You are on page 1of 14

Aplikasi Teknik GAH-IM dalam Meningkatkan Penguasaan Kemahiran

Menulis Perkataan dan Ayat

Nurusyahirah Binti Ismail


Program Ijazah Sarjana Perguruan Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah
Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya
nurusyahirah@gmail.com

Hajah Marina Malek


Jabatan Pengajian Melayu
Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya
marina.malek@ipgm.edu.my

Abstrak

Kajian tindakan ini bertujuan untuk membantu murid tahun 4 bagi

meningkatkan penguasaan kemahiran menulis murid dalam Bahasa Melayu

bagi perkataan dan ayat melalui teknik GAH-IM. Sehubungan dengan itu,

kajian ini mengenal pasti keberkesanan teknik GAH-IM (GA=Garisan,

H=Hafalan, IM=Imlak) dalam meningkatkan kemahiran menulis dan

mengatasi masalah kesalahan ejaan bagi perkataan dan ayat. Peserta

kajian ini terdiri daripada 5 orang, iaitu dua orang murid lelaki dan tiga orang

murid perempuan tahun 4 di sebuah sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Tindakan kajian ini juga berbentuk penyelidikan tindakan pendekatan

kualitatif dengan menggunakan Model Kemmis dan Mctaggart (1988). Selain

itu, instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah analisis dokumen,

rakaman audio, gambar, dan senarai semak. Berdasarkan hasil tinjauan

awal, pengkaji mendapati peserta kajian menghadapi masalah dalam

mengeja perkataan dan ayat walaupun rencana telah diimlakkan oleh guru.

Pelaksanaan aktiviti kajian ini dijalankan dengan menggunakan teknik

GAH-IM secara berperingkat bermula dengan mengimlak perkataan

seterusnya ayat. Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan teknik GAH-IM

dapat meningkatkan penguasaan kemahiran menulis dan mengatasi

masalah kesalahan ejaan bagi perkataan dan ayat murid.


PENGENALAN

Menulis merupakan satu proses untuk menyampaikan buah fikiran, idea dan

pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca. Menurut Siti

hajar Abdullah Aziz (2009), menulis merupakan salah satu aktiviti yang penting

bagi menusia. Oleh itu, kemahiran menulis mempunyai hubungan yang erat dengan

kemahiran bahasa yang lain. Kemahiran menulis amat penting untuk dikuasai

kerana penulisan merupakan satu tulisan bentuk komunikasi yang penting dalam

kehidupan harian. Dalam sistem peperiksaan am di Negara ini, pelajar-pelajar diuji

dalam bentuk penulisan bagi menguji tahap pemahaman mereka terhadap sesuatu

mata pelajaran atau bidang seperti UPSR bagi peringkat sekolah rendah.

Kemahiran menulis juga merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat

dengan mengeluarkan idea, melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan

ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Menggunakan ayat

yang gramatis, ejaan yang betul dan boleh dibaca. Kemahiran menulis merupakan

suatu kemahiran yang tertinggi dalam tiga kemahiran yang ditekankan kerana

menulis bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi juga dapat merekod

maklumat yang boleh dirujuk oleh pembaca.

FOKUS KAJIAN

Fokus kajian ini tertumpu kepada masalah penulisan dalam skop ejaan. Dalam

pengajaran bahasa Melayu, kemahiran menulis dianggap sukar dikuasai khususnya

dalam kalangan murid sekolah rendah sama ada tahap satu mahupun tahap dua.

Setelah beberapa kali melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas

tahun tiga, saya mendapati objektif pengajaran yang saya sasarkan tidak tercapai.

Perkara ini benar-benar merunsingkan saya selaku guru yang memegang amanah

dan bernaung di bawah Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

2
Walaupun saya telah mengesan banyak masalah yang dihadapi oleh murid

saya dalam kemahiran menulis, namun saya hanya akan memfokuskan kajian ini

terhadap masalah ejaan untuk kesalahan ejaan seperti pengurangan dan

penambahan huruf dalam perkataan. Murid-murid didapati melakukan kesalahan

ejaan sehingga ayat yang dibina membawa ketaksaan makna. Contohnya,

perkataan keselesaan ditulis sebagai kelesahan, perkataan pengguna ditulis

sebagai penguna, dan perkataan menjejaskan ditulis sebagai mencecaskan.

