dengki dan

marah.

Perasaan malu dapat dikesan pada peringkat awal usia anak-anak. Mereka malu untuk bertemu

dengan orang yang mereka tidak biasa berjumpa dan kadang-kadang sikap malu ini diwarisi dari

ibu bapa mereka. Sikap menyendiri dan tidak suka bercampur dengan masyarakat yang

ditunjukkan oleh ibu bapa akan mendorong anak-anak untuk menunjukkan sikap yang sama.

Kanak-kanak perlu dibiasakan memasyarakatkan diri, bergaul dengan orang lain tetapi dalam

keterbasan yang tidak menafikan dari diri mereka sifat-sifat mulia. Kebiasaan orang-orang

Melayu dalam menghormati orang-orang tua melarang anak-anak mereka dari duduk bersama.

Sikap seperti ini mungkin baik tapi dari segi yang lain akan menyebabkan anak-anak besrikap

terlampau malu dan segan sehinggakan apabila mereka dewasa kelak tidak ada keyakinan diri

dan tidak mampu berhadapan dan berkomunikasi dengan penuh konfiden.

Perasaan rendah diri merupakan satu bentuk emosi disebabkan oleh ketidaksempurnaan fizikal

badan, bentuk pendidikan dan suasana ekonomi. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi

perasaan rendah diri iaitu hina diri, membezakan antara anak-anak, kecacatan, keyatiman dan

kemiskinan. Ada ibu bapa yang sering menggunakan perkataan yang tidak baik bagi

menggambarkan kesalahan kecil anak-anak di hadapan saudara-saudaranya seperti budak jahat,

penipu, pemalas dan pencuri atau memarahi anak-anak di hadapan rakan-rakan mereka. Sikap

ibu bapa yang terburu-buru dan mudah hilang sabar akan membuatkan anak-anak

memberontak, irihati, tidak hormat orang tua dan dendam. Bagaimana mungkin kita

mengharapkan mereka mempunyai sikap yang baik seperti taat, kasih sayang dan menghormati

orang tua jika kita telah membibitkan dalam jiwa mereka perasaan-perasaan negatif tersebut.
Sepatutnya ibu bapa menggunakan berbagai pendekatan bijaksana bersesuaian dengan

kesalahan dan peringkat umur anak-anak. Di sinilah pentingnya kebijaksanaan ibu bapa iaitu

meletakkan sesuatu bersesuaian dengan tempatnya. Anas bin Malik berkhidmat kepada Nabi

selama sepuluh tahun sejak berusia 10 tahun. Tidak pernah Nabi memarahi dan

mengherdiknya. Kadang-kadang Nabi memanggilnya dengan namanya, ketika yang lain dengan

panggilan yang lembut Unais dan saat yang lain dipanggil wahai anakku. Pernah satu ketika

Anas diminta pergi ke kedai di dalam perjalanannya dia berhenti untuk berjumpa dengan rakan

sebayanya. Tiba-tiba dia merasakan seseorang memegang bahunya lantas dia berpaling dan

mendapati orang tersebut ialah Nabi. Dia menyangka Nabi akan memarahinya tetapi apa yang

dia dengar ialah Wahai anakku adakah kamu dalam perjalanan untuk menyelesaikan

urusanmu?

Perasaan takut dan marah ialah dua unsur negatif yang biasa melanda kanak-kanak. Mengikut

ahli psikologi kebanyakan perasaan takut merupakan satu benda yang dihasilkan oleh diri

manusia sendiri. Takut terbahagi kepada tiga; takut secara semulajadi, resah dan fobia. Sikap

ibubapa yang tidak bijaksana dalam berurusan dengan anak-anak atau keruntuhan rumahtangga

boleh menjadi penyebab kepada perasaan takut yang akhirnya berkemungkinan akan

mengganggu emosi kanak-kanak. Antara nasihat Nabi ialah Permudahkan jangan

menyusahkan, tenangkan dan jangan kecoh. Terlalu memanja anak-anak juga merupakan

antara faktor yang boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri dan berasa malu.

Metod pendidikan Islam

Ada beberapa metod yang dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam. Antaranya ibadah,

menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hikmah, bercerita, perdebatan,

membuat perbandingan, targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik dan menggunakan

peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman.

Ibadat

Ibadat merupakan metod pendidikan yang sempurna merangkumi semua aspek jasmani dan

rohani individu dan masyarakat kerana pembentukan insan dan pembinaan peribadinya amat

berhajat kepada amalan-amalan dan tingkah laku yang baik. Ibadat-ibadat seperti solat, zakat,

puasa dan haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada pada individu dan masyarakat.
Contoh Tauladan

Manusia dan anakanak khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan yang baik supaya

mereka boleh melihat sample dan menjadikannya sebagai ikutan. Terdapat anak-anak yang

menjadikan artis-artis dan ahli-ahli sukan sebagai idola dan pujaan mereka sedangkan mereka

ini kosong nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu memperkenalkan kepada anak-anak bahawa

Rasul, para sahabatnya dan orang-orang alim dan bijaksana sahaja yang sepatutnya dijadikan

contoh tauladan kerana akhlak mereka yang tinggi.

Amr bi ma`ruf dan nahi munkar

Mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah dari keburukan satu metod yang baik dan

berkesan kerana ia membangkitkan dalam diri anak-anak perasaan mengambil berat terhadap

anggota masyarakat dan juga menyedarkan diri yang lalai akan kesalahan dan kekurangan diri.

