You are on page 1of 2

Berita

jenayah
ARKIB : 15/02/2014
Ads by Kiosked

Guru ada masalah mental ditempatkan


di PPD Manjung
LUMUT 14 Feb. - Seorang guru lelaki yang didakwa mengamuk sebelum
membelasah empat pelajar sebuah sekolah di Sitiawan dekat sini sehingga
ada yang tercedera kelmarin, dipercayai mengalami masalah mental.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Idris Ramli memberitahu,
tindakan guru berusia 34 tahun itu bukanlah perlakuan normal seorang
pendidik dan ia kemungkinan didorong oleh tekanan yang dihadapinya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak sekolah,
ia bukan pertama kali dilakukan guru berkenaan kerana dia pernah
melakukan perbuatan sama 22 Januari lalu tetapi kes itu diselesaikan secara
baik.
"Guru ini mungkin ada masalah dari segi mental dan tidak makan ubat.
Tindakannya dalam kejadian itu dalam keadaan pantas dan bukan sikap
seorang guru yang normal.
"Jika dia menggunakan rotan bagi menghukum pelajar itu adalah perkara
biasa di sekolah. Bagaimanapun tindakan guru itu menumbuk dan
menerajang pelajar sukar diterima," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Rabu lalu, empat pelajar sekolah itu
termasuk dua pelajar perempuan cedera di beberapa bahagian badan ekoran
dibelasah seorang guru sekolah itu.
Idris berkata, pihaknya telah menghantar dua pegawai ke sekolah berkenaan
bagi melakukan siasatan dan mendapatkan gambaran terperinci berhubung
kejadian itu sebelum sebarang tindakan diambil.
Bagaimanapun, katanya, pihak jabatan telah mengarahkan guru yang telah
tiga tahun mengajar di sekolah terbabit menjalani pemeriksaan kesihatan di
Hospital Seri Manjung.
"Guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Komputer itu telah
diberi cuti rehat selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 Februari ini.
"Sebaik cuti rehat itu tamat, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) Manjung sehingga siasatan kes berkenaan
diselesaikan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba
berkata, setakat ini pihaknya telah menerima empat laporan berhubung
kejadian tersebut yang dibuat keluarga mangsa.
Katanya, pihaknya juga telah mengambil keterangan dan merakam
percakapan guru berkenaan ketika dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Manjung semalam.
"Siasatan kes ini sudah selesai dan kini hanya menunggu laporan perubatan
mangsa untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada
pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140215/je_01/Guru-ada-masalah-mental-


ditempatkan-di-PPD-Manjung#ixzz4oOKmSyep
Utusan Melayu (M) Bhd