Rentetan daripada hal ini, saya terdorong untuk membuat kajian penyelidikan bagi

mengatasi masalah ini agar tidak berleluasa dan terbiar ibarat luka menjadi kudis.

OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN

1.0 Objektif Kajian

i. Mengenal pasti keberkesanan teknik GAH-IM dalam meningkatkan

kemahiran menulis perkataan dan ayat dalam kalangan murid Tahun 4.

ii. Mengenal pasti kesesuaian teknik GAH-IM dalam mengatasi masalah

kesalahan ejaan dalam penulisan murid.

1.1 Soalan Kajian

i. Adakah teknik GAH-IM dapat meningkatkan kemahiran menulis

perkataan dan ayat dalam kalangan murid Tahun 4?

ii. Sejauh manakah teknik GAH-IM dapat mengatasi masalah kesalahan

ejaan dalam penulisan murid?

3
PESERTA KAJIAN

Kajian tindakan ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sembulan yang terletak di

tengah bandar Kota Kinabalu, Sabah. Sekolah ini merupakan sekolah bergred A

yang mempunyai 70 orang guru, 26 buah kelas dan mempunyai kira-kira 1100

orang murid. Peserta kajian melibatkan lima orang murid, iaitu dua orang murid

lelaki dan tiga orang murid perempuan tahun 4. Pemilihan murid kajian adalah

berdasarkan analisis dokumen yang diperolehi daripada ujian awal yang telah

dijalankan di dalam bilik darjah. Keseluruhan peserta kajian pengkaji adalah

bumiputera dan berasal dari kampung di sekitar Kampung Sembulan. Pengkaji

mendapati murid-murid ini merupakan dari golongan yang sederhana dari segi

sosio ekonominya dan tempat tinggal yang dekat dengan sekolah.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN

Rajah 1. Model Kemmis MacTaggart (1988)

4
Saya memilih teknik GAH-IM untuk memperbaiki proses pengajaran dan

pembelajaran yang menjadi amalan kepada guru dalam mengurangkan kesalahan

ejaan pada perkataan dan ayat yang ditulis dalam kalangan murid Tahun 4 di SK

Sembulan. Teknik GAH-IM adalah satu teknik yang diubah suai daripada teknik

latih tubi (Ansi : 2014). Teknik ini dinamakan melalui proses pengakroniman.

Menurut Nik Safiah et.al (2011), akronim ialah kata singkatan yang terbentuk

dengan menggabungkan huruf awal suku kata dengan menggabungkan huruf awal

dan suku kata daripada satu rangkai kata dan ditulis serta dilafazkan sebagai

perkataan yang utuh. Justeru, teknik GAH-IM dinamakan dengan menggabungkan

suku kata dengan suku kata dan beberapa huruf yang terdapat pada perkataan

garisan, hafal dan imlak. Dalam melaksanakan kajian ini, saya menggunakan model

Kemmis dan Mctaggart (1988) dalam Ansi (2014). Model ini melibatkan empat

proses iaitu merancang (plan), bertindak (action), memerhati (observe) dan

mereflek (reflek). Pelaksanaan teknik GAH-IM berdasarkan model ini adalah seperti

yang ditunjukkan pada Rajah 2 yang berikut:

5
Merancang:
Memilih amalan pengajaran yang sesuai
dengan masalah pembelajaran murid iaitu
teknik GAH-IM.

Bertindak:
Menjalankan ujian awal, sesi pengenalan,
tiga sesi intervensi teknik GAH-IM dan
ujian akhir.

Memerhati:
Mengumpul data untuk menilai hasil atau
kesan pelaksanaan teknik GAH-IM.

