Вы находитесь на странице: 1из 9

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/280734367

MODEL ADDIE DALAM PROSES REKA BENTUK


MODUL PENGAJARAN: BAHASA ARAB TUJUAN
KHAS DI UNIVERSITI...

Conference Paper February 2015

CITATION READS

1 2,440

1 author:

Muhammad Izuan Abd Gani


USIM | Universiti Sains Islam Malaysia
3 PUBLICATIONS 1 CITATION

SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Muhammad Izuan Abd Gani on 07 August 2015.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Proceedings of the International Seminar on Language Teaching ISeLT 2015, 4-5 February 2015, Bangi, Malaysia.

MODEL ADDIE DALAM PROSES REKA BENTUK MODUL


PENGAJARAN: BAHASA ARAB TUJUAN KHAS DI UNIVERSITI
SAINS ISLAM MALAYSIA SEBAGAI CONTOH
Ummu Nasibah Nasohah
Muhammad Izuan Bin Abd Gani
Nazipah Binti Mat Shaid @ Md Shaid
Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia

ABSTRAK

Makalah ini mengupas tentang proses reka bentuk modul pengajaran dengan berteraskan model ADDIE.
Modul pengajaran merupakan salah satu asas utama dalam proses pengajaran & pembelajaran (P&P) sesuatu
subjek. Maka, reka bentuknya perlu kepada satu teori model reka bentuk yang memperincikan fasa-fasa
prosesnya dengan teliti dan sistematik. Justeru, makalah ini bertujuan untuk mengupas penggunaan model
ADDIE dalam reka bentuk modul pengajaran dengan mengambil subjek bahasa Arab untuk tujuan khas di
Universiti Sains Islam Malaysia sebagai contoh. Ini keran, model ADDIE merupakan antara model rekabentuk
yang sistematik dan efektif yang terdiri daripada lima fasa iaitu analisis, reka bentuk, pembangunan,
perlaksanaan dan penilaian. Hasil daripada penggunaan model ADDIE dalam reka bentuk sesuatu modul
pengajaran, akan terbina satu modul pengajaran yang mencapai objektif pengajaran & pembelajaran (P&P)
dengan efektif serta pendekatan yang sistematik seiring dengan citarasa dan keperluan pelajar.

Kata Kunci : Model ADDIE: Fasa-Fasa Proses Model ADDIE: Modul Pengajaran Bahasa Arab Untuk Tujuan
Khas, Universiti Sains Islam Malaysia.

