You are on page 1of 2

Berita | Malaysia

PPPM 2013-2025 bakal bentuk


pengetua, guru dan pelajar futuristik
Februari 25, 2017 06:00 MYT

SUMBER DARI : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pppm-2013-2025-bakal-bentuk-pengetua-guru-dan-pelajar-


futuristik-133580

PPPM 2013-2025 akan membentuk pengetua, guru besar dan guru berprestasi tinggi
dan futuristik malah pelajar berfikiran kritis. - Gambar hiasan
NILAI: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bukan sahaja
akan membentuk pengetua, guru besar dan guru berprestasi tinggi dan futuristik
malah melahirkan pelajar berfikiran kritis dengan kemahiran berkomunikasi.

Perkara itu disuarakan beberapa pengetua dan guru besar yang ditemui Bernama baru-
baru ini, sambil menjelaskan PPPM merupakan dasar pendidikan negara yang
dibentuk sesuai dengan perkembangan semasa dunia pendidikan yang semakin
mencabar.

Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi,
Klang, Norrifin Mohd Ali berkata secara praktikalnya dasar itu perlu diaplikasi
bersama Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pembelajaran untuk
memastikan pelajar berfikiran holistik iaitu kritis, inovatif, kreatif dan boleh
menyelesaikan masalah.

"Kita mahu pelajar yang kita lahirkan nanti mampu menyelesaikan masalah secara
praktikal, klinikal dan logik. Maknanya penyelesaian itu boleh diterima akal dan
penyelesaian itu kita panggil realistik iaitu bersesuaian dengan situasi semasa,"
katanya.

Katanya meskipun visi dan misi yang hendak dicapai dalam PPPM dilihat agak
mencabar, namun ia tidak membebankan guru sekiranya ia dapat difahami dan
dikuasai dengan baik.
"Bagaimanapun sedikit penambahbaikan perlu dilakukan iaitu dari segi sistem
penilaian seperti Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan
ketika ini bagi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dapat diteruskan dan dikembangkan
dari sekolah rendah sehingga ke menengah bermula dari sekarang.

"Ini kerana penilaian melalui sistem PBS dapat menilai pelajar secara menyeluruh
bukan dari segi akademik semata-mata," kata Norrifin.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Molek,
Johor Soh Rosie berpendapat bahawa idea dasar itu adalah terbaik namun ia
memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

"Sistem ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu masyarakat sekeliling. Semua
orang perlu beri sokongan untuk mencapai objektif dasar ini," katanya.

Mengenai bebanan tugas guru yang masih dipenuhi dengan kerja-kerja dokumentasi
dan pemfailan, beliau berpendapat ia perlu dikaji semula.

Rosie berkata walaupun berada pada zaman digital, tetapi masih ada permintaan
'salinany' daripada guru-guru kerana masih banyak lagi urusan yang perlu
menggunakan kertas sedangkan kita menuju sistem 'paperless'.

Perkara itu turut disokong Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Lanadron, Panchor, Muar S. Jeganathan yang
menurutnya tugas guru ketika ini masih dipenuhi kerja dokumentasi dan pemfailan.

"Guru kini lebih banyak buat kerja pemfailan daripada mengajar dalam kelas... ini
perlu dilihat semula dan berharap kementerian mengambil tindakan sewajarnya untuk
mengatasi masalah ini," katanya.

Berdasarkan misi dan visi Kementerian Pendidikan, PPPM yang kini memasuki
gelombang kedua antara lain berobjektif melahirkan modal insan yang berkebolehan
untuk belajar, bekerja, berkomunikasi dan berkebolehan menggunakan teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT) dengan baik.

Gelombang tiga dari 2021-2025 akan memfokuskan kepada anjakan ke arah


kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi. Pada pemulaan gelombang
tiga ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menujukkan prestasi
melebihi standard minimum. Pada masa itu, semua pengetua/guru besar mesti
berprestasi tinggi kesuluruhannya.

-- BERNAMA