Mereflek:
Menilai dan menganalisis semula tindakan
yang dilaksanakan dari segi kekuatan dan
kelemahannya untuk penambahbaikan.

Rajah 2 : Pelaksanaan teknik GAH-IM

DAPATAN KAJIAN

Instrumen yang digunakan iaitu analisis dokumen sebagai pengumpulan data untuk

meningkatkan kemahiran menulis dan mengatasi masalah kesalahan ejaan bagi

perkataan dan ayat lima orang peserta kajian tahun empat.

Dapatan kajian yang diperolehi sepanjang tindakan kajian akan dianalisis

dan diinterprestasi pada bahagian ini oleh pengkaji. Menurut Majid (1994), dalam

Zubahaidah Maldam (2011), menyatakan analisis deskriptif dapat memberikan

penerangan mengenai sesuatu situasi. Dapatan data yang dianalisis secara

deskriptif boleh dipersembahkan dalam bentuk min, sisihan piawai, dan peratusan.

Namun dalam kajian ini pengkaji hanya menggunakan satu sahaja dalam analisis

6
dokumen iaitu peratusan bagi menjawab persoalan kajian. Dokumen yang dianalisis

adalah mengikut persoalan kajian dan dipersembahkan dalam bentuk gambar rajah,

graf dan jadual beserta huraian secara efektif dan efisien.

Soalan 1

Adakah teknik GAH-IM dapat meningkatkan kemahiran menulis perkataan

dan ayat dalam kalangan murid Tahun 4?

Bagi menjawab persoalan kajian pertama ini, instrumen yang digunakan adalah

ujian awal dan ujian akhir. Soalan ujian awal dan ujian akhir digubal berdasarkan

kemahiran kemahiran yang difokuskan iaitu kemahiran menulis perkataan dan ayat

dengan ejaan yang betul. Bentuk soalan bagi ujian awal dan ujian akhir adalah

sama yang mana soalan tersebut mempunyai dua bentuk soalan iaitu imlak

perkataan dan ayat manakala jumlah bagi imlak perkataan dan ayat juga adalah

sama iatu sebanyak lima sahaja. Berikut merupakan jadual peratus peningkatan

gred murid:

Jadual 1: Analisis Markah Ujian Awal

Peratus
Peserta kajian Skor Gred
(%)

PK1 30/60 50 C

PK2 43/60 71.66 B

PK3 23/60 38.33 D

PK4 11/60 18.33 E

PK5 43/60 71.66 B

7
Berdasarkan jadual 1, murid yang mendapat keputusan yang paling rendah adalah

PK4 iaitu dengan nilai peratusan 18.33% dan gred E. Tambahan, keputusan bagi

PK3 iaitu dengan nilai peratusan 38.33% dan gred D. Malah PK1 pula iaitu dengan

nilai peratusan 50% dan gred C. Manakala terdapat dua orang peserta kajian yang

mendapat keputusan paling tinggi iaitu PK2 dan PK5 dengan masing-masing

mendapat nilai peratusan 71.66% dan gred B.

Jadual 2: Analisis Markah Ujian Akhir

Peratus
Peserta kajian Skor Gred
(%)

PK1 57/60 95 A

PK2 60/60 100 A

PK3 58/60 97 A

PK4 40/60 66.66 B

PK5 59/60 98.3 A

Berdasarkan Jadual 2, terdapat empat orang peserta kajian yang mendapat gred A

iaitu PK2 dengan peratusan 100%, M5 dengan peratusan 98.3%, PK3 dengan

peratusan dan PK1 dengan peratusan 95%. Sementara itu, peserta kajian yang

mendapat markah terendah adalah peserta kajian PK4 dengan peratusan 66.66%

dan gred B.

Seterusnya bagi menilai keberkesanan teknik GAH-IM ini, perbandingan nilai

peratusan skor markah dan gred dibuat di antara ujian awal dan ujian akhir.