PENDAHULUAN
Reka bentuk modul pengajaran merupakan elemen utama dan terpenting dalam menjayakan proses pengajaran
& pembelajaran sesuatu kursus. Ianya didefinasikan sebagai sains untuk mencipta amalan pengajaran yang
terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan situasi pembelajaran yang memudahkan
pembelajaran sesuatu unit pelajaran berlaku (Richey, 1986).
Model-model reka bentuk pengajaran ini mestilah direka bentuk berpandukan teori-teori pembelajaran
seperti teori pembelajaran behaviorisme, kognitivisme dan konstruktivisme. Teori reka bentuk pengajaran ini
pada asalnya digunakan semasa meletusnya perang dunia kedua, di mana para psikologi telah membuat kajian
dan penyelidikan kaedah yang akan digunakan bagi latihan perkhidmatan ketenteraan. Namun selepas perang
kedua tamat, teori dan kaedah yang diguna pakai ini telah dikembangkan oleh ahli psikologi ke dalam bidang
pendidikan untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pengajaran seperti yang diguna pakai oleh
Institut American (Reiser, 2001, p. 58).
Dalam makalah ini, teori reka bentuk modul yang ingin dikupas adalah model ADDIE dengan
memfokuskan reka bentuk modul pengajaran bagi subjek bahasa Arab tujuan khas di Universiti Sains Islam
Malaysia dengan mengambil subjek bahasa Arab untuk tujuan sains sebagai contoh. Sebagai pengenalan,
subjek bahasa Arab untuk tujuan sains merupakan satu kursus wajib fakulti yang perlu diambil oleh pelajar-
pelajar aliran sains dari Fakulti Sains Teknologi (FST), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), dan
Fakulti Pergigian (FPg) di Universiti Sains Islam Malaysia. Kursus ini menawarkan empat kemahiran dalam
pembelajaran bahasa Arab dengan memfokuskan lebih kepada kemahiran bertutur dan membaca selain
kemahiran mendengar dan menulis dengan berteraskan teks-teks yang berkaitan dengan sains.
Untuk memastikan perjalanan proses pengajaran & pembelanjaran kursus ini berkesan dan
membolehkan pelajar memperolehi kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan serta menambah minat
pelajar, maka ianya perlu kepada satu modul pengajaran yang reka bentuknya didasari kepada teori dan model
yang tepat dan sistematik menepati kehendak keperluan pelajar-pelajar tersebut.
Ini kerana dalam proses pengajaran, seseorang guru perlu mengetahui dan menggunakan pelbagai teori,
strategi serta pendekatan yang tertentu yang bersesuaian dalam memastikan objektif dan matlamat pengajaran
berjaya dicapai. Justeru, penggunaan reka bentuk pengajaran oleh guru di dalam pengajarannya mestilah
bertepatan dengan tujuan reka bentuk pengajaran sebagai satu disiplin tentang kefahaman dan pembaikan
proses pengajaran secara sistematik bagi memperolehi gol pengajaran (Rozinah, 2000).
Selain itu, menurut Dick dan Reiser (1989), tujuan diadakan aktiviti reka bentuk pengajaran ialah
untuk mengesyorkan kaedah pengajaran yang optimum yang boleh mengubah pengetahuan pelajar, kemahiran
dan afektif pelajar. Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya reka bentuk pengajaran kepada guru atau
pembangun pengajaran kerana aktiviti yang terlibat adalah bersifat professional.
Bahkan dalam mereka bentuk modul pengajaran dengan mengikuti sesuatu teori atau model reka
bentuk, ianya memudahkan dalam proses pembangunan modul tersebut kerana menurut Thompson (2001),
teori dan model pengajaran akan membimbing pembangun dalam mempercepatkan proses pembangunan
bahan, membantu komunikasi dalam ahli kumpulan perekabentuk dan meliputi semua fasa reka bentuk
pengajaran (Rio Sumarni Sharifuddin, 2007).
Terdapat pelbagai teori dan model yang dikemukakan oleh pengkaji-pengkaji reka bentuk instruksional,
namun model ADDIE menjadi pilihan dalam reka bentuk modul pengajaran kursus bahasa Arab untuk tujuan
sains kerana proses yang dikemukakan oleh model ADDIE dilihat amat teliti dan berorientasikan sistem dalam
menghasilkan satu reka bentuk modul pengajaran yang baik. Justeru kajian ini akan memfokuskan proses
bagaimana untuk mereka bentuk modul pengajaran Bahasa Arab untuk tujuan sains dengan mengikut teori
ADDIE.

MODEL ADDIE
Model ADDIE adalah berlandaskan behaviorisme, cetusan idea yang dikembangkan oleh Dick dan Carry
(1996) untuk merancang sistem pembelajaran. Istilah ADDIE merupakan satu akronim bagi Analysis (analisis),
Design (reka bentuk), Development (perkembangan), Implementation (pelaksanaan), dan Evaluation
(penilaian).
Daripada akronim ADDIE, dapat diketahui bahawa ADDIE menerapkan lima tahap atau unsur bagi
aktiviti saling berkaitan yang memandu amalan pembentukan program pengajaran atau modul pembelajaran.
Setiap unsur atau tahap ini tidak semestinya mengikuti satu pola berurutan, tetapi memberitahu satu sama lain
dalam satu sistem reka bentuk, yang mana output bagi sesuatu tahap akan menjadi input kepada tahap yang
berikutnya (Steven J. McGriff, 2000).