Pendidikan dengan hikmah dan kebijaksanaan

Kanak-kanak jika bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan mengikut perkara yang

dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut datang dari orang yang dikasihinya. Hikmah

bermaksud meletakkan sesuatu kena dengan tempatnya. Menggunakan perkataan yang lemah

lembut pada tempatnya menghukum anak-anak bersesuaian dengan keadaan dan kesalahannya

adalah hikmah.

Pengajaran dengan nasihat dan bimbingan dengan penuh hikmah dan kasih sayang seperti mana

pesanan Luqman kepada anak-anaknya. Pesanan memperlihatkan kepada anak-anak betapa

besarnya harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka.

Menyertakan senda gurau di dalam pengajaran untuk menggerakkan otak, menghilangkan jemu

serta menimbulkan keinginan untuk bermesra-mesraan. Seorang lelaki telah datang kepada

Rasulullah memintanya seekor unta sedekah supaya dia menggunakannya untuk mengangkat

barang-barang rumahtangganya. Maka berkata Rasulullah Aku akan memberimu anak unta

untuk mengangkat barang itu. Lelaki itu berkata Wahai Rasulullah! Apa yang dapat aku buat

dengan anak unta itu? Jawa Rasullullah Bukankah unta itu melahirkan anak unta?

Bercerita
Mengajar anak-anak dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan kesan di dalam jiwa dan

tersemat di dalam akal. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh Quran dan hadith antaranya ayat

176 surah al-A`raf Dan ceritakanlah cerita-cerita itu kepada mereka moga-moga mereka

memahami. Surah Yusuf umpamanya berkaitan kisah adik-adik beradik yang penuh dengan

dengki dan diatasi dengan kasih sayang dan ikhlas kepada Allah.

Mendidik dengan pendekatan berdialog

Cara menyampaikan cerita mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita secara dialog, cerita

secara mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi bertanya kepada para sahabatnya: Tahukah

kamu siapa dia seorang Muslim itu? Jawab Sahabat : Allah dan RasulNya saja yang lebih

mengetahui. Sabda Nabi: Seorang Muslim itu ialah siapa yang terselamat kaum Muslimin yang

lain dari lidahnya dan tangannya.

Targhib dan tarhib

Targhib ialah membuatkan seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib membuat seseorang

membenci atau lari dari sesuatu. Targhib seperti menceritakan kepada anak-anak balasan dan

hasil yang baik jika mereka berakhlak mulia dan tarhib menceritakan kepada anak-anak

keburukan yang bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa boleh menggunakan gambar-

gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan kepada anak-anak.

Menanam dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik

Anak-anak dari semenjak kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan yang baik dan dijauhkan

dari mereka adat dan perbuatan yang keji. Anak-anak perlu dibiasakan dengan menghormati

orang tua, bersopan santun, tidak pemarah dan dengki.

Menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling

Ibu bapa perlu mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan akhlak anak-anak.

Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman

Hukuman
Mendidik anak-anak dengan menghukum merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang

ringan apabila didapati mereka tidak mengikuti arahan. Hukuman yang diambil oleh ibu bapa

terhadap anak-anak mereka adalah berbeza dan tidak sama dengan undang-undang dikenakan

ke atas masyarakat. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan-pendekatan berhikmah dalam

menghukum anak-anak antaranya dengan memberikan nasihat dengan lemah lembut dan

kasihan belas. Dalam sebuah hadis Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali-

kali bersikap keras. Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan bahawa kekerasan

yang berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah semangat, jiwanya

memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan suka berdusta. Ibu bapa juga

boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan raut wajah yang tidak senang seperti

memalingkan muka dari mereka, menunjukkan perasaan marah. Wahai Abu Dharr! Tidak patut

engkau mengatanya dengan menyebut ibunya. Sesungguhnya engkau masih terpengaruh

dengan cara-cara jahiliyyah (al-Bukhari). Ibu bapa juga boleh memulaukan anak-anak dengan

cara tidak bercakap dengan mereka untuk sesuatu tempoh. Memukul anak-anak mungkin

merupakan cara terakhir seperti dalam hadis Suruh anak-anak kamu mengerjakan

sembahyang seusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila telah mencapai umur sepuluh dan

pisahkanlah antara mereka di tempat tidur.

Kesimpulan dan Cadangan

Pendidikan anak-anak merupakan satu jihad dan memerlukan pengorbanan dari ibu bapa. Ibu

bapa terlebih dahulu perlu mencerminkan budaya sihat dan tauladan yang baik supaya menjadi

ikutan anak-anak. Anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa. Kita tidak mahu ibu bapa yang

ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Surah ayat 3-4 bermaksud : Wahai orang-orang

beriman kenapa kamu kata apa yang kamu tidak lakukan ? amatlah besar dosanya di sisi Allah

sekiranya kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat Syair Arab ada menyebut la tanha `an

khuluqin wa tatiya mithalhu `aar `alaika idha fa`alta `azim.

Kerajaan dan pihak yang berwajib perlu memperbanyakkan dan mempertingkatkan kualiti SA

(Sekolah Agama) atau diubahsuai dan mengukuhkan kurikulum pelajaran supaya menjadi

seimbang dengan mengambil kira potensi pelajar dan tuntutan arus perdana dan kewajipan

agama.

Вам также может понравиться