Perbandingan ini dirumuskan dalam bentuk jadual dan graf seperti yang berikut:

8
Jadual 3: Analisis Markah Ujian Awal Dan Ujian Akhir

Peserta Skor Peratus Gred Skor Peratus Gred

Kajian % %

PK1 30/60 50 C 57/60 95 A

PK2 43/60 71.66 B 60/60 100 A

PK3 23/60 38.33 D 58/60 97 A

PK4 11/60 18.33 E 40/60 66.66 B

PK5 43/60 71.66 B 59/60 98.3 A

Melihat kepada perbandingan nilai peratusan skor markah dan gred di antara ujian

awal dan ujian akhir seperti yang ditunjukkan pada Jadual 3, peningkatan nilai

peratusan yang paling memberangsangkan adalah yang dicapai oleh PK4 iaitu

meningkat sebanyak 48.33% pada ujian akhir dari 18.33% pada ujian awal dan

mendapat gred B pada ujian akhir berbanding gred E pada ujian awal. Namun,

peningkatan markah tertinggi adalah bagi PK3 iaitu sebanyak 58.67% dengan

perubahan gred D kepada gred A. Secara keseluruhannya, dapatan menunjukkan

pengaplikasian teknik GAH-IM berkesan dalam meningkatkan kemahiran menulis

perkataan dan ayat peserta kajian dengan ejaan yang betul. Konklusinya,

peningkatan nilai peratusan markah dan gred yang diperolehi oleh setiap peserta

kajian pada ujian akhir setelah teknik GAH-IM ini dilaksanakan telah menjawab

soalan kajian pertama iaitu, teknik GAH-IM berkesan dalam meningkatkan

kemahiran menulis perkataan dan ayat dalam kalangan murid tahun empat.

Soalan 2

Sejauh manakah teknik GAH-IM dapat mengatasi masalah kesalahan ejaan

dalam penulisan murid?

9
Soalan kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan pengaplikasian teknik GAH-IM

terhadap masalah kesalahan ejaan dalam penulisan murid. Instrumen ujian awal

dan ujian akhir turut digunakan bagi menjawab persoalan kajian kedua ini. Jumlah

kesalahan ejaan bagi perkataan dan ayat yang ditulis oleh peserta kajian dianalisis

menggunakan nilai peratusan. Jadual 4 menunjukkan nilai peratusan kesalahan

ejaan yang dilakukan oleh peserta kajian bagi ujian awal adalah seperti berikut:

Jadual 4: Analisis Kesalahan Ejaan Peserta Kajian pada Ujian Awal

Peratus Kesalahan
Peserta kajian Skor
Ejaan (%)

PK1 30/60 50

PK2 43/60 28.34

PK3 23/60 61.67

PK4 11/60 81.67

PK5 43/60 28.34

Berdasarkan Jadual 4, nilai peratusan kesalahan ejaan yang paling tinggi adalah

sebanyak 81.67% iaitu merujuk kepada peserPK4. Sementara itu, nilai peratusan

kesalahan ejaan yang paling rendah adalah merujuk kepada PK2 dan PK5 dengan

masing-masing mendapat nilai peratusan kesalahan ejaan sebanyak 28.34%.

Seterusnya, berikut merupakan analisis kesalahan ejaan bagi perkataan dan ayat

yang dilakukan oleh peserta kajian pada ujian akhir iaitu selepas tiga sesi intervensi

teknik GAH-IM dilaksanakan.

10
Jadual 5: Analisis Kesalahan Ejaan Peserta Kajian pada Ujian Akhir

Peratus Kesalahan
Peserta kajian Skor
Ejaan (%)

PK1 57/60 5

PK2 60/60 0

PK3 58/60 3

PK4 40/60 20

PK5 59/60 1

Jadual 5 menunjukkan analisis kesalahan ejaan murid pada ujian akhir.

Berdasarkan Jadual 5 ini, masalah ejaan peserta kajian dapat diatasi bagi semua

peserta kajian yang terlibat. Data menunjukkan pengurangan kesalahan masalah

ejaan yang paling tinggi adalah sebanyak 20% iaitu merujuk kepada PK4.