Analysis

Design

Formative Evaluation
Development

Implementation Summative Evaluation

Gambarajah 1: Proses dalam mereka bentuk modul pengajaran berdasarkan teori ADDIE

Gambarajah di atas menerangkan bagaimana proses dalam mereka bentuk modul pengajaran
berdasarkan teori ADDIE dan ianya jelas menunjukan bahawa model ADDIE merangka proses menyeluruh
tentang aktiviti reka bentuk pengajaran dan ini menjadi kelebihan kepada model ADDIE berbanding model
lain.
Keberkesanan model ADDIE telah terbukti dalam membangunkan modul pengajaran yang berkesan
dan menarik. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Youngmin Lee di Emporia State University Korea
Selatan ke atas pelajar kejuruteraan mekanikal di sekolah tinggi Korea Selatan dimana sekolah tersebut telah
membelanjakan sebanyak $350,000 USD bagi melengkapkan kemudahan kelas multimedia dan proses
pengajaran dan pembelajaran telah berlansung menggunakan program PowerPoint. Namun pelajar masih
tidak menunjukkan minat untuk belajar dengan tidur di dalam kelas, melayari internet atau bersembang semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran (Youngmin, 2006, pp. 1-11).
Bagi mengatasi masalah ini pengkaji telah mengunakan model ADDIE, di mana pengkaji akan
menganalisis tentang keperluan dan minat pelajar. Kemudian pelajar akan mereka bahan multimedia
berdasarkan minat pelajar. Seterusnya pelajar akan membangunkan bahan yang telah direka. Pengkaji juga
akan bertindak sebagai fasilitator dan memberi motivasi bagi memastikan pelajar mengimplimentasikan aturan
pembelajaran yang dirancang. Pengkaji dan pelajar akan bersama-sama membuat penilaian ke atas bahan
multimedia yang telah dihasilkan. Hasil daripada kajian yang dijalankan mendapati pelajar bermotivasi untuk
belajar serta dapat meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar. Contohnya pelajar tidak lagi tidur di dalam
kelas kerana dapat menghasilkan bahan pembelajaran mengikut cara pelajar dengan dibimbing oleh guru
(Youngmin, 2006, pp. 12-17).
Justeru berdasarkan kajian ini, penggunaan lima proses yang dikemukakan oleh model ADDIE dalam
pembangunan modul pengajaran membuktikan ianya sangat efektif dan berkesan dalam menarik minat pelajar
serta memotivasikan kesungguhan pelajar dalam pelajaran yang dipelajari.

ANALISIS (ANALYSIS)
Proses pertama yang perlu dijalankan dalam mereka bentuk modul pengajaran mengikut fasa ADDIE adalah
analisis. Fasa Analisis merupakan asas untuk fasa-fasa seterusnya dalam reka bentuk sesuatu pengajaran.
Pada peringkat ini, beberapa analisis dijalankan dan antara yang terpenting adalah permasalahan yang
berkaitan dengan mengenal pasti masalah dan cara penyelesaiannya. Tujuan proses ini adalah untuk
memastikan reka bentuk pengajaran yang akan dihasilkan menepati dan memenuhi keperluan pelajar yang
sebenar. Masalah yang berkaitan boleh dikenal pasti melalui pelbagai kaedah atau teknik misalnya temu bual,
pemerhatian, tinjauan, soal selidik dan sebagainya (Baharuddin et al, 2001).
Untuk mengenal pasti masalah-masalah yang berkaitan, beberapa analisis dilakukan terhadap beberapa
aspek, antaranya analisis persekitaran pembelajaran, analisis terhadap ciri-ciri pelajar, tahap pendidikan atau
pengetahuan sedia ada, masalah dalam pembelajaran dan mengenal pasti matlamat pengajaran dan sebagainya.
Analisis ke atas pelajar membantu dalam menentukan kemahiran atau pengetahuan yang harus dipelajari
disamping mengenal pasti pengetahuan dan kemahiran dan sikap yang sedia ada pada pelajar atau matlamat
pengajaran (Dick dan Reiser, 1989).
Secara ringkasnya, dalam konteks reka bentuk modul bahasa Arab untuk tujuan sains di Universiti
Sains Islam Malaysia, proses analisis yang perlu dilakukan adalah melibatkan tiga aspek utama iaitu:
1. analisis terhadap pelajar,
2. analisis terhadap persekitaraan pembelajaran,
3. analisis kenalpasti matlamat pengajaran.
Dalam mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan tiga aspek uatama ini, terdapat beberapa
persoalan utama yang boleh diajukan semasa proses analisis iaitu:
1. Siapakah pelajar yang akan mengambil kursus ini dan bagaimana latar belakang pengetahuan bahasa
Arab mereka?
2. Sejauh mana penguasaan mereka dalam bahasa Arab?
3. Apakah kepentingan mereka dalam mempelajari bahasa Arab?
4. Apakah kemahiran yang diperlukan dalam memenuhi kepentingan dan keperluan mereka dalam
bahasa Arab?
5. Apakah teks-teks yang bersesuaian yang berkisar dalam sains yang perlu digunakan dalam
menerapkan kemahiran-kemahiran bahasa Arab yang diperlukan?
6. Bagaimana aktiviti yang diperlukan dalam mengukuhkan lagi kemahiran yang dipelajari dengan
mengikut konsep integrasi ilmu aqli dan naqli?
7. Bagaimana bentuk metodologi pengajaran yang berkesan yang diperlukan dalam menyampaikan
pengajaran modul kursus bahasa Arab ini?
8. Bagaimana bentuk penilaian untuk menguji kemahiran-kemahiran bahasa Arab yang dipelajari?
9. Apakah permasalahan lain yang boleh menganggu dan memberi kesan yang boleh mengagalkan
proses pengajaran dan pembelajaran dalam mencapai matlamat dan objektif yang diletakkan dalam
kursus bahasa Arab ini?
Inilah antara persoalan penting yang perlu diberikan jawapannya dalam lakaran awal untuk mereka
bentuk modul pengajaran. Analisis perlulah mengikut langkah demi langkah iaitu bermula dengan menganalisa
pelajar sehinggalah ke peringkat seterusnya hingga akhir. Kesemua hasil atau output bagi fasa ini akan menjadi
input bagi fasa reka bentuk dan seterusnya.

REKA BENTUK (DESIGN)

Rekabentuk atau design merupakan fasa kedua dalam merangka pengajaran mengikut modul ADDIE. Fasa
kedua ini bertujuan menentukan dan mereka kaedah instruksional yang akan digunakan. Dalam proses mereka
bentuk modul bahasa Arab untuk tujuan sains di Universiti Sains Islam Malaysia, fasa ini akan menjawab
persoalan yang dikemukakan dari fasa analisis.
Kursus bahasa Arab untuk tujuan sains di Universiti Sains Islam Malaysia diwajibkan kepada pelajar
Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Perubatan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg).
Pelajar-pelajar tersebut dalam lingkungan umur 19 tahun ke umur 21 tahun dengan sebahagian besar dari
mereka adalah lepasan Tamhidi/Matrikulasi/SPM/STPM/STAM dan telah lulus Kursus Wajib Universiti
bahasa Arab 1 dan bahasa Arab 2.
Kepentingan bagi pelajar-pelajar FST, FPSK dan FPg mempelajari bahasa Arab adalah mereka akan
mempunyai kelebihan dalam saluran berkomunikasi kerana menguasai satu lagi bahasa asing. Selain dari itu,
mereka juga dapat memahami intipati al-Quran.
Empat kemahiran asas yang perlu ada dalam pembelajaran modul Bahasa Arab untuk tujuan sains ini
ialah membaca, bertutur, mendengar dan menulis.
Gambar rajah berikut menghuraikan keperluan empat kemahiran asas yang berkaitan dengan
pembelajaran modul bahasa Arab untuk tujuan sains ini :-