Sementara itu, peratus pengurangan kesalahan masalah ejaan yang paling rendah

adalah sebanyak 0% iaitu merujuk kepada PK2. Walau bagaimanapun, peratus

pengurangan kesalahan yang paling memberangsangkan adalah merujuk kepada

PK3. Ini kerana, pada ujian awal PK3 melakukan kesalahan ejaan sebanyak

61.67% dan selepas sesi intervensi teknik GAH-IM dijalankan, peratus kesalahan

yang dilakukan oleh PK3 berkurang kepada 3%.

Seperti yang telah dihuraikan, dapatan kajian menunjukkan kesalahan

masalah ejaan yang dilakukan oleh peserta kajian yang terlibat dalam kajian ini

telah berkurang. Dengan itu, teknik GAH-IM dapat mengatasi masalah kesalahan

ejaan dalam penulisan murid dalam kalangan murid tahun 4.

REFLEKSI

11
Kajian yang telah dilaksanakan ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Saya

bersyukur kerana kajian ini dapat membantu murid-murid tahun 4 dalam mengatasi

kecenderungan mereka untuk menulis perkataan dan ayat berdasarkan pengaruh

bahasa dialek, pengguguran dan penggantian huruf. Diharapkan kajian ini dapat

memberikan idea kepada guru-guru yang berhadapan dengan situasi yang hampir

sama dengan pengkaji.

CADANGAN TINDAKAN SUSULAN

Kajian yang telah dilaksanakan ini sememangnya dapat memberikan kesan yang

positif terhadap kemahiran menulis murid. Namun begitu, saya bercadang agar

teknik ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin

keberkesanannya pada masa akan datang. Tempoh kajian yang panjang bertujuan

untuk mengembangkan mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Jika tidak, dikhuatiri akan mengalami masalah yang sama pada masa akan datang.

Di samping itu, teknik GAH-IM ini boleh dijalankan dengan melibatkan bilangan

murid yang lebih ramai supaya dapat digeneralisasikan. Sebagai tindakan susulan,

saya juga akan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam kajian ini

dan meneruskan usaha untuk menjadikan tindakan ini sebagai amalan semasa di

dalam bilik darjah. Sungguhpun demikian, saya mencadangkan agar teknik GAH-IM

ini dapat diaplikasiakan dengan mempelbagaikan bahan ransangan selain

menggunakan teks sahaja seperti lirik lagu, pantun, sajak atau sebagainya.

12
RUJUKAN

Ansi Anak Konyuo. (2014). SEJATI itu Aku Tulis. Tesis tidak diterbitkan, IPG

Kampus Keningau, Sabah.

Buku Panduan Penyelidikan Tindakan. (2016). Institut Pendidikan Pengkaji

Malaysia: http://opgm.moe.edu.my

Chia Chiow Ming et.al. (2013). Penyelidikan Tindakan Penulisan Laporan. Kuala

Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Ho Fui Chen. (2012). Keberkesanan Teknik Imlak Dalam Meningkatkan

Penguasaan Kemahiran Menulis Murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan

Patikang Laut Keningau. Tesis Tidak Diterbitkan, IPG Kampus

Keningau, Sabah.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Dokumen Standard Kurikulum Pengajaran

(DSKP) Bahasa Malaysia Tahun 4. Kuala Lumpur: Bahagian

Pembangunan Kurikulum.

Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Musa, Dan Abdul Hamid Mahmood. (2011).

Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan

Pustaka.

13
Salvia Dumat. (2013). Aplikasi Kaedah Batu Bagi Mengurangkan Kesalahan Ejaan

Murid Pemulihan Dalam Kemahiran Menulis. Tesis Tidak Diterbitkan, IPG

Kampus Keningau, Sabah.

Kris. (2011). Handrwriting Rubrics. Diakses dari

http://luv2teachgirl.blogspot.com/2011/02/httpsdocs.html pada 10 April

2017.

Model kajian tindakan diakses dari https://gb5023researchaction.wordpress.com

pada 10 April 2017

14