Kemahiran Pencapaian
Membaca Boleh memahami makna am dan khusus.
Memahami makna pembendaharaan kata dan makna dalam
penggunaaan konteks ayat.
Mendegar Memahami perbualan/ucapan.
Mampu menulis idea-idea yang dilontarkan melalui pendengaran.
Menulis Mampu mengaplikasikan tataBahasa Arab dengan baik dari segi gaya
bahasa, morfologi, sinteksis dan lain-lain.
Mampu membina ayat Bahasa Arab yang pelbagai.
Bertutur Mampu melakukan komunikasi dua hala.
Mampu melontarkan idea secara spontan.

Modul bahasa Arab ini akan menggunakan teks-teks yang bersesuaian yang berkisarkan latar belakang
sains. Ianya dirasakan sesuai untuk kegunaan para pelajar sains pada tahap ini (yang lulus bahasa Arab 1 & 2).
Teks-teks tersebut turut menerapkan kemahiran-kemahiran bahasa Arab yg diperlukan seperti membaca,
mendengar, menulis dan bertutur.
Dalam mencapai objektif integrasi ilmu aqli dan naqli, modul bahasa Arab ini juga turut dilengkapi
dengan bahan-bahan yang bersandarkan al-Quran dan Hadith serta memperluaskan daya pemikiran islamik
dengan mengaitkan kewujudan sains dan teknoloogi dengan dua sumber utama Islam iaitu Al-Quran dan
Sunnah. Antara aktiviti yang diketengahkan ialah membincangkan kaitan mukjizat Al-Quran dan Sains.
Seiring dengan kehendak penggunaan teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, modul ini
akan mengaplikasikan pendekatan metodologi S dan R (Sitimulus and Respond) dan students center dengan
mengadakan perbincangan dan pembentangan, memberi tugasan dan kajian kes serta menjayakan program.
Hasil penggunaan teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, Kursus bahasa Arab untuk
tujuan sains yang menggunakan pendekatan modul ADDIE ini akan menilai kemahiran-kemahiran bahasa Arab
pelajar melalui beberapa kompenan yang ditetapkan. Antara kompenan-kompenan yang terlibat dalam
penilaian tersebut ialah pemikiran kreatif & kritis dan pendekatan saintifik, kemahiran berkomunikasi serta
kemahiran bersosial (kerja berkumpulan) dan kepertanggungjawaban.
Selain perancangan pengajaran dan pembelajaran, terdapat permasalahan lain yang boleh mengganggu
dan memberi kesan yang mana ia boleh menggagalkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam mencapai
matlamat dan objektif yang diletakkan dalam kursus bahasa Arab ini antaranya ialah; kurang aktiviti pelajar
dalam mengamalkan pembudayaan berbahasa Arab yang mana akan membuatkan pelajar berasa kekok dan
kurang yakin dalam mengaplikasikan bahasa Arab serta kurang pendedahan bahan media yang menggunapakai
bahasa Arab. Walaupun demikian kekangan dan permasalahan lain akan mungkin dapat diatasi sekiranya ia
mendapat sokongan pihak atasan dalam mempertingkatkan pembudayaan berbahasa Arab.

PEMBANGUNAN (DEVELOPMENT)
Setelah mengenalpasti latarbelakang pengajaran dan pembelajaran, fasa ini akan memberi perincian tentang
pembangunan modul. Kursus bahasa Arab untuk tujuan sains akan terdiri daripada 5 topik utama. Setiap topik
akan disediakan teks yang berkaitan dengan tema topik tersebut.
Selain memberi pendedahan terhadap topik yang berkaitan tema, rangkaan modul kursus ini akan
tertumpu kepada teori-teori atau teknik-teknik pembentangan ataupun kemahiran berkomunikasi disamping
mengambilkira kemahiran menulis. Pada asasnya modul ini akan dibangunkan mengikut keperluan penguasaan
bahasa Arab pelajar terutama sekali dari segi keahiran bertutur.
Di setiap topik akan terdapat teks yang berkaitan, diekori latihan-latihan berdasarkan teks dan
pemahaman yang mana ia termasuk dalam kemahiran membaca. Selesai proses kemahiran membaca, modul ini
akan diteruskan dengan pendedahan terhadap teori-teori dan teknik-teknik pembentangan ataupun kemahiran
berkomunikasi. Pelajar akan diberi aktiviti yang berkaitan dengan teori dan teknik yang telah mereka pelajari
dan akan dinilai mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Jadual berikut adalah cadangan pembangunan modul untuk Kursus bahasa Arab untuk tujuan sains:

NO. TOPIK/TEMA TEKS LATIHAN TEORI AKTIVITI


Cabang-Cabang Sains Pengukuhan Berdialog
1 Sains Dan Para Pelopornya. ayat dan jenis-
jenisnya.
Warna-Warna Inovasi Gaya bahasa Pembentangan
Inovasi Dan Kreatif di Alam yang berkesan
2
Ini. dalam
Soalan pembentangan.
Ekologi pilihan Gaya bahasa Kajian kes &
3 Semulajadi pemahaman pembentangan pembentangan
teks. yang inoovasi.
Rahsia Perubatan Bahasa Badan. Kuiz
4
Perubatan Nabawi
Mukjizat Al-Quran Kesalahan- Pembentangan
Al-Quran kesalahan umum & Komentar
5
dalam
pembentangan.
Teknologi dan Cabaran- Pengurusan Projek Akhir.
6
Teknologi cabaran Terkini Majlis.
PERLAKSANAAN (IMPLEMENTATION)
Pelaksanaan dalam konteks ADDIE merujuk kepada pembangunan dan rekabentuk bahan-bahan pengajaran
yang telah disediakan dan akan dilaksanakan mengikut keperluan pelajar. Tahap pelaksanaan pula
membabitkan penyampaian atau pelaksanaan pengajaran yang sebenar, sama ada pengajaran itu berasaskan
bilik darjah, atau penggunaan teknologi terkini. Dalam konteks ini, pelaksanaan bagi modul ini adalah
merangkumi rangka kursus yang dibentuk dan diharapkan untuk menjayakan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan. Dengan kata lain, pelaksanaan membabitkan proses menjalankan program atau modul
pembelajaran dalam konteks dunia sebenar. Tujuannya adalah untuk menyampaikan atau melaksanakan
pengajaran dengan efisien dan berkesan. Tahap ini perlu menyokong pemahaman pelajar dan pengalaman
pendidikan bahasa arab di kalangan pelajar tentang bahan yang disediakan, menyokong pelajar menguasai
empat kemahiran bahasa iaitu kemahiran membaca, kemahiran menulis, kemahiran mendengar dan kemahiran
bertutur.
Pelaksanaan (Implementation) dalam modul ini bertujuan untuk penambahbaikan bahan-bahan modul
yang disediakan setelah diukur, diuji dan dilaksanakan. Pada tahap ini, elemen-elemen berikut perlu diuji iaitu:
i. Persediaan tenaga pengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu objektif, hasil
pembelajaran, kaedah penyampaian, aktiviti dan tugasan.
ii. Persediaan dan latarbelakang pelajar dengan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang
disediakan dalam modul ini yang merangkumi empat kemahiran iaitu kemahiran membaca,
kemahiran menulis, kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Ia juga merangkumi
pengetahuan pelajar dalam menggunakan teknologi.
iii. Keadaan persekitaran kelas yang merangkumi bilangan pelajar, tahun pembelajaran, alat bantu
mengajar, kelengkapan perkakasan untuk aktiviti dan tugasan.
iv. Proses ini akan dilaksanakan pada semester 3 tahun dua pengajian yang terdiri daripada pelajar-
pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Perubatan (FPg) dan Fakulti Pengajian Sains
dan Kesihatan (FPSK).
Pelaksanaan dalam model ADDIE dilakukan setelah proses analisis dikenalpasti. Ia dapat memberi
jawapan kepada permasalahan yang dihadapi semasa reka bentuk disediakan. Modul ADDIE merupakan
modul yang sistematik dalam merangka kursus pengajaran.
Kesimpulannya, proses ini bertujuan untuk menguji keberkesanan serta melihat masalah-masalah yang
tidak disedari sewaktu fasa reka bentuk dan pembangunan. Proses ini dilaksanakan dengan menggunakan
sekumpulan tenaga pengajar dan pelajar yang menepati kriteria yang telah ditetapkan dalam fasa analisis. Hasil
daripada pemerhatian, proses penambahbaikan atau pemulihan akan dapat dilaksanakan sebelum aplikasi yang
sebenarnya digunakan secara rasmi (Baharuddin et al, 2001).

PENILAIAN (EVALUATION)
Penilaian ( Evaluation ) adalah satu tahap di mana bahan yang telah disediakan diproses untuk mengukur dan
mendapatkan maklum balas pengguna modul terhadap keseluruhan rangka kursus. Ia meliputi keempat-empat
tahap dalam model ADDIE iaitu analisis, rekabentuk, pembangunan dan pelaksanaan.
Di dalam model ADDIE, keempat-empat tahap ini telah meliputi tahap penilaian, di mana setiap tajuk
modul yang dibangunkan akan dibuat penilaian formatif bagi mendapatkan keberkesanan rekabentuk dan
pembangunan modul tersebut.
Istilah penilaian merujuk kedua-dua penilaian formatif dan sumatif tentang produk pembelajaran dan
sistem yang dibentuk dan dilaksanakan. Penilaian sumatif terhadap keberkesanan pengajaran, bahan bantu
serta pencapaian objektif khas atau hasil pembelajaran dilaksanakan setelah keempat-empat fasa awal
dilaksanakan. Maklumbalas yang diperolehi akan digunakan untuk menambahbaik perancangan pengajaran
untuk topik yang sama atau berlainan atau untuk pengajaran mata pelajaran lain yang sepadan. Aktiviti dalam
fasa penilaian ini meliputi:
i. Penilaian Formatif ia dijalankan secara berterusan sepanjang semester untuk setiap tajuk yang
disediakan, bagi menilai keberkesanan setiap tajuk dalam modul tersebut. Di sini penambahbaikan
akan dilakukan untuk merancang pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.
ii. Penilaian Sumatif - ia dijalankan pada hujung semester yang merangkumi keseluruhan tajuk bagi
memastikan modul tersebut efisyen dan berkesan, juga pelajar dapat menguasai modul yang dibina
dan direkabentuk.
iii. Refleksi Kendiri Kebolehan pelajar dalam menjawab dan membuat latihan-latihan yang
disediakan dalam proses reka bentuk modul.
iv. Maklum balas pelajar melalui soalselidik, soal jawab secara langsung atau tidak langsung yang
disediakan semasa reka bentuk dan pembangunan modul dilakukan.
Membuat penilaian formatif dan sumatif untuk memastikan pelajar-pelajar dapat melaksanakan tugasan
pembelajaran secara optima. Setiap langkah yang dilaksanakan perlu dinilai semula untuk tujuan
penambahbaikan.
Akhir sekali, tahap penilaian membabitkan pengukuran keberkesanan dan kemantapan pengajaran.
Istilah penilaian merujuk kedua-dua penilaian formatif dan sumatif tentang produk pembelajaran dan sistem
yang dibentuk dan dilaksanakan. Dengan kata lain, penilaian melibatkan proses menentukan kecukupan
pelajaran atau modul yang disediakan. Penilaian sepatutnya berlaku secara berterusan dalam seluruh proses
reka bentuk pengajaran seperti penilaian dalam setiap tahap, penilaian antara tahap, dan penilaian selepas
pelaksanaan. Penilaian formatif merupakan penilaian berterusan semasa membentuk sesuatu tahap dan antara
tahap.
Penilaian adalah melalui fasa penilaian mudah, sederhana dan sukar berdasarkan tajuk yang dibina
dalam modul tersebut. Tujuan penilaian ini adalah untuk memperbaiki pengajaran sebelum versi mutakhir
dilaksanakan. Penilaian sumatif pula berlaku selepas versi pengajaran mutakhir dilaksanakan. Tujuan penilaian
ini adalah untuk mentaksirkan keberkesanan keseluruhan pengajaran. Lazimnya, data dari penilaian sumatif
digunakan untuk membuat keputusan tentang pengajaran, sama ada untuk meneruskan pengajaran atau tidak.
Justeru, model ADDIE adalah satu bentu rangka pengajaran yang baik, di mana ia dapat dikenal pasti
permasalahan dan boleh ditambah baik modul semasa ia direka bentuk dan dibangunkan.

KESIMPULAN
Daripada perbincangan di atas, model ADDIE dengan fasa-fasanya yang terdiri daripada analisis, reka bentuk,
pembangunan, perlaksanaan dan penilaian merupakan model reka bentuk modul pengajaran yang terbaik yang
boleh diguna pakai untuk membangunkan sesebuah modul kursus pengajaran. Ini terbukti kerana fasa-fasa
yang dianjurkannya adalah bersifat menyeluruh dan sistematik.
Lima fasa ini dilihat sangat relevan dalam pembangunan modul kerana ianya memudahkan proses reka
bentuk, yang mana output setiap tahap menjadi input bagi tahap yang seterusnya. Justeru, dengan kupasan
proses model ADDIE ni, disarankan kepada penulis-penulis modul pengajaran yang terdiri daripada segenap
peringkat institusi pendidikan agar mendalami model ADDIE ini dan menggunakannya sebagai asas dalam reka
bentuk modul agar hasilnya menepati objektif yang ingin dicapai dan menjadikan proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P) lebih efektif.
RUJUKAN

Dick, W. & Reiser, R.A. (1989). Planning effective instruction, United States: Prentice Hall.
Nik Azis Nik Pa, Pembinaan Model Pembelajaran Bagi Pengembangan Nilai Dalam Pendidikan Matematik, Bab 3.
Reiser, A. R. (2001). A history of instructional design and technology : Part II : A History of instructional design.
Diperolehi pada 1 Januari 2015, sumber dari http://www.capella.edu/IDOL/HistoryofIDTPartII.pdf.
Richey, R. C. (1986). The Theoretical and Conceptual Bases of Instructional Design. London/New York: Kogan Page
Ltd./Nichols Publishing Co.
Rio Sumarni Shariffudin. (2007). Design of Instructional Materials for Teaching and Learning Purposes: Theory into
Practice. In J. V. Robert A. Reiser, Trend and Issues in Instructional Design and Technology (pp. 97-110). New Jersey:
Pearson Education.
Rozinah Jamaludin (2000). Asas-asas multimedia dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.
Steven J. McGriff. (2000). Instructional system design : using the ADDIE model. College of Education, Penn State
University.
Youngmin Lee. (2006). Applying the ADDIE instructional design model to multimedia rich project-based learning
experiences in the korean classroom. Sumber dari http://www.emporia.edu/idt/graduateprojects/spring06/

Ummu Nasibah Nasohah


Muhammad Izuan Abd Gani
Nazipah Binti Mat Shaid @ Md Shaid

Fakulti Pengajian Bahasa Utama


Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai, 71800
Nilai, N. Sembilan.
Email: ummunasibah@usim.edu.my

View publication stats

Вам также может понравиться